Selasa, Julai 07, 2009

Fitnah=Ujian dan Fitnah=Penganiayaan (Bah. 2)


Maksud firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan fitnah kepada orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab Jahannam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar.” (Al-Buruuj:10)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Bimbingan Allah Menghadapi Fitnah
Dalam menghadapi fitnah berupa ujian dan cubaan ini, saya tidak pernah berangan-angan untuk mendapat gelaran pangkat kebesaran seperti yang diperoleh oleh rakan-rakan sebaya saya seperti Tan Sri Abdul Hamid Othman, Tan Sri Yusof Noor, Tan Sri Harussani Zakaria, Dato' Ismail Ibrahim, Dato' Zainal Abidin Abdul Kadir, Dato' Dasuki Haji Ahmad dan lain-lain. Di sini belum lagi saya hendak memanjangkan cerita bagaimana saya sering diekori dan kadang-kadang diburu oleh Cawangan Khas (SB) Bukit Aman. Disebabkan terlalu kerap menemui saya ada antara mereka yang akhirnya menjadi orang yang warak dan kuat bertahajud. Pernah pada suatu hari (Jumaat) saya diberi kata dua oleh seorang pegawai kanan SB supaya saya memberhentikan ucapan atau tulisan saya yang kononnya mengancam keselamatan negara atau saya akan ditahan oleh pihak Bukit Aman. Bahkan saya pernah disoal siasat di Ibu Pejabat SB Bukit Aman selama lebih tiga jam. Lima orang pegawai SB menyoal siasat saya bertubi-tubi tetapi alhamdulillah saya diberi Allah kekuatan dan bimbinganNya untuk menjawab pertanyaan dan hujah mereka. Saya sangat bersyukur kerana diberi Allah kekuatan untuk menghadapi fitnah kategori yang pertama ini.

Fitnah Penganiayaan
Dalam bahagian kedua ini, saya ingin menjelaskan fitnah kategori kedua yang bermaksud penganiayaan yang lebih berbahaya dan besar dosanya daripada pembunuhan. Ini kerana perbuatan membunuh hanya merupakan satu jenayah iaitu mencabuli hak seseorang manusia untuk hidup di bumi Allah S.W.T. Pelaku jenayah pembunuhan itu boleh menerima balasannya di dunia ini melalui hukum qisas, manakala fitnah yang berupa penganiayaan ini ianya merupakan rangkaian beberapa jenayah. Pertama ianya merupakan pencabulan atas kehormatan nama baik seseorang. Ia merupakan salah satu dosa besar. Kedua ianya membawa kepada perbuatan mengumpat apabila disebarkan, iaitu satu perbuatan keji yang amat besar dosanya seperti yang diumpamakan Allah S.W.T. dalam Al-Quran dengan perbuatan memakan daging mayat saudara sendiri. Firman Allah dalam surah Al-Hujuraat ayat 12 bermaksud “…dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” Ketiga fitnah kategori ini juga berpunca dari hasad dengki terhadap seseorang yang mendapat sesuatu nikmat kebaikan. Ini juga merupakan salah satu dosa besar dan perbuatan keji lagi tercela di sisi Islam. Keempat fitnah ini juga boleh membawa kepada permusuhan dan perpecahan di antara sesama umat Islam. Disebabkan rangkaian kejahatan dan kekejian fitnah kategori ini maka Allah menyifatkannya sebagai perbuatan yang lebih dahsyat daripada pembunuhan (rujuk Al-Baqarah 191 dan 217).

Berkongsi Pengalaman
Saya mengalami fitnah kategori ini semenjak masih menuntut di Mesir dan waktu saya berkhidmat dalam kerajaan bahkan juga ketika saya mengetuai berbelas tahun Persatuan Ulama Malayasia (PUM) dan Jamiyah Dakwah Islamiah Selangor dan Wilayah Persekutuan. Bagaimanapun fitnah-fitnah tersebut akhirnya padam dengan mudah, kerana pembuat fitnahnya dapat dikenali dan tuduhan-tuduhan jahat mereka dapat ditolak di hadapan mereka. Akan tetapi fitnah yang disebarkan oleh orang-orang yang tidak diketahui identitinya maka bahayanya sangat besar. Paling terbaru fitnah seperti inilah yang tersebar melalui blog-blog menuduh saya dengan tuduhan jahat yang sangat berat dan mencemar kredibiliti dan maruah saya. Fitnah tersebut dikaitkan sumbernya dengan ucapan seorang anggota perwakilan dalam Muktamar PAS ke 55 di Shah Alam baru-baru ini. Ianya disebarkan oleh pasbaru@yahoo.com (PBC) melalui komennya atas posting blog saya yang di “link” kan kepada blog arisawang.blogspot.com.

PBC memfitnah saya sebagai Ulama E-class dan hidup bermewah-mewah secara tiba-tiba selepas kerajaan PR memerintah di Perak. Saya dituduh kononnya kempunan kerana tidak dapat menjadi Menteri Besar Perak. Fitnah itu dikaitkan dengan sebuah kereta Mercedes E200 Compressor (BJK 5656) yang saya dan isteri mengguna pakainya (isteri saya sentiasa memandunya). PBC juga memfitnah saya melayan pemandu saya sebagai hamba abdi atau kuli yang saya arah sesuka hati seperti menyuruhnya membeli roti canai. PBC juga memfitnah saya memuja Husam dan membenci 3 orang Pimpinan Tertinggi PAS masa kini. Saya juga difitnahnya mereka-reka tuduhan terhadap pimpinan apabila saya menyebut dalam ucapan saya (Muktamar PAS ke 55 baru-baru ini) tentang seorang Pemimpin Tertinggi yang menghubungi saya dan meminta (bukan mengarahkan) saya supaya “mereview” keputusan PAS Perak membentuk kerajaan bersama DAP dan PKR dan sebaliknya berbincang untuk tubuh kerajaan bersama UMNO/BN. PBC seterusnya memfitnah saya dengan dakwaan bahawa saya menolak semua pencalonan untuk jawatan tertinggi parti adalah kerana takut kalah dalam pemilihan.

Saya tidak pasti sama ada pembuat fitnah ini orang dalaman jemaah (PAS) atau orang luar. Sekiranya pembuat fitnah ini ahli PAS, apatah lagi orang yang ada jawatan dalam parti maka ianya amatlah malang dan mendukacitakan. Sekiranya ia “orang luar”, apatah lagi kalau dari kalangan musuh maka tidaklah menghairankan. Tetapi dari penulisan PBC itu, terdapat isyarat yang menunjukkan ia datang dari kalangan jemaah. Sesiapapun jua identitinya PBC yang membuat fitnah aniaya dan zalim ini, saya minta supaya dia tampil mengenalkan diri. Tidak perlu takut untuk berdepan dengan saya dan mereka yang dilibatkannya dalam fitnah berkenaan. Dua hari lepas semasa saya balik ke Semanggol seorang anak muda memberitahu saya dia telah menghantar email kepada PBC supaya dia mengenalkan dirinya tetapi tiada jawapan yang diterima. Dari apa yang dapat dikesan, pemilik muktamarpas.blogspot.com pernah membuat postingnya di United Kingdom dan Mesir selain daripada beberapa tempat dalam negara. Ini menunjukkan ianya bukanlah sebarangan orang kalau ianya seorang pendukung jemaah.

Penjelasan Dan Penolakkan Fitnah
Ulama E-Class: Memang mudah manusia membuat fitnah yang menganiaya sesama orang beriman bahkan sesama dalam jemaah pun. Bersabit dengan fitnah Mercedes E-class itu sebenarnya telah saya jelaskan kepada sahabat pimpinan PAS negeri Perak dalam satu mesyuarat Dewan Harian beberapa minggu selepas kami mengguna pakai kereta tersebut. Dalam mesyuarat itu, saya terangkan dari mana datangnya Mercedes E-class itu bahkan saya tunjukkan salinan gerannya yang membuktikan siapa pemilik sebenarnya iaitu seorang tokoh korporat bernama Dato’ MN. Beliau secara kebetulan mengetahui kenderaan kami terlibat dalam satu kemalangan di lebuh raya berhampiran Gua Tempurung. Saya dan isteri yang memandu kereta Proton Waja (NBR 8600) pada hari itu dalam perjalanan ke Ipoh untuk satu mesyuarat parti. Dato’ MN pada hari itu yang dalam perjalanan ke utara berpatah balik menemui kami di Ipoh. Beliau sangat simpati apabila mengetahui kami tiada kenderaan lain kecuali sebuah Isuzu Trooper (ABK 5577) yang sering rosak dan terkandas dalam perjalanan. Beliau bertanya adakah PAS memberi apa-apa imbuhan kepada saya. Saya memberitahu bahawa yang saya sentiasa fikirkan ialah macam mana saya hendak mencari sumbangan untuk PAS Perak.

