بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ
الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالاَتِ اللهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلاَ يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلاَّ اللهَ وَكَفَى بِاللهِ حَسِيبًا

Selasa, September 30, 2008

Tazkirah Ramadhan 1429H dan Ucapan Selamat Eidul Fitri Al Mubarak


Maksud firman Allah SWT:
“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil)...” (Al-Baqarah:185)

Bulan Ramadhan bulan yang diturunkan Al-Quran
Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dapat kembali berposting setelah kira-kira dua bulan tidak membuat catatan disebabkan kesibukan dengan pelbagai tugas jemaah. Hampir setiap minggu saya dan isteri berulang alik di antara Kuala Lumpur, Ipoh dan Balai Kuliah Tasawwur Islami Simpang 4 Semanggol. Sebaik selesai muktamar PAS ke 54 di Ipoh, saya dan isteri berada di Permatang Pauh membantu berkempen untuk Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Alhamdulillah beliau mendapat kemenangan besar dan telah mengecewakan Pak Lah, UMNO/BN.

Sepanjang bulan Ramadhan yang genap hari ini hari yang ke 30, saya memenuhi jadual tazkirah waktu zuhur dan malam ketika solat tarawikh. Fokus tazkirah saya kali ini berbeza sama sekali daripada perkara yang dibincangkan mengenai ibadah puasa atau kelebihan Ramadhan. Ini adalah kerana kedatangan bulan Ramadhan tahun ini tepat jatuh dalam bulan September dari hari pertamanya hingga hari ke tiga puluh. Bagi saya ia hendaklah dijadikan bahan berfikir dan merenung secara mendalam dalam konteks semasa di mana Islam dan umatnya menghadapi serangan dari puak yang memusuhinya terutama dunia barat yang diketuai oleh Amerika (US). Saya namakan topik tazkirah ini “Ramadhan lawan/vs September”. Saya percaya tidak ramai orang berfikir atau terfikir mengenai kepentingan tajuk seperti ini diperbincangkan.

Tahun lepas umat Islam di negara kita memulakan Ramadhan pada 12 September berbanding pada tahun ini pada 1 September. Pusingan kedatangan Ramadhan seperti ini hanya berlaku dalam masa 33 tahun sekali. Kebetulan kedua-dua bulan berkenaan adalah bulan kesembilan mengikut tahun masing-masing. Ramadhan mengikut taqwim qamariah (Lunar Calender) manakala September mengikut taqwim syamsiah (Solar Calender). Umat Islam mengira taqwim hijriah berasaskan taqwim qamariah, manakala umat kristian menjadikan tahun Masihi berasaskan taqwim syamsiah. Bermula dari pertembungan kedua-dua bulan kesembilan yang mempunyai latar belakang yang berbeza sudah cukup melambangkan suatu pertentangan di antara dua pihak. Di satu pihak ialah Islam, dan di satu pihak yang lain pula ialah Kristian.

Untuk memahami topik ini, mustahaklah kita mengenal pasti apakah ciri-ciri penting bagi kedua-dua bulan tersebut dilihat dari perspektif yang berlawanan. Dalam konteks ini, Ramadhan adalah bulan JIHAD kerana ibadah puasa yang difardhukan dalam bulan ini sebagai satu rukun Islam adalah merupakan satu latihan jihad melawan nafsu, sekali gus adalah jihad menentang iblis/syaitan yang menjadikan nafsu manusia sebagai sasarannya.

Berpuasa bererti menahan diri dari memenuhi keinginan nafsu makan, minum, syahwat kelamin dan apa jua keinginan nafsu yang merosakkan ibadah puasa. Ramadhan juga melambangkan jihad menentang musuh di medan perang. Perang Badar yang dimenangi Rasulullah SAW yang pertama berlaku dalam sejarah Islam terjadi dalam bulan Ramadhan tahun kedua Hijriah yang pada tahun itu juga umat Islam diwajibkan berpuasa kali pertamanya. Ramadhan juga melambangkan pertarungan sengit di antara yang hak dengan yang batil, kerana Al-Quran yang pertama kali ayatnya diturunkan dalam bulan Ramadhan kira-kira lima belas tahun sebelum umat Islam diwajibkan berpuasa adalah membawa ajaran yang memisahkan di antara kedua-dua nilai yang bertentangan. Kerana itulah kitab Al-Quran juga dinamai Al-Furqan iaitu pembeza antara kedua perkara yang bertentangan itu.

Ciri-ciri penting bulan September
Apakah pula ciri-ciri penting bulan September? Dalam konteks ini, September tiada kaitan dengan musim luruh (Fall/Autumn), tetapi September yang kita maksudkan di sini adalah September yang diidentifikasikan dengan peristiwa besar dunia yang diungkapkan sebagai September 11 disaster yakni malapetaka 11 September 2001. Pada tarikh tersebut yang jatuh pada hari Selasa, dunia dikejutkan dengan peristiwa musnahnya Menara Berkembar World Trade Center di New York setelah dua buah pesawat penumpang Boeing767 yang dirampas merempuh bangunan tersebut dan kemudian terbakar dan runtuh lalu musnah menjadi debu dalam masa hanya beberapa jam sahaja. Peristiwa ini diungkapkan sebagai serangan (attack) terhadap New York World Trade Center. Pada waktu yang hampir sama, Pentagon juga diserang oleh pesawat jet penumpang United Flight 93 tetapi tidak mengalami kesan kerosakan yang besar.

Akibat peristiwa September 11 tersebut, Presiden Bush terus menuding jari kepada Al-Qaeeda di bawah pimpinan Osama Ben Laden sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap apa yang dikatakan serangan itu.

Sebenarnya bila menyaksikan video yang menunjukkan runtuhnya menara berkembar setinggi 120 tingkat itu, ramai yang sukar mempercayai ianya musnah disebabkan kebakaran akibat daripada rempuhan dua buah pesawat Boeing767 itu. Bahkan lebih ramai yang berpendapat bahawa kemusnahan pusat dagangan dunia itu adalah hasil perancangan terkawal melalui ledakan bahan letupan yang sengaja ditanamkan sebelum berlakunya serangan tersebut. Mereka percaya ia bukan dilakukan oleh Al-Qaeeda malah golongan ini menegaskan bahawa Pentagon adalah diserang oleh Peluru Berpandu. Malah golongan ini berpendapat serangan ke atas Pentagon menggunakan Peluru Berpandu. Pesawat jet Penumpang 93 tersebut adalah sengaja didaratkan oleh pesawat perang angkatan udara mereka. Seluruh malapetaka berkenaan adalah dirancang dan dilaksanakan oleh pegawai-pegawai Persekutuan untuk memberikan Amerika mempunyai dalih untuk berperang di Timur Tengah sebagai satu cara untuk memperkukuhkan dan meluaskan kuasa pentadbiran Bush. Golongan ini menganggap malapetaka itu adalah suatu teori konspirasi yang dilakukan oleh pentadbiran Bush.

Meskipun teori konspirasi September 11 ini sebagai suatu gerakan kebenaran yang mempunyai fakta dan hujah yang kukuh, namun ia diabaikan oleh media arus perdana. Media berkenaan cuba mewar-warkan hikayat rasmi bahawa kerajaan cuba melariskan pertunjukan yang sangat membingungkan.

Apa jua pun pendapat dan hujah golongan yang percaya kepada teori konspirasi, yang pasti sejak 11 September 2001, dunia barat yang diketuai oleh Amerika di bawah pentadbiran Bush, benar-benar berjaya mencipta ISLAMOPHOBIA iaitu perasaan takut kepada Islam. ISLAMOPHOBIA lahir sebagai suatu fenomena baru yang sinonim dengan September 11. Setiap tahun selepas peristiwa itu, tarikh tersebut diperingati di New York melalui upacara khas yang dilakukan oleh Presiden Bush di tempat runtuhan Pusat Dagangan Dunia New York. Kawasan tersebut diberi nama “Ground Zero”. Pada 11 September yang baru lalu, kedua-dua calon Presiden Amerika Barack Obama dari calon parti Demokrat dan John Mccain dari Parti Republikan bersama-sama menghadiri upacara peringatan tersebut.

Mengapa ISLAMOPHOBIA begitu menonjol sebagai fenomena baru di dunia barat baik di Amerika mahu pun di Eropah? Jawapannya mudah, iaitu setelah Al-Qaeeda yang dipimpin Osama dijadikan kambing hitam, maka Islam dituduh agama keganasan yang mencipta agama pengganas. Serta-merta Bush mencipta istilah ISLAMIC TERRORISME dan ISLAMIC TERRORIST (bukan muslim terrosist). Bercakap mengenai ISLAMOPHOBIA yang saya tazkirahkan sepanjang bulan Ramadhan ini, tiba-tiba sahaja, Rais Yatim selaku Menteri Luar Malaysia beberapa hari yang lalu mengumumkan bahawa kerajaan Malaysia mengambil inisiatif meminta supaya secretariat OIC menganjurkan suatu forum / seminar sedunia mengenai ISLAMOPHOBIA untuk menjelaskan bahawa “Islam sebenar” bukan agama keganasan. Saya tidak pasti sama ada beliau atau Pak Lah mendapat ilham dari pertembungan Ramadhan dan September ini atau hanya secara kebetulan perkara ini dibangkitkan dalam bulan ini yang mana saya memberi tazkirah dengan tajuk seperti di atas sepanjang Ramadhan.

Bagaimanapun saya bimbang sekiranya yang akan dijelaskan sebagai “Islam Sebenar” itu ialah Islam Hadhari yang jika ini terjadi akan bertambah lagilah kekeliruan masyarakat barat terhadap Islam yang akan memapankan ISLAMOPHOBIA bukan menghapuskannya. Harap-harap tidak terjadi begitu.

Teori Konspirasi Pentadbiran Bush
Bagi saya teori inilah yang benar. Peristiwa September 11 mempunyai matlamat yang lebih jauh dari sekadar memberikan dalih kepada pentadbiran Bush untuk memperkukuh kuasanya di timur tengah. Ia sebenarnya untuk memberikan dalih kepada pentadbiran Bush bagi menyekat perkembangan Islam di dunia barat, khususnya di Amerika dan negara-negara Eropah. Lebih-lebih lagi perkembangan dakwah Islam di kalangan penganut-penganut agama Kristian Protestant. Patut disebutkan bahawa penganut Kristian Protestant di Amerika sekitar 58% dari jumlah 300 juta penduduknya. Presiden Bush adalah seorang yang sangat taksub kepada agama protestant. Setiap tindakan penting yang diambilnya, dia pasti akan terlebih dahulu meminta restu daripada paderi-paderi pakar rujuknya.

Bush adalah orang kuat nombor 2, dalam suatu pertubuhan gerakan Kristian Protestant yang dinamai White Angelo Sexon Protestant (WASP). Seperti yang diketahui umum, bahawa agama Islam cepat berkembang di dunia barat bermula awal 1970 an. Saya sendiri menyaksikan World Islamic Festival yang diadakan di London bertempat di Albert Hall yang dilakukan upacara perasmiannya oleh Queen Elizabeth. Serentak pada masa itu dianjurkan Seminar Islam Antarabangsa yang ditaja oleh Islamic Council of United Kingdom yang kemudiannya ditukar kepada Islamic Council of Europe. Menjelang ketibaan abad hijrah ke 15, (1401 H) pada awal 1980 an, fenomena baru menunjukkan kebangkitan Islam. Ungkapan Islamic Revival atau Islamic renaissance. Ungkapan Islam sebagai addin dan Islam Is A Way of Life sangat popular.

Pada prinsipnya, dunia barat yang sangat mementingkan hak asasi manusia dalam sistem amalan demokrasi yang mereka berbangga dengannya, sepatutnya tiada masalah bagi Islam berkembang bebas di negara-negara mereka. Benar di peringkat dua dekad Islam berkembang di negara tersebut, Islam diterima dengan baik oleh masyarakat barat. Malah ada negara Eropah yang meletakkan taraf agama Islam sebagai agama rasmi selepas agama Kristian seperti negara Belgium. Di Amerika sendiri, tokoh-tokoh pendakwah Islam, dipandang tinggi kerana mereka berjaya membawa imej baik dan bersih bagi masyarakat Islam, terutama yang sebelumnya beragama Kristian dari masyarakat kulit hitam. Pada masa itu, tokoh-tokoh dakwah terkenal, yang kebanyakannya berasal dari negara Arab sering diundang memberikan ceramah mengenai Islam. Beberapa buah penjara besar sering menjemput pendakwah Islam untuk menyampaikan dakwahnya kepada banduan-banduan. Kebiasaannya selepas sekali dua ceramah, ramai banduan-banduan yang dianggap core / keras memeluk agama Islam setelah mendengar ceramah. Antara mereka yang memeluk Islam dalam penjara ialah Mike Tyson mantan juara heavyweight sedunia. Ini memberangsangkan lagi penguasa-penguasa penjara mengundang pendakwah Islam.

