بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ
الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالاَتِ اللهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلاَ يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلاَّ اللهَ وَكَفَى بِاللهِ حَسِيبًا

Khamis, Julai 31, 2008

UMNO Perak Sekali Lagi Melamar PAS Bentuk Kerajaan

Maksud firman Allah SWT:
“Jika kamu mendapat sesuatu kebaikan, maka mereka menjadi tidak senang kerananya; dan jika kamu ditimpa oleh sesuatu bencana, mereka berkata: “Sesungguhnya kami sebelumnya telah memperhatikan urusan kami”, dan mereka berpaling dengan rasa gembira.” (At-Taubah:50)

Dalam ucapan alu-aluan di majlis perasmian Konvensyen PAS Perak Kali Ke-13 di Ipoh pada 26-27 Julai 2008 yang disempurnakan oleh Dato’ Seri Presiden Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, saya mengulangi lagi ketegasan PAS menolak sebarang rundingan untuk membentuk kerajaan dengan UMNO/BN di Perak. Saya menegaskan bahawa PAS akan tetap bersama Pakatan Rakyat. Saya lihat Dato’ Ngeh Koo Ham, Pengerusi DAP Perak dan Hj Ismail Yusof, Pengerusi Perhubungan PKR Perak, kedua-duanya mengangguk-angguk sambil tersenyum mendengar penegasan saya di hadapan lebih 800 orang peserta konvensyen. Turut hadir dif-dif jemputan dari pimpinan DAP dan PKR, ketua-ketua Kelab Penyokong PAS, wakil-wakil NGO dan Dewan Perhimpunan Cina Perak serta Yayasan Orang Asli Perak (YOP).

Tiba-tiba tak semena-mena sehari selepas konvensyen itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Dato’ Seri DiRaja Mohamad Tajol Rosli mengadakan satu sidang akhbar di Ipoh. Kononnya sebagai respon kepada kenyataan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS yang melontarkan cadangan supaya UMNO dan PAS dibubarkan dan ditubuh satu parti baru berteraskan Islam sekiranya orang Melayu/umat Islam negara ini hendak benar-benar disatukan.

Dalam sidang media itu, Tajol Rosli menawarkan kepada PAS Perak untuk membentuk kerajaan baru bersama UMNO/BN. Beliau bersetuju supaya jawatan Menteri Besar Perak terus dipegang oleh Menteri Besar yang mewakili PAS dalam kerajaan Pakatan Rakyat sekarang. Beliau sendiri tidak akan memegang sebarang jawatan Exco atas alasan supaya tidak dituduh mengontrol kerajaan PAS/UMNO yang dicadangkan itu. Dalam tawaran pada kali ini tidak disebutkan samada jawatan speaker diberi kepada PAS seperti yang pernah ditawarkan dahulunya selain daripada 4 jawatan Exco.

Sebenarnya rakyat Perak umumnya mengetahui bahawa tawaran ini adalah merupakan lamaran kali ke-2 yang dibuat UMNO kepada PAS Perak. Lamaran pertama dibuatnya 138 hari yang lalu sebelum tawaran ke-2 ini. Bezanya lamaran dahulu dibuat melalui agen UMNO yang terdiri daripada pegawai kanan kerajaan negeri, wakil-wakil NGO dan wakil UMNO Pusat yang diketuai oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri dan dilantik sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri (MTPNg) Perak.

Alasan yang diberikan pihak UMNO dalam kedua-dua lamarannya adalah sama sahaja iaitu demi untuk mengukuhkan perpaduan Melayu. Cuma sedikit kelainannya pada kali ini UMNO bersedia memberi ruang kepada PKR dan DAP untuk ikut serta dalam kerajaan yang dinamakan oleh Tajol Rosli sebagai kerajaan PAS-BN. Hujah tambahan beliau ialah untuk mewujudkan kerajaan yang stabil dan kukuh ke arah mencapai wawasan 2020 menjadikan Perak negeri maju.

Saya menerima panggilan telefon dan pesanan SMS bertalu-talu sebaik sahaja sidang media Tajol Rosli itu disiarkan. Tergambar di fikiran saya betapa dedikasinya mantan MB Perak itu merancang hendak menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat yang disasarkan menjelang 31 Ogos ini. Dalam perjalanan pulang ke KL, sempat saya memberi respon kepada beberapa pemberita akhbar berbahasa Cina di Ipoh yang menghubungi saya. Dengan tegas saya katakan: “No way PAS nak sambut tawaran itu”. Sejak awal-awal lagi selepas bulan Mac lalu, PAS Perak tidak bersedia berbincang mengenai tawaran mereka yang serupa. Bahkan saya menolak untuk bertemu dengan Tajol Rosli sebab kami sudah awal-awal bersetuju menyahut mandat rakyat untuk kami membuat perubahan di Perak dengan bersepakat bersama-sama parti PKR dan DAP untuk membentuk kerajaan baru menggantikan BN.

Siang tadi saya terbaca dalam media utama, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beriya-iya benar mendokong tawaran Tajol Rosli. Bahkan beliau menegaskan bahawa UMNO benar-benar ikhlas dalam tawaran kali ini demi untuk mengukuhkan perpaduan Melayu dan kestabilan kerajaan Perak. Beliau menyatakan keyakinannya bahawa saya selaku Pesuruhjaya PAS Perak bersedia menyambut tawaran tersebut kerana menurut beliau suasana dan keadaan sekarang ini berbeza dengan suasana 4 bulan yang lalu ketika saya menolak untuk bertemu dengan beliau yang mewakili Tajol Rosli.

Saya bersetuju keadaan politik di Perak yang dilalui oleh PAS berbeza dengan suasana 4 bulan yang lalu. Dahulunya hubungan PAS dengan DAP agak kurang stabil apabila pihak DAP memboikot perlantikan Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dari PAS menjadi Menteri Besar. Malah pihak PKR juga pada awalnya memboikot upacara angkat sumpah Menteri Besar Perak itu. DAP juga menuntut 2 jawatan Timbalan Menteri Besar Perak. Begitu juga pengagihan jawatan Exco dan portfolionya pernah menimbulkan kontroversi.

Akan tetapi keadaan hari ini amat berbeza kerana bertambah kukuh dan mantap persefahaman di kalangan pimpinan ketiga-tiga parti pakatan dan anggota Exco kerajaan. Kebanyakan perkara-perkara penting yang diputuskan dalam majlis mesyuarat kerajaan adalah manifestasi dari persefahaman dan muafakat yang dicapai secara syura dalam mesyuarat jawatankuasa penyelarasan ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat itu.

