Tersentak seketika apabila saya menerima SMS dari salah seorang anak saya, memberitahu mulai selepas tengah malam (5 Jun), kerajaan menaikkan harga petrol sebanyak 78 sen dan RM1.00 bagi harga diesel melalui berita yang disiarkan jam 8 malam pada 4 Jun lalu.
Ketika itu saya dalam perjalanan untuk menyampaikan kuliah bulanan di sebuah surau di Selayang Baru. Kira-kira jam 9.30 malam setelah selesai kuliah dan solat Isya’, satu lagi kiriman SMS saya terima dari isteri saya yang mengesahkan perkara itu melalui berita jam 8.00 malam yang diikutinya. Berita itu melaporkan harga petrol dari RM1.92 naik kepada RM2.70 dan harga diesel dari RM1.58 naik kepada RM2.58.
Rupa-rupanya beberapa orang jemaah surau itu juga telah mengetahui berita tersebut yang menyebabkan mereka masing-masing mengeluh dan menyatakan perasaan marah dan kecewa kerana terpaksa menerima tarif baru harga petrol yang naik melambung itu.
Saya sukar mempercayai tarif baru yang dilaporkan itu berdasarkan beberapa sebab. Antaranya: Mengapa kenaikan harga minyak sebegitu besar sehingga RM0.78 dan RM1.00? Tidak terfikirkah kerajaan dan jemaah menteri BN bahawa kenaikan tersebut amat membebankan rakyat, sedangkan sebelum ini Shahril Samad membuat kenyataan media bahawa kenaikan harga minyak mungkin akan dilaksanakan pada Ogos tahun ini.
Ekoran kenaikan ini akan mengakibatkan kenaikan harga barangan lain dan rakyat akan terus terhimpit. Tidak ada jalan lainkah untuk menyelesaikan masalah ini selain kenaikan 40 hingga 60 peratus harga bahan bakar ini? Apakah akan terjadi kepada negara dan rakyat di negara ini ekoran dengan kenaikan ini?
Dalam perkiraan saya, kenaikan tertinggi harga bahan bakar ini dalam sejarah melambangkan keadaan ekonomi dan pengurusan ekonomi negara sedang berada di tahap paling nazak.
Kenyataan basi yang menyatakan kenaikan 40% harga petrol dan 60% harga diesel ini ekoran kenaikan harga minyak dunia kurang dapat diterima akal saya. Alasannya kita adalah negara pengeluar minyak mentah dunia. Dulu ketika berlaku kenaikan harga minyak yang diumumkan kerajaan, juga mendapat bantahan rakyat.
Rakyat meminta kerajaan menggunakan minyak yang dikeluarkan oleh negara untuk kegunaan rakyat tetapi kerajaan memberikan jawapan bahawa minyak yang dikeluarkan Malaysia bukan untuk kegunaan domestik. Sebabnya, minyak kita adalah dari gred berkualiti tinggi yang digunakan untuk kegunaan pesawat kapal terbang dan tidak sesuai dan ekonomik untuk kegunaan kereta.
Jika alasan yang diberikan kerajaan tersebut diambil kira, ini menunjukkan harga minyak yang dijual oleh Petronas kepada pasaran dunia adalah harga yang berkali ganda dari harga minyak mentah biasa yang diperoleh dari negara pengeluar minyak lain di dunia.
Memandangkan negara mengeluarkan minyak berkualiti tinggi, ini telah meletakkan Petronas sebagai antara syarikat carigali minyak yang dihormati kerana mempunyai kepakaran mengurus gred minyak berkualiti tinggi. Peluang ini juga berjaya dimanfaatkan oleh Petronas dengan meyakinkan negara luar bagi membenarkan Petronas menerokai bidang carigali minyak di negara-negara yang mempunyai stok minyak mentah. Tidak hairan apabila Petronas berjaya melebarkan usahasama penerokaan dan carigali dengan kebanyakan negara di Laut Caspian yang merupakan ‘stok dara’ minyak terbesar dunia. Stok minyak di zon persekitaran Laut Caspian dianggarkan mampu dijana selama beberapa abad.
Saya juga kurang pasti perolehan keuntungan besar Petronas samada dari penjualan minyak dalam negara atau dari usahasama Petronas dengan negara luar dalam bidang carigali.
Namun apapun jawapannya, ia amat menguntungkan dan Petronas telah berada di landasan yang betul kerana bukan mudah membentuk ‘imej’ di mata dunia. Dan imej ini amat menguntungkan. Tahniah!
Jawapan kerajaan BN bahawa tindakan kerajaan untuk tidak ‘membebankan’ Petronas untuk membantu negara menghadapi kesan kenaikan ini juga dilihat sebagai alasan yang ‘dungu’. Dengan kenyataan bahawa kajian yang menunjukkan stok minyak negara hanya mampu bertahan sehingga tahun 2014 (6 tahun dari sekarang) menyebabkan kerajaan tidak mahu ‘melibatkan’ Petronas dalam kemelut kenaikan harga minyak yang dihadapi negara.
Lebih menjelekkan juga apabila kerajaan dan media memberikan contoh kesan kenaikan yang diterima oleh negara jiran seperti Singapura dan Thailand yang bukan negara pengeluar minyak seperti Malaysia. Mengapa Malaysia tidak membuat perbandingan dengan negara pengeluar minyak lain seperti Venezuela (RM0.16/liter), Nigeria (RM0.32/liter), Arab Saudi (RM0.38/liter), Kuwait (RM0.67/liter), Mesir (RM1.03/liter) dan UAE (RM1.19/liter)?
