بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ
الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالاَتِ اللهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلاَ يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلاَّ اللهَ وَكَفَى بِاللهِ حَسِيبًا

Rabu, Julai 30, 2008

Janganlah Penyokong PAS Berbalah dengan Pemimpin Disebabkan Muqabalah


Maksud firman Allah SWT:
“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman.” (Al-Anfal:61-62)

Lebih seminggu saya sibuk bergerak di antara KL/Ipoh/Kota Bharu kemudian balik ke Semanggol dan seterusnya berada di Ipoh selama 3 hari kerana bermesyuarat dan menghadiri Konvensyen PAS Perak Ke-13.

Saya tidak membuat sebarang posting dalam blog saya lebih seminggu kerana menunggu-nunggu agar keresahan dan kekeliruan terutama di kalangan akar umbi penyokong PAS mengenai isu apa yang dinamakan Muzakarah UMNO/PAS dapat diredakan. Ini apabila presiden Tuan Guru Hj Hadi bersama 5 ahli Majlis Syura termasuk saya membuat pertemuan dengan Tuan Guru Mursyidul Am di JKR 10, Kota Bharu pada petang Rabu 23 Julai 2008. Selepas pertemuan tersebut yang berlangsung kira-kira 1 jam, Mursyidul Am memberitahu wartawan media termasuk TV3 bahawa kenyataan beliau mengenai apa yang dikatakan Muzakarah UMNO/PAS itu tdak bercanggah langsung dengan kenyataan Presiden PAS Tuan Guru Hj Hadi Awang, iaitu tidak ada sebarang perbincangan atau perundingan dengan UMNO untuk membentuk kerajaan dengan UMNO/BN. Mursyidul Am menegaskan isu muzakarah sudah ditutup fail. Yang boleh diadakan ialah muqabalah atau pertemuan bersemuka untuk berbincang perkara mengenai kepentingan Islam dan rakyat amnya.

Presiden dalam sidang media yang sama juga menegaskan muqabalah boleh diadakan apabila ianya dilihat perlu untuk membincang perkara mengenai kepentingan Islam dan rakyat amnya terutama untuk mengukuhkan kerajaan Pakatan Rakyat. Beliau mengulangi pendirian tegasnya bahawa PAS tetap bersama Pakatan Rakyat.



Dalam sidang akhbar yang sama, Timbalan Mursyidul Am, Dr Harun Din, menjelaskan bahawa muqabalah dengan pimpinan UMNO yang pernah diketuai oleh Timbalan Presiden adalah direstui oleh Majlis Syura. Keputusan majlis tersebut dalam mesyuaratnya pada 23 April yang lalu terus memberi mandat kepada pimpinan tertinggi parti iaitu Presiden sendiri, Timbalan Presiden dan beberapa orang yang lain untuk berbincang sekiranya diajak dengan mana-mana pihak termasuk UMNO bagi membincangkan perkara kepentingan Islam dan lain-lain perkara yang boleh mengukuhkan lagi kerajaan Pakatan Rakyat.

Selepas sidang media selesai, Ustaz Nasharuddin Mat Isa (Timbalan Presiden) melahirkan perasaan leganya dan berkata selepas ini beliau akan dapat tidur nyenyak kerana dengan kenyataan ketiga-tiga pimpinan Syura dan parti yang utama itu, akan lenyaplah persepsi atau tuduhan pelbagai pihak bahawa beliau mengetuai rundingan untuk berpakat dengan UMNO adalah tindakan peribadi.

Bagaimanapun saya hari ini masih tertanya-tanya mengapa segala penjelasan dan penegasan yang dibuat selepas pertemuan dengan Mursyidul Am itu melalui media parti sendiri seperti Harakah Daily, akhbar Harakah dan Siasah seolah-olah tidak dapat menghapuskan kekeliruan dan meredakan kebimbangan bukan sahaja di kalangan akar umbi bahkan juga di kalangan sebahagian pemimpin-pemimpin PAS pelbagai peringkat. Apakah media perdana pro-UMNO/BN masih kuat mempengaruhi orang-orang PAS atau penyokong-penyokong Pakatan Rakyat? Di peringkat perhubungan PAS Perak, saya telah menjelaskan bahawa apa yang disebut isu muzakarah yang meletup apabila ianya didedahkan oleh Presiden UMNO, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah satu perangkap sebagai percubaannya untuk memecah-belahkan perpaduan kalangan pimpinan Pakatan Rakyat. Di samping itu beliau cuba mengalihkan pandangan umum daripada isu-isu pertarungan dan perebutan kuasa dalam UMNO akibat pengumuman beliau mengenai peralihan kuasa pimpinan UMNO yang akan berlaku pada Jun 2010.

