بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ
الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالاَتِ اللهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلاَ يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلاَّ اللهَ وَكَفَى بِاللهِ حَسِيبًا

Selasa, September 30, 2008

Tazkirah Ramadhan 1429H dan Ucapan Selamat Eidul Fitri Al Mubarak


Maksud firman Allah SWT:
“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil)...” (Al-Baqarah:185)

Bulan Ramadhan bulan yang diturunkan Al-Quran
Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dapat kembali berposting setelah kira-kira dua bulan tidak membuat catatan disebabkan kesibukan dengan pelbagai tugas jemaah. Hampir setiap minggu saya dan isteri berulang alik di antara Kuala Lumpur, Ipoh dan Balai Kuliah Tasawwur Islami Simpang 4 Semanggol. Sebaik selesai muktamar PAS ke 54 di Ipoh, saya dan isteri berada di Permatang Pauh membantu berkempen untuk Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Alhamdulillah beliau mendapat kemenangan besar dan telah mengecewakan Pak Lah, UMNO/BN.

Sepanjang bulan Ramadhan yang genap hari ini hari yang ke 30, saya memenuhi jadual tazkirah waktu zuhur dan malam ketika solat tarawikh. Fokus tazkirah saya kali ini berbeza sama sekali daripada perkara yang dibincangkan mengenai ibadah puasa atau kelebihan Ramadhan. Ini adalah kerana kedatangan bulan Ramadhan tahun ini tepat jatuh dalam bulan September dari hari pertamanya hingga hari ke tiga puluh. Bagi saya ia hendaklah dijadikan bahan berfikir dan merenung secara mendalam dalam konteks semasa di mana Islam dan umatnya menghadapi serangan dari puak yang memusuhinya terutama dunia barat yang diketuai oleh Amerika (US). Saya namakan topik tazkirah ini “Ramadhan lawan/vs September”. Saya percaya tidak ramai orang berfikir atau terfikir mengenai kepentingan tajuk seperti ini diperbincangkan.

Tahun lepas umat Islam di negara kita memulakan Ramadhan pada 12 September berbanding pada tahun ini pada 1 September. Pusingan kedatangan Ramadhan seperti ini hanya berlaku dalam masa 33 tahun sekali. Kebetulan kedua-dua bulan berkenaan adalah bulan kesembilan mengikut tahun masing-masing. Ramadhan mengikut taqwim qamariah (Lunar Calender) manakala September mengikut taqwim syamsiah (Solar Calender). Umat Islam mengira taqwim hijriah berasaskan taqwim qamariah, manakala umat kristian menjadikan tahun Masihi berasaskan taqwim syamsiah. Bermula dari pertembungan kedua-dua bulan kesembilan yang mempunyai latar belakang yang berbeza sudah cukup melambangkan suatu pertentangan di antara dua pihak. Di satu pihak ialah Islam, dan di satu pihak yang lain pula ialah Kristian.

Untuk memahami topik ini, mustahaklah kita mengenal pasti apakah ciri-ciri penting bagi kedua-dua bulan tersebut dilihat dari perspektif yang berlawanan. Dalam konteks ini, Ramadhan adalah bulan JIHAD kerana ibadah puasa yang difardhukan dalam bulan ini sebagai satu rukun Islam adalah merupakan satu latihan jihad melawan nafsu, sekali gus adalah jihad menentang iblis/syaitan yang menjadikan nafsu manusia sebagai sasarannya.

Berpuasa bererti menahan diri dari memenuhi keinginan nafsu makan, minum, syahwat kelamin dan apa jua keinginan nafsu yang merosakkan ibadah puasa. Ramadhan juga melambangkan jihad menentang musuh di medan perang. Perang Badar yang dimenangi Rasulullah SAW yang pertama berlaku dalam sejarah Islam terjadi dalam bulan Ramadhan tahun kedua Hijriah yang pada tahun itu juga umat Islam diwajibkan berpuasa kali pertamanya. Ramadhan juga melambangkan pertarungan sengit di antara yang hak dengan yang batil, kerana Al-Quran yang pertama kali ayatnya diturunkan dalam bulan Ramadhan kira-kira lima belas tahun sebelum umat Islam diwajibkan berpuasa adalah membawa ajaran yang memisahkan di antara kedua-dua nilai yang bertentangan. Kerana itulah kitab Al-Quran juga dinamai Al-Furqan iaitu pembeza antara kedua perkara yang bertentangan itu.