Sebulan Kemudian
Kira-kira sebulan kemudian pemilik Mercedes E-class itu menyerahkan kereta itu kepada kami di kediamannya di Shah Alam. Kami terperanjat melihat Mercedes sebaharu itu diserahkan kepada kami dengan kata-kata si pemilik “Pak Lang dan Mak Lang (panggilan mesra kepada kami) pakailah kereta ini. Mak Lang anggaplah kereta ini seperti kereta Mak Lang sendiri.” Isterinya Datin IB menambah, “ Mak Lang memandu kereta ini untuk kerja Islam, mudah-mudahan kami pun tumpang dapat pahala.” Bagaimana pun di antara sahabat pimpinan dalam mesyuarat berkenaan ada yang bertanya kenapa tidak kereta yang lain dari Mercedes. Dalam hati saya kalaulah di antara sahabat yang mempersoalkan perkara ini menawarkan salah sebuah kenderaan mereka kepada saya, selesailah masalah Mercedes E-Class. Hati saya berkata lagi, “Macam mana Dato’ tu hendak beri selain dari Mercedes kerana kereta-keretanya yang lain adalah Mercedes yang lebih mahal dari E-200 itu.” Agaknya akal mereka memang susah hendak menerimanya kerana dalam realiti dunia sekarang nak mencari seorang berdua seperti Dato’ MN itu sukar ditemui. Apatah lagi sahabat-sahabat berkenaan yang mempunyai dua tiga buah kereta itu tidak pernah sekali pun menawarkan kepada kami untuk menggunakan kereta mereka buat sementara.”

Sebenarnya kira-kira sebulan sebelum kami ditimpa kemalangan jalan raya itu, seorang sahabat di Taiping yang saya singkatkan namanya dengan Dr. AZ berjanji akan menghadiahkan sebuah kereta Mercedes (separuh pakai) untuk kegunaan kami. Akan tetapi kereta yang beliau tempah itu terlewat diterimanya sehingga kami mendapat Mercedes E-Class ini. Bagaimanapun Dr. AZ kemudiannya membiayai insurans,cukai jalan dan bayaran servis kereta berkenaan. Dr. AZ inilah juga yang memberi kami sekeluarga khidmat rawatan dan perubatan secara percuma semenjak kira-kira sepuluh tahun yang lalu apabila kami kembali ke Perak sehingga hari ini.

Sifat Hasad Dengki
Manusia memang mudah membuat fitnah apabila melihat seseorang mendapat kurniaan Allah S.W.T. yang berupa kelebihan dan kesenangan. Perasaan hasad dengki mudah subur dalam hati mereka yang mudah dipengaruhi oleh kebendaan dan harta kekayaan walaupun sudah memilikinya lebih besar dari apa yang menimbulkan hasad dengki itu. Firman Allah S.W.T. Al-Imran ayat 120 bermaksud, “Jika kamu mendapat kebaikan, mereka susah hati/dukacita/sakit hati. Dan jika kamu ditimpa kesusahan mereka gembira dengannya…” Dulu semasa kami menggunakan Isuzu Trooper (ABK 5577) yang sudah dilupus guna dan Volvo tua (BFK 1450) yang selalu tersadai dalam perjalanan, tiada sesiapa pun yang ambil peduli bahkan ada yang menyindir sinis dengan kata-kata seperti, “kereta Ustaz ni dah masuk taraf klasik” . Ada yang berkata kepada isteri saya “ Dalam pimpinan PAS ini tiada lagi pimpinan yang memakai kereta sebegini melainkan Ustaz Ahmad Awang je.” Namun isteri saya menjawab dengan senyuman dan ucapan hamdallah. Tiada siapa pun yang mengambil tahu apabila saya selalu menaiki bas Konsortium dari Pudu Raya ke Kamunting hampir setiap minggu. Tidak ada siapa di antara sahabat pimpinan yang bertanya kepada kami apa yang sudah jadi kepada Proton Waja yang kami gunakan selepas terlibat dengan kemalangan di lebuh raya berhampiran Gunung Tempurung itu. Malah sahabat-sahabat yang rapat seperjuangan itu ada yang tidak tahu bahawa akibat kemalangan itu isteri saya seminggu kemudian dimasukkan ke wad kecemasan di Hospital Kota Bharu. Begitulah sebahagian adat manusia di dunia ini termasuk ahli dan pimpinan jemaah PAS.

Begitulah manusia yang disifatkan Allah S.W.T. sebagai “zalooman” dan “jahoola” lebih mudah dipengaruhi nafsu, hasad dengki yang kemudiannya dengan mudah memfitnah sesama insan hatta yang sejenama dalam jemaah. Dalam suatu peristiwa,saya seolah-olah seperti disoal siasat dalam satu himpunan bulanan parti di markas negeri di Air Kuning bersabit Mercedes E-class ini apabila seorang peserta (Ustaz ZA) membangkitkan isu ini. Alhamdulillah saya dengan tegas menjelaskan tanpa apa-apa yang disembunyikan. Kebetulan dalam majlis Liqaa Fikri Bulanan yang dihadiri oleh kira-kira 300 orang itu dihadiri sama Ustaz Taib Azamuddin Taib yang menjadi naqib jemputan pada malam itu. Beliau pun terperanjat menyaksikan peristiwa itu kerana Ustaz Taib seorang yang sangat mengenali peribadi saya sejak beliau mula bertugas di JAKIM di bawah arahan saya. Namun saya diberitahu apa yang dibangkitkan oleh Ustaz ZA itu tersebar melalui kuliah/ceramah beliau sedangkan penjelasan saya tidak disampaikan.

Beberapa Orang Hamba Allah
Dalam kehidupan kami yang sederhana, ramai yang tidak mengetahui termasuk rakan-rakan pimpinan yang akrab dalam jemaah bahawa kami selalu mendapat pertolongan dari beberapa orang hamba Allah dari kalangan ahli korporat yang tidak suka nama mereka disebutkan. Sudah menjadi perkara biasa apabila kami berhajat kepada sesuatu bantuan atau pertolongan dalam kerja-kerja amal Islam yang kami laksanakan, ada manusia yang prihatin dan pemurah dari kalangan ahli-ahli koporat yang mengenali kami. Selain dari Dato' MN di atas, di antara mereka ialah Dato’ SN. Beliau sering memberikan sumbangan kewangan bukan sahaja kepada kami bahkan kepada orang yang kami perkenalkan kepada beliau. Beliaulah yang memberikan kereta Volvo (BFK 1450) yang kami gunakan beberapa tahun sehingga hari ini. Beliau juga tidak pernah keberatan menyumbang kepada parti. Kami berkenalan sejak berbelas tahun sehingga hari ini. Seorang lagi ahli koporat Dato’ JK (bukan KJ). Semenjak saya pernah menjadi penasihat syariah kepada syarikat korporat beliau sehinggalah saya berhenti kerana menyertai PAS, beliau tidak pernah lupa membantu saya apabila suasana memerlukan. Seorang lagi Dato’ Dr. SM. Beliau adalah seorang doktor pakar khususnya dalam bidang rejuvenation dan anti aging. Beliau mempunyai kliniknya sendiri di Kuala Lumpur. Sumbangan beliau kepada kami sekeluarga ialah khidmat ozone therapy semenjak bertahun-tahun secara percuma. Seorang lagi tokoh koporat dari ahli PAS di Kuala Lumpur ialah Haji HAH. Beliau juga banyak membantu kami terutama bila saya terlibat bertanding dalam PRU ke 10 tahun 1999 dan PRU ke 11 (2004). Malah dalam PRU ke 12 (2008) beliau juga memberikan sumbangan kewangan untuk PAS Perak melalui saya selaku Pesuruhjaya.

Tokoh-tokoh korporat tersebut di atas dan beberapa orang lagi seperti Dato’ SS, Dato’ Syed SH, Dato’ HA, Dato' NF, Dato' IA adalah di antara penyumbang utama bagi pembangunan Balai Kuliah Tasawwur Islami di Simpang Empat Semanggol yang berjaya kami membangunkannya kira-kira 7 tahun dahulu. Merekalah juga antara penyumbang kepada dana tabung aktiviti Balai Tasawwur terutama dana sumbangan fakir miskin dan anak yatim menjelang Eidul Fitri dan Program Ibadah Korban setiap kali Eidul Qurban.

Saya memaparkan perkara ini samata-mata bertujuan untuk membuktikan bahawa ada sebilangan manusia-manusia yang pemurah yang memberikan sumbangan dan pertolongan kepada saya dengan penuh ikhlas tanpa mengharapkan sesuatu balasan kecuali dari Allah. Mereka tidak pernah ragu memberi sumbangan kepada saya dalam kerja amal Islam, baik melalui jemaah mahupun kegiatan peribadi saya dan isteri. Maka amatlah besar dosa dan fitnah orang seperti PBC dan konco-konconya kerana tanpa penjelasan seperti ini, kepercayaan hamba-hamba Allah yang pemurah itu kepada saya akan tergugat. Ya Allah, lepaskanlah hambaMu ini dari fitnah yang lebih bahaya dari pembunuhan itu. (bersambung…)


Baca lagi...

