بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ
الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالاَتِ اللهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلاَ يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلاَّ اللهَ وَكَفَى بِاللهِ حَسِيبًا

Isnin, Februari 08, 2010

Hatib bin Abi Balta‘ah, Sahabat Yang Mendedahkan Rahsia Jamaah

Firman Allah:
إِنَّ اللّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤدُّواْ الأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا

وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُواْ بِالْعَدْلِ إِنَّ اللّهَ نِعِمَّا

يَعِظُكُم بِهِ إِنَّ اللّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Maksudnya:
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (An-Nisa’: 58)


Fat-hu Makkah
Pembukaan Kota Makkah pada bulan Ramadhan tahun kelapan hijriah merakamkan pelbagai peristiwa penting dalam sejarah perjuangan Islam di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w. untuk dijadikan iktibar dan pengajaran bagi umatnya. Salah satu peristiwa tersebut ialah tindakan Hatib bin Abi Balta‘ah (HAB) menulis surat kepada kaum Quraisy di Makkah memberitahu perancangan Rasulullah s.a.w. untuk menyerang kaum musyrikin Quraisy secara mengejut.

Rasulullah s.a.w. merahsiakan perancangan tersebut bagi memeranjatkan kaum Quraisy dengan kehadiran tentera Islam di Makkah. Hanya beberapa orang sahabat sahaja yang diberitahu baginda. Rasulullah menyediakan angkatan perang yang mengandungi tidak kurang dari 10,000 orang pejuang setelah menolak permintaan Abu Sufyan bin Harb, ketua musyrikin Makkah, supaya Perjanjian Damai Hudaibiah yang terbatal disambung semula setelah pihak Quraisy dan sekutunya mencabuli perjanjian damai tersebut kira-kira 2 tahun perjanjian tersebut terlaksana.

HAB yang mengetahui rahsia tersebut mengirim surat kepada kaum Quraisy kerana kebimbangannya keluarganya dari kaum musyrikin di Makkah akan terancam keselamatan mereka. Surat tersebut dikirimkannya melalui seorang wanita bernama Dza‘inah. Rasulullah yang mendapat wahyu Allah mengenai perbuatan HAB itu memerintahkan Sayidina Ali bin Abi Talib bersama dengan Zubair dan Miqdad segera mengambil surat tersebut dari wanita berkenaan yang dalam perjalanan menuju ke Makkah. Di satu tempat bernama Raudzah Khoh seperti yang diarahkan oleh Rasulullah s.a.w., wanita tersebut ditemui dan menyerahkan surat tersebut kepada Sayidina Ali setelah dia diperiksa walaupun pada mulanya menafikan ada membawa surat berkenaan.

Hatib Dipanggil
Kemudian Sayidina Ali menyerahkan surat itu kepada Rasulullah s.a.w. yang didapati isi kandungannya menyebutkan datangnya dari HAB dan ditujukan kepada orang-orang musyrikin Makkah yang mendedahkan perancangan yang dirahsiakan oleh Rasulullah s.a.w. untuk menyerang kaum Quraisy. HAB dipanggil mengadap Rasulullah s.a.w. dan disoal-siasat mengenai surat tersebut. HAB mengaku melakukannya. Dia memberi alasan bahawa hubungannya dengan kaum musyrikin Quraisy di Makkah sangat rapat apatah lagi di kalangan mereka itu terdapat orang-orang yang menjaga dan melindungi keluarga dan harta orang-orang Islam yang berhijrah ke Madinah. HAB juga memberikan alasan bahawa kaum musyrikin Makkah melindungi kaum keluarganya sendiri di sana. Dia menegaskan bahawa perbuatannya itu bukanlah kerana berpaling tadah dari Islam (murtad) atau redha dengan tindak-tanduk orang-orang kafir musyrikin itu.

Rasulullah menerima alasan itu. Lantas Sayidina Umar Al-Khattab yang hadir bersama di majlis itu meminta Rasulullah membenarkannya untuk memancung HAB. Sayidina Umar mengatakan HAB adalah seorang yang munafik. Rasulullah s.a.w. menjawab Sayidina Umar dengan berkata bahawa HAB adalah seorang ‘ahli badr’ (yang telah menyertai perang Badr). Rasulullah berkata lagi kepada Sayidina Umar: “Kamu tidak tahu, moga-moga Allah memberi kedudukan kepada orang yang menyertai perang Badr.” Nabi berkata pula kepada HAB: “Buatlah apa yang kamu suka, aku telah memaafkan kamu.” Bersebab dari peristiwa ini, turunlah ayat Al-Quran (Al-Mumtahanah, ayat 1) yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (s.a.w.) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredhaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan yang betul.

Ayat di atas menegaskan bahawa dalam apa jua keadaan pun Islam tidak membenarkan mengambil dari musuh-musuh Allah menjadi pemimpin yang ditumpahkan perasaan kasih sayang kepada mereka, atau diberikan bantuan atau pertolongan kepada mereka. Ayat ini diturunkan sekalipun HAB memberikan alasan bahawa dia bukan bertujuan menolong atau membantu kaum musyrikin Makkah itu, bahkan sebaliknya dia mahu mereka melindungi keluarganya serta harta benda orang Islam yang berhijrah yang ditinggalkan kepada mereka.

Iktibar Kepada Jawatankuasa Displin PAS
Mengingat peristiwa perbuatan HAB mendedahkan rahsia penting mengenai perancangan Rasulullah membuka Makkah (fat-hu Makkah), terlintas di fikiran saya tidakkah Jawatankuasa Displin PAS yang dianggotai oleh dua orang ulama’ terfikir peristiwa ini boleh dijadikan panduan atau iktibar dalam memutuskan penghakiman terhadap Khalid Samad (KS) atas pertuduhan yang dikatakan serius iaitu mendedahkan RAHSIA parti. Sebesar manakah rahsia yang didedahkan KS itu telah juga dijawab oleh beliau sendiri di hadapan majlis penghakiman Jawatankuasa Displin yang diketuai oleh Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.

Rahsia yang didedahkan oleh HAB adalah satu rahsia yang sangat besar dan perbuatan yang dilakukan oleh HAB itu satu kesalahan yang sangat serius sehingga Allah memberitahu rasulNya atas perbuatan HAB itu. Kalau rahsia sebesar itu yang didedahkan HAB boleh diampuni oleh Rasulullah s.a.w. atas pertimbangan HAB adalah ‘ahli badr’, walaupun mendapat sanggahan dari Sayidina Umar Al-Khattab, apakah KS tidak layak untuk dimaafkan menimbangkan usaha dan pengorbanannya yang besar dalam PAS. Kita tidaklah samakan pengorbanan KS setaraf dengan pengorbanan ‘ahli badr’, namun jasa KS juga besar kepada PAS yang mungkin boleh dipertimbangkan. Antaranya, peranan beliau yang menggagalkan perancangan sulit pimpinan PAS Selangor untuk menubuh kerajaan gabungan PAS-UMNO di Selangor, dua atau tiga hari selepas PRU Ke-12 2008. KS juga dalam tempoh perjuangannya dalam PAS hampir 30 tahun pernah bertanding dan kalah di Kelantan, Perlis dan Selangor sebelum PRU Ke-12. Beliau juga berkorban dengan meninggalkan jawatan profesionalnya hingga kehilangan sumber pendapatan lumayan yang pernah dinikmatinya. KS juga pernah ditahan di bawah ISA.

Saya percaya sebahagian pimpinan PAS dan ramai pendokong jamaah PAS mengenali KS seorang yang dapat menampilkan perjuangan PAS dengan keupayaan dan kekuatan berhujah, baik di segi rasional mahupun dari segi prinsip-prinsip dan kaedah dakwah Islam. KS pernah bersama saya dalam satu lajnah yang saya mempengerusikannya. Saya dapati beliau seorang yang memang bercakap dan bekerja dengan perancangan dan melaksanakan perancangan yang diprogramkan dengan begitu bersungguh-sungguh. Cukup kalau saya katakan kalau ramai pimpinan PAS seperti KS, PAS boleh bergerak lebih lancar dan maju ke hadapan dalam konteks PAS ber‘tahaluf’ dengan parti-parti Pakatan Rakyat sekarang, bahkan dengan parti-parti lain yang (selain UMNO) yang boleh ber‘tahaluf’ dengan PAS.

Bersabit dengan perkara mendedahkan RAHSIA parti, saya melihat kepimpinan parti perlu menggariskan panduan yang eksklusif bagi mentakrifkan kerahsiaan itu supaya tidak dipertikaikan tafsirannya terutama apabila ia melibatkan kes pertuduhan yang diadili Jawatankuasa Displin parti. Bahkan selaras dengan pindaan perlembagaan yang terkini mengenai Jawatankuasa Displin, perlu juga diteliti kedudukan keahlian jawatankuasa tersebut bagi membolehkan terlaksananya prinsip keadilan dalam sebuah ungkapan yang popular “not only must justice be done, it must also be seen to be done” yakni bermaksud keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan, bahkan mesti kelihatan dilaksanakan.


Baca lagi...

Selasa, Januari 26, 2010

Isu Kalimah Allah - Dari Perspektif Dakwah (Bhg. 2)

Sambungan dari bahagian pertama.

SIKAP DOUBLE-STANDARD KERAJAAN UMNO/BN
Dalam menghadapi isu atau masalah berkaitan dengan hukum-hakam Islam, samada yang berkaitan dengan undang-undang pentadbiran Islam ataupun yang berbangkit dari keputusan Mahkamah Syariah, kerajaan UMNO/BN tidak pernah berpendirian tetap yang selari dengan tuntutan undang-undang pentadbiran Islam ataupun fatwa para mufti, apatah lagi dengan tuntutan syariat Islam. Malah kerajaan sentiasa bersikap double-standard mengikut kepentingan politik semasa. Antara contoh isu/masalah berkenaan seperti undang-undang jenayah hudud, kumpulan anti-hadith, gejala riddah (murtad), perebutan jenazah muallaf dan perebutan anak (bawah umur) antara muallaf dengan pasangan asal bukan Islam. Begitu juga dalam menangani isu yang berbangkit dari penguatkuasaan undang-undang mencegah maksiat yang sekali-sekala melibatkan orang-orang tertentu atau anak-anak mereka seperti tangkapan ke atas pengunjung kelab hiburan The Zouk di Ampang dan The Ship, sebuah restoran dan pub di Damansara Utama beberapa tahun yang lalu.

Mengenai undang-undang jenayah hudud yang dibuat oleh kerajaan PAS/Semangat 46 (APU) di negeri Kelantan pada tahun 1993 dan di negeri Terengganu pada tahun 2002, kerajaan UMNO/BN menentang habis-habisan sambil mendakwa ianya hudud PAS dan kerajaan UMNO/BN akan menyediakan hudud Islam yang sebenar (kononnya). Namun apabila Kartika Sari Dewi Shukarno baru-baru ini (2009) dijatuhi hukuman 6 sebatan oleh Mahkamah Syariah Kuantan, kerana disabitkan bersalah minum arak (beer) dan pesalah bersedia menerima hukuman sebat itu, kerajaan tidak dapat menerima hukuman sebat itu padahal undang-undang berkenaan dibuat oleh UMNO/BN yang memerintah di negeri Pahang. Kalau itulah undang-undang hudud yang UMNO mendakwa sebagai hudud Islam, mengapa mereka menolaknya? Jawapannya kerana kepentingan politik UMNO melihat hukuman sebat di bawah undang-undang pentadbiran Islam boleh menimbulkan masalah terutama apabila ianya dilihat oleh rakyat, khasnya orang bukan Islam sebagai usaha UMNO hendak menegakkan undang-undang syariah Islam. Itulah sebabnya Dato’ Seri Najib Tun Razak (DSNTR) terpaksa menyatakan pendirian kerajaan bahawa hukuman sebat di bawah undang-undang pentadbiran Islam akan dikaji semula. Kenapa “pejuang-pejuang Islam” UMNO dan badan-badan NGO yang mendokong perjuangan UMNO tidak membuat sebarang bantahan apalagi mengadakan demo? 

