Sambungan dari bahagian pertama.
Tidak ada gahnya bila UMNO memperkatakan tentang kehebatan nasionalisme yang menjadi tunggak perjuangan mereka lahir dari iltizam dan inspirasi orang Melayu-Islam di negara ini. Ia sebenarnya tersasar jauh dari dasar perjuangan UMNO yang dilaungkan ketika menuntut kemerdekaan dahulu. Sedangkan hakikatnya Islam hanyalah dijadikan topeng yang digunakan untuk menarik simpati orang Melayu menyokong perjuangan yang berteraskan nasionalisme itu.
Ini disebabkan pembuktian sejarah hari ini menunjukkan kekuatan, kehebatan dan ketamadunan Melayu itu sebenarnya terjelma kerana wujudnya kecemerlangan Islam. Tetapi kehebatan, keagungan dan kecemerlangan Islam bukan disebabkan oleh ketamadunan Melayu. Dan Melayu hanya menumpang kehebatannya dengan berpaut pada ketamadunan dan kegemilangan Islam.
Inilah yang cuba diseleweng oleh para tukang karut ketika mendendangkan dikir barat mereka dalam pentas-pentas perbincangan yang membabitkan isu ketuanan dan penyatuan Melayu.
Para tukang karut ini begitu ghairah membaitkan pelbagai rangkap yang membayangkan perjuangan UMNO selama ini berteraskan idealisme perjuangan Islam yang tidak mungkin terpisah dari prinsip perjuangan orang Melayu. Maka para pendendang di belakang tukang karut pula mengiakannya dengan lenggang lenggok badan sambil merungkap bahawa tanpa Melayu di negara ini maka Islam tidak akan dilihat cemerlang. Justeru semua hamba rakyat harus bersatu di belakang UMNO demi mengembalikan kegemilangan Islam dan kesejahteraan orang Melayu di negara ini.
UMNO dan pemimpin mereka sering lupa bahawa laungan ini akan terus bergema apabila UMNO kalah dalam Pilihanraya Umum. Tetapi apabila mereka menang, mereka sombong, alpa dan mabuk dengan kekuasaan yang mereka perolehi dari rakyat. Mereka lupa bahawa setiap detik dan saat orang-orang Melayu sedang menunggu dan menuntut hari demi hari hak mereka sebagai seorang Melayu dan seorang Islam.
Orang Melayu sentiasa mengharapkan supaya hak Melayu terus terpelihara dan dihormati, bukannya hak orang Melayu dicerobohi oleh kerakusan tangan pemimpin-pemimpin UMNO. Hak keistimewaan orang Melayu yang menjadi teras kepada milikan orang Melayu harus dipertahan dan bukannya diceroboh oleh ketamakan kuasa yang berkepentingan. Tanah-tanah rezab Melayu di kawasan bandar hampir semuanya telah hilang akibat tergadai di atas pujukan pembangunan.
Manakala dalam kontek Islamnya pula orang Melayu sering berharap dan berdoa supaya kesucian dan hak Islam terus diperjuangkan. Bukannya dilabel dengan jenama baru seperti Islam Hadhari yang masih belum difahami oleh 9,999 dari 10,000 orang Melayu dan rakyat Malaysia hari ini. Islam hanya akan dinobatkan sebagai Islam apabila Islam diguna pakai sebagai Ad-Din dalam sistem kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Penjajah Inggeris berjaya memperdaya pemimpin UMNO supaya mengguna pakai perlembagaan persekutuan dan memaksa hamba rakyat jelata yang terdiri dari orang Melayu yang beragama Islam menerimanya sebagai perlembagaan negara yang berteraskan Islam.
Tindakan ‘membodohkan’ rakyat sebagaimana digunakan penjajah untuk memperbodoh pemimpin UMNO sejak awal merdeka dahulu cuba dibawa kepada rakyat. Pemimpin mereka mendabik dada dengan negara Islam jelmaan penjajah yang kini diwarisi dalam perjuangan mereka.