Zahid Hamidi selaku Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri (MTPNg) Perak juga berjanji akan memberi peruntukan yang besar sekiranya PAS menerima tawaran mereka kali ini. Bagi saya tawaran ini merupakan sogokan kepada Pakatan Rakyat khususnya kepada PAS. Sebabnya, rakyat telahpun memberi mandat kepada kami untuk membuat perubahan melalui undi rakyat yang diberikan dalam PRU Ke-12 lalu. Mengapa kami yang telah diberi mandat rakyat itu disogok dengan bantuan yang dijanjikan? Kalau jujur untuk mengukuhkan kerajaan Pakatan Rakyat sekarang, laksanakan sahajalah segala rancangan pembangunan yang telah diperuntukkan dalam RMK-9 khususnya Projek Koridor Pembangunan Wilayah Utara Perak yang diperuntukkan berbilion-bilion ringgit itu. Sukar bagi saya hendak mempercayai keikhlasan UMNO seperti yang didakwa oleh Zahid dengan alasan-alasan berikut:
  • Baru sahaja seminggu dua mereka menyerang Menteri Besar Perak dengan fitnah kononnya beliau membuat Perjanjian Pangkor II dengan DAP. Beliau juga dituduh sebagai boneka DAP.

  • Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-12, penggal ke-2, pada akhir Jun 2008 yang lalu, sepanjang persidangan 3 hari mereka menyerang Menteri Besar dan Exco-Exco kerajaan Pakatan Rakyat sebagai tidak layak dan berkemampuan mentadbir negeri.

  • UMNO Perak mengadakan roadshow menyerang PAS Perak dan pimpinannya dengan melemparkan pelbagai cacian dan tuduhan sebagai pengkhianat agama dan bangsa, hatta dalam kursus BTN juga pimpinan PAS dicaci dan dikutuk.

  • Dalam dua majlis Upacara Penyampaian Pungutan Zakat kepada Majlis Agama Islam Perak yang dilakukan oleh Zahid sendiri, Menteri Besar Perak tidak diundang untuk hadir menyaksikannya.

  • Sepanjang 4 bulan yang lalu, tidak pernah UMNO menunjukkan kepercayaan mereka terhadap DAP dan PKR. Tiba-tiba sekarang bersedia pula mengajak kedua-dua parti itu untuk menyertai kerajaan baru yang ditawarkan kepada PAS.

  • Hingga ke hari ini gambar Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ir Hj Muhammad Nizar Jamaluddin tidak dibenarkan digantung di premis-premis yang terletak di bawah kerajaan pusat termasuk di sekolah-sekolah bahkan di Sekolah Menengah Agama Rakyat bantuan kerajaan.

  • RTM Stesen Radio Perak di Ipoh tidak melaporkan berita dan aktiviti Menteri Besar atau kerajaan Pakatan Rakyat kecuali untuk mengelirukan rakyat.

  • Kerajaan Pusat terus melantik Ketua Kampung dan JKKP di negeri Perak padahal kerajaan negeri telahpun melantik Ketua-ketua Kampung yang memang terletak di bawah kuasa kerajaan negeri. Mereka dilantik melalui pemilihan secara demokrasi.

Pada saya tawaran UMNO itu dibuat semata-mata untuk membolehkan mereka berkuasa semula di negeri Perak. Mereka mendakwa mereka masih kuat dengan 27 ADUN UMNO dan 1 MCA. Mengapa mereka tidak boleh memerintah sedangkan PAS hanya mempunyai 6 ADUN tetapi memegang tampuk pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak. Setelah mereka mendapat berkuasa, mereka boleh merancang tipu daya untuk menyingkirkan PAS seperti yang pernah mereka lakukan di peringkat Pusat pada tahun 1978 yang lalu. PAS disingkirkan di atas tuduhan menikam UMNO dari belakang kerana membuka cawangan-cawangan PAS di FELDA dan membawa seorang pemimpin UMNO di Johor menyertai PAS.

InsyaAllah PAS tidak akan dipatuk ular yang sama di lubang yang sama sekali lagi. UMNO Perak bersabarlah menerima keputusan PRU Ke-12 dan teruskanlah tugas anda sebagai pembangkang yang berperanan membina dan menjadi watchdog yang sebenar. Bagaimanapun, jika teringin benar hendak bersama dengan pihak kerajaan, PAS mengalu-alukan secara ikhlas ADUN-ADUN UMNO yang benar-benar hendak membela bangsa dan agama itu menyertai PAS dengan segera tidak terkecuali Dato’ Seri DiRaja Mohamad Tajol Rosli sendiri.


Baca lagi...

Rabu, Julai 30, 2008

Janganlah Penyokong PAS Berbalah dengan Pemimpin Disebabkan Muqabalah


Maksud firman Allah SWT:
“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman.” (Al-Anfal:61-62)

Lebih seminggu saya sibuk bergerak di antara KL/Ipoh/Kota Bharu kemudian balik ke Semanggol dan seterusnya berada di Ipoh selama 3 hari kerana bermesyuarat dan menghadiri Konvensyen PAS Perak Ke-13.

Saya tidak membuat sebarang posting dalam blog saya lebih seminggu kerana menunggu-nunggu agar keresahan dan kekeliruan terutama di kalangan akar umbi penyokong PAS mengenai isu apa yang dinamakan Muzakarah UMNO/PAS dapat diredakan. Ini apabila presiden Tuan Guru Hj Hadi bersama 5 ahli Majlis Syura termasuk saya membuat pertemuan dengan Tuan Guru Mursyidul Am di JKR 10, Kota Bharu pada petang Rabu 23 Julai 2008. Selepas pertemuan tersebut yang berlangsung kira-kira 1 jam, Mursyidul Am memberitahu wartawan media termasuk TV3 bahawa kenyataan beliau mengenai apa yang dikatakan Muzakarah UMNO/PAS itu tdak bercanggah langsung dengan kenyataan Presiden PAS Tuan Guru Hj Hadi Awang, iaitu tidak ada sebarang perbincangan atau perundingan dengan UMNO untuk membentuk kerajaan dengan UMNO/BN. Mursyidul Am menegaskan isu muzakarah sudah ditutup fail. Yang boleh diadakan ialah muqabalah atau pertemuan bersemuka untuk berbincang perkara mengenai kepentingan Islam dan rakyat amnya.

Presiden dalam sidang media yang sama juga menegaskan muqabalah boleh diadakan apabila ianya dilihat perlu untuk membincang perkara mengenai kepentingan Islam dan rakyat amnya terutama untuk mengukuhkan kerajaan Pakatan Rakyat. Beliau mengulangi pendirian tegasnya bahawa PAS tetap bersama Pakatan Rakyat.