Dalam hal ini, saya sendiri pernah ditawar jawatan pendakwah di Amerika. Saya diajak untuk meninggalkan negara dan berkhidmat untuk masyarakat Amerika yang dahagakan Islam. Sahabat saya, bekas Naib Canselor UTM Johor Bahru, Dato’ Dr. Ridhuan Saleh beria-ia mengajak saya berangkat ke Amerika selepas beliau berada di sana dan menyaksikan bagaimana perlunya rakyat Amerika mencari kebenaran Islam. Bagaimanapun beliau sendiri balik ke tanah air tidak lama selepas peristiwa September 11 ini.

Tapi kenapa mereka takut kepada Islam setelah suku abad Islam berkembang di barat? Jawapannya mudah, jika kita merujuk peringatan Allah dalam Al-Quran seperti firmanNya dalam Surah Al-Baqarah Ayat 120 yang bermaksud “Dan tidak sekali-kali orang Yahudi dan Nasrani (Kristian) itu redha terhadap kamu sehingga kamu mengikut agama (millah) mereka…. Katakanlah bahawa sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk yang benar….”

Ini bererti ketakutan dunia barat yang dilatari oleh budaya yang berteraskan Kristian Protestant atau Katolik sentiasa menghantui minda pimpinan mereka seperti Presiden Bush. Sejarah ilmuwan barat sudah lama bergerak melalui orientalisme di pusat-pusat pengajian tinggi berusaha menggambarkan Islam sebagai agama kekerasan. Buku-buku rujukan mereka menggambarkan wajah kononnya Nabi Muhammad sebelah tangannya memegang Al-Quran dan sebelah tangannya yang lain menghunus pedang. Namun dalam tempoh kira-kira 1 alaf (seribu tahun) misi mereka kurang berjaya walaupun mereka dapat melakukan serangan budaya dan pemikiran terhadap umat Islam.

Maka dengan tamatnya alaf ke-2 masihi, dunia barat yang diketuai Amerika sebagai kuasa besar dunia terutama selepas runtuhnya kuasa Russia dengan bubarnya Kesatuan Negara Sosialis Soviet Russia (USSR). Islam mesti disekat di abad ke 21 Masihi atau awal alaf ke 3, maka terciptalah malapetaka 11 September 2001. Apakah dalih yang kukuh untuk menghalang kemaraan Islam? Kalau hanya setakat menjadikan dakwah Islam yang berjaya menarik orang-orang Kristian terutama golongan Protestant memeluk Islam, Bush melihat ianya tidak releven kerana pendakwah itu tidak mempunyai apa-apa kuasa selain dari hujah atas kebenaran Islam sebagai akidah berteraskan tauhid.

Strategi menyekat kebangkitan Islam
Kesempatan yang mudah dijadikan dalih dan senjata yang mapan adalah kebangkitan dan kejayaan golongan MUJAHIDIN (pejuang Islam) yang penuh semangat jihad, berjuang kerana Allah. Kejayaan golongan MUJAHIDIN mengusir keluar tentera Soviet Russia dari bumi Afghanistan adalah amat releven untuk menggambarkan bahawa jihad adalah ancaman kepada dunia barat. Kumpulan Taliban yang kemudiannya menguasai Afghanistan selepas pertelagahan puak mujahidin menyebabkan mereka bertindak menyerang Afghanistan dengan bantuan sekutunya dari anggota-anggota NATO.

Pada awal 1990an, meletus perang di rantau Balkan apabila Bosnia Herzegovina bangkit mengisytiharkan negaranya merdeka dan keluar dari kesatuan Negara Yugoslavia. Mereka diperangi oleh kerajaan Serbia yang berpusat di Belgrade yang didukung oleh bangsa Serbia. Adapun bangsa bosnia adalah beragama Islam turun temurun sejak kedatangan Islam ke rantau Balkan melalui pembukaan Islam yang dilakukan oleh Kekhalifahan Uthmaniah setelah mengalahkan kerajaan Serbia pada ketika itu yang mengisytiharkan perang salib terhadap Islam.

Perang Bosnia - Serbia langsung tidak seimbang kerana orang-orang Bosnia tidak mempunyai kekuatan tentera dan peralatan perang berbanding dengan Serbia yang menguasai kerajaan pusat semenjak puluhan tahun yang lalu. Perang tersebut adalah merupakan keganasan Serbia yang tiada tolok bandingnya dalam era zaman ini, kerana pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik dilakukan terhadap orang-orang awam Bosnia. Bagaimanapun Bosnia Herzegovina tidak dapat dikalahkan setelah bertahun-tahun mereka diperangi dengan hebatnya. Pemimpin-pemimpin Islam dari kalangan ulama’ menjadi sasaran utama apabila mereka bangkit memakmurkan masjid-masjid dan rumah ibadah Islam yang ditutup berpuluh tahun pada zaman pemerintahan sosialis Yugoslavia.

Kota Sarajevo yang menjadi ibu negeri Bosnia Herzegovina menjadi sasaran serangan Serbia bertubi-tubi dari darat dan udara. Ketika tiba pada suatu musim sejuk dengan salji di mana kota tersebut diliputi dengan salji yang tebal, penduduknya dikepung sehingga sukar bekalan makanan dan peralatan senjata sampai ke kota itu. Namun setelah kepungan dan serangan berterusan berbulan-bulan, Sarajevo tetap bertahan. Ini menyebabkan Negara kesatuan Eropah (EU) menghantar Presiden Perancis Jacques Chirac ke Sarajevo untuk mengetahui apa sebenarnya yang terjadi di sana. Jacques Chirac membuat laporan hasil kunjungannya ke Sarajevo yang kesimpulannya Sarajevo dapat dipertahankan di samping bandar yang lain kerana orang Bosnia dibantu oleh kumpulan mujahidin dari luar yang sebahagian antara mereka menyertai perang Afghanistan menentang Russia. Orang Bosnia sendiri juga telah menubuhkan Briged Islam yang mempunyai disiplin seperti yang diamalkan oleh kumpulan mujahidin.

Hasil perbincangan atas laporan tersebut, Negara Kesatuan Eropah menggesa mereka menggunakan kekuatan tentera NATO untuk mengebom tentera Serbia sekiranya mereka tidak memberhentikan serangan dan pembersihan etnik terhadap Bosnia Herzegovina. Tindakan tersebut menyebabkan perang Bosnia - Serbia dapat diberhentikan dan kedua pihak dibawa ke meja rundingan damai yang berakhir dengan pembahagian negeri Bosnia kepada tiga etnik iaitu Bosnia, Serbia dan Croatia. Sebenarnya tujuan di sebalik tindakan tentera NATO yang dipimpin tentera Amerika itu bukanlah kerana bersimpati dengan bangsa Bosnia, tetapi adalah kerana kebimbangan jika peperangan berterusan selepas habis musim sejuk, besar kemungkinan tentera Bosnia yang dibantu oleh kumpulan Mujahidin akan mencapai kemenangan ke atas Serbia di rantau Balkan itu. Jika ini berlaku, maka ia dilihat ancaman kebangkitan Islam dengan semangat jihad di seluruh Eropah di mana dakwah Islam sedang berkembang.

Di sebabkan terlalu fobia dengan jihad Mujahidin, Bush bersungguh-sungguh meminta kerajaan Arab Saudi dan Mesir serta Negara-Negara Arab / Islam yang lain supaya menghapuskan bab jihad dari kurikulum pendidikan di institusi pengajian di negara mereka. Bagaimanapun para ulama’ di Negara-Negara tersebut, khususnya ulama’ dari Universiti Al-Azhar di Mesir dan Universiti Islam Madinah dan Ummul Qura, berpendirian tegas tidak melayani tuntutan Presiden Bush itu.

Kesan September 11 ke atas Malaysia
Sementara itu, Setiusaha Pertahanan ketika itu, Donald Ramsfields meminta Negara-Negara umat Islam memberhentikan / menghalang sebarang bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah agama persendirian yang lebih dikenali dengan Sekolah Agama Rakyat (SAR). Seruan Ramsfields segera mendapat sambutan dari rakan sejawatnya di Malaysia ketika itu, Najib Tun Razak. Najib pernah membuat kenyataan di Pekan, Pahang bahawa Sekolah Agama Rakyat (SAR) melahirkan pengganas. Pentadbiran Dr Mahathir pada ketika itu tidak bertangguh untuk menarik bantuan per kapita kepada Sekolah Agama Rakyat seluruh Negara dengan berdalih bahawa ada seorang pelajar SAR yang memijak gambarnya kerana dianggap pemimpin yang zalim. Dengan alasan itu, Dr. Mahathir menjatuhkan hukuman, semua SAR mengajar ajaran Islam yang menyeleweng atau “sesat” Dengan itu menghalalkan tindakan kerajaan memberhentikan bantuan per kapita tersebut, padahal sebenarnya adalah untuk menunjukkan kesetiaan atau “wala’nya” kepada Amerika.

Kesetiaan ini dibuktikan pula dengan penahanan di bawah ISA terhadap mereka yang dituduh tanpa bukti pernah terlibat dengan kumpulan Mujahidin / Taliban di Afghanistan ketika mereka menuntut di pusat pengajian Islam persendirian seperti di Karachi, Lahore dan Islamabad. Di antara mangsa tahanan ISA ketika itu ialah Nik Adli bin Tuan Guru Nik Aziz yang dituduh sebagai Ketua Kumpulan apa yang dinamakan Mujahidin Malaysia (KMM). Beliau hanya dibebaskan selepas menjalani tahanan selama enam tahun di Kem Tahanan Kamunting. Hampir kesemua pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian Islam di Pakistan di arah meninggalkan pusat pengajian dan kembali ke tanah air. Saya menyaksikan sendiri keadaan ini apabila saya berada di Karachi dan Lahore pada tahun 2002 yang lalu.

Mengingati tindakan menarik bantuan per kapita kepada SAR, pada zaman pentadbiran Dr. Mahathir, kita masih terbayang amaran keras Kementerian Pelajaran terhadap sesiapa yang tidak mendaftar anak untuk belajar di sekolah-sekolah kementerian, boleh dianggap melanggar akta pendidikan Negara yang jika disabitkan boleh didenda atau dipenjara. Semakin ramailah murid-murid SAR yang meninggalkan SAR untuk belajar di sekolah kerajaan. Kini semenjak Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri, beliau cuba menunjukkan simpatinya kepada SAR yang hampir kecundang kecuali SAR di Kelantan yang ditadbir di bawah Yayasan Islam Kelantan. Abdullah Badawi menawarkan bantuan kepada SAR yang mendaftar di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia melalui skim Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Kononnya beliau hendak memulihkan peranan SAR, tetapi apa yang sebenarnya terjadi SABK itu menjadikan SAR terikat secara mutlak kepada kurikulum Kementerian Pelajaran. Ini dengan sendirinya boleh menyekat SAR (SABK) daripada meneruskan kurikulum SAR yang lengkap meliputi pelbagai bidang pengajian subjek Islam.

Ramadhan vs September adalah Tazkirah Allah
Dari perbincangan di atas dapatlah kita memahami bahawa jatuhnya pusingan bulan Ramadhan menepati sepenuhnya bulan September adalah sebenarnya satu tazkirah dari Allah kepada seluruh umat Islam yang menunaikan ibadah puasa dalam bulan Ramadhan dalam tahun ini, supaya mereka terus berjihad menghadapi serangan musuh Islam yang cuba melemahkan semangat jihad dan membangkitkan ISLAMOPHOBIA di kalangan masyarakat barat yang semakin mendekati Islam.

Dengan semangat jihad yang kental masyarakat Islam di Amerika menghadapi tekanan dan serangan dari ISLAMOPHOBIA, mereka terus berjaya meneruskan dakwah Islam. Islam sebagai satu-satunya Addin yang diakui dan diredhai Allah, kini mendapat sambutan yang lebih berlipat ganda berbanding dengan keadaan sebelum September 11. Dari laporan yang dikeluarkan oleh sumber-sumber yang dipercayai, jumlah purata mereka yang menganut agama Islam di Amerika pasca September 11, purata meningkat 4 hingga 5 kali ganda berbanding pra September 11. Dari laporan yang pernah diterbitkan melalui laman web Council of American Islamic Releation (CAIR) bahawa rating kualiti hidup dan sosio ekonomi penganut agama Islam di Amerika lebih tinggi 5% hingga 6% berbanding dengan rating warga nasional Amerika seluruhnya.

Apakah tidak terlintas di minda umat Islam di Malaysia hari ini, bahawa dalam masa 33tahun akan datang apabila Ramadhan bertembung sekali lagi dengan September, ketika itu Amerika menjadi sebuah Negara Islam atau sebuah negara berpenduduk majoriti orang Islam, ataupun kira-kira 40% penduduknya yang beragama Islam dan mempunyai kualiti hidup yang tinggi, berpaksikan aqidah tauhid. Mudah-mudahan suasana sedemikian akan berlaku dengan kehendak Allah sekiranya umat Islam terus berjihad pada jalan Allah. Sebagai menyahut seruanNya seperti yang terkandung dalam firmanNya yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih? (yaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu Mengetahui. Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam jannah 'Adn. Itulah keberuntungan yang besar. Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai (yaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya) dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.”

