Maksud firman Allah SWT:
“Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).” (Yusuf:47-48)
Saya cukup bersimpati dengan penderitaan rakyat yang sangat terbeban dengan kenaikan harga minyak petrol dan diesel yang mengakibatkan hampir semua kenaikan harga barang keperluan harian hari ini. Tiada tempat lagi nampaknya rakyat berpendapatan rendah dan sederhana hendak mengadu perihal kesusahan hidup mereka. Kenyataan demi kenyataan yang keluar dari mulut Perdana Menteri dan para menteri, semuanya ‘membela’ fenomena kenaikan sara hidup ini dengan hujah bahawa ia adalah fenomena global, apabila Amerika Syarikat menaikkan harga minyak lebih USD140 setong dan diikuti krisis bahan makanan seluruh dunia.
Malaysia ikut panik dengan krisis bahan makanan ini terutama beras, di mana selama ini kita bergantung kepada import beras dari negara jiran tidak kurang dari 40% keperluan negara. Bukan itu saja barang-barang keperluan harian seperti tepung, minyak masak, kadang-kadang menghilang dari pasaran dan kadang-kadang muncul kembali dengan harga yang lebih tinggi.
Bagaimanakah kerajaan menangani krisis ekonomi ini? Yang nyata, kerajaan seperti tidak mempunyai perancangan jangka panjang dalam menghadapi krisis berat ini. Semua pengumuman kerajaan berdasarkan langkah ‘ad-hoc’ tanpa kajian mendalam dan perancangan jangka panjang. Sedangkan petunjuk kenaikan harga petrol ini sudah mulai terlihat dalam pasaran dunia pada awal tahun 2007, tetapi kerajaan bersikap sambil lewa sahaja.
Sebagai contoh, baru-baru ini kerajaan mengumumkan untuk membayar gaji kakitangan kerajaan dua minggu sekali, konon untuk memudahkan mereka mengatur perbelanjaan harian. Entah bagaimana, setelah ramai pihak tidak bersetuju, keputusan itu dengan mudah dibatalkan.
Kerajaan juga mengumumkan akan membenarkan kakitangan kerajaan berniaga, dengan memberi kemudahan lesen berniaga kepada mereka. Saya melihat ini hanya akan menambahkan suasana ‘harubiru’ dan kelam kabut dalam masyarakat, apabila kakitangan kerajaan digalakkan berniaga kerana ianya akan menggangu konsentrasi kakitangan kerajaan yang terlibat dengan perniagaan itu, terhadap kerja harian mereka di pejabat, kerana di samping memikirkan kerja pejabat di pejabat, mereka juga memikirkan hal perniagaan mereka.
Mereka yang berniaga di pasar malam umpamanya, menggunakan masa yang panjang, sudah tentu akan pulang jauh malam, bila pula masa rehat untuk tidur dan bangun awal untuk solat Subuh. Bila masa pula untuk membeli barangan yang hendak diniagakan. Sudah tentu terganggu konsentrasi mereka terhadap tugas harian mereka yang sangat penting. Ini akan melemahkan produktiviti mereka.
Begitu juga jika mereka memandu teksi hingga tengah malam, tentu mengantuk dan hanya ada berapa jam masa untuk rehat, tidur dan solat. Semua hal yang saya sebutkan ini adalah kesan sampingan yang sangat serius, kerana mereka yang terlibat itu sukar untuk memberi tumpuan terhadap kerja mereka.
Saya sangat bersimpati dengan kakitangan awam kumpulan berpangkat rendah dan sederhana, kerana mereka inilah yang menerima akibat secara langsung dari kenaikan harga barangan. Demikian juga kakitangan syarikat swasta, peniaga kecil dan rakyat berpendapatan rendah. Saya sangat bersimpati dengan mereka yang menghadapi tekanan inflasi ini. Kepada saya, kerajaan mesti ada agenda jangka panjang, yang sepatutnya dirancang bertahun-tahun, seperti yang dilakukan di Singapura untuk berdepan dengan masalah ekonomi seperti ini.