Dalam sidang akhbar yang sama, Timbalan Mursyidul Am, Dr Harun Din, menjelaskan bahawa muqabalah dengan pimpinan UMNO yang pernah diketuai oleh Timbalan Presiden adalah direstui oleh Majlis Syura. Keputusan majlis tersebut dalam mesyuaratnya pada 23 April yang lalu terus memberi mandat kepada pimpinan tertinggi parti iaitu Presiden sendiri, Timbalan Presiden dan beberapa orang yang lain untuk berbincang sekiranya diajak dengan mana-mana pihak termasuk UMNO bagi membincangkan perkara kepentingan Islam dan lain-lain perkara yang boleh mengukuhkan lagi kerajaan Pakatan Rakyat.

Selepas sidang media selesai, Ustaz Nasharuddin Mat Isa (Timbalan Presiden) melahirkan perasaan leganya dan berkata selepas ini beliau akan dapat tidur nyenyak kerana dengan kenyataan ketiga-tiga pimpinan Syura dan parti yang utama itu, akan lenyaplah persepsi atau tuduhan pelbagai pihak bahawa beliau mengetuai rundingan untuk berpakat dengan UMNO adalah tindakan peribadi.

Bagaimanapun saya hari ini masih tertanya-tanya mengapa segala penjelasan dan penegasan yang dibuat selepas pertemuan dengan Mursyidul Am itu melalui media parti sendiri seperti Harakah Daily, akhbar Harakah dan Siasah seolah-olah tidak dapat menghapuskan kekeliruan dan meredakan kebimbangan bukan sahaja di kalangan akar umbi bahkan juga di kalangan sebahagian pemimpin-pemimpin PAS pelbagai peringkat. Apakah media perdana pro-UMNO/BN masih kuat mempengaruhi orang-orang PAS atau penyokong-penyokong Pakatan Rakyat? Di peringkat perhubungan PAS Perak, saya telah menjelaskan bahawa apa yang disebut isu muzakarah yang meletup apabila ianya didedahkan oleh Presiden UMNO, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah satu perangkap sebagai percubaannya untuk memecah-belahkan perpaduan kalangan pimpinan Pakatan Rakyat. Di samping itu beliau cuba mengalihkan pandangan umum daripada isu-isu pertarungan dan perebutan kuasa dalam UMNO akibat pengumuman beliau mengenai peralihan kuasa pimpinan UMNO yang akan berlaku pada Jun 2010.

Sebenarnya PAS sengaja tidak mahu mengheboh-hebohkan isu pertemuan itu kerana semua pertemuan yang berlaku adalah atas ajakan UMNO khasnya presiden mereka. Memanglah benar dalam pertemuan pertama, UMNO membuat tawaran kepada PAS supaya membentuk kerajaan bersama UMNO/BN di peringkat pusat dan negeri-negeri yang UMNO/BN menerima kekalahan. Tetapi dengan tegas PAS telah menolaknya dan presiden serta merta membuat kenyataan menyokong pencalonan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor bagi kerajaan Pakatan Rakyat. Ini bagi menolak sangkaan kononnya PAS akan membentuk kerajaan bersama UMNO/BN di Selangor. Di Perak, saya dan pimpinan PAS awal-awal lagi mengumumkan persetujuan bersama DAP dan PKR membentuk kerajaan campuran ketiga-tiga parti namun pimpinan UMNO telah berusaha untuk menggagalkannya, tetapi mereka yang gagal.

Adapun pertemuan-pertemuan yang selepasnya kira-kira lebih sebulan yang lalu juga dengan jemputan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri, mereka mahu berbincang hal kepentingan Melayu dan Islam, apa salahnya pihak PAS hendak mendengar kerana kita pun memang mempunyai berbagai-bagai cadangan untuk didengar oleh pihak mereka. PAS memang sangat prihatin terhadap kepentingan umat Islam dan Islam itu sendiri yang menjadi dasar perjuangannya. PAS juga melihat bahawa sebarang masalah yang boleh mengancam kepentingan umat Islam di negara ini mesti diatasi. Kerana itu, PAS perlu bersemuka bila diajak berbuat demikian untuk tujuan tersebut. Atas keikhlasan PASlah pemimpin PAS bersedia bersemuka tapi ternyata pihak UMNO sentiasa mencari peluang untuk kepentingan mereka dan melakukan pelbagai tipu daya dengan menjadikan “isu muzakarah” sebagai kononnya usaha hendak menggabungkan PAS dengan UMNO membentuk kerajaan.

Dengan bantuan media arus perdana pro-UMNO/BN, kini PAS berhadapan dengan penyokong dan pengikut-pengikutnya termasuk kelab penyokong PAS dari kaum bukan Melayu. Saya membaca tulisan-tulisan atau berita dalam website dan blog-blog popular dan dapat memahami keresahan dan kegelisahan mereka. Di Perak saya telah dapat menjelaskan perkara ini kepada pimpinan DAP khasnya dan mereka berpuas hati dan penuh percaya pendirian PAS yang terus menolak tawaran UMNO/BN. Kepada ahli-ahli dan penyokong PAS serta pimpinan dari peringkat cawangan, kawasan dan negeri tidak perlulah mereka beremosi supaya tidak terus terperangkap dengan jerangkap yang dipasang oleh UMNO. Saya memang begitu risau menerima pesanan-pesanan SMS yang mengutuk pimpinan termasuk presiden sendiri dan timbalannya. Mereka hendaklah melihat bahawa perjuangan kita untuk membela Islam tetap diteruskan walaupun berhadapan dengan apa jua cabaran. Memang kita dalam medan politik bermusuhan dengan UMNO/BN sepanjang lebih 5 dekad. Tetapi apabila ada masa pihak musuh mengajak kita berbincang masalah yang berkait langsung dengan matlamat perjuangan kita, mengapa kita mesti menolak? Bukankah pergerakan kita berpandukan Al-Quran? Cukup sahaja merujuk kepada surah Al-Anfal, ayat 61 dan 62, di mana Allah memerintahkan umat Islam yang sedang berperang/bertempur supaya menyahut seruan musuh jika mereka menawarkan perdamaian. Kemudian kita diperintahkan berserah kepada Allah dan andainya musuh hendak menipu atau memperdaya kita, Allah menegaskan cukup sahaja Dia yang akan menolong kita.

Sukar saya hendak memahami mengapa apabila PAS berbincang mengenai kepentingan Islam dan umatnya tidak kira dengan siapa pun, ianya boleh menimbulkan prasangka seolah-olah mahu mengenepikan rakannya dalam Pakatan Rakyat. Apakah sekiranya membincangkan isu gejala sosial di kalangan orang Islam, isu murtad, isu penguatkuasaan undang-undang pantadbiran Islam yang sedia ada yang kini seolah-olah disingkirkan oleh kerajaan UMNO/BN, semua itu boleh dianggap sebagai usaha mengenepikan rakan dalam Pakatan Rakyat. Bukankah sekiranya perkara-perkara tersebut dapat diatasi secara tidak langsungnya dapat mengukuhkan kedudukan kerajaan Pakatan Rakyat?