Khamis, Julai 02, 2009

Fitnah=Ujian dan Fitnah=Penganiayaan (Bah. 1)


(A) Maksud firman Allah SWT:
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi.
Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesunggguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta.” (Al-Anqabut:2-3)

(B) Maksud firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan fitnah kepada orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab Jahannam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar.” (Al-Buruuj:10)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Konsep Fitnah Menurut Al-Quran
Dalam Al-Quran terdapat 60 ayat yang menyebutkan tentang fitnah yang mengandungi dua maksud
iaitu ujian atau cubaan dan satu lagi bermaksud perbuatan penganiayaan seperti penyeksaan, pertuduhan, pembunuhan, mendatangkan bencana dan sebagainya. Membuat tuduhan jahat terhadap seseorang adalah merupakan penganiayaan yang lebih dahsyat daripada pembunuhan seperti yang ditegaskan Allah sebanyak 2 kali dalam Surah Al-Baqarah, ayat 191 yang bermaksud: “ ... dan fitnah itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan...” dan Surah Al-Baqarah, ayat 217 yang bermaksud: “ ... dan fitnah itu lebih besar dosanya dari pembunuhan...”. Akan tetapi kebanyakan ayat-ayat berkenaan fitnah itu merujuk kepada ujian dan cubaan Allah ke atas orang-orang yang beriman seperti yang dimaksudkan dalam ayat Al-Anqabut di atas.

Al-Quran menegaskan bahawa manusia akan diuji Allah dengan bala bencana, penderitaan dan penindasan dalam mempertahankan keimanan dan kebenaran Islam yang diperjuangkan oleh para Rasul dan golongan orang-orang beriman. Kisah para Rasul dalam Al-Quran menunjukkan bagaimana mereka menerima ujian yang berupa penindasan atau penyeksaan. Mereka berjaya menghadapinya dengan kekuatan iman dan keyakinan atas kebenaran yang diperjuangkan, contohnya Nabi Ibrahim as yang dibakar hidup-hidup oleh Raja Namrud, begitu juga Nabi Musa as yang ditindas oleh Fir’aun. Sejarah Rasulullah saw penuh dengan ujian yang berupa penindasan dan penyeksaan, bahkan baginda berhijrah meninggalkan Makkah selepas menghadapi percubaan kaum Musyrikin Quraisy membunuh baginda. Baginda juga diuji dengan harta kekayaan dan pangkat kebesaran yang ditawarkan oleh kaum Musyrikin Quraisy Makkah sekiranya baginda bersedia meninggalkan tugas mendakwahkan risalah dakwahnya. Dalam Al-Quran dan As-Sunnah terdapat banyak ayat-ayat dan hadis-hadis yang mengingatkan orang-orang yang beriman bahawa hartabenda dan pangkat kebesaran merupakan ujian atau fitnah yang sangat besar pengaruhnya.

Namun banyak peristiwa sejarah menunjukkan bahawa menghadapi penderitaan dan penindasan kadang-kadang lebih mudah dari menghadapi ujian kesenangan dan kemewahan. Ada orang yang sanggup beberapa lama menderita menghadapi penindasan dan tekanan dalam mempertahankan prinsip perjuangannya akan tetapi kalah dengan mudahnya apabila ditawarkan pangkat dan kemewahan hidup. Al-Quran berulang tubi mengingatkan bahawa kesenangan dan kemewahan dunia adalah suatu fitnah besar.

Dalam konteks peringatan kepada orang-orang beriman, golongan ulama’ paling keras diberi amaran supaya mereka tidak terpengaruh kepada pangkat dan harta kemewahan kerana golongan ulama’ adalah merupakan pewaris para Nabi. Di tangan mereka terletak amanah penting meneruskan perjuangan para Rasul. Banyak hadis-hadis yang memberi amaran supaya para ulama’ sentiasa berhati-hati apabila mereka bersama dengan para umara’ (umara’ bermaksud Raja atau Sultan, Presiden, Perdana Menteri dan seumpamanya). Mereka diingatkan dengan keras supaya sentiasa bersikap jujur dan amanah kepada ilmu yang diamanahkan Allah kepada mereka. Mereka hendaklah beristiqamah dalam menegakkan kebenaran dan keadilan. Mereka hendaklah sentiasa berani menyatakan kebenaran dan menolak kebatilan. Jangan sekali-sekali mereka mengkhianati ilmu yang diamanahkan Allah dengan menjualnya dengan harta atau gelaran pangkat kebesaran.

Berkongsi Pengalaman
Berbicara mengenai fitnah ujian harta dan pangkat ini, sekadar untuk berkongsi pengalaman ingin saya mencatatkan beberapa peristiwa yang saya lalui semasa berkhidmat dengan kerajaan selama lebih 25 tahun di beberapa kementerian.

Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar - Semasa berkhidmat di Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar, saya pernah diminta oleh Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar ketika itu (Encik Ghafar Baba) supaya membuat satu kertas kerja untuk dibentang dalam Kongres Ekonomi Islam Ke-2 bertujuan untuk membolehkan pungutan Bahagian Zakat Fakir Miskin di seluruh negara tidak diagihkan kepada mereka, tetapi dilabur dalam suatu Kompleks Kewangan dan hanya akan diagihkan keuntungannya dari modal pungutan zakat itu.

Saya enggan melakukan seperti yang diarah oleh menteri tersebut, kerana saya berpendapat ianya bercanggah dengan hukum Islam mengenai agihan harta zakat. Menurut hukum, pungutan zakat wajib diagihkan kepada penerimanya untuk kegunaan mereka (amwal istihlakih). Akibat keengganan itu saya diberi amaran akan diberhentikan kerja. Saya pernah diberi borang menyertai UMNO beberapa kali oleh setiausaha peribadi menteri berkenaan. Beliau berkata dengan menjadi ahli UMNO saya akan cepat dinaikkan pangkat. Namun saya tetap menolak. Saya katakan kepadanya saya dilantik oleh SPA kerana atas kelayakan saya bukannya kerana saya orang UMNO. Akhirnya Allah SWT memberi jalan keluar apabila saya ditawarkan jawatan pensyarah di UTM (ketika itu dikenal dengan ITK).

Jabatan Perdana Menteri - Paling hebat ujian semasa saya berkhidmat di Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri (kini JAKIM). Pada masa pentadbiran Perdana Menteri Hussein Onn dan Dr Mahathir Mohamad, saya pernah berberapa kali dipanggil kedua-dua Perdana Menteri ke pejabatnya. Hussein Onn pernah mengarahkan saya memberhentikan program kursus kefahaman Islam kepada pegawai-pegawai tentera. Ini disebabkan kumpulan pertama yang mengikuti program tersebut ada di antara mereka yang melarang minuman keras di mess pegawai di tempat mereka bertugas, bahkan ada yang menggesa supaya penjualan arak di NAAFI (kini PERNAMA) diharamkan. Saya tidak pernah peduli arahan tersebut.

Dr Mahathir pula pernah mengarahkan supaya kurikulum program kursus-kursus dakwah kepada pegawai-pegawai kerajaan termasuk polis dan tentera diubah. Alasannya kursus yang dilaksanakan di bawah arahan saya itu kononnya menimbulkan masalah kepada kerajaan. Peserta-peserta kursus, kata Dr Mahathir sering mempertikaikan pentadbiran kerajaan sebagai tidak Islamik, saya tetap bertegas melaksanakan tanggungjawab saya dengan perancangan-perancangan yang telah diluluskan oleh Bahagian Agama JPM. Saya juga pernah berdialog dengan Dr Mahathir di kediaman beliau di Petaling Jaya dan di pejabatnya. Dr Mahathir pernah berkata: “Ustaz sama sahaja dengan Hassan Ibrahim dan Amir Yaakob” (kedua-dua mereka telah di“peti ais"kan). Masing-masing mentafsirkan sendiri segala Peraturan dan Perkhidmatan Kerajaan. Akibat istiqamahnya pendirian saya itu, tambahan pula dengan kejayaan saya melaksanakan program Bulan Dakwah di seluruh negara maka saya menerima notis 24 jam berpindah tugas ke Kementerian Pelajaran.

Kementerian Pelajaran – Menteri Pelajaran ketika itu Dato’ Musa Hitam. Beliau memberitahu, saya ditukarkan ke kementerian beliau adalah dengan kehendak Dr Mahathir. Di kementerian berkenaan, saya tidak diberi sebarang tugasan kerja selama kira-kira setahun. Saya ditempatkan di sebuah bilik kalis bunyi (soundproof) bekas bilik rakaman RTM di Bangunan Persekutuan. Dengan kata lain saya di“peti ais"kan, bahkan pangkat jawatan saya diturunkan. Hanya selepas Anwar Ibrahim (kini Dato' Seri) menyertai kerajaan UMNO BN, dengan jasa baik beliau saya dibebaskan menjalankan tugasan saya.

Dalam suasana sedemikian, saya dipelawa untuk berkhidmat di Sarawak yang ditawarkan oleh Dato' Patinggi Abdul Rahman Yaakob (kini Tun), Ketua Menteri Sarawak ketika itu. Kepada saya ditawarkan ganjaran yang besar yang menjamin kehidupan yang mewah sehingga ke anak cucu, asal sahaja saya bersetuju untuk terus tinggal di Sarawak. Untuk memujuk saya, saya sekeluarga dijemput menjadi tetamu kerajaan Sarawak selama seminggu dengan diberi layanan bertaraf empat bintang kerana pada masa itu belum ada hotel bertaraf lima bintang di Kuching. Namun saya tidak bersetuju menerima tawaran itu kerana saya menyedari jika menerima tawaran tersebut saya akan mudah menjadi alat politik kepada pemimpin Sarawak itu meskipun tugasan saya dalam bidang dakwah. Sekitar masa itu juga saya dipelawa untuk menjawat jawatan Mufti Negeri Perak. Yang DiPertua (kini Pengarah) JAIP masa itu Dato' Ahmad Hisham bin Mat Piah (Allahyarham) mempelawa saya untuk menjawat jawatan tersebut. Secara bergurau saya berkata kepada beliau: “Kalau saya jadi mufti Perak, dalam tempoh sebulan mungkin saya akan meletakkan jawatan, ataupun Sultan akan turun takhta”. Jawatan mufti itu kemudiannya diisi oleh Dato’ Haji Ghazali Abdullah (ayahanda kepada YB Dr Dr Lo'lo', MP Titiwangsa).

