بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ
الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالاَتِ اللهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلاَ يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلاَّ اللهَ وَكَفَى بِاللهِ حَسِيبًا

Jumaat, Jun 27, 2008

Perangai Ketua Pembangkang dan ADUN-ADUN UMNO/BN Perak Amat Memalukan Orang Melayu


Walaupun saya berada di Kuala Lumpur semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-12 yang berlangsung selama 4 hari (24-27 Jun 2008), saya tetap dapat mengikuti agenda perbahasan dan pergulungan setelah Paduka Seri Sultan Perak menyampaikan titah Ucapan Perasmian membuka sidang tersebut pada hari pertamanya. Ini adalah kerana persidangan itu dapat disaksikan secara langsung melalui ‘video streaming’ di laman web yang julung-julung kalinya pernah dilakukan kerajaan negeri Perak. Tahniah kepada kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang mengambil inisiatif bagi memudahkan rakyat negeri Perak khasnya, dan masyarakat umum di seluruh negara amnya dapat mengikuti persidangan tersebut.

Pada mulanya saya menjangka ADUN-ADUN BN yang terdiri dari 27 orang mewakili UMNO dan seorang mewakili MCA pastinya akan memberikan pandangan-pandangan dan cadangan-cadangan yang bernas dan membina. Ini memandangkan sebahagian besar mereka yang kini menjadi anggota pembangkang, dahulunya adalah merupakan pemimipin-pemimpin dalam kerajaan. Namun saya amat terperanjat dan kecewa dengan kerendahan pekerti dan budi bahasa mereka serta sikap sombong dan bongkak mereka, setelah menyaksikan hampir kesemua ADUN-ADUN UMNO dan ADUN tunggal MCA yang berpeluang bercakap atau berhujah dalam persidangan itu. Hampir tidak ada pandangan dan cadangan yang bernas dan membina diutarakan, melainkan cacian, tohmahan dan penghinaan yang silih berganti dilemparkan terhadap Dato’ Seri Haji Mohammad Nizar Jamaluddin selaku Menteri Besar dan juga terhadap beberapa orang Exco dari DAP dan PKR.

Pada saya, Dato’ Seri DiRaja Mohamad Tajol Rosli Ghazali sebagai seorang yang pernah memimpin kerajaan sebagai Menteri Besar selama kira-kira 8 tahun 3 bulan atau kira-kira 3,010 hari, sudah pastinya beliau amat memahami selok-belok persidangan dan menghafal peruntukan-peruntukan peraturan mesyuarat, tetapi rupanya beliaulah yang menjadi ‘hulubalang’ memimpin ‘laskar-laskar’nya yang sebahagiannya sudah terkenal dengan perangai dan kelakuan ‘gedebe’ mereka.

Sepanjang ucapannya, hampir satu jam beliau menghalakan ‘tikaman’ kepada PAS khususnya kepada Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Haji Mohammad Nizar Jamaluddin dan mensasarkan pula kepada DAP khususnya kepada ADUN Sitiawan, Dato’ Ngeh Koo Ham dan ADUN Pantai Remis, Nga Kor Ming.

Ucapan tersebut yang sewajarnya untuk menyokong titah ucapan Paduka Seri Sultan Perak telah dijadikan alat untuk melepaskan geram dan dendam kesumatnya dengan membangkitkan isu remeh temeh yang telahpun basi dan tidak laku dijual kepada rakyat selama kira-kira 3 bulan diarak ke sana ke mari dalam ceramah UMNO yang dibantu oleh alat media mereka seperti Utusan Melayu.

Beliau membangkitkan isu Menteri Besar Perak ada membuat kenyataan kononnya Tajol Rosli tidak bersalam dengannya, sedangkan isu sebenarnya Menteri Besar Perak menjelaskan Tajol Rosli tidak bersedia melakukan serahan tugas secara rasmi seperti yang dilakukan oleh bekas Menteri Besar Selangor, Kedah dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.

Saya cukup mengetahui dalam perkara ini. Memang Tajol Rosli enggan melakukan serahan tugas secara rasmi sehingga ke hari ini walaupun pernah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri menghantar surat kepada beliau mengenai perkara berkenaan. Justeru, apabila beliau mengatakan dalam ucapannya dalam persidangan dewan itu bahawa Menteri Besar yang ada ini adalah Menteri Besar beliau dan kerajaan yang ada ini adalah kerajaan yang beliau mengiktirafnya, bagi saya ianya adalah semata-mata skrip sandiwara atau lakonan drama, kerana dalam beberapa minit sahaja selepas itu, beliau menghina Menteri Besar dengan berbagai-bagai ungkapan kata yang mengaibkan peribadi Dato’ Seri Haji Mohammad Nizar.

