بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ
الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالاَتِ اللهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلاَ يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلاَّ اللهَ وَكَفَى بِاللهِ حَسِيبًا

Selasa, Mei 20, 2008

Mahathir ‘Test Power’ di Saat ‘Last Kopek’?

Siapa tak terkejut bila bekas Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri yang menerajui kepimpinan Negara selama 22 tahun tiba-tiba membuat pengumuman keluar dari UMNO. Sekali lagi tarikh di saat penganut Buddha merayakan hari Wesak, tanggal 19 Mei 2008 akan menjadi satu sejarah kepada UMNO dan negara. Inilah antara bahana bila UMNO kalah dalam pilihanraya.

Yang tersurat, Dr Mahathir membuat kenyataan media bahawa tindakan keluar parti itu merupakan antara protes paling kronik beliau terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Abdullah Badawi. Laporan media menyebut Dr M akan terus berada di luar UMNO selagi Abdullah menjadi presiden parti dan akan kembali ke dalam UMNO sekiranya Abdullah turun dari memegang jawatan Presiden UMNO.

Dr M turut mengheret pembangkang yang menurut perkiraan beliau begitu selesa dengan kedudukan Abdullah yang lemah kerana akan menguntungkan pembangkang. Jelas Dr M ini disebabkan dengan kelemahan Abdullah, pembangkang berjaya menafikan majoriti 2/3 kerusi Parlimen dari wakil kerajaan dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-12 lalu.

Dari maklum balas berhubung tindakan Dr M itu, Abdullah menyatakan beliau tidak akan berundur kerana masih ada banyak perkara yang beliau perlu lakukan. Abdullah juga menyatakan bahawa beliau tahu apabila Dr M membuat sesuatu tindakan, beliau akan lakukan tanpa memperdulikan apa orang lain kata. Saya bersetuju dengan pendapat Abdullah itu kerana pengalaman bekerja di bawah Dr M, saya kenal sangat dengan sikap ego beliau itu.

Inilah antara senario tendang terajang paling kemuncak yang berlaku dalam UMNO sejurus ‘kalah’ dalam PRU lalu bila mana 2 pemimpin tertinggi yang pernah menerajui parti itu ‘berlaga.’. Dalam falsafah politik situasi pergeseran kali ini dilihat paling serius dan paling merbahaya kepada survival politik UMNO. Walaupun insiden keluar parti di kalangan pemimpin tertinggi UMNO pernah dibuat oleh pengasas UMNO, Dato’ Onn Jaafar namun senario kali ini berbeza dari era sebelum kemerdekaan dahulu.

Dulu, ketika era Dato’ Onn, sentimen kemerdekaan dan penjajah menjadi latar belakang dan pengimbang kepada kemelut tersebut. Walaupun Dato’ Onn keluar dari UMNO namun ahli UMNO masih percayakan kepada kepimpinan baru. Namun kali ini melibatkan pemimpin paling berkalibar dan antara bekas pemimpin yang dihormati di mata dunia memprotes pemimpin baru yang sememangnya lemah malah ahli UMNO sendiri sedang berusaha menyingkirkannya.

Dan keduanya pergolakan kali ini melibatkan krisis keyakinan dan kredibiliti antara pemimpin terdahulu dan pemimpin hari ini dan UMNO sedang berada di saat paling lemah.

Persoalannya mengapa Dr M tidak mahu menyerahkan secara total hal pentadbiran kepada Abdullah dan membiarkan Abdullah tanpa diganggu. Apakah Dr M tidak menyedari realiti ‘lain padang lain belalang’? Kalau benar Dr M sayangkan UMNO mengapa beliau bertindak senekad itu dengan membakar kelambu?