OK… kalau itu dijadikan alasan oleh kerajaan, ternyata BN merupakan kerajaan yang cuba menipu rakyat berhubung kemampuan Petronas. Mengapa kerajaan tidak mahu melaporkan keuntungan dan sumber keuntungan Petronas kepada Parlimen untuk dibincang dan dipantau secara terhormat dan akauntibiliti. Sedangkan Petronas dan beberapa syarikat GLC lain adalah syarikat milik kerajaan yang tidak pernah dibentangkan kepada Parlimen untuk dipantau.
Dalam kes kenaikan harga minyak ini, kerajaan juga boleh membatalkan beberapa projek mega seperti jambatan kedua Pulau Pinang, landasan keretapi berkembar Padang Besar-Johor Bharu yang menelan belanja RM40 billion dan beberapa projek koridor ekonomi yang masih tak ketahuan hala tujunya itu.
Salahkah kalau dihentikan seketika projek-projek mega tersebut memandangkan kewangan negara semakin terdesak dan sambunglah apabila kewangan negara mencukupi. Lagipun, kos projek-projek mega tersebut sudah tentunya akan melonjak beberapa kali ganda ekoran kenaikan harga minyak dan bahan mentah lain. PM dan kabinet seharusnya membuat penilaian semula dan melihat keperluan rakyat melebihi dari segalanya.
Apakah kerajaan BN ini lebih rela melihat rakyat menderita akibat tindakan kerajaan yang tidak prihatin kepada rakyat? Kerajaan Abdullah Badawi lebih rela mempertahankan tender-tender yang telah diberikan kepada kroni-kroni dalam pelbagai projek mega dari memihak kepada rakyat terbanyak.
Mengapakah kerajaan BN terlalu mementingkan kepentingan diri dan politik sehingga sanggup mengorbankan nilai hidup dan kemanusiaan serta hak rakyat?
Sebagai Naib Presiden PAS, saya melihat bahawa kami dalam PAS dan Pakatan Rakyat (PR) tidak sanggup menggadaikan kepentingan rakyat seperti apa yang dilakukan pemimpin Umno/BN hari ini.
Kalau nak bercakap hanya untuk kepentingan politik, PAS memang suka BN membuat tindakan yang banyak memberi peluang kepada kami bagi menghidupkan isu ini sehingga pilihanraya akan datang. Tambahan pula rakyat yang menyokong UMNO/BN dalam Pilihanraya Umum Ke-12 lalu telah merasai mereka tertipu dan ditipu oleh manifesto BN yang berbunyi lebih kurangnya, kemakmuran, keadilan dan keamanan itu.
Kepada seluruh rakyat, saya berseru supaya kita berusaha menjatuhkan UMNO/BN dalam pilihanraya akan datang kerana kenaikan harga minyak dan nanti akan disusuli pula dengan kenaikan harga barang keperluan adalah membuktikan kerajaan sekarang bukanlah berjuang untuk kepentingan rakyat, malah sebaliknya mendera mereka.
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ
Isnin, Jun 09, 2008
Kenaikan Harga Minyak, Di Manakah Nilai Kemanusiaan BN?
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
6 ulasan:
salam Ustaz,
Itulah sebenarnya nilai yang rakyat dapat daripada pemerintahan Islam yang ada Had dan ada Hari.
ps*Kasihan golongan petani, nelayan, penarik beca,tukang kebun, buruh dan ramai lagi mereka yang berpendapatan rendah trpaska mengharungi jua.
http://www.kulatlapok.blogspot.com
Mungkin ini ujian Allah... dulu kita diuji oleh pemimpin bernama Dr. Mahathir yang dikatakan zalim tetapi tak pernah nak naikkan harga minayk yang drastik.
Sekarang kita diuji oleh Imam Hadhari yang mencari Al-Ghazali dan As-Shafie, tetapi nampaknya terlupa kesusahan rakyat....
Allahuakhbar
Sudahlah rakyat stress dengan kenaikan harga minyak. Ulasan2 mereka di media mereka supaya rakyat menerima segala tindakan mereka amat menjelekkan malahan menambah kemeluatan. Pangkahlah BN lagi. Apa pulak yang naik lepas ni. Jangan biarkan harga aje yg naik. Rakyat pun kena naik minyak supaya BN tak naik.
Salam..
Sabar..jangan risau,kita masih ada jemaah,gesa jemaah semua 'tembak' zikir 'la ila ha ila Allah' pada kerajaan BN ini. Bagi mereka 'panas'. Umat Islam kuat kerana jemaah dan doa..berikhtiarlah..Insya Allah.
''Ya Allah kami mohon pada mu semoga Engkau selamatkn lah negeri kami ini dari malapetaka dan bencana...beri la pedoman Mu kepada para pemimpin& pembesar kami supaya sedar akan tanggung jawab yg telah Engkau amanahkan...supaya kami dibawah ini tidak teraniaya dan dizalimi...Engkau sajalah harapan Abadi kami yg dapat merubah segalanya...amiinnnn''
paklah memang x penah dengar keluhan rakyat....
http://al-bakafie.blogspot.com/
Mungkin ada yang mengatakan harga minyak di Jerman €1.43 itu bersamaan dengan RM 7.15. Justeru, harga minyak di Malaysia masih rendah. Kita tidak boleh membandingkan apel dengan oren. Gaji pekerja di Jerman tinggi. Umpamanya, jurutera baru diberi gaji antara €2800 - €3000 sebulan. Ini bersamaan dengan RM14,000 sebulan.
http://malayahistory.blogspot.com/
Catat Ulasan