بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ
الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالاَتِ اللهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلاَ يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلاَّ اللهَ وَكَفَى بِاللهِ حَسِيبًا

Khamis, Mei 22, 2008

Dosa UMNO pada Ketuanan Melayu-Islam - Bhg 3 (Akhir)

Sambungan dari bahagian kedua & bahagian pertama.

Usaha UMNO Menyingkirkan PAS

Ketika berada dalam BN, PAS yang merupakan sebuah parti yang mendokong perjuangan Islam terus berusaha mengimarahkan syiar Islam ke seluruh pelusuk negara. Pelbagai program dakwah dan keagamaan bagi menyedarkan orang Melayu mengenai Islam terus dipergiat. Usaha ini memerlukan kesungguhan yang tulen memandangkan setelah lebih 20 tahun UMNO memerintah negara, usaha sebegini tidak dilakukan secara giat dan bersungguh-sungguh.

Memandangkan perjuangan PAS yang mulanya diasas dan dihidupkan dalam suasana orang-orang Melayu serta dipelopori oleh tuan-tuan guru dan ulama’, gerakan dakwah di kawasan luar bandar mudah diterima oleh rakyat khususnya orang-orang Melayu. Selama inipun sebelum PAS menyertai BN, PAS dianggap sebagai parti kampung. Malah anggapan ini tidak diendahkan sangat oleh pemimpin-pemimpin PAS kerana sememangnya orang-orang Melayu ketika itu menjiwai Islam yang dipelopori PAS.

Kibaran bendera dan slogan perjuangan PAS yang boleh dilihat di kampung-kampung, di pondok-pondok pengajian, dan di markas-markas, sememangnya suatu pemandangan yang biasa pada ketika itu. Malah setelah PAS bergabung dengan BN, orang Melayu yang dulunya UMNO tidak menganggap imej PAS yang terdapat di kampung dan surau itu sebagai sesuatu yang luarbiasa, malah mereka turut menerimanya.

Pemikiran penjajah yang masih bersarang dalam minda pemimpin-pemimpin UMNO yang ‘fobia’ dengan perkembangan Islam setelah menyaksikan orang-orang Melayu mula memahami Islam, menyebabkan pertubuhan kebangsaan Melayu itu ‘mula mencari pasal’ dengan PAS.

Dr Mahathir ketika itu yang telah dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri kepada Tun Hussein Onn adalah antara yang mengilhamkan supaya PAS dikeluarkan dari BN. Sebagaimana tradisi yang dilakukan UMNO sejak dulu, kini dan selamanya, kaedah penipuan, fitnah dan berbohong terhadap PAS perlu ‘dicipta’ bagi menghalalkan cara. Lalu PAS difitnah dengan alasan PAS mengembangkan politik di kawasan Rancangan Felda dengan menubuhkan markas-markas di kawasan tanah rancangan itu.

Mengapa UMNO memilih lokasi Rancangan Felda untuk disepadankan dengan usaha memfitnah PAS? Mengapa UMNO tidak meletakkan kawasan kampung, atau kampung baru ataupun bandar-bandar baru yang ketika itu mula tumbuh bagaikan cendawan? Jawapannya mudah. Ketika itu kerajaan sedang membuka Tanah-tanah Rancangan dan ramai orang Melayu memohonnya. Dan Felda ketika itu berada di puncak kegemilangannya di kalangan orang Melayu. Justeru alasan tersebut merupakan satu isyarat supaya orang Melayu peneroka-peneroka Felda atau mereka yang sedang memohon atau yang akan memasuki tanah-tanah rancangan itu supaya menolak PAS.

Fitnah UMNO Mematangkan PAS

Inilah juga merupakan suatu pembuktian PAS terhadap UMNO, bahawa parti Islam ini sememangnya matang dengan segala tipu daya dan tindak tanduk UMNO dalam segala hal. Dulu tindakan memfitnah dan mengaibkan mantan TPM, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) oleh Dr Mahathir sememangnya telah dijangkakan. Kenyataan Dr Mahathir selepas tidak lagi menjadi PM, berhubung tindakan memfitnah DSAI yang telah dirakam dan diketahui umum itu, membuktikan segala penipuan dan pembohongan UMNO akan terdedah oleh keajaiban kuasa Allah SWT.

Pemimpin-pemimpin UMNO tidak pernah memikirkan segala tindakan mereka itu samada haram atau halal, benar atau tidak, bermoral atau haprak, semua itu tidak penting, yang perlu ialah segala tindakan adalah untuk menghalalkan cara mereka. UMNO mengamalkan ajaran Niccolo Machiavelli: “The Ends Justify The Means”. Kita yang berada di landasan perjuangan Islam ini memang mengakui teramat sukar untuk berbincang dan berurusan dengan golongan yang sebangsa tetapi tidak berakhlak dalam berpolitik dan pemerintahannya.

