بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ
الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالاَتِ اللهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلاَ يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلاَّ اللهَ وَكَفَى بِاللهِ حَسِيبًا

Sabtu, Mei 10, 2008

Isu Karpal dipolitikkan?

Keputusan pilihan rakyat dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-12 lalu yang menghukum pemimpin UMNO di semua peringkat meletakkan parti nasionalis itu berada dalam keadaan serba tak kena. Ibarat cacing kepanasan untuk menjawab segala persoalan kepada rakyat dan ahli-ahli UMNO setelah lebih 50 tahun mentadbir negara, ia bukan satu persoalan yang mudah. Kegagalan memenangi majoriti dua pertiga kerusi parlimen dan hilang 5 negeri kepada Pakatan Rakyat (PR) memberikan imej paling buruk dalam sejarah parti yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 itu. Sejak hampir 62 tahun dibentuk tidak pernah parti yang diasaskan untuk membela nasib orang Melayu ini tersungkur sebegini teruk dalam PRU.

Selepas PRU 12 berlalu, hampir di setiap sudut dan ruang yang dihuni orang Melayu dan rakyat Malaysia, persoalan kekalahan UMNO hampir dibincang di setiap bibir rakyat. Susulan dari itu tekanan dan gesaan supaya Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan bergema hampir di setiap detik tanpa mengira lokasinya.

Sejak itu UMNO dan pemimpinnya ditekan dari pelbagai sudut. Walaupun jari-jari telunjuk ahli UMNO dituding ke arah pemimpin yang lemah seperti Abdullah namun lama kelamaan jari-jari telunjuk tersebut akan mencari tudingannya pada sesiapa sahaja yang terlibat dan pemimpin tertinggi dalam UMNO. Hakikatnya Abdullah sememangnya harus bertanggungjawab atas kemerosotan sokongan rakyat tersebut tetapi suatu ketika kelak pemimpin-pemimpin tertinggi lain dalam UMNO akan tiba juga gilirannya untuk dihukum ahli UMNO.

Selain Abdullah yang juga pemimpin tertinggi UMNO, Timbalannya yang juga TPM, juga akan tiba gilirannya untuk dipertanggungjawabkan atas prestasi UMNO dalam PRU lalu. Ini disebabkan Najib merupakan Pengarah Pilihanraya Pusat manakala semua Menteri-menteri Besar pula menjadi Pengarah Pilihanraya di negeri masing-masing.

Pengalaman 12 kali berada dalam era pilihanraya, segala kemungkinan tersebut setentunya dapat dihidu oleh pemimpin-pemimpin ini. Membiarkan pemikiran dan ilusi ahli-ahli UMNO membuat penilaian atas kelemahan UMNO dalam setiap urusan akan meletakkan parti tersebut semakin daif. Namun lebih menakutkan lagi kekecewaan tersebut akan diterjemahkan oleh ahli-ahli UMNO dengan menyertai PR.

Justeru pemikiran rakyat perlu dialih kepada isu yang tidak membebankan pemimpin tertinggi UMNO. Maka pelbagai isu perlu diisi bagi menggantikan isu yang menikam UMNO dan pemimpinnya. Ibarat berada di medan perang. Bertahan akan memungkinkan benteng pertahanan akan bocor dan dimasuki musuh. Lalu serangan perlu dibuat. Persoalannya apakah senjata yang dimiliki untuk menyerang musuh politik mereka dan di mana serangan harus dimulai?

Dalam mempersoalkan senjata dan di mana serangan harus dimulai, pemimpin UMNO harus mengenalpasti siapa musuh utama yang harus diserang. Pola politik semasa akan meletakkan PR sebagai musuh utama. Namun PR terdiri dari 3 komponen parti PAS, PKR dan DAP. Dari sudut kekuatan terhadap sokongan rakyat berbilang kaum di negara ini terhadap parti-parti politik, PR telah menyediakan landasan sebagaimana disediakan BN sebelum ini.

Namun kelemahannya ialah PR dilihat UMNO sebagai parti yang baru bergabung yang sudah tentu terdapat pelbagai kelemahan dan ‘lubang’ yang bocor di sana sini. Justeru ‘melebarkan’ lubang yang lolos tersebut dianggap strategi paling berkesan untuk memecahkan benteng kombinasi PR. Dasar pecah perintah yang dilakukan UMNO selama ini telah terbukti berkesan sehingga parti yang mulanya berjuang di atas dasar membela orang Melayu itu mampu bertahan memegang tampuk pemerintahan negara lebih 50 tahun. Lalu sejarah pecah dan perintah tersebut harus diulangi mitosnya.

Dalam kontek pecah dan perintah ini, UMNO melihat bahawa pengertian pecah tersebut membawa maksud orang Melayu perlu bertindak membenci dan meninggalkan PAS dan PKR kerana hanya dua parti ini yang mendapat sokongan orang Melayu. Perintah pula bermaksud apabila orang Melayu meninggalkan PR maka mereka akan menyertai atau menyokong UMNO. Justeru usaha menanam sikap membenci orang Melayu kepada PAS dan PKR akan diukur sebagai kemenangan misi mengembalikan kegemilangan UMNO.