Kementerian Belia dan Sukan – Dato' Abdul Samad Idris, Menteri Belia dan Sukan ketika itu (pertengahan 1970-an), pernah berdialog dengan saya dengan dihadiri oleh para mufti mengenai cadangan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan amalan silat Nasrulhaq yang berasal dari Indonesia. Menteri itu tidak berpuas hati apabila dialog tersebut berakhir dengan kegagalan beliau menangkis hujah-hujah saya. Beliau kemudian mengumumkan kementeriannya akan menubuhkan bahagian agamanya sendiri. Lalu saya dengan tegas mempertikai cadangan beliau. Ekorannya, apabila silat itu diharamkan maka ditubuhkan Persatuan Nasrulhaq yang didokong oleh kementerian berkenaan. Abdullah Badawi (kini Tun) yang pada masa itu menjadi Ketua Pengarah Kementerian Belia datang ke pejabat saya berbincang mengenai amalan Nasrulhaq itu. Tetapi saya tetap dengan pendirian saya. Akibatnya selepas itu, beberapa tahun Dato' Samad Idris tidak mahu berjumpa saya. Namun selepas kira-kira lebih 10 tahun daripada peristiwa itu, Dato' Samad Idris meminta saya menjadi Pengerusi Panel Syariah Bank Pembangunan dan Infrastruktur Malaysia Berhad, yang pada masa itu beliau menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah.

Demikianlah sebahagiaan pengalaman saya menghadapi fitnah ujian dalam perkhidmatan saya melaksanakan tugas kewajipan selaku seorang pendakwah melalui jawatan dalam perkidmatan kerajaan yang diterajui oleh UMNO/BN. Akibat dari ketegasan dan istiqamah saya memikul amanah ilmu yang dianugerah Allah SWT kepada saya, saya tidak dinaikkan pangkat dalam jawatan saya, bukan kerana prestasi atau kelayakan saya tetapi hanya saya tidak mahu menjadi “yes man” kepada orang-orang politik yang menyalahguna kuasa mereka dalam pentadbiran. Saya tidak pernah menyesal apabila pegawai-pegawai bawahan saya dinaikkan pangkat lebih tinggi dari saya. Saya juga tidak pernah menyesal apabila saya diketepikan dari kenaikan pangkat, dan dibawa orang luar untuk menjawat jawatan yang lebih tinggi daripada jawatan saya padahal pegawai berkenaan berpangkat lebih rendah dari saya hingga terpaksa di“downgrade”kan pangkat jawatan yang hendak diisinya itu. Saya juga tidak pernah merasa kerugian apabila surat penghargaan atas perkhidmatan saya ditarik balik oleh JPA beberapa hari sebelum saya mengetip kad kedatangan (punch card) pada hari terakhir perkhidmatan saya sebagai pegawai kerajaan. Memanglah perkara sedemikian itu agak aneh, kerana sepanjang perkhidmatan saya tidak pernah sekali pun dikenakan tindakan tatatertib. (bersambung…)


Baca lagi...

Selasa, Jun 30, 2009

Cerita Harussani Di Sebalik Peristiwa


Tajuk di atas dipetik dari artikel majalah Milenia Muslim (MM) Bil. 82 keluaran bulan Mei lepas. Ia merupakan tajuk Fokus keluaran berkenaan yang ditulis oleh editor majalah berkenaan, Zulkafly Baharuddin, hasil temubual beliau dengan Dato' Seri (kini Tan Sri) Harussani Zakaria (TSHZ). Di antara lain, kandungan artikel tersebut dipetik:

"Sekembalinya ke Ipoh, Dato' Seri Harussani menemui Ustaz Ahmad Awang. Ustaz Ahmad berkata beliau tidak akan mahu bekerjasama dengan mereka yang zalim. Bagaimana beliau boleh menganggap sedemikian walhal mereka yang beliau tuduh zalim itu adalah orang Melayu beragama Islam tetapi Ustaz Ahmad lebih bekerjasama dengan orang kafir.

Hasil dari keengganan Ustaz Ahmad adalah senario politik di Perak hari ini. Ikuti luahan pandangan beliau, terhadap beberapa peristiwa yang berlaku di Perak hari ini ..."

Saya tidak berhajat dalam posting ini menjawab pelbagai isu yang dibangkitkan oleh TSHZ dalam majalah berkenaan kerana jawapan saya mengenainya akan disiarkan oleh majalah MM dalam keluaran Ogos akan datang seperti yang dijanjikan penerbitnya. Memang saya tidak berpuashati atas kelewatan menyiarkannya, walhal Datuk Hj Mohamad Nakhaie Hj Ahmad, penaung majalah berkenaan bersetuju temubual dengan saya itu akan disiarkan dalam keluaran Jun atau Julai. Tunggulah jawapan dan pandangan saya mengenai luahan TSHZ nanti.

Apa yang saya nak tulis di sini adalah mengenai cerita Harussani di sebalik peristiwa masa lalu di antara saya dengan beliau. Di sini suka saya nyatakan di antara saya dan TSHZ tidak ada sebarang masalah peribadi. Hubungan baik kami tidak pernah terganggu dengan perbezaan pendapat dan fahaman politik. Saya sejak dari kolej sudah menjadi pendokong PAS walaupun saya belum menjadi ahli. Kami sering berbeza pendapat mengenai isu-isu semasa samada berkaitan politik, hukum-hakam, undang-undang dan sebagainya. Tetapi adakalanya pula kami sependapat dan sependirian dalam isu-isu seperti gejala murtad, gejala sosial dan keruntuhan akhlak, isu kumpulan anti-hadith, isu pendidikan Islam dan sebagainya.

Latarbelakang Peribadi
Mengenai latarbelakang peribadi, kami kebetulan sama-sama berasal dari daerah Kerian, Perak. Saya dilahirkan di Simpang Ampat Semanggol, manakala TSHZ berasal dari Jalan Baru, Parit Buntar. Perbezaan usia kami juga tidak jauh, umur saya 73 manakala Harussani 70. Seperti kebanyakan penduduk Kerian, kami berasal dari rumpun keturunan Banjar (Al-Banjari). Dalam kad pengenalan sebelum merdeka dahulu tertulis di dalam bahasa Inggeris "Malay Banjarese". Dahulunya keturunan Banjar sangat kuat berpegang kepada agama dan ramai yang menjadi ulama'.

Kami mula berkenalan semasa sama-sama menuntut di Kolej Islam Malaya Klang, Selangor. TSHZ adalah penuntut junior saya, kerana beliau memasuki kolej pada 1960 manakala saya sudah berada di tahun akhir dan menamatkan pengajian pada tahun akademik 1961. Setelah tamat pengajian di Universiti Al-Azhar Kaherah, saya balik ke tanah air bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Aminuddin Baki Kuala Lumpur. Ketika itu saya mendapat tahu TSHZ baru saja berpindah ke Pulau Pinang menjawat jawatan Kadhi Besar negeri itu. Sebelum itu beliau bertugas di Bukit Aman dengan PDRM (jawatan beliau saya tidak tahu).

Semasa beliau menjadi Kadhi Besar Pulau Pinang (1966-1984?), beliau aktif berceramah dakwah di Pulau Pinang, Kedah dan Utara Perak. Seingat saya, ketika itu kami belum berbeza pendapat secara yang ketara mengenai isu-isu semasa. Saya masih ingat beliau pernah berkata: "Kita berdua ni sama dianggap sebagai pembangkang kerana pendapat kita yang tegas mengenai isu-isu umat Islam." Waktu itu saya duduk dalam kereta yang beliau memandunya untuk kami pergi ke satu tempat di Pulau Pinang. Saya ketika itu bertugas sebagai Pengarah Dakwah dan Latihan Islam, Bahagian Agama JPM (kini JAKIM).