Apa yang penting kepada saya ialah kerajaan perlu menaikkan gaji kakitangan kerajaan serta elaun mereka bagi menampung sara hidup mereka yang sewajarnya. Benar, sudah tentu kerajaan akan mengeluarkan peruntukan yang banyak untuk penambahan gaji dan elaun kakitangan kerajaan ini. Tetapi ini tanggungjawab kerajaan dan kerajaan tidak boleh mengelak diri.
Kerajaan mempunyai pakar-pakar ekonomi dan perancang strategi yang berada di sekeliling Perdana Menteri dan menteri-menteri. Malangnya, hingga kini kita tidak melihat perancangan jangka panjang ekonomi mereka. Seperti saya katakan mustahil mereka tidak tahu bahawa harga minyak akan naik, kerana sejak awal 2007, sudah ada tanda jelas harga minyak akan naik dan tidak turun lagi. Sementara itu persidangan mengenai kekurangan bahan makanan anjuran PBB sudah sering diadakan. Ribut taufan, banjir, gempa bumi, kemarau, tsunami dan sebagainya menyebabkan kawasan pertanian begitu banyak musnah. Para menteri dan pegawai kanan kerajaan silih berganti menghadiri persidangan tersebut. Nampaknya yang mereka bawa balik ialah bil-bil hotel dan pelbagai lagi, bukan perancangan konkrit untuk mengatasi krisis ekonomi dan makanan ini.
Gambaran yang jelas dilihat rakyat ialah kerajaan tidak ada perancangan jangka panjang yang konkrit dan jelas untuk menghadapi kemelesetan ekonomi ini, sedangkan kerajaan mempunyai ramai pakar ekonomi. Pemimpin kerajaan sering memberi alasan, bahawa ini adalah masalah global, fenomena dunia dan kemelesetan dunia. Jelas mereka tidak pernah hendak menyalahkan diri sendiri. Sedangkan negara kecil seperti Singapura, ekonominya masih tetap tidak terjejas. Justeru kerana mereka membuat perancangan jangka panjang.
Rakyat sering didendangkan, lebih-lebih lagi ketika kempen PRU Ke-12 yang lalu bahawa ekonomi kita teguh, ringgit kita kukuh, pengeluaran minyak kita berjalan lancar, hingga rakyat dikhayalkan dengan dendangan ini.
Tetapi baru-baru ini sudah ada suara-suara dari Petronas, bahawa sumber minyak kita akan habis dalam tempoh 10 tahun akan datang. Petronas telah membayar beratus bilion ringgit berbentuk cukai, royalti dan segalanya kepada kerajaan pusat. Kita tidak tahu secara terperinci ke mana dan bagaimana kerajaan membelanjakan wang Petronas itu. Jangan lupa bahawa hasil bumi dan sumber alam seperti galian, minyak, emas, perak, bijih dan lain-lain adalah kurniaan Allah SWT kepada penghuni bumi ini, tanpa mengira bangsa dan agama.
Sesungguhnya hasil dari perut bumi itu adalah amanah Allah SWT. Justeru itu kerajaan hanyalah diamanahkan mentadbir atau menguruskan hasil bumi Allah SWT ini dengan sebaik-baiknya. Jika pemborosan atau penyelewengan berlaku, sama ada diketahui rakyat atau tidak, nescaya Allah SWT tetap mengetahuinya dan mereka yang memegang amanah itu akan tetap disoal di akhirat nanti, jangan ada anggapan bahawa semua perkara yang berlaku ini tidak ada hubungkait dengan agama.
Bercakap mengenai krisis bahan makanan, dulu sektor pertanian di negara kita diabaikan kerana kononnya tidak produktif, tidak mendatangkan pulangan besar kepada ekonomi, akhirnya sawah dibiarkan dan ditinggalkan. Hasil pertanian merosot. Pada ketika yang sama sektor industri, projek mega diutamakan. Beratus bilion ringgit diperuntukkan untuk projek mega, tetapi kini apa yang hendak dimegahkan? Apakah beras atau lain-lain bahan makanan boleh digantikan dengan mikrocip atau skru dan plastik?
Akibat kerajaan mengabaikan sektor pertanian menyebabkan hasil petani berkurangan kerana sektor itu dipandang rendah, tidak menjana ekonomi. Kini selepas berdepan dengan krisis makanan, khususnya kekurangan beras di mana sebahagian besarnya kita mengimport beras dari negara jiran, maka kita kini berdepan dengan suatu situasi yang sangat kritikal.