Ciri-ciri penting bulan September
Apakah pula ciri-ciri penting bulan September? Dalam konteks ini, September tiada kaitan dengan musim luruh (Fall/Autumn), tetapi September yang kita maksudkan di sini adalah September yang diidentifikasikan dengan peristiwa besar dunia yang diungkapkan sebagai September 11 disaster yakni malapetaka 11 September 2001. Pada tarikh tersebut yang jatuh pada hari Selasa, dunia dikejutkan dengan peristiwa musnahnya Menara Berkembar World Trade Center di New York setelah dua buah pesawat penumpang Boeing767 yang dirampas merempuh bangunan tersebut dan kemudian terbakar dan runtuh lalu musnah menjadi debu dalam masa hanya beberapa jam sahaja. Peristiwa ini diungkapkan sebagai serangan (attack) terhadap New York World Trade Center. Pada waktu yang hampir sama, Pentagon juga diserang oleh pesawat jet penumpang United Flight 93 tetapi tidak mengalami kesan kerosakan yang besar.

Akibat peristiwa September 11 tersebut, Presiden Bush terus menuding jari kepada Al-Qaeeda di bawah pimpinan Osama Ben Laden sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap apa yang dikatakan serangan itu.

Sebenarnya bila menyaksikan video yang menunjukkan runtuhnya menara berkembar setinggi 120 tingkat itu, ramai yang sukar mempercayai ianya musnah disebabkan kebakaran akibat daripada rempuhan dua buah pesawat Boeing767 itu. Bahkan lebih ramai yang berpendapat bahawa kemusnahan pusat dagangan dunia itu adalah hasil perancangan terkawal melalui ledakan bahan letupan yang sengaja ditanamkan sebelum berlakunya serangan tersebut. Mereka percaya ia bukan dilakukan oleh Al-Qaeeda malah golongan ini menegaskan bahawa Pentagon adalah diserang oleh Peluru Berpandu. Malah golongan ini berpendapat serangan ke atas Pentagon menggunakan Peluru Berpandu. Pesawat jet Penumpang 93 tersebut adalah sengaja didaratkan oleh pesawat perang angkatan udara mereka. Seluruh malapetaka berkenaan adalah dirancang dan dilaksanakan oleh pegawai-pegawai Persekutuan untuk memberikan Amerika mempunyai dalih untuk berperang di Timur Tengah sebagai satu cara untuk memperkukuhkan dan meluaskan kuasa pentadbiran Bush. Golongan ini menganggap malapetaka itu adalah suatu teori konspirasi yang dilakukan oleh pentadbiran Bush.

Meskipun teori konspirasi September 11 ini sebagai suatu gerakan kebenaran yang mempunyai fakta dan hujah yang kukuh, namun ia diabaikan oleh media arus perdana. Media berkenaan cuba mewar-warkan hikayat rasmi bahawa kerajaan cuba melariskan pertunjukan yang sangat membingungkan.

Apa jua pun pendapat dan hujah golongan yang percaya kepada teori konspirasi, yang pasti sejak 11 September 2001, dunia barat yang diketuai oleh Amerika di bawah pentadbiran Bush, benar-benar berjaya mencipta ISLAMOPHOBIA iaitu perasaan takut kepada Islam. ISLAMOPHOBIA lahir sebagai suatu fenomena baru yang sinonim dengan September 11. Setiap tahun selepas peristiwa itu, tarikh tersebut diperingati di New York melalui upacara khas yang dilakukan oleh Presiden Bush di tempat runtuhan Pusat Dagangan Dunia New York. Kawasan tersebut diberi nama “Ground Zero”. Pada 11 September yang baru lalu, kedua-dua calon Presiden Amerika Barack Obama dari calon parti Demokrat dan John Mccain dari Parti Republikan bersama-sama menghadiri upacara peringatan tersebut.