Serangan bermula bila isu DEB yang melibatkan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang (PP), Lim Guan Eng cuba diketengahkan sehingga beberapa demonstrasi jalanan dilakukan di sekitar Bandaraya Georgetown. Apabila dikenalpasti kebanyakan mereka yang terlibat dalam mengetuai demonstrasi tersebut terdiri dari pemimpin UMNO PP yang tewas dalam PRU 12 lalu maka demonstrasi tersebut disambut dingin orang Melayu PP.

Kebijaksanaan Lim dan pemimpin PR dalam membuat perang saraf kepada mereka yang mengetuai demonstrasi tersebut dengan menyatakan pihak kerajaan negeri membenarkan perhimpunan aman hakikatnya telah melemahkan gerakan menghidupkan sentimen orang Melayu ke atas Lim dan DAP. Selain itu fakta sejarah yang menyatakan bahawa DEB telah diganti dengan dasar lain seperti DPN (Dasar Pembangunan Nasional) pada 1990‘an dan selepas itu kepada DPW (Dasar Pembangunan Wawasan) memalukan sendiri pemimpin-pemimpin UMNO semua peringkat. Ini sekali gus membuktikan bahawa isu DEB sengaja bermaksud jahat dan ia tidak lain selain bertujuan membutakan pemikiran rakyat terhadap sejarah yang dicipta oleh UMNO sendiri.

Lebih memalukan UMNO ialah DEB yang dirangka mereka bertujuan meningkatkan ekonomi orang Melayu telah gagal menepati sasaran. Sebaliknya telah melebarkan amalan kronisme, nepotisme dan rasuah yang berleluasa dalam pentadbiran negara. Keputusan PRU 12 lalu juga membuktikan kemarahan rakyat terhadap kegagalan DEB yang dilaksanakan UMNO selama ini telah dihukum mereka.

Setelah gagal menyuntik sentimen perkauman di PP, UMNO terus mencari mangsa baru untuk dikambing hitamkan. Sementara dalam pada itu beberapa tekanan luaran seperti kenaikan harga barang, isu bilangan pembangkang di Parlimen dan isu tekanan ahli UMNO menggesa Abdullah meletak jawatan sebagai Presiden UMNO dan PM memaksa pemimpin UMNO mengalih perhatian rakyat dari memperkatakan isu yang melemahkan UMNO tersebut.

Setelah menyaksikan isu siaran langsung Sidang Dewan Rakyat gagal mengkambing hitamkan ahli-ahli parlimen pembangkang kerana Timbalan Pengerusi, Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Bung Muktar Radin turut bermentaliti pemimpin ‘kelas ke-3’ maka isu Karpal Singh yang dianggap mempertikai keputusan istana dipilih sebagai serangan paling berpotensi untuk melemahkan PR.

Karpal yang dituduh mempertikai keputusan Sultan Perak, Tuanku Sultan Azlan Shah yang dianggap Karpal campurtangan sultan yang menggesa MB Perak, Dato’ Seri Ir Mohd Nizar menarik balik arahan pertukaran Pengarah JAIP, Datuk Jamry Sury adalah tidak sah. Inilah yang dilabel oleh pemimpin UMNO sebagai tindakan biadap Karpal berhubung ketuanan Melayu.

Sebagaimana disebutkan tadi kejayaan misi pecah perintah UMNO ini terletak kepada isu menghidupkan sentimen perkauman maka isu serangan ke atas Karpal ini dilihat dari beberapa sudut:

1. Karpal diserang dan dipolitikkan kerana isu ini menyentuh hak dan imuniti raja serta orang Melayu amat sensitif berhubung sentimen ini.

Persoalannya mengapa sekarang Karpal diserang sedangkan sebelum ini Presiden MCA, Ong Kah Ting juga mempersoalkan kenyataan Raja Muda Kelantan yang membuat kenyataan berhubung kesetiaan orang bukan Melayu kepada institusi raja di negara ini. Susulan dari itu, Ketua Pemuda MCA, Ong Tee Kiat juga membuat kenyataan mempertikaikan persoalan ketuanan Melayu yang seolah-olah menganggap orang Melayu sebagai tuan dan orang bukan Melayu sebagai hamba. Mengapa dua orang kuat MCA yang bersekutu dengan UMNO dalam pakatan BN ini, Presiden UMNO merangkap PM tidak menggesa mana-mana pemimpin UMNO membuat laporan polis sebagaimana dilakukan ke atas Karpal. Mengapa pemimpin tertinggi negara ini bersikap ‘double standard’ berhubung isu yang melibatkan seorang rakyat yang mana beliau adalah PMnya?