Akhirnya kepada semua penyokong dan pendokong PAS termasuk pimpinan kelab-kelab penyokong PAS supaya sentiasa mengikuti penjelasan dan penerangan mengenai apa-apa jua isu yang menyentuh parti melalui media kita, bukannya mempercayai diayah dan propaganda musuh yang tidak pernah putus-putus memutar-belit dan memanipulasi isu-isu yang boleh menguntungkan mereka. Sebagai contoh mereka terus mempermainkan istilah muzakarah yang sudah kita tukarkan dengan istilah muqabalah. Namun mereka tetap menggunakan istilah muzakarah. Sebab itu ada sahabat-sahabat yang mencadangkan kepada saya supaya muqabalah pun jangan diadakan dengan UMNO jika ia boleh menyebabkan berbalah di antara sesama PAS dan juga rakan pakatan. Saya terfikir elok juga jika cadangan ini saya bawa ke dalam mesyuarat AJK PAS Pusat bersama Majlis Syura esok pagi.


Baca lagi...

Rabu, Julai 16, 2008

UMNO Perak Berbohong dan Menyebar Fitnah untuk Menebus Kekalahan

‘Perjanjian Pangkor II’?
(foto ehsan Muzium Perak)

Maksud firman Allah SWT:
“Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.” (Al-Furqan:63)

UMNO Gunakan Badan NGO
Setelah gagal dalam usaha mereka memujuk PAS dan percubaan menarik beberapa orang ADUN Pakatan, UMNO merancang dan melaksanakan pelan bertindak membuat dan menyebar fitnah dengan menggunakan beberapa kumpulan kecil yang mereka dakwa mewakili badan NGO Melayu Islam di Perak. Mereka merancang perhimpunan besar-besaran kononnya untuk menyatakan bantahan mereka terhadap kerajaan campuran Pakatan Rakyat. Mereka menuduh PAS bersekongkol dengan DAP untuk mengenepikan hak ketuanan Melayu dan mengancam agama Islam demi mendapatkan kuasa. Untuk menarik orangramai, mereka sebarkan risalah yang bertandakan lambang PAS yang dipalsukan. Ini mereka lakukan pada hari-hari pertama mereka kehilangan kuasa. Namun perhimpunan itu gagal mendapat sambutan walaupun media perdana yang dikuasai UMNO/BN mewarwarkan perhimpunan yang gagal itu sebagai satu kejayaan. Semenjak itu timbullah tuduhan-tuduhan dan fitnah yang diatur secara terancang. Kesemuanya cuba memberikan persepsi bahawa Dato’ Seri Haji Mohammad Nizar yang menjadi Menteri Besar adalah boneka kepada DAP Perak yang diketuai oleh Dato’ Ngeh Koo Ham.

Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak Ke-12 pada hujung bulan lalu, mereka melemparkan pelbagai tuduhan dan fitnah terhadap Menteri Besar. Namun strategi serangan mereka memakan diri sendiri apabila isu yang mereka lontarkan disanggah oleh Menteri Besar dan pihak kerajaan. Di luar dewan, Dato’ Ngeh Koo Ham mengeluarkan kenyataan yang jelas bahawa dalam kerajaan Pakatan Rakyat tidak ada mana-mana parti yang mendominasi kerajaan. Beliau menegaskan bahawa setiap keputusan yang diambil dalam majlis mesyuarat kerajaan adalah dibuat secara konsensus. (rujuk kenyataan Pengerusi DAP Perak dalam akhbar The Sun 25 Jun 2008)

Pimpinan UMNO diketuai oleh Tajol Rosli dengan dibantu oleh media arus perdana pro-UMNO terus memainkan pelbagai perkara yang mereka putar belitkan sehingga dilihat sebagai isu yang mencabar kedudukan orang Melayu dan Islam di negeri Perak. Di antaranya, arahan pertukaran jawatan Dato’ Haji Jumry, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIP) dalam tempoh 24 jam yang kemudiannya ditarik balik setelah mendapat nasihat pihak istana. Perkara ini mereka permainkan habis-habisan apabila Karpal Singh mengeluarkan kenyataan menegur raja-raja. Bagaimanapun isu ini selesai apabila DYTM Raja Muda Tuanku Raja Nazrin Shah selaku Pengerusi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak mengeluarkan kenyataan memuji sikap Menteri Besar dalam menangani perkara berkenaan dengan cara yang harmoni dan penuh kebijaksanaan.

Geran Kekal 999 Tahun?
Tuduhan yang boleh mengelirukan rakyat terutama orang-orang Melayu di negeri Perak ialah mengenai tawaran geran pemilikan tanah Kampung-kampung Baru di negeri Perak yang diberikan taraf Pemilikan Kekal selama 999 tahun. Kononnya kerajaan Perak membuat keputusan sedemikan adalah kerana desakan DAP. Perkara seperti ini memang sangat mudah dipermainkan apabila media perdana terus mewarwarkannya, jangankan orang-orang biasa, pemimpin PAS pun ada yang ikut terbawa-bawa dengan propaganda UMNO ini. Ramai orang terkejut apabila Dato’ Mustafa Ali dalam catatan awalnya dalam blog beliau pada bulan lalu secara terbuka menegur Menteri Besar Perak tentang perkara ini. Padahal beliau boleh bertanyakan kepada saya atau memberikan pendapatnya terus tanpa perlu mencatat dalam blognya.

Sebenarnya, cadangan pemberian geran milik kekal kepada Kampung-kampung Baru dan Kampung-kampung Tersusun bukannya datang dari DAP tetapi perkara itu adalah sebahagian dari sepuluh tawaran PAS dan PKR dalam Manifesto BA dalam PRU Ke-12 yang lalu. Semestinya untuk memenuhi janji BA, perkara ini dibawa ke dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri dan dipersetujui oleh DAP. Tidak timbul sama sekali hanya Kampung Baru sahaja yang berhak mendapat geran milik kekal, tetapi Kampung Tersusun juga sama berhak. Bahkan kerajaan juga bersetuju menawarkannya kepada perkampungan Orang Asli. Apapun, tawaran geran milik kekal iaitu pegangan bebas (freehold) itu adalah ditawarkan secara pilihan (option) kerana mereka juga ditawarkan pemilikan pajakan samada 30 atau 60 atau 99 tahun. Kesemuanya bergantung kepada kesediaan dan kemampuan mereka membayar premium atas pemilikan itu.

