بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ
الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالاَتِ اللهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلاَ يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلاَّ اللهَ وَكَفَى بِاللهِ حَسِيبًا
Memaparkan catatan dengan label Ehwal PAS Perak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ehwal PAS Perak. Papar semua catatan

Selasa, Ogos 11, 2009

Krisis Politik Perak Ahmad Awang Sangkal Harussani


Maksud Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Al Hujuraat:6)

Mengapa Saya Perlu Menjelaskan
Pada mulanya saya tidak bercadang hendak menyiarkan petikan sebahagian besar artikel yang ditulis oleh Zulkafly Baharuddin, Editor Milenia Muslim (MM), yang tersiar dalam keluaran bulan Ogos ini. Perkara ini saya sebutkan dalam posting terdahulu kerana segala penjelasan saya mengenai krisis politik Perak yang dibangkitkan dalam temubual Tan Sri Harussani Zakaria (TSHZ), Mufti Perak dalam temubualnya dengan saudara Zulkafly akan disiarkan sepenuhnya dalam majalah MM. Akan tetapi setelah mendapati beberapa kesalahan fakta dan beberapa bahagian jawapan/penjelasan saya terhadap pandangan mufti perak tidak disiarkan, maka saya memetik beberapa bahagian penting untuk disiarkan dalam blog ini dengan memberikan jawapan-jawapan sepenuhnya seperti yang dibuat dalam temubual saya dengan editor berkenaan pada 09 Jun 2009 di Pejabat Jamiyah Dakwah Islamiah Selangor, Jalan Rahmat, Kuala Lumpur, di samping membuat pembetulan atas kesalahan-kesalahan fakta yang disiarkan.


Editor MM Mungkir Janji
Sebenarnya pihak MM telah berjanji dengan saya supaya draf tulisan editor MM itu diserah kepada saya untuk disemak bagi mendapat kelulusan saya sebelum dicetak dan setiap penjelasan saya terhadap kenyataan TSHZ hendaklah dimuatkan sepenuhnya dalam artikel berkenaan. Selain itu, gambar kulit majalah MM itu mestilah diletakkan sepenuhnya gambar saya sahaja. Tetapi ternyata pihak MM telah mungkir janji. Saya hanya diberikan draf tulisan editornya setelah majalah tersebut dihantar ke percetakan. Beberapa penjelasan penting tidak dimuatkan dalam artikel tersebut. Gambar kulit pula disiarkan gambar saya bersama Tan Sri Mufti. Setelah berkali-kali saya menghubungi saudara Zulkafly, (editor berkenaan) beliau mengatakan artikel itu tidak boleh dibuat apa-apa pindaan lagi dan bila saya bertegas untuk berjumpa dan berbincang dengan beliau, jawapannya, perbincangan hanya boleh dibuat setelah majalah berkenaan diterbitkan. Terakhir beliau menghantar SMS kepada saya seperti berikut, “Salam. Saudara Zainuddin Ayib cadang selepas MM terbit minggu depan – ZulB”. Pesanan ringkas ini dihantar pada 20 Julai 2009 jam 2.55 petang. (Saya difahamkan saudara Zainuddin Ayib adalah orang yang bertanggungjawab atas penerbitan majalah berkenaan). Namun hingga ke hari ini, saya tidak mendapat sebarang maklumat mengenai pertemuan dan perbincangan yang dijanjikan. Kali terakhir saya menghantar pesanan SMS kepada saudara Zulkafly pada 1 Ogos 2009, jam 5.31 petang.

Berdasarkan kepada tindak tanduk saudara Zulkafly itu, saya dapat membuat kesimpulan bahawa pihak Majalah MM tidak beramanah dan mungkir janji. Bahkan seperti cuba secara sengaja menyembunyikan beberapa fakta yang penting seperti yang saya jelaskan. Dalam hal ini saya ada rakaman video temubual saya dengan editor MM itu untuk rujukan.

Berikut petikan dari jawapan dan penjelasan saya. Dengan memetik semula beberapa soalan yang dibangkitkan dalam artikel “Cerita Harussani Di Sebalik Peristiwa”.


MM (keluaran Mei 2009) menulis mengenai pandangan TSHZ
...UMNO hanya memperoleh 28 kerusi, PAS 6, DAP 18 dan PKR 7 kerusi. Kata Datuk Seri Harussani, Ketua Perhubungan UMNO negeri, Dato’ Seri Diraja Tajol Rosli Mohd Ghazali, memintanya menyampaikan keputusan itu kepada Mursyidul Am PAS Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kerana ingin melihat cadangan itu yang akan membawa kepada pembentukan sebuah kerajaan negeri yang kesemuanya Melayu dan beragama Islam buat pertama kalinya sejak Merdeka, malam itu juga dalam hujan lebat, Dato Seri Harussani membawa amanat itu ke Kota Bharu…

Dato' Seri Harussani berkata, Nik Aziz bersetuju dengan cadangan itu tetapi memberitahu bahawa kuasa pemutus tiada di tangannya. Ia di tangan Presiden parti, katanya.

Dato Seri Abdul Hadi Awang menelefon Dato' Seri Harussani pada jam 10 pagi 9 Mac memberitahu persetujuannya kepada cadangan UMNO Perak itu. Namun, kata Hadi pemutus buka di tangannya tetapi terletak di tangan Pesuruhjaya Pas Perak, Ustaz Ahmad Awang.

Sekembalinya ke Ipoh, Dato' Seri Harussani menemui Ustaz Ahmad Awang. Ustaz Ahmad berkata beliau tidak akan mahu bekerjasama dengan mereka yang zalim. Bagaimana beliau menganggap sedemikian walhal mereka yang beliau tuduh zalim itu adalah orang Melayu dan beragama Islam tetapi Ustaz Ahmad lebih bekerjasama dengan orang kafir. Hasil dari keengganan Ustaz Ahmad adalah senario politik di Perak hari ini.


MM (keluaran Ogos 2009) menulis mengenai pandangan Ahmad Awang
… Ustaz Ahmad Awang selaku Pesuruhjaya PAS Perak ketika itu, menyangkal dakwaan Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Harussani Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak yang mempersalahkannya dengan keengganan menerima tawaran UMNO Perak untuk membentuk kerajaan sehingga membawa kepada krisis keabsahan kerajaan negeri di Mahkamah Persekutuan. Beliau tampil dengan sanggahan balas bagi menjernih kekerohan salah tafsir mengenai peranannya di sebalik tabir krisis tersebut dan pendirian PAS Perak sejak awal 8 Mac 2008.

“Ia seolah semuanya berpunca dari saya. Membaca kenyataan beliau menunjukkan bahawa sahabat saya ini, Tan Sri Mufti adalah seorang yang mencampuri politik kepartian. Tiada lagi atas sifat non-partisan. Terang-terangan menyebelahi UMNO. Sebagai seorang mufti yang diberi perkenan oleh sultan sepatutnya tidak boleh terlibat dengan politik. Malah secara peribadi beliau selalu mengingatkan masyarakat Islam di Perak agar meninggalkan baju politik dan sangkut di luar pagar masjid.
“Maka analoginya juga pada hari ini, tidak sepatutnya mufti mencampuri urusan hal politik sungguhpun bekas Menteri Besar (MB) meminta beliau berjumpa Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Jika beliau berhujah atas kepentingan Melayu Islam, itu masih dalam konteks politik. Sepatutnya jika beliau mahu campur tangan, dia hanya perlu aturkan perjumpaan antara pimpinan UMNO yang diketuai Dato’ Seri Diraja Mohammad Tajul Rosli dengan kami pimpinan PAS. Setakat itu boleh dilihat yang beliau bersifat adil.

“Justeru itu, saya mahu menjawab “Cerita Harussani Di Sebalik Peristiwa” kerana saya tidak mahu fitnah ke atas diri saya sehingga sampai satu tahap di dalam kursus Biro Tatanegara (BTN) saya dituduh sebagai pengkhianat bangsa dan agama kerana menolak tawaran untuk berpakat sesama Melayu Islam untuk membentuk kerajaan negeri.


MM: Boleh ustaz jelaskan siapakah sebenarnya punca Krisis Politik Perak hari ini kalau bukan ianya berpunca daripada ustaz seperti yang dikatakan oleh Tan Sri Harussani?

AA: Sebenarnya punca krisis politik Perak ini segala-galanya bermula dari UMNO Perak yang tidak bersedia menerima kekalahan mereka dalam PRU ke-12 pada Mac 2008. Sejak dari keputusan diumumkan oleh SPR yang menunjukkan UMNO/BN Perak hanya memenangi 28 kerusi dari 59 kerusi DUN Perak, mereka terus merancang untuk menggagalkan penubuhan kerajaan Perak dari pakatan parti-parti pembangkang PAS/PKR/DAP. Pada malam keputusan tersebut diumumkan UMNO telah menghubungi beberapa ADUN PAS untuk melompat parti dengan tawaran RM berjuta. Orang yang pertama mendapat tawaran itu ialah Ir. Hj.Nizar Jamaluddin, ADUN Pasir Panjang (kini Dato' Seri). Setelah saya selaku Pesuruhjaya PAS Perak mengumumkan persetujuan PAS untuk bersama DAP dan PKR membentuk kerajaan di Perak, tidak berhenti-henti saya dihubungi oleh beberapa orang yang mewakili UMNO, diantaranya beberapa orang pegawai kerajaan. Bahkan saya ditemui oleh beberapa orang pemimpin PEKIDA yang saya percaya mereka mewakili UMNO. Saya mendapat maklumat pihak UMNO cuba mempengaruhi istana untuk membentuk kerajaan minoriti dengan 28 ADUN kerana parti-parti lain memperolehi bilangan kerusi yang lebih kecil dari UMNO/BN. Akan tetapi kami berjaya memintas dengan membuat keputusan menubuhkan gabungan 3 parti yang kemudian dikenali dengan Kerajaan Pakatan Rakyat. UMNO terus cuba memujuk PAS dengan menghantar Dato' Zahid Hamidi untuk berbincang dengan saya, tetapi saya enggan berjumpa beliau. Beliau dan beberapa orang rakannya termasuk Dato' Amin Salleh, Ketua Jabatan Hal Ehwal Khas Kementerian Penerangan gagal berjumpa saya kerana rumah kediaman saya di Simpang Empat Semanggol dikawal ketat oleh Unit Amal dengan dibantu oleh beberapa orang polis. Kejadian itu berlaku pada malam 16 Mac 2008, sehari sebelum majlis upacara mengangkat sumpah Hj. Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang ke-10.

Semenjak keabsahan penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak, UMNO Perak di bawah pimpinan Tajol Rosli mensasarkan beberapa tarikh tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat. Apabila tarikh 31 Ogos 2008 yang diletakkan sebagai sasaran terakhir gagal dicapai oleh UMNO maka Tajol Rosli meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Perak. Lalu Dato' Seri Najib mengambil alih jawatan tersebut dan bermulalah episod rampasan kuasa di Perak yang menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dengan cara yang begitu gelojoh dan tidak demokratik seperti yang pernah disebut sendiri oleh Tun Dr Mahathir. Bermula dari situ berlakulah suasana huru hara krisis politik Perak. Saya percaya semua perkara ini dapat disaksikan oleh Tan Sri Dato' Mufti Perak (penjelasan ini tidak disiar oleh MM).


MM: Apa penjelasan ustaz mengenai kenyataan TSHZ tentang ramainya orang melayu mengkritik sultan dalam kemelut politik di Perak dan ada antara mereka yang enggan mendoakan sultan dalam khutbah Jumaat?

AA: Dari kenyataan beliau itu, saya melihat ianya seolah-olah ditujukan kepada orang melayu dalam Pakatan Rakyat samada dari kalangan ahli-ahli PAS atau PKR. Kepada saya ia hanya merupakan tuduhan secara rambang kerana jika benar ada di antara mereka yang tidak mendoakan sultan dalam khutbah, perkara itu boleh diambil tindakan oleh pihak berkenaan. Tapi ia tidak pernah dibuktikan dan apa yang saya ketahui sepanjang saya menerajui pimpinan PAS di Perak selama 8 tahun, belum ada seorang pun khatib atau imam dari kalangan ahli/penyokong PAS yang pernah diambil tindakan kerana tidak mendoakan sultan dalam khutbah Jumaat.