Dosa besar yang dilakukan ke atas institusi raja juga oleh kepimpinan UMNO ialah ketika perlantikan MB di Perlis dan Terengganu sehingga institusi yang melambangkan ketuanan Melayu itu digelar sebagai ‘natang’ (binatang). Bagaimana perkembangan keputusan siasatan yang dibuat pihak polis berhubung tindakan ahli-ahli dan pemimpin UMNO setakat ini berhubung isu ‘natang’ ini tidak dimaklumkan malah sepi membisu.

Dalam insiden yang sama juga, PM bertindak menggesa Jabatan Peguam Negara mengeluarkan arahan membatalkan keputusan perlantikan MB di Terengganu oleh pihak istana. Mengapa pemimpin UMNO yang mendakwa membela raja dan ketuanan Melayu bertindak lebih biadap dari Karpal yang mungkin tidak tahu adat resam dan sensitiviti orang Melayu itu.

Malah ‘penderhakaan’ yang paling besar ke atas simbol ketuanan Melayu ialah ketika usaha yang dilakukan oleh bekas pemimpin tertinggi UMNO dan bekas PM, Tun Dr Mahathir. Tindakan gila kuasa yang melampau bekas pemimpin UMNO tersebut seharusnya boleh dihukum pancung oleh raja-raja Melayu. Ini disebabkan ketika Mahathir bertindak meminda perlembangaan mengurangkan imuniti kuasa raja-raja, raja masih berkuasa penuh melalui hairaki Sistem Raja Berperlembagaan yang digariskan oleh perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Persoalannya mengapa ketika itu UMNO bersekongkol menyokong gerakan tersebut dan tidak ada yang berani menentang kegilaan Mahathir ketika itu. Hanya ada beberapa kerat sahaja rakyat termasuk PAS dan Persatuan Ulama’ yang dipimpin saya ketika itu menolak cadangan dari UMNO tersebut. Kami dari Persatuan Ulama’ telah berjaya menyampaikan memorandum bantahan kepada beberapa sultan seperti Sultan Selangor, Kedah, Kelantan dan Yang Di Pertuan Negeri Sembilan. Namun kegilaan Mahathir tidak mampu dibendung oleh sesiapa ketika itu.

Manakala pemimpin UMNO yang paling ‘taksub’ menyokong kegilaan kuasa Mahathir ketika itu adalah bekas MB Perlis, Shahidan Kassim. Ini juga mungkin antara penyebab mengapa Shahidan tidak lagi dipilih sebagai MB Perlis selepas menyaksikan UMNO semakin lemah dalam PRU lalu.

2. Karpal dilabel sebagai pemimpin sebenar Perak dan MB sekarang cuba dilabel sebagai ‘boneka’ kepada DAP.

Secara kasar komposisi agihan kerusi exco kerajaan Perak (PAS 1, PKR 3 dan DAP 6) dicongak UMNO sebagai dikuasai oleh DAP walaupun MBnya adalah dari PAS (Melayu). Disebabkan perlembagaan Persekutuan di Perak menetapkan kuasa melantik MB berada dalam kuasa Sultan Perak maka wakil PAS dianggap mendapat durian runtuh.

Secara halusnya UMNO menggunakan kesempatan kenyataan Karpal mempertikai arahan Istana Perak sebagai tindakan MB sebenar Perak mencabar keputusan Sultan. Secara rasional juga kenyataan Karpal ini dimanipulasi sebagai tindakan MB memecat Jamry adalah atas tindakan DAP. Manakala permohonan maaf MB Perak kepada istana menunjukkan ketidaksepakatan antara MB dan DAP. Atau dalam bahasa politik dipanggil sebagai Perpecahan dalam PR. Namun hakikatnya ramalan tersebut tidak berlaku.

Berbalik kepada misi pecah dan perintah yang menjadi agenda UMNO sekarang pula, usaha memisahkan DAP dari PR dianggap mudah kerana ia melibatkan orang Melayu dan bukan Melayu. Falsafah kekuatan UMNO selama ini juga berpegang kepada ketaksuban bangsa terhadap bangsanya dan bukannya retorik perpaduan kaum yang dilaung selama ini. Selagi orang Melayu menyimpan prejudis terhadap kaum lain selagi itulah UMNO mendapat kuasa dan kekuatan.

3. Isu Karpal adalah isu pelarian dari masalah besar negara seperti kemelut dalaman UMNO dan kegelisahan rakyat berhubung kenaikan harga barang yang tak terkawal. (Ini telah diterangkan di awal catatan ini.)

Tindakan pemimpin-pemimpin UMNO yang menggunakan media arus perdana cuba mengheret PAS dan PKR berhubung isu Karpal ini sememangnya telah diduga kerana strategi UMNO yang memerintah negara lebih 50 tahun ini terlalu mudah dibaca. UMNO menggunakan kaedah yang sama walaupun mereka tidak menyedari bahawa jerat yang sedang mereka lakukan telah digunakan berpuluh kali untuk menjerat musuh politik mereka.

Apakah UMNO tidak mempelajari kesilapan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Sui Lek terperangkap dengan isu Video yang merakamkan aksinya bersama ‘teman’nya itu disebabkan beliau menggunakan bilik yang sama setiap kali bersama ‘teman’nya itu.