Berbeza Pendapat
Sebaik sahaja beliau dilantik menjadi Mufti Kerajaan Negeri Perak, mula kelihatan pandangan dan pendirian TSHZ berubah dan berbeza pendapat dengan saya. Antaranya, ikuti beberapa peristiwa seperti berikut:
  • Peristiwa 1: Ketika berlangsung upacara istiadat pertabalan DYMM Sultan Perak, Sultan Muhibbuddin Azlan Shah Ibnu Al-Marhum Sultan Yusuf Izzuddin Shah (25 tahun yang lalu), saya menghubungi beliau yang baru menjawat jawatan mufti ketika itu meminta beliau menasihati pihak istana supaya tidak melakukan upacara-upacara yang boleh menjejaskan aqidah. Malah saya mencadangkan supaya majlis fatwa mengkaji dan membincangkan istiadat-istiadat yang bercanggah dengan aqidah itu dihapuskan. Beliau menolak cadangan saya sambil mengatakan beliau telah berjaya membatalkan beberapa upacara dalam istiadat tersebut, walhal sebelum itu beliau mempunyai pendirian yang tegas dalam hal-hal seperti ini.
  • Peristiwa 2: Pada suatu hari, saya menelefon TSHZ dari pejabat saya di bangunan Pusat Islam di Jalan Perdana, Kuala Lumpur. Perkara yang saya bangkitkan ialah tindakan polis menangkap imam dan bilal sebuah masjid di Perak dalam daerah Larut. Tindakan polis itu dibuat kerana kedua-dua pegawai masjid berkenaan dikatakan tidak mempunyai tauliah. Tetapi mereka ditangkap di bawah Akta Kesalahan Agama di bawah undang-undang sivil. Saya minta beliau menasihati pihak polis supaya tidak melakukan tindakan tersebut kerana kes berkenaan adalah di bawah bidangkuasa (jurisdiction) Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Negeri. Akan tetapi beliau tidak melayani pandangan saya itu. Kedua-dua orang pegawai masjid itu kemudiannya dibicarakan di bawah Akta berkenaan dan dijatuhkan hukuman penjara. Saya di antara orang yang sangat kuat menentang Akta tersebut yang kemudiannya beberapa tahun setelah dilaksanakan, Akta tersebut terbatal dengan sendirinya kerana sebuah Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memutuskan penghakiman bahawa ianya ultra vires dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai agama Islam.
  • Peristiwa 3: Tragedi Berdarah Memali 1985. Dalam mesyuarat khas Majlis Fatwa Kebangsaan, di mana TSHZ merupakan seorang anggota yang sangat aktif memberi pendapat bahawa mangsa Tragedi Memali, khususnya Asy-Syahid Allahyarham Ibrahim Mahmud (yang lebih dikenal dengan Ibrahim Libya) adalah merupakan kumpulan bughah (penderhaka) dan mereka tidak dianggap mati syahid. Maka wajib dimandi, dikafan dan disembahyangkan sebelum dikebumi. Anehnya sebahagian besar mufti-mufti dalam mesyuarat itu mencadangkan supaya nama mereka yang mati korban tragedi itu tidak perlu disebut dengan lafaz Allahyarham dengan alasan mereka itu penderhaka. Padahal, apabila mereka itu disembahyangkan, maka doa yang menjadi rukun solat jenazah itu adalah memohonkan rahmat dan keampunan kepada mereka yang disembahyangkan. Saya turut hadir dalam mesyuarat tersebut dan memberi hujah mengapa Allahyarham dan kumpulannya adalah mati syahid. Akibatnya saya diusir keluar dari mesyuarat tersebut.
  • Peristiwa 4: Suatu hari kami berdua menjadi panel forum anjuran Jam'iyah Dakwah Islamiyyah Perak. Ketika itu saya adalah YDP Jam'iyah Dakwah Islamiyyah Selangor dan Wilayah Persekutuan. Saya kurang pasti samada TSHZ ketika itu menjadi YDP Jam'iyah Dakwah Perak. Dalam forum yang diadakan di dewan Jam'iyah Perak di Jalan Seruan, Ipoh, saya berbeza pendapat dengan beliau mengenai beberapa isu semasa, terutama mengenai peraturan yang menyekat kebebasan dakwah di masjid-masjid atau surau-surau. Saya menegaskan bahawa undang-undang bersabit dengan tauliah mengajar/berdakwah tidak semestinya dikenakan ke atas pendakwah yang sudah dikenali mempunyai ilmu Islam dan beramal dengannya, kerana undang-undang itu diwujudkan hanya untuk mengawal supaya ajaran yang bathil dan sesat tidak disebarkan kepada orang Islam. Beliau tidak bersetuju dengan pendapat saya dengan memberi alasan bahawa jika tidak dikawal dengan undang-undang tauliah, maka masyarakat akan berpecah-belah akibat fahaman politik dibawa ke masjid-masjid. Pendapat beliau, fahaman politik hendaklah di"sangkut" di pagar masjid dan jangan dibawa ke dalam masjid. Saya pula berhujah bahawa politik tidak boleh dipisahkan dalam dakwah, yang boleh dielakkan hanyalah politik kepartaian tidak terbawa-bawa dalam berdakwah di masjid/surau. Akhirnya, TSHZ sendiri dilarang berdakwah/berceramah di masjid atau surau di Lembah Klang dua tahun yang lalu apabila beliau sering membangkitkan isu murtad dan mendakwa ratusan ribu orang Islam telah masuk Kristian atau Hindu.
  • Peristiwa 5: Yang terkini apabila beberapa orang pemimpin DAP Perak seperti Nga Kor Meng dan PKR Perak seperti Chan Ming Kai sering memetik keterangan-keterangan dalam Al-Quran dalam ceramah-ceramah politik mereka, timbullah isu hukum membaca Al-Quran oleh non-muslim. Tiba-tiba Mufti Perak mengeluarkan pendapat beliau (bukan fatwa) bahawa orang bukan Islam "haram"/tidak boleh membaca Al-Quran. Saya pula berpendapat sebaliknya dengan bersandarkan beberapa hujah termasuk bukti surat Rasulullah saw yang dihantar kepada Maharaja Hercules, Raja Rom Benzantina. Dalam surat tersebut, Rasulullah saw menuliskan ayat 64, surah Ali-Imran, yang sudah pasti ayat itu akan dibaca oleh Hercules. Sekiranya orang bukan Islam tidak dibenar membaca ayat Al-Quran, maka Rasulullah saw tidak akan menuliskannya dalam surat Baginda itu. Banyak lagi hujah saya yang boleh diikuti dalam majalah Al-Islam keluaran Bil. 426 Jun 2009.
Demikianlah di antara cerita di sebalik peristiwa Harussani dengan saya. Ada lagi beberapa contoh peristiwa perbezaan pendapat di antara kami berdua, namun perkara yang paling penting membezakan Ahmad Awang dan Harussani ialah pegangan dan fahaman politik kami masing-masing. Saya tidak pernah menyembunyikan pegangan politik Islam saya semenjak belum menjadi ahli PAS lagi. Semasa saya memegang jawatan Pegawai Kerajaan tidak pernah saya menyembunyikan pegangan saya. Manakala Harussani berpegang kepada fahaman politik Melayunya. Saya katakan politik Melayu bukan politik Islam. Walaupun beliau sering membangkitkan isu Islam, tetapi dasarnya adalah Melayu yang menjadi dasar perjuangan UMNO.

Contoh paling jelas apabila beliau yang mendakwa tidak berpolitik atau tidak memihak kepada mana-mana parti politik, tapi begitu bersungguh-sungguh mengajak PAS bergabung dengan UMNO menubuhkan kerajaan Melayu di Perak sebaik sahaja UMNO/BN gagal membentuk kerajaan selepas keputusan PRU Ke-12 diumumkan sepenuhnya menjelang jam 12 malam 8 Mac 2008. Atas arahan Dato' Seri DiRaja Tajol Rosli, Ketua Perhubungan UMNO Perak (waktu itu), beliau bersusah payah pada malam itu ketika hujan lebat bertolak dengan kereta ke Kota Bharu menemui Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz dan pada esok paginya pula menghubungi Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Hadi untuk tujuan mendapat persetujuan mereka. Tapi kedua-duanya menolak dengan mudah dan memberikan alasan tertentu. Sekembalinya Harussani ke Ipoh, beliau menghubungi saya melalui telefon (bukan berjumpa seperti yang ditulis dalam artikel majalah MM berkenaan). Saya menolak tawaran UMNO yang dibawa oleh Harussani dengan memberikan alasan dan hujah yang beliau tidak dapat menyanggahnya. Ikutilah penjelasan saya dalam majalah Milenia Muslim keluaran Ogos akan datang seperti yang dijanjikan penerbitnya.

Dari cerita di sebalik peristiwa yang tersebut di atas, jelaslah bahawa Tan Sri/Dato' Seri Hj Harussani Zakaria adalah seorang mufti yang berpolitik dan parti yang didokongnya ialah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang lebih dikenal dalam bahasa Inggerisnya dengan United Malay National Organisation (UMNO).


Baca lagi...

Rabu, Jun 24, 2009

Kenyataan Bersama Pimpinan PR Berkenaan Isu Kerajaan Perpaduan

Maksud Firman Allah SWT:"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." (Al-Hujuraat:13)



Kenyataan bersama Pimpinan Pakatan Rakyat tersebut di atas menambahkan lagi Najib, Muhyiddin dan Khairy "melalau-lalau" kerana hampa hasrat UMNO tidak kesampaian untuk bergabung dalam Kerajaan Perpaduan.


Baca lagi...