Mengenai dakwaan TSHZ bahawa beliau tidak pernah masuk BN atau menyokong BN, tidak perlulah beliau berdalih bahawa beliau “terperangkap” dengan soalan wartawan di hadapan Menteri Penerangan kerana rakyat mengetahui bahawa beliau sendiri bersusah payah pada waktu malam hari bertolak ke Kota Bharu menemui Tok Guru Nik Aziz kerana memenuhi permintaan Dato' Seri Diraja Tajol Rosli, Ketua Perhubungan UMNO Perak masa itu untuk mengajak PAS menyertai BN. Seperti saya katakan, itu sudah terang-terang berpolitik bersama dengan UMNO/BN. Lagipun kalau bercakap supaya menyeru rakyat menyatakan kesetiaan kepada sultan, maka sepatutnya ketika pihak UMNO/BN berusaha hendak menumbangkan kerajaan PR yang diperkenankan penubuhannya oleh Duli Tuanku Sultan, sepatutnya TSHZ bersuara mengingatkan orang UMNO supaya tidak menderhaka kepada sultan. Apatah lagi kesemua ADUN Pakatan Rakyat seramai 31 orang telah berikrar secara bertulis, masing-masing bersetuju dengan pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat dan perlantikan Dato' Seri Hj. Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang ke-10. Ikrar bersurat itu dibuat atas titah Seri Paduka Tuanku Sultan. Sepatutnya TSHZ menasihati ketiga-tiga ADUN Pakatan yang keluar parti masing-masing, lalu menyatakan sokongan kepada UMNO/BN itu supaya tidak berbuat demikian kerana mereka boleh dianggap menderhaka kepada Tuanku Sultan sebab memungkiri ikrar masing-masing terhadap sultan. (penjelasan ini tidak disiar oleh MM)


MM: TSHZ berkata “Ini bukan kerja saya. Saya tiada kena mengena dengan politik. Kalau saya ketuk pintu istana, walaupun sultan bagi saya masuk, nanti sultan tanya apa hal? Awak masuk parti mana? Saya nak kata apa?”, demikian kata beliau ketika pihak PAS datang ke rumah beliau pada jam 11 malam meminta jasa baik beliau memohon Paduka Sultan supaya membubarkan kerajaan dan membuat Pilihanraya Negeri.

AA: Saya suka menegaskan bahawa apa yang TSHZ kata itu adalah tidak benar sama sekali kerana apa yang kami sampaikan kepada beliau pada malam itu (3 Febuari 2009) ialah permintaan isteri Dato' Nasarudin Hashim ADUN Bota yang diambil dari rumahnya oleh sekumpulan tertentu dan membawanya ke Putrajaya. Isteri beliau meminta kami berikhtiar membolehkan dia mengadap Raja Muda bagi menceritakan apa yang sebenar terjadi terhadap suaminya yang konon telah berpaling tadah semula kepada UMNO dan menyokong penubuhan kerajaan BN di Perak. Isteri beliau memberitahu pihak kami kumpulan yang datang dengan sebuah kereta mengatakan bahawa Tuanku Raja Muda meminta Dato' Nasarudin mengadap baginda, tiba-tiba suaminya berada di Putrajaya. Hasrat itulah yang kami sampaikan kepada TSHZ. Tidak timbul langsung meminta beliau berjumpa sultan mohon bubar DUN. Saya mengetuai rombongan bertemu beliau malam itu. Yang lain-lain ialah Dr. Khairuddin Dato' Abdul Malik (PAS), Cikgu Ismail Yusof dan Ustaz Zulkefli Ibrahim (PKR).

Saya masih ingat TSHZ berkata, “ Saya tak ada ruang sama sekali untuk menyampaikan hasrat tersebut kepada Tuanku Raja Muda, kerana seolah-olah jalan tertutup bagi saya disebabkan kini ada “orang lain” yang telah mengambil tempat saya duduk di sebelah tempat duduk Raja Muda. Dahulu sayalah orang yang boleh duduk di sebelah tempat duduk Raja Muda di dalam kereta baginda. TSHZ kata “orang” tersebut sangat tidak mesra dengan saya sehingga semasa sambutan Jubli Perak Duli Tuanku Sultan baru-baru ini pun, “orang” itu tidak bersalam dengan saya.” Nama “orang” berkenaan, beliau sebutkan kepada kami. Saya hanya boleh “quote” kan sebagai DSAZ sahaja. (Dalam pertemuan malam itu, kami tidak sebut langsung tentang hendak mengadap Tuanku Sultan)

Bersabit dengan kenyataan TSHZ bahawa Tuanku Sultan akan menanyakan, “… apa hal? Awak masuk parti mana?” Tidakkah TSHZ terfikir yang beliau sebok-sebok bersama UMNO ketika keputusan PRU 8 Mac 2008 dahulu yang Tuanku Sultan boleh bertanya seperti itu? Jelaslah beliau berfikiran tidak konsisten kerana pendirian politik beliau yang bias. (penjelasan ini tidak disiar oleh MM)


MM: Apa pandangan ustaz mengenai kenyataan TSHZ bahawa beliau dilantik sebagai Exco tapi hanya berperanan sebagai penasihat sahaja kepada kerajaan, bahkan jika boleh mengundi pun, keputusan pasti memihak kepada orang bukan melayu kerana menurut beliau ada 8
Exco Cina dalam kerajaan Pakatan Rakyat.

AA: Kenyataan beliau itu boleh mengelirukan. Oleh itu prlu saya membetulkan faktanya iaitu TSHZ adalah dilantik sebagai mufti bukan sebagai seorang
Exco dalam kerajaan sejak kerajaan UMNO/BN lagi. Cuma jawatan mufti itu diberi taraf sebagai Exco iaitu Mufti Perak, siapa pun yang menjawat jawatan itu mendapat kemudahan-kemudahan seperti yang diperolehi oleh Exco misalnya kenderaan, elaun rumah dan sebagainya. Bahkan Mufti tidak merupakan seorang pegawai ex-officio dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang. Mengenai undi yang beliau mengatakan ianya akan memihak kepada orang bukan melayu kerana adanya 8 orang Cina dalam Exco kerajaan Pakatan Rakyat, itu tidak benar kerana jumlah Exco dari kaum Cina hanya ada 6 orang, bukan 8 seperti yang didakwa beliau. Tambahan pula sebarang keputusan penting yang dibuat dalam mesyuarat MMK terlebih dahulu ianya dibincang dan diputuskan bersama dalam Mesyuarat Majlis Penyelarasan antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat, yang keputusannya dibuat tidak secara undi tetapi secara syura atau konsensus. (penjelasan ini tidak disiar oleh MM)


Seterusnya, ikutilah temubual saya seperti yang disiarkan dalam MM keluaran Ogos 2009 yang diolah tulisannya oleh Editor MM, Saudara Zulkafly Baharuddin dalam susunan yang tidak begitu kemas.

…“Hakikatnya, cerita yang sebenar ialah beliau (TSHZ) tidak pernah bertemu dengan saya ketika isu pembentukan kerajaan baru negeri Perak. Dia hanya menelefon saya ketika dia berada di Kelantan selepas menemui Dato’ Nik Aziz. Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang juga tidak pernah menghubungi beliau kerana Dato’ Abdul Hadi sendiri tidak mempunyai nombor telefon dia, sebaliknya Tan Sri sendiri yang menghubungi Dato’ Abdul Hadi, ” kata Ustaz Ahmad kepada Milenia Muslim baru-baru ini dalam usahanya untuk menjelaskan keadaan sebenar.

MM: Tetapi mengapa ustaz menolak usaha tersebut?

AA: Bukankah selama ini, Tan Sri ke hulu ke hilir khasnya ke se¬bahagian besar masjid di seluruh negeri Perak menceritakan angkara 50 tahun kita merdeka, kerajaan yang sedia ada ini berkuasa maka ramai orang Melayu Islam yang murtad. Tan Sri sendiri kata mempunyai hubungan yang paling rapat dengan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sehingga boleh telefon secara peribadi, mufti-mufti sendiri boleh berdialog dengan PM, buat memorandum kepada Majlis Raja-Raja mengenai isu murtad ini namun akhirnya Tan Sri sendiri mengakui, semuanya tidak boleh diharap.

Sebab itu, Dewan Ulama PAS pernah datang ke pejabat mufti untuk menyatakan sokongan. Adakah Tan Sri hari ini hendak kami berpakat dengan mereka walau mereka semua Melayu? Ini hujah Tan Sri sendiri. Jadi atas alasan itu saya menolak usaha tersebut.

Walau Tan Sri mempersoal Datuk Ngeh Koo Ham dan Ngo Kor Ming ini adalah orang kafir yang anti Islam. Saya jawab ia di dalam pengetahuan saya. Saya kenal mereka berdua bukan baru, sudah 10 tahun. Saya tahu dia beragama Kristian walaupun namanya adalah Cina.

Tetapi hari ini, DAP inilah yang mengajak kami walau dahulu kelihatan dia yang memusuhi PAS dan Islam. Kami beri syarat jika mahu bekerjasama maka jawatan MB hendaklah di kalangan Melayu Islam sebagaimana tuntutan perlembagaan negeri dan mereka terima.
Sebenarnya selama ini pemimpin Melayu sendiri sebelum ini yang menzalimi Islam. Saya pernah bekerja sebagai pegawai kerajaan dalam bidang dakwah, saya tahulah. Walau mereka DAP orang kafir, kita cuba dan kami boleh bekerjasama atas dasar parti dan kerajaan campuran.
Jika kemudian hari mereka menyeleweng dari persefahaman ini, bila-bila kita boleh tinggalkan bukan ada perjanjian pun.

Saya tidak boleh menerima dia kata Dato’ Abdul Hadi beri lampu hijau dan Dato’ Nik Aziz setuju dengan UMNO. Kerana sebelum pilihanraya bermati-matian UMNO dan BN yang diketuai oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan menantu PM, Khairy Jamaluddin bergilir hari turun ke Kelantan untuk hancurkan kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh Dato’ Nik Aziz?

Logikkah esok hari, Dato’ Nik Aziz boleh berubah pendirian bersetuju berpakat dengan UMNO? Sedangkan saya mengetahui pendirian Dato’ Nik Aziz sangat sensitif terhadap UMNO sehingga terbaru dalam isu kerajaan perpaduan seolah nampak percanggahan antara musyidul am dan presiden sebagaimana yang dilaporkan oleh media. Orang yang seperti ini, hendak kata dia boleh merelakan memberikan lampu hijau.

Padahal pada malam 8 Mac 2008, Datuk Husam Musa telefon dari Kota Bharu menyokong usul kami untuk berpegang pada ‘tahaluf siyasiy’ iaitu berfungsi dengan PR, hak demokrasi dan keadilan adalah hak kita untuk berpegang bersama.

Hari esoknya Dato’ Nik Aziz hubungi bersetuju hatta kalau PAS tidak menjadi MB, kita akan teruskan bersama PR. Sampai kepada satu tahap DAP negeri juga sanggup keluar dari DAP pusat jika diminta untuk berbuat demikian. Malah dua hari kemudian, presiden parti menghubungi saya, “Ustaz perlu pastikan ia diteruskan, jangan pedulikan orang lain”.

Benar saya tidak bersetuju dengan UMNO untuk membentuk kerajaan negeri tetapi bukan sebab peribadi saya tetapi sebab dasar parti kerana kami telah membuat keputusan di peringkat negeri. Sudah ada ‘tahalluf siyasiy’ yang diluluskan dari Majlis Syura.

Presiden dan musyidul am turut mengesahkan tindakan kami ini. Malah kami juga diperingatkan tentang kisah Perjanjian Hudaibiyah antara Rasulullah s.a.w dengan kaum musyirikin Mekah, walau ada terma-terma perjanjian berat memihak kepada golongan musyirikin tetapi Rasulullah s.a.w menerimanya untuk strategi dakwah dengan lebih luas lagi dalam suasana damai.
Jadi saya ambil pengajaran ibarat jika bentuk kerajaan bersama PR. Biar dapat jadi
Exco asalkan boleh dekat dengan DAP untuk berdakwah dan kerja-kerja Islam.

MM: Tidakkah ustaz melihat cadan¬gan UMNO untuk beri jawatan MB dan Exco kepada PAS untuk tubuh kerajaan adalah satu kelebihan kepada PAS?
AA: Zahirnya begitu. Tetapi kita ada pengalaman bergabung dengan UMNO pada 1971 selepas kejadian 13 Mei 1969. Tun Abdul Razak menjadi PM dan mengajak PAS duduk bersama untuk menjaga kepentingan Melayu Islam. Jadi PAS masuk semata-mata hendak bekerja untuk Melayu Islam. Tetapi apa yang terjadi kemudian?

Apabila UMNO telah mendapat kekuatan semula, maka PAS ditendang keluar. Makanya pengalaman pahit ini PAS tidak boleh lupa sehingga PAS kalah teruk dalam PRU 1978 dengan hanya tinggal dua kerusi parlimen.

Kali ini PAS ditawar jadi MB, Speaker, lima jawatan
Exco dan empat jawatan Exco lagi dikosongkan. Dato’ Seri Tajol Rosli tidak akan duduk dalam kerajaan. Tetapi kita boleh percayakah empat Exco ini akan terus kosong?