Saya rasa inilah persoalan asas yang memerlukan input bagi memperjelas berhubung apa yang tersirat di sebalik tindakan Dr M itu. Kami dari PAS dan pembangkang sememangnya tidak akan termakan sumpah berhubung tindakan Dr M ini. Bagi kami apa yang tersurat dalam kenyataan Dr M yang kini diwarisi oleh pemimpin-pemimpin UMNO ialah kenyataan yang berupa kenyataan bagi menghalalkan cara. Namun kami cukup bersedia bertindak memintas dan setiap siratan yang tercetus dari hati yang tersirat itu.

Secara terus terang saya melihat tindakan Dr M itu adalah tindakan terakhir beliau untuk melihat pengaruh beliau dalam UMNO dan di kalangan orang Melayu. Kenyataan beliau dalam media yang menyelitkan kekesalan beliau berhubung sikap orang-orang UMNO dulunya sanggup mencium tangannya ketika beliau menjadi PM tetapi sekarang bersikap tidak lagi menghormatinya adalah antara bukti saya berkata demikian.

Dr M terkenal sebagai seorang yang pintar memilih situasi untuk diambil kesempatan. Kepintaran ini biasanya ‘diaktifkan’ lagi dengan suatu tekanan yang memaksa beliau bertindak secara nekad. Kenekadan ini diistilahkan beliau sebagai satu tindakan berani yang harus diambil untuk menyelamatkan UMNO dari terus lemah.

Kalau dulu ketika beliau masih berkuasa beliau akan gunakan apa sahaja yang difikirkan boleh menyelamatkan keadaan untuk diambil tindakan. Isu tindakan memfitnah bekas timbalan beliau, Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah antara rentetan tindakan yang dibuat Dr M tanpa melihatnya melalui kanta etika, moral dan peri kemanusiaan. Ini semua tidak ada dalam diari kepimpinan beliau dan seperti kata Abdullah, Dr M tidak peduli itu semua.

Namun sekarang Dr M tidak lagi berkuasa, lebih malang lagi apabila Abdullah tidak pernah mengindahkan pandangan beliau. Beliau tersisih dan ditempatkan di sebuah yayasan ‘rumah orang-orang tua’ di hujung pelusuk di Putrajaya.

Dr M sekarang merasakan dirinya terancam. Bermula dengan pembebasan Anwar Ibrahim kini isu pemecatan bekas-bekas hakim, isu Video Linggam, isu ketuanan Melayu dan raja-raja, isu Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dan beberapa lagi isu yang dianggap sengaja dilakukan Abdullah untuk memerangkap beliau sedang mula dihidupkan Abdullah.

Sekiranya beliau tidak bertindak segera maka lebih banyak lagi perangkap yang akan dimuntahkan Abdullah dan akan menjadi pengetahuan umum. Justeru Abdullah perlu di‘luputkan’ dari penjajahan minda dalam diri Dr M.

Hidup atau matinya watak Abdullah dalam kerjaya politik Dr M dilihat segalanya tidak memihak kepada dirinya. Andai dibiarkan Abdullah yang lemah ini akan menyebabkan pembangkang bersama Anwar Ibrahim menguasai negara. Melihat Anwar menjadi PM adalah penglihatan yang dianggap ‘amat menjijikkan dalam sejarah pemandangan’ Dr M selain mimpi ngeri yang akan menanti. Anwar memaafkan atau membalas dendam terhadap apa yang telah dilakukan ke atasnya dulu, tidak membawa apa-apa erti lagi kerana ia bermaksud Dr M adalah lemah, kalah dan tewas. Sedang itu semua tidak pernah wujud dalam kamus hidup Dr M.

Nak harapkan Najib yang dianggapnya penakut dan selalu ‘play safe’ itu untuk lawan Abdullah, jangan haraplah. Najib dibesarkan dengan pinggan emas, mana ada darah kepahlawanan macam Hang Jebat. Mahyuddin ‘boleh tahan’ tapi hangat-hangat tahi ayam dan mudah ikut arus, retorik pun boleh tahan juga. Jadi tidak ada hulubalang yang berdarah panglima yang memihak pada Dr M. Dulu nampak ramai tapi bila beliau dah turun takhta semuanya belot sebab nak bolot jawatan dan harta. Sekarang terkial-kial bersendirian.