Sebenarnya PAS sengaja tidak mahu mengheboh-hebohkan isu pertemuan itu kerana semua pertemuan yang berlaku adalah atas ajakan UMNO khasnya presiden mereka. Memanglah benar dalam pertemuan pertama, UMNO membuat tawaran kepada PAS supaya membentuk kerajaan bersama UMNO/BN di peringkat pusat dan negeri-negeri yang UMNO/BN menerima kekalahan. Tetapi dengan tegas PAS telah menolaknya dan presiden serta merta membuat kenyataan menyokong pencalonan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor bagi kerajaan Pakatan Rakyat. Ini bagi menolak sangkaan kononnya PAS akan membentuk kerajaan bersama UMNO/BN di Selangor. Di Perak, saya dan pimpinan PAS awal-awal lagi mengumumkan persetujuan bersama DAP dan PKR membentuk kerajaan campuran ketiga-tiga parti namun pimpinan UMNO telah berusaha untuk menggagalkannya, tetapi mereka yang gagal.

Adapun pertemuan-pertemuan yang selepasnya kira-kira lebih sebulan yang lalu juga dengan jemputan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri, mereka mahu berbincang hal kepentingan Melayu dan Islam, apa salahnya pihak PAS hendak mendengar kerana kita pun memang mempunyai berbagai-bagai cadangan untuk didengar oleh pihak mereka. PAS memang sangat prihatin terhadap kepentingan umat Islam dan Islam itu sendiri yang menjadi dasar perjuangannya. PAS juga melihat bahawa sebarang masalah yang boleh mengancam kepentingan umat Islam di negara ini mesti diatasi. Kerana itu, PAS perlu bersemuka bila diajak berbuat demikian untuk tujuan tersebut. Atas keikhlasan PASlah pemimpin PAS bersedia bersemuka tapi ternyata pihak UMNO sentiasa mencari peluang untuk kepentingan mereka dan melakukan pelbagai tipu daya dengan menjadikan “isu muzakarah” sebagai kononnya usaha hendak menggabungkan PAS dengan UMNO membentuk kerajaan.

Dengan bantuan media arus perdana pro-UMNO/BN, kini PAS berhadapan dengan penyokong dan pengikut-pengikutnya termasuk kelab penyokong PAS dari kaum bukan Melayu. Saya membaca tulisan-tulisan atau berita dalam website dan blog-blog popular dan dapat memahami keresahan dan kegelisahan mereka. Di Perak saya telah dapat menjelaskan perkara ini kepada pimpinan DAP khasnya dan mereka berpuas hati dan penuh percaya pendirian PAS yang terus menolak tawaran UMNO/BN. Kepada ahli-ahli dan penyokong PAS serta pimpinan dari peringkat cawangan, kawasan dan negeri tidak perlulah mereka beremosi supaya tidak terus terperangkap dengan jerangkap yang dipasang oleh UMNO. Saya memang begitu risau menerima pesanan-pesanan SMS yang mengutuk pimpinan termasuk presiden sendiri dan timbalannya. Mereka hendaklah melihat bahawa perjuangan kita untuk membela Islam tetap diteruskan walaupun berhadapan dengan apa jua cabaran. Memang kita dalam medan politik bermusuhan dengan UMNO/BN sepanjang lebih 5 dekad. Tetapi apabila ada masa pihak musuh mengajak kita berbincang masalah yang berkait langsung dengan matlamat perjuangan kita, mengapa kita mesti menolak? Bukankah pergerakan kita berpandukan Al-Quran? Cukup sahaja merujuk kepada surah Al-Anfal, ayat 61 dan 62, di mana Allah memerintahkan umat Islam yang sedang berperang/bertempur supaya menyahut seruan musuh jika mereka menawarkan perdamaian. Kemudian kita diperintahkan berserah kepada Allah dan andainya musuh hendak menipu atau memperdaya kita, Allah menegaskan cukup sahaja Dia yang akan menolong kita.

Sukar saya hendak memahami mengapa apabila PAS berbincang mengenai kepentingan Islam dan umatnya tidak kira dengan siapa pun, ianya boleh menimbulkan prasangka seolah-olah mahu mengenepikan rakannya dalam Pakatan Rakyat. Apakah sekiranya membincangkan isu gejala sosial di kalangan orang Islam, isu murtad, isu penguatkuasaan undang-undang pantadbiran Islam yang sedia ada yang kini seolah-olah disingkirkan oleh kerajaan UMNO/BN, semua itu boleh dianggap sebagai usaha mengenepikan rakan dalam Pakatan Rakyat. Bukankah sekiranya perkara-perkara tersebut dapat diatasi secara tidak langsungnya dapat mengukuhkan kedudukan kerajaan Pakatan Rakyat?

Akhirnya kepada semua penyokong dan pendokong PAS termasuk pimpinan kelab-kelab penyokong PAS supaya sentiasa mengikuti penjelasan dan penerangan mengenai apa-apa jua isu yang menyentuh parti melalui media kita, bukannya mempercayai diayah dan propaganda musuh yang tidak pernah putus-putus memutar-belit dan memanipulasi isu-isu yang boleh menguntungkan mereka. Sebagai contoh mereka terus mempermainkan istilah muzakarah yang sudah kita tukarkan dengan istilah muqabalah. Namun mereka tetap menggunakan istilah muzakarah. Sebab itu ada sahabat-sahabat yang mencadangkan kepada saya supaya muqabalah pun jangan diadakan dengan UMNO jika ia boleh menyebabkan berbalah di antara sesama PAS dan juga rakan pakatan. Saya terfikir elok juga jika cadangan ini saya bawa ke dalam mesyuarat AJK PAS Pusat bersama Majlis Syura esok pagi.