Esok bila dia sudah kuat, dia boleh tarik orang yang duduk dalam pembangkang untuk undi tidak percaya kepada kerajaan pimpinan PAS. Sebab kita sudah melihat apa yang dia buat sehingga berjaya tumbangkan kerajaan Terengganu tahun 1961 namun gagal mengulanginya di Kelantan pada tahun 1968.

Kesimpulannya, kita sudah baca semuanya sebab kita tahu jika betul dia minat kerja Islam dan hendak Pas memimpin kerajaan negeri mengapa tidak mereka menyertai PAS.

Bila saya dihubungi oleh Adun Selama (UMNO), Datuk Daud Yusof, saya menjawab, Dato' bawalah masuk enam orang Adun UMNO ke dalam PAS yang telah ada enam kerusi Melayu (Islam) dan PKR ada tiga kerusi Melayu. Adun UMNO yang lain boleh jadi pembangkang UMNO tetapi kalau dapat 10 masuk PAS lagi baik, Melayu boleh jadi majoriti dengan 16 kerusi mahunya dapat lima kerusi
Exco . Tetapi beliau kata tidak boleh kerana Dato' Tajul Rosli tidak bersetuju. Saya menambah, kalau niat betul hendak beri PAS memimpin ini bukan masalah tetapi nampaklah tawaran tersebut sebenarnya untuk menjaga kepentingan UMNO sahaja.

Sekarang saya cabar, UMNO sudah memerintah dengan 27 Melayu majoriti, dua ADUN Bebas juga Melayu dan hanya dua bukan Melayu, Tan Sri Mufti sepatutnya pergi jumpa MB sekarang (Dato' seri Zambry Kader) dan nasihatilah dia supaya menegakkan Islam kerana jumlah ADUN melayu 93.5%. Bukan bangkitkan isu seperti ini. Punca huru hara, dari awal hingga akhir ialah UMNO langsung tidak boleh menerima kekalahan dalam PRU 12.

MM: Kalau tahun 1971 dahulu, pem¬impin UMN0 yang mengajak PAS bergabung dalam BN adalah generasi yang lepas tetapi tidakkah ustaz terfi¬kir generasi pemimpin UMNO pada hari ini mungkin lebih baik?

AA: UMNO hari ini, bandingkan UMNO zaman Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak dengan zaman Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi apatahlagi zaman Datuk Seri Najib terlalu jauh. Ini diakui sendiri oleh UMNO termasuk veteran parti itu.

Tunku Abdul Rahman menjadi PM walaupun kehidupannya sedikit sosial kebaratan tetapi dialah yang menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim). Tiada sesiapa yang berani bantah sehingga berjaya Islamkan pemimpin MCA, Tun Omar Yoke-Lin Ong. Sekarang cuba kita lihat, pemimpin dalam MCA berani pertikaikan Islam.

Saya masih ingat, cadangan saya di Pusat Islam kepada Tun Razak untuk membawa 10 orang pendakwah dari Libya dan melakukan kerja dakwah. Beliau menyokong dengan berkata “Buatlah apa yang baik, yang tuan-tuan fikir elok untuk kerja-kerja Islam”.

Tetapi bermula dengan Tun Hussein menjadi PM, bila saya menyediakan ucapan perasmian untuk “Musabaqah Quran Tentera”, dia tanya kepada Setiausaha Akhbarnya Datuk Wahab Majid siapa yang buat ucapan ini?

Dia maklumkan kepada saya PM tidak mahu dan menyuruh membuang beberapa isi ucapan yang menyentuh mengenai budaya arak di kalangan tentera walau saya buat secara ilmiah. Sedangkan sebelum itu, saya membuat ucapan Tun Abdul Razak tiada masalah malah ramai memuji ucapan tersebut.

Zaman Tun Mahathir menjadi Menteri Pelajaran, beliau menghentam kepimpinan pelajar di Londan dan UK yang menyalahgunakan kemudahan Malaysian Hall untuk menjadi pusat dakwah yang didakwanya sebagai dakwah songsang.

Saya mempertahankan dengan menjawab bahawa sebelum mereka ini memegang kepimpinan persatuan pelajar, tiap-tiap minggu ada dibuat majlis tari menari dan minum arak di sana. Mengapa kita tidak protes? Jadi mana yang lebih baik antara keduanya?

MM: Apakah pencapaian Pakatan Rakyat dari segi Islam?

AA: Dalam masa 10 bulan sebelum kerajaan PR tumbang, pencapaian kita dari segi Islam antara lain ialah kita berjaya mengambil alih dua sekolah agama kerajaan negeri yang hampir-hampir diserahkan oleh kerajaan BN dahulunya kepada kerajaan pusat.

Apabila Kerajaan Persekutuan menarik balik bantuan per kapita Sekolah Agama Rakyat (SAR), kita menganugerahkan tanah 1,000 hektar untuk dimajukan bagi pembiayaan 18 buah SAR melalui konsortium. Sama seperti sekolah Cina swasta juga 1,000 hektar, walau ada 8 buah sekolah tetapi bilangan pelajarnya lebih ramai daripada 18 buah SAR. Dahulu mereka dapat bantuan RM30,000 tahunan sedangkan SAR tiada bantuan kerajaan langsung.

MM: Mufti kata beliau tidak dapat memberi nasihat kepada kerajaan Pakatan Rakyat walaupun dia dilantik sebagai seorang Exco.

AA: Sejak 10 bulan kita berkuasa, mesyuarat tidak pernah diputuskan dengan undi guna angkat tangan. Kita berbincang secara secara syura dan konsensus. Apa jua perkara penting, mesti dibincangkan dahulu di peringkat pelarasan tiga parti iaitu Majlis Pakatan Rakyat yang diwakili oleh tiga pimpinan kanan dengan dipengerusikan oleh MB.

Contohnya tuntutan DAP mahu perlantikan Timbalan MB untuk orang Cina dan orang India serta perlantikan Kulasegaran sebagai Datuk Bandar Ipoh mewakili orang politik bukan di kalangan pegawai kerajaan seperti kebiasaan namun apabila dibawa ke majlis ini ia digugurkan dengan persetujuan secara syura.

MM: Bagaimana dengan Geran Hal Milik Kekal Tanah 999 Tahun?

AA: Geran kekal 999 tahun untuk kampung tersusun dan kampung baru. Ini adalah termasuk satu daripada 10 tawaran manifesto pilihanraya PAS/PKR yang lalu. 70,000 lot tanah kampung baru Cina dengan keluasan tanahnya hanya melibatkan 3,000 ekar dan lot ini tidak boleh bertambah sejak zaman darurat lagi.

Manakala bagi kampung tersusun yang 80% majoritinya adalah Melayu diluluskan sebanyak 1,002 lot tanah (sebenarnya 102,000) yang melibatkan keluasan 7,000 ekar dan kampung ini boleh ditambah. Tetapi UMNO tidak pernah sebut langsung mengenai kampung tersusun itu dan yang diwar-warkan ke sana ke mari adalah kampung baru cina sahaja.

Tentulah tidak adil kepada orang yang tinggal di kampung baru lebih 60 tahun sehingga ke anak cucu walaupun dia orang Cina, mereka bukan baru datang dari negara China dan tanah itu bukan tanah milik orang Melayu.

Padahal dalam 50 tahun UMNO/BN memerintahlah paling banyak tanah rizab Melayu diambil untuk projek pembangunan dan tidak diganti. Seperti misalnya Syarikat Gula Perak Berhad di kawasan Beruas dan Perak Manjung Simen Berhad yang kini sudah diambil alih YTL, ini syarikat Cina yang dibuat atas tanah rizab Melayu. Begitu juga Pemuda UMNO tidak pula bantah bagi tanah berpuluh ribu hektar yang diluluskan untuk Universiti Tunku Abdul Rahman di Kampar.

MM: Boleh Ustaz jelaskan mengenai hubungan baik dengan para pem¬impin bukan Islam?

AA: Kami dengan orang bukan Islam bukan memberi ‘wala’ iaitu kasih sayang hidup dan mati selagi tiada pengkhianatan tetapi berdasarkan ‘tahaluf’ iaitu berjanji untuk sesuatu tujuan yang baik. Nabi pun bertahaluf tetapi tidak berwala dengan orang Musyirikin dan orang yang menunjukkan jalan hijrah baginda ke Madinah. Itu sebab dalam PAS, diputuskan oleh Majlis Syura Ulama membenarkan kita bertahaluf.


MM: Tapi mufti kata muslimat PAS berkasih sayang dengan Elizabeth Wong, Exco kerajaan Selangor yang dituduh terlibat dalam perbuatan tidak bermoral.

AA: Dalam kes Elizabeth Wong, tidak salah kita menunjukkan simpati kita terhadap orang yang teraniaya. Malah kematian orang kafir Yahudi, Rasulullah s.a.w. menganjurkan kita tunduk sebagai menghormati bani Adam tetapi tidaklah sampai mendoakan mereka masuk syurga. Lagipun dalam konteks politik ini ada seninya sendiri iaitu memenangi hati orang.

Walaupun Tan Sri Mufti mengatakan sudah terang orang itu berbuat maksiat tetapi maksiat ini pun mesti di bawa kes ke mahkamah dahulu, bukan hanya berdasarkan andaian surat khabar, internet dan blog. Bagi orang bukan Islam, kalau bersekedudukan mungkin dalam budaya mereka sekadar tidak baik tetapi tidak boleh ditakrif sebagai maksiat kerana dalam enekmen pentadbiran agama Islam, orang kafir tidak tertakluk pun dengan undang-undang Islam, halal dan haram itu hanya ditaklif kepada orang muslim sahaja. Mufti pun tidak pernah bantah enekmen seperti itu.

Bagaimana pula jika Tan Sri Mufti tidur, kain terselak dan orang ambil gambar, bolehkah dituduh Tan Sri Mufti berbuat maksiat? Itu sudah salah prinsip.

Apabila kita bercakap seperti itu kepada orang bukan Islam maka kita telah meletakkan persepsi zalimnya Islam kepada orang yang bukan Islam. Banyak benda yang Tan Sri Mufti kata sebelum ini yang saya boleh sokong seperti pengharaman ke atas Bollywood dan konsert ‘Sure Heboh’. Tetapi dalam masa kerajaan UMNO/BN memerintah di Perak, mereka tidak pernah laksanakan fatwa mufti Perak itu. Malah apabila ada pemuda PAS menyebarkan risalah membantah konsert itu, mereka pula yang ditahan oleh polis dan mufti tidak berbuat apa-apa pun. Namun bila kerajaan pakatan rakyat memerintah, “Sure Heboh” itu tidak dilaksanakan walaupun mereka telah menetapkan tarikh dan tempatnya kerana mereka menghormati kerajaan Pakatan Rakyat.

Kami (PAS) bersama dengan Mufti Perak. Bila beliau dicabar untuk meletakkan jawatan dalam Perhimpunan Agung Parti Gerakan Wilayah Persekutuan. Saya atas nama Ketua Penerangan PAS ketika itu, dalam kenyataan akhbar dua muka surat memberikan sokongan supaya hal ehwal orang Islam tidak dicampur tangan oleh orang bukan Islam. Cuma kita minta Mufti jangan terlibat dengan politik.

MM: Bagaimana Ustaz melihat peranan Biro Agama UMNO?

AA: Pernah anda dengar Biro Agama Umno mencadangkan apa-apa sekarang? Nama Biro Agama UMNO pun sekarang sudah tidak pernah didengar. Belum pernah ada dalam sejarah pemilihan UMNO, orang berkelulusan Islam tidak mendapat tempat untuk dipilih menganggotai Majlis Tertinggi UMNO seperti yang berlaku hari ini.

Dahulu Tan Sri Datuk Paduka Dr Abdul Hamid Othman, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dan Tan Sri Wan Mokthar Ahmad. Mereka menduduki kerusi pimpinan tertinggi UMNO. Hari ini sudah tidak ada lagi. Mengapa Dato’ Dr Abdullah Mat Zin tidak dilantik sebagai menteri kabinet?

Tun Abdullah Badawi sendiri tidak melantik beliau sebaliknya ambil Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menjawat jawatan Menteri Hal Ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri. Mengapa kini Dato' Seri Najib ambil pula Mejar Jeneral Dato' Jamil Khir Baharom? Nampaknya jawatan ini hanya jadi boneka sebab tidak boleh berbuat apa-apa.


Baca lagi...

