بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ
الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالاَتِ اللهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلاَ يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلاَّ اللهَ وَكَفَى بِاللهِ حَسِيبًا

Jumaat, Jun 27, 2008

Perangai Ketua Pembangkang dan ADUN-ADUN UMNO/BN Perak Amat Memalukan Orang Melayu


Walaupun saya berada di Kuala Lumpur semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-12 yang berlangsung selama 4 hari (24-27 Jun 2008), saya tetap dapat mengikuti agenda perbahasan dan pergulungan setelah Paduka Seri Sultan Perak menyampaikan titah Ucapan Perasmian membuka sidang tersebut pada hari pertamanya. Ini adalah kerana persidangan itu dapat disaksikan secara langsung melalui ‘video streaming’ di laman web yang julung-julung kalinya pernah dilakukan kerajaan negeri Perak. Tahniah kepada kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang mengambil inisiatif bagi memudahkan rakyat negeri Perak khasnya, dan masyarakat umum di seluruh negara amnya dapat mengikuti persidangan tersebut.

Pada mulanya saya menjangka ADUN-ADUN BN yang terdiri dari 27 orang mewakili UMNO dan seorang mewakili MCA pastinya akan memberikan pandangan-pandangan dan cadangan-cadangan yang bernas dan membina. Ini memandangkan sebahagian besar mereka yang kini menjadi anggota pembangkang, dahulunya adalah merupakan pemimipin-pemimpin dalam kerajaan. Namun saya amat terperanjat dan kecewa dengan kerendahan pekerti dan budi bahasa mereka serta sikap sombong dan bongkak mereka, setelah menyaksikan hampir kesemua ADUN-ADUN UMNO dan ADUN tunggal MCA yang berpeluang bercakap atau berhujah dalam persidangan itu. Hampir tidak ada pandangan dan cadangan yang bernas dan membina diutarakan, melainkan cacian, tohmahan dan penghinaan yang silih berganti dilemparkan terhadap Dato’ Seri Haji Mohammad Nizar Jamaluddin selaku Menteri Besar dan juga terhadap beberapa orang Exco dari DAP dan PKR.

Pada saya, Dato’ Seri DiRaja Mohamad Tajol Rosli Ghazali sebagai seorang yang pernah memimpin kerajaan sebagai Menteri Besar selama kira-kira 8 tahun 3 bulan atau kira-kira 3,010 hari, sudah pastinya beliau amat memahami selok-belok persidangan dan menghafal peruntukan-peruntukan peraturan mesyuarat, tetapi rupanya beliaulah yang menjadi ‘hulubalang’ memimpin ‘laskar-laskar’nya yang sebahagiannya sudah terkenal dengan perangai dan kelakuan ‘gedebe’ mereka.

Sepanjang ucapannya, hampir satu jam beliau menghalakan ‘tikaman’ kepada PAS khususnya kepada Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Haji Mohammad Nizar Jamaluddin dan mensasarkan pula kepada DAP khususnya kepada ADUN Sitiawan, Dato’ Ngeh Koo Ham dan ADUN Pantai Remis, Nga Kor Ming.

Ucapan tersebut yang sewajarnya untuk menyokong titah ucapan Paduka Seri Sultan Perak telah dijadikan alat untuk melepaskan geram dan dendam kesumatnya dengan membangkitkan isu remeh temeh yang telahpun basi dan tidak laku dijual kepada rakyat selama kira-kira 3 bulan diarak ke sana ke mari dalam ceramah UMNO yang dibantu oleh alat media mereka seperti Utusan Melayu.

Beliau membangkitkan isu Menteri Besar Perak ada membuat kenyataan kononnya Tajol Rosli tidak bersalam dengannya, sedangkan isu sebenarnya Menteri Besar Perak menjelaskan Tajol Rosli tidak bersedia melakukan serahan tugas secara rasmi seperti yang dilakukan oleh bekas Menteri Besar Selangor, Kedah dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.

Saya cukup mengetahui dalam perkara ini. Memang Tajol Rosli enggan melakukan serahan tugas secara rasmi sehingga ke hari ini walaupun pernah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri menghantar surat kepada beliau mengenai perkara berkenaan. Justeru, apabila beliau mengatakan dalam ucapannya dalam persidangan dewan itu bahawa Menteri Besar yang ada ini adalah Menteri Besar beliau dan kerajaan yang ada ini adalah kerajaan yang beliau mengiktirafnya, bagi saya ianya adalah semata-mata skrip sandiwara atau lakonan drama, kerana dalam beberapa minit sahaja selepas itu, beliau menghina Menteri Besar dengan berbagai-bagai ungkapan kata yang mengaibkan peribadi Dato’ Seri Haji Mohammad Nizar.

Kalau sudah demikian rupa pekerti Ketua Pembangkang, tidak hairanlah jika pengikut-pengikutnya berkelakuan lebih teruk lagi. Saya tidak dapat menyifatkan betapa memalukan kelakuan dan tutur kata ADUN-ADUN seperti ADUN Kubu Gajah, Dato’ Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar; ADUN Kota Tampan, Dato’ Saarani Mohamad; ADUN Sg. Rapat, Hamidah Osman dan ADUN Pangkor, Datuk Dr Zambry Abd Kadir, cuma beliau kelihatan ada sedikit ‘humor’ mungkin kerana beliau seorang berkelulusan PHD.

Apapun, nampaknya kesemua ADUN-ADUN UMNO/MCA dalam Barisan Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Perak hari ini boleh dikelaskan dalam satu kategori sahaja iaitu kelas ‘kebudak-budakkan’ seperti yang disifatkan oleh Yang Dipertua Dewan, V Sivakumar, ketika mengulas tindakan mereka memboikot sidang DUN Perak sepanjang hari ketiga semalam (Khamis).