Jerat tidak melupakan pelanduk tetapi pelanduklah yang sering melupakan jerat. PAS tidak akan mudah diperangkap sedemikian. Dasar politik perkauman yang ortodok dan sempit yang menjadi falsafah perjuangan UMNO sejak 62 tahun ditubuhkan itu hakikatnya tidak lagi sesuai untuk diterjemah kepada rakyat yang hidup di abad ke-21 ini. Mempolitikkan setiap isu yang dianggap akan memberi keuntungan yang bersifat sementara bukan bertunas dari keikhlasan untuk membela rakyat. Rakyat generasi selepas merdeka hari ini bukan lagi memiliki mentaliti dan falsafah pemikiran generasi saluran satu yang kini semakin pupus dari fitrah hidup manusia.

Dalam isu Karpal bukan sahaja PAS, PKR dan DAP sahaja malah seluruh rakyat di negara ini mahukan keadilan yang bersifat menyeluruh dan bukannya bersifat ‘double standard’. Karpal malah sesiapa sahaja perlu didakwa sekiranya melanggar apa-apa peruntukan undang-undang samada melibatkan kuasa istana maupun jenayah lain. Adalah tidak adil menghukum Karpal disebabkan Karpal dari pihak musuh politik sedangkan kesalahan yang sama tetapi dilakukan oleh pihak yang berpihak kepada kerajaan BN akan terlepas dari tindakan undang-undang.

Lebih memburukkan lagi sekiranya PM yang menjadi pemimpin tertinggi negara dan Presiden UMNO bertindak ‘double standard’ sedemikian. Impaknya amat buruk kerana rakyat merasakan negara ini tidak lagi selamat untuk didiami sedangkan dalam manifesto BN dalam PRU lalu antaranya menjamin keharmonian, keadilan dan keselamatan rakyat di negara ini. Pemimpin UMNO sendiri tak sedar, dalam usaha menyerang pembangkang berhubung tuntutan memenuhi manifesto pilihanraya, UMNOlah yang sebenarnya gagal memenuhi tuntutan manifestonya.

UMNO perlu sedar bahawa rakyat hari ini sudah didedah dengan dunia tanpa sempadan. Rakyat mampu menilai secara terang maupun senyap setiap tindakan yang dilakukan oleh kerajaan. Apakah UMNO dan BN tidak ‘insaf’ dari apa yang diterima dari PRU lalu.

Secara harmoni, dari sudut politiknya PAS dan PR sememangnya maukan UMNO dan BN terus melakukan kesilapan demi kesilapan kerana kesilapan itu akan menguntungkan PR dan pembangkang. Namun sebagai orang Melayu yang beragama Islam serta sentiasa memilih dan melihat Islam sebagai teras kepada keharmonian, kesucian dan keadilan untuk semua hal tanpa mengira teman atau musuh, UMNO seharusnya menjadikan keadilan sebagai teras perjuangannya dan bukannya retorik sebagaimana dilakukan lebih 50 tahun memerintah negara. Tidak guna UMNO mendabik dada melaungkan memperjuangkan hak orang Melayu dan Islam sedangkan apa yang dilakukan hakikatnya kepalsuan yang bertopengkan keadilan.

Kembalilah kepada kebenaran sekalipun kebenaran itu amat pahit. Karpal perlu diadili sekiranya ia harus diadili. Begitu juga dengan pihak lain yang ada dalam UMNO juga perlu diadili sekiranya bertindak dalam kondisi yang sama dengan isu Karpal. Karpal bertindak demikian mungkin disebabkan apabila melihat ada pihak yang melakukan tindakan yang sebagaimana dilakukannya tetapi tidak didakwa atau dihukum. Justeru Karpal mempunyai alasan atau mengheret orang lain yang sama melakukan kesalahan sepertinya untuk dihakimi dalam hal yang membabitkan kuasa istana ini.

Andai ini gagal dilakukan. Ini jelas membuktikan kelemahan UMNO dalam mengembalikan sistem kehakiman negara di landasan sebenar serta gagal memartabatkan ketuanan Melayu yang berpegang kepada prinsip Islam yang syumul.

20 ulasan:

Dr. Abdul Wahab Arbain berkata...

As-Salamu 'Alaikum Ustaz!
Tahniah kerana dah ada blog sendiri.
Insya ALLAH, yuqawwikum!
Salam.

Firdaus Omar berkata...

As-Salamu 'Alaikum Ustaz!

Tahniah.

Sila layari laman blog saya http://kopitiam-bang-nan.blogspot.com/

Sama-samalah kita berjuang ke jalan yang di redhai Allah. Takbir.

Tuan Batu berkata...

salam. jenguk2 blog saya :
http://tuanbatu.blogspot.com

Arwani berkata...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

مبروك على إطلاق موقعكم هذا

وشكرًا

http://www.geocities.com/hamkaonline/

nik berkata...