(Maksud Surah Assaff ayat 10-13)

Ucap Selamat Eidil Fitri Al-Mubarak
Akhirnya pada kesempatan ini, saya dan isteri serta keluarga mengucapkan Selamat Menyambut Eidil Fitri Al-Mubarak dengan tazkirah agar kita tingkatkan iltizam berjihad dengan istiqamah hingga diqabulkan Allah dengan kemenangan untuk Islam dan ummah. Diiringi doa semoga Allah menerima amal ibadah dan bakti kita sepanjang Ramadhan dan membawa kita kembali kepada fitrah Islam.


من العاٸدين الفاٸزين المقبولين دان داوچڤکن

كل عام و انتم بخير وبركة


P/S: Kepada sahabat seperjuangan dan rakan kenalan termasuk non-muslim yang mengucapkan Selamat Hari Raya kepada saya dan keluarga melalui kiriman kad atau sms dan email, diucapkan terima kasih dengan iringan doa kepada yang berkenaan.


تقبل الله منا ومنكم تقبل يا كريم


Baca lagi...

Rabu, Ogos 13, 2008

Forum “Conversion to Islam”/“Memeluk Islam” – ISA Bukan Penyelesaian - Bhg 1


Maksud firman Allah SWT:
“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah:256)
Maksud firman Allah SWT:
“... dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari agama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian) dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu dia mati sedangkan dia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat dan mereka itulah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya (selama-lamanya).” (Al-Baqarah:217)

Malaysia Negara SEKULAR?
Ramai orang bertanya kepada saya apabila isu mengenai Islam dibincang dan dipersoalkan melalui forum awam atau wacana yang boleh menimbulkan sensitiviti. Yang terbaru forum bertajuk “Conversion to Islam: Article 121 (1A) of the Federal Constitution, Subashini and Shamala Revisited” yang dianjurkan oleh Majlis Peguam Malaysia (the Bar Council Malaysia) yang hanya sempat berlangsung kira-kira 1 jam sebelum ianya diberhentikan atas arahan PDRM kerana desakan sekumpulan kira-kira 500 orang Islam yang memprotes forum tersebut. Forum tersebut berlangsung di bangunan ibupejabat Majlis Peguam di Kuala Lumpur pada hari Sabtu lalu.

Forum tersebut hanya satu contoh dari pelbagai perbincangan atau dialog terbuka kepada orang ramai. Ia bukannya majlis ilmu yang eksklusif atau wacana khusus di kalangan ilmuan di pusat-pusat pengajian.

Bagi menjawab persoalan seperti ini, mungkin perlu kepada suatu penyelidikan ilmiah, namun kepada orang awam saya percaya tidak sukar untuk difahami mengapa pada masa-masa kebelakangan ini, agama Islam sering dikontroversi atau dipertikaikan samada kedudukan Islam dalam Perlembagaan sebagai agama Persekutuan Malaysia atau akta/enakmen Pentadbiran Islam di negeri-negeri. Bahkan kadang-kadang penguatkuasaan sebahagian undang-undang Pentadbiran Islam itu sendiri dihalang oleh pimpinan politik pihak yang berkuasa sendiri (UMNO/BN).

Hari ini pihak-pihak yang mempersoalkan perkara-perkara tersebut atau menjadikannya isu-isu sensitif bukan semata-mata orang bukan Islam. Malah sebahagian yang menjadi aktivis dan mengepalai “gerakan” mempertikai hukum-hakam Islam yang qat‘ie terdiri dari golongan intelektual muslim. Sekadar contoh, nama-nama seperti Kassim Ahmad, Farish A Noor, Malik Imtiaz Sarwar, Haris Ibrahim, Akbar Ali, Zaid Ibrahim, Zainah Anwar dan Shad Saleem Faruqi adalah golongan yang aktif menyertai perbincangan baik melalui penulisan atau forum-forum awam.

Sebenarnya perkara seperti ini tidak timbul serta-merta. Ia adalah natijah dari suatu proses yang panjang sejak negara mencapai kemerdekaan hampir 51 tahun yang lalu apabila kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan (Artikel 3 (1) Perlembagaan Persekutuan) ditafsir hanya sebagai religion yang difahami oleh Barat/bukan Islam. Ia ditafsirkan sebagai agama yang hanya mencakupi hubungan manusia dengan Tuhan dan perkara-perkara berbentuk ritual dan upacara semata-mata. Akibatnya negara (dulunya Tanah Melayu) dianggap sebuah negara SEKULAR. Walaupun terdapat peruntukan yang memberi kuasa kepada kerajaan negeri (di mana DYMM Raja-Raja menjadi Ketua Agama Islam), namun Islam masih ditafsirkan dalam perkara yang berkaitan dengan perkara ibadat khusus dan hal ehwal peribadi dan kekeluargaan sahaja.

Era Tunku Abdul Rahman
Semenjak Perdana Menteri yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Malaysia ditegaskan sebagai negara SEKULAR terutama apabila ada saranan-saranan untuk melaksanakan syariah Islam atau apa jua sistem pemerintahan Islam. Bagaimanapun, kerja mengislamkan orang bukan Islam tidak pernah menimbulkan sebarang masalah. Tiada pihak yang mempertikaikan pengislaman samada individu atau kumpulan. Tunku sendiri mengetuai usaha dakwah di seluruh negara apabila beliau menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (asalnya Malaya) yang dikenal dengan PERKIM.

Di Sabah pula diketuai oleh Tun Datu Haji Mustapha bin Datu Harun melalui United Sabah Islamic Association (USIA). Di Sabah, orang Kadazan memeluk Islam beramai-ramai (saya pernah mengislamkan orang Kadazan di Majlis Pengislaman beramai-ramai di kediaman Tun Datu Mustapha sekitar tahun 1975). Di Semenanjung, PERKIM mengislamkan penganut Buddha atau Taoisme dari kaum Cina dan penganut Hindu dari kaum India. Antara yang awal-awal memeluk agama Islam melalui PERKIM ialah Ong Yoke Lin yang kemudian dikenal dengan Tun Dato’ Seri Haji Omar Yoke Lin, seorang tokoh MCA.

Era Tun Abdul Razak
Dalam era pemerintahan Tun Abdul Razak selama lebihkurang 5 tahun, negara ditumpukan kepada perpaduan masyarakat pelbagai kaum berasaskan kepada Dasar Ekonomi Baru. Akibat tragedi berdarah 13 Mei 1969, pembangunan warganegara ditekankan kepada persefahaman dan saling mengerti di antara Melayu dan bukan Melayu melalui majlis-majlis perhimpunan mahabbah (lebih dikenal dengan muhibah). Tidak timbul sebarang isu tentang Islam dalam hubungan dengan bukan Islam. Namun Malaysia tetap sebuah negara SEKULAR tetapi tidak diwar-warkan oleh Tun Razak. Malah di zaman beliaulah meningkatnya pentadbiran Islam apabila ditubuhkan Bahagian Agama di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang kini dikenal dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Penubuhan Bahagian Agama di JPM adalah hasil penyertaan PAS dalam kerajaan campuran dengan Perikatan yang kemudian berubah menjadi Barisan Nasional (BN).

Melalui Institut Dakwah dan Latihan Islam di Bahagian Agama JPM (lebih dikenal dengan Pusat Islam), di mana saya sendiri dilantik menjadi pengarahnya, kegiatan dakwah beranjak paradigmanya ke arah memberikan pemahaman dan penghayatan Islam sebagai Ad-Deen yang syumul kepada generasi muda, para pelajar, pegawai serta kakitangan kerajaan dan pasukan polis dan tentera. Malah kami telah merancang untuk membawa dakwah ke Istana Negara. Tun Razak bersetuju dengan perancangan itu kira-kira 2 minggu sebelum beliau meninggal dunia. Tidak pernah timbul pun isu-isu melibatkan Islam seperti yang ada sekarang.

Era Tun Hussein Onn
Dalam zaman Tun Hussein Onn, keadaan dakwah kurang menggalakkan. Beliau yang terlatih sebagai pegawai tentera begitu jelas sikap SEKULARnya. Kegiatan dakwah mulai tersekat, saya masih ingat apabila satu kumpulan pegawai tentera yang sepatutnya menghadiri kursus kefahaman Islam dibatalkan atas arahan Kementerian Pertahanan yang diterajui sendiri oleh Perdana Menteri Tun Hussein Onn. Alasannya kerana kumpulan pertama seramai 35 orang dikatakan membawa masalah kerana ada di kalangan mereka yang tidak bersedia lagi menandatangani inbois pembelian arak di mes pegawai tentera selepas mengikuti kursus kefahaman Islam di bawah pimpinan saya. Saya sendiri dipanggil oleh Timbalan Perdana Menteri, Dr Mahathir mengenai perkara ini.

Dalam era Tun Hussein Onn, ABIM dianggap sebagai badan NGO pembangkang walaupun PAS berada dalam kerajaan campuran dengan BN. Pada satu ketika, Perdana Menteri Hussein Onn berura-ura hendak mengharamkan ABIM yang kononnya menggugat keselamatan negara kerana suasana keamanan di Asia Tenggara ketika itu berada dalam ancaman Komunis di Vietnam dan Kampuchea. Bagaimanapun, beliau terpaksa membatalkan ura-uranya itu kerana mungkin tidak dipersetujui oleh PAS yang dipimpin oleh Datuk Asri Muda ketika itu. Perkembangan PAS masuk ke kawasan rancangan Felda yang di bawah portfolio Menteri Pembangunan Tanah, Datuk Asri Muda, menyebabkan UMNO tidak lagi selesa bersahabat dengan PAS dalam BN.

PAS Ditendang Keluar BN
Akhirnya, PAS diusir dari anggota gabungan BN dan kerajaan Kelantan yang diperintah PAS digantung apabila keadaan darurat diisytiharkan oleh Perdana Menteri. Dalam PRU 1978, PAS menerima kekalahan teruk dan Kelantan tumbang ke tangan BN Kelantan yang diterajui Tengku Razaleigh Hamzah. Pertarungan politik antara UMNO-PAS melonjak kembali. Pusat Islam yang aktif selama kira-kira 5 tahun bersama dengan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menjadi muram akibat penyingkiran PAS. Ustaz Hassan Shukri, Timbalan Yang Dipertua YADIM, terpaksa disingkirkan atas arahan Perdana Menteri walaupun Yang Dipertuanya, Tun Syed Nasir tidak begitu selesa dengan penyingkiran Ustaz Hassan itu. Saya sendiri ditukarkan ke Kementerian Pelajaran selepas berjaya melaksanakan Bulan Dakwah di seluruh negara dengan kerjasama YADIM dengan penyertaan penceramah-penceramah dari pimpinan PAS yang sudah meninggalkan BN. Pada tahun 1981 Tun Hussein Onn meletakkan jawatan Perdana Menteri kerana sebab-sebab kesihatan dan beliau meninggalkan pemerintahan negara dengan dasar SEKULAR yang lebih jelas.

Era Dr Mahathir
Tibalah zaman pemerintahan Dr Mahathir Mohammad yang berkuasa selama kira-kira 22 tahun. Dr Mahathir semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri adalah Menteri Pelajaran yang begitu tegas menghadapi pelajar-pelajar yang aktif dalam dakwah (pro-Islam) terutama pelajar-pelajar Malaysia di United Kingdom dan Amerika Syarikat. Beliau menulis sebuah buku berjodol “Cabaran” yang menggambarkan pemikiran beliau terhadap Islam dan gerakan dakwah. Buku tersebut mengandungi ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis nabi bagi mengukuhkan hujah-hujah beliau untuk mencabar sesiapa yang tidak bersetuju dengan pandangan beliau mengenai Islam/dakwah. Pada suatu peringkat ketika beliau baru dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri dan masih menjawat jawatan Menteri Pelajaran, beliau bercadang hendak mengharamkan sebuah buku berjodol “The Milestone” (terjemahan “Maalima fit-Tariq” - Syed Qutb Asy-Syahid). Beliau melihat buku itu menjadi punca lahirnya kumpulan pelajar-pelajar Malaysia di luar negara yang beliau kategorikan sebagai pelampau.

Bagaimanapun setelah berlaku dialog antara saya, Dr Kamal Hassan dan beberapa orang lagi, beliau menunda hasratnya itu. Dalam tempoh pemerintahan beliau, gerakan dakwah mengalami pelbagai tekanan dan tohmahan. Dr Mahathir menggunakan pelbagai strategi dan pendekatan untuk menghadapi PAS dan gerakan Islam. Kebimbangan beliau bahawa PAS akan berganding bahu dengan ABIM mendorongkan Dr Mahathir mengisytiharkan program penerapan nilai Islam dalam pentadbiran negara. Beliau menjanjikan penubuhan Universiti Islam Antarabangsa dan Bank Islam Malaysia, bahkan beliau berjanji akan menutup kasino di Genting Highlands. Dengan strategi inilah, beliau berjaya membawa masuk Presiden ABIM, Saudara Anwar Ibrahim (kini DSAI). ABIM sendiri hampir kehilangan arah beberapa ketika, nak sokong UMNO tak kena, tak sokong PAS pula agak menghairankan kerana ketika PAS menyertai kerajaan campuran Perikatan BN, pimpinan ABIM tidak begitu selesa menerimanya.