Satu hal yang saya perhatikan sifat membalas dendam yang bersarang dalam hati mereka terhadap beberapa orang Exco kerajaan Pakatan Rakyat yang dahulunya menjadi pembangkang seperti Dato’ Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming. Berulang-ulang kali ADUN-ADUN UMNO membangkit-bangkit nama kedua-dua Exco berkenaan yang dalam masa kerajaan yang lalu merupakan anggota pembangkang yang kononnya bersikap lebih teruk dari apa yang dilakukan oleh ADUN-ADUN pembangkang sekarang. Perbuatan ini seolah-olah menjustifikasikan sikap buruk ADUN-ADUN UMNO itu di dalam persidangan tersebut.

Saya nak bertanya khususnya kepada Dato’ Seri DiRaja Tajol Rosli, apa dosanya Dato’ Seri Haji Mohammad Nizar, ADUN Pasir Panjang yang diperkenan dan diangkat sumpah oleh Paduka Seri Sultan Perak sebagai Menteri Besar sekarang, sehingga beliau boleh dihina dan dicabar begitu rupa? Beliau bukan sahaja tidak pernah duduk sebagai ADUN di dalam dewan pada masa yang lalu, malah 3 orang ADUN PAS di dalam Dewan Undangan Negeri Perak yang menang dalam PRU Ke-10 (1999) dulu dan menjadi anggota pembangkang ketika itu tidak pernah melakukan serangan-serangan peribadi, apalagi melemparkan tuduhan dan fitnah kepada Dato’ Seri DiRaja Tajol Rosli atau pemimpin-pemimpin kerajaan negeri Perak ketika itu.

Sebab itulah tidak keterlaluan bila saya katakan Barisan Pembangkang dari ADUN-ADUN UMNO yang diketuai oleh Tajol Rosli hari ini mempunyai sifat dendam kesumat dalam hati mereka terhadap kerajaan Pakatan Rakyat hari ini. Ini dapat dibuktikan dengan jelas apabila setiap kali mereka menyebut nama kerajaan, mereka hanya sanggup menyebut Kerajaan Campuran DAP-PKR-PAS. Mereka tidak sanggup menyebut nama kerajaan Pakatan Rakyat kecuali jika mereka hendak mengaitkan dengan ‘Pakatan Rapuh’. Bahkan ada di antara ADUN UMNO yang menyebutkan dalam ucapannya bahawa kerajaan yang ada sekarang adalah Kerajaan Campuran yang diterajui oleh DAP. Ertinya mereka sengaja hendak mengelirukan rakyat bahawa kerajaan Pakatan Rakyat hari ini bukan diterajui oleh Menteri Besar dari PAS, ataupun mereka memang sengaja membutakan mata hati mereka sendiri semata-mata untuk melepaskan dendam dan memuaskan nafsu amarah mereka. Apakah mereka tidak menyedari langsung bahawa setiap gerak geri, perkataan, malah mimik muka menunjukkan marah dan kebencian mereka dapat disaksikan dengan jelas dalam tayangan video secara langsung ke seluruh dunia? Mungkinkah kerana mereka tidak pernah menggunakan teknologi ICT seperti yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat sekarang ini maka mereka benar-benar buta IT lalu tidak mengetahui akibat dari perangai mereka itu.

Semua kelakuan dan perangai ADUN-ADUN pembangkang seramai 28 orang yang mewakili majoriti masyarakat Melayu dari 27 kawasan DUN menunjukkan belang mereka yang sebenar bahawa mereka sama sekali tidak memperjuangkan hasrat rakyat apalagi untuk membela apa yang mereka dakwa ‘ketuanan Melayu’ itu, kerana perangai mereka sendiri pun tidak menggambarkan budi bahasa dan adab sopan orang Melayu. Apatah lagi nak dikatakan memperjuangkan Islam, jauh panggang dari api.


Baca lagi...

Khamis, Jun 26, 2008

Kegoncangan Ekonomi dan Penderitaan Rakyat


Maksud firman Allah SWT:
“Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).” (Yusuf:47-48)

Saya cukup bersimpati dengan penderitaan rakyat yang sangat terbeban dengan kenaikan harga minyak petrol dan diesel yang mengakibatkan hampir semua kenaikan harga barang keperluan harian hari ini. Tiada tempat lagi nampaknya rakyat berpendapatan rendah dan sederhana hendak mengadu perihal kesusahan hidup mereka. Kenyataan demi kenyataan yang keluar dari mulut Perdana Menteri dan para menteri, semuanya ‘membela’ fenomena kenaikan sara hidup ini dengan hujah bahawa ia adalah fenomena global, apabila Amerika Syarikat menaikkan harga minyak lebih USD140 setong dan diikuti krisis bahan makanan seluruh dunia.

Malaysia ikut panik dengan krisis bahan makanan ini terutama beras, di mana selama ini kita bergantung kepada import beras dari negara jiran tidak kurang dari 40% keperluan negara. Bukan itu saja barang-barang keperluan harian seperti tepung, minyak masak, kadang-kadang menghilang dari pasaran dan kadang-kadang muncul kembali dengan harga yang lebih tinggi.

Bagaimanakah kerajaan menangani krisis ekonomi ini? Yang nyata, kerajaan seperti tidak mempunyai perancangan jangka panjang dalam menghadapi krisis berat ini. Semua pengumuman kerajaan berdasarkan langkah ‘ad-hoc’ tanpa kajian mendalam dan perancangan jangka panjang. Sedangkan petunjuk kenaikan harga petrol ini sudah mulai terlihat dalam pasaran dunia pada awal tahun 2007, tetapi kerajaan bersikap sambil lewa sahaja.

Sebagai contoh, baru-baru ini kerajaan mengumumkan untuk membayar gaji kakitangan kerajaan dua minggu sekali, konon untuk memudahkan mereka mengatur perbelanjaan harian. Entah bagaimana, setelah ramai pihak tidak bersetuju, keputusan itu dengan mudah dibatalkan.

Kerajaan juga mengumumkan akan membenarkan kakitangan kerajaan berniaga, dengan memberi kemudahan lesen berniaga kepada mereka. Saya melihat ini hanya akan menambahkan suasana ‘harubiru’ dan kelam kabut dalam masyarakat, apabila kakitangan kerajaan digalakkan berniaga kerana ianya akan menggangu konsentrasi kakitangan kerajaan yang terlibat dengan perniagaan itu, terhadap kerja harian mereka di pejabat, kerana di samping memikirkan kerja pejabat di pejabat, mereka juga memikirkan hal perniagaan mereka.

Mereka yang berniaga di pasar malam umpamanya, menggunakan masa yang panjang, sudah tentu akan pulang jauh malam, bila pula masa rehat untuk tidur dan bangun awal untuk solat Subuh. Bila masa pula untuk membeli barangan yang hendak diniagakan. Sudah tentu terganggu konsentrasi mereka terhadap tugas harian mereka yang sangat penting. Ini akan melemahkan produktiviti mereka.

Begitu juga jika mereka memandu teksi hingga tengah malam, tentu mengantuk dan hanya ada berapa jam masa untuk rehat, tidur dan solat. Semua hal yang saya sebutkan ini adalah kesan sampingan yang sangat serius, kerana mereka yang terlibat itu sukar untuk memberi tumpuan terhadap kerja mereka.

Saya sangat bersimpati dengan kakitangan awam kumpulan berpangkat rendah dan sederhana, kerana mereka inilah yang menerima akibat secara langsung dari kenaikan harga barangan. Demikian juga kakitangan syarikat swasta, peniaga kecil dan rakyat berpendapatan rendah. Saya sangat bersimpati dengan mereka yang menghadapi tekanan inflasi ini. Kepada saya, kerajaan mesti ada agenda jangka panjang, yang sepatutnya dirancang bertahun-tahun, seperti yang dilakukan di Singapura untuk berdepan dengan masalah ekonomi seperti ini.

Apa yang penting kepada saya ialah kerajaan perlu menaikkan gaji kakitangan kerajaan serta elaun mereka bagi menampung sara hidup mereka yang sewajarnya. Benar, sudah tentu kerajaan akan mengeluarkan peruntukan yang banyak untuk penambahan gaji dan elaun kakitangan kerajaan ini. Tetapi ini tanggungjawab kerajaan dan kerajaan tidak boleh mengelak diri.

Kerajaan mempunyai pakar-pakar ekonomi dan perancang strategi yang berada di sekeliling Perdana Menteri dan menteri-menteri. Malangnya, hingga kini kita tidak melihat perancangan jangka panjang ekonomi mereka. Seperti saya katakan mustahil mereka tidak tahu bahawa harga minyak akan naik, kerana sejak awal 2007, sudah ada tanda jelas harga minyak akan naik dan tidak turun lagi. Sementara itu persidangan mengenai kekurangan bahan makanan anjuran PBB sudah sering diadakan. Ribut taufan, banjir, gempa bumi, kemarau, tsunami dan sebagainya menyebabkan kawasan pertanian begitu banyak musnah. Para menteri dan pegawai kanan kerajaan silih berganti menghadiri persidangan tersebut. Nampaknya yang mereka bawa balik ialah bil-bil hotel dan pelbagai lagi, bukan perancangan konkrit untuk mengatasi krisis ekonomi dan makanan ini.

Gambaran yang jelas dilihat rakyat ialah kerajaan tidak ada perancangan jangka panjang yang konkrit dan jelas untuk menghadapi kemelesetan ekonomi ini, sedangkan kerajaan mempunyai ramai pakar ekonomi. Pemimpin kerajaan sering memberi alasan, bahawa ini adalah masalah global, fenomena dunia dan kemelesetan dunia. Jelas mereka tidak pernah hendak menyalahkan diri sendiri. Sedangkan negara kecil seperti Singapura, ekonominya masih tetap tidak terjejas. Justeru kerana mereka membuat perancangan jangka panjang.

Rakyat sering didendangkan, lebih-lebih lagi ketika kempen PRU Ke-12 yang lalu bahawa ekonomi kita teguh, ringgit kita kukuh, pengeluaran minyak kita berjalan lancar, hingga rakyat dikhayalkan dengan dendangan ini.

Tetapi baru-baru ini sudah ada suara-suara dari Petronas, bahawa sumber minyak kita akan habis dalam tempoh 10 tahun akan datang. Petronas telah membayar beratus bilion ringgit berbentuk cukai, royalti dan segalanya kepada kerajaan pusat. Kita tidak tahu secara terperinci ke mana dan bagaimana kerajaan membelanjakan wang Petronas itu. Jangan lupa bahawa hasil bumi dan sumber alam seperti galian, minyak, emas, perak, bijih dan lain-lain adalah kurniaan Allah SWT kepada penghuni bumi ini, tanpa mengira bangsa dan agama.

Sesungguhnya hasil dari perut bumi itu adalah amanah Allah SWT. Justeru itu kerajaan hanyalah diamanahkan mentadbir atau menguruskan hasil bumi Allah SWT ini dengan sebaik-baiknya. Jika pemborosan atau penyelewengan berlaku, sama ada diketahui rakyat atau tidak, nescaya Allah SWT tetap mengetahuinya dan mereka yang memegang amanah itu akan tetap disoal di akhirat nanti, jangan ada anggapan bahawa semua perkara yang berlaku ini tidak ada hubungkait dengan agama.

Bercakap mengenai krisis bahan makanan, dulu sektor pertanian di negara kita diabaikan kerana kononnya tidak produktif, tidak mendatangkan pulangan besar kepada ekonomi, akhirnya sawah dibiarkan dan ditinggalkan. Hasil pertanian merosot. Pada ketika yang sama sektor industri, projek mega diutamakan. Beratus bilion ringgit diperuntukkan untuk projek mega, tetapi kini apa yang hendak dimegahkan? Apakah beras atau lain-lain bahan makanan boleh digantikan dengan mikrocip atau skru dan plastik?

Akibat kerajaan mengabaikan sektor pertanian menyebabkan hasil petani berkurangan kerana sektor itu dipandang rendah, tidak menjana ekonomi. Kini selepas berdepan dengan krisis makanan, khususnya kekurangan beras di mana sebahagian besarnya kita mengimport beras dari negara jiran, maka kita kini berdepan dengan suatu situasi yang sangat kritikal.