Lantaran itu juga di peringkat yang membabitkan isu antarabangsa hari ini, PAS sememangnya dapat menjiwai dan merasai kegetiran perjuangan Hamas dan Hizbullah serta negara-negara Arab bila berhadapan dengan dolak dalik Israel di rantau Asia Barat.

PAS Pasca 1978

Setelah PAS keluar dari gabungan BN pada 1978, perang saraf UMNO terhadap PAS menjadi lebih hebat berbanding sebelum menyertai BN. Anda tentu boleh bayangkan bagaimana keaiban dan fitnah yang diterima oleh DSAI ketika beliau mula ditangkap dan dipenjarakan dulu. Itulah juga yang pernah diterima PAS sebelum itu. Bezanya cuma DSAI diaibkan terhadap diri dan keluarganya, tetapi PAS melibatkan pemimpin-pemimpin keahliannya yang beratus ribu orang.

Tidak cukup dengan media arus perdana yang seolah-olah meletakkan perjuangan PAS sebaris dengan ideologi perjuangan Komunis yang amat sensitif terhadap rakyat pada ketika itu, PAS tidak menduga perjuangannya untuk menyebar pengetahuan Islam kepada orang Melayu di samping mengembalikan hak orang Melayu dan Islam di landasan sebenar, telah dikhianati oleh UMNO.

Melihat keadaan di luar jangkaan itu, PAS tidak mempunyai apa-apa persediaan untuk membela diri. Media yang dikuasai sepenuhnya oleh UMNO bertindak sewenang-wenangnya menghentam PAS dari pelbagai sudut sedangkan PAS tidak diberi peluang langsung untuk membela diri. Tindakan pemimpin UMNO mahu menyingkirkan PAS telah dirancang begitu rupa dan dilakukan dengan penuh licik. PAS tidak menduga UMNO sanggup menikam saudara sebangsa dan seagamanya sedemikian cara.

Tidak ada cara yang mampu dilakukan oleh pemimpin PAS selain berusaha merapatkan silaturrahim di kalangan ahli dengan mengadakan solat-solat hajat dan memohon perlindungan dari Allah SWT. Ahli-ahli PAS disedarkan bahawa matlamat perjuangannya di dunia ini bukan untuk memiliki dunia dan seisinya, tetapi adalah untuk mencari keredhaan Allah SWT. Sejarah perjuangan Islam di mana-mana sahaja di atas muka bumi ini bukannya berfalsafahkan perjuangan di atas permaidani merah, tetapi perjuangan yang memerlukan semangat dan jati diri yang unggul dan jitu. Segala pengalaman ini bukan sekadar dijadikan sejarah tetapi dijadikan iktibar dan pengajaran sebagaimana Rasullullah SAW dan para sahabat berjuang menentang golongan taghut dan mustakbirin.

UMNO Cuba ‘Mengislamkan’ Orang Melayu

Kegilaan kuasa UMNO semakin membabi buta setelah PAS dikeluarkan dari BN. Usaha menekan PAS dimulai dengan melarang PAS menggunakan lambang bulan sabit dan bintang yang menjadi simbol perjuangan PAS sebelum ini. Alasan yang diberikan pemimpin UMNO terlalu mudah iaitu bulan bintang adalah lambang Islam tetapi PAS mempolitikkannya, dan Islam tidak harus dipolitikkan. Itulah iktikad sekular pemimpin UMNO yang diwarisi sejak dahulu dan juga hari ini. Tekanan tersebut memaksa PAS menukar lambangnya kepada bulan purnama sebagaimana sekarang.

Pemimpin UMNO tidak faham atau sengaja tidak mahu faham bahawa Islam itu Ad-Din yang lengkap dan melengkapkan dalam semua displin kehidupan baik bidang ekonomi, sosial, politik, budaya dan segalanya. Inilah juga antara sebab mengapa UMNO mahukan rakyat buta terhadap Islam kerana mudah diperbodoh oleh pemimpin mereka yang tidak pernah senang dengan perjuangan Islam.

Setelah PAS disingkirkan dengan fitnah PAS kononnya mempolitikkan Islam, UMNO memulakan misi bagi mendakyahkan kepada orang Melayu dan rakyat bahawa kerajaan pimpinan mereka sedang merangka agenda Islam yang baru. Agenda Islam tajaan UMNO ini dianggap tindakan bagi membersihkan ‘kekotoran’ yang dilakukan PAS terhadap Islam sebelum ini.