Bagaimanapun, jika diandaikan kesemua penghuni Kampung-kampung Baru menerima tawaran geran milik kekal atau pegangan bebas, maka kawasan Kampung Baru itu sampai bila-bila pun tidak akan bertambah keluasannya (kira-kira 6,000 ekar) sedangkan Kampung Tersusun yang kini keluasannya kira-kira 7,000 ekar boleh bertambah bila dibuka lagi Kampung-kampung Tersusun pada masa akan datang. Kampung-kampung Tersusun ini hampir seratus peratus penghuninya adalah orang-orang Melayu. Pemimpin-pemimpin UMNO sangat mengetahui perkara ini sebab pada zaman mereka memerintah 50 tahun itulah terbangunnya Kampung-kampung Tersusun sedangkan Kampung Baru wujud pada zaman penjajah semasa darurat kerana ancaman komunis. Dalam hal ini saya sukalah mengingatkan semua pihak khasnya orang Melayu bahawa sepanjang UMNO/BN berkuasa di Perak, mereka telah mengorbankan puluhan ribu ekar Tanah Rizab Melayu untuk kepentingan golongan tertentu atas nama pembangunan. Sebagai satu contoh, kira-kira 7,000 ekar Tanah Rizab Melayu di kawasan Beruas telah dikorbankan untuk membangun Gula Perak Berhad. Hari ini apa sudah jadi dengan syarikat itu, adakah ia mati tanpa kubur? Inilah yang patut rakyat tanya pimpinan UMNO seperti Dato’ Seri DiRaja Tajol Rosli.

UMNO Mencipta Fitnah ‘Perjanjian Pangkor II’
Fitnah terbaru ialah ‘Perjanjian Pangkor II’ yang direka oleh pemimpin-pemimpin UMNO untuk menimbulkan pelbagai fitnah lagi, samada untuk tujuan memecahbelahkan antara PAS dengan rakan Pakatan Rakyat atau untuk menimbulkan keresahan atau pertelingkahan di antara pimpinan PAS dengan ahli-ahli grassrootnya. Untuk menegakkan fitnah ini seolah-olah satu fakta yang benar, UMNO Perak terpaksa mendapatkan pandangan seorang tokoh undang-undang dan perlembagaan UMNO yang dianggap sebagai pakar iaitu Dato’ Seri Rais Yatim yang juga Menteri Luar. Padahal pakar undang-undang mereka inilah yang bertanggungjawab melepaskan Pulau Batu Putih kepada Singapura kerana tidak berjaya menegakkan hujah Malaysia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Padanlah Malaysia kalah, kerana dalam fitnah yang direka UMNO inipun beliau memberikan pendapatnya berasaskan andaian semata-mata seperti yang beliau sendiri sebutkan. (rujuk Utusan Melayu 9 Julai 2008)

Ada pula di antara pemimpin UMNO mengatakan perjanjian itu dimeterai di Pulau Pangkor di antara Hj Nizar dan DAP (masyaAllah!). Inilah bukti yang menunjukkan mereka meraba-raba di dalam mencipta fitnah tersebut. Ke sana-sini mereka mewarwarkan bahawa kerana ‘Perjanjian Pangkor II’ itu Menteri Besar Haji Mohammad Nizar tidak boleh menyebut perkataan-perkataan Islam dan istilah Islam seperti hudud, qisas dan seumpamanya. Terlampau dangkal nampaknya pemikiran pemimpin-pemimpin UMNO mencari modal untuk membuat fitnah. Mereka cuba menggambarkan PAS Perak kononnya mengkhianati perjuangan dan jihad menegakkan Islam. Fitnah ini turut dijual dalam ceramah-ceramah kursus-kursus BTN kepada peserta-peserta dari kalangan guru-guru agama SMABK baru-baru ini.

Begitu juga dalam suatu perhimpunan belia di Padang Rengas baru-baru ini yang turut dihadiri oleh Dato’ Seri Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mereka memperalatkan seorang abang kepada Menteri Besar Perak, Fadhil Jamaluddin, yang bertugas sebagai seorang pensyarah di sebuah pusat pengajian tinggi di Kedah. Beliau menuduh adiknya Dato’ Seri Nizar tidak layak menjadi Menteri Besar kerana kononnya sentiasa tunduk kepada DAP akibat dari ‘Perjanjian Pangkor II’ yang didakwa oleh UMNO.

Demikianlah UMNO terus memfitnah dan mengharapkan dari ‘Perjanjian Pangkor II’ yang mereka reka-rekakan itu akan memberikan kesan negatif kepada kerajaan Pakatan Rakyat. Tetapi mereka agak kecewa apabila lontaran fitnah ‘Perjanjian Pangkor II’ yang mereka permainkan di tengah-tengah rakyat, ianya begitu mudah ditendang keluar padang oleh Menteri Besar dan Pengerusi DAP Perak apabila kedua-duanya menafikan kewujudan perjanjian yang UMNO fitnahkan itu. Realiti yang disaksikan oleh rakyat dalam tempoh 3 bulan Menteri Besar menerajui Pakatan Rakyat, beliau tidak pernah lupa menyebut ayat-ayat Al-Quran dan istilah-istilah Islam samada dalam ucapan rasmi atau dalam ceramah umum. Bahkan setiap kali Mesyuarat Exco pun, beliau memulakan dengan bacaan Al-Fatihah dan tahmid serta salawat. Tidak pernah mana-mana Exco DAP membantah atau persoalkannya. Bukan itu sahaja, malah saya sendiripun ketika mempengerusikan mesyuarat di antara ketiga-tiga parti, berbuat demikian juga dan menutup mesyuarat dengan bacaan Tasbih Kifarah dan Surah Al-‘Asr. Tiadapun sebarang masalah.

Kononnya Menteri Besar tidak berani menyebut istilah syariat Islam seperti hudud dan qisas. Saya fikir eloklah pemimpin UMNO cermin muka mereka dulu. Bukankah UMNO yang paling keras menentang hudud dan qisas yang diperkenalkan oleh kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu sebelum ini.

Bercakap fasal kedudukan Islam dan kepentingannya di negeri Perak, saya kemukakan pertanyaan kepada UMNO, bukankah kerajaan UMNO/BN yang membunuh Sekolah Agama Rakyat di negeri Perak? Bahkan Sekolah Agama Negeri yang hanya ada dua buah (Izzudin dan Raja Ta’yah) itupun telah diputuskan oleh kerajaan UMNO/BN Perak yang lalu untuk diserahkan kepada Kerajaan Pusat. Alasannya kerajaan negeri Perak tidak mampu membiayainya. Nasib baik kerajaan Pakatan Rakyat sempat menarik balik keputusan itu sebelum penyerahan rasmi dilakukan. Kini hanya tinggal beberapa buah Sekolah Agama Rakyat di Perak yang terselamat. Baru-baru ini juga Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk membantu sekolah-sekolah tersebut. DAP tidak teragak-agak menyokongnya.