Assalam..apa2pn harap2 PAS & UMNO tak jadi macam HAMAS/FATAH atau SYIAH/SUNNAH atau Iran/Arab Saudi. Duk bergaduh ssama Islam, musuh bersama yg untung

Myzura Malique berkata...

akum
ustaz harap tolong la sedarkan diri ustaz itu bahawa melayu ini ada keistimewaannya.jangan hendak kira kan double standard.sebab kita melayu kena pertahankan agama danbangsa kita.
seperti rukun negara

KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
KELUHURAN PERLEMBAGAAN
KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
KESOPANAN DAN KESUSILAAN

kesetiaan kepada raja adalah nombor dua n perlembagaan dan undang2 dibawah raja...
fahami rukun negara kita sendiri sebelum mengeluarkanhujah2 anda.

ilhamghaz... berkata...

As-Salamu 'Alaikum Ustaz!
Keadaan semakin membuktikan kebodohan UMNO di mata masyarakat. Sama-sama kita ikuti apa berlaku seterusnya, nampaknya semakin memakan diri orang umno sendiri. Mereka yang memulakan kesalahan terhadap Sultan tetapi pembangkang yang hendak dikaitkan...JANGAN KITA SAMA BODOH SPT MEREKA.
Thx..salam

asalbayu berkata...

Assalamua'alikum ustaz,

Itulah sebabnya rakyat semakin meluat dengan BN sekarang. Tambahan pula kebekangan ini Parlimen dan DUN sudah menular budaya samseng yang dibawa oleh wakil rakyat BN terutama UMNO.

Kalau gelagat ini berterusan, saya yakin Pakatan Rakyat akan mengambialih pemerintahan tidak lama lagi.

Saya juga AJK UMNO di salah satu cawangan dalam Bahagian Kuala Kedah.

aNaK BaPaK berkata...

Assalamualaikum ustaz...

napa habar..wagas haja insya-allah..

tahniah kerana dapat maulah blog sendiri..

moga blog hanyar ini dapat menjadi wadah serta medium dakwah mengajak manusia kembali bersatu di jalan allah dan membuang jauh sekulisme..

berilaan..

anakbapak ( bubuhan sidang ramli pambakal )

hazry berkata...

sedih benang basah cuba ditegakkan. melayu tetapi tidak mempertahankan ketuanan melayu, malah berhujah seperti tiada darah melayu. sepatutnya membenarkan apa yang benar, menyalahkan apa yang salah.

nik berkata...

Hak keistimewaan Melayu patut diperthankan kerana dalam context di Malaysia, orang Melayu adalah orang Islam. Secara tak langsung, jika Melayu dipertahankan, yang untungnya adalah golongan Islam.

Perkara yg lebih teruk akan berlaku selepas itu.

Andaikata Keistemwaan Melayu dilucutkan, pihak2 berkaitan tidak akan berhenti setakat itu sahaja. Selepas ini mereka akan mula mengikis Keistimewaan Islam. Islam tidak akan menjadi agama istimewa di Malaysia lagi. Tidak lama lagi mungkin kita dapat mendengar ceramah Kristian di TV. Dakwah Kristian bebas di mana2 sebagaimana yang dinikmati oleh Islam sekarag. Orang Islam bebas murtad tanpa rasa takut. Kesimpulannya, apa yang dinikmati oleh agama Islam akan dapat dinikmati oleh Agama lain juga. Adakah kita mahu begitu?

Teluk Bakong berkata...

Tahniah ustat ada blog sendiri.Satu pandangan yang bernas dr seorang yang berpengalaman.

sila jenguk2 ke blog saya

http://telokbakong.blogspot.com/

buspilot berkata...

Kepada para pendokong agenda melayu sekalian, berikut adalah jawapan kepada sebahagian resolusi Mempertahan Hak Melayu yang di ambil dari blog MatSamanKati: Amik situ, Padan muka hangpa...!!!

1. PERLEMBAGAAN
i. Mempertahankan hak, keistimewaan dan kedudukan kaum Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan


Sejak Merdeka, dah berapa kali hangpa pinda perlembagaan? Dulu berapa banyak tanah rizab Melayu, sapa yang gadaikan? Apa dia hak keistimewaan orang Melayu? Orang Melayu dapat pendidikan percuma ka? Orang Melayu dapat beli beras lebih murah ka? Dah 51 tahun hangpa memerintah, Melayu kat mana? Dah sampai 30% ka? Selama ini hangpa pertahankan hak sapa? Hangpa tarik royalti Petronas, bagi orang Terengganu kebuloq. Orang Terengganu tu bangsa apa? Hangpa cuma pertahankan hak Umno saja!

ii. Menentang segala pindaan yang boleh melemahkan kedaulatan dan kedudukan kaum Melayu dalam Perlembagaan dan perundangan Malaysia.

Sapa yang nak pinda? Belum ada orang lain yang memerintah Malaysia selain dari Umno. Yang dok pinda puluh kali tu, hangpa jugak. Yang dok melemahkan melayu tu hangpa jugak!


iii. Menentang segala tafsiran sewenang-wenangnya yang bersifat memilih terhadap fasal-fasal Perlembagaan bagi tujuan kepentingan dan perkauman.