Selama 20 tahun lebih, Dr Mahathir menghentam PAS dengan menggunakan strategi mempertikai dan mempersoalkan hukum-hakam Islam hatta sampai kepada amalan sunnah menyimpan janggut dan berserban pun tidak terlepas dari serangan beliau. Program ibadah seperti qiamullail, usrah, derma jihad, pendidikan pra-sekolah PAS (PASTI) tidak sunyi dari serangan Dr Mahathir. Dalam era beliaulah, beberapa kali percubaan mengharamkan penggunaan perkataan “Islam” pada nama parti PAS dilakukan hingga sampai ke peringkat menggunakan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Persidangan Majlis Raja-Raja. Namun percubaan itu gagal apabila Majlis Raja-Raja tidak berkenan dengan cadangan tersebut. Dr Mahathir pernah mencadangkan kepada Majlis Raja-Raja supaya jawatan mufti di negeri-negeri dihapuskan dan hanya seorang mufti dilantik di peringkat kebangsaan, tetapi cadangan Dr Mahathir itu tidak diperkenan oleh Majlis Raja-Raja. Bahkan seluruh rakyat negara dan semua DYMM Raja-Raja masih ingat Rapat Umum di seluruh negara yang dibuat dalam pemerintahan Dr Mahathir untuk mendapatkan sokongan rakyat meminda Perlembagaan mengenai imuniti Raja-Raja. Beliau berjaya berbuat demikian apabila pindaan perlembagaan mengenainya diluluskan di Parlimen pada tahun 1986.

Dr Mahathir seorang yang terkenal pintar berdebat dan berhujah, dan diakui pembacaan beliau sangat meluas, kerana itu beliau mampu mempengaruhi pemikiran rakyat untuk menolak sebahagian hukum-hakam yang terkandung secara nas dalam Al-Quran atau As-Sunnah. Yang lebih penting, beliau sangat berani memberikan pendapatnya, hatta dalam perkara yang boleh menjejaskan aqidah seorang muslim. Di sana-sini apabila beliau berucap terutama dalam Perhimpunan Agung UMNO, ada saja isu tentang Islam yang beliau pertikaikan. Tidak ada sebarang ulama’ dalam UMNO yang berani menyanggah beliau samada yang berjawatan dalam kabinet atau di luar kabinet. Berucap di luar negara pun, pernah beliau mengatakan undang-undang hudud seperti yang tersebut di dalam Al-Quran adalah zalim atau tidak adil seperti hukum potong tangan ke atas pencuri, kerana menurutnya, ia menyebabkan pesalah tidak boleh lagi membuat kerja untuk menyara hidup.

Berkali-kali beliau menyarankan supaya Al-Quran ditafsirkan semula mengikut keadaan semasa. Hukum-hakam dalam kitab feqah perlu dikaji dan diubahsuai selaras dengan zaman moden hari ini. Kesemua ini adalah gara-gara yang membawa kepada fenomena yang kita saksikan pada hari ini. Dr Mahathir begitu tegas memberi amaran kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya beliau tidak cuba melaksanakan Kanun Jenayah Syariah negeri Kelantan pindaan 1993, yang mengandungi undang-undang hudud. UMNO di bawah pimpinan Dr Mahathir melahirkan pemimpin-pemimpin yang berani mempertikai hukum Islam dan mencabar perintah-perintah Allah. Kesemuanya dilakukan hanya kerana menentang PAS supaya tidak dapat mempengaruhi masyarakat Islam menyokong perjuangannya.

Dalam zaman Dr Mahathir, pelbagai label dan jenama buruk diberi kepada PAS atau gerakan Islam. Istilah pelampau, ekstremis, ajaran sesat, mental block dan jumud adalah perkara biasa yang dilemparkan kepada orang PAS. Selepas peristiwa 11 September 2001, istilah-istilah tersebut dipakej dalam satu istilah global yang dicipta oleh George Bush iaitu “Islamic Terrorism”. Dalam pakej ini termasuklah Jemaah Islamiyah (JI) dan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM). Akibatnya, kerajaan Pusat di bawah pimpinan Dr Mahathir menarik bantuan per kapita kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) atas alasan sekolah-sekolah tersebut melahirkan terroris Islam seperti yang dibisikkan oleh Donald Rumsfeld, Setiausaha Pertahanan Amerika kepada Menteri Pertahanan Malaysia, Najib Tun Razak selepas peristiwa 11 September 2001.

Tiba-tiba kira-kira 3 minggu selepas 11 September itu, Dr Mahathir mengisytiharkan Malaysia adalah sebuah negara Islam. Beliau membuat pengisytiharan itu ketika merasmikan Perhimpunan Agung parti Gerakan di Kuala Lumpur pada 29 September 2001. Dr Mahathir berbuat demikian kerana menyahut cabaran Presiden PAS supaya beliau mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Mahathir mendakwa Malaysia memang layak diisytiharkan sebagai sebuah negara Islam kerana ianya sebuah negara anggota OIC dan Malaysia mempunyai penduduk majoritinya beragama Islam. Lebih penting lagi kerajaan Malaysia diterajui oleh orang Islam di mana Perdana Menteri dan ramai Menteri Kabinetnya adalah orang Islam.

Dr Mahathir dengan bangganya mengatakan bahawa dengan pengisytiharan tersebut, kerajaan yang dipimpin beliau terus didokong oleh rakan-rakan komponennya dari parti-parti yang bukan muslim seperti MCA, MIC, Gerakan, PBS, SUPP dan lain-lain.

Tidak ada mana-mana pihak dalam BN persoalkan konsep negara Islam Malaysia yang diumumkan Dr Mahathir. Dr Mahathir pun tidak menjelaskan samada Malaysia masih sebuah negara SEKULAR atau SEKULARISME Malaysia sudah berakhir. Beliau cuma menegaskan bahawa tanpa melaksanakan undang-undang hudud tidak semestinya kelayakan menjadi negara Islam itu gugur. Apahal pun mulai 29 September 2001, Malaysia adalah sebuah negara Islam. Beliau berhujah bahawa semua negara Islam anggota OIC tidak pun melaksanakan undang-undang hudud (sebenarnya ini tidak tepat). Pemerintahan Dr Mahathir berakhir pada 31 Oktober 2003.

Era Abdullah Ahmad Badawi
Abdullah yang mesra dipanggil “Pak Lah” menerajui pemerintahan negara Malaysia sebagai negara Islam OIC dalam senario “Islam sebagai Ad-deen” yang terus ditegaskan oleh PAS dengan rakannya parti Keadilan (sekarang PKR) melalui manifesto Barisan Alternatif (BA) PRU Ke-10 1999 kepada PRU Ke-12 2004. Pak Lah tidak gunakan strategi “penerapan nilai islam dalam pentadbiran” yang digunakan oleh Dr Mahathir. Beliau tentu saja tidak mahu ikut pendekatan BA yang menjadikan Islam sebagai Ad-Deen. Maka Pak Lah mencipta sendiri pendekatan beliau dengan membawa “Islam Hadhari”.

Beliau mempromosikan Islam Hadhari ke sana dan ke mari, di dalam dan luar negeri. Pegawai dan kakitangan jabatan dan agensi kerajaan dan swasta wajib mengikuti kursus-kursus mengenai Islam Hadhari. Pelajar-pelajar universiti, badan-badan NGO juga diberi kursus mengenai Islam Hadhari. Pak Lah mahu membuktikan beliau Perdana Menteri yang lebih memahami dan menghayati Islam daripada mantan bosnya Dr Mahathir. Kebetulan Malaysia mengetuai negara-negara anggota OIC sebagai pengerusi, maka Islam Hadhari dipromosikan kepada negara-negara anggota melalui pelbagai seminar dan forum antarabangsa.

BN di bawah pimpinan Abdullah Badawi memenangi lebih 2/3 majoriti dalam PRU Ke-11 2004. Islam Hadhari seolah-olah mengukuhkan kedudukan negara Islam Malaysia yang diserahkan oleh Dr Mahathir kepada Pak Lah. Bagaimanapun, penyerahan pimpinan kepada Pak Lah dilakukan oleh Dr Mahathir secara separuh hati kerana hasrat beliau sebenarnya hendak menyerahkan kepimpinan negara kepada Najib Tun Razak. Sepanjang kempen mewar-warkan Islam Hadhari, Pak Lah tidak disertai oleh Timbalannya, Najib Tun Razak dan juga Menteri-menteri Kabinetnya. Berkemungkinan Najib pun tak faham, apa itu Islam Hadhari kerana Dr Mahathir sendiri mempertikaikan Islam Hadhari itu. Tentu sajalah Najib cenderung kepada pendirian Dr Mahathir mengenai Islam Hadhari. Bagaimanapun, Tan Sri Dr Abd Hamid Othman, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, bersama-sama Datuk Mohd Nakhaie, Yang Dipertua YADIM, berkerja keras membantu Pak Lah meng”hadhari”kan Islam di seluruh negara. Hampir kesemua mufti-mufti diajak mengaminkan Islam Hadhari itu.

Dengan penuh keyakinan, Pak Lah mahu membuktikan beliau lebih berjaya daripada Dr Mahathir dalam pentadbiran negara dengan menggunakan pendekatan 10 prinsip Islam Hadharinya yang langsung tiada kaitan dengan penerapan nilai Islam Dr Mahathir. Beliau juga mahu membuktikan kepada PAS bahawa UMNO di bawah pimpinannya tidak kurang Islamiknya daripada PAS yang sering dituduh oleh UMNO memperalatkan agama untuk kepentingan politik.

Pak Lah berasa aman dengan Islam Hadharinya menerajui kerajaan BN yang berjaya menumbangkan kerajaan PAS Terengganu, mencemaskan kerajaan PAS Kelantan dengan kemenangan majoriti tipis 2 kerusi, dan mengalahkan hampir semua anggota Parlimen PAS dan Keadilan yang menang dalam PRU Ke-10 1999. Pak Lah seolah-olah berjaya membawa majoriti rakyat Malaysia melupai bahawa Malaysia negara SEKULAR. Tiba-tiba ketenangan Pak Lah dengan Islam Hadharinya dikejutkan oleh tindakan 9 orang Menteri Kabinetnya yang bukan Islam dari parti-parti komponennya yang terdiri dari MCA, MIC, Gerakan, PBS, SUPP dan lain-lain. Mereka menyerahkan satu memorandum kepada Abdullah Badawi menuntut supaya Artikel 121 (1A) dalam Perlembagaan Persekutuan supaya dimansuhkan. Mereka mendakwa peruntukan tersebut menghalang kebebasan beragama di kalangan bukan Islam kerana peruntukan itu memberi bidang kuasa mutlak kepada Mahkamah Syariah untuk memutuskan kedudukan Islam seseorang yang meninggalkan agama tersebut samada ia sabit murtad atau ia masih tetap seorang muslim. Artikel 121 (1a) ini sebenarnya merupakan jantung kepada negara Islam Malaysia yang diumumkan oleh Dr Mahathir. Peruntukan ini dibuat dalam pindaan Perlembagaan pada September 1988. Saya kurang pasti tarikhnya, samada jatuh pada tarikh yang sama dengan pengumuman Dr Mahathir bahawa Malaysia negara Islam.

Memorandum 9 Menteri Kabinet bukan Islam itu merupakan ledakan rasa tidak puas hati golongan orang bukan Islam yang paling bersejarah selepas negara mencapai kemerdekaan 5 dekad. Memorandum itu juga merupakan pakej bantahan rasmi rakan-rakan UMNO dalam komponen BN terhadap negara Islam yang diumumkan Dr Mahathir kira-kira 4 tahun sebelum peristiwa bersejarah ini.



Selepas peristiwa bersejarah ini, berderetanlah timbulnya isu-isu mempertikaikan Islam yang ditaja oleh Majlis Peguam dan pelbagai kumpulan pejuang hak asasi manusia. Ini termasuklah rancangan penubuhan Inter Faith Commision of Malaysia (IFCM), public forum entitled “Federal Constitution: Protection for All”, Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST) dan lain-lain. Termasuk juga isu perbicaraan Lina Joy yang mendapat perhatian hingga ke peringkat antarabangsa. Kesemua ini adalah fenomena yang secara tabienya adalah hasil dari dasar SEKULAR negara yang menjadikan Islam hanya sebagai agama ritual dan upacara. Ia adalah ibarat buah yang sudah cukup ranum dari pohon SEKULAR yang ditanam, dibajai dan dijaga bersungguh-sungguh selama 50 tahun dan tibalah musim menuainya dalam era Abdullah Badawi. Kebetulan pula ia mudah dituai kerana kepimpinan Pak Lah yang lemah membuka ruang untuk pelbagai pihak mencabar kerajaan UMNO/BN. Apatah lagi mantan bosnya sentiasa merendah-rendahkan kepimpinan beliau. Maka forum awam bertajuk “Conversion to Islam: Article 121 (1A) of the Federal Constitution, Subashini and Shamala Revisited” adalah hanya salah satu dari rangkaian fenomena tersebut. Ia tidak akan dapat diselesaikan dengan tindakan ISA kepada mereka yang terlibat menganjurkannya. Tindakan seperti itu hanya ibarat menyapu sampah ke bawah tikar/permaidani.