Namun Dr M tentu sahaja telah menduga kesan tindakan yang akan berlaku pada UMNO dan diri beliau sendiri berhubung tindakan keluar parti yang diumumkan ini. Beliau tidak bimbang tentang sejarah kemahsyuran beliau ketika memerintah negara kerana semua ‘tugu-tugu’ yang terbina ketika beliau memerintah tercegat di depan mata dan rakyat serta seluruh dunia pun tahu.

Dalam soal keluarga pula mungkin anaknya Mukhriz agak sukar untuk menang kalau bertanding Ketua Pemuda. Ini pula akan membuka laluan menantu Abdullah, Khairi Jamaluddin menang mudah. Shaziman Mansur pula yang juga sepupu Khairi boleh berlakon pelbagai watak untuk memenangkan Khairi. Lagi pun Shaziman cepat naik jadi menteri pun dek kerana Khairi yang memberi jalan pada Abdullah. Takkan Shaziman nak tikam belakang Khairi.

Calon lain dalam pemuda memang tak nampak nak sekat Khairi kalau Hishamuddin tak pertahan. Hishamuddin pun seorang pemimipin yang penakut macam sepupunya Najib juga.

Kesan dalaman parti mungkin ada dan mungkin tidak berapa jelas. Justeru ini yang memerlukan penilaian. Tindakan beliau mengalih tumpuan media berhubung isu keluar dari UMNO ini sememangnya dijangkakan hangat dan memeranjatkan banyak pihak termasuk Abdullah.

Dr M berharap tindakan ini akan menyebabkan rakyat menekan Abdullah melepaskan jawatan. Bila Abdullah melepas jawatan, beliau berjaya ‘mematikan’ usaha Abdullah memerangkap beliau dengan pelbagai isu yang boleh mengaibkan beliau. Najib sekiranya terpilih menggantikan Abdullah adalah anak didik Dr M yang sama-sama berkongsi ‘saham’ menginggeriskan Sains dan Matematik 5 tahun lalu. Pada masa dilaksanakan dua subjek itu dalam Bahasa Inggeris, Najib adalah Menteri Pelajaran.

Mungkin apa yang diharapkan Dr M juga sekiranya Najib naik menggantikan Abdullah, Najib perlu bertindak menghapuskan pengaruh Pakatan Rakyat (PR) terutamanya Anwar Ibrahim. Jangan sampai Anwar berjaya ‘memujuk’ ahli-ahli parlimen BN menyertai PR dan seterusnya berjaya membentuk kerajaan. Ini paling bahaya.

Secara ‘reverse’nya pula tindakan Dr M keluar parti ini akan merangsang lebih ramai ahli UMNO meninggalkan parti itu dan menyertai pembangkang. Atau pun boleh merangsang dan mempercepat lebih ramai ahli-ahli Parlimen BN berpaling tadah dan menyertai PR. Andai ini perkiraan Dr M maka jelaslah bahawa isu-isu yang sedang didedahkan Abdullah untuk memerangkap beliau menjadi faktor utama beliau mengambil tindakan keluar parti.

Namun dalam hal ini Dr M boleh menggunakan plan ‘B’ dengan menyertai mana-mana parti pembangkang atau komponen lain BN selain UMNO seperti Gerakan yang mula membuka keahlian kepada orang Melayu. Lagi pun masih ramai orang Cina yang menyokong beliau.

Menyertai PAS juga dilihat sebagai mesej peralihan paradigma pemikiran beliau kepada orang Islam. Ia juga boleh ditafsirkan sebagai isyarat memohon maaf atas pelbagai tohmahan yang dilempar kepada PAS sebelum ini. Lagi pun orang PAS mudah memaafkan orang. Apa lagi penyertaan beliau yang tentunya akan memberi imej baru kepada PAS. Lagi pun bila DR M ada dalam PAS, Anwar tidak akan lagi bermusuh dengan beliau kerana PAS ada dalam PR.