Kalau sudah demikian rupa pekerti Ketua Pembangkang, tidak hairanlah jika pengikut-pengikutnya berkelakuan lebih teruk lagi. Saya tidak dapat menyifatkan betapa memalukan kelakuan dan tutur kata ADUN-ADUN seperti ADUN Kubu Gajah, Dato’ Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar; ADUN Kota Tampan, Dato’ Saarani Mohamad; ADUN Sg. Rapat, Hamidah Osman dan ADUN Pangkor, Datuk Dr Zambry Abd Kadir, cuma beliau kelihatan ada sedikit ‘humor’ mungkin kerana beliau seorang berkelulusan PHD.

Apapun, nampaknya kesemua ADUN-ADUN UMNO/MCA dalam Barisan Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Perak hari ini boleh dikelaskan dalam satu kategori sahaja iaitu kelas ‘kebudak-budakkan’ seperti yang disifatkan oleh Yang Dipertua Dewan, V Sivakumar, ketika mengulas tindakan mereka memboikot sidang DUN Perak sepanjang hari ketiga semalam (Khamis).

Satu hal yang saya perhatikan sifat membalas dendam yang bersarang dalam hati mereka terhadap beberapa orang Exco kerajaan Pakatan Rakyat yang dahulunya menjadi pembangkang seperti Dato’ Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming. Berulang-ulang kali ADUN-ADUN UMNO membangkit-bangkit nama kedua-dua Exco berkenaan yang dalam masa kerajaan yang lalu merupakan anggota pembangkang yang kononnya bersikap lebih teruk dari apa yang dilakukan oleh ADUN-ADUN pembangkang sekarang. Perbuatan ini seolah-olah menjustifikasikan sikap buruk ADUN-ADUN UMNO itu di dalam persidangan tersebut.

Saya nak bertanya khususnya kepada Dato’ Seri DiRaja Tajol Rosli, apa dosanya Dato’ Seri Haji Mohammad Nizar, ADUN Pasir Panjang yang diperkenan dan diangkat sumpah oleh Paduka Seri Sultan Perak sebagai Menteri Besar sekarang, sehingga beliau boleh dihina dan dicabar begitu rupa? Beliau bukan sahaja tidak pernah duduk sebagai ADUN di dalam dewan pada masa yang lalu, malah 3 orang ADUN PAS di dalam Dewan Undangan Negeri Perak yang menang dalam PRU Ke-10 (1999) dulu dan menjadi anggota pembangkang ketika itu tidak pernah melakukan serangan-serangan peribadi, apalagi melemparkan tuduhan dan fitnah kepada Dato’ Seri DiRaja Tajol Rosli atau pemimpin-pemimpin kerajaan negeri Perak ketika itu.

Sebab itulah tidak keterlaluan bila saya katakan Barisan Pembangkang dari ADUN-ADUN UMNO yang diketuai oleh Tajol Rosli hari ini mempunyai sifat dendam kesumat dalam hati mereka terhadap kerajaan Pakatan Rakyat hari ini. Ini dapat dibuktikan dengan jelas apabila setiap kali mereka menyebut nama kerajaan, mereka hanya sanggup menyebut Kerajaan Campuran DAP-PKR-PAS. Mereka tidak sanggup menyebut nama kerajaan Pakatan Rakyat kecuali jika mereka hendak mengaitkan dengan ‘Pakatan Rapuh’. Bahkan ada di antara ADUN UMNO yang menyebutkan dalam ucapannya bahawa kerajaan yang ada sekarang adalah Kerajaan Campuran yang diterajui oleh DAP. Ertinya mereka sengaja hendak mengelirukan rakyat bahawa kerajaan Pakatan Rakyat hari ini bukan diterajui oleh Menteri Besar dari PAS, ataupun mereka memang sengaja membutakan mata hati mereka sendiri semata-mata untuk melepaskan dendam dan memuaskan nafsu amarah mereka. Apakah mereka tidak menyedari langsung bahawa setiap gerak geri, perkataan, malah mimik muka menunjukkan marah dan kebencian mereka dapat disaksikan dengan jelas dalam tayangan video secara langsung ke seluruh dunia? Mungkinkah kerana mereka tidak pernah menggunakan teknologi ICT seperti yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat sekarang ini maka mereka benar-benar buta IT lalu tidak mengetahui akibat dari perangai mereka itu.