Bersambung dalam bahagian kedua (akan disenaraikan fakta-fakta dan peristiwa yang akan menjustifikasikan premis dan natijah yang disimpulkan dalam Bahagian 1 ini).


Baca lagi...

Khamis, Julai 31, 2008

UMNO Perak Sekali Lagi Melamar PAS Bentuk Kerajaan

Maksud firman Allah SWT:
“Jika kamu mendapat sesuatu kebaikan, maka mereka menjadi tidak senang kerananya; dan jika kamu ditimpa oleh sesuatu bencana, mereka berkata: “Sesungguhnya kami sebelumnya telah memperhatikan urusan kami”, dan mereka berpaling dengan rasa gembira.” (At-Taubah:50)

Dalam ucapan alu-aluan di majlis perasmian Konvensyen PAS Perak Kali Ke-13 di Ipoh pada 26-27 Julai 2008 yang disempurnakan oleh Dato’ Seri Presiden Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, saya mengulangi lagi ketegasan PAS menolak sebarang rundingan untuk membentuk kerajaan dengan UMNO/BN di Perak. Saya menegaskan bahawa PAS akan tetap bersama Pakatan Rakyat. Saya lihat Dato’ Ngeh Koo Ham, Pengerusi DAP Perak dan Hj Ismail Yusof, Pengerusi Perhubungan PKR Perak, kedua-duanya mengangguk-angguk sambil tersenyum mendengar penegasan saya di hadapan lebih 800 orang peserta konvensyen. Turut hadir dif-dif jemputan dari pimpinan DAP dan PKR, ketua-ketua Kelab Penyokong PAS, wakil-wakil NGO dan Dewan Perhimpunan Cina Perak serta Yayasan Orang Asli Perak (YOP).

Tiba-tiba tak semena-mena sehari selepas konvensyen itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Dato’ Seri DiRaja Mohamad Tajol Rosli mengadakan satu sidang akhbar di Ipoh. Kononnya sebagai respon kepada kenyataan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS yang melontarkan cadangan supaya UMNO dan PAS dibubarkan dan ditubuh satu parti baru berteraskan Islam sekiranya orang Melayu/umat Islam negara ini hendak benar-benar disatukan.

Dalam sidang media itu, Tajol Rosli menawarkan kepada PAS Perak untuk membentuk kerajaan baru bersama UMNO/BN. Beliau bersetuju supaya jawatan Menteri Besar Perak terus dipegang oleh Menteri Besar yang mewakili PAS dalam kerajaan Pakatan Rakyat sekarang. Beliau sendiri tidak akan memegang sebarang jawatan Exco atas alasan supaya tidak dituduh mengontrol kerajaan PAS/UMNO yang dicadangkan itu. Dalam tawaran pada kali ini tidak disebutkan samada jawatan speaker diberi kepada PAS seperti yang pernah ditawarkan dahulunya selain daripada 4 jawatan Exco.

Sebenarnya rakyat Perak umumnya mengetahui bahawa tawaran ini adalah merupakan lamaran kali ke-2 yang dibuat UMNO kepada PAS Perak. Lamaran pertama dibuatnya 138 hari yang lalu sebelum tawaran ke-2 ini. Bezanya lamaran dahulu dibuat melalui agen UMNO yang terdiri daripada pegawai kanan kerajaan negeri, wakil-wakil NGO dan wakil UMNO Pusat yang diketuai oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri dan dilantik sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri (MTPNg) Perak.

Alasan yang diberikan pihak UMNO dalam kedua-dua lamarannya adalah sama sahaja iaitu demi untuk mengukuhkan perpaduan Melayu. Cuma sedikit kelainannya pada kali ini UMNO bersedia memberi ruang kepada PKR dan DAP untuk ikut serta dalam kerajaan yang dinamakan oleh Tajol Rosli sebagai kerajaan PAS-BN. Hujah tambahan beliau ialah untuk mewujudkan kerajaan yang stabil dan kukuh ke arah mencapai wawasan 2020 menjadikan Perak negeri maju.

Saya menerima panggilan telefon dan pesanan SMS bertalu-talu sebaik sahaja sidang media Tajol Rosli itu disiarkan. Tergambar di fikiran saya betapa dedikasinya mantan MB Perak itu merancang hendak menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat yang disasarkan menjelang 31 Ogos ini. Dalam perjalanan pulang ke KL, sempat saya memberi respon kepada beberapa pemberita akhbar berbahasa Cina di Ipoh yang menghubungi saya. Dengan tegas saya katakan: “No way PAS nak sambut tawaran itu”. Sejak awal-awal lagi selepas bulan Mac lalu, PAS Perak tidak bersedia berbincang mengenai tawaran mereka yang serupa. Bahkan saya menolak untuk bertemu dengan Tajol Rosli sebab kami sudah awal-awal bersetuju menyahut mandat rakyat untuk kami membuat perubahan di Perak dengan bersepakat bersama-sama parti PKR dan DAP untuk membentuk kerajaan baru menggantikan BN.

Siang tadi saya terbaca dalam media utama, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beriya-iya benar mendokong tawaran Tajol Rosli. Bahkan beliau menegaskan bahawa UMNO benar-benar ikhlas dalam tawaran kali ini demi untuk mengukuhkan perpaduan Melayu dan kestabilan kerajaan Perak. Beliau menyatakan keyakinannya bahawa saya selaku Pesuruhjaya PAS Perak bersedia menyambut tawaran tersebut kerana menurut beliau suasana dan keadaan sekarang ini berbeza dengan suasana 4 bulan yang lalu ketika saya menolak untuk bertemu dengan beliau yang mewakili Tajol Rosli.

Saya bersetuju keadaan politik di Perak yang dilalui oleh PAS berbeza dengan suasana 4 bulan yang lalu. Dahulunya hubungan PAS dengan DAP agak kurang stabil apabila pihak DAP memboikot perlantikan Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dari PAS menjadi Menteri Besar. Malah pihak PKR juga pada awalnya memboikot upacara angkat sumpah Menteri Besar Perak itu. DAP juga menuntut 2 jawatan Timbalan Menteri Besar Perak. Begitu juga pengagihan jawatan Exco dan portfolionya pernah menimbulkan kontroversi.

Akan tetapi keadaan hari ini amat berbeza kerana bertambah kukuh dan mantap persefahaman di kalangan pimpinan ketiga-tiga parti pakatan dan anggota Exco kerajaan. Kebanyakan perkara-perkara penting yang diputuskan dalam majlis mesyuarat kerajaan adalah manifestasi dari persefahaman dan muafakat yang dicapai secara syura dalam mesyuarat jawatankuasa penyelarasan ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat itu.

Zahid Hamidi selaku Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri (MTPNg) Perak juga berjanji akan memberi peruntukan yang besar sekiranya PAS menerima tawaran mereka kali ini. Bagi saya tawaran ini merupakan sogokan kepada Pakatan Rakyat khususnya kepada PAS. Sebabnya, rakyat telahpun memberi mandat kepada kami untuk membuat perubahan melalui undi rakyat yang diberikan dalam PRU Ke-12 lalu. Mengapa kami yang telah diberi mandat rakyat itu disogok dengan bantuan yang dijanjikan? Kalau jujur untuk mengukuhkan kerajaan Pakatan Rakyat sekarang, laksanakan sahajalah segala rancangan pembangunan yang telah diperuntukkan dalam RMK-9 khususnya Projek Koridor Pembangunan Wilayah Utara Perak yang diperuntukkan berbilion-bilion ringgit itu. Sukar bagi saya hendak mempercayai keikhlasan UMNO seperti yang didakwa oleh Zahid dengan alasan-alasan berikut:
  • Baru sahaja seminggu dua mereka menyerang Menteri Besar Perak dengan fitnah kononnya beliau membuat Perjanjian Pangkor II dengan DAP. Beliau juga dituduh sebagai boneka DAP.

  • Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-12, penggal ke-2, pada akhir Jun 2008 yang lalu, sepanjang persidangan 3 hari mereka menyerang Menteri Besar dan Exco-Exco kerajaan Pakatan Rakyat sebagai tidak layak dan berkemampuan mentadbir negeri.

  • UMNO Perak mengadakan roadshow menyerang PAS Perak dan pimpinannya dengan melemparkan pelbagai cacian dan tuduhan sebagai pengkhianat agama dan bangsa, hatta dalam kursus BTN juga pimpinan PAS dicaci dan dikutuk.

  • Dalam dua majlis Upacara Penyampaian Pungutan Zakat kepada Majlis Agama Islam Perak yang dilakukan oleh Zahid sendiri, Menteri Besar Perak tidak diundang untuk hadir menyaksikannya.

  • Sepanjang 4 bulan yang lalu, tidak pernah UMNO menunjukkan kepercayaan mereka terhadap DAP dan PKR. Tiba-tiba sekarang bersedia pula mengajak kedua-dua parti itu untuk menyertai kerajaan baru yang ditawarkan kepada PAS.

  • Hingga ke hari ini gambar Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ir Hj Muhammad Nizar Jamaluddin tidak dibenarkan digantung di premis-premis yang terletak di bawah kerajaan pusat termasuk di sekolah-sekolah bahkan di Sekolah Menengah Agama Rakyat bantuan kerajaan.

  • RTM Stesen Radio Perak di Ipoh tidak melaporkan berita dan aktiviti Menteri Besar atau kerajaan Pakatan Rakyat kecuali untuk mengelirukan rakyat.

  • Kerajaan Pusat terus melantik Ketua Kampung dan JKKP di negeri Perak padahal kerajaan negeri telahpun melantik Ketua-ketua Kampung yang memang terletak di bawah kuasa kerajaan negeri. Mereka dilantik melalui pemilihan secara demokrasi.

Pada saya tawaran UMNO itu dibuat semata-mata untuk membolehkan mereka berkuasa semula di negeri Perak. Mereka mendakwa mereka masih kuat dengan 27 ADUN UMNO dan 1 MCA. Mengapa mereka tidak boleh memerintah sedangkan PAS hanya mempunyai 6 ADUN tetapi memegang tampuk pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak. Setelah mereka mendapat berkuasa, mereka boleh merancang tipu daya untuk menyingkirkan PAS seperti yang pernah mereka lakukan di peringkat Pusat pada tahun 1978 yang lalu. PAS disingkirkan di atas tuduhan menikam UMNO dari belakang kerana membuka cawangan-cawangan PAS di FELDA dan membawa seorang pemimpin UMNO di Johor menyertai PAS.

InsyaAllah PAS tidak akan dipatuk ular yang sama di lubang yang sama sekali lagi. UMNO Perak bersabarlah menerima keputusan PRU Ke-12 dan teruskanlah tugas anda sebagai pembangkang yang berperanan membina dan menjadi watchdog yang sebenar. Bagaimanapun, jika teringin benar hendak bersama dengan pihak kerajaan, PAS mengalu-alukan secara ikhlas ADUN-ADUN UMNO yang benar-benar hendak membela bangsa dan agama itu menyertai PAS dengan segera tidak terkecuali Dato’ Seri DiRaja Mohamad Tajol Rosli sendiri.


Baca lagi...

Rabu, Julai 30, 2008

Janganlah Penyokong PAS Berbalah dengan Pemimpin Disebabkan Muqabalah


Maksud firman Allah SWT:
“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman.” (Al-Anfal:61-62)

Lebih seminggu saya sibuk bergerak di antara KL/Ipoh/Kota Bharu kemudian balik ke Semanggol dan seterusnya berada di Ipoh selama 3 hari kerana bermesyuarat dan menghadiri Konvensyen PAS Perak Ke-13.

Saya tidak membuat sebarang posting dalam blog saya lebih seminggu kerana menunggu-nunggu agar keresahan dan kekeliruan terutama di kalangan akar umbi penyokong PAS mengenai isu apa yang dinamakan Muzakarah UMNO/PAS dapat diredakan. Ini apabila presiden Tuan Guru Hj Hadi bersama 5 ahli Majlis Syura termasuk saya membuat pertemuan dengan Tuan Guru Mursyidul Am di JKR 10, Kota Bharu pada petang Rabu 23 Julai 2008. Selepas pertemuan tersebut yang berlangsung kira-kira 1 jam, Mursyidul Am memberitahu wartawan media termasuk TV3 bahawa kenyataan beliau mengenai apa yang dikatakan Muzakarah UMNO/PAS itu tdak bercanggah langsung dengan kenyataan Presiden PAS Tuan Guru Hj Hadi Awang, iaitu tidak ada sebarang perbincangan atau perundingan dengan UMNO untuk membentuk kerajaan dengan UMNO/BN. Mursyidul Am menegaskan isu muzakarah sudah ditutup fail. Yang boleh diadakan ialah muqabalah atau pertemuan bersemuka untuk berbincang perkara mengenai kepentingan Islam dan rakyat amnya.

Presiden dalam sidang media yang sama juga menegaskan muqabalah boleh diadakan apabila ianya dilihat perlu untuk membincang perkara mengenai kepentingan Islam dan rakyat amnya terutama untuk mengukuhkan kerajaan Pakatan Rakyat. Beliau mengulangi pendirian tegasnya bahawa PAS tetap bersama Pakatan Rakyat.