Kini selepas mengisytihar keluar parti, Dr M akan menjadi pemerhati dan penilai akan ‘power’ yang masih berbaki pada diri dan pengaruh beliau, baik di kalangan pemimpin UMNO maupun komponen dalam BN. Beliau juga sedia maklum pihak pembangkang akan mula mendekati beliau untuk menyertai mereka dan ini akan menjadikan Abdullah semakin tertekan.

Dalam keadaan ‘last kopek’ kerjaya politik Dr M ini usaha Abdullah untuk melenyapkan kemasyuran beliau di mata rakyat telah menjadikan Abdullah sebagai musuh nombor satu. Bersama UMNO atau tidak bukan lagi pertimbangan beliau bila berhadapan dengan musuh. Inilah Dr M yang saya kenal.

Secara peribadi saya meragui Dr M adalah seorang patriotik sejati pada parti dan orang Melayu kerana seorang pejuang tulen tidak akan membakar kelambunya disebabkan marahkan nyamuk. Justeru apabila sanggup keluar parti tentunya sanggup pula pergi ke parti lain atau menubuhkan parti baru. Namun usia lanjut Dr M mungkin tidak mendorongkan beliau menubuhkan parti baru, walaupun tidak mustahil. Apatah lagi Dr M seorang yang tinggi retorik politik dan bijak berhelah untuk menghalalkan cara. Dan satu perkara yang saya hanya percaya pada Dr M ialah beliau memang amat setia pada isterinya, Dr Siti Hasmah.

Selaku seorang Naib Presiden PAS, saya mengucapkan tahniah kepada Dr M kerana baru sedar bahawa UMNO telah terlalu jauh hanyut oleh arus kesombongan dan sedang menghampiri temboknya. Saya juga mengalu-alukan Dr M untuk bersama-sama PAS untuk membina Malaysia yang berkebajikan lagi diredhai Allah.

7 ulasan:

BusPilot berkata...

Mengikut perkiraan ramai orang, mungkin Dr Mamak Kutty ni akan join KIMMA Konggres India Muslim Malaysia yang giat menjilat BN tuh...

hj sahri kg kedah berkata...

Asala mualaikum Ustaz. Tahniah berjaya ada blog ni. Minta tulis Biodata tuan, sebab budak budak muda la ni bukan kenal Ustaz.

Mahathir ialah "makhluk luarbiasa" yg dianugerah Allah kpd Malaysia, tetapi dia ni zalim! Dulu dia cakap sangat celupar. Dia hina nabi, dia suruh tafsir semula Quran. Dia penaya Anwar dgn cara yg sangat hina , sangat zalim dan kejam! Dia setaraf Stalin, setaraf Raja raja ROM dulu dulu yg melempar musuhnya dalam kandang singa.

Nampak sangat tamak kuasa. Dia pernah kata , anak anaknya tak berminat politik. Sekarang , bukankah ada benih nya di warisi dlm UMNO?

Anaknya pun kaya tak habis makan tujuh keturunan! Boleh jadi kaya gitu ke kalau bapa bukan PM?

Merujuk kpd "Makhlok luarbiasa ini", saya rasa ramai dari masyarakat negara ini hilang rasa waras dan amat berdendam sungguh dgn dia. Merujuk kpd kes zalimnya kpd Anwar ,kita tidak duduk ditempat Anwar.Anwar diseksa jiwa dan raga, diaibkan sebegitu rupa oleh "makhlok luarbiasa ini ".Perilaku perbuatan Mahathir kpd Anwar tidak ada tolok bandingnya kejam dan terekod dlm sejarah dunia.

Sebelum "makhlok luarbiasa ini" pejam mata, ramai yg ingin lihat dia "dibalas dgn siksaan didunia" atas segala perbuatannya kpd Anwar, kpd Sultan sultan Melayu dan kpd "sebahagian bangsa Melayu" dan kpd seteru seteru politik yg di belasahnya tanpa belas kasihan!

