بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ
الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالاَتِ اللهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلاَ يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلاَّ اللهَ وَكَفَى بِاللهِ حَسِيبًا

Rabu, Mac 17, 2010

Kewibawaan Ahmad Awang sebagai ulama

Sumber: HarakahDaily
Oleh: Subky Latif


SEORANG Mufti kanan dan beberapa ulama yang pernah dan sedang berkhidmat dengan kerajaan Barisan Nasional menegur cadangan bekas Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang yang sedia menganjur solat hajat terhadap AP Bagan Serai yang keluar dari PKR.

Kiranya Anggota Parliman yang khianat pada partinya dan pengundinya yang memenangkannya dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008 tidak rojok kepada partinya atau tidak mengosongkan kerusinya dalam masa tujuh hari, Ahmad Awang mahu menganjurkan solat hajat tujuh hari atau tujuh malam.

Maka beberapa ulama rasmi memberi ingatan keras kepada anjuran solat hajat itu. Seolah-olah solat hajat itu berhajat buruk. Tidak boleh solat hajat yang berhajat buruk.

Ada benar hukumnya, solat hajat tidak boleh untuk tujuan buruk.

Apakah Ustaz Ahmad Awang tidak tahu hukum itu?

Adalah wajar mufti dan sekalian ulama mengingatkan hukum itu. Apabila ulama rasmi mengeluarkan ingatan keras itu, tentunya mereka tidak menujukannya terhadap orang jahil tetapi ia ditujukan kepada Ahmad Awang, seorang ahli ilmu Islam yang ada kelayakan juga untuk menjadi mufti.

Tidakkah amat rendah pandangan mereka itu terhadap ilmu dan wibawa Ust. Ahmad Awang?

Sebagai manusia Ahmad Awang ada kelemahan dan ada kekuatannya. Tetapi beliau bukan orang jahil yang layak diberi amaran oleh mufti dan ahli-ahli ilmu yang lain.

Adalah benar dalam usia lanjutnya beliau seorang pemimpin tinggi PAS, tetapi beliau sebelumnya adalah Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia sekitar 30 tahun.

Persatuan Ulama itu diasaskan oleh Almarhum Ustaz Mahyudin Musa, seorang ulama yang dihormati yang berkhidmat dengan kerajaan Malaysia. Jawatan terakhirnya dalam kerajaan ialah pegawai kanan agama di Kementerian Pelajaran.

Ustaz Mahyuddinlah Yang Dipertuanya yang pertama dan pertubuhan itu adalah bagi menyatukan para ulama Malaysia tidak kira yang berkhidmat dengan kerajaan dan di luar kerajaan.

Ulama adalah orang yang tahu akan keperluan bersatu, maka itu tempat mereka patut bersatu. Mufti dan apa jua kedudukan tinggi dalam kerajaan dan masyarakat wajar bersatu dan itulah tempatnya.

Kalau ulama termasuk mufti menyeru umat Islam supaya bersatu, maka mereka perlu dulu bersatu dan tempatnya yang paling baik ialah Persatuan Ulama yang diasaskan oleh Ustaz Mahyuddin itu dan tokoh itu adalah orang yang cukup dekat dengan pemimpin-pemimpin kerajaan – Perdana Menteri dan menteri-menterinya.

Apabila Ustaz Mahyuddin meninggal awal tahun 70an, Ustaz Ahmad Awanglah gantinya baik sebagai ketua PUM bahkan jawatan yang disandangnya di kementerian pelajaran.

Ustaz Mahyudin Musa pernah menjadi tenaga pengajar di Kolej Islam Kelang dan Ahmad Awang adalah antara pelajar pertama di Kolej Islam itu.

Adakah mufti dan ulama yang memberi ingatan keras kepada Ust.Ahmad Awang tentang solat hajat itu pernah menyertai dan menyokong PUM tidak diketahui.

Tetapi itu pertubuhan penting bagi para ulama dan ulama wajar menyokong pertubuhan yang mahu mendaulat dan memartabadkan para ulama dan institusi ulama.