Kabinet Langgar Perlembagaan Negara
Kerajaan UMNO/BN bukan sahaja bersikap double-standard bahkan pernah melakukan pencabulan terhadap perlembagaan dan mengenepikan keputusan penghakiman Mahkamah Syariah secara berterang-terangan. Contohnya, apabila Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam memutuskan bahawa seorang muallaf, Muhammad Rayappan Abdullah disabitkan ketika meninggal adalah seorang Muslim dan jenazahnya hendaklah disempurnakan pengebumiannya secara Islam. Majlis Agama Islam Selangor diberi kuasa menguruskan jenazah tersebut. Akan tetapi keluarga Allahyarham muallaf berkenaan mendakwa si mati telah kembali kepada agama asalnya (Kristian). Perkara ini dibawa ke Mahkamah Rayuan Syariah yang kemudiannya mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah itu walaupun keluarganya yang bukan Islam yang telah disapina untuk menghadiri mahkamah tidak mengendahkan sapina tersebut. Keputusan hakim ini diketepikan oleh kerajaan apabila mesyuarat kabinet Abdullah Badawi (Islam Hadhari) mengarahkan Peguam Negara untuk membuat keputusan mengenai status agama saudara muallaf berkenaan. Keputusan yang dibuat, si mati kononnya telah balik kepada agama asalnya sebelum meninggal. Keputusan ini dibuat di luar mahkamah. Tindakan kerajaan ini adalah juga mencabuli peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Artikel 121 (1A).

The Cabinet today discussed the Anthony Rayappan body tussle case and directed the Attorney-General to determine his religion. Prime Minister Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, in confirming that the matter was discussed, said “if the AG's Chamber finds that he is not a Muslim, his body should be returned to his family”.
(laporan akhbar The Sun)

Dalam kes perebutan anak di bawah umur di antara ibubapa anak tersebut apabila salah seorang memeluk agama Islam, kerajaan pimpinan DSNTR (1Malaysia) yang ketika itu (2009) baru kira-kira sebulan menjadi Perdana Menteri telah membuat satu keputusan pada 23 April 2009 dalam Mesyuarat Kabinetnya bahawa kanak-kanak di bawah umur akan kekal menganut agama asal ibu/bapanya ketika berkahwin sungguhpun salah satu pasangan (bahkan jika kedua-duanya pun) bertindak menukar agama (memeluk agama Islam). Keputusan kabinet ini dibuat bagi mengatasi perebutan anak di antara ibu atau bapa yang memeluk Islam dengan pasangan yang bukan Islam yang kebetulan pada ketika itu kes muallaf Mohd Ridzuan Abdullah telah membawa anaknya yang di bawah umur memeluk Islam dan hak penjagaan ke atasnya dibuat oleh Mahkamah Syariah di Ipoh. Kita tidak pernah mendengar sebarang bantahan dari “pejuang Islam” UMNO atau badan-badan NGO Islam yang sehaluan dengannya.

Penguatkuasaan Terpilih
Penguatkuasaan ke atas kegiatan maksiat dilakukan secara terpilih tetapi apabila sesekali diisukan oleh media arus perdana yang menjadi alat kerajaan UMNO/BN, maka mereka yang tertangkap dibebaskan atau ditarik balik saman yang telah difailkan untuk pendakwaan. Contohnya, kes hampir seratus orang pengunjung The Zouk yang telah ditahan oleh JAWI, kesemuanya dibebaskan disebabkan antara yang ditahan itu terdapat seorang artis dan anak orang kenamaan. Di dalam kes tangkapan beberapa orang wanita Melayu Islam di Restoran dan Pub The Ship, kes itu mendapat liputan media besar-besaran. Kerajaan melihat isu ini boleh menimbulkan tanggapan negatif dan boleh menyebabkan bantahan dari pihak pengusaha pub, maka Exco kerajaan Selangor ketika itu mengarahkan pembebasan kesemua mereka yang ditahan bahkan pihak pentadbiran Islam di negeri Selangor diarah supaya memohon maaf kepada semua yang terlibat dengan tindakan penguatkuasa JAIS itu. Tidak ada siapa pun yang membuat bantahan atas keputusan Exco itu, apalagi mengadakan demo di hadapan bangunan sekretariat kerajaan negeri Selangor.

Dalam isu kalimah ALLAH pada mulanya DSNTR berkata kerajaan tidak membenarkan sebarang demo sebagai bantahan atas keputusan mahkamah mengenai isu ini. Beliau meminta rakyat bertenang dan serahkan kepada kerajaan untuk menyelesaikannya. Beberapa hari kemudian beliau mengatakan pula kerajaan tidak ada kuasa menghalang mereka yang melakukan demo dan menyatakan bahawa rakyat bebas menyatakan pendapat mereka. Akibat pendirian DSNTR yang flip-flop itu ada golongan yang mengambil kesempatan membakar gereja. Itupun DSNTR teragak-agak untuk memberi amaran tidak seperti kebiasaannya apabila golongan yang dijadikan sasaran adalah dari pihak pembangkang. Bagaimanapun untuk menutupi sikap double-standardnya, DSNTR mengumumkan sumbangan sebanyak RM500,000 kepada Gereja Metro Tabernacle yang dibakar di Ampang.

Sikap sepupunya Hishammuddin Tun Hussein Onn, Menteri Dalam Negeri tentu sahaja dua kali lima. Seperti dalam kes demo yang mengheret dan memijak-mijak kepala lembu di Shah Alam, maka dolak-daliknya dalam isu kalimah ALLAH tidak pernah berubah. Akhirnya, beri amaran bahawa kerajaan akan gunakan ISA ke atas sesiapa sahaja yang boleh mengancam keselamatan negara atau mengganggu keharmonian hidup rakyat dengan memainkan isu kalimah ALLAH. Amaran umum seperti ini mengikut rekod kerajaan BN pada masa lalu, sudah tentu ditujukan kepada pembangkang.

Kerajaan terpaksa memanggil perwakilan dari kedutaan 96 buah negara di Kuala Lumpur untuk diberi taklimat di Putrajaya mengenai isu kalimah ALLAH ini. Ini menggambarkan betapa seriusnya kerajaan berusaha membetulkan persepsi dunia yang menganggap Malaysia sudah menjadi sebuah negara Islam yang menindas golongan minoriti bukan Muslim terutama penganut agama Kristian. Akan tetapi tidak ada sebarang langkah pun yang dibuat oleh kerajaan UMNO/BN untuk membetulkan persepsi masyarakat antarabangsa yang menggambarkan Malaysia sudah mula menuju kepada amalan Islam ala-Taliban apabila JAWI menangkap pengunjung kelab The Zouk lima tahun dahulu. Kenapa? Jawapannya mudah, kerana kerajaan memang tidak pernah mempertahankan Akta Pentadbiran Islam Wilayah Persekutuan atau enakmen mana-mana negeri berkaitan dengan undang-undang pencegahan maksiat. Lain halnya dengan isu kalimah ALLAH, kerajaan tetap mempertahankan perintah Kementerian Dalam Negeri walaupun telah dibatalkan oleh mahkamah kerana ianya mempunyai kepentingan politik yang boleh menonjolkan UMNO sebagai juara umat Islam.

UMNO/BN — Gone with the Wind
Rekod kerajaan UMNO sejak Perikatan hingga BN sekarang, tidak pernah mengambil langkah atau tindakan tegas menyelesaikan isu-isu yang melibatkan konflik atau pertentangan antara orang Islam dan bukan Islam seperti isu anak bukan Islam di bawah umur (18 tahun) memeluk Islam atau hak penjagaannya bagi ibubapa yang memeluk agama Islam. Kerajaan sedia mengetahui bahawa peruntukan dalam undang-undang “The Law Reform (Marriage And Divorce) Act, 1976” boleh memberi ruang pertikaian di antara pasangan yang memeluk agama Islam dan yang kekal dalam agama asal ketika mereka berkahwin. Ini termasuk hak menuntut cerai, hak penjagaan anak dan yang lain-lain yang tidak mungkin dapat diselesaikan melainkan peruntukan dalam undang-undang berkenaan dibuat pindaan. Ini bagi menjamin kepentingan kedua-dua pihak mengikut kepercayaan agama masing-masing yang diberi perlindungan oleh Perlembagaan Persekutuan. Dalam konteks cukup umur matang (18 tahun), ini juga boleh menimbulkan pertikaian di antara orang Islam dan bukan Islam. Kerajaan perlu memindanya ataupun menetapkan khas umur baligh bagi memeluk agama Islam kepada 16 tahun. Saya melihat tiada apa salahnya kerana kelayakan umur bagi Lesen Motor B2 pun 16 tahun. Bagi saya apa jua alasan dan hujah, dan apa jua harapan yang diletakkan kepada kerajaan UMNO/BN hanya akan menjadi debu-debu yang berterbangan bersama angin ibarat jodol sebuah novel, “Gone with the Wind” kerana kerajaan UMNO/BN tidak pernah konsisten, kecuali konsisten dalam flip-flopnya sejak diperintah oleh 6 orang Perdana Menterinya sehingga kini.

Bersambung...


Baca lagi...

Selasa, Januari 19, 2010

Isu Kalimah Allah - Dari Perspektif Dakwah (Bhg. 1)

Rujukan: Al-Quran

A. ALLAH (Tuhan Rabb/Rububiyah)
وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ .i
.وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ فَأَنَّى يُؤْفَكُونَ

وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّن نَّزَّلَ مِنَ السَّمَاء مَاء فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ مِن بَعْدِ مَوْتِهَا لَيَقُولُنَّ .ii
.اللَّهُ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ

وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ .iii
.اللَّهُ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

.وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ خَلَقَهُنَّ الْعَزِيزُ الْعَلِيمُ .iv

.الْحَمْدُ للّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ .v

.قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ .vi

B. ALLAH (Tuhan Ilah/Uluhiyah@Ubudiyah=Tauhid)
.قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ .اللَّهُ الصَّمَدُ .لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ .وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوًا أَحَدٌ .i

.إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ .ii

.إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي .iii

وَقَالَ الْمَسِيحُ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ اعْبُدُواْ اللّهَ رَبِّي وَرَبَّكُمْ إِنَّهُ مَن يُشْرِكْ بِاللّهِ... .iv
.فَقَدْ حَرَّمَ اللّهُ عَلَيهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ

C. ALLAH (Tuhan yang disyirikkan/disekutukan=Sesat)
وَقَالَتِ الْيَهُودُ عُزَيْرٌ ابْنُ اللّهِ وَقَالَتْ النَّصَارَى الْمَسِيحُ ابْنُ اللّهِ ذَلِكَ قَوْلُهُم .i
.بِأَفْوَاهِهِمْ يُضَاهِؤُونَ قَوْلَ الَّذِينَ كَفَرُواْ مِن قَبْلُ قَاتَلَهُمُ اللّهُ أَنَّى يُؤْفَكُونَ

لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُواْ إِنَّ اللّهَ هُوَ الْمَسِيحُ ابْنُ مَرْيَمَ .ii

...لَّقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُواْ إِنَّ اللّهَ ثَالِثُ ثَلاَثَةٍ وَمَا مِنْ إِلَـهٍ إِلاَّ إِلَـهٌ وَاحِدٌ .iii

أَلَا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ .iv
...أَوْلِيَاء مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى

A(i) Maksudnya:
Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “ALLAH”. Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)? (Al-Ankabuut: 61)

A(ii) Maksudnya:
Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “ALLAH”. Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Al-Ankabuut: 63)

A(iii) Maksudnya:
Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “ALLAH”. Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Luqman: 25)

A(iv) Maksudnya:
Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Yang menciptakannya ialah ALLAH Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui”. (Az-Zukhruf: 9)

A(v) Maksudnya:
Segala puji tertentu bagi ALLAH, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Al-Fatihah: 2)

A(vi) Maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (ALLAH) Pemelihara sekalian manusia”. (An-Naas: 1)

B(i) Maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah ALLAH Yang Maha Esa”; “ALLAH Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat”; “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan”; “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”. (Al-Ikhlaas: 1-4)

B(ii) Maksudnya:
Engkaulah sahaja (Ya ALLAH) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (Al-Fatihah: 5)

B(iii) Maksudnya:
“Sesungguhnya Akulah ALLAH; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.” (Taha: 14)

B(iv) Maksudnya:
... Padahal Al-Masih sendiri berkata: “Wahai Bani Israil! Sembahlah ALLAH, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan ALLAH dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya ALLAH haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim”. (Al-Maa‘idah: 72)

C(i) Maksudnya:
Dan orang-orang Yahudi berkata: “Uzair ialah anak ALLAH” dan orang-orang Nasrani berkata: “Al-Masih ialah anak ALLAH”. Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga ALLAH binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran? (At-Taubah: 30)

C(ii) Maksudnya:
Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya ALLAH ialah Al-Masih Ibni Maryam” ... (Al-Maa‘idah: 72)

C(iii) Maksudnya:
Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya ALLAH ialah salah satu dari tiga tuhan”. Padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. ... (Al-Maa‘idah: 73)