Mengapa ISLAMOPHOBIA begitu menonjol sebagai fenomena baru di dunia barat baik di Amerika mahu pun di Eropah? Jawapannya mudah, iaitu setelah Al-Qaeeda yang dipimpin Osama dijadikan kambing hitam, maka Islam dituduh agama keganasan yang mencipta agama pengganas. Serta-merta Bush mencipta istilah ISLAMIC TERRORISME dan ISLAMIC TERRORIST (bukan muslim terrosist). Bercakap mengenai ISLAMOPHOBIA yang saya tazkirahkan sepanjang bulan Ramadhan ini, tiba-tiba sahaja, Rais Yatim selaku Menteri Luar Malaysia beberapa hari yang lalu mengumumkan bahawa kerajaan Malaysia mengambil inisiatif meminta supaya secretariat OIC menganjurkan suatu forum / seminar sedunia mengenai ISLAMOPHOBIA untuk menjelaskan bahawa “Islam sebenar” bukan agama keganasan. Saya tidak pasti sama ada beliau atau Pak Lah mendapat ilham dari pertembungan Ramadhan dan September ini atau hanya secara kebetulan perkara ini dibangkitkan dalam bulan ini yang mana saya memberi tazkirah dengan tajuk seperti di atas sepanjang Ramadhan.

Bagaimanapun saya bimbang sekiranya yang akan dijelaskan sebagai “Islam Sebenar” itu ialah Islam Hadhari yang jika ini terjadi akan bertambah lagilah kekeliruan masyarakat barat terhadap Islam yang akan memapankan ISLAMOPHOBIA bukan menghapuskannya. Harap-harap tidak terjadi begitu.

Teori Konspirasi Pentadbiran Bush
Bagi saya teori inilah yang benar. Peristiwa September 11 mempunyai matlamat yang lebih jauh dari sekadar memberikan dalih kepada pentadbiran Bush untuk memperkukuh kuasanya di timur tengah. Ia sebenarnya untuk memberikan dalih kepada pentadbiran Bush bagi menyekat perkembangan Islam di dunia barat, khususnya di Amerika dan negara-negara Eropah. Lebih-lebih lagi perkembangan dakwah Islam di kalangan penganut-penganut agama Kristian Protestant. Patut disebutkan bahawa penganut Kristian Protestant di Amerika sekitar 58% dari jumlah 300 juta penduduknya. Presiden Bush adalah seorang yang sangat taksub kepada agama protestant. Setiap tindakan penting yang diambilnya, dia pasti akan terlebih dahulu meminta restu daripada paderi-paderi pakar rujuknya.

Bush adalah orang kuat nombor 2, dalam suatu pertubuhan gerakan Kristian Protestant yang dinamai White Angelo Sexon Protestant (WASP). Seperti yang diketahui umum, bahawa agama Islam cepat berkembang di dunia barat bermula awal 1970 an. Saya sendiri menyaksikan World Islamic Festival yang diadakan di London bertempat di Albert Hall yang dilakukan upacara perasmiannya oleh Queen Elizabeth. Serentak pada masa itu dianjurkan Seminar Islam Antarabangsa yang ditaja oleh Islamic Council of United Kingdom yang kemudiannya ditukar kepada Islamic Council of Europe. Menjelang ketibaan abad hijrah ke 15, (1401 H) pada awal 1980 an, fenomena baru menunjukkan kebangkitan Islam. Ungkapan Islamic Revival atau Islamic renaissance. Ungkapan Islam sebagai addin dan Islam Is A Way of Life sangat popular.

