بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ
الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالاَتِ اللهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلاَ يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلاَّ اللهَ وَكَفَى بِاللهِ حَسِيبًا

Rabu, Januari 16, 2013

Bincangkan 2699 Kalimah ALLAH Dalam Al-Quran Untuk Orang Islam Dan Bukan Islam

Firman Allah:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ
Maksudnya :
Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. (Aali-Imran: 102)

Dalam beberapa minggu ini, timbul semula ‘Isu Kalimah ALLAH’ setelah reda kira-kira hampir 3 tahun. Kali pertamanya, heboh pada akhir tahun 2009 apabila hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Puan Lau Bee Lan membuat penghakiman bahawa perintah Menteri Dalam Negeri Syed Hamid Albar (pada Januari 2009) yang melarang penggunaan kalimah ALLAH oleh orang-orang bukan Islam adalah tidak sah kerana  menurut hakim itu perintah tersebut bercanggah atau altravirus dengan peruntukkan perlembagaan Perkara 11(1)yang menjamin kebebasan beragama dan mengamalkan ajaran agama masing-masing. Dengan penghakiman tersebut maka orang bukan Islam khasnya orang Kristian yang membuat permohonan penghakiman itu dibenarkan menggunakan kalimah ALLAH dalam buku atau apa-apa penerbitan mereka. Ramai di kalangan orang Melayu terutamanya orang UMNO dan penyokong-penyokongya tidak berpuas hati, akibatnya berlaku peristiwa pembakaran gereja Kristian di sekitar Kuala Lumpur.

Kali ini isu tersebut bangkit apabila Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP dalam ucapannya sempena menyambut Krismas baru-baru ini meminta Kerajaan segera membenarkan agama Kristian menggunakan kalimah ALLAH dalam terjemahan Bahasa Melayu kitab Bible. Oleh kerana yang menyeruarakan perkara ini pemimpin DAP, maka isu ini meledak seperti sebiji bom beratnya bermega tan yang menggegarkan seluruh masyarakat warga Malaysia pelbagai agama, lebih-lebih lagi orang Melayu; terutamanya, UMNO dan badan-badan NGO penyokongnya.

Dalam keadaan haru-biru akibat ledakkan tersebut, masing-masing di pihak UMNO dan badan-badan NGO penyokongya ingin bercakap dan mengeluarkan hukum dan fatwa mereka. Pemimpin-pemimpin UMNO dan badan-badan NGO penyokongnya membuat bantahan dan mengutuk Lim Guan Eng dan partinya. Bahkan menyeret PAS dan PKR yang menjadi rakan Pakatan Rakyat dengan DAP. Ulama-ulama UMNO yang muda dan tua mencabar PAS untuk menyatakan pendirian.  Mereka seolah-olah tidak menyedari langsung bahawa apa yang disuarakan oleh Lim Guan Eng itu adalah selari dengan keputusan mahkamah yang memberikan hak kebebasan kepada orang bukan Islam untuk menggunakan kalimah ALLAH itu. UMNO sendiri lupa bahawa Perdana Menteri, Dato Sri Najib Tun Razak telah memberikan kelulusan kepada pihak gereja Kristian di semenanjung membawa masuk Bible terjemahan Bahasa Melayu yang mengandungi perkataan Allah pada bulan April 2011 beberapa hari sebelum berlangsung pilihanraya negeri Sarawak. Bahkan sebelum itu, Dato' Sri Nazri Aziz Menteri Jabatan Perdana Menteri menyatakan bahawa orang-orang Kristian di Sabah dan Sarawak boleh menggunakan kalimah ALLAH dalam kitab agama mereka.

PAS telah pun membuat pendirian dan menyatakan bahawa berdasarkan keterangan Al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW tiada bukti-bukti bahawa kalimah ALLAH itu tidak boleh diguna atau disebut oleh orang bukan Islam. Bagaimanapun dalam konteks masyarakat bukan Islam di negara ini, penggunaan kalimah Alllah oleh orang bukan Islam menurut PAS, hendaklah tidak disalah guna atau boleh menimbulkan penghinaan kepada Islam atau kalimah suci itu. Namun pihak UMNO dan penyokong-penyokongnya memutarbelitkan keputusan PAS itu dan juga menggambarkan bahawa PAS kononnya memihak kepada orang bukan Islam, khasnya orang Kristian kerana hendak mengambil hati orang bukan Islam bagi mendapat undi mereka. Berbagai tuduhan dan fitnah dilontarkan kepada pemimpin PAS khasnya Tuan Guru Haji Nik Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Haji Hadi.