Pasai apa hangpa tak tentang bila Perlembagaan dipinda untuk membolehkan kroni Umno membolot segalanya, diatas nama kepentingan Melayu? Hangpa kata nak tolong Melayu, tapi sapa yang dapat? Orang kampung hangpa bagi kain batik, kain pelikat. Hangpa sapu juta-juta.

POLITIK
i. Memohon Majlis Raja-Raja Melayu menyempurnakan tugas, tanggungjawab dan obligasi untuk memelihara dan mempertahankan seluruh kedaulatan Melayu.

Hangpa nak mintak Raja-Raja buat apa lagi? Dulu hangpa jugak yang telanjangkan Raja--Raja, hangpa fitnah macam-macam. La ni pun serupa jugak. Hangpa panggil YDPA "natang". Ada pemimpin hangpa sapu anak dia, tipu dia, hangpa masih sokong. Hangpa pelingkup raja-raja, la ni hangpa minta tolong?


ii. Menentang tafsiran hak asasi manusia dan proses demokrasi yang mengetepikan kedaulatan Melayu.

Tafsiran macam mana yang boleh diterima? Kalau rakyat berdemonstrasi, yang tu pengkhianat, beruk? Kalau Umno berdemonstrasi, tak apa? Kalau rakyat berhimpun, yang tu haram. Kalau Umno berhimpun, yang tu halal?

iii. Mendesak supaya peruntukan Perlembagaan dan undang-undang tubuh mengenai pentadbiran negara dikekalkan.

Nak kekal yang mana? Yang asal atau yang telah dipinda? Kalau nak yang asal, hangpa semua masuk PR. Lepas dapat dua pertiga, kita pinda balik keasal. Amacam?

iv. Menentang usaha untuk mempolitikkan pentadbiran pihak berkuasa tempatan demi memelihara kesejahteraan seluruh rakyat.

Politik tak politik, usahkan PBT, semua agensi kerajaan dah pun dipolitikkan. Sampai masjid dan surau pun dipolitikkan. Ni kerja sapa?


v. Memperjuangkan peranan prinsip kedaulatan Melayu sebagai teras dan ideologi parti-parti politik Melayu dan menolak segala ideologi asing berkenaan Malaysian Malaysia.

Ada berapa parti melayu kat malaysia ni? Setahu aku, satu saja. Pas, parti Islam bukan parti Melayu. PKR, hangpa kata parti murtad.

vi. Menuntut parti-parti politik Melayu sentiasa memperjuangkan dan membentuk pemikiran strategik dalam mengekalkan ketahanan dan kelangsungan kedaulatan Melayu.

sila layari http://matsamankati.blogspot.com

munawwar berkata...

untuk myzura malique
dapatkan produk untuk menguruskan badan dgn sms 0143233441

HjMisaiKontot berkata...

Myzura Malique

anda suka melancong?

sila lawat: www.jomjalanjalan.com

nik berkata...

Salam Buspilot,

Daripada text anda dapatla saya simpulkan bahawa agenda Mempertahankan Hak Melayu dicurigai sebagai bermatlamat tersembunyi untuk mempertahankan UMNO, kerana selama ini pun yg tolong menjatuhkan hak Melayu adalh UMNO jgk.

Bagi saya, memang ada pihak yg memperjuangkan agenda itu sebenarnya mahu menyelamatkan UMNO sahaja.

Akan tetapi, anda mesti ingat ada juga pihak yang ikhlas, yg memang mahu menjaga kepentingan Melayu dan Islam. Sepertimana ada pemimpin yg mengejar kuasa untuk kepentingan peribadi, ada juga pemimpin yang mengejar kuasa untuk berkhidmat kepada rakyat.

Menjaga kepentingan Melayu & Islam adalah satu amanah, sepertimana datuk moyang kita mengamanahkan harta pusaka untuk diuruskan dgn baik.

Jika pemegang amanah itu telah gagal, maka gantikanlah pemegang amanah itu dgn orang lain. Jangan dibuang pula harta pusaka itu.

Sama mcm kes menjaga Melayu & Islam,jika UMNO dianggap telah menyelewengkan amanah itu, maka gantikanlah dgn PAS. Akan tetapi jgnla sesekali digadaikan Hak Keistimewaan Melayu semata2 kerana UMNO telah gagal memeliharanya dgn baik.
Marahkan nyamuk, jgn dibakar kelambu. Bunuhla nyamuk, tapi jgn dibuang kelambu

Sekian..assalamualaikum

shookcree berkata...