Pada prinsipnya, dunia barat yang sangat mementingkan hak asasi manusia dalam sistem amalan demokrasi yang mereka berbangga dengannya, sepatutnya tiada masalah bagi Islam berkembang bebas di negara-negara mereka. Benar di peringkat dua dekad Islam berkembang di negara tersebut, Islam diterima dengan baik oleh masyarakat barat. Malah ada negara Eropah yang meletakkan taraf agama Islam sebagai agama rasmi selepas agama Kristian seperti negara Belgium. Di Amerika sendiri, tokoh-tokoh pendakwah Islam, dipandang tinggi kerana mereka berjaya membawa imej baik dan bersih bagi masyarakat Islam, terutama yang sebelumnya beragama Kristian dari masyarakat kulit hitam. Pada masa itu, tokoh-tokoh dakwah terkenal, yang kebanyakannya berasal dari negara Arab sering diundang memberikan ceramah mengenai Islam. Beberapa buah penjara besar sering menjemput pendakwah Islam untuk menyampaikan dakwahnya kepada banduan-banduan. Kebiasaannya selepas sekali dua ceramah, ramai banduan-banduan yang dianggap core / keras memeluk agama Islam setelah mendengar ceramah. Antara mereka yang memeluk Islam dalam penjara ialah Mike Tyson mantan juara heavyweight sedunia. Ini memberangsangkan lagi penguasa-penguasa penjara mengundang pendakwah Islam.

Dalam hal ini, saya sendiri pernah ditawar jawatan pendakwah di Amerika. Saya diajak untuk meninggalkan negara dan berkhidmat untuk masyarakat Amerika yang dahagakan Islam. Sahabat saya, bekas Naib Canselor UTM Johor Bahru, Dato’ Dr. Ridhuan Saleh beria-ia mengajak saya berangkat ke Amerika selepas beliau berada di sana dan menyaksikan bagaimana perlunya rakyat Amerika mencari kebenaran Islam. Bagaimanapun beliau sendiri balik ke tanah air tidak lama selepas peristiwa September 11 ini.

Tapi kenapa mereka takut kepada Islam setelah suku abad Islam berkembang di barat? Jawapannya mudah, jika kita merujuk peringatan Allah dalam Al-Quran seperti firmanNya dalam Surah Al-Baqarah Ayat 120 yang bermaksud “Dan tidak sekali-kali orang Yahudi dan Nasrani (Kristian) itu redha terhadap kamu sehingga kamu mengikut agama (millah) mereka…. Katakanlah bahawa sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk yang benar….”

Ini bererti ketakutan dunia barat yang dilatari oleh budaya yang berteraskan Kristian Protestant atau Katolik sentiasa menghantui minda pimpinan mereka seperti Presiden Bush. Sejarah ilmuwan barat sudah lama bergerak melalui orientalisme di pusat-pusat pengajian tinggi berusaha menggambarkan Islam sebagai agama kekerasan. Buku-buku rujukan mereka menggambarkan wajah kononnya Nabi Muhammad sebelah tangannya memegang Al-Quran dan sebelah tangannya yang lain menghunus pedang. Namun dalam tempoh kira-kira 1 alaf (seribu tahun) misi mereka kurang berjaya walaupun mereka dapat melakukan serangan budaya dan pemikiran terhadap umat Islam.

Maka dengan tamatnya alaf ke-2 masihi, dunia barat yang diketuai Amerika sebagai kuasa besar dunia terutama selepas runtuhnya kuasa Russia dengan bubarnya Kesatuan Negara Sosialis Soviet Russia (USSR). Islam mesti disekat di abad ke 21 Masihi atau awal alaf ke 3, maka terciptalah malapetaka 11 September 2001. Apakah dalih yang kukuh untuk menghalang kemaraan Islam? Kalau hanya setakat menjadikan dakwah Islam yang berjaya menarik orang-orang Kristian terutama golongan Protestant memeluk Islam, Bush melihat ianya tidak releven kerana pendakwah itu tidak mempunyai apa-apa kuasa selain dari hujah atas kebenaran Islam sebagai akidah berteraskan tauhid.

Strategi menyekat kebangkitan Islam
Kesempatan yang mudah dijadikan dalih dan senjata yang mapan adalah kebangkitan dan kejayaan golongan MUJAHIDIN (pejuang Islam) yang penuh semangat jihad, berjuang kerana Allah. Kejayaan golongan MUJAHIDIN mengusir keluar tentera Soviet Russia dari bumi Afghanistan adalah amat releven untuk menggambarkan bahawa jihad adalah ancaman kepada dunia barat. Kumpulan Taliban yang kemudiannya menguasai Afghanistan selepas pertelagahan puak mujahidin menyebabkan mereka bertindak menyerang Afghanistan dengan bantuan sekutunya dari anggota-anggota NATO.