Khamis, Julai 31, 2008

UMNO Perak Sekali Lagi Melamar PAS Bentuk Kerajaan

Maksud firman Allah SWT:
“Jika kamu mendapat sesuatu kebaikan, maka mereka menjadi tidak senang kerananya; dan jika kamu ditimpa oleh sesuatu bencana, mereka berkata: “Sesungguhnya kami sebelumnya telah memperhatikan urusan kami”, dan mereka berpaling dengan rasa gembira.” (At-Taubah:50)

Dalam ucapan alu-aluan di majlis perasmian Konvensyen PAS Perak Kali Ke-13 di Ipoh pada 26-27 Julai 2008 yang disempurnakan oleh Dato’ Seri Presiden Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, saya mengulangi lagi ketegasan PAS menolak sebarang rundingan untuk membentuk kerajaan dengan UMNO/BN di Perak. Saya menegaskan bahawa PAS akan tetap bersama Pakatan Rakyat. Saya lihat Dato’ Ngeh Koo Ham, Pengerusi DAP Perak dan Hj Ismail Yusof, Pengerusi Perhubungan PKR Perak, kedua-duanya mengangguk-angguk sambil tersenyum mendengar penegasan saya di hadapan lebih 800 orang peserta konvensyen. Turut hadir dif-dif jemputan dari pimpinan DAP dan PKR, ketua-ketua Kelab Penyokong PAS, wakil-wakil NGO dan Dewan Perhimpunan Cina Perak serta Yayasan Orang Asli Perak (YOP).

Tiba-tiba tak semena-mena sehari selepas konvensyen itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Dato’ Seri DiRaja Mohamad Tajol Rosli mengadakan satu sidang akhbar di Ipoh. Kononnya sebagai respon kepada kenyataan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS yang melontarkan cadangan supaya UMNO dan PAS dibubarkan dan ditubuh satu parti baru berteraskan Islam sekiranya orang Melayu/umat Islam negara ini hendak benar-benar disatukan.

Dalam sidang media itu, Tajol Rosli menawarkan kepada PAS Perak untuk membentuk kerajaan baru bersama UMNO/BN. Beliau bersetuju supaya jawatan Menteri Besar Perak terus dipegang oleh Menteri Besar yang mewakili PAS dalam kerajaan Pakatan Rakyat sekarang. Beliau sendiri tidak akan memegang sebarang jawatan Exco atas alasan supaya tidak dituduh mengontrol kerajaan PAS/UMNO yang dicadangkan itu. Dalam tawaran pada kali ini tidak disebutkan samada jawatan speaker diberi kepada PAS seperti yang pernah ditawarkan dahulunya selain daripada 4 jawatan Exco.

Sebenarnya rakyat Perak umumnya mengetahui bahawa tawaran ini adalah merupakan lamaran kali ke-2 yang dibuat UMNO kepada PAS Perak. Lamaran pertama dibuatnya 138 hari yang lalu sebelum tawaran ke-2 ini. Bezanya lamaran dahulu dibuat melalui agen UMNO yang terdiri daripada pegawai kanan kerajaan negeri, wakil-wakil NGO dan wakil UMNO Pusat yang diketuai oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri dan dilantik sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri (MTPNg) Perak.

Alasan yang diberikan pihak UMNO dalam kedua-dua lamarannya adalah sama sahaja iaitu demi untuk mengukuhkan perpaduan Melayu. Cuma sedikit kelainannya pada kali ini UMNO bersedia memberi ruang kepada PKR dan DAP untuk ikut serta dalam kerajaan yang dinamakan oleh Tajol Rosli sebagai kerajaan PAS-BN. Hujah tambahan beliau ialah untuk mewujudkan kerajaan yang stabil dan kukuh ke arah mencapai wawasan 2020 menjadikan Perak negeri maju.

Saya menerima panggilan telefon dan pesanan SMS bertalu-talu sebaik sahaja sidang media Tajol Rosli itu disiarkan. Tergambar di fikiran saya betapa dedikasinya mantan MB Perak itu merancang hendak menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat yang disasarkan menjelang 31 Ogos ini. Dalam perjalanan pulang ke KL, sempat saya memberi respon kepada beberapa pemberita akhbar berbahasa Cina di Ipoh yang menghubungi saya. Dengan tegas saya katakan: “No way PAS nak sambut tawaran itu”. Sejak awal-awal lagi selepas bulan Mac lalu, PAS Perak tidak bersedia berbincang mengenai tawaran mereka yang serupa. Bahkan saya menolak untuk bertemu dengan Tajol Rosli sebab kami sudah awal-awal bersetuju menyahut mandat rakyat untuk kami membuat perubahan di Perak dengan bersepakat bersama-sama parti PKR dan DAP untuk membentuk kerajaan baru menggantikan BN.

Siang tadi saya terbaca dalam media utama, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beriya-iya benar mendokong tawaran Tajol Rosli. Bahkan beliau menegaskan bahawa UMNO benar-benar ikhlas dalam tawaran kali ini demi untuk mengukuhkan perpaduan Melayu dan kestabilan kerajaan Perak. Beliau menyatakan keyakinannya bahawa saya selaku Pesuruhjaya PAS Perak bersedia menyambut tawaran tersebut kerana menurut beliau suasana dan keadaan sekarang ini berbeza dengan suasana 4 bulan yang lalu ketika saya menolak untuk bertemu dengan beliau yang mewakili Tajol Rosli.

Saya bersetuju keadaan politik di Perak yang dilalui oleh PAS berbeza dengan suasana 4 bulan yang lalu. Dahulunya hubungan PAS dengan DAP agak kurang stabil apabila pihak DAP memboikot perlantikan Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dari PAS menjadi Menteri Besar. Malah pihak PKR juga pada awalnya memboikot upacara angkat sumpah Menteri Besar Perak itu. DAP juga menuntut 2 jawatan Timbalan Menteri Besar Perak. Begitu juga pengagihan jawatan Exco dan portfolionya pernah menimbulkan kontroversi.

Akan tetapi keadaan hari ini amat berbeza kerana bertambah kukuh dan mantap persefahaman di kalangan pimpinan ketiga-tiga parti pakatan dan anggota Exco kerajaan. Kebanyakan perkara-perkara penting yang diputuskan dalam majlis mesyuarat kerajaan adalah manifestasi dari persefahaman dan muafakat yang dicapai secara syura dalam mesyuarat jawatankuasa penyelarasan ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat itu.

Zahid Hamidi selaku Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri (MTPNg) Perak juga berjanji akan memberi peruntukan yang besar sekiranya PAS menerima tawaran mereka kali ini. Bagi saya tawaran ini merupakan sogokan kepada Pakatan Rakyat khususnya kepada PAS. Sebabnya, rakyat telahpun memberi mandat kepada kami untuk membuat perubahan melalui undi rakyat yang diberikan dalam PRU Ke-12 lalu. Mengapa kami yang telah diberi mandat rakyat itu disogok dengan bantuan yang dijanjikan? Kalau jujur untuk mengukuhkan kerajaan Pakatan Rakyat sekarang, laksanakan sahajalah segala rancangan pembangunan yang telah diperuntukkan dalam RMK-9 khususnya Projek Koridor Pembangunan Wilayah Utara Perak yang diperuntukkan berbilion-bilion ringgit itu. Sukar bagi saya hendak mempercayai keikhlasan UMNO seperti yang didakwa oleh Zahid dengan alasan-alasan berikut:
  • Baru sahaja seminggu dua mereka menyerang Menteri Besar Perak dengan fitnah kononnya beliau membuat Perjanjian Pangkor II dengan DAP. Beliau juga dituduh sebagai boneka DAP.

  • Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-12, penggal ke-2, pada akhir Jun 2008 yang lalu, sepanjang persidangan 3 hari mereka menyerang Menteri Besar dan Exco-Exco kerajaan Pakatan Rakyat sebagai tidak layak dan berkemampuan mentadbir negeri.

  • UMNO Perak mengadakan roadshow menyerang PAS Perak dan pimpinannya dengan melemparkan pelbagai cacian dan tuduhan sebagai pengkhianat agama dan bangsa, hatta dalam kursus BTN juga pimpinan PAS dicaci dan dikutuk.

  • Dalam dua majlis Upacara Penyampaian Pungutan Zakat kepada Majlis Agama Islam Perak yang dilakukan oleh Zahid sendiri, Menteri Besar Perak tidak diundang untuk hadir menyaksikannya.

  • Sepanjang 4 bulan yang lalu, tidak pernah UMNO menunjukkan kepercayaan mereka terhadap DAP dan PKR. Tiba-tiba sekarang bersedia pula mengajak kedua-dua parti itu untuk menyertai kerajaan baru yang ditawarkan kepada PAS.

  • Hingga ke hari ini gambar Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ir Hj Muhammad Nizar Jamaluddin tidak dibenarkan digantung di premis-premis yang terletak di bawah kerajaan pusat termasuk di sekolah-sekolah bahkan di Sekolah Menengah Agama Rakyat bantuan kerajaan.

  • RTM Stesen Radio Perak di Ipoh tidak melaporkan berita dan aktiviti Menteri Besar atau kerajaan Pakatan Rakyat kecuali untuk mengelirukan rakyat.

  • Kerajaan Pusat terus melantik Ketua Kampung dan JKKP di negeri Perak padahal kerajaan negeri telahpun melantik Ketua-ketua Kampung yang memang terletak di bawah kuasa kerajaan negeri. Mereka dilantik melalui pemilihan secara demokrasi.

Pada saya tawaran UMNO itu dibuat semata-mata untuk membolehkan mereka berkuasa semula di negeri Perak. Mereka mendakwa mereka masih kuat dengan 27 ADUN UMNO dan 1 MCA. Mengapa mereka tidak boleh memerintah sedangkan PAS hanya mempunyai 6 ADUN tetapi memegang tampuk pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak. Setelah mereka mendapat berkuasa, mereka boleh merancang tipu daya untuk menyingkirkan PAS seperti yang pernah mereka lakukan di peringkat Pusat pada tahun 1978 yang lalu. PAS disingkirkan di atas tuduhan menikam UMNO dari belakang kerana membuka cawangan-cawangan PAS di FELDA dan membawa seorang pemimpin UMNO di Johor menyertai PAS.

InsyaAllah PAS tidak akan dipatuk ular yang sama di lubang yang sama sekali lagi. UMNO Perak bersabarlah menerima keputusan PRU Ke-12 dan teruskanlah tugas anda sebagai pembangkang yang berperanan membina dan menjadi watchdog yang sebenar. Bagaimanapun, jika teringin benar hendak bersama dengan pihak kerajaan, PAS mengalu-alukan secara ikhlas ADUN-ADUN UMNO yang benar-benar hendak membela bangsa dan agama itu menyertai PAS dengan segera tidak terkecuali Dato’ Seri DiRaja Mohamad Tajol Rosli sendiri.


Baca lagi...

Rabu, Julai 16, 2008

UMNO Perak Berbohong dan Menyebar Fitnah untuk Menebus Kekalahan

‘Perjanjian Pangkor II’?
(foto ehsan Muzium Perak)

Maksud firman Allah SWT:
“Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.” (Al-Furqan:63)

UMNO Gunakan Badan NGO
Setelah gagal dalam usaha mereka memujuk PAS dan percubaan menarik beberapa orang ADUN Pakatan, UMNO merancang dan melaksanakan pelan bertindak membuat dan menyebar fitnah dengan menggunakan beberapa kumpulan kecil yang mereka dakwa mewakili badan NGO Melayu Islam di Perak. Mereka merancang perhimpunan besar-besaran kononnya untuk menyatakan bantahan mereka terhadap kerajaan campuran Pakatan Rakyat. Mereka menuduh PAS bersekongkol dengan DAP untuk mengenepikan hak ketuanan Melayu dan mengancam agama Islam demi mendapatkan kuasa. Untuk menarik orangramai, mereka sebarkan risalah yang bertandakan lambang PAS yang dipalsukan. Ini mereka lakukan pada hari-hari pertama mereka kehilangan kuasa. Namun perhimpunan itu gagal mendapat sambutan walaupun media perdana yang dikuasai UMNO/BN mewarwarkan perhimpunan yang gagal itu sebagai satu kejayaan. Semenjak itu timbullah tuduhan-tuduhan dan fitnah yang diatur secara terancang. Kesemuanya cuba memberikan persepsi bahawa Dato’ Seri Haji Mohammad Nizar yang menjadi Menteri Besar adalah boneka kepada DAP Perak yang diketuai oleh Dato’ Ngeh Koo Ham.

Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak Ke-12 pada hujung bulan lalu, mereka melemparkan pelbagai tuduhan dan fitnah terhadap Menteri Besar. Namun strategi serangan mereka memakan diri sendiri apabila isu yang mereka lontarkan disanggah oleh Menteri Besar dan pihak kerajaan. Di luar dewan, Dato’ Ngeh Koo Ham mengeluarkan kenyataan yang jelas bahawa dalam kerajaan Pakatan Rakyat tidak ada mana-mana parti yang mendominasi kerajaan. Beliau menegaskan bahawa setiap keputusan yang diambil dalam majlis mesyuarat kerajaan adalah dibuat secara konsensus. (rujuk kenyataan Pengerusi DAP Perak dalam akhbar The Sun 25 Jun 2008)

Pimpinan UMNO diketuai oleh Tajol Rosli dengan dibantu oleh media arus perdana pro-UMNO terus memainkan pelbagai perkara yang mereka putar belitkan sehingga dilihat sebagai isu yang mencabar kedudukan orang Melayu dan Islam di negeri Perak. Di antaranya, arahan pertukaran jawatan Dato’ Haji Jumry, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIP) dalam tempoh 24 jam yang kemudiannya ditarik balik setelah mendapat nasihat pihak istana. Perkara ini mereka permainkan habis-habisan apabila Karpal Singh mengeluarkan kenyataan menegur raja-raja. Bagaimanapun isu ini selesai apabila DYTM Raja Muda Tuanku Raja Nazrin Shah selaku Pengerusi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak mengeluarkan kenyataan memuji sikap Menteri Besar dalam menangani perkara berkenaan dengan cara yang harmoni dan penuh kebijaksanaan.

Geran Kekal 999 Tahun?
Tuduhan yang boleh mengelirukan rakyat terutama orang-orang Melayu di negeri Perak ialah mengenai tawaran geran pemilikan tanah Kampung-kampung Baru di negeri Perak yang diberikan taraf Pemilikan Kekal selama 999 tahun. Kononnya kerajaan Perak membuat keputusan sedemikan adalah kerana desakan DAP. Perkara seperti ini memang sangat mudah dipermainkan apabila media perdana terus mewarwarkannya, jangankan orang-orang biasa, pemimpin PAS pun ada yang ikut terbawa-bawa dengan propaganda UMNO ini. Ramai orang terkejut apabila Dato’ Mustafa Ali dalam catatan awalnya dalam blog beliau pada bulan lalu secara terbuka menegur Menteri Besar Perak tentang perkara ini. Padahal beliau boleh bertanyakan kepada saya atau memberikan pendapatnya terus tanpa perlu mencatat dalam blognya.

Sebenarnya, cadangan pemberian geran milik kekal kepada Kampung-kampung Baru dan Kampung-kampung Tersusun bukannya datang dari DAP tetapi perkara itu adalah sebahagian dari sepuluh tawaran PAS dan PKR dalam Manifesto BA dalam PRU Ke-12 yang lalu. Semestinya untuk memenuhi janji BA, perkara ini dibawa ke dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri dan dipersetujui oleh DAP. Tidak timbul sama sekali hanya Kampung Baru sahaja yang berhak mendapat geran milik kekal, tetapi Kampung Tersusun juga sama berhak. Bahkan kerajaan juga bersetuju menawarkannya kepada perkampungan Orang Asli. Apapun, tawaran geran milik kekal iaitu pegangan bebas (freehold) itu adalah ditawarkan secara pilihan (option) kerana mereka juga ditawarkan pemilikan pajakan samada 30 atau 60 atau 99 tahun. Kesemuanya bergantung kepada kesediaan dan kemampuan mereka membayar premium atas pemilikan itu.

Bagaimanapun, jika diandaikan kesemua penghuni Kampung-kampung Baru menerima tawaran geran milik kekal atau pegangan bebas, maka kawasan Kampung Baru itu sampai bila-bila pun tidak akan bertambah keluasannya (kira-kira 6,000 ekar) sedangkan Kampung Tersusun yang kini keluasannya kira-kira 7,000 ekar boleh bertambah bila dibuka lagi Kampung-kampung Tersusun pada masa akan datang. Kampung-kampung Tersusun ini hampir seratus peratus penghuninya adalah orang-orang Melayu. Pemimpin-pemimpin UMNO sangat mengetahui perkara ini sebab pada zaman mereka memerintah 50 tahun itulah terbangunnya Kampung-kampung Tersusun sedangkan Kampung Baru wujud pada zaman penjajah semasa darurat kerana ancaman komunis. Dalam hal ini saya sukalah mengingatkan semua pihak khasnya orang Melayu bahawa sepanjang UMNO/BN berkuasa di Perak, mereka telah mengorbankan puluhan ribu ekar Tanah Rizab Melayu untuk kepentingan golongan tertentu atas nama pembangunan. Sebagai satu contoh, kira-kira 7,000 ekar Tanah Rizab Melayu di kawasan Beruas telah dikorbankan untuk membangun Gula Perak Berhad. Hari ini apa sudah jadi dengan syarikat itu, adakah ia mati tanpa kubur? Inilah yang patut rakyat tanya pimpinan UMNO seperti Dato’ Seri DiRaja Tajol Rosli.

UMNO Mencipta Fitnah ‘Perjanjian Pangkor II’
Fitnah terbaru ialah ‘Perjanjian Pangkor II’ yang direka oleh pemimpin-pemimpin UMNO untuk menimbulkan pelbagai fitnah lagi, samada untuk tujuan memecahbelahkan antara PAS dengan rakan Pakatan Rakyat atau untuk menimbulkan keresahan atau pertelingkahan di antara pimpinan PAS dengan ahli-ahli grassrootnya. Untuk menegakkan fitnah ini seolah-olah satu fakta yang benar, UMNO Perak terpaksa mendapatkan pandangan seorang tokoh undang-undang dan perlembagaan UMNO yang dianggap sebagai pakar iaitu Dato’ Seri Rais Yatim yang juga Menteri Luar. Padahal pakar undang-undang mereka inilah yang bertanggungjawab melepaskan Pulau Batu Putih kepada Singapura kerana tidak berjaya menegakkan hujah Malaysia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Padanlah Malaysia kalah, kerana dalam fitnah yang direka UMNO inipun beliau memberikan pendapatnya berasaskan andaian semata-mata seperti yang beliau sendiri sebutkan. (rujuk Utusan Melayu 9 Julai 2008)

Ada pula di antara pemimpin UMNO mengatakan perjanjian itu dimeterai di Pulau Pangkor di antara Hj Nizar dan DAP (masyaAllah!). Inilah bukti yang menunjukkan mereka meraba-raba di dalam mencipta fitnah tersebut. Ke sana-sini mereka mewarwarkan bahawa kerana ‘Perjanjian Pangkor II’ itu Menteri Besar Haji Mohammad Nizar tidak boleh menyebut perkataan-perkataan Islam dan istilah Islam seperti hudud, qisas dan seumpamanya. Terlampau dangkal nampaknya pemikiran pemimpin-pemimpin UMNO mencari modal untuk membuat fitnah. Mereka cuba menggambarkan PAS Perak kononnya mengkhianati perjuangan dan jihad menegakkan Islam. Fitnah ini turut dijual dalam ceramah-ceramah kursus-kursus BTN kepada peserta-peserta dari kalangan guru-guru agama SMABK baru-baru ini.

Begitu juga dalam suatu perhimpunan belia di Padang Rengas baru-baru ini yang turut dihadiri oleh Dato’ Seri Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mereka memperalatkan seorang abang kepada Menteri Besar Perak, Fadhil Jamaluddin, yang bertugas sebagai seorang pensyarah di sebuah pusat pengajian tinggi di Kedah. Beliau menuduh adiknya Dato’ Seri Nizar tidak layak menjadi Menteri Besar kerana kononnya sentiasa tunduk kepada DAP akibat dari ‘Perjanjian Pangkor II’ yang didakwa oleh UMNO.

Demikianlah UMNO terus memfitnah dan mengharapkan dari ‘Perjanjian Pangkor II’ yang mereka reka-rekakan itu akan memberikan kesan negatif kepada kerajaan Pakatan Rakyat. Tetapi mereka agak kecewa apabila lontaran fitnah ‘Perjanjian Pangkor II’ yang mereka permainkan di tengah-tengah rakyat, ianya begitu mudah ditendang keluar padang oleh Menteri Besar dan Pengerusi DAP Perak apabila kedua-duanya menafikan kewujudan perjanjian yang UMNO fitnahkan itu. Realiti yang disaksikan oleh rakyat dalam tempoh 3 bulan Menteri Besar menerajui Pakatan Rakyat, beliau tidak pernah lupa menyebut ayat-ayat Al-Quran dan istilah-istilah Islam samada dalam ucapan rasmi atau dalam ceramah umum. Bahkan setiap kali Mesyuarat Exco pun, beliau memulakan dengan bacaan Al-Fatihah dan tahmid serta salawat. Tidak pernah mana-mana Exco DAP membantah atau persoalkannya. Bukan itu sahaja, malah saya sendiripun ketika mempengerusikan mesyuarat di antara ketiga-tiga parti, berbuat demikian juga dan menutup mesyuarat dengan bacaan Tasbih Kifarah dan Surah Al-‘Asr. Tiadapun sebarang masalah.

Kononnya Menteri Besar tidak berani menyebut istilah syariat Islam seperti hudud dan qisas. Saya fikir eloklah pemimpin UMNO cermin muka mereka dulu. Bukankah UMNO yang paling keras menentang hudud dan qisas yang diperkenalkan oleh kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu sebelum ini.

Bercakap fasal kedudukan Islam dan kepentingannya di negeri Perak, saya kemukakan pertanyaan kepada UMNO, bukankah kerajaan UMNO/BN yang membunuh Sekolah Agama Rakyat di negeri Perak? Bahkan Sekolah Agama Negeri yang hanya ada dua buah (Izzudin dan Raja Ta’yah) itupun telah diputuskan oleh kerajaan UMNO/BN Perak yang lalu untuk diserahkan kepada Kerajaan Pusat. Alasannya kerajaan negeri Perak tidak mampu membiayainya. Nasib baik kerajaan Pakatan Rakyat sempat menarik balik keputusan itu sebelum penyerahan rasmi dilakukan. Kini hanya tinggal beberapa buah Sekolah Agama Rakyat di Perak yang terselamat. Baru-baru ini juga Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk membantu sekolah-sekolah tersebut. DAP tidak teragak-agak menyokongnya.

Sementara itu pelbagai perancangan sedang disusun oleh kerajaan Pakatan Rakyat untuk menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan ummah seperti yang pernah dititahkan oleh DYMM Sultan. DAP tak bangkang pun. Begitu juga pemilihan Ketua-ketua Kampung seramai lebih dari 700 orang secara demokrasi yang hampir seratus peratus terdiri dari orang Melayu, pun tidak dipertikaikan langsung oleh DAP.

Satu perkara yang UMNO patut tahu bahawa DAP sebagai rakan sepakat dalam kerajaan Pakatan Rakyat sentiasa menerima keputusan yang dibuat secara syura (konsensus) oleh pemimpin ketiga-tiga parti pakatan. Sebagai contoh, jawatan Datuk Bandar Ipoh dipersetujui secara syura supaya jawatan tersebut dipegang oleh penjawat awam, bukan ahli politik seperti yang dihasratkan oleh DAP. Pemimpin DAP menerima dengan senang hati keputusan ini. Bahkan semenjak awal-awal perlantikan Menteri Besar tiga bulan yang lalu, pimpinan DAP tidak bermasalah menerima keputusan syura kami supaya tidak diwujudkan jawatan Timbalan-timbalan Menteri Besar dari kalangan orang bukan Melayu yang pernah diura-urakan oleh DAP.

Inilah sebahagian daripada realiti yang menjadi bukti bahawa fitnah ‘Perjanjian Pangkor II’ itu adalah rekaan yang memakan diri UMNO sendiri.


Baca lagi...

Selasa, Julai 15, 2008

UMNO Perak Tak Sanggup Terima Kekalahan


Maksud firman Allah SWT:
“Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman.” (Al-Anfal:62)

Jerit pekik dan suasana gempar berlaku di kediaman mantan Menteri Besar Perak di Jalan Raja Dihilir, Ipoh pada malam 8 Mac 2008. Dato’ Seri DiRaja Tajol Rosli dan isterinya Datin Seri Kamariah di antara mereka yang seperti sesak nafas apabila keputusan PRU Ke-12 yang diumumkan menunjukkan UMNO/BN hanya memenangi 28 kerusi DUN Perak, manakala selebihnya 31 kerusi dimenangi oleh parti-parti pembangkang PAS-PKR-DAP.

Pada waktu yang sama di ibupejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Perak di Jalan Medan Istana 2, Ipoh Raya, kami pimpinan PAS dan PKR (BA) berunding untuk menimbangkan tawaran DAP bagi membentuk kerajaan campuran. Akhirnya kira-kira jam 2 pagi (9 Mac), kami berenam dari pimpinan PAS, PKR dan DAP membuat sidang media di ibupejabat DAP (yang terletak kira-kira hanya 100 meter jaraknya dari ibupejabat PAS) dan mengumumkan persetujuan bersepakat membentuk kerajaan campuran di antara ketiga-tiga parti yang kami namakan pada ketika itu Barisan Rakyat (kini dinamakan Pakatan Rakyat).