Sementara itu pelbagai perancangan sedang disusun oleh kerajaan Pakatan Rakyat untuk menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan ummah seperti yang pernah dititahkan oleh DYMM Sultan. DAP tak bangkang pun. Begitu juga pemilihan Ketua-ketua Kampung seramai lebih dari 700 orang secara demokrasi yang hampir seratus peratus terdiri dari orang Melayu, pun tidak dipertikaikan langsung oleh DAP.

Satu perkara yang UMNO patut tahu bahawa DAP sebagai rakan sepakat dalam kerajaan Pakatan Rakyat sentiasa menerima keputusan yang dibuat secara syura (konsensus) oleh pemimpin ketiga-tiga parti pakatan. Sebagai contoh, jawatan Datuk Bandar Ipoh dipersetujui secara syura supaya jawatan tersebut dipegang oleh penjawat awam, bukan ahli politik seperti yang dihasratkan oleh DAP. Pemimpin DAP menerima dengan senang hati keputusan ini. Bahkan semenjak awal-awal perlantikan Menteri Besar tiga bulan yang lalu, pimpinan DAP tidak bermasalah menerima keputusan syura kami supaya tidak diwujudkan jawatan Timbalan-timbalan Menteri Besar dari kalangan orang bukan Melayu yang pernah diura-urakan oleh DAP.

Inilah sebahagian daripada realiti yang menjadi bukti bahawa fitnah ‘Perjanjian Pangkor II’ itu adalah rekaan yang memakan diri UMNO sendiri.


Baca lagi...

Selasa, Julai 15, 2008

UMNO Perak Tak Sanggup Terima Kekalahan


Maksud firman Allah SWT:
“Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman.” (Al-Anfal:62)

Jerit pekik dan suasana gempar berlaku di kediaman mantan Menteri Besar Perak di Jalan Raja Dihilir, Ipoh pada malam 8 Mac 2008. Dato’ Seri DiRaja Tajol Rosli dan isterinya Datin Seri Kamariah di antara mereka yang seperti sesak nafas apabila keputusan PRU Ke-12 yang diumumkan menunjukkan UMNO/BN hanya memenangi 28 kerusi DUN Perak, manakala selebihnya 31 kerusi dimenangi oleh parti-parti pembangkang PAS-PKR-DAP.

Pada waktu yang sama di ibupejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Perak di Jalan Medan Istana 2, Ipoh Raya, kami pimpinan PAS dan PKR (BA) berunding untuk menimbangkan tawaran DAP bagi membentuk kerajaan campuran. Akhirnya kira-kira jam 2 pagi (9 Mac), kami berenam dari pimpinan PAS, PKR dan DAP membuat sidang media di ibupejabat DAP (yang terletak kira-kira hanya 100 meter jaraknya dari ibupejabat PAS) dan mengumumkan persetujuan bersepakat membentuk kerajaan campuran di antara ketiga-tiga parti yang kami namakan pada ketika itu Barisan Rakyat (kini dinamakan Pakatan Rakyat).

UMNO tidak sanggup menerima kekalahan kerana parti itu memenangi hanya 27 kerusi dari 35 kerusi yang mereka bertanding di kawasan majoriti Melayu menentang PAS dan PKR. Bermula dari saat itu UMNO berusaha dengan begitu yakin untuk membentuk kerajaan melalui pelbagai cara dan pendekatan. Pada mulanya mereka menawarkan puluh jutaan ringgit kepada beberapa orang ADUN PAS supaya melompat parti dan menyebelahi mereka. Orang yang pertama mendapat tawaran rasuah itu ialah ADUN Pasir Panjang yang menjadi menjadi Menteri Besar Perak sekarang.

Bila gagal berbuat demikian, mereka mengajak PAS Perak membentuk kerajaan campuran dengan UMNO/BN. Pelbagai pihak digunakan sebagai agen mereka menemui saya selaku Pesuruhjaya PAS Perak. Bahkan ada agen mereka yang menemui Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Mereka gunakan beberapa orang mufti, pegawai tinggi kerajaan negeri, pertubuhan NGO dan seorang ADUN BN yang ada hubungan keluarga dengan saya. Namun Tajol Rosli sendiri tidak sanggup berhubung terus dengan saya walaupun saya ada dijemput untuk bersemuka dengan beliau.

Tajol Rosli terus berbincang bersama pimpinan UMNO untuk memujuk PAS walaupun pada kira-kira jam 4 petang 10 Mac kami pimpinan dari ketiga-tiga parti Pakatan telah diterima mengadap oleh DYTM Raja Muda Tuanku Raja Nazrin Shah di Istana Kinta. Saya selaku ketua rombongan pakatan kemudiannya mengadakan sidang media di ibupejabat PAS selepas selesai mengadap DYTM Raja Muda. Turut hadir ialah YB Dato’ Husam Musa, Naib Presiden PAS. Dalam sidang media itu saya menjelaskan bahawa sekiranya Menteri Besar Perak dilantik dari pimpinan PAS, maka ia bukanlah kerajaan PAS, begitu juga sebaliknya. Yang paling penting bahawa kerajaan campuran yang akan dibentuk adalah mengikut perlembagaan negeri Perak. YB Dato’ Husam juga turut memberikan penjelasan mengapa PAS bersepakat membentuk kerajaan campuran dengan DAP dan PKR.

Sidang Media PAS Perak pada 10 Mac 2008
(video ehsan TheStarOnline.tv)

Kesempatan Terbuka Bila
Upacara Angkat Sumpah MB Tertunda

Pimpinan UMNO semakin gelabah, mereka terus berusaha untuk menggagalkan pembentukan kerajaan campuran Pakatan Rakyat. Mereka melihat kesempatan terbuka apabila upacara mengangkat sumpah Hj Nizar selaku Menteri Besar pada 13 Mac terpaksa dibatalkan kerana bantahan dari ADUN-ADUN PKR. Kali ini mereka menggunakan agen dari Kuala Lumpur. Seorang pemimpin tertinggi UMNO yang berasal dari Perak dan seorang pegawai tinggi kerajaan Pusat yang isterinya berasal dari Perak bersungguh-sungguh mencuba untuk menemui saya untuk berbincang. Kedua mereka disertai oleh rektor sebuah kolej pengajian tinggi negeri Perak. Pemimpin tertinggi UMNO tersebut yang kami telah lama berkenalan dan kini menjadi salah seorang Menteri Kabinet sempat berbual dengan saya melalui telefon meminta saya bertemu empat mata dengan beliau. Bagaimanapun saya mempunyai beberapa jadual pertemuan dengan pimpinan PAS kawasan Bagan Serai dan Taiping dan saya tidak dapat berjanji untuk memberi masa kepada beliau.