Pada awal 1990an, meletus perang di rantau Balkan apabila Bosnia Herzegovina bangkit mengisytiharkan negaranya merdeka dan keluar dari kesatuan Negara Yugoslavia. Mereka diperangi oleh kerajaan Serbia yang berpusat di Belgrade yang didukung oleh bangsa Serbia. Adapun bangsa bosnia adalah beragama Islam turun temurun sejak kedatangan Islam ke rantau Balkan melalui pembukaan Islam yang dilakukan oleh Kekhalifahan Uthmaniah setelah mengalahkan kerajaan Serbia pada ketika itu yang mengisytiharkan perang salib terhadap Islam.

Perang Bosnia - Serbia langsung tidak seimbang kerana orang-orang Bosnia tidak mempunyai kekuatan tentera dan peralatan perang berbanding dengan Serbia yang menguasai kerajaan pusat semenjak puluhan tahun yang lalu. Perang tersebut adalah merupakan keganasan Serbia yang tiada tolok bandingnya dalam era zaman ini, kerana pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik dilakukan terhadap orang-orang awam Bosnia. Bagaimanapun Bosnia Herzegovina tidak dapat dikalahkan setelah bertahun-tahun mereka diperangi dengan hebatnya. Pemimpin-pemimpin Islam dari kalangan ulama’ menjadi sasaran utama apabila mereka bangkit memakmurkan masjid-masjid dan rumah ibadah Islam yang ditutup berpuluh tahun pada zaman pemerintahan sosialis Yugoslavia.

Kota Sarajevo yang menjadi ibu negeri Bosnia Herzegovina menjadi sasaran serangan Serbia bertubi-tubi dari darat dan udara. Ketika tiba pada suatu musim sejuk dengan salji di mana kota tersebut diliputi dengan salji yang tebal, penduduknya dikepung sehingga sukar bekalan makanan dan peralatan senjata sampai ke kota itu. Namun setelah kepungan dan serangan berterusan berbulan-bulan, Sarajevo tetap bertahan. Ini menyebabkan Negara kesatuan Eropah (EU) menghantar Presiden Perancis Jacques Chirac ke Sarajevo untuk mengetahui apa sebenarnya yang terjadi di sana. Jacques Chirac membuat laporan hasil kunjungannya ke Sarajevo yang kesimpulannya Sarajevo dapat dipertahankan di samping bandar yang lain kerana orang Bosnia dibantu oleh kumpulan mujahidin dari luar yang sebahagian antara mereka menyertai perang Afghanistan menentang Russia. Orang Bosnia sendiri juga telah menubuhkan Briged Islam yang mempunyai disiplin seperti yang diamalkan oleh kumpulan mujahidin.

Hasil perbincangan atas laporan tersebut, Negara Kesatuan Eropah menggesa mereka menggunakan kekuatan tentera NATO untuk mengebom tentera Serbia sekiranya mereka tidak memberhentikan serangan dan pembersihan etnik terhadap Bosnia Herzegovina. Tindakan tersebut menyebabkan perang Bosnia - Serbia dapat diberhentikan dan kedua pihak dibawa ke meja rundingan damai yang berakhir dengan pembahagian negeri Bosnia kepada tiga etnik iaitu Bosnia, Serbia dan Croatia. Sebenarnya tujuan di sebalik tindakan tentera NATO yang dipimpin tentera Amerika itu bukanlah kerana bersimpati dengan bangsa Bosnia, tetapi adalah kerana kebimbangan jika peperangan berterusan selepas habis musim sejuk, besar kemungkinan tentera Bosnia yang dibantu oleh kumpulan Mujahidin akan mencapai kemenangan ke atas Serbia di rantau Balkan itu. Jika ini berlaku, maka ia dilihat ancaman kebangkitan Islam dengan semangat jihad di seluruh Eropah di mana dakwah Islam sedang berkembang.