UMNO tidak sanggup menerima kekalahan kerana parti itu memenangi hanya 27 kerusi dari 35 kerusi yang mereka bertanding di kawasan majoriti Melayu menentang PAS dan PKR. Bermula dari saat itu UMNO berusaha dengan begitu yakin untuk membentuk kerajaan melalui pelbagai cara dan pendekatan. Pada mulanya mereka menawarkan puluh jutaan ringgit kepada beberapa orang ADUN PAS supaya melompat parti dan menyebelahi mereka. Orang yang pertama mendapat tawaran rasuah itu ialah ADUN Pasir Panjang yang menjadi menjadi Menteri Besar Perak sekarang.

Bila gagal berbuat demikian, mereka mengajak PAS Perak membentuk kerajaan campuran dengan UMNO/BN. Pelbagai pihak digunakan sebagai agen mereka menemui saya selaku Pesuruhjaya PAS Perak. Bahkan ada agen mereka yang menemui Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Mereka gunakan beberapa orang mufti, pegawai tinggi kerajaan negeri, pertubuhan NGO dan seorang ADUN BN yang ada hubungan keluarga dengan saya. Namun Tajol Rosli sendiri tidak sanggup berhubung terus dengan saya walaupun saya ada dijemput untuk bersemuka dengan beliau.

Tajol Rosli terus berbincang bersama pimpinan UMNO untuk memujuk PAS walaupun pada kira-kira jam 4 petang 10 Mac kami pimpinan dari ketiga-tiga parti Pakatan telah diterima mengadap oleh DYTM Raja Muda Tuanku Raja Nazrin Shah di Istana Kinta. Saya selaku ketua rombongan pakatan kemudiannya mengadakan sidang media di ibupejabat PAS selepas selesai mengadap DYTM Raja Muda. Turut hadir ialah YB Dato’ Husam Musa, Naib Presiden PAS. Dalam sidang media itu saya menjelaskan bahawa sekiranya Menteri Besar Perak dilantik dari pimpinan PAS, maka ia bukanlah kerajaan PAS, begitu juga sebaliknya. Yang paling penting bahawa kerajaan campuran yang akan dibentuk adalah mengikut perlembagaan negeri Perak. YB Dato’ Husam juga turut memberikan penjelasan mengapa PAS bersepakat membentuk kerajaan campuran dengan DAP dan PKR.

Sidang Media PAS Perak pada 10 Mac 2008
(video ehsan TheStarOnline.tv)

Kesempatan Terbuka Bila
Upacara Angkat Sumpah MB Tertunda

Pimpinan UMNO semakin gelabah, mereka terus berusaha untuk menggagalkan pembentukan kerajaan campuran Pakatan Rakyat. Mereka melihat kesempatan terbuka apabila upacara mengangkat sumpah Hj Nizar selaku Menteri Besar pada 13 Mac terpaksa dibatalkan kerana bantahan dari ADUN-ADUN PKR. Kali ini mereka menggunakan agen dari Kuala Lumpur. Seorang pemimpin tertinggi UMNO yang berasal dari Perak dan seorang pegawai tinggi kerajaan Pusat yang isterinya berasal dari Perak bersungguh-sungguh mencuba untuk menemui saya untuk berbincang. Kedua mereka disertai oleh rektor sebuah kolej pengajian tinggi negeri Perak. Pemimpin tertinggi UMNO tersebut yang kami telah lama berkenalan dan kini menjadi salah seorang Menteri Kabinet sempat berbual dengan saya melalui telefon meminta saya bertemu empat mata dengan beliau. Bagaimanapun saya mempunyai beberapa jadual pertemuan dengan pimpinan PAS kawasan Bagan Serai dan Taiping dan saya tidak dapat berjanji untuk memberi masa kepada beliau.

Namun akhirnya beliau dan rombongannya sampai ke tempat penginapan saya di Balai Kuliyyah Tasawwur Islami, Simpang Empat Semanggol tetapi gagal menemui saya kerana tempat penginapan kami dikawal ketat oleh pasukan Unit Amal dengan dibantu oleh dua buah kereta peronda PDRM. Peristiwa itu berlaku pada jam 9 malam 16 Mac. Esok hari selepas upacara angkat sumpah Menteri Besar selesai, saya ditemui oleh seorang agen UMNO yang menunjukkan mereka belum berputus asa memujuk kami untuk membentuk kerajaan campuran bersama BN atas alasan ahli-ahli Exco belum dilantik.

Kemudian pada 29 Mac, 10 orang ahli Exco kerajaan Pakatan Rakyat mengangkat sumpah. Pimpinan UMNO segera mempertikaikan perlantikan tersebut kerana Exco-Exco berkenaan tidak diumumkan portfolio jawatan masing-masing. Sebenarnya MB Dato’ Seri Haji Mohammad Nizar sengaja menangguhkan pengumuman mengenai pembahagian portfolio di antara Exco-Exco berkenaan, walaupun keputusan mengenainya telah dicapai setelah kami pimpinan ketiga-tiga parti bermesyuarat beberapa kali. Kami berpendapat adalah lebih harmoni pengumuman dibuat setelah keputusan tersebut disahkan dalam sidang mesyuarat pertama Exco tersebut.

UMNO cuba ambil kesempatan lagi menuduh kononnya Menteri Besar menyerahkan Portfolio Kewangan kepada Exco kanan DAP Dato’ Ngeh Koo Ham. Tuduhan itu mereka sebarkan melalui ceramah penerangan UMNO Perak dalam ‘roadshow’ mereka ke seluruh negeri. Padahal kami telah bersepakat bahawa Menteri Besar memegang Portfolio Kewangan, Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Pembangunan Ekonomi, Keselamatan dan Pembangunan Luar Bandar.

Tipudaya Tidak Menjadi
Akhirnya, semua tipudaya dan percubaan mereka satu semi satu tidak menjadi. Bermula dengan memainkan isu perkauman dan agama, kemudian menghasut rakyat dengan membangkitkan hak ketuanan Melayu dan percubaan melaga-lagakan Menteri Besar dengan pihak istana. Kesemuanya tidak dapat memenuhi hasrat mereka yang sedang dilanda oleh perasaan mabuk kuasa akibat kekalahan UMNO/BN, yang mereka anggap tsunami politik negara.

Habis apa langkah seterusnya? Lakukan gerakan perang saraf terhadap kerajaan Pakatan Rakyat dan parti-parti pakatan. Maka UMNO kembali semula kepada taktik dan pendekatan menawan ADUN Pakatan Rakyat. Kini sasaran mereka adalah ADUN DAP. Beberapa orang ADUN DAP kononnya secara sukarela bersetuju akan melompat kepada BN. Maklumat yang kami perolehi dari sumber yang kami percayai, agen-agen UMNO yang ditugaskan untuk membeli ADUN-ADUN berkenaan telah mengaturkan rundingan tawar-menawar di sebuah negara jiran. Bagaimanapun pimpinan DAP telah mengambil beberapa tindakan dalaman dan membuat laporan polis serta memaklumkan perkara ini kepada BPR.

Saya yakin amat sukar bagi ADUN-ADUN Pakatan Rakyat untuk melompat keluar parti kerana setiap ADUN Pakatan Rakyat telah menandatangani surat perjanjian masing-masing dengan DYMM Sultan Perak pada 13 Mac 2008 di Istana Kinta. Bolehlah ianya dinamakan ‘Perjanjian Kinta 2008’. Perjanjian itu mengandungi ikrar setiap ADUN Pakatan Rakyat (seramai 31 orang) bahawa mereka secara sukarela bersetuju mendokong penubuhan kerajaan campuran PAS-DAP-PKR dan bersetuju atas perlantikan Haji Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar yang kesepuluh.

Implikasi melanggar surat perjanjian ini boleh menyebabkan ADUN berkenaan dianggap menderhaka kepada sultan. Kecuali ke mana parti pun mereka melompat mereka tetap menyokong kerajaan pakatan Pakatan Rakyat sebagai tanda kesetiaan mereka kepada sultan. Tapi jika keadaan seperti ini berlaku UMNO/BN tidak akan mendapat apa-apa peluang untuk membentuk kerajaan. Bahkan sebaliknya sekiranya ADUN-ADUN yang melompat itu berani mengambil tindakan menyertai ADUN BN untuk membentuk kerajaan maka bukan saja mereka akan mengadapi masalah besar dengan pihak istana, malah pimpinan UMNO sendiri boleh dianggap bersubahat dengan penderhakaan kepada sultan. Beranikah UMNO mengambil risiko besar ini, hanya Dato’ Seri DiRaja Tajol Rosli dan rakan-rakannya sahaja yang boleh menjawab.


Baca lagi...

Jumaat, Jun 27, 2008

Perangai Ketua Pembangkang dan ADUN-ADUN UMNO/BN Perak Amat Memalukan Orang Melayu


Walaupun saya berada di Kuala Lumpur semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-12 yang berlangsung selama 4 hari (24-27 Jun 2008), saya tetap dapat mengikuti agenda perbahasan dan pergulungan setelah Paduka Seri Sultan Perak menyampaikan titah Ucapan Perasmian membuka sidang tersebut pada hari pertamanya. Ini adalah kerana persidangan itu dapat disaksikan secara langsung melalui ‘video streaming’ di laman web yang julung-julung kalinya pernah dilakukan kerajaan negeri Perak. Tahniah kepada kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang mengambil inisiatif bagi memudahkan rakyat negeri Perak khasnya, dan masyarakat umum di seluruh negara amnya dapat mengikuti persidangan tersebut.

Pada mulanya saya menjangka ADUN-ADUN BN yang terdiri dari 27 orang mewakili UMNO dan seorang mewakili MCA pastinya akan memberikan pandangan-pandangan dan cadangan-cadangan yang bernas dan membina. Ini memandangkan sebahagian besar mereka yang kini menjadi anggota pembangkang, dahulunya adalah merupakan pemimipin-pemimpin dalam kerajaan. Namun saya amat terperanjat dan kecewa dengan kerendahan pekerti dan budi bahasa mereka serta sikap sombong dan bongkak mereka, setelah menyaksikan hampir kesemua ADUN-ADUN UMNO dan ADUN tunggal MCA yang berpeluang bercakap atau berhujah dalam persidangan itu. Hampir tidak ada pandangan dan cadangan yang bernas dan membina diutarakan, melainkan cacian, tohmahan dan penghinaan yang silih berganti dilemparkan terhadap Dato’ Seri Haji Mohammad Nizar Jamaluddin selaku Menteri Besar dan juga terhadap beberapa orang Exco dari DAP dan PKR.

Pada saya, Dato’ Seri DiRaja Mohamad Tajol Rosli Ghazali sebagai seorang yang pernah memimpin kerajaan sebagai Menteri Besar selama kira-kira 8 tahun 3 bulan atau kira-kira 3,010 hari, sudah pastinya beliau amat memahami selok-belok persidangan dan menghafal peruntukan-peruntukan peraturan mesyuarat, tetapi rupanya beliaulah yang menjadi ‘hulubalang’ memimpin ‘laskar-laskar’nya yang sebahagiannya sudah terkenal dengan perangai dan kelakuan ‘gedebe’ mereka.

Sepanjang ucapannya, hampir satu jam beliau menghalakan ‘tikaman’ kepada PAS khususnya kepada Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Haji Mohammad Nizar Jamaluddin dan mensasarkan pula kepada DAP khususnya kepada ADUN Sitiawan, Dato’ Ngeh Koo Ham dan ADUN Pantai Remis, Nga Kor Ming.

Ucapan tersebut yang sewajarnya untuk menyokong titah ucapan Paduka Seri Sultan Perak telah dijadikan alat untuk melepaskan geram dan dendam kesumatnya dengan membangkitkan isu remeh temeh yang telahpun basi dan tidak laku dijual kepada rakyat selama kira-kira 3 bulan diarak ke sana ke mari dalam ceramah UMNO yang dibantu oleh alat media mereka seperti Utusan Melayu.

Beliau membangkitkan isu Menteri Besar Perak ada membuat kenyataan kononnya Tajol Rosli tidak bersalam dengannya, sedangkan isu sebenarnya Menteri Besar Perak menjelaskan Tajol Rosli tidak bersedia melakukan serahan tugas secara rasmi seperti yang dilakukan oleh bekas Menteri Besar Selangor, Kedah dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.

Saya cukup mengetahui dalam perkara ini. Memang Tajol Rosli enggan melakukan serahan tugas secara rasmi sehingga ke hari ini walaupun pernah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri menghantar surat kepada beliau mengenai perkara berkenaan. Justeru, apabila beliau mengatakan dalam ucapannya dalam persidangan dewan itu bahawa Menteri Besar yang ada ini adalah Menteri Besar beliau dan kerajaan yang ada ini adalah kerajaan yang beliau mengiktirafnya, bagi saya ianya adalah semata-mata skrip sandiwara atau lakonan drama, kerana dalam beberapa minit sahaja selepas itu, beliau menghina Menteri Besar dengan berbagai-bagai ungkapan kata yang mengaibkan peribadi Dato’ Seri Haji Mohammad Nizar.