Sementara itu perlu saya sebutkan di sini bahawa perniagaan kebanyakan hotel merosot teruk, pelancongan dalam negeri berkurangan, banyak bandaraya, termasuk Kuala Lumpur dan Ipoh serta Pulau Pinang, menjadi lengang kerana orang tidak mampu ke bandar jika tidak benar-benar mustahak kerana harga minyak mahal. Daya beli merosot sama sekali.

Akibat kemelesetan ini, sektor perniagaan menghadapi penurunan paras jualan dan krisis wang tunai. Sebab itu begitu banyak kedai-kedai melambakkan jualan mereka dengan harga ‘murah’. Kata para peniaga yang ditemui, “Biar pulang modal saja cukuplah, jangan rugi sudahlah. Para pembeli sangat berkurangan.”

Rakyat ditakuti jatuh miskin kerana kenaikan kadar inflasi. Lalu kerajaan seperti ‘menampal’ di sana sini pakaian yang koyak, untuk membolehkannya dipakai lagi. Bayaran rebat kepada sebahagian kecil pemilik kereta di bawah 2000cc adalah suatu contoh yang jelas mengenai perkara ini. Inilah akibat dari tiada perancangan ekonomi yang benar-benar memandang jauh ke depan. Kemudian pemimpin negara meminta rakyat berjimat cermat dan mengubah gaya hidup, padahal rakyat sudah pun mengikat perut. Mereka mengikat perut sehingga tidak ada lagi perut untuk diikat, menurut seorang buruh yang ditemui.

Sementara pemimpin kerajaan menyuruh rakyat berjimat dan mengubah gaya hidup, kita melihat mereka hidup bermewah-mewah, naik jet ke sana ke mari yang sesetengahnya untuk tujuan menangani krisis kepimpinan parti mereka. Kediaman sebahagian mereka seperti istana dengan kereta mewah dan para isteri berbelanja sakan di luar negara. Bagaimana pula dengan pembinaan Taman Tamadun Islam dan Masjid Kristal di pulau yang tiada berpenghuni. Tidakkah ini perbuatan membazir? Kalau bukan wang Petronas dibelanjakan, wang dari mana lagi?

Penubuhan Orkestra Filharmonik Malaysia di KLCC yang belanja pembiayaannya beratus juta ringgit, wang Petronas. Apa faedahnya kepada rakyat? Konon ini untuk meng‘world class’kan Malaysia di segi bidang muzik. Dalam keadaan yang gawat ini bagaimana dengan pembaziran tersebut masih diteruskan?

Belum lagi para menteri dan pegawai tinggi yang silih berganti ke luar negara, menghadiri pelbagai seminar. Menaiki kapalterbang dengan ‘business class’ dan menginap di hotel lima bintang. Semua perbelanjaan ini ditanggung oleh rakyat. Mengapa baru sekarang lawatan ke luar negara oleh menteri dan pegawai kerajaan itu dihadkan?

Sebenarnya senarai pembaziran kerajaan ini sangat panjang sejak puluhan tahun mereka memerintah. Tetapi siapa yang berani menegur kerana mereka berasa kuat dengan majoriti besar sokongan kepada BN setiap kali pilihan raya, barulah pada PRU Ke-12 ini berlaku tsunami politik kepada mereka. Saya tidak tahulah jika pemimpin kerajaan tidak insaf juga. Kerajaan mengumumkan akan memotong 10 peratus elaun keraian Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri dan hasilnya hampir 1 juta ringgit dapat diselamatkan setahun. Bayangkan berapa ratus juta ringgit dapat diselamatkan, jika kerajaan berjimat dalam membelanjakan kewangan negara.

Rakyat pula digalakkan menggunakan pengangkutan awam: Bas, komuter, LRT dan sebagainya. Adakah para menteri sedar betapa sukarnya untuk mendapatkan bas yang menepati waktu dan tidak ternanti-nanti berjam-jam lamanya? Keburukan perkhidmatan bas bukan lagi cerita baru, bahkan sudah berpuluh tahun dan sudah didengar puluhan tahun juga. Tetapi apa yang dilakukan? Habis pilihan raya keadaan tetap begitu juga.

Akhirnya saya suka menarik perhatian pemimpin negara yang saya percaya mereka biasa membaca Al-Quran dan terjemahannya. Berapa ramai di antara mereka yang terfikir hendak mencari petunjuk atau panduan dari Al-Quran, khususnya untuk berjimat dalam menggunakan wang negara dan membuat perancangan bagi menghadapi krisis ekonomi atau kekurangan bahan makanan. Begitu juga dalam menjaga harta negara yang diamanahkan rakyat supaya diurus dengan adil dan saksama untuk ‘maslahat’ dan kepentingan rakyat dan negara.

Sebagai contoh, pernahkah mereka merujuk kepada kisah Nabi Yusuf AS menasihatkan Raja Mesir untuk menyimpan makanan selama tujuh tahun di musim subur untuk digunakan di musim kering dan kemarau, ketika pertanian tidak menjadi. Adakah mereka terlepas pandang dari petunjuk Al-Quran ini, ataupun mungkin ada yang berfikir bahawa kisah Nabi Yusuf ini tidak relevan dengan suasana sekarang. Habis, apa yang relevan sekarang?


Baca lagi...

Khamis, Jun 12, 2008

Menjelang 100 Hari Pakatan Rakyat Memerintah


Sempena menjelangnya 100 hari Pakatan Rakyat memerintah lima buah negeri di Malaysia, mari kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadhrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izinNya dapat kita menyambutnya dengan serba sederhana, tetapi penuh pengertian bahawa kita telah mampu melalui hari-hari getir dengan penuh cabaran.

InsyaAllah dengan izin dan pertolonganNya juga kita akan dapat terus memikul amanah dan melaksanakan tanggungjawab terhadap Allah dan rakyat walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan ujian.

Atas nama Naib Presiden dan Pesuruhjaya PAS Perak dan bagi pihak pimpinan Badan Perhubungan Negeri serta ahli PAS seluruhnya saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan Pakatan Rakyat Perak.

Pertamanya, kita menjunjung kasih atas kepercayaan DYMM Sultan Perak memberikan perkenan kepada Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dan para anggota exconya untuk menubuhkan kerajaan Pakatan Rakyat yang menjelang usia 100 harinya kini.

Saya yakin hubungan baik dan kerjasama serta saling mengerti di antara DYMM Sultan Perak dengan kerajaan Pakatan Rakyat akan berterusan, maka dengan itu kerajaan baru ini akan dapat memikul amanah menjalankan tanggungjawabnya mentadbir negeri Perak dengan jayanya.

Keduanya, bagi pihak pimpinan PAS Perak, saya mengulangi ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakyat Perak, khususnya para pengundi yang mengundi calon-calon PAS dan parti rakan dalam Pakatan Rakyat pada 8 Mac lalu hingga beroleh kemenangan. Dengan itu, saya yakin, walau apa keadaan pun, Kerajaan Pakatan Rakyat tidak akan melupakan mereka, malah sentiasa berada di tengah-tengah mereka mengharungi kehidupan susah dan senang.

Ketiganya, kami menyeru seluruh rakyat Perak, tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama, tampil bersama-sama membantu dan memberikan sokongan kepada kerajaan Pakatan Rakyat, supaya seluruh agenda dan gerak kerjanya untuk kepentingan rakyat akan terlaksana dengan berkesan. Yakinlah, pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat akan dapat menunaikan tanggungjawabnya, bagi menjamin hak-hak rakyat Perak dapat dinikmati dengan saksama kerana ianya dilaksanakan berasas kepada lima prinsip yang telah diumumkan oleh MB Perak sebaik beliau dilantik menjawat jawatan tersebut pada 17 Mac yang lalu. Lima prinsip tersebut ialah beramanah, adil, telus, berintegriti dan berkebajikan.

Kita sedar bahawa inilah pertama kali selepas lebih 50 tahun merdeka, negeri Perak mempunyai kerajaan bukan dari Barisan Nasional (sebelumnya Perikatan). Justeru bukan mudah untuk membuat perubahan dari semua segi untuk kepentingan rakyat. Namun begitu, menilai 100 hari Pakatan Rakyat memerintah, ia telah dapat menyesuaikan diri dan beransur-ansur membuat perubahan serta terus merapatkan diri kepada rakyat melalui berbagai-bagai langkah dan tindakan.

Tentunya semua ini dicapai, antaranya, hasil daripada kerjasama erat exco-exco dan Adun-adun ketiga-tiga parti rakan pakatan. Juga hasil daripada kesetiaan dan kerjasama erat sebahagian besar pegawai serta kakitangan kerajaan yang bersikap profesional dan penuh pengertian bersama-sama menjayakan gerak kerja kerajaan baru ini. Kerjasama erat seperti ini sewajarnya dapat diteruskan walaupun ada segelintir yang masih cuba melakukan halangan dan tidak profesional dalam menjalankan tugas mereka.

Selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, saya suka menyeru semua Adun dan Ahli Parliman PAS dari Perak agar memberikan khidmat cemerlang kepada rakyat dan di samping itu bersama-sama bekerja keras memperkukuh parti. Pimpinan PAS Perak berazam akan memperkasa jamaah dan meningkatkan aspek tarbiyah di kalangan ahli yang menjadi urat nadi kepada jamaah Islam seperti PAS. Di samping itu, akan juga menggerakkan pelbagai lajnah PAS Perak. Semua gerak kerja ini selaras dengan usaha kita memperkukuh kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

Sekali lagi saya mengingatkan kepada seluruh warga PAS bahawa mereka perlu mengubah corak minda (mindset), iaitu kalau dulu mereka berfikir sebagai pembangkang, maka kini mereka mesti berfikir sebagai pendokong kerajaan di lima negeri. Tentunya tugas mereka yang utama ialah membantu kerajaan Pakatan Rakyat menjayakan kerajaan baru ini serta membantu memberikan penerangan akan dasar-dasar serta wawasan kerajaan.

Di samping itu, mereka juga hendaknya sama-sama membantu rakyat dalam semua hal bagi menyelesaikan masalah mereka. Untuk itu ahli PAS mestilah bersama-sama membantu wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat menjalankan tugas demi untuk kepentingan rakyat. Pusat-pusat khidmat wakil rakyat pakatan di kawasan yang mereka memenanginya, hendaklah sentiasa memberikan perkhidmatan yang cemerlang dalam menangani masalah rakyat dan menyampaikan mesej kerajaan. Begitu juga di kawasan-kawasan DUN yang belum dimenangi, bekas-bekas calon pakatan rakyat hendaklah membuka pusat-pusat perkhidmatan yang sama untuk membantu menangani masalah rakyat dan mendengar serta menerima aduan-aduan.

Oleh kerana kita akan menghadapi pilihan raya umum setiap lima tahun sekali, maka secara tradisi dan lojiknya kita akan meminta mandat kembali dari rakyat lima tahun dari sekarang. Justeru itu kita mestilah berusaha bersungguh-sungguh menunaikan janji yang dirakam dalam manifesto pilihan raya Pakatan Rakyat tempoh hari.

Tidak syak lagi, jika kita telah memenuhi janji dan rakyat melihat komitmen kita untuk membela mereka dalam semua aspek kehidupan, insyaAllah, mereka akan memberikan kita mandat lagi dalam pilihan raya umum akan datang. Itu harapan kita. Moga-moga Allah Merestui dan Meredhainya.


Baca lagi...

Rabu, Jun 11, 2008

Rakyat Semakin Prihatin dengan Persoalan Keadilan dan Kezaliman - Bhg 1


Maksud firman Allah SWT:
“Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu berdiri kerana Allah, menjadi saksi dengan keadilan. Janganlah kamu tertarik kerana kebencianmu kepada satu kaum, sehingga kamu tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana keadilan itu lebih dekat kepada taqwa dan takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.” (Al-Maidah:8)

Sesuatu yang sangat menggalakkan apabila demikian ramai anggota masyarakat pelbagai kaum, bercakap mengenai keadilan dan kebebasan, sesuatu yang jarang diperkatakan oleh mereka pada masa lalu kecuali segelintir yang amat prihatin terhadap pergolakan dalam masyarakat.