Di sebabkan terlalu fobia dengan jihad Mujahidin, Bush bersungguh-sungguh meminta kerajaan Arab Saudi dan Mesir serta Negara-Negara Arab / Islam yang lain supaya menghapuskan bab jihad dari kurikulum pendidikan di institusi pengajian di negara mereka. Bagaimanapun para ulama’ di Negara-Negara tersebut, khususnya ulama’ dari Universiti Al-Azhar di Mesir dan Universiti Islam Madinah dan Ummul Qura, berpendirian tegas tidak melayani tuntutan Presiden Bush itu.

Kesan September 11 ke atas Malaysia
Sementara itu, Setiusaha Pertahanan ketika itu, Donald Ramsfields meminta Negara-Negara umat Islam memberhentikan / menghalang sebarang bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah agama persendirian yang lebih dikenali dengan Sekolah Agama Rakyat (SAR). Seruan Ramsfields segera mendapat sambutan dari rakan sejawatnya di Malaysia ketika itu, Najib Tun Razak. Najib pernah membuat kenyataan di Pekan, Pahang bahawa Sekolah Agama Rakyat (SAR) melahirkan pengganas. Pentadbiran Dr Mahathir pada ketika itu tidak bertangguh untuk menarik bantuan per kapita kepada Sekolah Agama Rakyat seluruh Negara dengan berdalih bahawa ada seorang pelajar SAR yang memijak gambarnya kerana dianggap pemimpin yang zalim. Dengan alasan itu, Dr. Mahathir menjatuhkan hukuman, semua SAR mengajar ajaran Islam yang menyeleweng atau “sesat” Dengan itu menghalalkan tindakan kerajaan memberhentikan bantuan per kapita tersebut, padahal sebenarnya adalah untuk menunjukkan kesetiaan atau “wala’nya” kepada Amerika.

Kesetiaan ini dibuktikan pula dengan penahanan di bawah ISA terhadap mereka yang dituduh tanpa bukti pernah terlibat dengan kumpulan Mujahidin / Taliban di Afghanistan ketika mereka menuntut di pusat pengajian Islam persendirian seperti di Karachi, Lahore dan Islamabad. Di antara mangsa tahanan ISA ketika itu ialah Nik Adli bin Tuan Guru Nik Aziz yang dituduh sebagai Ketua Kumpulan apa yang dinamakan Mujahidin Malaysia (KMM). Beliau hanya dibebaskan selepas menjalani tahanan selama enam tahun di Kem Tahanan Kamunting. Hampir kesemua pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian Islam di Pakistan di arah meninggalkan pusat pengajian dan kembali ke tanah air. Saya menyaksikan sendiri keadaan ini apabila saya berada di Karachi dan Lahore pada tahun 2002 yang lalu.

Mengingati tindakan menarik bantuan per kapita kepada SAR, pada zaman pentadbiran Dr. Mahathir, kita masih terbayang amaran keras Kementerian Pelajaran terhadap sesiapa yang tidak mendaftar anak untuk belajar di sekolah-sekolah kementerian, boleh dianggap melanggar akta pendidikan Negara yang jika disabitkan boleh didenda atau dipenjara. Semakin ramailah murid-murid SAR yang meninggalkan SAR untuk belajar di sekolah kerajaan. Kini semenjak Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri, beliau cuba menunjukkan simpatinya kepada SAR yang hampir kecundang kecuali SAR di Kelantan yang ditadbir di bawah Yayasan Islam Kelantan. Abdullah Badawi menawarkan bantuan kepada SAR yang mendaftar di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia melalui skim Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Kononnya beliau hendak memulihkan peranan SAR, tetapi apa yang sebenarnya terjadi SABK itu menjadikan SAR terikat secara mutlak kepada kurikulum Kementerian Pelajaran. Ini dengan sendirinya boleh menyekat SAR (SABK) daripada meneruskan kurikulum SAR yang lengkap meliputi pelbagai bidang pengajian subjek Islam.

Ramadhan vs September adalah Tazkirah Allah
Dari perbincangan di atas dapatlah kita memahami bahawa jatuhnya pusingan bulan Ramadhan menepati sepenuhnya bulan September adalah sebenarnya satu tazkirah dari Allah kepada seluruh umat Islam yang menunaikan ibadah puasa dalam bulan Ramadhan dalam tahun ini, supaya mereka terus berjihad menghadapi serangan musuh Islam yang cuba melemahkan semangat jihad dan membangkitkan ISLAMOPHOBIA di kalangan masyarakat barat yang semakin mendekati Islam.