Kerajaan Perpaduan Sudah Mati


Maksud Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya orang-orang mu'min adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat." (Al-Hujuraat:10)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Melafazkan Takbir
Pada hari Isnin, 28 Jamadil Akhir 1430H bersamaan 22 Jun 2009 kira-kira jam 6.20 petang, tamatlah riwayat isu Kerajaan Perpaduan dalam diari semasa politik PAS. Saya dan Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man serta beberapa sahabat pimpinan melafazkan “Takbir” sebaik sahaja Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) selesai membaca kenyataan bertulis beliau kepada para pemberita dan jurugambar media yang bersesak-sesak di bilik Mesyuarat Utama Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Kenyataan tersebut dikeluarkan sebaik saja tamat Perjumpaan Khas yang dipengerusikan Mursyid Am PAS itu yang berlangsung selama kira-kira satu jam bermula kira-kira 5.20 petang. Bagi saya, kenyataan TGNA itu adalah “talqin” ke atas jenazah isu Kerajaan Perpaduan itu.

Kenyataan penuh TGNA seperti berikut:

Setelah berbincang dari awal hingga akhir dalam Perjumpaan Khas yang diadakan di Pejabat Agung dalam semangat kekeluargaan menangani permasalahan dalam beberapa isu politik semasa yang dibesar-besarkan oleh media perdana. Kami akhirnya bersetuju sebulat suara melupakan perihal salah tanggapan yang berlaku di antara Pimpinan Atasan Parti akibat daripada permainan politik murahan UMNO.

Kami bersama-sama dalam satu saff yang padu untuk terus bersama-sama memperjuangkan keazaman PAS bagi mendaulatkan Islam di persada tanahair.

Kami juga bersetuju sebulat suara bahawa polemik Kerajaan Perpaduan diberhentikan serta merta sepertimana telah diputuskan oleh Presiden PAS bersama pimpinan Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan bersama di Bangunan Parlimen jam 2.30 petang tadi yang menolak sepenuhnya idea Kerajaan Perpaduan.

Oleh yang demikian, selaras dengan itu, saya selaku Mursyid Am PAS menarik balik segala kenyataan saya terhadap YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS dan dengan itu, ianya tidak berbangkit lagi.


Kenyataan tersebut dibuat setelah hampir kesemua mereka yang menghadiri Perjumpaan Khas itu memberi pendapat atau penjelasan masing-masing bersabit dengan isu Kerajaan Perpaduan yang menjadi topik panas berikutan dari kenyataann media Presiden PAS semasa Muktamar ke-55 di Shah Alam baru-baru ini. Mesyuarat Khas berkenaan dipanggil oleh TGNA selaku Mursyid Am. Mereka yang dijemput hadir ialah Dato' Seri Presiden TGHHA, Timbalan Presiden Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Naib-naib Presiden Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub dan Dato' Mahfuz Omar, Dato' Harun Taib (Ketua DU), Ustaz Nasaruddin Hassan (Ketua DP) dan Ustazah Noridah Salleh (Ketua DMPP). Hadir juga Dato' Dr. Harun Din (Timbalan Mursyid Am), Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin (SU Majlis Syura) dan saya sendiri tanpa membawa apa-apa jawatan (tetapi saya masih ahli Majlis Syura).

Pertemuan di Rumah Seri Kelantan
Perjumpaan Khas itu dipanggil oleh TGNA selepas beliau berbincang dengan kami bertiga, saya, Dr Harun Din dan Ustaz Ghani Shamsuddin dalam satu pertemuan dengan beliau pada hari Jumaat 19 Jun 2009 jam 8.00 malam di rumah Seri Kelantan, Jalan Stonor, Kuala Lumpur. Dalam pertemuan tersebut TGNA meminta pandangan kami bagaimana hendak “mematikan” isu Kerajaan Perpaduan dengan serta merta. Menurut beliau isu itu menjadi modal UMNO dalam kempen di Manek Urai yang sudah berjalan dengan rancaknya selama 2 minggu. UMNO menyeru para pengundi Manek Urai supaya tidak perlu lagi menyokong PAS kerana PAS akan bergabung dengan UMNO dengan terbentuknya Kerajaan Perpaduan yang dirancangkan.
TGNA menjelaskan sebab-sebab yang "memaksa" beliau mengeluarkan kenyataan yang begitu keras terhadap Timbalan Presiden. Namun beliau memberi jaminan kepada kami akan menarik balik kenyataan yang keras itu sekiranya semua Pimpinan Tertinggi PAS bersepakat sebulat suara “mematikan” isu Kerajaan Perpaduan itu.

Pertemuan kami pada malam itu berakhir dengan keputusan supaya diadakan segera Perjumpaan Khas Pimpinan Tertinggi yang dihadiri oleh mereka yang berkenaan seperti yang disebutkan di atas. Paling mustahak TGNA mahu supaya Ustaz Nasharuddin tidak menguzurkan diri. Dr Harun Din diberi amanah menyampaikan hasrat penting Mursyid Am itu kepada Ustaz Nasharuddin.

Suasana Harmoni dan ukhuwah
Alhamdulillah, semua yang dijemput termasuk Ustaz Nasharuddin hadir dalam Perjumpaan Khas yang dipanggil oleh TGNA itu. Perbincangan dalam perjumpaan itu berjalan dalam suasana harmoni dan penuh ukhuwah serta saling memahami pandangan dan penjelasan mereka yang hadir. TGNA memulakan perbincangan dengan menerangkan sebab-sebab dan tujuan beliau mengadakan Perjumpaan Khas itu. Beliau menjelaskan punca-punca sebenar mewajarkan kenyataan keras beliau yang dibuat terhadap Ustaz Nasharuddin. Selepas mengikuti penjelasan Presiden dan Timbalan Presiden, kami yang hadir dapat memahami bagaimana lontaran idea Kerajaan Perpaduan itu boleh menjadi ribut dan gelombang besar, padahal sepatutnya ia sudah berlalu menjadi perkara akademik sahaja.

Saya turut memberikan pandangan antara lain menegaskan bahawa isu Kerajaan Perpaduan adalah suatu ujian Allah ke atas Kepimpinan Parti. Parti seolah-olah sebuah bahtera dilanda ombak besar semasa belayar menuju pelabuhan. Dengan “mematikan” isu ini, walau apa pun senario dalaman dan luaran sebelumnya, Parti akan selamat dan hubungan antara Kepimpinan Jamaah akan bertambah kukuh dan bersatu padu. Saya mengingatkan kepada perpaduan parti waktu ditinggalkan oleh Allahyarham Ustaz Dato' Fadhil Noor yang berkebetulan tarikh 22 Jun 2009 adalah genap 7 tahun Allahyarham meninggal dunia. Saya merasa agak terharu seketika apabila Ustaz Nasharuddin sebak beberapa saat semasa meriwayatkan urutan peristiwa yang membawa beliau menjadi sasaran utama dalam isu ini. Ustaz Nasharuddin menjelaskan kedudukan peranan beliau dalam isu Kerajaan Perpaduan yang sepatutnya tidak menimbulkan kekeliruan dalam parti melainkan kerana ianya dipermainkan oleh media massa alat/pro UMNO.

Saya juga benar-benar dapat merasakan betapa besarnya jiwa TGNA apabila beliau tidak teragak-agak menggunakan perkataan “menarik balik” kenyataan keras beliau terhadap Ustaz Nasharuddin walaupun ada cadangan supaya beliau menggunakan ungkapan yang lebih longgar dari perkataan “menarik balik” itu. Syukurlah keputusan sebulat suara Perjumpaan Khas berkenaan mengambil tindakan membunuh isu Kerajaan Perpaduan yang dipermainkan UMNO itu dapat mematikan serta merta isu tersebut.

Dengan tindakan sedemikian tidak ada mana-mana pihak dalam parti yang menang ataupun kalah. Tidak ada juga situasi menang-menang (win-win situation), tetapi yang menang adalah PAS dan perpaduan di kalangan kepimpinan dan seluruh pendokongnya. Manakala yang kalah dengan pukulan mati ialah UMNO dan sesiapa juga yang cuba hendak melaga-lagakan TGNA dan TGHHA dalam perkara ini.

Bagaimanapun kesemua pihak dari Pimpinan Tertinggi hingga ke peringkat akar umbi Parti banyak pengajaran dan pelajaran yang boleh diambil dari riwayat hidup “arwah” Kerajaan Perpaduan ini.


Baca lagi...

Jumaat, Jun 19, 2009

Isu Kerajaan Perpaduan/Unity Government (Bhg. 2)

(Photo credit : TENGKU BAHAR/AFP/Getty Images)

Maksud firman Allah SWT:
“Hai orang-orang yang beriman, ta’atilah Allah dan ta’atilah RasulNya dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (An'Nisa’:59)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Konsep Kerajaan Perpaduan

Kerajaan perpaduan atau National Unity Government atau National Union Government adalah kerajaan gabungan yang luas meliputi semua parti-parti politik utama dalam parlimen bagi membentuk sebuah kerajaan. Kerajaan Perpaduan biasanya dibentuk bagi mengatasi keadaan semasa dan selepas berlaku peperangan atau selepas keadaan darurat sesebuah negara.

Kerajaan perpaduan pernah dibentuk di beberapa buah negara barat pada masa yang lalu, sebagai contohnya di Amerika, Presiden Abraham Lincoln membentuk Unity Government selepas Perang Saudara pada tahun 1865. Di Canada pula Kerajaan Perpaduan atau Unity Government pernah dibentuk dalam masa Perang Dunia Pertama (1917) dan semasa Perang Dunia Kedua. Demikian juga Luxembourg pernah membentuk Kerajaan Perpaduan semasa Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Di England pula pernah ditubuhkan Kerajaan Perpaduan pada tahun 1931 dan juga pada tahun 1935.