Dalam sidang akhbar yang sama, Timbalan Mursyidul Am, Dr Harun Din, menjelaskan bahawa muqabalah dengan pimpinan UMNO yang pernah diketuai oleh Timbalan Presiden adalah direstui oleh Majlis Syura. Keputusan majlis tersebut dalam mesyuaratnya pada 23 April yang lalu terus memberi mandat kepada pimpinan tertinggi parti iaitu Presiden sendiri, Timbalan Presiden dan beberapa orang yang lain untuk berbincang sekiranya diajak dengan mana-mana pihak termasuk UMNO bagi membincangkan perkara kepentingan Islam dan lain-lain perkara yang boleh mengukuhkan lagi kerajaan Pakatan Rakyat.

Selepas sidang media selesai, Ustaz Nasharuddin Mat Isa (Timbalan Presiden) melahirkan perasaan leganya dan berkata selepas ini beliau akan dapat tidur nyenyak kerana dengan kenyataan ketiga-tiga pimpinan Syura dan parti yang utama itu, akan lenyaplah persepsi atau tuduhan pelbagai pihak bahawa beliau mengetuai rundingan untuk berpakat dengan UMNO adalah tindakan peribadi.

Bagaimanapun saya hari ini masih tertanya-tanya mengapa segala penjelasan dan penegasan yang dibuat selepas pertemuan dengan Mursyidul Am itu melalui media parti sendiri seperti Harakah Daily, akhbar Harakah dan Siasah seolah-olah tidak dapat menghapuskan kekeliruan dan meredakan kebimbangan bukan sahaja di kalangan akar umbi bahkan juga di kalangan sebahagian pemimpin-pemimpin PAS pelbagai peringkat. Apakah media perdana pro-UMNO/BN masih kuat mempengaruhi orang-orang PAS atau penyokong-penyokong Pakatan Rakyat? Di peringkat perhubungan PAS Perak, saya telah menjelaskan bahawa apa yang disebut isu muzakarah yang meletup apabila ianya didedahkan oleh Presiden UMNO, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah satu perangkap sebagai percubaannya untuk memecah-belahkan perpaduan kalangan pimpinan Pakatan Rakyat. Di samping itu beliau cuba mengalihkan pandangan umum daripada isu-isu pertarungan dan perebutan kuasa dalam UMNO akibat pengumuman beliau mengenai peralihan kuasa pimpinan UMNO yang akan berlaku pada Jun 2010.

Sebenarnya PAS sengaja tidak mahu mengheboh-hebohkan isu pertemuan itu kerana semua pertemuan yang berlaku adalah atas ajakan UMNO khasnya presiden mereka. Memanglah benar dalam pertemuan pertama, UMNO membuat tawaran kepada PAS supaya membentuk kerajaan bersama UMNO/BN di peringkat pusat dan negeri-negeri yang UMNO/BN menerima kekalahan. Tetapi dengan tegas PAS telah menolaknya dan presiden serta merta membuat kenyataan menyokong pencalonan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor bagi kerajaan Pakatan Rakyat. Ini bagi menolak sangkaan kononnya PAS akan membentuk kerajaan bersama UMNO/BN di Selangor. Di Perak, saya dan pimpinan PAS awal-awal lagi mengumumkan persetujuan bersama DAP dan PKR membentuk kerajaan campuran ketiga-tiga parti namun pimpinan UMNO telah berusaha untuk menggagalkannya, tetapi mereka yang gagal.

Adapun pertemuan-pertemuan yang selepasnya kira-kira lebih sebulan yang lalu juga dengan jemputan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri, mereka mahu berbincang hal kepentingan Melayu dan Islam, apa salahnya pihak PAS hendak mendengar kerana kita pun memang mempunyai berbagai-bagai cadangan untuk didengar oleh pihak mereka. PAS memang sangat prihatin terhadap kepentingan umat Islam dan Islam itu sendiri yang menjadi dasar perjuangannya. PAS juga melihat bahawa sebarang masalah yang boleh mengancam kepentingan umat Islam di negara ini mesti diatasi. Kerana itu, PAS perlu bersemuka bila diajak berbuat demikian untuk tujuan tersebut. Atas keikhlasan PASlah pemimpin PAS bersedia bersemuka tapi ternyata pihak UMNO sentiasa mencari peluang untuk kepentingan mereka dan melakukan pelbagai tipu daya dengan menjadikan “isu muzakarah” sebagai kononnya usaha hendak menggabungkan PAS dengan UMNO membentuk kerajaan.

Dengan bantuan media arus perdana pro-UMNO/BN, kini PAS berhadapan dengan penyokong dan pengikut-pengikutnya termasuk kelab penyokong PAS dari kaum bukan Melayu. Saya membaca tulisan-tulisan atau berita dalam website dan blog-blog popular dan dapat memahami keresahan dan kegelisahan mereka. Di Perak saya telah dapat menjelaskan perkara ini kepada pimpinan DAP khasnya dan mereka berpuas hati dan penuh percaya pendirian PAS yang terus menolak tawaran UMNO/BN. Kepada ahli-ahli dan penyokong PAS serta pimpinan dari peringkat cawangan, kawasan dan negeri tidak perlulah mereka beremosi supaya tidak terus terperangkap dengan jerangkap yang dipasang oleh UMNO. Saya memang begitu risau menerima pesanan-pesanan SMS yang mengutuk pimpinan termasuk presiden sendiri dan timbalannya. Mereka hendaklah melihat bahawa perjuangan kita untuk membela Islam tetap diteruskan walaupun berhadapan dengan apa jua cabaran. Memang kita dalam medan politik bermusuhan dengan UMNO/BN sepanjang lebih 5 dekad. Tetapi apabila ada masa pihak musuh mengajak kita berbincang masalah yang berkait langsung dengan matlamat perjuangan kita, mengapa kita mesti menolak? Bukankah pergerakan kita berpandukan Al-Quran? Cukup sahaja merujuk kepada surah Al-Anfal, ayat 61 dan 62, di mana Allah memerintahkan umat Islam yang sedang berperang/bertempur supaya menyahut seruan musuh jika mereka menawarkan perdamaian. Kemudian kita diperintahkan berserah kepada Allah dan andainya musuh hendak menipu atau memperdaya kita, Allah menegaskan cukup sahaja Dia yang akan menolong kita.

Sukar saya hendak memahami mengapa apabila PAS berbincang mengenai kepentingan Islam dan umatnya tidak kira dengan siapa pun, ianya boleh menimbulkan prasangka seolah-olah mahu mengenepikan rakannya dalam Pakatan Rakyat. Apakah sekiranya membincangkan isu gejala sosial di kalangan orang Islam, isu murtad, isu penguatkuasaan undang-undang pantadbiran Islam yang sedia ada yang kini seolah-olah disingkirkan oleh kerajaan UMNO/BN, semua itu boleh dianggap sebagai usaha mengenepikan rakan dalam Pakatan Rakyat. Bukankah sekiranya perkara-perkara tersebut dapat diatasi secara tidak langsungnya dapat mengukuhkan kedudukan kerajaan Pakatan Rakyat?

Akhirnya kepada semua penyokong dan pendokong PAS termasuk pimpinan kelab-kelab penyokong PAS supaya sentiasa mengikuti penjelasan dan penerangan mengenai apa-apa jua isu yang menyentuh parti melalui media kita, bukannya mempercayai diayah dan propaganda musuh yang tidak pernah putus-putus memutar-belit dan memanipulasi isu-isu yang boleh menguntungkan mereka. Sebagai contoh mereka terus mempermainkan istilah muzakarah yang sudah kita tukarkan dengan istilah muqabalah. Namun mereka tetap menggunakan istilah muzakarah. Sebab itu ada sahabat-sahabat yang mencadangkan kepada saya supaya muqabalah pun jangan diadakan dengan UMNO jika ia boleh menyebabkan berbalah di antara sesama PAS dan juga rakan pakatan. Saya terfikir elok juga jika cadangan ini saya bawa ke dalam mesyuarat AJK PAS Pusat bersama Majlis Syura esok pagi.


Baca lagi...

Rabu, Julai 16, 2008

UMNO Perak Berbohong dan Menyebar Fitnah untuk Menebus Kekalahan

‘Perjanjian Pangkor II’?
(foto ehsan Muzium Perak)

Maksud firman Allah SWT:
“Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.” (Al-Furqan:63)

UMNO Gunakan Badan NGO
Setelah gagal dalam usaha mereka memujuk PAS dan percubaan menarik beberapa orang ADUN Pakatan, UMNO merancang dan melaksanakan pelan bertindak membuat dan menyebar fitnah dengan menggunakan beberapa kumpulan kecil yang mereka dakwa mewakili badan NGO Melayu Islam di Perak. Mereka merancang perhimpunan besar-besaran kononnya untuk menyatakan bantahan mereka terhadap kerajaan campuran Pakatan Rakyat. Mereka menuduh PAS bersekongkol dengan DAP untuk mengenepikan hak ketuanan Melayu dan mengancam agama Islam demi mendapatkan kuasa. Untuk menarik orangramai, mereka sebarkan risalah yang bertandakan lambang PAS yang dipalsukan. Ini mereka lakukan pada hari-hari pertama mereka kehilangan kuasa. Namun perhimpunan itu gagal mendapat sambutan walaupun media perdana yang dikuasai UMNO/BN mewarwarkan perhimpunan yang gagal itu sebagai satu kejayaan. Semenjak itu timbullah tuduhan-tuduhan dan fitnah yang diatur secara terancang. Kesemuanya cuba memberikan persepsi bahawa Dato’ Seri Haji Mohammad Nizar yang menjadi Menteri Besar adalah boneka kepada DAP Perak yang diketuai oleh Dato’ Ngeh Koo Ham.

Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak Ke-12 pada hujung bulan lalu, mereka melemparkan pelbagai tuduhan dan fitnah terhadap Menteri Besar. Namun strategi serangan mereka memakan diri sendiri apabila isu yang mereka lontarkan disanggah oleh Menteri Besar dan pihak kerajaan. Di luar dewan, Dato’ Ngeh Koo Ham mengeluarkan kenyataan yang jelas bahawa dalam kerajaan Pakatan Rakyat tidak ada mana-mana parti yang mendominasi kerajaan. Beliau menegaskan bahawa setiap keputusan yang diambil dalam majlis mesyuarat kerajaan adalah dibuat secara konsensus. (rujuk kenyataan Pengerusi DAP Perak dalam akhbar The Sun 25 Jun 2008)

Pimpinan UMNO diketuai oleh Tajol Rosli dengan dibantu oleh media arus perdana pro-UMNO terus memainkan pelbagai perkara yang mereka putar belitkan sehingga dilihat sebagai isu yang mencabar kedudukan orang Melayu dan Islam di negeri Perak. Di antaranya, arahan pertukaran jawatan Dato’ Haji Jumry, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIP) dalam tempoh 24 jam yang kemudiannya ditarik balik setelah mendapat nasihat pihak istana. Perkara ini mereka permainkan habis-habisan apabila Karpal Singh mengeluarkan kenyataan menegur raja-raja. Bagaimanapun isu ini selesai apabila DYTM Raja Muda Tuanku Raja Nazrin Shah selaku Pengerusi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak mengeluarkan kenyataan memuji sikap Menteri Besar dalam menangani perkara berkenaan dengan cara yang harmoni dan penuh kebijaksanaan.

Geran Kekal 999 Tahun?
Tuduhan yang boleh mengelirukan rakyat terutama orang-orang Melayu di negeri Perak ialah mengenai tawaran geran pemilikan tanah Kampung-kampung Baru di negeri Perak yang diberikan taraf Pemilikan Kekal selama 999 tahun. Kononnya kerajaan Perak membuat keputusan sedemikan adalah kerana desakan DAP. Perkara seperti ini memang sangat mudah dipermainkan apabila media perdana terus mewarwarkannya, jangankan orang-orang biasa, pemimpin PAS pun ada yang ikut terbawa-bawa dengan propaganda UMNO ini. Ramai orang terkejut apabila Dato’ Mustafa Ali dalam catatan awalnya dalam blog beliau pada bulan lalu secara terbuka menegur Menteri Besar Perak tentang perkara ini. Padahal beliau boleh bertanyakan kepada saya atau memberikan pendapatnya terus tanpa perlu mencatat dalam blognya.

Sebenarnya, cadangan pemberian geran milik kekal kepada Kampung-kampung Baru dan Kampung-kampung Tersusun bukannya datang dari DAP tetapi perkara itu adalah sebahagian dari sepuluh tawaran PAS dan PKR dalam Manifesto BA dalam PRU Ke-12 yang lalu. Semestinya untuk memenuhi janji BA, perkara ini dibawa ke dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri dan dipersetujui oleh DAP. Tidak timbul sama sekali hanya Kampung Baru sahaja yang berhak mendapat geran milik kekal, tetapi Kampung Tersusun juga sama berhak. Bahkan kerajaan juga bersetuju menawarkannya kepada perkampungan Orang Asli. Apapun, tawaran geran milik kekal iaitu pegangan bebas (freehold) itu adalah ditawarkan secara pilihan (option) kerana mereka juga ditawarkan pemilikan pajakan samada 30 atau 60 atau 99 tahun. Kesemuanya bergantung kepada kesediaan dan kemampuan mereka membayar premium atas pemilikan itu.