Sementara itu perlu saya sebutkan di sini bahawa perniagaan kebanyakan hotel merosot teruk, pelancongan dalam negeri berkurangan, banyak bandaraya, termasuk Kuala Lumpur dan Ipoh serta Pulau Pinang, menjadi lengang kerana orang tidak mampu ke bandar jika tidak benar-benar mustahak kerana harga minyak mahal. Daya beli merosot sama sekali.
Akibat kemelesetan ini, sektor perniagaan menghadapi penurunan paras jualan dan krisis wang tunai. Sebab itu begitu banyak kedai-kedai melambakkan jualan mereka dengan harga ‘murah’. Kata para peniaga yang ditemui, “Biar pulang modal saja cukuplah, jangan rugi sudahlah. Para pembeli sangat berkurangan.”
Rakyat ditakuti jatuh miskin kerana kenaikan kadar inflasi. Lalu kerajaan seperti ‘menampal’ di sana sini pakaian yang koyak, untuk membolehkannya dipakai lagi. Bayaran rebat kepada sebahagian kecil pemilik kereta di bawah 2000cc adalah suatu contoh yang jelas mengenai perkara ini. Inilah akibat dari tiada perancangan ekonomi yang benar-benar memandang jauh ke depan. Kemudian pemimpin negara meminta rakyat berjimat cermat dan mengubah gaya hidup, padahal rakyat sudah pun mengikat perut. Mereka mengikat perut sehingga tidak ada lagi perut untuk diikat, menurut seorang buruh yang ditemui.
Sementara pemimpin kerajaan menyuruh rakyat berjimat dan mengubah gaya hidup, kita melihat mereka hidup bermewah-mewah, naik jet ke sana ke mari yang sesetengahnya untuk tujuan menangani krisis kepimpinan parti mereka. Kediaman sebahagian mereka seperti istana dengan kereta mewah dan para isteri berbelanja sakan di luar negara. Bagaimana pula dengan pembinaan Taman Tamadun Islam dan Masjid Kristal di pulau yang tiada berpenghuni. Tidakkah ini perbuatan membazir? Kalau bukan wang Petronas dibelanjakan, wang dari mana lagi?
Penubuhan Orkestra Filharmonik Malaysia di KLCC yang belanja pembiayaannya beratus juta ringgit, wang Petronas. Apa faedahnya kepada rakyat? Konon ini untuk meng‘world class’kan Malaysia di segi bidang muzik. Dalam keadaan yang gawat ini bagaimana dengan pembaziran tersebut masih diteruskan?
Belum lagi para menteri dan pegawai tinggi yang silih berganti ke luar negara, menghadiri pelbagai seminar. Menaiki kapalterbang dengan ‘business class’ dan menginap di hotel lima bintang. Semua perbelanjaan ini ditanggung oleh rakyat. Mengapa baru sekarang lawatan ke luar negara oleh menteri dan pegawai kerajaan itu dihadkan?
Sebenarnya senarai pembaziran kerajaan ini sangat panjang sejak puluhan tahun mereka memerintah. Tetapi siapa yang berani menegur kerana mereka berasa kuat dengan majoriti besar sokongan kepada BN setiap kali pilihan raya, barulah pada PRU Ke-12 ini berlaku tsunami politik kepada mereka. Saya tidak tahulah jika pemimpin kerajaan tidak insaf juga. Kerajaan mengumumkan akan memotong 10 peratus elaun keraian Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri dan hasilnya hampir 1 juta ringgit dapat diselamatkan setahun. Bayangkan berapa ratus juta ringgit dapat diselamatkan, jika kerajaan berjimat dalam membelanjakan kewangan negara.
Rakyat pula digalakkan menggunakan pengangkutan awam: Bas, komuter, LRT dan sebagainya. Adakah para menteri sedar betapa sukarnya untuk mendapatkan bas yang menepati waktu dan tidak ternanti-nanti berjam-jam lamanya? Keburukan perkhidmatan bas bukan lagi cerita baru, bahkan sudah berpuluh tahun dan sudah didengar puluhan tahun juga. Tetapi apa yang dilakukan? Habis pilihan raya keadaan tetap begitu juga.