Namun akhirnya beliau dan rombongannya sampai ke tempat penginapan saya di Balai Kuliyyah Tasawwur Islami, Simpang Empat Semanggol tetapi gagal menemui saya kerana tempat penginapan kami dikawal ketat oleh pasukan Unit Amal dengan dibantu oleh dua buah kereta peronda PDRM. Peristiwa itu berlaku pada jam 9 malam 16 Mac. Esok hari selepas upacara angkat sumpah Menteri Besar selesai, saya ditemui oleh seorang agen UMNO yang menunjukkan mereka belum berputus asa memujuk kami untuk membentuk kerajaan campuran bersama BN atas alasan ahli-ahli Exco belum dilantik.

Kemudian pada 29 Mac, 10 orang ahli Exco kerajaan Pakatan Rakyat mengangkat sumpah. Pimpinan UMNO segera mempertikaikan perlantikan tersebut kerana Exco-Exco berkenaan tidak diumumkan portfolio jawatan masing-masing. Sebenarnya MB Dato’ Seri Haji Mohammad Nizar sengaja menangguhkan pengumuman mengenai pembahagian portfolio di antara Exco-Exco berkenaan, walaupun keputusan mengenainya telah dicapai setelah kami pimpinan ketiga-tiga parti bermesyuarat beberapa kali. Kami berpendapat adalah lebih harmoni pengumuman dibuat setelah keputusan tersebut disahkan dalam sidang mesyuarat pertama Exco tersebut.

UMNO cuba ambil kesempatan lagi menuduh kononnya Menteri Besar menyerahkan Portfolio Kewangan kepada Exco kanan DAP Dato’ Ngeh Koo Ham. Tuduhan itu mereka sebarkan melalui ceramah penerangan UMNO Perak dalam ‘roadshow’ mereka ke seluruh negeri. Padahal kami telah bersepakat bahawa Menteri Besar memegang Portfolio Kewangan, Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Pembangunan Ekonomi, Keselamatan dan Pembangunan Luar Bandar.

Tipudaya Tidak Menjadi
Akhirnya, semua tipudaya dan percubaan mereka satu semi satu tidak menjadi. Bermula dengan memainkan isu perkauman dan agama, kemudian menghasut rakyat dengan membangkitkan hak ketuanan Melayu dan percubaan melaga-lagakan Menteri Besar dengan pihak istana. Kesemuanya tidak dapat memenuhi hasrat mereka yang sedang dilanda oleh perasaan mabuk kuasa akibat kekalahan UMNO/BN, yang mereka anggap tsunami politik negara.

Habis apa langkah seterusnya? Lakukan gerakan perang saraf terhadap kerajaan Pakatan Rakyat dan parti-parti pakatan. Maka UMNO kembali semula kepada taktik dan pendekatan menawan ADUN Pakatan Rakyat. Kini sasaran mereka adalah ADUN DAP. Beberapa orang ADUN DAP kononnya secara sukarela bersetuju akan melompat kepada BN. Maklumat yang kami perolehi dari sumber yang kami percayai, agen-agen UMNO yang ditugaskan untuk membeli ADUN-ADUN berkenaan telah mengaturkan rundingan tawar-menawar di sebuah negara jiran. Bagaimanapun pimpinan DAP telah mengambil beberapa tindakan dalaman dan membuat laporan polis serta memaklumkan perkara ini kepada BPR.

Saya yakin amat sukar bagi ADUN-ADUN Pakatan Rakyat untuk melompat keluar parti kerana setiap ADUN Pakatan Rakyat telah menandatangani surat perjanjian masing-masing dengan DYMM Sultan Perak pada 13 Mac 2008 di Istana Kinta. Bolehlah ianya dinamakan ‘Perjanjian Kinta 2008’. Perjanjian itu mengandungi ikrar setiap ADUN Pakatan Rakyat (seramai 31 orang) bahawa mereka secara sukarela bersetuju mendokong penubuhan kerajaan campuran PAS-DAP-PKR dan bersetuju atas perlantikan Haji Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar yang kesepuluh.

Implikasi melanggar surat perjanjian ini boleh menyebabkan ADUN berkenaan dianggap menderhaka kepada sultan. Kecuali ke mana parti pun mereka melompat mereka tetap menyokong kerajaan pakatan Pakatan Rakyat sebagai tanda kesetiaan mereka kepada sultan. Tapi jika keadaan seperti ini berlaku UMNO/BN tidak akan mendapat apa-apa peluang untuk membentuk kerajaan. Bahkan sebaliknya sekiranya ADUN-ADUN yang melompat itu berani mengambil tindakan menyertai ADUN BN untuk membentuk kerajaan maka bukan saja mereka akan mengadapi masalah besar dengan pihak istana, malah pimpinan UMNO sendiri boleh dianggap bersubahat dengan penderhakaan kepada sultan. Beranikah UMNO mengambil risiko besar ini, hanya Dato’ Seri DiRaja Tajol Rosli dan rakan-rakannya sahaja yang boleh menjawab.


Baca lagi...

Rabu, Julai 09, 2008

Pendirian Saya mengenai Tuduhan Terhadap DSAI

Bagi menjawab pertanyaan beberapa pihak mengenai pendirian saya atas isu tuduhan terhadap DSAI seperti yang telah diketahui umum, maka pendirian saya adalah seperti yang terkandung dalam fatwa Dr Taha Jabir al-‘Ulwani. Pendirian inilah juga yang saya berpegang pada 1998 ketika DSAI menerima tuduhan yang sama kali yang pertama. Pendirian saya ini pernah keluar dalam kenyataan yang saya buat atas nama Presiden Persatuan ‘Ulama Malaysia pada ketika itu. Baca dan fahamilah fatwa berkenaan seperti yang dinyatakan dalam artikel HarakahDaily ini:

Fatwa Dr Taha Jabir al-'Ulwani mengenai fitnah terhadap Anwar Ibrahim


Baca lagi...

Khamis, Julai 03, 2008

Rakyat Semakin Prihatin dengan Persoalan Keadilan dan Kezaliman - Bhg 2


Sambungan dari bahagian pertama.

Kunci Keadilan dan Kezaliman di Tangan Pemimpin

Maksud firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.” (An-Nahl:90)

Allah SWT menyuruh hambaNya berlaku adil (jangan berbuat zalim) kepada manusia dan segala makhluk yang bernyawa dan serentak itu Allah SWT melarang manusia berbuat keji dan mungkar. Justeru manusia mesti menghindari kezaliman kerana kezaliman itu sendiri perbuatan keji dan mungkar yang dikutuk Allah SWT.