Dengan semangat jihad yang kental masyarakat Islam di Amerika menghadapi tekanan dan serangan dari ISLAMOPHOBIA, mereka terus berjaya meneruskan dakwah Islam. Islam sebagai satu-satunya Addin yang diakui dan diredhai Allah, kini mendapat sambutan yang lebih berlipat ganda berbanding dengan keadaan sebelum September 11. Dari laporan yang dikeluarkan oleh sumber-sumber yang dipercayai, jumlah purata mereka yang menganut agama Islam di Amerika pasca September 11, purata meningkat 4 hingga 5 kali ganda berbanding pra September 11. Dari laporan yang pernah diterbitkan melalui laman web Council of American Islamic Releation (CAIR) bahawa rating kualiti hidup dan sosio ekonomi penganut agama Islam di Amerika lebih tinggi 5% hingga 6% berbanding dengan rating warga nasional Amerika seluruhnya.

Apakah tidak terlintas di minda umat Islam di Malaysia hari ini, bahawa dalam masa 33tahun akan datang apabila Ramadhan bertembung sekali lagi dengan September, ketika itu Amerika menjadi sebuah Negara Islam atau sebuah negara berpenduduk majoriti orang Islam, ataupun kira-kira 40% penduduknya yang beragama Islam dan mempunyai kualiti hidup yang tinggi, berpaksikan aqidah tauhid. Mudah-mudahan suasana sedemikian akan berlaku dengan kehendak Allah sekiranya umat Islam terus berjihad pada jalan Allah. Sebagai menyahut seruanNya seperti yang terkandung dalam firmanNya yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih? (yaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu Mengetahui. Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam jannah 'Adn. Itulah keberuntungan yang besar. Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai (yaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya) dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.”

(Maksud Surah Assaff ayat 10-13)

Ucap Selamat Eidil Fitri Al-Mubarak
Akhirnya pada kesempatan ini, saya dan isteri serta keluarga mengucapkan Selamat Menyambut Eidil Fitri Al-Mubarak dengan tazkirah agar kita tingkatkan iltizam berjihad dengan istiqamah hingga diqabulkan Allah dengan kemenangan untuk Islam dan ummah. Diiringi doa semoga Allah menerima amal ibadah dan bakti kita sepanjang Ramadhan dan membawa kita kembali kepada fitrah Islam.


من العاٸدين الفاٸزين المقبولين دان داوچڤکن

كل عام و انتم بخير وبركة


P/S: Kepada sahabat seperjuangan dan rakan kenalan termasuk non-muslim yang mengucapkan Selamat Hari Raya kepada saya dan keluarga melalui kiriman kad atau sms dan email, diucapkan terima kasih dengan iringan doa kepada yang berkenaan.


تقبل الله منا ومنكم تقبل يا كريم

9 ulasan:

Hubaya Gunung Semanggol berkata...

Salam Pak Lang,

Selamat Hari Raya Aidil Fitri buat Pak Lang, Mak Lang dan seisi keluarga..

Thn ni takdak buat Rumah Terbuka BAKTI ka...?

Buleh gak rasa nasi arab dan kambing... ;-)

Ustaz Ahmad Awang berkata...

Terima kasih atas ucapan Selamat Hari Raya dari Hubaya. InsyaAllah BAKTI akan mengadakan Rumah Terbuka pada hari Ahad 26 Oktober ini. Jemputlah sahabat datang beramai-ramai meraikannya. InsyaAllah, Nasi Arab Kambing menu utamanya. TAQABBALALLAH MINNA WA MINKUM. TAQABBAL YA KARIM.

AIDC berkata...

salam ustaz

Hamba Miskin berkata...

Mari lihat video serangan yahudi laknatullah di palestin sejurus sambutan hari Asyura..lawati blog saya di

www.dzulhaqq.blogspot.com

Unknown berkata...

Salam ziarah,,,sila lawati blog saya untuk muzakarah dan sila add blog saya...

taipingmali berkata...