Yang terbaru mereka juga menggambarkan bahawa keputusan PAS itu berlawanan dengan pedirian beberapa orang tokoh ulama PAS seperti Ustaz Dato’ Harun Taib dan Dato’ Dr.Harun Din. Ini bererti UMNO menjadikan isu kalimah ALLAH itu untuk cuba menggambarkan tidak ada kesepakatan diantara ulama-ulama PAS dalam keputusan yang dibuat sebelum ini dan cuba menimbulkan pepecahan di kalangan pimpinan PAS dan ahli-ahlinya. Dengan kata lain, UMNO menjadikan isu tersebut semata-mata untuk kepentingan partinya. Perkembangan ini memaksa PAS melalui Majlis Syura Ulamanya  memperbaharui  keputusannya yang dibuat pada 2010 dengan menambah beberapa penjelasan yang lebih terperinci. Namun pihak UMNO yang disokong oleh beberapa orang mufti (yang selama ini sering mewakili pendirian UMNO seperti Mufti Perak dan bekas Mufti Johor) tetap tidak boleh menerima penjelasan tersebut dan masih memutarbelitkannya atau sekurang-kurangnya mereka mendakwa PAS berdolak-dalik dalam perkara ini. Sikap UMNO seperti ini semata-mata kerana mahu menjadikan isu kalimah ALLAH ini sebagai modal PRU13 yang sudah sangat hampir waktunya.

Benar juga nampaknya seperti kata Professor Emeritus Mahmood Zuhdi dalam panel bicara TV Al-Hijrah baru-baru ini bahawa isu kalimah ini sudah dijadikan seperti bola yang ditendang kesana kemari oleh orang-orang politik (tentu yang beliau maksudkan ialah UMNO dan juga PAS dan termasuk beberapa orang mufti yang berpolitik menurut beliau). Tetapi bagi saya yang menendangnya sebagai bola itu hanya orang-orang UMNO dan ulama-ulamanya sahaja kerana PAS sekadar menjelaskan dan menolak segala tomahan UMNO. 

Ketika menjawab pertanyaan monderator panel Bicara TV Al-Hijrah itu (Amin Idris) “Bagaimana hendak menyelesaikan isu kalimah ini kalau keputusan mahkamah sendiri tidak dapat menyelesaikannya” Mahmood Zuhdi menegaskan bahawa untuk menyelesaikan isu ini, hentikanlah segala perbincangan mengenai persoalan kalimah ALLAH ini. Ertinya semua media milik Kerajaan atau milik UMNO dan proksi-proksinya seperti RTM, TV3,TV BERNAMA bahkan juga TV Astro, Radio IKIM dan media cetak seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, NST dan sebagainya hendaklah memberhentikan apa jua bentuk perbincangan, berita dan apa jua persoalan mengenai isu kalimah ALLAH ini. Selama ini, media-media inilah yang sentiasa memainkan isu kalimah ALLAH ini untuk tujuan politik UMNO BN. Maka yang hanya boleh memberhentikan perkara ini adalah Kerajaan iaitu UMNO BN. Saya tidak yakin saranan Professor Emeritus itu akan didengar oleh Kerajaan UMNO  BN. Takut-takut kata-kata Professor Emeritus itu pun juga cakap politik melalui TV Al-Hijrah itu. Kalau tidak percaya, tengoklah nanti. Pihak PAS atau PKR pun tidak ada masalah kerana mereka tidak ingin membangkitkan perkara ini. Saya sendiri pun tidak akan membangkitkan perkara ini lagi kerana saya sudah menulisnya dalam entri saya yang terdahulu kira-kira 3 tahun lalu dan apa yang ditulis itu adalah pendirian saya sehingga hari ini. 

Namun saya ingin menegaskan bahawa yang patut diberhentikan ialah mengenai  isu hukum kalimah ALLAH yang diguna pakai oleh orang bukan Islam dan bukan memberhentikan perbahasan mengenai keimanan kepada Allah, hukum-hukum Allah, perintah-perintah Allah, kewajipan menegakkan hukum-hukum Allah, kewajipan menegakkan agama Allah, kewajipan pertahankan perintah-perintah Allah dan hukum-hakamnya dan kewajipan mengajak manusia kepada jalan Allah dan bertaqwa kepadaNya.

Sebagai penutup tulisan ini, saya menyeru mereka yang bersungguh-sungguh benar hendakkan kalimah ALLAH itu eksklusif untuk orang Islam sahaja supaya mereka membaca ayat-ayat Al-Quran yang mengulang-ulangkan kalimah ALLAH itu sebanyak 2699 kali dengan memahami maksud-maksud ayat tersebut dan menghayatinya. Saya bimbang kalau-kalau mereka yang begitu bersemangat tidak membenarkan kalimah ALLAH itu disebut oleh orang bukan Islam, mereka belum sempat pun membaca separuh atau suku ayat-ayat tersebut.

Tiada ulasan: