بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ
الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالاَتِ اللهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلاَ يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلاَّ اللهَ وَكَفَى بِاللهِ حَسِيبًا

Khamis, Mei 01, 2008

Mengenai Saya


Saya dilahirkan pada tahun 1936, sebagai anak jati Semanggol, Perak. Setelah 4 tahun belajar di sekolah melayu, saya memulakan pengajian agama di Maahad Al-Ehya’ Ash-Shariff, Gunung Semanggol bermula dari peringkat rendah sehingga ke peringkat menengah atas (Thanawi Rabi’). Sekolah Agama Rakyat ini ketika itu bukan sahaja terkenal sebagai pusat pendidikan, tetapi juga dikenali sebagai sebuah institusi gerakan Islam dalam perjuangan menuntut kemerdekaan yang ditakuti oleh penjajah. Dato’ Onn yang menjadi Presiden UMNO yang pertama pernah mengungkapkan kata-kata “hubaya, hubaya, bahaya dari gunung”. Ramai pejuang-pejuang kemerdekaan yang ditahan oleh penjajah Inggeris adalah terdiri daripada lepasan maahad ini. Di sinilah ditanam semangat perjuangan Islam dalam diri saya.

Saya menamatkan pendidikan peringkat tinggi di Kolej Islam Malaya. Selepas itu menyambung pelajaran dalam bidang perundangan Islam di Universiti Al-Azhar, Mesir dan memperolehi Ijazah Sarjana di samping Diploma Pendidikan dari universiti yang sama.

Penglibatan saya dalam bidang politik bermula pada tahun 1984 apabila saya menyertai PAS. Tetapi saya hanya bergerak aktif setelah menjadi AJK PAS Pusat dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak pada tahun 1999. Saya bertanding sebagai calon PAS bagi Parlimen Bagan Serai dalam PRU ke-10, dan kemudian dalam PRU ke-11 saya sekali lagi bertanding sebagai calon Parlimen bagi kawasan yang sama dan calon DUN Selinsing. Kini menjawat jawatan Naib Presiden dan Pesuruhjaya PAS Perak bagi penggal keempat.

Saya memulakan perkhidmatan dalam bidang pendidikan sebagai guru agama kementerian di Sekolah Menengah St David High School, Melaka sebelum melanjutkan pelajaran ke Mesir pada 1963 dengan Biasiswa Kementerian Pelajaran. Selepas menamatkan pengajian di Universiti Al-Azhar, saya bertugas menjadi guru semula di Sekolah Aminuddin Baki, Kg Pandan, Kuala Lumpur. Kemudian berkhidmat di Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar sebagai Pegawai Perancang Agama Dewasa. Kemudian saya bertugas sebagai pensyarah pendidikan Islam di Universti Teknologi Malaysia, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Apabila ditubuhkan Bahagian Agama di Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 1974, saya dilantik sebagai Pengarah Dakwah dan Latihan Islam, selepas itu ditukarkan ke Kementerian Pelajaran pada 1980 dan kembali semula ke Bahagian Agama JPM, kini dikenali sebagai JAKIM, sebagai Pengarah Dakwah dan Latihan Islam dan akhir sekali menjadi Pengarah Pusat Penyelidikan Islam sehingga bersara pada 1991.

Di samping menjalankan tugas-tugas rasmi dalam perkhidmatan kerajaan, saya aktif menyertai dan menerajui pertubuhan-pertubuhan NGO di pelbagai bidang khususnya dalam bidang dakwah dan pendidikan. Di antaranya saya menerajui pimpinan Persatuan Ulama’ Malaysia selama kira-kira 17 tahun, dan Persekutuan Seruan Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan lebih 20 tahun. Lain-lain pertubuhan yang pernah saya pimpin adalah Persatuan Bekas Mahasiswa Islam Timur Tengah, Persatuan Bekas Pelajar Maahad Al-Ehya’ Ash-Shariff Gunung Semanggol dan Persatuan Pelajar Kolej Islam Malaya.

Saya juga pernah menjadi Pengerusi Panel Syariah Bank Pembangunan dan Infrastruktur Malaysia, Timbalan Pengerusi Panel Syariah Bank RHB, dan anggota Panel Syariah beberapa institusi kewangan yang lain. Di peringkat antarabangsa, saya pernah dilantik sebagai ahli Persidangan Agung Dakwah Islam Sedunia Libya, ahli senat Universiti Islam Baghdad Iraq dan ahli Persidangan Himpunan Islam Republik Islam Iran.