Kini lebih 50 tahun rakyat disajikan dengan Islam yang dijelmakan seperti pokok yang telah dibonsaikan untuk dijadikan hiasan taman.
Dalam menyahut misi orang Melayu untuk menempatkan Islam di landasan sebenar selepas negara mencapai kemerdekaan, Parti Islam SeMalaysia (PAS) cuba mengisi pelbagai kesempatan supaya Islam tidak terhapus dari roh dan jiwa orang Melayu.
Walaupun pelbagai halangan, rintangan dan cubaan menghalang dari pemerintah negara yang ditunjangi UMNO namun usaha menghidupkan institusi-institusi pondok, madrasah dan kuliah-kuliah pengajian agama terus dikembangkan baik di surau maupun di masjid. Ketika itu, inilah peluang yang ada untuk mentarbiahkan Islam kepada orang Melayu terutamanya di kampung-kampung dan di kawasan pendalaman. Ramai juga tuan-tuan guru dan ustaz-ustaz yang difitnah dengan pelbagai dakwaan di mahkamah dan dipenjarakan kerana didakwa seperti pembawa ajaran sesat, pertubuhan tidak sah, ceramah yang menjejas ketenteraman awam dan pelbagai tohmahan lagi bagi menghalalkan cara. Malah pemakaian perkataan Islam bagi parti PAS berkali-kali mereka cuba mengharamkannya.
Semua ini tidak melemahkan usaha mengembangkan Islam. PAS terus beristiqamah dalam perjuangan mempertahankan kesucian Islam di kalangan orang Melayu. Kemabukan kuasa di kalangan pemimpin UMNO dan Perikatan yang baru sahaja diberi hak mentadbir negara selepas mencapai kemerdekaan telah meletakkan PAS sebagai musuh yang dilihat akan memusnahkan impian mereka mentadbir Tanah Melayu.
PAS tidak diberi ruang untuk menyatakan hasrat rakyat bagi membela agama Islam yang merupakan sejarah asas kekuatan orang Melayu di negara ini. Sebaliknya PAS ditekan dari pelbagai sudut. Pelbagai gelaran seperti parti kolot, parti kampung, parti pak lebai dan pelbagai lagi label diberikan bertujuan memperlekeh orang Melayu mendekati PAS.
Dalam kontek politik pula, tekanan dan pelbagai gelaran ini telah berjaya meletakkan PAS sinonim dengan perjuangan Islam dalam semua displin walaupun ia dianggap ‘lekeh’ oleh UMNO. Namun di hati orang Melayu ketika itu PAS dan Islam telah membawa imej yang jelas di hati rakyat sebagai sebuah gerakan Islam. Orang PAS dan orang yang menyokong PAS dianggap pejuang Islam.
Takkala pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO ketika itu sibuk berurusan membuat pertaruhan di kelab-kelab lumba kuda yang mula diwujudkan hampir di setiap bandar-bandar besar, kami di kalangan pemimpin dan ahli PAS sibuk mengatur anak-anak bangsa untuk menghadiri pengajian Al-Quran terutamanya di rumah-rumah tuan guru atau para ustaz. Sebelum maghrib menjelang, berduyun-duyun kumpulan kanak-kanak bergerak menuju ke rumah guru Al-Quran masing-masing untuk belajar mengaji. Di sinilah anak-anak ini selain diajar mengaji Al-Quran juga diajar bersembahyang berjemaah bersama guru dan ustaz masing-masing. Kini secara sistematik di peringkat pendidikan pra-sekolah di seluruh negara diwujudkan PASTI, iaitu Pusat Asuhan Tunas Islam di bawah kegiatan Dewan Pemuda PAS.