5 ulasan:

Anak Bapa berkata...

Saya setuju Ustaz supaya apa saja namanya pertemuan dengan UMNO dihentikan buat masa ini kerana mudharatnya jauh lebih banyak daripada manfaat. Lagi satu permintaan kita supaya jangan semua orang pantang disapa oleh suratkhabar terus melayan sampai habis keliru ahli kerana ulasan yang berbeda-beda .......

Dr. Z menulis berkata...

Setuju dengan Ustaz. kalau tak dapat diselesaikan oleh mesyuarat AJK, perlu dibawa ke muktamar. Kelihatan ahli merasai dilindungi dari maklumat sebenar pertemuan itu. Eloklah dihentikan dulu.

nik berkata...

Pertemuan ini wajar diteruskan demi membuktikan keikhlasan kita terhadap perjuangan Islam dan Melayu. Namun dalam masa yg sama perlu memastikan muslihat UMNO berjaya ditumpaskan.

Lagipun PAS harus sedar sekarang PAS berada dalam kedudukan yg sangat sesuai untuk tawar menawar kerana senjata/kuasa penentu di tangan PAS. Jadi gunala sebaik2nya kerana peluang ini jarang berlaku.

PAS bole mengeluarkan kenyataan setuju untuk bekerjasama dgn syarat2 tertentu.

Cthnya: JPP di Kelantan hendaklah dihapuskan, perlantikan penghulu UMNO yg bertindih dgn penghulu PAS dibatalkan, minta maaf atas tragedi Memali, tarik balik dakwaan ke atas 2 org demonstator yg ditembak di Terengganu dulu, bnyak lagila.

Dengan itu, yg merasa tertekan ialah UMNO plak, bukan PAS

Mohd Mokhtar berkata...

Ustaz,

Tahniah diatas keprihatinan dan rasa tanggungjawab terhadap Isalm dan jamaah yang Ustaz tonjolkan.

Mengenai persoalan yang Ustaz masih tertanya-tanya saya pun begitu juga. Pada pendapat peribadi saya berhubung insiden muzakan-muqabalah ini

a) PAS telah menunjukkan satu "behaviour" yang tidak sepatutnya dizahirkan iaitu persoalan kenapa pada mulanya ada kenyataan rasmi menafikan adanya pertemuan (baca pertemuan) seperti yang difahami melalui kenyataan Ketua Penerangan, kemudia pimpinan PAS tidak menafikan pertemuan itu. Ini seolah-olah PAS telah menunjukkan satu "behaviour" iaitu berbohong walaupun atas maksud kerahsiaan parti atau strategi politik. Secara umumnya berbohong adalah sifat keji dan tidak boleh diterima sama sekali apatah lagi dilakukan oleh agamawan yang diamanahkan untuk memimpin PAS. Untuk meredakan kegusaran ini, saya rasa ucapan meminta maaf secara rasmi adalah satu kekuatan untuk PAS.

b) Keduanya, PAS perlu mempertingkatkan lagi integriti organisasi supaya kesepaduan dan fahaman tentang dasar dan strategi dapat diserlahkan lagi. Telah dinyatakan bahawa kenyataan TGNA dan TGHH adalah tidak berbeza, hanya berlainan (pada pendapat saya). TGNA sebagai MB Kelantan dalam keadaan apa cara sekalipun mesti memimpin dan memenangi susana politik di Kelantan (baca sebagai PAS dalam keadaan memerintah dan perjuangannya untuk mengalahkan sekular). Amanah yang perlu TGNA tunaikan adalah lebih besar iaitu amanah PAS untuk memerintah Kelantan dan amanah rakyat. Saya merasakan adalah tidak kena jika PAS memberikan talian hayat kepada UMNO (baca sebagai memberikan sekular untuk terus hidup dalam masyarakat yang didominasikan oleh masayarakat Islam Kelantan) kerana jika pimpinan PAS (bukan atas kapasiti peribadi) menerima untuk berbincang bersama UMNO/BN, ianya seolah-olah mengiktiraf BN/UMNO apatah lagi pertemuan atau perbincangan itu tanpa keizinan Mursyidul Am. Saya mencadangkan supaya segala tindakan dan perancangan yang sebegini rupa perlu diupdatekan kepada Mursyidul Am supaya TGNA dapat membuat kesesuaian untuk Negeri Kelantan, bukan menyimpannya secara lama sehingga membuka ruang berselisih pendapat, membuka ruang kepada lawan PAS atau menimbulkan kecurigaan kepada umat (termasuk orang bukan Islam).

WaALLAHu a'lam.

Sani berkata...

jom dengar kuliah tuan guru di www.myceramah.com