Semua kelakuan dan perangai ADUN-ADUN pembangkang seramai 28 orang yang mewakili majoriti masyarakat Melayu dari 27 kawasan DUN menunjukkan belang mereka yang sebenar bahawa mereka sama sekali tidak memperjuangkan hasrat rakyat apalagi untuk membela apa yang mereka dakwa ‘ketuanan Melayu’ itu, kerana perangai mereka sendiri pun tidak menggambarkan budi bahasa dan adab sopan orang Melayu. Apatah lagi nak dikatakan memperjuangkan Islam, jauh panggang dari api.

9 ulasan:

ANAKSENGAT' ( aku tak rela diperdaya umNO) berkata...

Betul tu Ustaz. Untuk sessi depan pastikan ADUN PR dapat latihan dan keyakinan untuk berbahas di dewan. Nampak macam kaku bila BN menyerang. Tak berapa nak tolong MB. Kena sedarlah, serang MB tu ertinya serang Kerajaan PR. Speaker pun lemah kawal dewan.Kena bagi latihan agar lebih menguasai dan menggunakan undang undang dewan dengan berkesan.

Muhammad Fahmi berkata...

saya terbaca ulasan ini di blog mat saman kati. minta ustaz tolog jawab tohmahan ni kerana tuduhan yg cukup serius:

http://matsamankati.blogspot.com/2008/03/ustaz-setan.html

Abah berkata...

Fahmi,
Tak perlu nak pening kepala dgn MSK. Tengok tulisannya dah tahu dpd spesis mana dia datang.
Ust,
Dpd mana kerajaan Perak boleh lulus grant tanah sampai 999 thn. Kenapa tak bagi tempoh selagi ada bulan dan bintang.

Bagaimana dengan nasib Melayu Islam yang yang hidup melarat yang setiap kali ust2 datang ke KL minta derma nak bantu mereka. Setiap kali buka sekolah, setiap kali hari raya buat collection. Adakah orang2 miskin ni tak layak dapat tanah sebabkan mereka bukan cina.

ingatuhan berkata...

Salam Ustaz,

Beginilah sikap manusia jika tidak menghayati sunnah Rasullullah S.A.W.

Setiap aspek kehidupan manusia, bercakap, berfikir, bekerja mahupun beribadat semuanya telah ditunjukkan oleh Rasullullah S.A.W.

Sepatutnya inilah yang perlu dicerminkan oleh barisan pembangkang di Perak kini.

Semoga mereka berasa malu dan menyedari bahawa akan ada satu dunia lain iaitu akhirat.

Wassalam

Mohd Nadzri Kamsin berkata...

Ustaz,

Apa pandangan Ustaz tentang tuduhan liwat ke atas Anwar?

Dalam blog saya, mungkin Uztaz boleh meluangkan masa untuk membaca komen-komen bloggers. Ada yang pro-Anwar, yang anti-Anwar, yang neutral. Semua mempunyai hujag masing-masing.

http://nadzrikamsin.blogspot.com/

Mohd Nadzri Kamsin berkata...

Dalam kita merasai keributan tuduhan liwat ke atas saudara Anwar, elok kita meluangkan masa untuk menambah ilmu di dada tentang Gold Dinar seperti berikut:

“Inflation ?? Women & Micro Economy, The Dinar & Dirham Solution”

Penceramah: Umar Vadillo (Cendikiawan Islam Sepanyol)

Tempat: Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara Kuala Lumpur.

Tarikh: 6 Julai 2008 (Ahad)

Waktu: 5 petang.

Semua dijemput hadir....

Ubaid Madani berkata...

untuk Nadzri,
pah bedah dah peronah jumpe dengan Si Omar tu tahun lepas ,nak tahu ape yang dia labun(cakap0dalam seminar di Masjid tu

Web Sutera berkata...

Assalamualaikum Ustaz,

Teruskan perjuangan ustaz & Dato' Seri. Rakyat memerhati dengan tekun.

Tanpa Nama berkata...

Salam Ustaz...

Di mana prinsip PAS sblum ini yang memprjuangkan agenda negara Islam?.. di Perak, PAS seolah2 tunduk kepada DAP. Adakah benar ada "Perjanjian Pangkor II"?..dimana intipati perjanjian tersebut nmpaknya seperti ingin memijak2 kepala umat melayu di Perak ini.. demi kuasa nampaknya PAS sangup bersekongkol dgn DAP laknatullah itu yang secara terang2 ingin menentang kuasa Melayu dan Islam di Perak..