C(iv) Maksudnya:
Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada ALLAH ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari ALLAH untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada ALLAH sehampir-hampirnya”, ... (Az-Zumar: 3)

Pengajaran dari ayat-ayat di atas:

  1. Al-Quran menegaskan bahawa manusia yang bukan Muslim/musyrik samada penyembah berhala ataupun orang-orang Yahudi dan Nasrani mengakui ALLAH adalah Pencipta, Pemilik, Pemelihara, Pengatur alam.
  2. Orang Muslim (Mukmin) wajib mengimani bahawa ALLAH adalah Tuhan (Rabb) bagi seluruh alam dan Dia juga ALLAH bagi seluruh manusia.
  3. Adalah menjadi kesalahan dan bercanggah dengan ajaran Islam sekiranya orang Muslim mendakwa/berkata/mempercayai bahawa ALLAH hanya Tuhan bagi orang Islam sahaja.
  4. Mempercayai ALLAH sebagai Tuhan (Rabb) seluruh alam, belum bererti menjadi Muslim/Mukmin.
  5. Menurut aqidah Islam, seseorang yang mengakui ALLAH sebagai Tuhan/Rabb Pencipta, Pemilik, Pemelihara, Pengatur alam; wajiblah mengimani bahawa ALLAH sahaja (yang Esa) ILAH yang wajib diibadati (“disembah” dalam Bahasa Melayu yang kurang tepat).
  6. Orang-orang musyrik termasuk Kristian dan Yahudi menyebut nama ALLAH dalam konteks kepercayaan mereka yang sesat atau bercanggah dengan aqidah tauhid.
  7. ALLAH mengutuk perbuatan mensekutukanNya dan memberi ancaman siksaan yang keras di hari Akhirat.
  8. Namun ancaman keras ALLAH terhadap golongan yang memesongkan kepercayaan aqidah tauhid itu tidak pula bererti bahawa umat Islam boleh melakukan paksaan atau kekerasan terhadap mereka kerana Islam agama dakwah, bukan agama paksaan, apalagi kekerasan.
  9. Hampir setiap kali kalimah ALLAH yang dipesongkan oleh golongan sesat itu, diiringi dengan penegasan dan penjelasan bahawa ALLAH Tuhan Yang Maha Esa (dari segi uluhiyah/ubudiyah).


Isu Kalimah ALLAH dan Implikasinya
Umum hanya mengetahui isu ini berbangkit setelah Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Puan Lau Bee Lan membenarkan Gereja Katolik menggunakan perkataan ALLAH dalam penerbitan mingguannya, Herald-The Catholic Weekly pada 31 Disember 2009. Sebenarnya isu ini sudah berbangkit semenjak Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan perintah larangan menggunakan perkataan ALLAH bagi penerbitan berkenaan pada Januari 2009 dan kemudiannya Ketua Paderi, Datuk Murphy Nicholas Xavier Pakiam mendapat kebenaran membawa isu ini ke mahkamah yang berakhir dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi membatalkan perintah KDN itu.

Dalam tempoh 3 minggu selepas keputusan penghakiman tersebut, pelbagai peristiwa berlaku di negara kita. Yang paling menarik perhatian dunia ialah peristiwa cubaan membakar beberapa gereja di Semenanjung dan Sarawak. Media on-line utama antarabangsa/luar negeri seperti CNN, BBC, IFP, Al-Jazeera, New York Times, Jakarta Post menggambarkan persepsi negatif terhadap Malaysia sebagai negara bermajoriti Muslim yang menindas penganut agama golongan minoriti khususnya Kristian yang mempunyai penganutnya kira-kira 9% berbanding dengan 60% penganut agama Islam. KDN terpaksa memanggil 96 wakil kedutaan asing di Kuala Lumpur hadir ke Putrajaya untuk diberi taklimat. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pergi ke London menyampaikan ucaptama di Centre for Islamic Studies, Oxford University atas tajuk “Islam and Critical Challenges in Multi-Religious Malaysia”.

Sikap Masyarakat Islam di Amerika
Masyarakat Islam di Amerika menjadi sasaran golongan propagandis Islamophobia yang bergerak hebat selepas peristiwa 11 September 2001. Mereka menjadikan isu penggunaan kalimah ALLAH di Malaysia bagi orang Kristian yang mendapat tentangan hebat dari orang Islam sebagai satu modal lagi untuk berhujah kononnya Islam agama terrorisma. Orang-orang Islam di Amerika terpaksa memberikan penjelasan bahawa persepsi mereka sedemikian itu adalah bercanggah dengan ajaran dan prinsip Islam sebagai agama dakwah dan sama sekali tidak pernah memaksa orang bukan Islam menganut Islam.

Council on American-Islamic Relations (CAIR) atau Majlis Perhubungan Islam-Amerika bukan sahaja memperhebatkan penerangan dan penjelasan mengenai isu berkenaan bagi menolak segala tohmahan-tohmahan terhadap Islam terutama komen-komen negatif yang disiar dalam akhbar on-line The New York Times, malah majlis tersebut telah melancarkan pungutan derma di kalangan orang Islam di Amerika untuk dana bagi membantu memperbaiki beberapa buah gereja yang menjadi mangsa isu kalimah ALLAH ini di Malaysia. Pengarah Eksekutif Kebangsaan CAIR, Nihad Awad berkata antara lain: American Muslims, as a symbol of their commitment to interfaith understanding and peaceful coexistence, will take the lead in helping to restore the damaged churches. Pungutan tabung derma tersebut akan disampaikan kepada Kedutaan Malaysia di Washington.

Sikap Berdolak-dalik Kerajaan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib berdolak-dalik. Mulanya beliau tidak membenarkan sebarang demo membantah keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan, lepas itu beliau berkata kerajaan tiada kuasa menghalang untuk rakyat Malaysia (orang Islam/terutamanya orang UMNO?) untuk menyatakan pandangan dan bantahan mereka. Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin memberi amaran akan menggunakan ISA sekiranya mana-mana pihak melakukan sesuatu yang mengancam keselamatan negara dalam isu ini. Beberapa demo dalam kawasan masjid di sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam diadakan pada Jumaat 8 Januari disertai oleh beberapa kumpulan kecil anjuran PEKIDA, ABIM, PKPIM, beberapa NGO Islam dan sudah pastinya orang-orang UMNO yang berselindung di sebalik badan NGO yang mereka dalangi. Antara yang menjadi mangsa adalah gambar Tok Guru Nik Aziz Nik Mat dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang mereka pijak-pijak. Malah antara pendemo di Shah Alam itu ada yang melaungkan “bakar gereja” dan “buang negeri terhadap Khalid Samad”.

Seperti biasalah, bila timbul ketegangan di antara orang Islam dan bukan Islam, pemimpin-pemimpin UMNO sentiasa memainkan peranan “lempar batu, sembunyi tangan”. Perdana Menteri berkata: “Jangan dengar cakap pembangkang yang menyalahkan pihak UMNO dan kerajaan sebagai punca ketegangan, terutama sekali jangan dengar cakap dari pemimpin PAS.” Kini isu berkenaan kelihatan reda sedikit kerana KDN telah berjaya menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi mengenainya dengan mendapat kebenaran menggantungkan keputusan tersebut dan menunggu keputusan Mahkamah Rayuan mendengar dan membuat penghakimannya. Bila kes ini akan didengar di mahkamah berkenaan, kita pun belum tahu.

Tiba-tiba sahaja meletup berita bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz dalam satu wawancara eksklusif dengan lima wartawan daripada Borneo Post, Utusan Borneo and Oriental Daily, berkata penganut Kristian di Sabah dan Sarawak tidak perlu bimbang berhubung isu tersebut kerana ia sudah menjadi tradisi mereka di sana dan mereka boleh terus menggunakannya. Tapi lain halnya di Semenanjung kerana perkataan Allah hanya mula diperkenalkan dalam penerbitan dan upacara sembahyang penganut Kristian beberapa tahun yang lalu. Belum ada komen dari Perdana Menteri dan Timbalannya atas pendirian Nazri ini kerana mereka masih berada di luar negara. Namun demikian Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Haji Wan Mohamad Bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz telah mengeluarkan kenyataan membantah pendapat Menteri di JPM itu. Setakat ini pendapat beliau belum jelas samada disokong atau sebaliknya oleh Menteri di JPM yang bertanggungjawab atas hal ehwal Islam, Mejar Jeneral (B) Dato’ Jamil Khir Baharom.

Pendirian PAS
PAS telah membuat pendirian yang jelas atas nama jemaah gerakan Islam. Lazimnya dalam isu seperti ini, gerakan Islam menjadi mangsa yang sering dikaitkan fahaman pelampau Islam atau terus dilabelkan sebagai “Islamic terrorist”. Dalam kes yang selari dengan isu apa yang dinamakan golongan pelampau, Presiden PAS Tuan Guru Haji Hadi pernah memfailkan saman terhadap sebuah akhbar di London yang mengaitkan nama beliau dengan kumpulan pendokong Al-Qaedah. Tuan Guru Haji Hadi menang dalam kes beliau dan berjaya membuktikan PAS bukan golongan ekstremis. Akhbar berkenaan terpaksa membayar tuntutan gantirugi beratus ribu pound. Namun pendirian PAS dalam isu kalimah ALLAH ini dibuat selari dengan prinsip Islam sebagai agama dakwah, pendirian PAS membuka mata golongan non-Muslim. Ketua Paderi Katolik Kuala Lumpur, Datuk Murphy Nicholas Xavier Pakiam bukan sahaja menyatakan kesediaan berdialog bagi mengelakkan dari perkara-perkara yang menimbulkan kebimbangan atau kekeliruan di kalangan orang Islam, malah memuji sikap PAS yang terbuka dan menunjukkan Islam sebagai agama yang mahukan keharmonian dan kedamaian di antara sesama manusia yang berbeza kepercayaan dan agama. Kesediaan PAS berdialog sama sekali tidak menjurus ke arah persetujuan bersama untuk mewujudkan Suruhanjaya Antara Agama (IFCM) yang memang dibantah oleh PAS tiga tahun dahulu kerana dialog bererti PAS berada di satu pihak dan kumpulan agama lain di satu pihak. Manalaka Suruhanjaya Antara Agama bermakna duduk dalam satu badan iaitu suruhanjaya.

Pendirian PAS berpegang kepada fakta penggunaan perkataan ALLAH berpandukan kepada tiga kategori lafaz ALLAH yang disebut dalam Al-Quran berulang kali sejumlah 2699 kali kesemuanya. Tidak ada keterangan nas yang qat‘ie (putus/tegas) melarang penggunaan kalimah ALLAH bagi orang bukan Islam. Yang dilarang dan menyebabkan orang yang menyebutnya itu kafir samada mereka itu musyrik penyembah berhala atau Yahudi dan Nasrani adalah disebabkan mereka menukar konsep tauhid kepada syirik. Memang tepat apabila PAS bersedia berdialog dengan mana-mana pihak pun supaya lafaz ALLAH tidak menimbulkan penghinaan ke atas kalimah suci “lafz al-jalalah” itu seperti umpamanya meletakkan kalimah ALLAH pada patung Jesus (Isa Al-Masih) atau Mary (Maryam). PAS sudah memulakan langkah dakwahnya apabila Dr Mujahid Yusuf Rawa, Ahli Parlimen Parit Buntar merangkap AJK PAS Pusat bersama beberapa orang rakannya dari pimpinan PAS Pulau Pinang mempelopori suatu majlis dialog dengan ratusan penganut agama Kristian di sebuah dewan Gereja Katolik di Island Glades, Pulau Pinang. Beliau juga berdialog dengan paderi Kristian di Parit Buntar dan Bagan Serai.

Pengalaman dan Dakwah Saya
Saya sendiri dalam keadaan serangan batuk sejak 3 minggu lalu telahpun menjadikan isu ini sebagai tajuk kuliah di beberapa surau dan masjid di Lembah Klang dan di kawasan Taiping. Bermula dengan kuliah tetap saya pada setiap hari Ahad, saya membawa tajuk ini pada Ahad 3 Januari di Balai Kuliyah Tasawwur Islami, Simpang Empat Semanggol. Memang kuliah saya ditujukan kepada masyarakat Islam sahaja bagi menjelaskan perkara ini dari perspektif Islam dan dakwahnya. Saya menjelaskan bagaimana kita sewajarnya mengambil pendirian yang tepat bagi menggambarkan Islam sebagai agama ALLAH yang benar, yang adil, yang risalahnya untuk seluruh umat manusia bahkan rahmat untuk seluruh alam. Pendirian yang tepat ini akan membawa manusia dekat kepada Islam dan ALLAH sahajalah kemudian memberikan petunjukNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya (Al-Quran, surah An-Nahli, 16:125).