Hal ini disebabkan kesedaran masyarakat yang belum begitu meningkat akan erti kebebasan, keadilan dan hak asasi mereka. Suasana sosio-politik di Malaysia pula sedemikian rupa dengan pelbagai undang-undang dan akta yang sangat mengongkong untuk rakyat berfikir secara kritis.

Sedangkan di dalam Islam seperti yang ditunjukkan dalam pemerintahan Khalifah Sayidina Umar RA, keadilan dan kebebasan bersuara demikian menyerlah dan rakyat dialu-alukan untuk mengkritiknya, secara dari jauh atau di depannya.

“Wahai Umar, jika engkau menyeleweng dalam menjalankan tugas pemerintahan, nescaya pedang ini akan mengajarmu,” kata seorang rakyat biasa yang berada di depan Umar ketika beliau berucap.

Umar tidak memarahinya, jauh sekali menghalaunya atau mengeluarkan sebarang arahan untuk bertindak segera. Bahkan Umar mengucap syukur ke hadhrat Allah SWT kerana ada rakyat seberani itu mengingatkannya.

Ini contoh suasana keadilan yang subur di zaman Khulafa’-ur-Rasyidin yang sewajarnya diambil contoh oleh pemerintahan umat Islam di sepanjang zaman.

Sewajarnyalah anggota masyarakat diberikan hak asasi mereka, kebebasan bersuara dan menikmati keadilan yang seluas-luasnya.

Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sedunia (Universal Decralation of Human Rights - 1948) dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, memberikan garis panduan asas bagaimana manusia itu sewajarnya dilindungi harta mereka, hak mereka bergerak, bersuara, mengeluarkan pendapat dan sebagainya.

Perisytiharan Bangsa-bangsa Bersatu ini telah dibuat kira-kira 60 tahun yang lalu, sedangkan Islam sebagai Ad-Din, telah meletakkan asas yang kukuh mengenai keadilan dan hak asasi manusia ini sejak negara Islam pertama di Al-Madinah Al-Munawwarah tertubuh di bawah pimpinan Rasulullah SAW.

Persoalan keadilan diberikan penekanan utama di dalam Islam dan ia dihubungkan dengan ketaqwaan kepada Allah SWT. Al-Quran sendiri menyebutkan kira-kira 40 kali mengenai keadilan dan 400 kali mengenai kezaliman. Ini bermakna Allah SWT mengingatkan beratus-ratus kali mengenai bahaya ancaman kezaliman dan bagaimana murkanya Allah SWT terhadap orang yang zalim, samada ia individu mahupun kumpulan, samada pemimpin kerajaan atau pemimpin masyarakat. Samada ia zalim kepada dirinya sendiri atau kepada orang lain, kepada masyarakat manusia hatta musuh atau binatang sekalipun.

Batas atau garis pemisah antara keadilan dan kezaliman seperti yang ditegaskan dalam Al-Quran sangat nipis sekali. Bahawa keadilan itu boleh menjadi kezaliman jika seseorang pemimpin itu melakukan kesilapan dalam melaksanakannya.

Berbanding dengan persoalan keadilan, Allah SWT di dalam Al-Quran telah memperincikan mengenai persoalan kezaliman, kerana penzalim itu nerakalah tempatnya di akhirat nanti, sementara yang menegakkan keadilan dalam dirinya, masyarakatnya, nescaya syurgalah balasannya.

Jika seseorang pemimpin tidak memberikan contoh yang baik dari segi akhlak, kejernihan fikirannya, tidak prihatin dengan persoalan dosa dan pahala dalam menguruskan pemerintahannya bermakna ia berlaku zalim.

Jika ia memerintah dengan mengutamakan kepentingan peribadi, anak-pinak, saudara-maranya saja dalam pembahagian kekayaan negara, bermakna ia juga berlaku zalim.

Jika seseorang pemimpin atau golongan pemimpin yang berkuasa hidup dengan cara bermewah-mewah, sementara rakyat dibiarkan miskin atau hidup susah maka itu juga suatu kezaliman. Ketika pemimpin itu menyeru rakyat berjimat cermat, sedangkan ia dan rakan-rakan pemimpinnya melakukan pemborosan dan pembaziran, maka itu juga dikatakan zalim.

Jika hasil bumi dan galian, seperti bijih timah, minyak, gas dan sebagainya tidak dibahagi-bahagikan kepada rakyat mengikut kaedah sewajarnya, maka itu juga dikatakan kezaliman.

Jika seseorang pemimpin atau kumpulan kepimpinan pemerintah berbelanja dengan wang negara untuk tujuan yang sama sekali tidak bermanfaat kepada rakyat, maka itu juga dikatakan kezaliman.

Jika menahan seseorang rakyat tanpa dibicarakan dan dibuktikan kesalahannya maka itu juga dikatakan kezaliman.

Dan jika rakyat dibebankan dengan kos kehidupan yang tinggi, yang tidak mampu ditanggung oleh mereka, maka itu juga suatu kezaliman pemerintah terhadap rakyatnya.

Sebab itu Sayidina Umar Al-Khattab pernah berkata: “Jika ada seorang rakyatku yang kelaparan, maka aku akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.” Kata-kata ini sangat berkesan untuk menjadi contoh bagaimana pentingnya pemimpin yang berkuasa melindungi kepentingan rakyat.

Dan Umar Al-Khattab yang sangat terkenal adil, tegas, dan warak itu juga pernah ditanya oleh seorang sahabat, adakah dia bermaksud melantik puteranya sebagai Amirul-Mukminin setelah beliau wafat nanti, Umar segera menjawab: “Cukuplah Umar seorang ini memikul amanah yang sangat berat ini.”

Bersambung dalam bahagian kedua (yang dimaksudkan Adil dan Ehsan).