Bagaimanapun, jika diandaikan kesemua penghuni Kampung-kampung Baru menerima tawaran geran milik kekal atau pegangan bebas, maka kawasan Kampung Baru itu sampai bila-bila pun tidak akan bertambah keluasannya (kira-kira 6,000 ekar) sedangkan Kampung Tersusun yang kini keluasannya kira-kira 7,000 ekar boleh bertambah bila dibuka lagi Kampung-kampung Tersusun pada masa akan datang. Kampung-kampung Tersusun ini hampir seratus peratus penghuninya adalah orang-orang Melayu. Pemimpin-pemimpin UMNO sangat mengetahui perkara ini sebab pada zaman mereka memerintah 50 tahun itulah terbangunnya Kampung-kampung Tersusun sedangkan Kampung Baru wujud pada zaman penjajah semasa darurat kerana ancaman komunis. Dalam hal ini saya sukalah mengingatkan semua pihak khasnya orang Melayu bahawa sepanjang UMNO/BN berkuasa di Perak, mereka telah mengorbankan puluhan ribu ekar Tanah Rizab Melayu untuk kepentingan golongan tertentu atas nama pembangunan. Sebagai satu contoh, kira-kira 7,000 ekar Tanah Rizab Melayu di kawasan Beruas telah dikorbankan untuk membangun Gula Perak Berhad. Hari ini apa sudah jadi dengan syarikat itu, adakah ia mati tanpa kubur? Inilah yang patut rakyat tanya pimpinan UMNO seperti Dato’ Seri DiRaja Tajol Rosli.

UMNO Mencipta Fitnah ‘Perjanjian Pangkor II’
Fitnah terbaru ialah ‘Perjanjian Pangkor II’ yang direka oleh pemimpin-pemimpin UMNO untuk menimbulkan pelbagai fitnah lagi, samada untuk tujuan memecahbelahkan antara PAS dengan rakan Pakatan Rakyat atau untuk menimbulkan keresahan atau pertelingkahan di antara pimpinan PAS dengan ahli-ahli grassrootnya. Untuk menegakkan fitnah ini seolah-olah satu fakta yang benar, UMNO Perak terpaksa mendapatkan pandangan seorang tokoh undang-undang dan perlembagaan UMNO yang dianggap sebagai pakar iaitu Dato’ Seri Rais Yatim yang juga Menteri Luar. Padahal pakar undang-undang mereka inilah yang bertanggungjawab melepaskan Pulau Batu Putih kepada Singapura kerana tidak berjaya menegakkan hujah Malaysia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Padanlah Malaysia kalah, kerana dalam fitnah yang direka UMNO inipun beliau memberikan pendapatnya berasaskan andaian semata-mata seperti yang beliau sendiri sebutkan. (rujuk Utusan Melayu 9 Julai 2008)

Ada pula di antara pemimpin UMNO mengatakan perjanjian itu dimeterai di Pulau Pangkor di antara Hj Nizar dan DAP (masyaAllah!). Inilah bukti yang menunjukkan mereka meraba-raba di dalam mencipta fitnah tersebut. Ke sana-sini mereka mewarwarkan bahawa kerana ‘Perjanjian Pangkor II’ itu Menteri Besar Haji Mohammad Nizar tidak boleh menyebut perkataan-perkataan Islam dan istilah Islam seperti hudud, qisas dan seumpamanya. Terlampau dangkal nampaknya pemikiran pemimpin-pemimpin UMNO mencari modal untuk membuat fitnah. Mereka cuba menggambarkan PAS Perak kononnya mengkhianati perjuangan dan jihad menegakkan Islam. Fitnah ini turut dijual dalam ceramah-ceramah kursus-kursus BTN kepada peserta-peserta dari kalangan guru-guru agama SMABK baru-baru ini.

Begitu juga dalam suatu perhimpunan belia di Padang Rengas baru-baru ini yang turut dihadiri oleh Dato’ Seri Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mereka memperalatkan seorang abang kepada Menteri Besar Perak, Fadhil Jamaluddin, yang bertugas sebagai seorang pensyarah di sebuah pusat pengajian tinggi di Kedah. Beliau menuduh adiknya Dato’ Seri Nizar tidak layak menjadi Menteri Besar kerana kononnya sentiasa tunduk kepada DAP akibat dari ‘Perjanjian Pangkor II’ yang didakwa oleh UMNO.

Demikianlah UMNO terus memfitnah dan mengharapkan dari ‘Perjanjian Pangkor II’ yang mereka reka-rekakan itu akan memberikan kesan negatif kepada kerajaan Pakatan Rakyat. Tetapi mereka agak kecewa apabila lontaran fitnah ‘Perjanjian Pangkor II’ yang mereka permainkan di tengah-tengah rakyat, ianya begitu mudah ditendang keluar padang oleh Menteri Besar dan Pengerusi DAP Perak apabila kedua-duanya menafikan kewujudan perjanjian yang UMNO fitnahkan itu. Realiti yang disaksikan oleh rakyat dalam tempoh 3 bulan Menteri Besar menerajui Pakatan Rakyat, beliau tidak pernah lupa menyebut ayat-ayat Al-Quran dan istilah-istilah Islam samada dalam ucapan rasmi atau dalam ceramah umum. Bahkan setiap kali Mesyuarat Exco pun, beliau memulakan dengan bacaan Al-Fatihah dan tahmid serta salawat. Tidak pernah mana-mana Exco DAP membantah atau persoalkannya. Bukan itu sahaja, malah saya sendiripun ketika mempengerusikan mesyuarat di antara ketiga-tiga parti, berbuat demikian juga dan menutup mesyuarat dengan bacaan Tasbih Kifarah dan Surah Al-‘Asr. Tiadapun sebarang masalah.

Kononnya Menteri Besar tidak berani menyebut istilah syariat Islam seperti hudud dan qisas. Saya fikir eloklah pemimpin UMNO cermin muka mereka dulu. Bukankah UMNO yang paling keras menentang hudud dan qisas yang diperkenalkan oleh kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu sebelum ini.

Bercakap fasal kedudukan Islam dan kepentingannya di negeri Perak, saya kemukakan pertanyaan kepada UMNO, bukankah kerajaan UMNO/BN yang membunuh Sekolah Agama Rakyat di negeri Perak? Bahkan Sekolah Agama Negeri yang hanya ada dua buah (Izzudin dan Raja Ta’yah) itupun telah diputuskan oleh kerajaan UMNO/BN Perak yang lalu untuk diserahkan kepada Kerajaan Pusat. Alasannya kerajaan negeri Perak tidak mampu membiayainya. Nasib baik kerajaan Pakatan Rakyat sempat menarik balik keputusan itu sebelum penyerahan rasmi dilakukan. Kini hanya tinggal beberapa buah Sekolah Agama Rakyat di Perak yang terselamat. Baru-baru ini juga Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk membantu sekolah-sekolah tersebut. DAP tidak teragak-agak menyokongnya.

Sementara itu pelbagai perancangan sedang disusun oleh kerajaan Pakatan Rakyat untuk menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan ummah seperti yang pernah dititahkan oleh DYMM Sultan. DAP tak bangkang pun. Begitu juga pemilihan Ketua-ketua Kampung seramai lebih dari 700 orang secara demokrasi yang hampir seratus peratus terdiri dari orang Melayu, pun tidak dipertikaikan langsung oleh DAP.

Satu perkara yang UMNO patut tahu bahawa DAP sebagai rakan sepakat dalam kerajaan Pakatan Rakyat sentiasa menerima keputusan yang dibuat secara syura (konsensus) oleh pemimpin ketiga-tiga parti pakatan. Sebagai contoh, jawatan Datuk Bandar Ipoh dipersetujui secara syura supaya jawatan tersebut dipegang oleh penjawat awam, bukan ahli politik seperti yang dihasratkan oleh DAP. Pemimpin DAP menerima dengan senang hati keputusan ini. Bahkan semenjak awal-awal perlantikan Menteri Besar tiga bulan yang lalu, pimpinan DAP tidak bermasalah menerima keputusan syura kami supaya tidak diwujudkan jawatan Timbalan-timbalan Menteri Besar dari kalangan orang bukan Melayu yang pernah diura-urakan oleh DAP.

Inilah sebahagian daripada realiti yang menjadi bukti bahawa fitnah ‘Perjanjian Pangkor II’ itu adalah rekaan yang memakan diri UMNO sendiri.


Baca lagi...

Selasa, Julai 15, 2008

UMNO Perak Tak Sanggup Terima Kekalahan


Maksud firman Allah SWT:
“Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman.” (Al-Anfal:62)

Jerit pekik dan suasana gempar berlaku di kediaman mantan Menteri Besar Perak di Jalan Raja Dihilir, Ipoh pada malam 8 Mac 2008. Dato’ Seri DiRaja Tajol Rosli dan isterinya Datin Seri Kamariah di antara mereka yang seperti sesak nafas apabila keputusan PRU Ke-12 yang diumumkan menunjukkan UMNO/BN hanya memenangi 28 kerusi DUN Perak, manakala selebihnya 31 kerusi dimenangi oleh parti-parti pembangkang PAS-PKR-DAP.

Pada waktu yang sama di ibupejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Perak di Jalan Medan Istana 2, Ipoh Raya, kami pimpinan PAS dan PKR (BA) berunding untuk menimbangkan tawaran DAP bagi membentuk kerajaan campuran. Akhirnya kira-kira jam 2 pagi (9 Mac), kami berenam dari pimpinan PAS, PKR dan DAP membuat sidang media di ibupejabat DAP (yang terletak kira-kira hanya 100 meter jaraknya dari ibupejabat PAS) dan mengumumkan persetujuan bersepakat membentuk kerajaan campuran di antara ketiga-tiga parti yang kami namakan pada ketika itu Barisan Rakyat (kini dinamakan Pakatan Rakyat).

UMNO tidak sanggup menerima kekalahan kerana parti itu memenangi hanya 27 kerusi dari 35 kerusi yang mereka bertanding di kawasan majoriti Melayu menentang PAS dan PKR. Bermula dari saat itu UMNO berusaha dengan begitu yakin untuk membentuk kerajaan melalui pelbagai cara dan pendekatan. Pada mulanya mereka menawarkan puluh jutaan ringgit kepada beberapa orang ADUN PAS supaya melompat parti dan menyebelahi mereka. Orang yang pertama mendapat tawaran rasuah itu ialah ADUN Pasir Panjang yang menjadi menjadi Menteri Besar Perak sekarang.

Bila gagal berbuat demikian, mereka mengajak PAS Perak membentuk kerajaan campuran dengan UMNO/BN. Pelbagai pihak digunakan sebagai agen mereka menemui saya selaku Pesuruhjaya PAS Perak. Bahkan ada agen mereka yang menemui Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Mereka gunakan beberapa orang mufti, pegawai tinggi kerajaan negeri, pertubuhan NGO dan seorang ADUN BN yang ada hubungan keluarga dengan saya. Namun Tajol Rosli sendiri tidak sanggup berhubung terus dengan saya walaupun saya ada dijemput untuk bersemuka dengan beliau.

Tajol Rosli terus berbincang bersama pimpinan UMNO untuk memujuk PAS walaupun pada kira-kira jam 4 petang 10 Mac kami pimpinan dari ketiga-tiga parti Pakatan telah diterima mengadap oleh DYTM Raja Muda Tuanku Raja Nazrin Shah di Istana Kinta. Saya selaku ketua rombongan pakatan kemudiannya mengadakan sidang media di ibupejabat PAS selepas selesai mengadap DYTM Raja Muda. Turut hadir ialah YB Dato’ Husam Musa, Naib Presiden PAS. Dalam sidang media itu saya menjelaskan bahawa sekiranya Menteri Besar Perak dilantik dari pimpinan PAS, maka ia bukanlah kerajaan PAS, begitu juga sebaliknya. Yang paling penting bahawa kerajaan campuran yang akan dibentuk adalah mengikut perlembagaan negeri Perak. YB Dato’ Husam juga turut memberikan penjelasan mengapa PAS bersepakat membentuk kerajaan campuran dengan DAP dan PKR.

Sidang Media PAS Perak pada 10 Mac 2008
(video ehsan TheStarOnline.tv)

Kesempatan Terbuka Bila
Upacara Angkat Sumpah MB Tertunda

Pimpinan UMNO semakin gelabah, mereka terus berusaha untuk menggagalkan pembentukan kerajaan campuran Pakatan Rakyat. Mereka melihat kesempatan terbuka apabila upacara mengangkat sumpah Hj Nizar selaku Menteri Besar pada 13 Mac terpaksa dibatalkan kerana bantahan dari ADUN-ADUN PKR. Kali ini mereka menggunakan agen dari Kuala Lumpur. Seorang pemimpin tertinggi UMNO yang berasal dari Perak dan seorang pegawai tinggi kerajaan Pusat yang isterinya berasal dari Perak bersungguh-sungguh mencuba untuk menemui saya untuk berbincang. Kedua mereka disertai oleh rektor sebuah kolej pengajian tinggi negeri Perak. Pemimpin tertinggi UMNO tersebut yang kami telah lama berkenalan dan kini menjadi salah seorang Menteri Kabinet sempat berbual dengan saya melalui telefon meminta saya bertemu empat mata dengan beliau. Bagaimanapun saya mempunyai beberapa jadual pertemuan dengan pimpinan PAS kawasan Bagan Serai dan Taiping dan saya tidak dapat berjanji untuk memberi masa kepada beliau.