==============================================================================
Berita gembira buat penyokong Pas, Pkr dan bloggers Pro Pakatan. Awal-awal lagi mereka sudahpun berdendang sayang dan berwel wel karawalee, bergelak-ketawa untuk meraikan kemenangan terhadap Raja ular ini.

Di estet-estet dan kuil hindu mungkin satu majlis keagamaan akan dijalankan meraikan kejayaan Raja Ular ini. Begitu juga dengan surau dan markaz akan mengadakan solat hajat supaya dikembalikan pemerintahan kepada PR.

Pas akan terus menyembah patung Raja Ular ini agar kemenangan berpihak kepada PR. Selain itu patung Karpal juga akan diukir dan diletakkan di semua markaz Pas, sebagai tanda sokongan kepada usaha Karpala menentang sistem beraja. Anwar punya patung nak letak mana? Anwar letak di tengah lah. Sebab dia ketua.

Muslihat Raja Ular ini tidak lain dan tidak bukan ialah untuk mengangkat kembali kerajaan Dap atau kerajaan Republik Perak. Perak akan menjadi negeri Republik pertama di Malaysia.

Kerajaan baru republikan meletakkan perlembagaan negeri atau undang-undang tubuh negeri Perak di Muzium Perak Ipoh atau Taiping. Perak akan menjadi negeri sekular pertama pada 3 Mac ini.

Nizar akan di ketepikan dari jawatan MB kerana beliau hanya dilantik menjadi MB setelah diperkenankan oleh Sultan Perak. Sebelum ini pun Ngeh dan Sivakumar menentang keras perlantikan Nizar dari menjadi MB. Mereka DAP mahukan Dato Ngeh menjadi MB.

Bila Ngeh dilantik menjadi MB pada 3 Mac ini , Nizar sekali lagi akan dilucutkan jawatan menteri besar oleh Sivakumar dan Ngeh. Semuanya kerana Pas hanya parti terkecil di Perak. Pas boleh ditunjukkan jalan keluar oleh DAP.

Sekali lagi unit Amal Pas akan mengadakan demonstrasi jalanan untuk menagih simpati dari rakyat Perak. Sekali lagi Nizar dan kuncu-kuncu akan melarikan kereta Camry untuk mengelakkan dari dirampas oleh Ngeh.

Pas yang dahulu nya abang adik dengan Dap akan bersengketa dan saling kafir mengkafir. Dap mengkafirkan Pas dan Pas mengkafirkan Dap.

Elok lah 2x5= 10. 5x2+10, Pkr sudah terkedu ketika itu, nasi sudah jadi bubur, Amerika akan meletakkan satu ketumbukan tenteranya di Lumut. Hummer dan pesawat Awac berkampung di Lapangan Terbang Ipoh.

Melayu sekali lagi masuk hutan cari pucuk paku, cari sagu untuk makan tengah hari. Anak-anak kecil menangis kesejukan, menangis minta susu. Kucar kacir melayu Perak. nak lari mana? semua pintu sempadan dah ditutup. Melayu akan jadi seperti Palestine di Gaza. menanti saat kematian.

Unknown berkata...

Salam ziarah,blog yang menarik,semoga Allah istiqomah kita dalam apa juga urusan..jemput muzakarah di blog saya..dan sila add blog saya..tq

Rozlan Daud berkata...

salam ustaz, boleh tahu macam mana ustaz buat blog ustaz yang hebat ni. lau blh tlg ajar sy...sy nak tahu mcm mana setiap penulisan ustaz boleh ada "baca lagi" sebab setiap penulisan sy panjang dan tidak boleh nk sambung yang macam ustaz buat. selain itu, ustaz buat macam mana link yang "laman utama, biodata, profil hubungi saya" dan banyak lagi kat atas tu...boleh tlg ajar sy ustaz...]
syukran..

Yeasin Cameron berkata...

Salam Ustaz... dah bersawang benar dah rumah ustaz ni... kami sentiasa tertunggu2... ustaz nak kami tolong bersihkan rumah ni ke..?

Ustaz tolonglah beri penerangan terhadap kekalutan di Perak kita ini...