Baca lagi...

Isnin, Jun 09, 2008

Kenaikan Harga Minyak, Di Manakah Nilai Kemanusiaan BN?


Tersentak seketika apabila saya menerima SMS dari salah seorang anak saya, memberitahu mulai selepas tengah malam (5 Jun), kerajaan menaikkan harga petrol sebanyak 78 sen dan RM1.00 bagi harga diesel melalui berita yang disiarkan jam 8 malam pada 4 Jun lalu.

Ketika itu saya dalam perjalanan untuk menyampaikan kuliah bulanan di sebuah surau di Selayang Baru. Kira-kira jam 9.30 malam setelah selesai kuliah dan solat Isya’, satu lagi kiriman SMS saya terima dari isteri saya yang mengesahkan perkara itu melalui berita jam 8.00 malam yang diikutinya. Berita itu melaporkan harga petrol dari RM1.92 naik kepada RM2.70 dan harga diesel dari RM1.58 naik kepada RM2.58.

Rupa-rupanya beberapa orang jemaah surau itu juga telah mengetahui berita tersebut yang menyebabkan mereka masing-masing mengeluh dan menyatakan perasaan marah dan kecewa kerana terpaksa menerima tarif baru harga petrol yang naik melambung itu.

Saya sukar mempercayai tarif baru yang dilaporkan itu berdasarkan beberapa sebab. Antaranya: Mengapa kenaikan harga minyak sebegitu besar sehingga RM0.78 dan RM1.00? Tidak terfikirkah kerajaan dan jemaah menteri BN bahawa kenaikan tersebut amat membebankan rakyat, sedangkan sebelum ini Shahril Samad membuat kenyataan media bahawa kenaikan harga minyak mungkin akan dilaksanakan pada Ogos tahun ini.

Ekoran kenaikan ini akan mengakibatkan kenaikan harga barangan lain dan rakyat akan terus terhimpit. Tidak ada jalan lainkah untuk menyelesaikan masalah ini selain kenaikan 40 hingga 60 peratus harga bahan bakar ini? Apakah akan terjadi kepada negara dan rakyat di negara ini ekoran dengan kenaikan ini?

Dalam perkiraan saya, kenaikan tertinggi harga bahan bakar ini dalam sejarah melambangkan keadaan ekonomi dan pengurusan ekonomi negara sedang berada di tahap paling nazak.

Kenyataan basi yang menyatakan kenaikan 40% harga petrol dan 60% harga diesel ini ekoran kenaikan harga minyak dunia kurang dapat diterima akal saya. Alasannya kita adalah negara pengeluar minyak mentah dunia. Dulu ketika berlaku kenaikan harga minyak yang diumumkan kerajaan, juga mendapat bantahan rakyat.

Rakyat meminta kerajaan menggunakan minyak yang dikeluarkan oleh negara untuk kegunaan rakyat tetapi kerajaan memberikan jawapan bahawa minyak yang dikeluarkan Malaysia bukan untuk kegunaan domestik. Sebabnya, minyak kita adalah dari gred berkualiti tinggi yang digunakan untuk kegunaan pesawat kapal terbang dan tidak sesuai dan ekonomik untuk kegunaan kereta.

Jika alasan yang diberikan kerajaan tersebut diambil kira, ini menunjukkan harga minyak yang dijual oleh Petronas kepada pasaran dunia adalah harga yang berkali ganda dari harga minyak mentah biasa yang diperoleh dari negara pengeluar minyak lain di dunia.

Memandangkan negara mengeluarkan minyak berkualiti tinggi, ini telah meletakkan Petronas sebagai antara syarikat carigali minyak yang dihormati kerana mempunyai kepakaran mengurus gred minyak berkualiti tinggi. Peluang ini juga berjaya dimanfaatkan oleh Petronas dengan meyakinkan negara luar bagi membenarkan Petronas menerokai bidang carigali minyak di negara-negara yang mempunyai stok minyak mentah. Tidak hairan apabila Petronas berjaya melebarkan usahasama penerokaan dan carigali dengan kebanyakan negara di Laut Caspian yang merupakan ‘stok dara’ minyak terbesar dunia. Stok minyak di zon persekitaran Laut Caspian dianggarkan mampu dijana selama beberapa abad.

Saya juga kurang pasti perolehan keuntungan besar Petronas samada dari penjualan minyak dalam negara atau dari usahasama Petronas dengan negara luar dalam bidang carigali.

Namun apapun jawapannya, ia amat menguntungkan dan Petronas telah berada di landasan yang betul kerana bukan mudah membentuk ‘imej’ di mata dunia. Dan imej ini amat menguntungkan. Tahniah!

Jawapan kerajaan BN bahawa tindakan kerajaan untuk tidak ‘membebankan’ Petronas untuk membantu negara menghadapi kesan kenaikan ini juga dilihat sebagai alasan yang ‘dungu’. Dengan kenyataan bahawa kajian yang menunjukkan stok minyak negara hanya mampu bertahan sehingga tahun 2014 (6 tahun dari sekarang) menyebabkan kerajaan tidak mahu ‘melibatkan’ Petronas dalam kemelut kenaikan harga minyak yang dihadapi negara.

Lebih menjelekkan juga apabila kerajaan dan media memberikan contoh kesan kenaikan yang diterima oleh negara jiran seperti Singapura dan Thailand yang bukan negara pengeluar minyak seperti Malaysia. Mengapa Malaysia tidak membuat perbandingan dengan negara pengeluar minyak lain seperti Venezuela (RM0.16/liter), Nigeria (RM0.32/liter), Arab Saudi (RM0.38/liter), Kuwait (RM0.67/liter), Mesir (RM1.03/liter) dan UAE (RM1.19/liter)?

OK… kalau itu dijadikan alasan oleh kerajaan, ternyata BN merupakan kerajaan yang cuba menipu rakyat berhubung kemampuan Petronas. Mengapa kerajaan tidak mahu melaporkan keuntungan dan sumber keuntungan Petronas kepada Parlimen untuk dibincang dan dipantau secara terhormat dan akauntibiliti. Sedangkan Petronas dan beberapa syarikat GLC lain adalah syarikat milik kerajaan yang tidak pernah dibentangkan kepada Parlimen untuk dipantau.