Bagaimanapun mengenai dialog, sebenarnya saya telah melaksanakannya sejak lebih 10 tahun yang lalu apabila saya menerbitkan sebuah buku berjodol “Mencari Kebenaran: Suatu Dialog Islam-Kristian”. Buku tersebut diterbitkan dalam lingkungan 10,000 naskhah dan saya edarkan melalui kuliah dan ceramah saya di seluruh Semenanjung, namun dalam tempoh 4 tahun, buku tersebut masih tidak habis walaupun hanya berharga RM2. Akhirnya pada 1989, buku itu saya tukar menjadi sebuah komik dengan tajuk yang sama. Saya dipertemukan ALLAH di Masjid Kolej Islam Malaya, Seksyen 16, Petaling Jaya dengan pelukis komik yang dikenal dengan nama samarannya Rossem. Saudara Rossem, nama sebenarnya Rosidi Semail menyiapkan lukisannya untuk membantu aktiviti dakwah saya melalui Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) yang saya terajui pimpinannya selama kira-kira 17 tahun. Saya sendiri mencetaknya kerana saya ketika itu mempunyai syarikat percetakan yang dikenal dengan nama Perusahaan Litografik Usrah Sdn Bhd. Alhamdulillah lebih 100,000 naskhah dapat saya cetak dan diedarkan sampai ke Sabah dan Sarawak.

Pada mulanya buku komik tersebut mendapat bantahan daripada seorang paderi Gereja Katholik Kuala Lumpur ketika itu (1989). Beliau menulis surat kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri (ketika itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dengan menghantarkan salinannya kepada saya (malangnya surat tersebut tiada lagi dalam simpanan saya), meminta supaya komik tersebut diharamkan oleh KDN dan mengambil tindakan terhadap saya dan PUM yang saya pimpin. Bagaimanapun saya menulis surat kepada paderi tersebut dengan salinannya kepada KDN mengajak paderi tersebut berdialog dengan saya atas isu “ketuhanan Jesus” atau yang seumpamanya mengenai Islam dan Kristian. Surat saya tidak berjawab dan Alhamdulillah buku komik tersebut banyak tersebar dan saya mendapat maklum balas sebilangan non-Muslim yang berpeluang membaca komik itu membawa mereka memeluk agama Islam. Paling terkini 3 minggu lepas, seorang pendakwah muda di Taiping memberitahu saya bahawa beliau telah memberikan 2 buah buku komik tersebut kepada kenalannya yang bukan Muslim kira-kira 3 bulan lalu dan kedua-duanya telah memeluk Islam (Alhamdulillah). Saya berkata kita wajib menyahut seruan ALLAH supaya berdialog dengan “ahlil kitab” iaitu Yahudi dan Kristian (Al-Quran, surah Al-Ankabuut, 29:46).

Dalam posting saya seterusnya mengenai isu ini saya akan jelas dan huraikan seperti berikut:
  1. Sikap kerajaan yang double-standard dan berdolak-dalik dalam isu yang melibatkan kepentingan Islam dan umat Islam di negara ini.
  2. Pendedahan sikap UMNO yang bermain dengan isu Melayu dan Islam bila berhadapan dengan konflik atau pertentangan antara penganut agama bukan Islam dan umat Islam.
  3. PAS sebagai satu-satunya wadah perjuangan Islam sentiasa istiqamah pada perkara usuli (dasar) dan boleh berubah dari segi uslub dan strategi.
  4. Penganut agama bukan Islam khususnya Kristian perlu sentiasa berdialog dengan golongan pendakwah dan gerakan Islam.
Bersambung...


Baca lagi...

Rabu, Disember 23, 2009

UMNO Perak Menderhaka Sultan Lagi

Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ

الظَّنِّ إِثْمٌ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا أَيُحِبُّ

أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ

إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Al-Hujuraat: 12)

DYTM Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbudin Shah
Yang Di Pertua Majlis Agama Islam Perak


Pura-pura Taat
UMNO yang berpura-pura taat setia menjunjung titah Raja dengan slogan “Daulat Tuanku” sekali lagi menzahirkan sifat derhakanya kepada DYMM Sultan Perak, apabila beria-ia membantah perlantikan AJK kariah (masjid) negeri Perak Darul Ridzuan bagi sessi 2009-2012.

UMNO yang terlucut kuasanya di negeri Perak pada 8 Mac 2008, dan kembali berkuasa melalui rampasan kuasa pada 5 Februari 2009, tidak pernah berubah perangai dengan sifat tamaknya untuk membolot kuasa di semua bidang dan ruang, hatta di bidang pentadbiran kariah masjid di seluruh negeri Perak yang tertakluk di bawah bidang kuasa Sultan. Sudahlah ketua-ketua kampung yang dipilih dengan suara rakyat secara demokrasi semasa pentadbiran Pakatan Rakyat (PR), kesemua mereka dipecat sebaik sahaja Zambry menjadi MB kerajaan rampasan kuasa UMNO.

Kini AJK kariah yang telah dipersetujui perlantikannnya bagi seluruh negeri Perak oleh persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak, hendak dirampas kuasa pula oleh UMNO, terutamanya di beberapa daerah pentadbiran agama seperti Slim River, Sungai Siput, Kuala Kangsar, Lenggong dan Bagan Serai.

Jahil Perlembagaan
Saya tak fikir pemimpin-pemimpin UMNO peringkat Bahagian dan Negeri begitu jahil hingga tidak mengetahui langsung Perlembagaan Negeri Perak yang memperuntukan DYMM Sultan adalah ketua agama Islam negeri dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak, dipengerusikan sendiri oleh DYTM Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbudin Shah. Zambry sendiri menjadi ahli Majlis itu bersama beberapa orang besar istana dan pegawai-pegawai kanan kerajaan termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang.

Zambry sebagai MB sepatutnya menasihati anak buahnya supaya tidak membantah keputusan yang telah dibuat oleh persidangan Majlis itu.

Akan tetapi beliau tidak bersuara mengingatkan orang-orang UMNO, bahkan dia sepatutnya memberi amaran kepada mereka bahawa perbuatan orang-orang UMNO membantah perlantikan AJK kariah yang telah diluluskan oleh Majlis Agama Islam yang dipengerusikan oleh DYTM Raja Muda itu adalah bererti menderhaka kepada Sultan, kerana Tuanku Raja Dr Nazrin Shah adalah mewakili Paduka Baginda Sultan Azlan Muhibbudin Shah yang menjadi ketua agama Islam Negeri Perak Darul Ridzuan.

Langgar Undang-undang
Sebenarnya UMNO sejak lebih 50 tahun berkuasa tidak pernah mematuhi kehendak Enakmen atau Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Negeri yang mereka buat sendiri dalam Dewan Undangan semasa mereka berkuasa. Undang-undang itu dibuat hanya untuk menghalang pihak-pihak lain, sekiranya kedudukan kuasa mereka boleh terjejas. Zambry MB UMNO itu tahu bahawa senarai AJK kariah yang dikemukakan partinya tidak dibuat berdasarkan Kaedah-kaedah J/kuasa Kariah 1998, iaitu mengikut kaedah 3 (1) yang memperuntukkan bahawa Pegawai Tadbir Agama (PTA) dan Penghulu, setelah berunding dengan Orang Besar Jajahan (OBJ) hendaklah mencadangkan kepada Majlis, melalui Pengerusi J/kuasa Agama Islam (kini Zambry sendiri penjawatnya) senarai nama cadangan AJK kariah bagi jawatan yang dinyatakan dalam sub-kaedah (2) yang berkaitan.

UMNO selama-lamanya menyalahguna kuasa dengan mengemukakan senarai AJK kariahnya sendiri tanpa melalui PTA dan Penghulu apatah lagi OBJ, padahal UMNO pun tahu bahawa sebahagian mereka yang berkenaan itu tak kurang juga semangat UMNOnya, namun yang penting bagi UMNO bersikap: “Pergi jahanamlah” dengan prosedur atau kaedah-kaedah perundangan itu. Sikap UMNO sedemikian itu mereka cuba tunjukkan juga pada masa kerajaan PR dahulu hingga menyebabkan senarai AJK kariah yang dikemukakan oleh rakyat yang mewakili pelbagai kelompok masyarakat dan aliran politik tidak sempat diluluskan oleh Majlis Agama Islam kerana hendak melayani kerenah UMNO.

Merujuk kepada kenyataan rasmi mengenai permasalahan perlantikan AJK kariah berkenaan yang dikeluarkan oleh pengarah Jabatan Agama Islam Perak Dato’ Sheikh Mohd Nor Mansor Al-Hafiz bertarikh 21 Disember 2009, jelaslah membuktikan bahawa UMNO Perak cuba hendak menimbulkan permasalahan dan fitnah terhadap pentadbiran Agama Islam Perak khususnya terhadap PTA yang kononnya memandai-mandai menukarkan nama-nama dalam senarai AJK yang telah diluluskan dengan menggantikannya dengan nama-nama baru yang tidak disenaraikan. Padahal apa yang sebenarnya berlaku bahawa senarai yang dikemukakan UMNO tidak memenuhi syarat-syarat kelayakan, maka kaedah-kaedah Jawatankuasa Kariah 1998 digunakan bagi mengemukakan senarai nama cadangan AJK kariah yang kemudian diluluskan oleh Majlis.

Memohon Ampun
Bagi menyelesaikan masalah yang dibangkitkan oleh bantahan UMNO Perak dan tuduhan yang tidak berasas ini, Zambry selaku MB UMNO dan Kerajaan BN hendaklah mengeluarkan kenyataan mempertahankan keputusan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak mengenai perkara ini dan menyeru orang-orang UMNO supaya memohon ampun kepada DYMM Sultan Perak dan DYTM Raja Muda Perak atas perbuatan derhaka mereka itu dan janganlah lagi sibuk merebutkan jawatan AJK kariah atau jawatan pegawai-pegawai masjid seperti jawatan imam dan bilal. Zambry sendiri patut sedar dan menyedarkan orang-orang UMNO bahawa amalan mempertikaikan keputusan Majlis dalam perkara-perkara seperti ini boleh memesongkan fokus atau tumpuan Majlis daripada tugasnya yang lebih utama seperti perancangan memakmurkan masjid-masjid itu dan mempertingkatkan kerja-kerja dakwah terutama dalam menghadapi dan menangani gejala sosial dan murtad di kalangan masyarakat Islam di negeri Perak.

Dalam isu yang terang-terang mempertikai kuasa mutlak DYMM Sultan seperti ini SS Mufti Perak Tan Sri Dato’ Seri Hj Harussani Hj Zakaria sewajarnya orang yang pertama mendokong dan mempertahankannya. Setakat ini nampaknya belum kedengaran suaranya yang selalunya amat peka dan cepat memberi kenyataan dalam isu-isu yang melibatkan pakatan politik yang tak serasi dengan UMNO/BN. Beliaulah orang yang sepatutnya menasihatkan UMNO supaya jangan menghabiskan masa berebut-rebut jawatan AJK kariah dan tidak mahu pula berebut-rebut datang ke masjid untuk berjamaah atau mengikuti kuliah pengajian. Tan Sri Dato’ Mufti Perak itu tentu bersetuju dengan saranan ini kerana beliau sendiri pernah memberitahu saya yang beliau sendiri pernah dihalang menyampaikan kuliah pengajian di sebuah masjid di kawasan Ipoh yang AJKnya terdiri dari orang-orang UMNO yang menganggap masjid itu sebagai hak mereka.


Baca lagi...

Rabu, November 04, 2009

Ulama Tersepit Di Gelanggang Politik - Kata Datuk Mohd Nakhaie Ahmad (Bhg. 2)

Firman Allah:
وَأَطِيعُواْ اللّهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ وَاحْذَرُواْ فَإِن تَوَلَّيْتُمْ

فَاعْلَمُواْ أَنَّمَا عَلَى رَسُولِنَا الْبَلاَغُ الْمُبِينُ

Maksudnya:
Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan RasulNya). Oleh itu, jika kamu berpaling (enggan menurut apa yang diperintahkan itu), maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata. (Al-Maidah: 92)


Sambungan dari Bahagian 1.