Semua pengorbanan yang tidak diminta balasan dan imbuhan ini dilakukan demi memastikan generasi pelapis Melayu tidak terpupus dari nur kesucian Islam. Dalam masa yang sama, PAS terus ditekan dan difitnah kononnya cuba meracuni pemikiran rakyat serta mempengaruhi rakyat membenci pemerintahan Gabungan Perikatan. Rakyat ditakut-takutkan dengan ancaman bahawa penjajah akan datang kembali sekiranya PAS diberi sokongan oleh orang Melayu. Malah ada pelbagai cubaan yang cuba mengkaitkan PAS dengan Pengganas Komunis namun gagal kerana perjuangan suci PAS sentiasa dilindungi Allah. Alhamdulillah, semua itu tidak melemahkan PAS untuk memartabatkan kesucian Islam kepada orang-orang Melayu.
Sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang tidak pernah lekang dari fitnah dan tekanan dari musuh-musuh Islam menjadi idola para pemimpin dan ahli-ahli PAS ketika itu. Laungan dan gema “TAKBIR! ALLAH HUAKBAR, ALLAH HU AKBAR, ALLAH HU AKBAR!” dijadikan penawar dan pendorong semangat ahli PAS bagi mengubat kedukaan hati melihat usaha untuk melemahkan PAS datang dari pelbagai sudut. Berkat cahaya Islam yang mengalir dalam tubuh kami ahli PAS, kami tidak pernah gentar malah segala tekanan yang diterima hampir setiap detik menjadikan kami lebih kuat, teguh dan kental dalam menempuh perjuangan memartabatkan Islam yang suci.
Tragedi berdarah 13 Mei 1969, walaupun berlaku insiden pertumpahan darah akibat perbezaan jurang ekonomi antara kaum namun UMNO merupakan suatu sinar yang membawa kepada kesedaran di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO. Kealpaan kepimpinan UMNO ketika usaha pengisian selepas kemerdekaan dilihat gagal memenuhi inspirasi orang Melayu secara mutlak. Pengabaian dalam meletakkan status quo kepada kaum-kaum tertentu mendominasi sektor ekonomi telah meletakkan negara dilanda krisis pergesaran kaum.
‘Keinsafan’ yang sedikit ini telah menyebabkan UMNO menjemput PAS menyertai kerajaan campuran dengan Perikatan pada 1970. PAS pula melihat sinar baru mula bertunas setelah Tun Abdul Razak menerajui kepimpinan negara setelah Tunku Abdul Rahman berundur akibat rasa bertanggungjawab ekoran kekalahan teruk Perikatan pada pilihanraya umum 1969 yang membawa kepada tragedi hitam itu.
Setelah berada dalam perjuangan yang amat perit dan panjang yang bermula di era penjajah dan kemudiannya semasa era selepas kemerdekaan yang dipimpin UMNO dan Perikatan, PAS merasakan jemputan Tun Abdul Razak merupakan peluang terbaik untuk meneruskan usaha dakwah dan memartabatkan Islam di negara ini. Tragedi 13 Mei yang baru berlalu yang membuktikan UMNO dan Perikatan dilihat gagal membela hak dan kepentingan orang Melayu dan orang Islam.
Sejarah perjuangan PAS membela kesucian Islam selama ini terutamanya di kalangan orang Melayu telah mencetuskan inspirasi baru kepada PAS bahawa kekuatan dan perpaduan orang Melayu hanya akan wujud dan teguh sekiranya ia disertakan dengan kekuatan Islam secara menyeluruh. Ini sekali gus membuktikan undang-undang penjajah yang diguna pakai selama ini dalam perlembagaan persekutuan gagal menjamin keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara.