Ayat Al-Quran berkenaan yang lazimnya dibaca oleh khatib dalam khutbah Jumaat sejak ribuan tahun lalu, adalah simbolik bagaimana penekanan kepada keadilan itu disampaikan kepada para jamaah yang menunaikan solat Jumaat, iaitu golongan lelaki Islam. Dari perspektif Islam, golongan lelaki adalah pemimpin kepada keluarga, masyarakat dan negara. Ini bermakna persoalan keadilan diberikan penekanan utama kepada pemimpin, kerana biasanya di tangan pemimpin tertegak keadilan atau kezaliman dan bagaimana pentingnya persoalan ini diberikan perhatian utama oleh pemimpin.

Namun, malangnya sejak zaman purbakala hingga zaman moden ini, lahir ribuan pemimpin yang zalim terhadap rakyatnya. Contohnya, kezaliman Raja Namrud yang menyuruh rakyat menyalakan api untuk membakar Nabi Ibrahim AS hanya kerana Nabi Ibrahim AS hendak meruntuhkan berhala kepercayaan kuffar di zaman Namrud. Demikian juga bagaimana para nabi dan rasul yang lain dizalimi di zamannya. Pemimpin seperti Firaun, pemimpin di zaman Rom, Parsi dan Mongol, raja-raja China, Jawa, India, Afrika dan lain-lain di zaman dulu yang penuh dengan kezaliman, hinggalah kepada pemimpin di zaman kini seperti Adolf Hitler, Benito Mussolini, Al-Malik Farouk, Gamal Abd Nasir, Chauchescu dari Romania, Fujimori dari Peru, Sukarno, Ferdinand Marcos dan Suharto adalah sebahagian daripada para diktator buas yang tercatat dalam sejarah manusia.

Mereka semua adalah seperti harimau lapar yang sentiasa hendak menerkam mangsanya. Sejak zaman purba hingga kini, berjuta-juta manusia telah dizalimi, dibunuh, dipenjarakan dan diseksa sedemikian rupa. Ini gambaran kejahatan kezaliman, justeru itu Allah SWT memberikan penekanan khusus, mengutuk orang atau pemimpin yang berlaku zalim. Namun manusia, dari zaman berzaman, melakukan kezaliman juga.

Demikian juga mengenai tahanan ISA yang ditahan tanpa dibicarakan. Ratusan orang, sejak dulu hingga kini telah menjadi mangsa kezaliman undang-undang itu. Ingatlah, pemimpin yang melakukan kezaliman ini, baik yang menurunkan tandatangan terhadap perintah tahanan, yang membincangkan perihal tahanan ini dan juga yang melaksanakan tahanan ISA ini akan disoal di akhirat kelak akan kezaliman mereka. Sesungguhnya mereka tidak akan terlepas dari pemerhatian Allah SWT terhadap kezaliman ini, demikian juga dengan perbuatan zalim yang lain.

Perhatikan bagaimana dua khutbah Jumaat yang dimulakan dengan pesanan supaya bertaqwa dan ditutup dengan perintah supaya para jamaah berlaku adil, kerana keadilan hanya dapat ditegakkan jika bertaqwa, tanpa taqwa seseorang pemimpin itu menjurus kepada kezaliman. Jelaslah di sini bahawa keadilan itu didokong oleh taqwa, sementara kezaliman didokong oleh kekufuran dan kefasiqan. Ditegaskan lagi bahawa pemimpinlah yang memegang kunci untuk berlaku adil atau zalim. Apabila ia bertaqwa maka ia berlaku adil, tetapi jika ia tidak bertaqwa, maka ia akan berlaku zalim.

Jika ia memerintah sesebuah negara, membiarkan kekayaan hanya dibolot oleh segelintir suku sakat dan puaknya saja, dengan membiarkan yang lainnya hidup miskin, maka itu juga dikira zalim, tetapi jika ia membahagikan kekayaan negara kepada semua pihak, tanpa mengira puak dan suku sakatnya, maka itu dinamakan adil.

Membiarkan perbuatan rasuah dan penyelewengan berleluasa atau menutup perlakuan curang di bidang ekonomi, umpamanya, di kalangan puak mereka, maka itu juga dikira zalim. Jika ia menekan suara rakyat dan membiarkan rakyat dalam ketakutan untuk bersuara, maka itu juga dikira zalim dan mereka yang zalim, seperti ditegaskan oleh Allah SWT tidak akan mendapat petunjuk Allah SWT.

Sesungguhnya taqwa yang dimaksudkan oleh Al-Quran ialah mematuhi hukum Allah SWT sepenuhnya dan menegakkan syariat Islam supaya terpelihara daripada kemungkaran dan azab Allah SWT. Di dalam konteks taqwa, bahawa pemimpin yang layak hanya mereka yang benar-benar menghayati dan melaksanakan tuntutan taqwa, terutama menegakkan syariat Islam bagi menjamin keadilan kepada rakyat yang diperintahnya, supaya rakyat yang bernaung di bawah pemerintahannya terjamin hak mereka dan merasa selamat.

Dengan demikian jika seseorang Muslim yang menjadi pemimpin, tetapi tidak melaksanakan syariat Islam, maka ia adalah pemimpin yang zalim. Ini kerana ia engkar perintah Allah SWT dan dengan itu ia menzalimi rakyatnya.

Dalam setiap khutbah Jumaat, khatib menekankan betapa pentingnya taqwa yang akan menjuruskan seseorang kepada bersikap adil. Dan aspek keadilan diperingatkan oleh khatib sebelum menutup khutbah keduanya. Hingga sekarang, hal ini diamalkan sejak ia diperkenalkan olah Khalifah Umar Abd Aziz, seorang khalifah Bani Umayyah yang sangat adil dan bijaksana.

Pemerintahan Khalifah Umar Abd Aziz menjadikan aspek keadilan sebagai perkara yang amat diutamakan dalam pemerintahannya. Justeru itu apabila seseorang bercakap mengenai keadilan pemerintahan Islam, maka orang akan mengingati akan pemerintahan Rasulullah SAW dan mengingati pemerintahan Rasulullah SAW, orang akan mengingati pemerintahan Khalifah Umar Abd Aziz yang penuh takqwa, sangat adil dan bijaksana. Ia mewarisi keadilan pemerintahan Rasulullah SAW dan Khulafa-‘ur-Rashidin.

Bersambung dalam bahagian seterusnya (Syariat Islam yang Adil).


Baca lagi...