Namun akhirnya beliau dan rombongannya sampai ke tempat penginapan saya di Balai Kuliyyah Tasawwur Islami, Simpang Empat Semanggol tetapi gagal menemui saya kerana tempat penginapan kami dikawal ketat oleh pasukan Unit Amal dengan dibantu oleh dua buah kereta peronda PDRM. Peristiwa itu berlaku pada jam 9 malam 16 Mac. Esok hari selepas upacara angkat sumpah Menteri Besar selesai, saya ditemui oleh seorang agen UMNO yang menunjukkan mereka belum berputus asa memujuk kami untuk membentuk kerajaan campuran bersama BN atas alasan ahli-ahli Exco belum dilantik.

Kemudian pada 29 Mac, 10 orang ahli Exco kerajaan Pakatan Rakyat mengangkat sumpah. Pimpinan UMNO segera mempertikaikan perlantikan tersebut kerana Exco-Exco berkenaan tidak diumumkan portfolio jawatan masing-masing. Sebenarnya MB Dato’ Seri Haji Mohammad Nizar sengaja menangguhkan pengumuman mengenai pembahagian portfolio di antara Exco-Exco berkenaan, walaupun keputusan mengenainya telah dicapai setelah kami pimpinan ketiga-tiga parti bermesyuarat beberapa kali. Kami berpendapat adalah lebih harmoni pengumuman dibuat setelah keputusan tersebut disahkan dalam sidang mesyuarat pertama Exco tersebut.

UMNO cuba ambil kesempatan lagi menuduh kononnya Menteri Besar menyerahkan Portfolio Kewangan kepada Exco kanan DAP Dato’ Ngeh Koo Ham. Tuduhan itu mereka sebarkan melalui ceramah penerangan UMNO Perak dalam ‘roadshow’ mereka ke seluruh negeri. Padahal kami telah bersepakat bahawa Menteri Besar memegang Portfolio Kewangan, Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Pembangunan Ekonomi, Keselamatan dan Pembangunan Luar Bandar.

Tipudaya Tidak Menjadi
Akhirnya, semua tipudaya dan percubaan mereka satu semi satu tidak menjadi. Bermula dengan memainkan isu perkauman dan agama, kemudian menghasut rakyat dengan membangkitkan hak ketuanan Melayu dan percubaan melaga-lagakan Menteri Besar dengan pihak istana. Kesemuanya tidak dapat memenuhi hasrat mereka yang sedang dilanda oleh perasaan mabuk kuasa akibat kekalahan UMNO/BN, yang mereka anggap tsunami politik negara.

Habis apa langkah seterusnya? Lakukan gerakan perang saraf terhadap kerajaan Pakatan Rakyat dan parti-parti pakatan. Maka UMNO kembali semula kepada taktik dan pendekatan menawan ADUN Pakatan Rakyat. Kini sasaran mereka adalah ADUN DAP. Beberapa orang ADUN DAP kononnya secara sukarela bersetuju akan melompat kepada BN. Maklumat yang kami perolehi dari sumber yang kami percayai, agen-agen UMNO yang ditugaskan untuk membeli ADUN-ADUN berkenaan telah mengaturkan rundingan tawar-menawar di sebuah negara jiran. Bagaimanapun pimpinan DAP telah mengambil beberapa tindakan dalaman dan membuat laporan polis serta memaklumkan perkara ini kepada BPR.

Saya yakin amat sukar bagi ADUN-ADUN Pakatan Rakyat untuk melompat keluar parti kerana setiap ADUN Pakatan Rakyat telah menandatangani surat perjanjian masing-masing dengan DYMM Sultan Perak pada 13 Mac 2008 di Istana Kinta. Bolehlah ianya dinamakan ‘Perjanjian Kinta 2008’. Perjanjian itu mengandungi ikrar setiap ADUN Pakatan Rakyat (seramai 31 orang) bahawa mereka secara sukarela bersetuju mendokong penubuhan kerajaan campuran PAS-DAP-PKR dan bersetuju atas perlantikan Haji Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar yang kesepuluh.

Implikasi melanggar surat perjanjian ini boleh menyebabkan ADUN berkenaan dianggap menderhaka kepada sultan. Kecuali ke mana parti pun mereka melompat mereka tetap menyokong kerajaan pakatan Pakatan Rakyat sebagai tanda kesetiaan mereka kepada sultan. Tapi jika keadaan seperti ini berlaku UMNO/BN tidak akan mendapat apa-apa peluang untuk membentuk kerajaan. Bahkan sebaliknya sekiranya ADUN-ADUN yang melompat itu berani mengambil tindakan menyertai ADUN BN untuk membentuk kerajaan maka bukan saja mereka akan mengadapi masalah besar dengan pihak istana, malah pimpinan UMNO sendiri boleh dianggap bersubahat dengan penderhakaan kepada sultan. Beranikah UMNO mengambil risiko besar ini, hanya Dato’ Seri DiRaja Tajol Rosli dan rakan-rakannya sahaja yang boleh menjawab.


Baca lagi...

Rabu, Julai 09, 2008

Pendirian Saya mengenai Tuduhan Terhadap DSAI

Bagi menjawab pertanyaan beberapa pihak mengenai pendirian saya atas isu tuduhan terhadap DSAI seperti yang telah diketahui umum, maka pendirian saya adalah seperti yang terkandung dalam fatwa Dr Taha Jabir al-‘Ulwani. Pendirian inilah juga yang saya berpegang pada 1998 ketika DSAI menerima tuduhan yang sama kali yang pertama. Pendirian saya ini pernah keluar dalam kenyataan yang saya buat atas nama Presiden Persatuan ‘Ulama Malaysia pada ketika itu. Baca dan fahamilah fatwa berkenaan seperti yang dinyatakan dalam artikel HarakahDaily ini:

Fatwa Dr Taha Jabir al-'Ulwani mengenai fitnah terhadap Anwar Ibrahim


Baca lagi...

Khamis, Julai 03, 2008

Rakyat Semakin Prihatin dengan Persoalan Keadilan dan Kezaliman - Bhg 2


Sambungan dari bahagian pertama.

Kunci Keadilan dan Kezaliman di Tangan Pemimpin

Maksud firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.” (An-Nahl:90)

Allah SWT menyuruh hambaNya berlaku adil (jangan berbuat zalim) kepada manusia dan segala makhluk yang bernyawa dan serentak itu Allah SWT melarang manusia berbuat keji dan mungkar. Justeru manusia mesti menghindari kezaliman kerana kezaliman itu sendiri perbuatan keji dan mungkar yang dikutuk Allah SWT.

Ayat Al-Quran berkenaan yang lazimnya dibaca oleh khatib dalam khutbah Jumaat sejak ribuan tahun lalu, adalah simbolik bagaimana penekanan kepada keadilan itu disampaikan kepada para jamaah yang menunaikan solat Jumaat, iaitu golongan lelaki Islam. Dari perspektif Islam, golongan lelaki adalah pemimpin kepada keluarga, masyarakat dan negara. Ini bermakna persoalan keadilan diberikan penekanan utama kepada pemimpin, kerana biasanya di tangan pemimpin tertegak keadilan atau kezaliman dan bagaimana pentingnya persoalan ini diberikan perhatian utama oleh pemimpin.

Namun, malangnya sejak zaman purbakala hingga zaman moden ini, lahir ribuan pemimpin yang zalim terhadap rakyatnya. Contohnya, kezaliman Raja Namrud yang menyuruh rakyat menyalakan api untuk membakar Nabi Ibrahim AS hanya kerana Nabi Ibrahim AS hendak meruntuhkan berhala kepercayaan kuffar di zaman Namrud. Demikian juga bagaimana para nabi dan rasul yang lain dizalimi di zamannya. Pemimpin seperti Firaun, pemimpin di zaman Rom, Parsi dan Mongol, raja-raja China, Jawa, India, Afrika dan lain-lain di zaman dulu yang penuh dengan kezaliman, hinggalah kepada pemimpin di zaman kini seperti Adolf Hitler, Benito Mussolini, Al-Malik Farouk, Gamal Abd Nasir, Chauchescu dari Romania, Fujimori dari Peru, Sukarno, Ferdinand Marcos dan Suharto adalah sebahagian daripada para diktator buas yang tercatat dalam sejarah manusia.

Mereka semua adalah seperti harimau lapar yang sentiasa hendak menerkam mangsanya. Sejak zaman purba hingga kini, berjuta-juta manusia telah dizalimi, dibunuh, dipenjarakan dan diseksa sedemikian rupa. Ini gambaran kejahatan kezaliman, justeru itu Allah SWT memberikan penekanan khusus, mengutuk orang atau pemimpin yang berlaku zalim. Namun manusia, dari zaman berzaman, melakukan kezaliman juga.

Demikian juga mengenai tahanan ISA yang ditahan tanpa dibicarakan. Ratusan orang, sejak dulu hingga kini telah menjadi mangsa kezaliman undang-undang itu. Ingatlah, pemimpin yang melakukan kezaliman ini, baik yang menurunkan tandatangan terhadap perintah tahanan, yang membincangkan perihal tahanan ini dan juga yang melaksanakan tahanan ISA ini akan disoal di akhirat kelak akan kezaliman mereka. Sesungguhnya mereka tidak akan terlepas dari pemerhatian Allah SWT terhadap kezaliman ini, demikian juga dengan perbuatan zalim yang lain.

Perhatikan bagaimana dua khutbah Jumaat yang dimulakan dengan pesanan supaya bertaqwa dan ditutup dengan perintah supaya para jamaah berlaku adil, kerana keadilan hanya dapat ditegakkan jika bertaqwa, tanpa taqwa seseorang pemimpin itu menjurus kepada kezaliman. Jelaslah di sini bahawa keadilan itu didokong oleh taqwa, sementara kezaliman didokong oleh kekufuran dan kefasiqan. Ditegaskan lagi bahawa pemimpinlah yang memegang kunci untuk berlaku adil atau zalim. Apabila ia bertaqwa maka ia berlaku adil, tetapi jika ia tidak bertaqwa, maka ia akan berlaku zalim.

Jika ia memerintah sesebuah negara, membiarkan kekayaan hanya dibolot oleh segelintir suku sakat dan puaknya saja, dengan membiarkan yang lainnya hidup miskin, maka itu juga dikira zalim, tetapi jika ia membahagikan kekayaan negara kepada semua pihak, tanpa mengira puak dan suku sakatnya, maka itu dinamakan adil.

Membiarkan perbuatan rasuah dan penyelewengan berleluasa atau menutup perlakuan curang di bidang ekonomi, umpamanya, di kalangan puak mereka, maka itu juga dikira zalim. Jika ia menekan suara rakyat dan membiarkan rakyat dalam ketakutan untuk bersuara, maka itu juga dikira zalim dan mereka yang zalim, seperti ditegaskan oleh Allah SWT tidak akan mendapat petunjuk Allah SWT.

Sesungguhnya taqwa yang dimaksudkan oleh Al-Quran ialah mematuhi hukum Allah SWT sepenuhnya dan menegakkan syariat Islam supaya terpelihara daripada kemungkaran dan azab Allah SWT. Di dalam konteks taqwa, bahawa pemimpin yang layak hanya mereka yang benar-benar menghayati dan melaksanakan tuntutan taqwa, terutama menegakkan syariat Islam bagi menjamin keadilan kepada rakyat yang diperintahnya, supaya rakyat yang bernaung di bawah pemerintahannya terjamin hak mereka dan merasa selamat.

Dengan demikian jika seseorang Muslim yang menjadi pemimpin, tetapi tidak melaksanakan syariat Islam, maka ia adalah pemimpin yang zalim. Ini kerana ia engkar perintah Allah SWT dan dengan itu ia menzalimi rakyatnya.

Dalam setiap khutbah Jumaat, khatib menekankan betapa pentingnya taqwa yang akan menjuruskan seseorang kepada bersikap adil. Dan aspek keadilan diperingatkan oleh khatib sebelum menutup khutbah keduanya. Hingga sekarang, hal ini diamalkan sejak ia diperkenalkan olah Khalifah Umar Abd Aziz, seorang khalifah Bani Umayyah yang sangat adil dan bijaksana.

Pemerintahan Khalifah Umar Abd Aziz menjadikan aspek keadilan sebagai perkara yang amat diutamakan dalam pemerintahannya. Justeru itu apabila seseorang bercakap mengenai keadilan pemerintahan Islam, maka orang akan mengingati akan pemerintahan Rasulullah SAW dan mengingati pemerintahan Rasulullah SAW, orang akan mengingati pemerintahan Khalifah Umar Abd Aziz yang penuh takqwa, sangat adil dan bijaksana. Ia mewarisi keadilan pemerintahan Rasulullah SAW dan Khulafa-‘ur-Rashidin.

Bersambung dalam bahagian seterusnya (Syariat Islam yang Adil).


Baca lagi...