Kalau sudah demikian rupa pekerti Ketua Pembangkang, tidak hairanlah jika pengikut-pengikutnya berkelakuan lebih teruk lagi. Saya tidak dapat menyifatkan betapa memalukan kelakuan dan tutur kata ADUN-ADUN seperti ADUN Kubu Gajah, Dato’ Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar; ADUN Kota Tampan, Dato’ Saarani Mohamad; ADUN Sg. Rapat, Hamidah Osman dan ADUN Pangkor, Datuk Dr Zambry Abd Kadir, cuma beliau kelihatan ada sedikit ‘humor’ mungkin kerana beliau seorang berkelulusan PHD.

Apapun, nampaknya kesemua ADUN-ADUN UMNO/MCA dalam Barisan Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Perak hari ini boleh dikelaskan dalam satu kategori sahaja iaitu kelas ‘kebudak-budakkan’ seperti yang disifatkan oleh Yang Dipertua Dewan, V Sivakumar, ketika mengulas tindakan mereka memboikot sidang DUN Perak sepanjang hari ketiga semalam (Khamis).

Satu hal yang saya perhatikan sifat membalas dendam yang bersarang dalam hati mereka terhadap beberapa orang Exco kerajaan Pakatan Rakyat yang dahulunya menjadi pembangkang seperti Dato’ Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming. Berulang-ulang kali ADUN-ADUN UMNO membangkit-bangkit nama kedua-dua Exco berkenaan yang dalam masa kerajaan yang lalu merupakan anggota pembangkang yang kononnya bersikap lebih teruk dari apa yang dilakukan oleh ADUN-ADUN pembangkang sekarang. Perbuatan ini seolah-olah menjustifikasikan sikap buruk ADUN-ADUN UMNO itu di dalam persidangan tersebut.

Saya nak bertanya khususnya kepada Dato’ Seri DiRaja Tajol Rosli, apa dosanya Dato’ Seri Haji Mohammad Nizar, ADUN Pasir Panjang yang diperkenan dan diangkat sumpah oleh Paduka Seri Sultan Perak sebagai Menteri Besar sekarang, sehingga beliau boleh dihina dan dicabar begitu rupa? Beliau bukan sahaja tidak pernah duduk sebagai ADUN di dalam dewan pada masa yang lalu, malah 3 orang ADUN PAS di dalam Dewan Undangan Negeri Perak yang menang dalam PRU Ke-10 (1999) dulu dan menjadi anggota pembangkang ketika itu tidak pernah melakukan serangan-serangan peribadi, apalagi melemparkan tuduhan dan fitnah kepada Dato’ Seri DiRaja Tajol Rosli atau pemimpin-pemimpin kerajaan negeri Perak ketika itu.

Sebab itulah tidak keterlaluan bila saya katakan Barisan Pembangkang dari ADUN-ADUN UMNO yang diketuai oleh Tajol Rosli hari ini mempunyai sifat dendam kesumat dalam hati mereka terhadap kerajaan Pakatan Rakyat hari ini. Ini dapat dibuktikan dengan jelas apabila setiap kali mereka menyebut nama kerajaan, mereka hanya sanggup menyebut Kerajaan Campuran DAP-PKR-PAS. Mereka tidak sanggup menyebut nama kerajaan Pakatan Rakyat kecuali jika mereka hendak mengaitkan dengan ‘Pakatan Rapuh’. Bahkan ada di antara ADUN UMNO yang menyebutkan dalam ucapannya bahawa kerajaan yang ada sekarang adalah Kerajaan Campuran yang diterajui oleh DAP. Ertinya mereka sengaja hendak mengelirukan rakyat bahawa kerajaan Pakatan Rakyat hari ini bukan diterajui oleh Menteri Besar dari PAS, ataupun mereka memang sengaja membutakan mata hati mereka sendiri semata-mata untuk melepaskan dendam dan memuaskan nafsu amarah mereka. Apakah mereka tidak menyedari langsung bahawa setiap gerak geri, perkataan, malah mimik muka menunjukkan marah dan kebencian mereka dapat disaksikan dengan jelas dalam tayangan video secara langsung ke seluruh dunia? Mungkinkah kerana mereka tidak pernah menggunakan teknologi ICT seperti yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat sekarang ini maka mereka benar-benar buta IT lalu tidak mengetahui akibat dari perangai mereka itu.

Semua kelakuan dan perangai ADUN-ADUN pembangkang seramai 28 orang yang mewakili majoriti masyarakat Melayu dari 27 kawasan DUN menunjukkan belang mereka yang sebenar bahawa mereka sama sekali tidak memperjuangkan hasrat rakyat apalagi untuk membela apa yang mereka dakwa ‘ketuanan Melayu’ itu, kerana perangai mereka sendiri pun tidak menggambarkan budi bahasa dan adab sopan orang Melayu. Apatah lagi nak dikatakan memperjuangkan Islam, jauh panggang dari api.


Baca lagi...

Khamis, Jun 12, 2008

Menjelang 100 Hari Pakatan Rakyat Memerintah


Sempena menjelangnya 100 hari Pakatan Rakyat memerintah lima buah negeri di Malaysia, mari kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadhrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izinNya dapat kita menyambutnya dengan serba sederhana, tetapi penuh pengertian bahawa kita telah mampu melalui hari-hari getir dengan penuh cabaran.

InsyaAllah dengan izin dan pertolonganNya juga kita akan dapat terus memikul amanah dan melaksanakan tanggungjawab terhadap Allah dan rakyat walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan ujian.

Atas nama Naib Presiden dan Pesuruhjaya PAS Perak dan bagi pihak pimpinan Badan Perhubungan Negeri serta ahli PAS seluruhnya saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan Pakatan Rakyat Perak.

Pertamanya, kita menjunjung kasih atas kepercayaan DYMM Sultan Perak memberikan perkenan kepada Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dan para anggota exconya untuk menubuhkan kerajaan Pakatan Rakyat yang menjelang usia 100 harinya kini.

Saya yakin hubungan baik dan kerjasama serta saling mengerti di antara DYMM Sultan Perak dengan kerajaan Pakatan Rakyat akan berterusan, maka dengan itu kerajaan baru ini akan dapat memikul amanah menjalankan tanggungjawabnya mentadbir negeri Perak dengan jayanya.

Keduanya, bagi pihak pimpinan PAS Perak, saya mengulangi ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakyat Perak, khususnya para pengundi yang mengundi calon-calon PAS dan parti rakan dalam Pakatan Rakyat pada 8 Mac lalu hingga beroleh kemenangan. Dengan itu, saya yakin, walau apa keadaan pun, Kerajaan Pakatan Rakyat tidak akan melupakan mereka, malah sentiasa berada di tengah-tengah mereka mengharungi kehidupan susah dan senang.

Ketiganya, kami menyeru seluruh rakyat Perak, tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama, tampil bersama-sama membantu dan memberikan sokongan kepada kerajaan Pakatan Rakyat, supaya seluruh agenda dan gerak kerjanya untuk kepentingan rakyat akan terlaksana dengan berkesan. Yakinlah, pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat akan dapat menunaikan tanggungjawabnya, bagi menjamin hak-hak rakyat Perak dapat dinikmati dengan saksama kerana ianya dilaksanakan berasas kepada lima prinsip yang telah diumumkan oleh MB Perak sebaik beliau dilantik menjawat jawatan tersebut pada 17 Mac yang lalu. Lima prinsip tersebut ialah beramanah, adil, telus, berintegriti dan berkebajikan.

Kita sedar bahawa inilah pertama kali selepas lebih 50 tahun merdeka, negeri Perak mempunyai kerajaan bukan dari Barisan Nasional (sebelumnya Perikatan). Justeru bukan mudah untuk membuat perubahan dari semua segi untuk kepentingan rakyat. Namun begitu, menilai 100 hari Pakatan Rakyat memerintah, ia telah dapat menyesuaikan diri dan beransur-ansur membuat perubahan serta terus merapatkan diri kepada rakyat melalui berbagai-bagai langkah dan tindakan.

Tentunya semua ini dicapai, antaranya, hasil daripada kerjasama erat exco-exco dan Adun-adun ketiga-tiga parti rakan pakatan. Juga hasil daripada kesetiaan dan kerjasama erat sebahagian besar pegawai serta kakitangan kerajaan yang bersikap profesional dan penuh pengertian bersama-sama menjayakan gerak kerja kerajaan baru ini. Kerjasama erat seperti ini sewajarnya dapat diteruskan walaupun ada segelintir yang masih cuba melakukan halangan dan tidak profesional dalam menjalankan tugas mereka.

Selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, saya suka menyeru semua Adun dan Ahli Parliman PAS dari Perak agar memberikan khidmat cemerlang kepada rakyat dan di samping itu bersama-sama bekerja keras memperkukuh parti. Pimpinan PAS Perak berazam akan memperkasa jamaah dan meningkatkan aspek tarbiyah di kalangan ahli yang menjadi urat nadi kepada jamaah Islam seperti PAS. Di samping itu, akan juga menggerakkan pelbagai lajnah PAS Perak. Semua gerak kerja ini selaras dengan usaha kita memperkukuh kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

Sekali lagi saya mengingatkan kepada seluruh warga PAS bahawa mereka perlu mengubah corak minda (mindset), iaitu kalau dulu mereka berfikir sebagai pembangkang, maka kini mereka mesti berfikir sebagai pendokong kerajaan di lima negeri. Tentunya tugas mereka yang utama ialah membantu kerajaan Pakatan Rakyat menjayakan kerajaan baru ini serta membantu memberikan penerangan akan dasar-dasar serta wawasan kerajaan.

Di samping itu, mereka juga hendaknya sama-sama membantu rakyat dalam semua hal bagi menyelesaikan masalah mereka. Untuk itu ahli PAS mestilah bersama-sama membantu wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat menjalankan tugas demi untuk kepentingan rakyat. Pusat-pusat khidmat wakil rakyat pakatan di kawasan yang mereka memenanginya, hendaklah sentiasa memberikan perkhidmatan yang cemerlang dalam menangani masalah rakyat dan menyampaikan mesej kerajaan. Begitu juga di kawasan-kawasan DUN yang belum dimenangi, bekas-bekas calon pakatan rakyat hendaklah membuka pusat-pusat perkhidmatan yang sama untuk membantu menangani masalah rakyat dan mendengar serta menerima aduan-aduan.

Oleh kerana kita akan menghadapi pilihan raya umum setiap lima tahun sekali, maka secara tradisi dan lojiknya kita akan meminta mandat kembali dari rakyat lima tahun dari sekarang. Justeru itu kita mestilah berusaha bersungguh-sungguh menunaikan janji yang dirakam dalam manifesto pilihan raya Pakatan Rakyat tempoh hari.

Tidak syak lagi, jika kita telah memenuhi janji dan rakyat melihat komitmen kita untuk membela mereka dalam semua aspek kehidupan, insyaAllah, mereka akan memberikan kita mandat lagi dalam pilihan raya umum akan datang. Itu harapan kita. Moga-moga Allah Merestui dan Meredhainya.


Baca lagi...

Khamis, Mei 29, 2008

Kemenangan 6 Kerusi DUN, PAS Perak Menjana 6 Kemenangan Lagi


Selaku Pesuruhjaya PAS Perak, kira-kira 2 minggu yang lalu saya telah menyampaikan ucapan di Majlis Taklimat MB yang diadakan di dewan serbaguna Kediaman Menteri Besar Perak. Majlis tersebut dihadiri oleh kira-kira 700 orang, anggota pimpinan PAS peringkat negeri, kawasan dan cawangan. Dalam ucapan tersebut saya menegaskan bahawa pencapaian PAS dalam Pilihanraya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu dengan memenangi 6 kerusi Dewan Undangan Negeri telah memberikan PAS 6 kemenangan yang sangat bermakna bagi PAS negeri Perak.

INTISARI kemenangan yang saya huraikan dalam ucapan adalah seperti berikut:

  1. Kemenangan menubuhkan kerajaan campuran PAS-DAP-PKR yang kini dinamakan kerajaan Pakatan Rakyat. Perbincangan dibuat di antara ketiga-tiga parti pada kira-kira jam 1 pagi selepas pengumuman keputusan PRU Ke-12 dibuat, di mana DAP memenangi 18, PKR 7 dan PAS 6 kerusi. DAP yang memulakan jemputan untuk membentuk kerajaan kerana jumlah kemenangan parti pembangkang telah mencukupi majoriti dengan 31 pembangkang dan 28 BN. PAS kemudian berbincang dengan PKR dan kemudian persetujuan tercapai di antara ketiga-tiga parti apabila DAP bersetuju jawatan Menteri Besar disandang oleh ADUN Melayu Islam dari pihak BA (PAS-PKR).

