بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ
الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالاَتِ اللهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلاَ يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلاَّ اللهَ وَكَفَى بِاللهِ حَسِيبًا

Selasa, November 03, 2009

Ulama Tersepit Di Gelanggang Politik - Kata Datuk Mohd Nakhaie Ahmad (Bhg. 1)

Firman Allah:
إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

أُوْلَئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ خَالِدِينَ فِيهَا جَزَاء بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya:
Sesungguhnya orang-orang yang berkata, "Pemelihara kami Allah", dan kemudian meneguhkan, maka tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih. Mereka itulah orang-orang Taman (Jannah), di dalamnya tinggal selama-lamanya, sebagai balasan ke atas apa yang mereka buat. (Al-Ahqaf: 13-14)


Majalah Milenia Muslim (MM) keluaran Oktober 2009 membangkitkan lagi krisis politik di Perak. Mungkin Editor majalah tersebut dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang berkerjasama menerbitkannya tidak begitu selesa dengan jawapan dan penjelasan saya mengenai isu tersebut seperti yang tersiar dalam keluarannya pada bulan Ogos 2009. Secara jelas saya menolak dakwaan Tan Sri (ketika itu Datuk Seri) Haji Harussani Zakaria, Mufti Negeri Perak, yang kononnya krisis tersebut berpunca dari sikap saya. Mufti tersebut dalam wawancaranya dengan majalah MM keluaran Mei 2009 mendakwa kononnya Tok Guru Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Haji Hadi Awang bersetuju PAS membentuk kerajaan bersama UMNO di Perak. Hanya saya yang ketika itu selaku Pesuruhjaya PAS Perak yang menolak cadangan itu.

Penjelasan saya sebahagiannya ditapis dan tidak disiarkan tetapi saya siarkan dalam blog saya. Bahkan saya dedahkan perbuatan mungkir janji pihak Editor mengenai beberapa syarat yang dipersetujui untuk menemubual saya. Atas persetujuan kepada syarat-syarat itulah saya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap majalah MM yang membuat tulisan berunsur fitnah terhadap saya. Saya percaya kerana tidak senang dengan pendedahan dalam blog saya menyebabkan Datuk Mohd Nakhaie Ahmad menulis, samada dengan maksud membela Tan Sri Harussani atau pun cuba mempertahankan majalah MM yang di bawah naungannya, sebelum beliau tamat perkhidmatannya selaku Pengarah YADIM pada 31 Oktober yang lalu.

Saya masih ingat pada suatu hari dalam bulan Jun lalu, Datuk Nakhaie dalam perbualan telefon dengan saya begitu mesra menyatakan persetujuannya supaya majalah MM menemubual saya untuk menjawab segala perkara yang berkaitan yang dibangkitkan oleh Tan Sri Harussani. Akan tetapi ternyata beliau mencari peluang untuk menzahirkan isi mindanya dalam "Kembara Minda" majalah tersebut. Saya sebenarnya memang tidak gemar hendak mendedahkan cerita peribadi seseorang, namun untuk menjustifikasikan pendapat dan memberi hujah dalam menegakkan kebenaran, terpaksalah cerita peribadi Datuk Nakhaie saya ambil sebagai fakta untuk dinilai sejauh mana tulisan dan pendapat beliau boleh diterimapakai, kerana beliau sendiri adalah seorang yang boleh digelar sebagai ulama.

Datuk Mohd Nakhaie dahulunya dikenali sebagai Ustaz Nakhaie. Beliau berkelulusan dari Universiti Al-Azhar dan Darul Ulum, Kaherah, Mesir. Beliau pernah bertugas sebagai Penasihat Agama ITM (kini UiTM), Shah Alam tetapi kemudiannya meninggalkan jawatan tersebut. Setahu saya beliau pernah menjadi ahli jawatankuasa Biro Agama UMNO yang diketuai oleh Datuk Wan Abdul Kadir Ismail sebelum menyertai PAS. Beliau juga pernah aktif dalam ABIM dan pernah ditahan beberapa hari di bawah ISA kerana terlibat dalam demonstrasi isu Baling 1974. Beliau menyertai PAS pada akhir tahun 70an dan kemudian meninggalkan PAS pada penghujung 1980an. Beliau pernah menjawat jawatan Setiausaha Agung PAS dan menjadi Naib Presiden semasa keluar PAS dan menyertai UMNO.