Indonesia adalah contoh terdekat dan terbaru Kerajaan Perpaduan. Kerajaan tersebut terbentuk selepas berlaku reformasi apabila tumbangnya pemerintahan Suharto yang kemudiannya digantikan oleh Presiden Habibie dalam masa peralihan kepimpinan apabila terbentuknya Kerajaan Perpaduan pada tahun 2004 sehingga hari ini. Semua parti-parti yang memenangi pilihanraya tahun 2004 bergabung mendukung pemerintah. Ini bermakna tidak ada golongan atau parti pembangkang dalam kerajaan. Bagaimanapun Presiden adalah dipilih terus melalui pilihanraya yang mana parti-parti utama bertanding merebut jawatan Presiden dan Timbalannya. Satu perkara yang perlu disebutkan sistem pilihanraya di Indonesia bagi memilih wakil-wakil rakyat di semua peringkat adalah mengikut kaedah proportional representative system yang berdasarkan pada peratusan undi yang didapati oleh kumpulan calon-calon dan peratusan kerusi yang mereka perolehi, bukannya berdasarkan kepada majoriti undi yang diperolehi oleh calon-calon yang bertanding di satu-satu kawasan parlimen atau negeri, seperti majority system yang diamalkan di negara kita.

Bila Idea Kerajaan Perpaduan Dibangkitkan?
Secara rasminya idea Kerajaan Perpaduan ini tidak pernah dibangkitkan dalam parti PAS apatah lagi untuk membincangkannya. Ianya tidak lebih dari lontaran idea Presiden Tuan Guru Haji Hadi Awang (TGHHA) seperti yang beliau sendiri pernah membuat kenyataan mengenainya. Lontaran idea itu dibuat beliau semasa pimpinan Kerajaan di bawah pentadbiran Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (sekarang Tun) yang menjanjikan untuk membasmi amalan rasuah. Beliau menyuarakan idea dengan penubuhan Kerajaan Perpaduan itu dapat dilakukan reformasi terhadap Suruhanjaya Pilihanraya dan Suruhanjaya Kehakiman yang selama ini dilihat semakin terhakis kepercayaan rakyat kepada kedua-dua suruhanjaya itu. Di samping itu juga kebebasan media akan dapat dijamin bersikap adil kepada semua pihak. Saya difahamkan dalam sembang-sembang sambilan beliau pernah bercakap mengenai idea Kerajaan Perpaduan ini dengan Dato’ Seri Anwar dan Lim Kit Siang.

Bagaimanapun tidak ada perbincangan rasmi dengan pimpinan UMNO mengenai perkara ini dan tidak ada sebarang keputusan dibuat. Apa yang saya difahamkan lontaran idea ini pernah disampaikan kepada Pak Lah (sahaja) ketika hampir-hampir berlaku peralihan kuasa kepimpinan negara kepada Dato’ Seri Najib. Khabarnya Pak Lah berminat dengan idea tersebut (bukan cadangan), mungkin kerana takut orang-orang beliau akan tersingkir apabila Najib menjadi Perdana Menteri, bukannya kerana idea Unity Government itu. Namun tidak ada apa-apa perkembangan lanjut sehingga peralihan kepimpinan negara berlaku dengan perletakan jawatan Pak Lah pada 29 Mac lalu. Ini bererti Unity Government itu kini hanya menjadi idea akademik sahaja. Ia sepatutnya tidak bangkit lagi sebagai perancangan parti atau perbincangan strategi politik PAS PADA MASA INI dan tidak sepatutnya pun menjadi isu yang menggawatkan baik di peringkat parti atau di peringkat Pakatan Rakyat.

Bagaimana Isu Kerajaan Perpaduan Ditimbulkan
Dalam kegawatan perbincangan mengenai isu ini, pimpinan parti rakan Pakatan Rakyat membuat kenyataan-kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan penyokong-penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat. Malah dengan permainan dan pengolahan media arus perdana yang merupakan alat UMNO/BN, ulasan-ulasan kenyataan sedemikian boleh merenggangkan PAS dengan rakan Pakatan Rakyat. Malah paling ditakuti ianya boleh membawa perpecahan. Saya sendiri banyak menerima panggilan telefon dan SMS dari rakan-rakan Pakatan Rakyat menyatakan kebimbangan mereka sekiranya benar-benar Kerajaan Perpaduan ini menjadi pemangkin ke arah kerjasama PAS dan UMNO untuk membentuk Kerajaan. Mengapa setengah pimpinan Pakatan Rakyat begitu mudah boleh terperangkap dengan permainan musuh?

Saya percaya ramai boleh memahami mengapa idea Kerajaan Perpaduan ini boleh menjadi isu yang sedemikian panas. Ia berpunca dari sidang media Dato’ Seri Presiden selepas menyampaikan ucapan dasar Presiden dalam Muktamar PAS ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam pada 5 Jun lepas. Dalam sidang media itu Presiden menyebut semula idea KP itu. Saya pun tidak pasti samada ianya timbul kerana soalan provokasi media kerana dalam ucapan dasar beliau lebih satu jam langsung tidak menyebut Kerajaan Perpaduan. Apa yang ditegaskan beliau ialah PAS akan terus memperkukuh Pakatan Rakyat dan bersedia menyumbang khidmat kepimpinan berlandaskan Islam Memimpin Perubahan yang menjadi tema Muktamar kali ini.

Saya sendiri terperanjat apabila mandapati semua media arus perdana hari ke dua Muktamar menyiarkan berita berkenaan Kerajaan Perpaduan. Hampir seluruh ucapan dasar Presiden tenggelam dengan isu KP ini. Pada awal pagi hari ke dua Muktamar itu, saya bertanya kepada Presiden mengenai perkara ini. Kebetulan ketika itu beliau sedang berjalan seiring dengan Timbalan Presiden yang sedang menuju kenderaan masing-masing untuk pergi ke tempat Muktamar. Saya mencadangkan beliau menjelaskan perkara ini kepada media supaya tidak menimbulkan kekeliruan. Akan tetapi saya mendapati berita yang keluar esok harinya seolah-olah menegaskan lagi keterbukaan pimpinan beliau untuk meneruskan idea Kerajaan Perpaduan. Barangkali yang terus menimbulkan pertanyaan-pertanyaan apabila dalam Ucapan Penggulungan Muktamar mengulangi penekanan kepimpinan atas keterbukaan PAS untuk bertemu dan berbincang dengan siapa-siapa sahaja. Ucapan penggulungan Timbalan Mursyidul Am, Dr. Haron Din dan ucapan-ucapan penggulungan Presiden dan Timbalan Presiden dilihat seperti tidak begitu selari dengan pandangan majoriti besar perwakilan dan wakil Kelab Penyokong PAS yang dengan keras menolak sebarang pertemuan dan perbincangan dengan UMNO.

Mengapa Tok Guru Nik Aziz Sensitif

Apabila ucapan-ucapan kepimpinan PAS itu di spin oleh media, maka akhirnya yang timbul bukan idea konsep Kerajaan Perpaduan yang mencakupi semua parti-parti diwakili di parlimen pada masa ini. Ianya diputar-belitkan seolah-olah Kerajaan Perpaduan PAS/UMNO atau Kerajaan Perpaduan PAS/UMNO/BN. Di sinilah timbulnya berbagai-bagai pandangan negatif atau tuduhan-tuduhan berat terhadap pimpinan tertinggi PAS pada masa ini. Saya percaya Mursyidul Am Tok Guru Nik Aziz (TGNA) tersentuh perasaan beliau apabila teringat apa yang berlaku dalam pertemuan sulit antara Pimpinan Tertinggi PAS dengan Pak Lah yang didedahkan sendiri oleh Presiden UMNO itu beberapa bulan sebelum Muktamar ke-54 di Perak tahun lalu. Pertemuan itu kemudian diistilahkan sebagai muqabalah bukan muzakarah. Saya boleh mengerti TGNA begitu sensitif kerana jika dahulu boleh berlaku muqabalah secara sulit, apakah nanti tidak akan ada muqabalah seperti itu di antara pimpinan parti yang diberi mandat oleh perwakilan dalam Muktamar kali ini. Apatah lagi apabila TGNA melihat “orang” tertentu yang terlibat dengan rundingan sulit dengan Pak Lah, dilantik memegang jawatan penting dalam pentadbiran PAS sekarang. Saya sendiri pun tertanya-tanya samada Dato’ Seri Presiden berasa dalam keadaan serba salah bersabit perlantikan jawatan berkenaan terutama saya memahami watak TGHHA sebagai seorang yang sangat menghormati orang lain sehingga boleh menyebabkan beliau berada dalam dilema untuk membuat satu keputusan yang tegas.