Assalamu'alaikum Ustaz

Tahniah. Kerana wujudnya blog sendiri. Semoga tercapai matlamat.

aNaK BaPaK berkata...

saya amat bersetuju dengan pandangan ustaz..dan bagi saya wujudnya melayu di atas muka bumi adalah setelah datangnya islam justeru sikap dan pandangan serta amalan islam diserap sebagai sikap pandangn juga amalan melayu itu sendiri..

umumnya apa sahaja yang dipandang hina oleh islam ia juga dipandang hina oleh orang melayu...begitulah sebaliknya..

namun setelah terbaca bebarapa komen dapi pembaca yang memberi respon terhadap tulisan ustaz..saya kira mereka ini dari kalangan melayu-umno yang derperado...kecewa dengan keputusan PRU12 baru2 ini..saya kira juga hanya isu ketuanan melayu sahaja senjata mereka untuk meraih simpati berasaskan sentimen perkauman jumud yang pada hakikatnya sekadar meraih kekuatan untuk terus berkuasa dan terus melakukan perbuatan tidak berakhlak dalam politik yang akhirnya merugikan rakyat bahkan selama ini pun melayu menjadi rugi kerana penyelewengan dan penipuan yang dilakukan oleh umno

bukan soal isu penghayatan rukun negara atau kedudukan istimewa melayu terhakis atau melayu merempat di bumi sendiri...pada hakikatnya kuasa politik umno yang terhakis dan akhirnya tiada dapat menyeleweng dan menipu lagi bahkan mereka sebenarnya mahu menyembunyikan ketakutan terhadap penipuan dan penyelewengan yang mereka lakukan selama ini akan terdedah dari ahli umno, pimpinan cawangan,bahagian negara bahkan kebangsaan..mereka amat takut semua ini terdedah..adapun suara lain yang terikut2 dengan isu ketuanan melayu saya sekadar menggolongkan mereka sebagi "mangsa proses pembodohan" anjuran umno selama 50tahun bahkan dari sebelum merdeka..iaitu proses pembodohan minda melayu warisan penjajah british..

melayu akan menjadi kuat dengan islam..rukun islam dan rukun iman adalah paksi utama bukannya pengahayatan rukun negara dahulu..islam itu tinggi tiada yang lebih tinggi dati islam...hanya penganut fahaman ekstrimis sekularist nasionalist sahaja yang menolak rukun2 yang diciptakan allah dengan mengutamakan rukun ciptaan manusia yang jelas amat lemah dan berubah2..

hanya islam satu2 nya jalan penyelesaian masalah kehidupan seluruh manusia di muka bumi, bukannya fahaman umno yang menolak islam tapi mengaku perjuang islam..awas..ciri2 munafiq yang allah sebut di dalam al-quran cukup banyak contohnya dalam pimpinan umno dan BN...wallahua'lam..

allahuakbar...!!!

Rahimi berkata...

akum ustaz,

saya harap ustaz bertaubat dan jgn meletakkan politik melebihi islam, biarlah islam melebihi politik. utk memancung tun mahathir adalah satu hukum yg melampau yg penuh dhn emosi dan nafsu amarah syaitan semata-mata. masihkah ustaz ingat knp tun menghadkan kuasa raja raja semasa itu. ustaz pun tahu betapa raja raja semasa itu terlampau mengunakan kuasa kuasa mrk.

masihkah ustaz ingat di usrah usrah kita semasa anwar menjadi timbalan perdana menteri semasa itu. apa yg kita tak kata kpd anwar..munafik, islam ala amerika dgn penubuhan IIIT, penipu dan sekiranya anwar menjadi perdana menteri, beliau akan mengharamkan gerakan islan pas sbgmana ikhwan diharamkan. kita digambarkan anwar adalah lebih jahat drp mahathir sendiri.

ttp apabila tun mahathir membuang anwar dan menidakkan beliau menjadi perdana menteri dan seterusnya menyelamatkan negara, agama dan PAS itu sendiri, kita langsung tdk berterima kasih kpd tun mahathir, malah kita fitnahkan beliau sebagai lebih zalim drp firaun.

saya berasa amat sedih dgn sikap munafik kita ini, marikah kita muhasabah diri kita samada kita ini gerakan islam atau sebuah gerakan politik yg mengunakan islam sbg alat politik.

kembali lah kpd islam yg sebenar dan jgn nafsu amarah menguasai diri ustaz

wassalam, allahuakbar, selamatlah negara ini drp mrk yg munafik.

Ustaz Ahmad Awang berkata...

Assalamualaikum Saudara Rahimi,

Pada mulanya saya kurang berminat memberi respon kepada komentar saudara, kerana saya sudah lumrah menerima tohmahan, tuduhan, bahkan fitnah yang lebih serius lagi sejak penglibatan saya lebih 40 tahun dalam Amal Islami samada melalui badan-badan NGO, Dakwah Islamiah, jawatan kerajaan, apatah lagi melalui parti politik. Namun atas desakan beberapa orang sahabat seperjuangan, saya ambil kesempatan juga dalam kesibukan tugas memberikan respon ini atas dasar ingat mengingatkan (watawa saubilhaq, watawa saubissabr - Al-Asri:3).