Ketika PAS menyertai kerajaan campuran dengan Perikatan yang kemudiannya membentuk Barisan Nasional, beberapa jabatan dan agensi yang melibatkan kepentingan Islam mula dibentuk. Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Barat yang ditubuhkan semenjak zaman Tunku Abdul Rahman diperkasakan dengan penubuhan Bahagian Agama di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang berperanan untuk mempertingkatkan dakwah dan penyelidikan Islam serta menyelaraskan pentadbiran Islam di seluruh negara. Bahagian Agama tersebut dahulunya lebih terkenal dengan nama Pusat Islam yang kini dikenali dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau JAKIM. Di bawah pentadbiran Bahagian Agama JPM ketika itu, saya dilantik sebagai Pengarah pertama Institut Dakwah dan Latihan Islam. Melalui program latihan dakwah dan pelbagai kursus kefahaman Islam pada pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan dan agensi-agensinya, Islam sebagai Ad-Din yang syumul mula difahami oleh masyarakat. Di peringkat pengajian tinggi, para pelajar aktif melaksanakan kegiatan dakwah dan fenomena penghayatan Islam semakin menonjol di dalam kehidupan di kampus. Dalam pemilihan kepimpinan majlis pelajar, golongan pro-Islam sering diberi mandat menerajui kepimpinan.
Manakala di dalam bidang penyelidikan, di bawah pentadbiran Bahagian Agama ketika itu, ditubuhkan Jawatankuasa Peringkat Kebangsaan mengenai Halal-Haram bahan makanan dan gunaan orang Islam. Jawatankuasa ini dianggotai oleh wakil-wakil dari Kementerian Perdagangan, Kementerian Kerajaan Tempatan, Jabatan Haiwan, pusat pengajian tinggi dan pakar-pakar pelbagai bidang penyelidikan. Semasa saya mengetuai pusat penyelidikan ini dan sekaligus menjadi Pengerusi Jawatankuasa berkenaan, sering dibuat pemeriksaan memantau kilang-kilang pengusaha makanan/minuman, restoran-restoran di hotel-hotel yang menggunakan label halal. Penguatkuasaan undang-undang melalui Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan menyebabkan mereka yang menyalahgunakan penggunaan label halal sentiasa diambil tindakan.
Ketika PAS menyertai BN, beberapa usaha bagi memartabatkan Islam di peringkat nasional juga dapat dilakukan seperti menggantikan lambang palang merah pada hospital dengan logo bulan sabit, iklan arak melalui TV dihapuskan, azan disiarkan melalui radio dan TV. Selain itu ditubuhkan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) untuk menyelaras dan mempergiat dakwah di kalangan rakyat.
Selepas kematian Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri, dengan Dr Mahathir menjadi timbalannya, banyak usaha-usaha pencapaian untuk kebaikan Islam dan orang Melayu hasil peranan PAS dilihat sebagai ancaman terhadap UMNO. Maka untuk mempertahankan survival politik UMNO yang bertunjangkan sokongan orang Melayu yang bersifat nasionalisme semata-mata, PAS dikeluarkan dari BN pada 1978.
Saya sendiri yang telah mendapat dokongan para pegawai kerajaan di beberapa jabatan dan institusi berjaya melaksanakan program besar gerakan dakwah melalui Bulan Dakwah yang melibatkan seluruh jabatan-jabatan kerajaan termasuk Polis Di Raja Malaysia dan Angkatan Tentera. Penceramah-penceramah bagi pelaksanaan Bulan Dakwah tersebut sebahagian besarnya terdiri daripada tokoh-tokoh PAS. Akibatnya beberapa bulan selepas itu, saya pun dipindahkan ke Kementerian Pelajaran dengan notis 24 jam. Setiausaha Bahagian Agama (kemudiannya dipanggil Ketua Pengarah Bahagian) ditukarkan sebulan lebih awal sebelum saya.
Bersambung dalam bahagian kedua.
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ
Sabtu, Mei 17, 2008
Dosa UMNO pada Ketuanan Melayu-Islam - Bhg 2
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
Salam
Hi Atok, nice blog...
Assalamualaikom
Kepada semua cucu-cucu atok kena baca apa yang atok tulis,ini ilmu tambahan selain dari pelajaran sekolah.
Catat Ulasan