    Pengumuman atas pemuafakatan antara ketiga-tiga parti untuk menubuhkan kerajaan campuran dibuat kira-kira jam 2 pagi di pejabat DAP yang teletak hanya kira-kira 50 meter dari ibupejabat PAS. Lebih 10 pemberita dan jurugambar tempatan mengemukakan pertanyaan kepada saya dan pengerusi DAP, Ngeh Koh Ham (sekarang Dato’), jawapan kami sama iaitu kami bersepakat menyahut rakyat yang mahukan perubahan supaya BN digantikan dengan pihak pembangkang. Dalam pengumuman itu kami namakan kerajaan Barisan Rakyat. Ia bukannya kerajaan DAP, tidak juga kerajaan PAS atau PKR. Dengan keputusan pimpinan DAP, PAS dan PKR peringkat pusat, kerajaan campuran parti pembangkang dinamakan Pakatan Rakyat.

  2. Kemenangan PAS menerajui kerajaan Pakatan Rakyat apabila ADUN PAS Pasir Panjang, Ir Haji Mohd Nizar Jamaluddin (kini Dato’ Seri) dilantik oleh DYMM Sultan Perak sebagai Menteri Besar Kerajaan Negeri Perak yang ke-10.

    Persetujuan awal antara ketiga-tiga parti, beliaulah satu-satunya calon untuk jawatan tersebut yang akan dipersembahkan kepada DYMM Sultan. Tetapi kemudiannya atas campurtangan pimpinan tertinggi DAP, kemudian PKR, maka penyelesaiannya 3 nama telah dicalonkan iaitu di samping calon dari PAS, maka 2 calon lagi dari PKR dan DAP dinamakan. Ketiga-tiga parti bersepakat siapa jua calon yang diperkenan oleh Istana akan diterima oleh semua pihak. Namun apabila nama Hj Nizar diperkenan oleh Istana, Lim Kit Siang, Penasihat DAP membantah dan mengugut untuk memboikot Upacara Angkat Sumpah ADUN PAS itu.

    Bagaimanapun, selepas kira-kira 3 jam perbincangan di antara pihak PAS yang saya mengetuainya dengan pihak DAP yang diketuai oleh pengerusinya Ngeh Koh Ham, pimpinan DAP pusat bersedia mengubah pendiriannya dengan cuba mengenakan syarat supaya DAP diberi 8 jawatan Exco dan PAS berjanji tidak melaksanakan hudud dalam kerajaan campuran ini. Tetapi akhirnya, syarat-syarat tersebut gugur kira-kira jam 11 malam setelah kami pihak PAS dan DAP dititah mengadap Tuanku di Istana Kinta. DAP bersetuju dengan perlantikan Menteri Besar dari PAS dan akan hadir dalam Upacara Angkat Sumpah esok harinya di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, bahkan setuju akan memohon ampun dari pihak istana. Yang paling penting syarat yang mereka kenakan iaitu 8 Exco dan isu hudud gugur dengan sendirinya. Persetujuan mengenai perguguran syarat ini disampaikan sendiri oleh Setiausaha DAP Perak, YB Nga Koh Meng kepada Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang. Saya memastikan 2 kali beliau menghubungi YAB Lim semasa kami masih berada di kawasan Istana Kinta lagi.

    Bagaimanapun Upacara Angkat Sumpah MB yang dijadualkan pada jam 4 petang itu akhirnya dibatalkan oleh pihak istana kira-kira 2 jam sebelum ianya dilangsungkan. Ia berpunca dari bantahan pihak PKR pula pada saat-saat akhir atas alasan kononnya mereka hanya akan diberikan 1 kerusi Exco padahal pada kira-kira jam 10 pagi, pimpinan PKR Perak telah pun dimaklumkan yang mereka akan mendapat 3 kerusi Exco dan PAS hanya 1, manakala DAP memperolehi 6 bukannya 8. Entah di mana silapnya pimpinan PKR pusat masih beranggapan mereka hanya diberikan 1 kerusi Exco itu.

    Ekoran dari pembatalan itu, pihak istana menitahkan supaya setiap orang ADUN yang seramai 31 orang dari ketiga-tiga parti menandatangani surat perakuan masing-masing bahawa mereka menyokong penubuhan kerajaan campuran yang dimuafakatkan dan bersetuju atas pelantikan Hj Nizar sebagai Menteri Besar Perak bagi mengetuai kerajaan campuran itu. Kemudiannya Haji Nizar dilantik secara rasmi sebagai Menteri Besar di Upacara Mengangkat Sumpah di Istana Iskandariah pada 17 Mac jam 10 pagi, di mana turut hadir pimpinan PAS pusat, YB Datuk Husam Musa dan YB Dr Hatta Ramli selain daripada saya sendiri selaku salah seorang Naib Presiden. Lim Kit Siang turut hadir dan kemudianmya berkesempatan mengadap Tuanku Raja Muda memohon ampun kepada baginda.

  3. Kemenangan PAS menjalin hubungan mesra di antara PAS khasnya dan Pakatan Rakyat amnya dengan pihak istana. Sejak hari pertama rombongan ketiga-tiga parti mengadap Tuanku Raja Muda di Istana Kinta yang saya sendiri mengetuainya, sungguh terasa mesra hubungan dengan Tuanku Raja Dr Nazrin Shah. Selepas memperkenalkan diri kepada baginda, baginda berbual menanyakan latarbelakang saya dan bila saya memberitahu saya mendapat pendidikan dari Maahad Al-Ehya’ Ash-Shariff Gunung Semanggol di bawah asuhan Almarhum Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, baginda begitu tertarik dengan peranan para ulama’ Perak dalam perjuangan mencapai kemerdekaan. Baginda juga menyatakan bahawa baginda menyelidiki peranan beberapa orang ulama’ Perak melalui penyelidikan baginda di Harvard University. Selepas itu baginda banyak pula bertanya tentang latarbelakang Ir Haji Mohd Nizar Jamaluddin yang mendapat ijazah Sarjana Kejuruteraan dari UK.

    Hubungan terus terjalin melalui beberapa pertemuan dengan pihak istana ketika menghadapi saat-saat kritikal mengenai perlantikan MB dari parti PAS. Persefahaman mudah dicapai kerana Istana Perak dianugerah Allah SWT seorang Raja yang arif dalam bidang undang-undang sebagai seorang bekas ketua hakim dan mempunyai Raja Muda yang mempunyai daya intelektual yang tinggi dengan memiliki ijazah PHD dalam bidang Sains Politik. Kelebihan istana ini dipertemukan Allah pula dengan pimpinan tertinggi PAS Perak yang mempunyai pandangan politik yang luas dan berpengalaman dalam pengurusan dan pentadbiran. Salah satu bukti begitu mesranya hubungan istana dengan Ir Haji Mohd Nizar sebagai Menteri Besar, beliau telah dianugerahkan darjat kebesaran Pingat Darjah Seri Paduka Mahkota Perak dengan gelaran Dato’ Seri. Beliau menerima anugerah itu belum pun sampai sebulan menjawat jawatan Menteri Besar. Begitu juga Pengerusi DAP negeri Perak, Ngeh Koh Ham dianugerahkan gelaran Dato’.

  4. Kejayaan PAS memenangi hati pimpinan parti-parti rakan Pakatan Rakyat terutama sekali pimpinan DAP yang sebelum PRU Ke-12 dilihat sebagai parti pembangkang yang tidak begitu sehaluan dengan PAS tapi selepas PRU Ke-12 dan pembentukan kerajaan PR di Perak, pimpinan DAP bukan sahaja mudah bersefahaman dan mesra dengan pimpinan PAS di peringkat negeri, bahkan sentiasa menyanjung pimpinan PAS samada mereka yang terlibat dalam kerajaan ataupun dengan saya sendiri dan rakan-rakan lain yang tidak menyertai kerajaan. Saya sendiri dapat melihat bagaimana Pengerusi DAP Perak, Dato’ Ngeh Koh Ham berterus terang menyatakan dokongannya kepada pimpinan PAS dan sangat kagum dengan pimpinan Tok Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Perkara ini dinyatakan sendiri kepada Tok Guru ketika lawatan pimpinan kerajaan Perak ke negeri Kelantan baru-baru ini.

  5. Kemenangan kelima, kejayaan PAS menarik sokongan rakyat terutama bukan Melayu/Islam, kerana pembentukan kerajaan PR yang diterajui PAS menjadi perkara yang begitu menarik perhatian rakyat negeri Perak khasnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya. Dalam suasana pihak-pihak tertentu terutama UMNO dan jaringan kuncu-kuncunya yang cuba mempersoalkan kewibawaan kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui oleh Menteri Besar dari PAS yang hanya mendapat 6 kerusi DUN, ternyata rakyat negeri Perak memberikan sokongan yang kuat kepada kerajaan PR. Rakyat bukan Melayu memberikan sanjungan atas kewibawaan MB PR Perak.

    Dalam masa sebulan selepas PRU Ke-12, hampir setiap hari berita mengenai keistimewaan Dato’ Seri Hj Nizar tersiar dalam media berbahasa Tionghua. Ceramah Perdana pertama di Stadium Perak anjuran PR yang diambil inisiatif oleh PAS, sebaik sahaja terbentuk kerajaan adalah antara bukti awal sokongan rakyat kerana stadium tersebut penuh sesak dengan orangramai untuk mendengar ceramah dari pimpinan 5 kerajaan negeri di bawah PR.

  6. Kemenangan keenam, kejayaan PAS Perak mengubah ‘mindset’ (corak minda) masyarakat umum bahawa kononnya yang layak memerintah hanya UMNO-BN. Diayah seumpama ini sudah seperti diterima sebagai satu ‘khurafat’ atau kepercayaan karut yang menyelubungi pemikiran sebahagian orang Melayu khasnya di luar bandar. Akan tetapi dengan kejayaan Pakatan Rakyat yang diterajui oleh PAS berjaya memecahkan tembok kepercayaan karut itu sehingga menyebabkan suatu kejutan budaya kepada pimpinan UMNO-BN Perak. Kemenangan keenam-enam ADUN PAS yang membawa kepada enam kemenangan berikutnya menjadikan kedudukan PAS Perak begitu penting dalam membawa perubahan kepada landskap politik negara pasca PRU Ke-12.

Enam Saranan Saya

Bagi mempertahankan kemenangan 6+6 ini, saya menegaskan dalam ucapan di hadapan kira-kira 700 orang ahli dan pimpinan PAS Perak pada malam tersebut bahawa mereka mempunyai tanggungjawab dan tugas kewajipan yang besar untuk melakukan dan melaksanakan, antara lainnya:
  1. Betapa pentingnya PAS diperkasa kerana hanya dengan kekuatan PAS, segala gerak kerja parti dan kerajaan akan berhasil.

  2. Mindset ahli-ahli PAS di semua peringkat mesti berubah. Mereka mesti berfikir bahawa mereka bukan lagi sebagai pembangkang tetapi sebagai kerajaan. Justeru, mereka perlu menunjukkan sikap adil, bijaksana dan rendah diri. Mereka hendaklah berusaha menerangkan kepada rakyat berbilang kaum dan agama bahawa kerajaan baru PR adalah sebuah kerajaan yang adil saksama, beramanah, telus dan bermaruah.

  3. Ahli PAS harus memperkukuh hubungan baik dengan rakan-rakan dalam PR serta menunjukkan sikap ramah mesra dan ambil peduli akan nasib rakyat di peringkat akar umbi. Jangan harapkan kerajaan saja untuk ambil peduli nasib rakyat berbilang kaum, tetapi pendokong PAS sendiri mesti menunjukkan sikap prihatin terhadap mereka.

  4. Menerusi Program Khidmat Masyarakat wakil rakyat PAS, pendokong PAS boleh membantu memberitahu dasar kerajaan baru Perak yang sangat pro-rakyat. Wakil rakyat PAS harus sentiasa mesra rakyat, sentiasa peduli dengan nasib rakyat berbilang kaum dan agama.

  5. Program tarbiyah, mesti menekankan aspek pengukuhan pengisian kemenangan (tamkin), iaitu melaksanakan idealisme atau cita-cita kita hendak melaksanakan kerajaan yang adil, telus, berkebajikan dan beramanah, sesuai dengan manifesto PAS.

  6. Untuk memperkukuh aspek tarbiyah, usrah cawangan dan kawasan hendaklah diadakan sekerap mungkin, di samping program bulanan liqa‘ul fikri peringkat negeri diadakan.

Pada akhir program malam tersebut Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Mohd Nizar Jamaludin menyampaikan taklimatnya dengan mesej menyeru semua pihak bersama membantu menjayakan kerajaan baru Perak Darul Ridzuan.


Baca lagi...