Walaupun PAS berada di luar gelanggang pada ketika itu, namun usaha UMNO menubuhkan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama yang berkonsepkan 60 peratus pendidikan agama dan 40 peratus akademik disambut gembira oleh PAS. Kemasukan murid yang mencapai kecemerlangan 5A di peringkat Peperiksaan Penilaian Darjah 6 Sekolah Rendah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama ini dianggap sesuatu yang wajar dan baik.

Namun setelah beberapa tahun, dengan takdir Allah SWT, berdasarkan pemantauan yang dibuat oleh pihak UMNO mendapati pelajar-pelajar Melayu-Islam yang bijak dan pintar ini setelah tamat persekolah dan pendidikan di dalam dan luar negara, mereka menyokong parti Islam yang didokong PAS. Pelbagai ancaman seperti menarik dan menyekat biasiswa kepada pelajar-pelajar ini bagi memadamkan igauan ngeri UMNO selama ini. Manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Agama sekarang kurikulumnya telah ditukar kepada 60 peratus akademik dan 40 peratus pendidikan agama. Inilah ‘perjuangan’ Islam-UMNO.

Manakala di universiti dan pusat-pusat pengajian tinggi tempatan juga didapati Majlis-majlis Perwakilan Pelajar banyak dikuasai oleh pelajar yang pro Islam. Gerakan kebangkitan Islam menyebabkan limpahan dan arus deras berlaku di sana sini sehingga tidak mampu lagi ditangani UMNO.

Lalu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) ‘diperkemaskan’. AUKU dijadikan penjara untuk memenjara pemikiran dan minda para pelajar. UMNO menerusi Puteri dan Puteranya mendekati pelajar-pelajar ini dengan sebebas-bebasnya, manakala pembangkang dianggap sebagai cuba mengganggu pemikiran pelajar untuk berpolitik sehingga meminggirkan pelajaran.

Terlalu banyak untuk dibariskan ‘dosa’ UMNO pada ketuanan Melayu-Islam. Pelbagai tekanan yang diberikan kepada orang Melayu oleh UMNO kepada rakyat Kelantan yang majoritinya lebih 95 peratus adalah orang Melayu. Hampir 20 tahun juga negeri ‘Serambi Mekah’ itu dinafikan hak mereka sebagai rakyat, orang Melayu dan orang Islam. Kini di Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang yang mana terdapat orang Melayu samada ramai atau sedikit sedang cuba ‘didera’ oleh golongan yang mendakwa mereka adalah pembela ketuanan Melayu.

Lebih zalim lagi, apabila UMNO merelakan tahanan tanpa bicara ke atas rakyat yang tidak berdosa melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Walhal Islam melarang keras tindakan tanpa peri kemanusiaan yang sanggup dilakukan oleh UMNO terhadap rakyat dan orang Melayu. Lantaran perjuangan UMNO yang tidak berteraskan Islam, maka segala yang dilakukan tidak langsung berkiblat kepada Islam. Mereka lebih bermegah dengan perundangan penjajah yang telah diturunkan oleh ‘uncle-uncle’ mereka dahulu.

Jangan biarkan rakyat ‘mencarut’ dengan sebab tindakan orang Melayu yang mengkhianati bangsa dan agama sendiri. Wahai saudara-saudaraku dalam UMNO, renungkanlah dengan mata hati dan bukannya dengan mata kati. Pulanglah ke pangkal jalan dan jadikan Islam sebagai teras dan pakaian, serta Melayu sebagai tubuhnya. Cukuplah dengan segala tipu muslihat kepada rakyat dan orang Melayu-Islam. Biarlah kami orang-orang PAS yang menjadi lilin yang dibakar dengan penipuan dan fitnah yang sudah-sudah, tetapi biarlah generasi Melayu-Islam hari ini serta rakyat keseluruhannya diberi peluang menikmati kemurnian ketuanan Melayu-Islam yang hakiki.

Cukup, cukup dan cukuplah, tak perlu sebenarnya menceritakan keaiban dan dosa orang lain untuk pengetahuan umum. Namun sebagai iktibar dan pengajaran, sejarah perlu dirungkai bagi melihat kebenaran di sebalik dosa yang terpalit di badan.

Wallahu a’lam.

2 ulasan:

zikir-zikir berkata...

Asalam ust,

nukilan perjuangan yang amat menyentuh hati. tahniah ustaz

- coretkan sama isu-isu yang berkaitan agama US

THANS

Ibnu Batutah berkata...

Ketuanan Melayu sudah lama disuarakan oleh PAS melalui Ustaz Hasan Adli sejak tahun 60an lagi.Tetapi yang menentangnya ialah UMNO.UMNO lupa ini semua.Kepada Hishamsuddin Hussin saya cadangkan digubal semual sukatan pelajaransejarah