Khabar Angin
Bagaimanapun kira-kira dua tahun kemudian, saya terkejut bila bertiup khabar angin yang Ustaz Nakhaie akan meninggalkan PAS dan menyertai UMNO. Pada suatu hari dalam suatu mesyuarat pegawai-pegawai JAKIM, seorang pegawai yang duduk di sebelah saya berbisik mengatakan Nakhaie akan masuk UMNO dan akan dilantik sebagai Timbalan Menteri (Hal Ehwal Islam). Sehari dua selepas itu, beberapa orang pegawai JAKIM mengucapkan tahniah kepada Ustazah Rusmiyati. Beliau tidak memberi komen tetapi tersenyum simpul mendengar ucapan itu. Saya pada mulanya agak sukar mempercayai khabar angin itu walaupun orang yang pertama membawa berita itu kepada saya adalah seorang yang rapat dengan Datuk Dr Yusuf Noor (kini Tan Sri), Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Beliau memang seorang pegawai yang pro-UMNO dan kebetulan berasal dari Terengganu.

Pertemuan di Rumah Saya
Bagaimanapun, beberapa hari selepas tersebar khabar angin itu, Ustazah Rusmiyati menyampaikan hasrat Nakhaie untuk berjumpa dan meminta pandangan saya. Saya pun bersetuju dan esok harinya, Nakhaie dan Ustazah Rusmiyati sampailah ke rumah saya di Kampung Tunku, Petaling Jaya. Mereka datang selepas waktu Maghrib dan berada di rumah saya lebih satu jam. Ustaz Nakhaie menerangkan tujuannya bertemu dengan saya dan menggambarkan bahawa beliau tidak berminat lagi untuk berada di dalam PAS terutama kerana katanya, PAS tidak akan mencapai kemenangan di dalam pilihanraya umum yang akan diadakan nanti. Beliau yakin UMNO akan mencapai kemenangan besar dan orang Melayu mesti bersatu. Berbagai-bagai lagilah alasannya untuk meninggalkan PAS yang didokongnya hampir 20 tahun. Selepas mendengar luahan Ustaz Nakhaie itu, saya tunjukkan tajuk utama akhbar Harakah keluaran beberapa minggu sebelum itu di mana Ustaz Nakhaie menghentam Dr Mahathir. Ketika itu pimpinan Harakah diterajui oleh Nakhaie. Saya bertanya: "Ini macamana, enta baru saja hentam Dr Mahathir. Sekarang dah nak bersama dia pula?" Dia hanya tersenyum dan tidak memberikan jawapan. Kami hanya bertemu secara empat mata kerana Ustazah Rusmiyati duduk di ruang tamu lain dilayani oleh isteri saya (Allahyarhamha Hajjah Fatimah Maimunah).

Ketika mereka hendak pulang, barulah isterinya bersama kami dan ketika itulah saya menyerahkan satu sampul surat berwarna hijau yang kandungannya merupakan sepuluh pesanan saya kepada saudara Anwar Ibrahim (Datuk Seri) ketika beliau mahu meninggalkan ABIM dan menyertai UMNO pada 1982 tetapi surat itu diserahkan balik kepada saya semula kerana kandungannya telah saya sebutkan satu-persatu kepada Anwar dalam pertemuan empat mata di rumah beliau di Subang Jaya ketika itu. Saya beritahu Nakhaie: "Ini surat 10 wasiat ana kepada Anwar Ibrahim lebihkurang 7 tahun dulu. Balik nanti, enta baca baik-baik dan kemudian pulangkan balik kepada ana." Setelah mengambil surat itu, Nakhaie menyerahkan surat itu kepada isterinya di hadapan saya. Saya tidak pasti samada surat itu dibaca oleh Nakhaie, yang pasti surat itu tidak dikembalikan kepada saya. Ustaz Nakhaie dan isterinya memberi alasan mereka tidak dapat menemui surat itu, bahkan Nakhaie pada mulanya semacam meragui ada menerima surat tersebut. Tapi isterinya mengakui yang mereka ada menerima surat itu bila hendak keluar meninggalkan rumah kami.

Saya masih teringat selepas melangkah keluar dari pintu hadapan rumah saya, Ustaz Nakhaie berkata: "Nanti kalau kami masuk UMNO, jangan pula tak tegur kami ..." Saya dan arwah isteri saya tersenyum mendengar kata-katanya itu, lalu saya jawab: "Jadi sahlah enta ni nak masuk UMNO?" Dia hanya tersenyum mendengar pertanyaan saya. Walhal semasa perbualan kami pada malam tu, saya meminta beliau supaya seboleh-bolehnya jangan menyertai UMNO. Kalau pun beliau tidak dapat lagi bersama dengan PAS, bergeraklah dalam NGO, malah saya menawarkan pimpinan Persatuan Ulama (PUM) kepada beliau.

Keluar PAS, Masuk UMNO
Beberapa hari selepas pertemuan itu, tersiarlah dalam media arus perdana cetak dan elektronik, gambar Ustaz Nakhaie bersama Datuk Yusuf Noor mengumumkan penyertaannya dalam UMNO dan meninggalkan PAS. Dari saat itulah Nakhaie mulai tersepit di gelanggang politik seperti yang beliau gambarkan dalam tulisannya seperti tajuk di atas. Saya katakan demikian kerana semasa dalam PAS, walaupun beliau berbeza pendapat dengan setengah pimpinan yang lain, namun peribadinya sebagai seorang ulama, kepimpinannya masih diiktiraf sehingga beliau memenangi salah satu jawatan Naib Presiden. Ketika dalam PASlah beliau memenangi kawasan Parlimen Baling, manakala apabila menyertai UMNO, nak jadi calon di kawasan yang sama pun ditolak dan tersepit di antara Datuk Seri Abdullah Badawi (sekarang Tun) dan Dr Mashitah Ibrahim.

Sebenarnya ketika mula melangkah menyertai UMNO, Nakhaie sudah tersepit di antara dua orang pemimpin UMNO yang pernah menjadi sahabatnya. Kedua-dua pemimpin tersebut adalah orang yang dibawa masuk ke dalam UMNO oleh Dr Mahathir, mereka ialah Datuk Yusuf Noor dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dr Yusuf Noor rakan sealiran lulusan Azhar kepada Nakhaie, manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim bekas Presiden ABIM yang pernah Nakhaie menyertainya. Keadaan Nakhaie terus tersepit dan tertekan bila Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Encik Ghafar Baba (Al-Marhum Tun) bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO, sedangkan Datuk Yusuf Noor memihak kepada Ghafar Baba. Dalam pertandingan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menang.

Benar-benar Tersepit
Nakhaie benar-benar tersepit apabila Datuk Yusuf Noor tidak dapat memberikan sebarang jawatan dalam kerajaan. Kononnya nak dilantik menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, sebesar habuk pun dia tak nampak. Malah apa yang terjadi Ustaz Nakhaie terpaksa turun padang berceramah di seluruh negara dan diwar-warkan kononnya beliau Pegawai Khas Pusat Islam (panggilan popular JAKIM ketika itu). Akhirnya Yusuf Noor mengarahkan supaya diwujudkan satu jawatan kontrak untuk Ustaz Nakhaie. Oleh kerana jawatan yang boleh diwujudkan di Bahagian Penyelidikan, sayalah yang mengambil tanggungjawab melaksanakan arahan tersebut kerana saya ketika itu Pengarah Pusat Penyelidikan Islam. Apabila jawatan tersebut ditawarkan kepada Nakhaie, kami tidak menerima sebarang jawapan yang beliau bersetuju menerima tawaran tersebut.

Bila dimaklumkan kepada Datuk Yusuf Noor dalam satu mesyuarat, respon beliau lebihkurang berbunyi: "Kita menawarkan jawatan yang kita boleh beri. Bukan memberikan jawatan yang dia hendak." Maka berakhirlah kisah jawatan untuk Nakhaie. Akhirnya dalam keadaan tersepit itu, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Penerangan UMNO. Dengan perlantikan itu maka di dalam parti pun beliau tersepit lagi di bawah seorang Ketua Penerangan UMNO yang terkenal dengan sifat "gedebe"nya. Harapan Nakhaie sekiranya memegang jawatan Timbalan Ketua Penerangan, dapatlah duduk dalam Majlis Tertinggi UMNO dan bolehlah mengeluarkan isi mindanya untuk berdiri sama tinggi dengan Anwar Ibrahim dan Yusuf Noor dalam mendokong Dr Mahathir untuk melaksanakan penerapan nilai Islam Dr Mahathir yang amat dikagumi Nakhaie.

Terus Dirundung Malang
Ustaz Nakhaie terus dirundung malang apabila kalah untuk merebut jawatan Ketua Bahagian UMNO Baling dan seterusnya terpaksa melupakan niat untuk menjadi calon Ahli Parlimen Baling walaupun telah turun berkempen sebelum senarai nama-nama calon diumumkan, apabila ternyata kemudiannya Dr Mashitah calon yang dipilih partinya. Lebih mengecewakan lagi perasaan Nakhaie apabila dia hanya mendapat satu pencalonan sahaja untuk bertanding merebut jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pada tahun 2000. Semenjak itu nama Nakhaie terus dilupakan oleh UMNO tetapi Nakhaie terus menjiwai UMNO untuk perpaduan Melayu, kononnya. Dalam kehidupan peribadi sehariannya pun Nakhaie tersepit di tengah-tengah adik-beradik dan ibunya yang merupakan pendokong kuat PAS. Abangnya Ustaz Zawawi ialah Ketua Dewan Ulama PAS Kedah dan adiknya Allahyarham Ustaz Suhaimi orang kuat Pemuda PAS Kedah, bahkan adiknya yang telah bersara dari Angkatan Tentera sebagai Ketua KAGAT iaitu Brigadier Jeneral (B) Najmi, setahu saya pun beliau adalah seorang pendokong PAS. Lebih unik lagi yang menjadikan Nakhaie tersepit dalam kehidupan sehariannya kerana rumah beliau tersepit di tengah-tengah di antara Markaz Tarbiyah, rumah Ustaz Hassan Syukri di sebelah kanan rumahnya dan rumah orang-orang PAS di sebelah kirinya.

Namun demikian mulai tahun 2000 Ustaz Nakhaie diberi jawatan oleh Dr Mahathir apabila dilantik sebagai Yang DiPertua YADIM. Dengan jawatan itu beliau mendapat gaji yang lumayan dan beberapa kemudahan. Tidak lama kemudian beliau dianugerahkan gelaran Datuk. Sebelum itu pernah juga beliau memegang jawatan Ketua Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Kementerian Penerangan, tetapi tidak lama kemudian beliau meninggalkan jawatan itu. Mungkin kerana tersepit teruk di bawah Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Mohamed Rahmat.

Apa Dia Buat di YADIM?
Sepanjang Datuk Nakhaie Ahmad memimpin YADIM ketika zaman Mahathir, tidak nampak pun apa yang dibuat oleh YADIM untuk meningkatkan program penerapan nilai Islam Dr Mahathir yang amat dikaguminya. Yang lebih mengecewakan apabila Dr Mahathir mempertikai/mengkritik hukum-hakam Islam yang fundamental, tak pernah terdengar pun suara Datuk Nakhaie membuat penjelasan, apatah lagi istidrak (pembetulan) terhadap kenyataan Dr Mahathir. Saya tidak pernah dengar Ustaz Nakhaie atau YADIM mengeluarkan pandangannya terhadap kumpulan Jamaah Al-Quran Malaysia (JAM) yang diketuai oleh Dr Kassim Ahmad yang secara terang-terang menolak hadith. Dr Mahathir pernah membuat kenyataan seolah-olah membela kumpulan ini apabila beliau menegur keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang memutuskan bahawa sesiapa yang menolak hadith secara total adalah sesat dan membawa kepada murtad. Sehingga ke hari ini JAM terus bebas bergerak.

Di zaman Abdullah Badawi YADIM diamanahkan untuk mendakwahkan Islam Hadhari program Abdullah Ahmad Badawi. Dan diakui YADIM berperanan melaksanakan tugas yang diamanahkan tetapi konsep Islam Hadhari bukan sahaja terus tidak dapat difahami oleh rakyat, bahkan juga oleh pegawai-pegawai kerajaan sendiri yang sentiasa dipaksa untuk mengikuti pelbagai kursus mengenai Islam Hadhari di mana Datuk Nakhaie sering membentang kertas mindanya. Saya difahamkan idea melahirkan Islam Hadhari itu sebahagiannya adalah cetusan minda Ustaz Nakhaie yang disalurkan kepada Dr Abdul Hamid Othman (Tan Sri), Penasihat Agama kepada Perdana Menteri yang bertaraf Menteri Kabinet. Mungkin Ustaz Nakhaie berasa "syok sendiri" apabila konsep Islam Hadhari itu sentiasa diwar-warkan oleh media arus perdana, telah dapat sambutan dari berbagai-bagai negara Islam. Kononnya mereka hendak mencontohi Islam Hadhari dilaksanakan di negara mereka masing-masing.