Akhirnya saya suka menarik perhatian pemimpin negara yang saya percaya mereka biasa membaca Al-Quran dan terjemahannya. Berapa ramai di antara mereka yang terfikir hendak mencari petunjuk atau panduan dari Al-Quran, khususnya untuk berjimat dalam menggunakan wang negara dan membuat perancangan bagi menghadapi krisis ekonomi atau kekurangan bahan makanan. Begitu juga dalam menjaga harta negara yang diamanahkan rakyat supaya diurus dengan adil dan saksama untuk ‘maslahat’ dan kepentingan rakyat dan negara.
Sebagai contoh, pernahkah mereka merujuk kepada kisah Nabi Yusuf AS menasihatkan Raja Mesir untuk menyimpan makanan selama tujuh tahun di musim subur untuk digunakan di musim kering dan kemarau, ketika pertanian tidak menjadi. Adakah mereka terlepas pandang dari petunjuk Al-Quran ini, ataupun mungkin ada yang berfikir bahawa kisah Nabi Yusuf ini tidak relevan dengan suasana sekarang. Habis, apa yang relevan sekarang?
2 ulasan:
Salam ustaz,
Saya percaya tindakan Kerajaan ada mengambil kira keperluan menyimpan untuk masa depan seperti yang dikehendaki oleh ayat Al-Quran tadi.
Tanpa membaca ayat itu pun secara logik mana2 golongan pengurus akan berfikir utk masa depan.
Tidak timbul soal kerajaan tidak bertindak untuk mengambil kira masalah masa depan. Tetapi, yg menjadi persoalan ialah adakah tindakan yg dibuat atas nama bersedia utk masa depan itu benar2 mencapai matlamtnya?
Kaedah pelaksanaan untuk mencapai matlamat 'menyimpan utk masa depan' berbeza bagi setiap pihak.
Sy bg contoh;
Bagi kerajaan, pembinaan KLCC adalah adalah betul kerana ia akan dapat menjadi mercu tanda Malaysia. Dari segi pelancongan, adalah aset tambahan. Rakyat pula akan menjadi bangga, keyakinan diri bertambah akan kebolehan Malaysia, seterusnya dapat memacu kejayaan negara. jadi, bagi kerjaan, tindakan ini adalah untuk 'menyimpan bagi masa depan' yg baik dgn melaburkan pendapatan sekarang supaya dapat pendapatan yg lebih kelak.
Namun bagi pihak lawan kerajaan, ia adalah tindakn membazir disaat negara mempunyai pelbagai projek lain utk dilaksanakan. Keuntungan ekonomi di KLCC pn tak jelas.Baik buat projek rumah kos rendah dll.
Kesimpulannya, tidak boleh mendakwa kerajaan tidak berfikir utk masa depan. Tapi kena mempersoalkan adakah jalan yg diambil kerjaan utk utk mencapai matlamat itu betul atau dh menyimpang.
Wassalam
salam ustaz,
benar kata psey mah tu. pakcik saya bekerja dengan pertubuhan peladang yang mengurus mengenai padi di pulau pinang dan kedah. kolo tak salah saya ketika kes kekurangan padi di asia, maklumat yang saya dapat daripada pakcik saya, malaysia mempunyai prosuder untuk menyimpan stok beras atau padi dalam masa 3 atau 6 bulan untuk menampung keperluan malaysia.
cuma persoalaannya, bagaimana pengurusan pihak kerajaan BN???
bila mengetahui stok sudah berkurangan.adakah ingin rakyat supaya panik sekali supaya harga beras pun kena naik, menguntungkan sesetengah pihak, memperbodohkan rakyat.
tiba2 sahaja harga minyak pun naik. apa la nasib? pedih!!! pedih!!! pedih!!!.
nanti harga minyak plak naik lagi, bagi alasan satu dunia plak tak da stok minyak plak maaa!!!. orang kaya dah beli semua minyak kat dunia. simpan kat planet neptun ish!!! ish!!! ish!!!
(menaip dalam keadaan longlai dok pikir nak jana duit lebih skit nak tampung sara hidup)
wassalam.
Catat Ulasan