Ustaz Ahmad Awang berkata...

Waalaikumussalam Hj Sahri.

Memang benar seperti yang Tuan Haji kata itu, Dr M seorang ‘makhluk luarbiasa’, maka tindak tanduk kezalimannya semasa beliau berkuasa selama 22 tahun sebagai PM sangat luarbiasa yang tidak pernah terfikir oleh manusia biasa. Namun begitu, tidak pelik kalau Dr M di penghujung usianya beliau juga secara luarbiasa boleh balik ke pangkal jalan melalui sebab-sebab yang Allah SWT melorongkan beliau untuk mendapat taufiq dan hidayahNya.

Kalau Abu Sufyan hampir selama 21 tahun menentang Nabi Muhammad SAW dan bertanggungjawab memimpin kaum musyrikin Makkah untuk menzalimi kaum muslimin dan memerangi Nabi Muhammad SAW setelah berhijrah ke Madinah, tiba-tiba bila berada di ambang kekalahan sewaktu Nabi bersama 12,000 para sahabat hampir memasuki kota Makkah, dia kemudiannya meminta menemui Nabi Muhammad SAW di khemah baginda. Dan akhirnya setelah berdialog selama kira-kira 8 jam, Abu Sufyan mengucap dua kalimah syahadah.

Sejarah Abu Sufyan inipun luarbiasa juga, mana tahu kalau Dr M ikut laluan Abu Sufyan. Wallahu a’lam.

Putra IJ80 berkata...

Asala mualaikum Ustaz. Tahniah berjaya ada blog ni. Minta tulis Biodata tuan, sebab budak budak muda la ni bukan kenal Ustaz

Assalamualaikum.Uncle T.Hj Sahri,

Mengapa minta tulis Biodata,Kan lebe baik jemput beliau datang ke Kg Kedah,bagi ceramah keluarga ,maksudnya buat secara simple, jemput member yg kaki lepak,bagi minum teh sedikit kueh kueh,atau klu nak bersedekah lebe masak nasi,lauk gulai ikan keli,ikan masin.
Kita bersuai kenal mana tahu sama sama dapt hidayah dari Allah s.w.t,kita smue dapat keberkatannya.
Saya dari Damansara pun sudi turun,kalu di jemput.

Ini cadagan saja.

Ustaz Ahmad Awang berkata...

Assalamualaikum.

Laman biodata saya berikut, telah dikemaskinikan: Tentang Saya

Harap maklum.

Putra IJ80 berkata...

Alhamdullilah,saya berkesmpatan membaca Biodata,ketika ni dlm perjalanan ke Utara(Kedah).
Sekolah Al Ahya Gunung Semanggol memang terkenal melahirkan Pejuang pejuang Agama.
Saya pernah mengajar sementara di situ,sewaktu cuti panjang Universiti.
Tempatnya cantik,suasana desa,penduduknya ramah,baik baik belaka.
Kekalkan Kemenagan PAS di Semanggol,itulah doa saya.

nik berkata...

sejahat-jahat DR M, dia masih berguna utk tujuan perjuangan Islam, kerana dia memang 'makhluk yg luar biasa'. PAS patutnya tidak melepaskan peluang ini.

Dari segi lain, tindakan DrM menyebabkan perhatian masyarakat terarah kpd pergolakan kuasa, perebutan kuasa sahaja. Isu-isu len seperti kenaikan kos hidup, kebajikan tidk dpt ditanganai dgn berkesan, kerana pemimpin2 trpkasa menjaga diri masing2 dulu sblm bole menjaga kebajikan masyarakat.

Klu PR memang bole dapat kuasa, maka xpyh buang masa lg. Dh terlalu lama pergolakan ni berlaku. perjalanan negara dh terganggu..cpt2la stabilkan politik