Angkara 1MALAYSIA Najib
Tiba-tiba Datuk Seri Abdullah Badawi berundur secara terpaksa yang pada zahirnya bersebab dari kritikan-kritikan Dr Mahathir. Nakhaie nampaknya tersepit di antara Dr Mahathir dan Abdullah Ahmad Badawi. Nakhaie faham bahawa Dr Mahathir mahukan Najib Tun Razak untuk mengambil tempat Abdullah. Bila saja Najib menggantikan Abdullah beliau terus mengumumkan slogan konsep kepimpinan 1MALAYSIA. Ini bererti tamatlah riwayat Islam Hadhari Abdullah Badawi. Badawi pula dilantik oleh Najib menjadi Pengerusi Institut Kefahaman Islam (IKIM). Kalau Islam Hadhari hendak dihidupkan terus, cukuplah IKIM menjadi talian hayatnya. Najib melihat YADIM tidak perlu lagilah memikul tugas untuk menyelamatkan Islam Hadhari kerana beliau tidak mahu lagi dalam kepimpinannya dihubungkaitkan dengan Perdana Menteri yang digantikannya. Dengan slogan 1MALAYSIA Najib menamatkan perkhidmatan Datuk Ahmad Nakhaie sebagai Yang DiPertua YADIM mulai 1 November lepas. Najib menawarkan jawatan tersebut kepada Dr Asri Zainal Abidin, bekas Mufti Perlis, seorang tokoh ilmuan Islam yang sedang popular dengan pandangan dan mindanya yang kerap mengundang kontroversi. Apakah sebenarnya Najib mahu Dr Asri Zainal Abidin atau hanya sekadar untuk membuat Datuk Mohd Nakhaie terus tersepit? Hari ini Datuk Nakhaie sedang berhadapan dengan Dr Asri yang membangkitkan apa yang dikatakannya sebagai perkara-perkara yang tidak jelas dalam pentadbiran kewangan YADIM semasa di bawah pimpinan Nakhaie.

Akhir sekali, saya nak menegaskan bahawa ulama di dalam gelanggang politik Islam tidak pernah tersepit selama perjuangannya berdasarkan Islam dan berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Hanya yang akan tersepit apabila perjuangan seorang ulama itu tidak jelas dasarnya, Islamkah, nasionalismekah, yang sebenar menjadi dasar. Kalau nasionalisme menjadi dasar, dia boleh berubah-ubah mengikut rentak dan gendang politik kerana matlamatnya hanya kemenangan di dunia. Inilah yang berlaku kepada ulama-ulama di dalam UMNO walaupun berkelulusan Ijazah PhD dalam bidang syariah, usuluddin, tasawwuf, Al-Quran, hadith, kesemuanya akan tersepit dan akhirnya tersingkir. Lihatlah hari ini, mana ada dalam Majlis Tertinggi UMNO yang berkelulusan agama. Satu demi satu tersingkir. Tunggulah selepas Brigadier Jeneral (B) Jamil Khir Baharom yang diberi lesen menjadi Menteri dengan jawatan Senator, berapa lama dia boleh dipakai oleh Najib kerana dalam parti UMNO tiada apa-apa jawatan.

Menyentuh tentang nasihat Nakhaie kepada Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak dalam tulisannya yang berbunyi: "Tan Sri! Sebenarnya orang-orang politik ada pelbagai alasan untuk membenarkan tindakan mereka atau memperbetulkan kata-kata mereka yang salah. Bahkan mereka juga mempunyai banyak cara dan kaedah untuk meletakkan kesalahan yang mereka lakukan ke atas bahu musuh-musuh mereka. ..." Saya suka hendak memberitahu Nakhaie bahawa mufti tersebut beria-ria menemui pimpinan PAS hingga ke Kelantan adalah kerana Sahibus Samahah itu seorang ulama politik yang pro-UMNO. Beliau memberitahu saya apa yang dilakukannya itu adalah atas permintaan (baca: arahan) Datuk Seri DiRaja Tajol Rosli, mantan MB Perak yang beliau bernaung di bawahnya. Jadi usahanya itu adalah merupakan tindak-tanduk politik UMNO. Walaupun tujuannya untuk menggabungkan UMNO dengan PAS dalam kerajaan Perak tapi dasar tujuannya adalah bermula dengan Melayu sedangkan perjuangan PAS bermula dengan Islam. Jadi yang tersepit antara Melayu dan Islam ialah ulama yang sefaham dan seangkatan serta sewaktu dengan orang seperti Datuk Mohd Nakhaie Ahmad. Demikianlah respon saya atas tulisan Datuk Mohd Nakhaie di dalam majalah MM keluaran terakhir yang beliau bersama YADIM tapi tidak menjadi penaungnya lagi dalam keluaran Oktober 2009 ini.

Demikianlah adanya, kalau ada kesilapan dalam fakta yang saya tuliskan dipohon maaf kepada yang berkenaan.


Baca lagi...

Selasa, November 03, 2009

Ulama Tersepit Di Gelanggang Politik - Kata Datuk Mohd Nakhaie Ahmad (Bhg. 1)

Firman Allah:
إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

أُوْلَئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ خَالِدِينَ فِيهَا جَزَاء بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya:
Sesungguhnya orang-orang yang berkata, "Pemelihara kami Allah", dan kemudian meneguhkan, maka tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih. Mereka itulah orang-orang Taman (Jannah), di dalamnya tinggal selama-lamanya, sebagai balasan ke atas apa yang mereka buat. (Al-Ahqaf: 13-14)


Majalah Milenia Muslim (MM) keluaran Oktober 2009 membangkitkan lagi krisis politik di Perak. Mungkin Editor majalah tersebut dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang berkerjasama menerbitkannya tidak begitu selesa dengan jawapan dan penjelasan saya mengenai isu tersebut seperti yang tersiar dalam keluarannya pada bulan Ogos 2009. Secara jelas saya menolak dakwaan Tan Sri (ketika itu Datuk Seri) Haji Harussani Zakaria, Mufti Negeri Perak, yang kononnya krisis tersebut berpunca dari sikap saya. Mufti tersebut dalam wawancaranya dengan majalah MM keluaran Mei 2009 mendakwa kononnya Tok Guru Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Haji Hadi Awang bersetuju PAS membentuk kerajaan bersama UMNO di Perak. Hanya saya yang ketika itu selaku Pesuruhjaya PAS Perak yang menolak cadangan itu.

Penjelasan saya sebahagiannya ditapis dan tidak disiarkan tetapi saya siarkan dalam blog saya. Bahkan saya dedahkan perbuatan mungkir janji pihak Editor mengenai beberapa syarat yang dipersetujui untuk menemubual saya. Atas persetujuan kepada syarat-syarat itulah saya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap majalah MM yang membuat tulisan berunsur fitnah terhadap saya. Saya percaya kerana tidak senang dengan pendedahan dalam blog saya menyebabkan Datuk Mohd Nakhaie Ahmad menulis, samada dengan maksud membela Tan Sri Harussani atau pun cuba mempertahankan majalah MM yang di bawah naungannya, sebelum beliau tamat perkhidmatannya selaku Pengarah YADIM pada 31 Oktober yang lalu.

Saya masih ingat pada suatu hari dalam bulan Jun lalu, Datuk Nakhaie dalam perbualan telefon dengan saya begitu mesra menyatakan persetujuannya supaya majalah MM menemubual saya untuk menjawab segala perkara yang berkaitan yang dibangkitkan oleh Tan Sri Harussani. Akan tetapi ternyata beliau mencari peluang untuk menzahirkan isi mindanya dalam "Kembara Minda" majalah tersebut. Saya sebenarnya memang tidak gemar hendak mendedahkan cerita peribadi seseorang, namun untuk menjustifikasikan pendapat dan memberi hujah dalam menegakkan kebenaran, terpaksalah cerita peribadi Datuk Nakhaie saya ambil sebagai fakta untuk dinilai sejauh mana tulisan dan pendapat beliau boleh diterimapakai, kerana beliau sendiri adalah seorang yang boleh digelar sebagai ulama.

Datuk Mohd Nakhaie dahulunya dikenali sebagai Ustaz Nakhaie. Beliau berkelulusan dari Universiti Al-Azhar dan Darul Ulum, Kaherah, Mesir. Beliau pernah bertugas sebagai Penasihat Agama ITM (kini UiTM), Shah Alam tetapi kemudiannya meninggalkan jawatan tersebut. Setahu saya beliau pernah menjadi ahli jawatankuasa Biro Agama UMNO yang diketuai oleh Datuk Wan Abdul Kadir Ismail sebelum menyertai PAS. Beliau juga pernah aktif dalam ABIM dan pernah ditahan beberapa hari di bawah ISA kerana terlibat dalam demonstrasi isu Baling 1974. Beliau menyertai PAS pada akhir tahun 70an dan kemudian meninggalkan PAS pada penghujung 1980an. Beliau pernah menjawat jawatan Setiausaha Agung PAS dan menjadi Naib Presiden semasa keluar PAS dan menyertai UMNO.

Jubah dan Serban Ustaz Nakhaie
Setahu saya Ustaz Nakhaie semasa dalam PAS dulu sering memakai jubah, berkopiah merah berlilit putih (serban ala Syeikh Azhar) seperti yang saya sentiasa memakainya. Sebaik sahaja beliau meninggalkan PAS, Ustaz Nakhaie menanggalkan serban Azhar dan sekali-sekala bersongkok hitam tetapi kebiasaannya tiada bersongkok. Sebab itu tidak hairanlah apabila beliau menulis: "Orang politik bersilat mengikut rentak dan gendang politik. Serban dan jubah orang politik tidak melambangkan kelurusan. Perkataan yang diucapkan juga ada maksud yang tersurat dan tersirat." Jadi Ustaz Nakhaie menjadikan apa yang diamal dan dilakukannya selaku seorang ulama sebagai suatu ukuran yang standard terhadap semua ulama, iaitu mereka tidak boleh dipercayai seorang yang lurus dan jujur dalam perkataan dan perbuatannya apabila terlibat dalam gelanggang politik. Oleh kerana yang kerap memakai jubah dan berserban adalah orang-orang PAS, maka apa yang beliau katakan itu boleh dianggap ditujukan kepada ulama-ulama dalam PAS, termasuk saya sendiri.

Pandangan dan fahaman Ustaz Nakhaie mengenai politik semata-mata diukur dengan pendirian politik peribadinya yang dapat ditafsirkan bahawa tindak-tanduk beliau samada di dalam PAS atau ketika berada bersama UMNO sehingga hari ini (walaupun tanpa sebarang jawatan), sentiasa mengikut rentak dan gendang politik untuk mencapai sesuatu kepentingan peribadi beliau. Sebab itu beliau berpendirian bahawa untuk mencapai sesuatu tujuan politik, beliau mengiktiraf "kaedah tujuan menghalalkan cara" (the end justifies the means) yang diperkenalkan oleh Niccolo Machiavelli sejak abad ke-16 masehi.

Sebenarnya sepanjang beliau berada di dalam PAS lebih sepuluh tahun, saya tidak meragui ketulusan dan kelurusan beliau sebagai seorang pemimpin gerakan Islam (PAS), sekalipun saya tahu beliau pernah menduduki Biro Agama UMNO (saya tidak pasti samada beliau menjadi ahli parti itu). Saya pun tidak pernah mempersoalkan tindakan beliau menyelamatkan diri dari kemungkinan ditahan di bawah ISA ketika Operasi Lalang (1987) memberkas ramai pemimpin-pemimpin politik pembangkang termasuk Haji Mohamad Sabu. Memang sepatutnya seorang pejuang mesti bersedia menghadapi sebarang risiko bersama rakan seperjuangan, tetapi Ustaz Nakhaie memilih jalan yang lebih selamat. Kepada saya tindakan beliau itu masih boleh diterima kerana beliau masih boleh meneruskan perjuangan dari luar negara. Beliau sanggup meninggalkan anak isteri beberapa bulan lamanya sehingga menimbulkan masalah kepada keluarganya.