Mungkin saya salah seorang anggota pimpinan PAS (mantan) yang cukup memahami sensitifnya TGNA bila mengenangkan pertemuan sulit pimpinan PAS dengan Pak Lah pada 10 Mac 2008 di sebuah rumah di Kuala Lumpur yang bertujuan membincangkan penubuhan Kerajaan PAS/UMNO/BN. Namun ianya gagal atas sebab-sebab tertentu. Bayangkanlah apabila kerajaan PAS di Kelantan diserang begitu hebat terutama dalam kempen PRU ke-12 itu oleh pimpinan BN yang diketuai oleh Pak Lah sendiri, timbalannya Najib dan menantunya Khairy, tiba-tiba 2 hari selepas itu PAS diajak bersama untuk membentuk kerajaan walaupun bukan di Kelantan. Takkanlah pimpinan PAS tidak terfikir macam mana UMNO boleh serta merta hendak berbaik dengan PAS setelah mereka berusaha hendak menghancur lumatkan PAS sebagai musuh utama politik mereka. Tidak perlulah berfikir panjang, semua orang boleh tahu Pak Lah berbuat demikian kerana menyaksikan UMNO/BN menerima pukulan hebat dengan kehilangan majoriti 2/3 dan kehilangan kira-kira 50% kerusi parlimennya di Semenanjung. Itulah tabiat UMNO apabila hampir kehilangan kuasa, dibuatlah alasan PAS mesti bersama dengan UMNO demi kepentingan bangsa dan agama.

Pengalaman Saya Di Perak
Di Perak, UMNO mengajak PAS membentuk kerajaan bersama UMNO/BN. Alasannya ialah alasan yang sama dijadikan hujah apatah lagi UMNO/BN yang memenangi 28 kerusi hanya seorang sahaja ADUN bukan Melayu. Ini bermakna jika PAS menyertai UMNO/BN, kononnya terbentuklah kerajaan yang didukung oleh 97% Melayu Islam. Dengan ini berlakulah satu sejarah dalam masa 50 tahun merdeka tertubuh Kerajaan Melayu Islam di negeri Perak. Kononnya kukuhlah kedaulatan Melayu Islam di Perak. Namun kepada saya dan rakan pimpinan PAS Perak, alasan tersebut dapat kami ketepikan dengan hanya satu hujahan iaitu UMNO/BN selama ini tidak pernah mengangkat Islam bahkan sebaliknya menghakis Islam di Negara ini. Kami ambil kenyataan Mufti Perak sendiri, Dato’ Seri Haji Harussani yang menyatakan bahawa orang Melayu ratusan ribu menjadi murtad dan kerajaan UMNO/BN tidak berbuat apa-apa untuk menanganinya.

UMNO Perak yang didukung oleh pimpinan UMNO Pusat berusaha bersungguh-sungguh dengan segala tipu dayanya memujuk kami untuk membentuk kerajaan bersama UMNO/BN dengan menawarkan jawatan Menteri Besar dan 5 EXCO kepada 5 orang lagi ADUN PAS. Jawatan speaker juga ditawarkan kepada pimpinan PAS. Sehingga hari upacara angkat sumpah Menteri Besar Perak (Dato’ Seri Haji Nizar Jamaluddin) agen UMNO masih lagi datang menemui saya di perkarangan Istana Iskandariah. Sehari sebelumnya Dato’ Zahid Hamidi mengejar saya untuk pertemuan 4 mata dengannya tetapi beliau gagal berbuat demikian apabila saya meminta pihak polis mengawal rumah saya (rujuk posting berkenaan tahun lepas).

Bayangkanlah bagaimana perasaan saya atau sesiapa juga seperti yang saya alami tiba-tiba mendapat tahu kemudian Pimpinan Tertinggi PAS berunding dengan UMNO untuk membentuk kerajaan PAS bersama UMNO/BN. Walaupun saya hanya mengetahuinya selepas kira-kira 2 bulan kemudian, saya tetap terasa amat pelik dan tersentuh dengan tindakan pimpinan itu. Apahal pun saya menerimanya kerana ia sudah menjadi perkara akademik dan sejarah sahaja. Namun begitu ia tidak boleh padam dari ingatan dan tetap tersimpan dalam hati kecil saya. Saya percaya perasaan seperti inilah yang tersimpan mendalam dalam hati TGNA dan boleh timbul pada bila-bila masa apabila wujud situasi seperti isu Kerajaan Perpaduan. Apatah lagi UMNO itulah yang telah melakukan rampasan kuasa ke atas Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak yang diketuai oleh Dato’ Seri Najib dengan mendapat restu dari Pak Lah sendiri.

Kini kelihatan perbezaan pendapat di antara TGNA dengan pimpinan tertinggi PAS. Akibat perkara-perkara yang berlaku selepas isu Kerajaan Perpaduan ini menjadi topik politik nasional. Kenyataan-kenyataan pimpinan bahawa PAS tidak akan berpakat membentuk kerajaan dengan UMNO/BN seperti tidak diendahkan oleh sebahagian penyokong dan pendukung parti. Keadaan seperti ini boleh meletakkan parti di peringkat amaran bahaya maka perlulah pimpinan tertinggi dari peringkat syura dan kepimpinan organisasi peringkat pusat dan negeri mengadakan perhimpunan khas bagi membincangkan cara-cara yang terbaik untuk menangani isu ini berlandaskan kaedah dan cara terbaik mengikut lunas-lunas Islam.


Baca lagi...

Rabu, Jun 17, 2009

Isu Kerajaan Perpaduan/Unity Government

Maksud firman Allah SWT:
“Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka; sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami siksa mereka dengan sekonyong-konyong, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa.” (Al-An'aam:44)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Selamat berjumpa kembali kepada para pengunjung blog saya, setelah kira-kira 10 bulan blog saya tidak dikemaskinikan kerana sebab-sebab tersendiri. Saya tetap mengucapkan penghargaan kepada mereka yang tetap mengunjungi blog ini walaupun tuan rumahnya tidak menghidangkan santapan untuk mereka. Terima kasih juga kepada mereka yang menghubungi saya melalui pesanan-pesanan ringkas atau perbualan telefon meminta saya mengemaskinikan blog ini.

InsyaAllah mulai posting ini, blog Ustaz Ahmad Awang akan terus membawa bahan-bahan dakwah dan isu-isu semasa meliputi hal-ehwal agama, politik, sosial, jenayah dan isu-isu umat Islam antarabangsa. Saya akan terus berusaha membuat posting sekerap mungkin, memandangkan saya mempunyai kelapangan setelah menarik diri menduduki saf kepimpinan parti (PAS) di peringkat nasional hingga ke peringkat negeri. Bagaimanapun saya akan tetap memberikan pandangan dan fikiran saya kepada pimpinan parti samada melalui blog ini ataupun saluran lain menurut kesesuaian.

Mengapa KP/UG Diisukan?

Bagi membuka posting ini, saya ingin memberi sedikit pandangan mengenai Kerajaan Perpaduan/Unity Government (KP/UG) yang menjadi hot topic sejak kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang (TGHHA) yang dibuatnya semasa Muktamar PAS Ke-55 di Shah Alam baru-baru ini. Sehingga hari ini sudah hampir 2 minggu isu KP/UG terus menjadi berita sensasi apabila ianya dijadikan bahan politik oleh pimpinan UMNO/BN. Isu menjadi lebih rancak apabila para bloggers mentafsirkannya menurut pandangan masing-masing dan mendapat sambutan pengulas-pengulas blog yang begitu bersemangat memberi komen masing-masing samada dengan pandangan yang positif atau negatif.

Yang lebih penting di sebalik hot topic ini, UMNO/BN mendapat advantage bagi mengalihkan pandangan rakyat untuk menutupi kelemahan-kelemahan parti mereka yang terus menerima kekalahan dalam pilihanraya-pilihanraya kecil selepas PRU Ke-12, 8 Mac 2008. Dengan cara yang demikian UMNO/BN mengambil kesempatan untuk memecah-belah Pakatan Rakyat (PR), terutama dengan menggambarkan PAS cuba untuk berpakat untuk bergabung dengan UMNO/BN. Hakikat bahawa perasaan ragu atau sekurang-kurangnya bisikan-bisikan hati rakan Pakatan Rakyat terhadap kejujuran PAS memang sedang berbunga.

Perkara yang lebih membimbangkan lagi di kalangan ahli akar umbi dan kepimpinan PAS di peringkat pertengahan isu KP/UG ini dilihat oleh sebahagian mereka memang suatu perancangan ke arah bergabung dengan UMNO. Sebahagian besar suara perwakilan dalam Muktamar PAS Ke-55 baru-baru ini, mempunyai persepsi atau pandangan sedemikian, malah tambah menguatkan persepsi mereka apabila pimpinan tertinggi dalam ucapan penggulungannya menegaskan keterbukaan PAS untuk berbincang dengan mana-mana golongan termausk UMNO/BN.

Persoalannya, apakah sebenarnya konsep KP/UG itu? Sejak bilakah ianya dibangkitkan oleh pimpinan terutama TGHHA sendiri? Setakat manakah pernah ianya diperbincangkan di kalangan pimpinan tertinggi parti? Pernahkah ianya dibincangkan dengan rakan PR? Macam mana boleh timbul idea KP/UG ini? Kenapa Tuan Guru Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz (TGNA) sangat tegas menolak KP/UG ini? Semua ini akan saya jawab dalam posting akan datang.


Baca lagi...