Dalam kes kenaikan harga minyak ini, kerajaan juga boleh membatalkan beberapa projek mega seperti jambatan kedua Pulau Pinang, landasan keretapi berkembar Padang Besar-Johor Bharu yang menelan belanja RM40 billion dan beberapa projek koridor ekonomi yang masih tak ketahuan hala tujunya itu.

Salahkah kalau dihentikan seketika projek-projek mega tersebut memandangkan kewangan negara semakin terdesak dan sambunglah apabila kewangan negara mencukupi. Lagipun, kos projek-projek mega tersebut sudah tentunya akan melonjak beberapa kali ganda ekoran kenaikan harga minyak dan bahan mentah lain. PM dan kabinet seharusnya membuat penilaian semula dan melihat keperluan rakyat melebihi dari segalanya.

Apakah kerajaan BN ini lebih rela melihat rakyat menderita akibat tindakan kerajaan yang tidak prihatin kepada rakyat? Kerajaan Abdullah Badawi lebih rela mempertahankan tender-tender yang telah diberikan kepada kroni-kroni dalam pelbagai projek mega dari memihak kepada rakyat terbanyak.

Mengapakah kerajaan BN terlalu mementingkan kepentingan diri dan politik sehingga sanggup mengorbankan nilai hidup dan kemanusiaan serta hak rakyat?

Sebagai Naib Presiden PAS, saya melihat bahawa kami dalam PAS dan Pakatan Rakyat (PR) tidak sanggup menggadaikan kepentingan rakyat seperti apa yang dilakukan pemimpin Umno/BN hari ini.

Kalau nak bercakap hanya untuk kepentingan politik, PAS memang suka BN membuat tindakan yang banyak memberi peluang kepada kami bagi menghidupkan isu ini sehingga pilihanraya akan datang. Tambahan pula rakyat yang menyokong UMNO/BN dalam Pilihanraya Umum Ke-12 lalu telah merasai mereka tertipu dan ditipu oleh manifesto BN yang berbunyi lebih kurangnya, kemakmuran, keadilan dan keamanan itu.

Kepada seluruh rakyat, saya berseru supaya kita berusaha menjatuhkan UMNO/BN dalam pilihanraya akan datang kerana kenaikan harga minyak dan nanti akan disusuli pula dengan kenaikan harga barang keperluan adalah membuktikan kerajaan sekarang bukanlah berjuang untuk kepentingan rakyat, malah sebaliknya mendera mereka.


Baca lagi...

Ahad, Jun 01, 2008

SYUKUR & TERIMA KASIH


Maksud firman Allah SWT:
"Katakanlah: Sekali-kali tidak akan menimpa kami, melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan hanyalah kepada Allah orang-orang yang beriman mesti bertawakkal." (At-Taubah:51)

Alhamdulillah saya dan isteri serta dua orang anak terselamat apabila kereta yang dipandu isteri terlibat dalam satu kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan, kilometer 315 kira-kira jam 4.30 petang Khamis kelmarin.

Kejadian berlaku dalam keadaan hujan renyai-renyai ketika saya dalam perjalanan ke Ipoh untuk menghadiri mesyuarat di pejabat Badan Perhubungan PAS negeri. Kereta kami terlibat dalam kemalangan apabila sebuah kereta di hadapan kami berlanggar dengan sebuah kereta lain kemudian terbabas dan menggeseli sebuah treler, lalu menghalang laluan kami, menyebabkan kami tidak dapat mengelak dan terus melanggar kereta tersebut.

Kereta kami mengalami kerosakan teruk dan kini berada di Balai Polis Trafik Tapah. Kami bersyukur tiada kecederaan berat yang kami alami walaupun isteri saya mengalami sedikit lebam dan bengkak-bengkak di bahagian lengan dan belakang akibat hentakan yang kuat ketika merempuh kereta berkenaan. Saya juga mengalami sakit-sakit di bahagian tengkuk, bahu serta rusuk.

Saya dan keluarga berterima kasih dan mengucapkan Jazakumullahu khairan khathira kepada sahabat-sahabat yang terlibat membantu kami terutamanya saudara Asri dari Jabatan Kastam Di Raja Ipoh yang menumpangkan kami dari tempat kemalangan dan menghantar kami ke ibu pejabat PAS Perak. Terima kasih juga kepada Dr Khairuddin b Dato' Abd Malek (TPJ PAS Perak) yang memberi rawatan segera kepada kami dan juga kepada Dr Azmi Zainoon dari Taiping yang menyediakan kenderaan untuk membawa kami balik ke Semanggol serta membekalkan lagi ubat-ubat untuk rawatan lanjut kami dan anak-anak.

Terima kasih juga diucapkan kepada Tn Hj Abd Rahim Arif (S/U BPPN) yang menguruskan pengangkutan isteri saya pergi dan balik ke Balai Polis Trafik Tapah untuk membuat laporan polis mengenai kemalangan. Tidak ketinggalan juga diucapkan terima kasih kepada pegawai polis trafik yang bertugas pada malam tersebut kerana memudah dan mempercepatkan urusan membuat laporan berkenaan.

Kepada sahabat-sahabat dari ahli PAS Gopeng dan Tapah serta juga anggota Unit Amal yang datang ke Balai Polis Tapah, diucapkan juga setinggi penghargaan dan saya memohon maaf kepada mereka, kerana tidak dapat hadir ke balai polis pada malam itu kerana dinasihatkan oleh doktor supaya berehat. Kemalangan ini agak mengerikan kerana dalam tempoh hampir 10 tahun kami berulang-alik ke Perak, kadang-kadang seminggu 2 atau 3 kali, inilah kali pertama kami menerima musibah. Mudah-mudahan dengan doa sahabat-sahabat dan doa kami sekeluarga dalam usaha meneruskan perjuangan kerana Allah SWT.


Baca lagi...