Saya masih ingat pada suatu hari isteri beliau, Ustazah Rusmiyati Harun (kini Datin) mengadukan hal kesusahannya kepada saya disebabkan Ustaz Nakhaie tidak balik ke tanahair dan terus menyembunyikan diri di luar negara. Saya diberitahu Ustaz Nakhaie kadang-kadang berada di Mesir, kadang-kadang berada di UK atau di tempat lain. Beliau berkata: "Sayalah ibu, sayalah ayah dalam rumahtangga kami, kerana Ustaz (Nakhaie) tidak dapat memenuhkan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga sejak beliau berada di luar negara kerana menyelamatkan diri." Saya ketika itu menjadi ketuanya di JAKIM (ketika itu BAHEIS - Bhg Hal Ehwal Islam JPM) di mana Ustazah Rusmiyati adalah salah seorang pegawai kanan (KPP) di bawah arahan saya. Saya nasihatkan beliau supaya sentiasa bersabar dan beristiqomah serta memahami benar-benar perjuangan yang didokong oleh Ustaz Nakhaie.

Bersambung di Bahagian 2.


Baca lagi...

Jumaat, September 04, 2009

Ibadah Puasa dan Kemuliaan Bulan Ramadhan (Bhg. 2)

Firman Allah:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِيَ أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ

وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ

Maksudnya:
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu... (Al-Baqarah: 185)

Pengharaman Makanan/Minuman
9. Allah SWT menjadikan isi alam khususnya yang terdapat di muka bumi adalah untuk kegunaan dan manfaat bagi manusia/Bani Adam. Alam tumbuhan dan haiwan serta alam benda tanpa nyawa (jamad) kesemuanya diciptakan untuk manusia menikmati dan memanfaatkannya. Untuk menjamin kesejahteraan dan kebaikan manusia, Allah Tuhan Pencipta Alam menurunkan peraturan dan undang-undang (syariah) yang di antaranya bersiftat larangan atau pengharaman memakan atau meminum benda-benda tertentu. Di antara benda yang diharamkan memakannya ialah bangkai, darah, daging babi, daging haiwan yang disembelih atas nama selain Allah, serta haiwan yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan yang diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya (Al-Maa'idah: 3). Begitu juga diharamkan benda-benda kotor dan jijik seperti najis tahi, kencing, nanah dan sebagainya (Al-A'raaf: 157). Demikian pula Islam mengharamkan minuman/cairan yang memabukkan iaitu khamar/arak atau apa juga jenis minuman yang memabukkan. Namakanlah ia apa sahaja, brandy, whiskey, wine, beer, stout, sake, todi, kesemuanya haram selagi ianya memabukkan (Al-Maa'idah: 90).

Jenayah Arak
10. Larangan mengambil minuman keras atau arak adalah sangat keras berbanding dengan larangan dari mengambil makanan yang diharamkan termasuk daging babi. Memakan daging babi tidak dikenakan penalti/hukuman kesiksaan, malah dalam keadaan darurat mengikut syara' ianya dibolehkan. Akan tetapi meminum arak menjadi kesalahan jenayah yang boleh dikenakan penalti ke atas pesalahnya dengan 40 kali sebatan. Jika mengulanginya boleh dikenakan dengan 80 kali sebatan. Pengharaman arak bukan sahaja meminumnya tapi termasuk membuat, meminta dibuatkan, mengedar, memesan, mengangkut, mengiklan, membeli, menjual (termasuk pemberi lesen), menghidang, dan memakan harga jualannya.

Arak Dalam Undang-undang Pentadbiran Islam
11. Di negara kita Malaysia terdapat undang-undang pengharaman arak ke atas orang Islam di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri. Hampir kesemua negeri-negeri membuat peruntukan mengenai pengharaman arak dalam enakmen masing-masing. Bagi Wilayah Persekutuan, ia termasuk di dalam Akta Pentadbiran Agama Islam Wilayah Persekutuan. Undang-undang pengharaman tersebut meliputi kesemua perkara pengharaman menurut syara'. Undang-undang berkenaan telah wujud sebelum merdeka lagi, namun beberapa pindaan telah dibuat selepas merdeka samada mengenai bidang kesalahan atau hukuman kesiksaannya. Pindaan yang terbaru mengenakan hukuman sebatan tidak melebihi 6 kali ke atas pesalahnya, contohnya di dalam Enakmen Pentadbiran Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 terdapat hukuman sebat tidak lebih 6 kali mengikut Seksyen 4: Pindaan bagi Seksyen 136. Berdasarkan undang-undang tersebut seorang wanita Islam bernama Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, telah dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai 2009.

Mengapa Kartika Orangnya?
12. Tiba-tiba secara mengejut nama Kartika Sari Dewi Shukarno tersiar namanya melalui pelbagai saluran media, TV, radio, blog-blog, di seluruh negara bahkan sampai ke peringkat antarabangsa. CNN, BBC, AFP tidak ketinggalan menjadikannya satu bahan berita mengenai Malaysia dan undang-undang Islamnya. Menurut laporan berita-berita, Kartika adalah berasal dari Sg. Siput, Perak keturunan Melayu jati (bukan Indonesia). Keluarganya dikatakan ada kaitan kekeluargaan dengan Ngah Ibrahim, seorang pembesar Perak yang dihukum buang negeri oleh kerajaan British ke Seychelles pada 1877. Kartika tinggal bersama suaminya dan bekerja di Singapura selama kira-kira 15 tahun sebelum dia ditangkap pada 11 Julai 2008, jam 11.40 malam di Cherating Bay Lounge, Hotel Legend Cherating, Pahang. Setelah lebih setahun, Kartika dijatuhi hukuman seperti tersebut di atas. Dia tidak membuat rayuan atas keputusan mahkamah itu bahkan menegaskan bersedia menjalani hukuman sebat sebanyak 6 kali seperti yang dijatuhkan ke atasnya. Saya percaya Kartika faham dan mengerti mengapa dia istiqamah untuk menerima dan menjalani hukuman ke atasnya itu. Saya juga percaya ayah dan ibunya yang menyokong pendiriannya itu bukan sahaja faham akan hukum-hakam Islam mengenai pengharaman dan kesalahan jenayah arak itu, bahkan mereka mengimaninya sebagai perkara yang mesti ditaati dan dipatuhi sebagai perintah Allah SWT. Mudah-mudahan mereka termasuk dalam golongan yang disifatkan Allah SWT dalam firmanNya yang bermaksud: Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang kamu buat itu, dan mereka menerima dengan sepenuhnya (An-Nisaa': 65).

13. Seingat saya inilah kali pertama dalam sejarah negara kita, hukuman sebat (atas apa jua kesalahan syariah) pernah dijatuhkan oleh mana-mana mahkamah syariah di negara kita. Kartika orang yang pertama menerimanya dan di samping mengakui kesalahannya, dia bersedia sepenuhnya menjalani hukuman sebat itu tanpa dipaksa atau dipujuk oleh sesiapa. Dia tidak keberatan menjalani hukuman itu kerana menyesal atas perbuatannya dan mahu bertaubat supaya mendapat keampunan Allah SWT di hari akhirat. Pendiriannya inilah antara faktor yang menjadikan hukuman sebat di bawah Enakmen Pentadbiran Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang itu meletus menjadi isu kontroversi hingga ke peringkat antarabangsa. Pelbagai pihak mempunyai persepsi yang negatif terhadap undang-undang jenayah Islam. Itu belum lagi hukuman sebenar atas kesalahan jenayah arak dikanunkan dalam enakmen/akta pentadbiran Islam di negara ini, kerana hukuman sebenar adalah 40/80 kali sebatan. Di antara yang sibuk cuba memujuk Kartika supaya membuat rayuan termasuklah Dato' Sri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Sisters In Islam dan Ivy Josiah, Pengurus Eksekutif Women's Aid Organisation Malaysia. Mereka mendakwa hukuman sebat ke atas Kartika merupakan suatu diskriminasi dan penghinaan terhadap kaum wanita.

Penjualan Arak Berleluasa
14. Seimbas pandang dakwaan golongan mereka yang mempertikai keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan itu semacam ada juga alasannya. Namun realitinya keputusan mahkamah itu sama sekali tidak ada kena mengena dengan diskriminasi atau pilih bulu terhadap kaum wanita. Apa yang sepatutnya dipersoalkan kenapa dalam tempoh 52 tahun negara merdeka tidak pernah diambil tindakan terhadap orang Islam yang meminum arak, menghidang arak, menjual arak atau bekerja di kilang arak dan sebagainya. Masyarakat Islam khasnya dan rakyat negara ini amnya kerap juga dihebohkan dengan isu penjualan arak di kedai-kedai runcit dan restoran-restoran yang melibatkan orang Islam. Malah baru-baru ini pun di negeri Selangor tercetus isu pengeluaran lesen menjual arak di kawasan-kawasan bermajoriti penduduk beragama Islam. PAS mencadangkan supaya pihak berkuasa kerajaan tempatan melaksanakan peraturan menghadkan pengedaran dan penjualan minuman beralkohol itu. Puak-puak UMNO pula mencabar pihak PAS supaya keluar dari Kerajaan PR di Selangor sekiranya cadangan PAS itu tidak dilaksanakan kerajaan. Akan tetapi di negeri-negeri yang diperintah UMNO/BN, perlesenan arak terus berleluasa tanpa mengira penduduk beragama Islam majoriti atau sebaliknya. Apabila sedikit hukuman dijatuhkan ke atas orang yang meminum arak, pemimpin-pemimpin UMNOlah yang membantahnya. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO turut berperanan mencadangkan supaya hukuman sebat itu dikaji semula.

Hukuman Yang Diisukan
15. Isunya di sini bukanlah Kartika, tetapi adalah hukuman sebat atas kesalahan meminum arak itu sendiri, seperti yang terkandung dalam enakmen pentadbiran Islam yang terdapat di negara ini. Bahkan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir yang memimpin negara selama 22 tahun pun tidak sedar akan adanya undang-undang kesalahan jenayah arak yang membawa hukuman sebat itu. Beliau bertanya (dalam blognya) adakah hakim yang menjatuhkan hukuman sebat ke atas Kartika itu hanya berpandukan kepada hukuman seperti yang tersebut dalam kitab-kitab feqah yang dikarang oleh para ulama', walhal para ulama' itu bukannya golongan yang maksum, demikian pertanyaan Dr Mahathir. Itulah gambaran pemikiran dan kefahaman orang-orang UMNO khasnya pemimpin-pemimimpin mereka. Golongan ulama' UMNO pula tidak berani mempertikai pendapat pemimpin mereka yang bercanggah dengan hukum-hakam bahkan aqidah Islam. Kita tidak pernah mendengar ada ulama' UMNO yang memperingatkan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz yang pernah secara berterang-terangan mengatakan bahawa pemimpin-pemimpin UMNO terpaksa membuat enakmen/akta mengenai hukum-hakam Islam (seperti pengharaman arak, khalwat dan zina - penjelasan saya) walaupun mereka tidak beriman dengannya. Kenyataan ini dibuat Nazri dalam suatu majlis forum dengan sekumpulan para peguam Melayu/Islam anjuran Bar Council dalam tahun 2006.

Pendirian UMNO Sebenar
16. Nazri menyatakan bahawa kerajaan UMNO/BN membuat undang-undang mengenai hukum-hakam Islam (tentunya yang berkaitan dengan jenayah syariah) adalah untuk mempastikan orang-orang Melayu (Islam) tidak memberi undi mereka kepada PAS yang kata beliau memperalatkan Islam untuk politik mereka. Oleh yang demikian, tidak hairanlah apabila penguatkuasa JAIS menangkap beberapa orang gadis Melayu yang melayani pelanggan-pelanggannya dengan minuman keras di Pub dan Restoran The Ship, Damansara Utama, mereka diarahkan oleh MB Selangor ketika itu (tahun 2000) supaya menarik balik saman ke atas gadis-gadis tersebut. Satu contoh lagi kes penangkapan terhadap berpuluh-puluh pelanggan kelab The Zouk, Jalan Ampang yang dilakukan oleh penguatkuasa JAWI dengan dibantu oleh penguatkuasa DBKL dan pasukan RELA. Tindakan penguatkuasa JAWI menyaman kumpulan-kumpulan remaja Melayu berkenaan termasuk seorang artis terpaksa dibatalkan atas arahan pihak atasan kerana di antara yang tertangkap itu adalah anak orang kenamaan. Isu ini disensasikan oleh media arus perdana yang merupakan lidah UMNO/BN iaitu Utusan Malaysia dan Berita Harian yang kemudian disambut oleh media antarabangsa. Mengenai perkara ini saya masih ingat isu The Zouk itu dibangkitkan dalam perbincangan kami beberapa orang pimpinan PAS Pusat termasuk saya dengan rombongan pendokong hak asasi manusia dari Amerika Syarikat. Anggota rombongan itu menggunakan ungkapan "Taliban Group" terhadap pihak berkuasa dalam pentadbiran Islam negara ini. Saya juga masih belum lupa pihak yang nyaris-nyaris dikenakan tindakan dalam isu The Zouk itu adalah pegawai-pegawai penguatkuasa JAWI sendiri. Pemuda PAS ketika itu menemui penguatkuasa berkenaan dan memberikan dokongan ke atas tindakan mereka itu, padahal tidak lama sebelum kejadian tersebut, penguatkuasa JAWI telah mengambil tindakan menangkap dan menyeret ke mahkamah beberapa orang pendakwah yang didakwa berceramah tanpa tauliah di Masjid Ar-Rahmaniah, Lembah Pantai. Saya sendiri ikut disaman oleh pihak JAWI tetapi mereka tidak mendakwa saya di mahkamah kerana terbukti saya ada memegang tauliah yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Bersambung...