Saya sependapat dengan sahabat-sahabat berkenaan bahawa siapa sahaja yang membaca komentar saudara, akan membuat kesimpulan bahawa saudara menyatakan pandangan saudara dengan amat dipengaruhi oleh emosi dan nafsu amarah syaitan seperti yang saudara lemparkan terhadap saya, walaupun saudara mengakhiri komentar dengan lafaz takbir. Mungkin juga, bak kata pepatah, kuman di seberang nampak, gajah di depan mata tak nampak. Saya menerima perbezaan pendapat dan boleh dikritik tetapi biarlah seseorang itu membawa hujah-hujah dan fakta yang relevan, bukannya dengan secara sebarangan yang boleh dilihat sebagai pandangan yang menggambarkan kecetekan dan sempit fikiran, bersabit dengan perkara yang mencetuskan emosi saudara yang begitu melampau sehingga terus menghukum saya bersalah dan dituntut bertaubat.

Sebenarnya saudara kurang memahami apa yang tersirat daripada ungkapan: "Tindakan gila kuasa yang melampau bekas pemimpin UMNO tersebut seharusnya boleh dihukum pancung oleh raja-raja Melayu." Apa yang saya maksudkan daripada kenyataan itu, ialah untuk menggambarkan betapa jauhnya keberanian Dr M sebagai PM ketika itu, mencabar raja-raja Melayu. Malah dalam kempen rapat umum untuk mengajak rakyat menyokong pindaan perlembagaan bagi menghapuskan imuniti raja, kata-kata penghinaan terhadap raja diucapkan begitu biadab tanpa etika. Ini bila dibandingkan dengan kenyataan Karpal Singh, apalagi selepas dibuat pindaan perlembagaan tersebut, maka kecil sangatlah kesalahan Pengerusi DAP itu. Sebab itulah saya mengatakan isu ini semata-mata dipolitikkan oleh pihak UMNO dan mereka yang selari dengannya.

Saudara menuduh saya meletakkan politik lebih dari Islam. Saya bimbang saudara memahami Islam sebagai agama yang terpisah dari politik seperti yang biasa difahami oleh UMNO iaitu agama sebelah, politik sebelah. Fahaman sekularisme memang masih menguasai ramai umat Islam hari ini termasuk yang berpolitik melalui Islam. Saya harap saudara tidak termasuk golongan sedemikian, walaupun saudara mengakui saudara termasuk golongan yang 'munafik'. Dalam hal ini saya suka menegaskan sebagai salah seorang pimpinan tertinggi PAS, tidak timbul sama sekali meletakkan politik mengatasi Islam, dan meletakkan Islam di bawah politik, kerana seluruh pemikiran dan perancangan, aktiviti dan tindakan, adalah berdasarkan prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah Islam. Malah strategi dalam sebarang tindakan jemaah Islam adalah berdasarkan kaedah syarak.

Saudara mengatakan kita bersikap 'munafik' hanya kerana kita tidak berterimakasih kepada Dr M apabila beliau memecat DSAI, padahal DSAI dianggap lebih merbahaya dari Dr M sendiri sekiranya beliau memegang tampuk pemerintahan. Saya suka menegaskan bahawa dalam konteks pemecatan DSAI ini, kita berhadapan dengan dua keadaan, mana yang lebih besar dan mana yang lebih ringan mudharatnya. Dalam kes DSAI, yang dipecat dengan tuduhan melakukan LIWAT tanpa membawa 4 saksi menurut syarak adalah mudharat yang besar terhadap Islam. Berterimakasih kepada Dr M dalam kes ini, ertinya melakukan mudharat yang lebih besar. Manakala, mempertikaikan Dr M, yang boleh dilihat sebagai memihak kepada DSAI, mudharatnya lebih ringan. Saya sendiri menemui DSAI 3 hari selepas beliau dipecat dan memperingatkan beliau di atas tindak tanduknya terhadap jemaah Islam semasa beliau dalam kerajaan. Antara lain yang saya katakan kepada beliau bahawa musibah yang diterimanya adalah sebagai peringatan Allah SWT dan tulah melawan ulama' (Tok Guru Nik Aziz, MB Kelantan). Akibat pendirian yang dilihat menyokong DSAI, saya disoal siasat oleh pihak Bukit Aman hampir 4 jam beberapa hari selepas pemecatan beliau.

Berbalik kepada Dr M, saya sendiri tidak menyokong beliau dihukum atau didoakan sesuatu yang tidak baik terhadap beliau yang sekarang ini telah menjadi rakyat biasa. Sebab itu saya masih mendoakan beliau kembali kepada jalan Islam dalam meneruskan karier politik beliau sebagaimana yang saya sarankan dalam komentar saya menjawab kepada komentar Hj Sahri di bawah blog saya bertajuk: Mahathir ‘test power’ di saat ‘last kopek’?

Untuk makluman Saudara Rahimi, sepanjang saya berkhidmat selama kira-kira 15 tahun di Jabatan Perdana Menteri, saya amat mengenali cara pemikiran dan cara bertindak Dr M. Saya berkali-kali dipanggil beliau bertemu secara empat mata dan berdialog dengan beliau di pejabat beliau, bahkan saya pernah juga mengimamkan solat terawih di kediaman beliau ketika itu di Seri Perdana.