Jubah dan Serban Ustaz Nakhaie
Setahu saya Ustaz Nakhaie semasa dalam PAS dulu sering memakai jubah, berkopiah merah berlilit putih (serban ala Syeikh Azhar) seperti yang saya sentiasa memakainya. Sebaik sahaja beliau meninggalkan PAS, Ustaz Nakhaie menanggalkan serban Azhar dan sekali-sekala bersongkok hitam tetapi kebiasaannya tiada bersongkok. Sebab itu tidak hairanlah apabila beliau menulis: "Orang politik bersilat mengikut rentak dan gendang politik. Serban dan jubah orang politik tidak melambangkan kelurusan. Perkataan yang diucapkan juga ada maksud yang tersurat dan tersirat." Jadi Ustaz Nakhaie menjadikan apa yang diamal dan dilakukannya selaku seorang ulama sebagai suatu ukuran yang standard terhadap semua ulama, iaitu mereka tidak boleh dipercayai seorang yang lurus dan jujur dalam perkataan dan perbuatannya apabila terlibat dalam gelanggang politik. Oleh kerana yang kerap memakai jubah dan berserban adalah orang-orang PAS, maka apa yang beliau katakan itu boleh dianggap ditujukan kepada ulama-ulama dalam PAS, termasuk saya sendiri.

Pandangan dan fahaman Ustaz Nakhaie mengenai politik semata-mata diukur dengan pendirian politik peribadinya yang dapat ditafsirkan bahawa tindak-tanduk beliau samada di dalam PAS atau ketika berada bersama UMNO sehingga hari ini (walaupun tanpa sebarang jawatan), sentiasa mengikut rentak dan gendang politik untuk mencapai sesuatu kepentingan peribadi beliau. Sebab itu beliau berpendirian bahawa untuk mencapai sesuatu tujuan politik, beliau mengiktiraf "kaedah tujuan menghalalkan cara" (the end justifies the means) yang diperkenalkan oleh Niccolo Machiavelli sejak abad ke-16 masehi.

Sebenarnya sepanjang beliau berada di dalam PAS lebih sepuluh tahun, saya tidak meragui ketulusan dan kelurusan beliau sebagai seorang pemimpin gerakan Islam (PAS), sekalipun saya tahu beliau pernah menduduki Biro Agama UMNO (saya tidak pasti samada beliau menjadi ahli parti itu). Saya pun tidak pernah mempersoalkan tindakan beliau menyelamatkan diri dari kemungkinan ditahan di bawah ISA ketika Operasi Lalang (1987) memberkas ramai pemimpin-pemimpin politik pembangkang termasuk Haji Mohamad Sabu. Memang sepatutnya seorang pejuang mesti bersedia menghadapi sebarang risiko bersama rakan seperjuangan, tetapi Ustaz Nakhaie memilih jalan yang lebih selamat. Kepada saya tindakan beliau itu masih boleh diterima kerana beliau masih boleh meneruskan perjuangan dari luar negara. Beliau sanggup meninggalkan anak isteri beberapa bulan lamanya sehingga menimbulkan masalah kepada keluarganya.