Baca lagi...

Rabu, September 02, 2009

Ibadah Puasa dan Kemuliaan Bulan Ramadhan (Bhg. 1)

Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kepada kamu puasa sebagaimana yang telah diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertaqwa. (Al-Baqarah: 183)

Muqaddimah
Syukur Alhamdulillah, kerana dengan limpah kurnia Allah SWT, kita diberi rezeki untuk berada di bulan Ramadhan Al-Mubarak 1430H ini. Diucapkan selamat berpuasa dan menghayati ibadah di bulan Ramadhan Al-Mubarak. Setakat ini mudah-mudahan kita telah dapat menyempurnakan ibadah Al-Siyam atau berpuasa serta bertarawih dan witir selama 12 hari. Saya bersyukur kerana dapat mengisi program tazkirah Ramadhan setiap hari samada waktu zuhur atau ketika solat tarawih, bahkan berkesempatan juga kuliah subuh dan dhuha pada hari-hari Sabtu dan Ahad yang lalu. Diharap untuk menambah manfaat tazkirah Ramadhan melalui kuliah-kuliah tersebut, dalam blog ini saya ringkaskan butiran penting dari tazkirah/kuliah berkenaan. Antara lainnya seperti berikut:

Format Ibadah Yang Bebeza
1. Perlaksanaan ibadah puasa amat berbeza dengan perlaksanaan ibadah solat, zakat dan haj. Kita melaksanakan ketiga-tiga ibadat rukun Islam itu dengan melakukan perbuatan atau amalan tertentu yang dapat dilihat dan disaksikan oleh orang lain ketika kita melaksanakannya. Contohnya, ketika mendirikan solat kita berdiri (qiyam), ruku', sujud, duduk antara dua sujud dan sebagainya. Begitu pula jika seseorang menunaikan zakat, dia bertindak menyerahkan sebahagian benda atau harta yang diwajibkan zakat ke atasnya kepada orang yang menerimanya. Demikian juga, apabila seseorang menunaikan ibadat haj, dia pergi menziarah Baitullah di Makkah Al-Mukarramah dan melakukan pelbagai amalan seperti ihram, tawaf, saie, wukuf di Arafah, bercukur, melontar Jamrah dan sebagainya. Akan tetapi, ketika seseorang melaksanakan ibadah puasa/siyam, dia tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh dilihat atau disaksikan oleh orang lain, kerana puasa itu hanya terlaksana apabila seseorang MENINGGALKAN perbuatan-perbuatan tertentu iaitu meninggalkan makan, minum, hubungan kelamin (antara suami-isteri) dan sebagainya. Hanya orang yang melaksanakannya mengetahui dia sedang berpuasa (selain Allah SWT). Ini bererti berpuasa adalah bebeza dengan ibadah rukun yang lain kerana ianya hanya terlaksana dengan tidak melakukan perbuatan tertentu yang dapat difahamkan dari takrif syara' bagi ibadah puasa itu, iaitu menahan diri daripada makan dan minum, serta jima' dari waktu fajar (imsak) hingga tenggelam matahari kerana mematuhi titah perintah Allah SWT.

Unsur Undang-undang
2. Ayat Al-Quran (seperti tersebut di atas) yang menjadi dalil/keterangan atas wajibnya puasa diungkapkan Allah SWT dengan lafaz/perkataan كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ yang bermaksud diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sedangkan kewajipan ibadah rukun yang lain seperti solat, zakat dan haj tidak diungkapkan Allah SWT ayat seperti itu. Tiada perintah كُتِبَ عَلَيْكُمُ atas kewajipan mendirikan solat, begitu juga dengan menunaikan zakat dan haj. كُتِبَ عَلَيْكُمُ maknanya secara harfiah (literal) ialah dituliskan ke atas kamu yang membawa maksud perintah yang berunsur undang-undang atau peraturan. Dalam konteks puasa ia mudah difahami sebagai perintah yang mengandungi unsur undang-undang kerana ianya terlaksana dengan hanya meninggalkan larangan atas perbuatan makan, minum dan hubungan kelamin. Larangan adalah ciri terpenting dalam undang-undang. Larangan adalah merupakan batas atau sempadan yang menyekat seseorang dari berbuat sesuka hati menurut kehendak dan nafsu masing-masing. Contoh mudah, apabila seseorang memandu di atas jalanraya dihadkan kelajuannya kepada 110km/j atau 90 km/j, yang bererti apabila had itu dilanggar maka seseorang itu dianggap melanggar undang-undang mengenai kesalahan lalulintas/trafik.

3. Unsur undang-undang yang diungkapkan dengan lafaz ayat
كُتِبَ عَلَيْكُمُ itu dapat difaham dengan lebih jelas apabila ungkapan yang sama digunakan bagi kewajipan melaksanakan undang-undang qisas iaitu hukuman bunuh dibalas bunuh dan cedera dibalas cedera. Kewajipan tersebut disebutkan di dalam ayat Al-Baqarah:178 yang berbunyi:
كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى
Begitu juga terdapat ayat Al-Baqarah yang berbunyi:
كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ لَّكُمْ
Yang bermaksud: Telah diwajibkan ke atas kamu berperang sedangkan ianya tidak kamu sukai. Kedua-dua perintah tersebut merupakan undang-undang dan peraturan Allah SWT bagi menjamin hak kebebasan manusia untuk hidup tidak dicabuli sesuka hati. Manusia tidak dibenarkan membunuh sekehendak hati dan jika melanggarnya dia akan dikenakan hukuman. Umat manusia juga tidak boleh memerangi musuhnya melainkan dengan mengikut peraturan dan undang-undang yang membolehkan mereka berperang.

Nafsu Punca Jenayah
4. Perintah larangan yang terkandung di dalam ibadah puasa dikenakan ke atas keinginan nafsu manusia yang paling asas iaitu nafsu makan minum dan kelamin/seks. Kehendak dan tuntutan nafsu yang paling asas ini jika tidak diperundang-undangkan peraturan mengawalnya akan berlakulah kacau bilau dan kerosakan dalam kehidupan manusia. Perbuatan jenayah berat seperti mencuri, merompak, merogol/berzina, bahkan membunuh adalah sebahagian besarnya berpunca dari keinginan nafsu manusia yang tidak terbatas untuk memenuhi kehendak makan minum dan seks. Dalam konteks ini, ibadah puasa melatih dan mentarbiah manusia dengan meninggalkan larangan-larangan atas perkara-perkara yang dihalal/dibenarkan oleh syara' tetapi ia wajib ditinggalkan selama sebulan (Ramadhan) dalam masa kira-kira 13/14 jam sehari mengikut di mana tempat/negeri ibadat tersebut dilakukan. Ia dilakukan hanya kerana mematuhi titah perintah Allah SWT yang bersifat larangan buat sementara atas perkara/perbuatan yang pada dasarnya adalah tidak dilarang oleh syara'.

Kepentingan Undang-undang
5. Islam sebagai Ad-Deen mengandungi sistem dan peraturan hidup yang lengkap dalam hubungan manusia dengan Tuhan (Allah SWT), hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam. Kesemua sistem dan peraturan yang lengkap itu tidak dapat disempurnakan tanpa undang-undang yang melindunginya. Undang-undang pula tidak lengkap melainkan adanya perintah larangan/tegahan. Larangan itu pula tidak terjamin dipatuhi sekiranya tidak dikenakan hukuman kesiksaan ke atas pelanggar atau orang yang mencabulinya. Perintah Allah SWT yang bersifat undang-undang yang pertama kali dikenakan ke atas manusia adalah merupakan larangan dari mendekati suatu pohon dalam suatu Taman/Jannah di mana Allah SWT menempatkan manusia pertama Adam dan Hawa sebelum diturunkan ke bumi. Firman Allah SWT dalam ayat Al-Baqarah: 35 bermaksud: Dan berkata Kami: Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isteri engkau di Taman ini, dan makanlah kamu berdua daripadanya dengan senang sesuka-sukamu, dan janganlah kedua kamu mendekat ke pohon ini, kerana (kalau mendekat) akan jadilah kamu berdua dari orang-orang aniaya.

Larangan Pertama Ke atas Manusia
6. Larangan Allah SWT dari mendekati pohon berkenaan bermaksud Adam dan Hawa dilarang dari mengambil apa yang boleh dimakan ataupun juga diminum dari buah pohon tersebut. Kedua-duanya melanggar larangan itu dan mereka telah menganiaya diri mereka. Akibat perlanggaran atas larangan itu, kedua-duanya menerima hukuman atas kesalahan mereka iaitu mereka dikeluarkan dari Taman tersebut dan diperintah turun ke bumi sehinggalah lahir dan berkembang zuriat Bani Adam di bumi Allah SWT ini. Namun kedua-duanya memohon keampunan atas kesalahan tersebut dan Allah SWT menerima taubat mereka. Peristiwa yang berlaku kepada Adam dan Hawa dalam Taman yang ditentukan Allah SWT untuk mereka sebelum diturunkan ke bumi menggambarkan bagaimana manusia boleh melanggar larangan Allah SWT apabila nafsunya dapat digoda oleh syaitan. Al-Quran menceritakan bahawa kedua-duanya telah digelincirkan oleh syaitan yang mempengaruhi mereka supaya memakan dari pohon yang terlarang itu (maksud Al-Baqarah: 36).

Kesan Makan/Minum
7. Difahami dari larangan atas makan, minum dan hubungan kelamin dalam melaksanakan ibadah puasa dapat dilihat adanya hubungan dan kesan timbal balik di antara makan/minum dengan nafsu seks. Ini bererti makanan dan minuman yang halal dapat menjaga kehormatan dan hubungan kelamin yang halal. Sebaliknya mengambil makanan dan minuman yang haram boleh mengakibatkan kegagalan memelihara kehormatan diri dan mendorong kepada perlakuan hubungan kelamin/seks yang haram seperti mendedahkan aurat, khalwat dan zina. Merujuk kepada peristiwa Adam dan Hawa melanggar perintah Allah SWT supaya tidak mendekati pohon berkenaan yang terlarang itu, kedua-dua mereka serta-merta terbogel atau terdedah kemaluan mereka sebaik sahaja memakan dari buah pohon berkenaan (maksud Al-A'raaf: 22).

Ujian Keimanan
8. Larangan atau pengharaman dalam hukum hakam Islam khususnya mengenai makan minum dan syahwat kelamin bukan bertujuan untuk menyiksa atau menyakiti diri manusia. Bahkan jauh sekali dari bertujuan untuk membunuh nafsu syahwat manusia yang tabiatnya memang dijadikan Allah SWT mempunyai hawa nafsu. Sebab itu Islam mengharamkan manusia berpuasa sepanjang masa. Islam juga tidak melarang manusia memakan daging atau makhluk yang bernyawa kecuali daging haiwan yang tertentu sahaja seperti babi. Manusia menjadi makhluk yang mulia dan statusnya lebih tinggi dari malaikat. Ini kerana manusia mempunyai kekuatan untuk menguasai hawa nafsunya apabila dia beriman kepada Allah SWT. Dia sebenarnya boleh menolak titah perintah Allah SWT dan melanggar larangan-laranganNya kerana manusia (Bani Adam) mempunyai kebebasan memilih mengikut kehendak atau iradahnya. Nafsunya menuntut dirinya melakukan sesuka hati tanpa batasan dan halangan. Namun kerana kekuatan jiwa yang beriman dan berpegang kepada keyakinan bahawa titah perintah Allah SWT itu adalah benar dan wajib dipatuhi, maka dia mempunyai keupayaan menundukkan hawa nafsunya. Inilah hikmahnya maka setiap perintah Allah SWT baik yang berupa suruhan atau larangan ditujukan kepada "orang-orang yang beriman". Contohnya, perintah kewajipan berpuasa seperti yang terkandung dalam ayat yang disebutkan di atas.

Bersambung...


Baca lagi...