Saya masih ingat pada suatu hari isteri beliau, Ustazah Rusmiyati Harun (kini Datin) mengadukan hal kesusahannya kepada saya disebabkan Ustaz Nakhaie tidak balik ke tanahair dan terus menyembunyikan diri di luar negara. Saya diberitahu Ustaz Nakhaie kadang-kadang berada di Mesir, kadang-kadang berada di UK atau di tempat lain. Beliau berkata: "Sayalah ibu, sayalah ayah dalam rumahtangga kami, kerana Ustaz (Nakhaie) tidak dapat memenuhkan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga sejak beliau berada di luar negara kerana menyelamatkan diri." Saya ketika itu menjadi ketuanya di JAKIM (ketika itu BAHEIS - Bhg Hal Ehwal Islam JPM) di mana Ustazah Rusmiyati adalah salah seorang pegawai kanan (KPP) di bawah arahan saya. Saya nasihatkan beliau supaya sentiasa bersabar dan beristiqomah serta memahami benar-benar perjuangan yang didokong oleh Ustaz Nakhaie.

Bersambung di Bahagian 2.

4 ulasan:

Telok Bakong berkata...

salam Ustaz Tak sabar nak dengar cerita seterusnya

tok pahat berkata...

Membaca tulisan ustaz, mengingatkan saya kepada 25 tahun yang lalu ketika kerap mengikuti tamrin Ust Nakhaie. Kami pemuda anggap kertas kerja beliau amat menarik dan membangkitkan semangat untuk istiqomah dalam perjuangan ini. "Bebiri yang keluar dari jamaah akan disambar serigala" dan "genggam bara biar sampai jadi arang" adalah kata-kata masih dingati. Kemudian berlaku Peristiwa Memali, saya melihat sendiri ketika TG Haji Hadi mengulas kejadian itu di Markaz Tmn Melewar yang masih dalam pembinaan, semua menitiskan airmata termasuk Ust Nakhaie di sebelah kanan saya.

Apabila menonton tv, beliau masuk UMNO bersama Puad Zarkashi, saya benar-benar sebak kerana kedua tokoh itu saya sayangi. Ramai pula sahabat 'menyokong' mereka dengan alasan itu strategi. Saya dengar hari-hari akhir dalam Pas, beliau mula menunjukkan buang tabiat seperti tidak pakai serban lilit merah dan makan nasi mula pakai sudu-garfu. Beliau cuba menukar wajah supaya 'keumnoan' ketika berucap dalam di PWTC, membocorkan rahsia amanat Pak Natsir dan anak lelaki beliau dikatakan ada masalah sosial. Namun begitu, adik-adik beliau masih istiqomah dengan Pas. Adakah Ust Nakhaie selepas pencen akan kembali menarung serbannya? saya ingin mengahdiahkan semula 'kertas kerja beliau yang muluk-muluk itu'. TG Nik Aziz waktu itu pernah mengusik, fitrah ikan ialah di air tetapi jika teringin sangat nak melompat merasai hidup di darat, cubalah.. dia masih ada peluang untuk menggolekkan diri ke air jika terasa kepayahan..

tu dia PakLong berkata...

Ikan busuk boleh buat apa? Buat baja boleh la kot.. nak buat pekasam pun dah tak boleh... lempaq jauh2 la... kuchin pun tak hingin....

Ini Nakhaei sudah tak laku lagi lah... Mamak Madey punya sampah, Pak Lah kutip utk penaik Islam Hadhari... mai Najib... kasi buang.... kah kah kah...

Ini Aku berkata...

Setuju dengan analogi Tok Guru NA, fitrah ikan adalah air. Dah teringinn sngt nak melompat kedarat, sampai masa tak bleh nak bernafas dia boleh tergolek balik kedalam air.

Manusia bukanlah takdirnya seperti batu yang tetaap batu. sedangkan batu boleh berubah-ubah bentuknya inikan pulak manusia. Adakalanya menjadi yang tidak sepatutnya, bukan bermakna esok lusa dia tetap macam tu. sekurang-kurang Al-Fadhil Tok Guru Ahmad Awang mengimbau kembali kisah lama, mungkin dapat mencuit sedikit naluri ikan dalam qalbu Ust Nakhaie.

/psst : Bukan ikan busuk lagi ni. Ikan ni masih mahal sebab dah lama dok dlm akuarium. Guan baru dia manusia, kalau dulu dlam air bebas tuan besarnya Allah...