Ulama di seluruh dunia telah ditekan dan ditindas oleh penjajah hingga ulama itu dilihat kecil dan tidak berwibawa. Itu jugalah nasib dan imej ulama di Tanah Melayu setelah dijajah dan selepas dijajah. Tiada orang yang lebih tahu bagaimana ulama perlu didaulatkan selain dari ulama sendiri.

Ustaz Mahyudin telah membuka medan itu dan ia disambung oleh Ustaz Ahmad Awang. Apakah Ustaz Ahmad Awang berjaya dengan PUM tidaklah ditentukan oleh pimpinannya saja tetapi sejauh mana ia didukung oleh para ulama termasuk mufti yang dipandang tinggi oleh masyarakat.

Tanggungjawab mufti bukan sekadar kerja-kerja rasmi jawatannya dalam kerajaan dan di samping menasihatkan sultan, tetapi membuat kerja-kerja Islam di tengah masyarakat dan medannya sudah disediakan iaitu PUM.

Tiada pengecualian bagi berbelas mufti di Malaysia dari menjadi anggota pertubuhan itu kiranya mereka tahu apa tanggungjawab seorang ahli ilmu dan berkedudukan tinggi dalam masyarakat dan kerajaan.

Dalam apa keadaan, sama ada mufti dan ulama rasmi yang lain menyertai PUM atau tidak, Ustaz Ahmad Awang adalah juru cakap para ulama Malaysia seluruhnya. Sama ada mereka mengakuinya atau tidak, Ahmad Awang adalah amir mereka.

Kiranya beliau ada kelemahan, sekalian para ulama mesti membantunya. Kiranya beliau tiada kelayakan, maka para ulama antaranya para mufti yang ramai itu wajar tampil kedepan menggantikannya. Mungkin ulama tidak mengejar kedudukan. Tetapi mufti wajar tahu kewajaran ulama itu memimpin umat.

Tiada mufti dan ulama rasmi dan tidak rasmi mencabar Ahmad Awang semasa pimpinannya dalam Persatuan Ulama dalam tempohnya yang panjang itu. Beliau melepaskan pimpinan PUM itu kerana mahu bergiat dalam politik. Beliau mahu kebebasan PUM terpelihara.

Mungkin pimpinannya boleh dinilai, akan kelemahan dan kekuatannya. Tetapi tidak terdengar adalah mempertikai ilmu dan keupayaanya menguasai ilmu Islam.

Dengan ilmunya belum pernah beliau membuat pendapat yang ganjil seperti biawak itu halal dimakan atau untung lotri boleh digunakan bagi memajukan Islam atau sekular itu tidak salah.

Apa lagi tentang kewajaran solat hajat bagi mengadili orang yang khianat.

Justeru itu tidak wajar menyamakan beliau dengan ahli-ahli politik yang jahil.

Sumber: HarakahDaily


Baca lagi...

Jumaat, Mac 12, 2010

Solat hajat terhadap Mohsin, Sabtu ini

Sumber: malaysiakini.com
Oleh: Jimadie Shah Othman
Mac 10, 10
3:08pm


Ahli Majlis Syura Ulama PAS Ahmad Awang berkata, solat hajat tujuh malam bagi memohon hukuman Allah terhadap ahli parlimen Bagan Serai Mohsin Fadzli yang keluar parti akan dimulakan pada Sabtu ini.

Menurut Ahmad, tindakan itu terpaksa diambil kerana selepas tamat tempoh tujuh hari yang diberikan kepadanya - supaya kembali kepada Pakatan Rakyat atau mengisytiharkan sokongan terbuka kepada gabungan itu - gagal ditunaikan.

Malah, tambah Ahmad, Mohsin juga sudah seminggu tidak dapat dihubungi melalui talian telefon bimbitnya.

“Saya hari ini pun ada SMS pada beliau. Tetapi tidak berjawab,” katanya menjelaskan tindakan lanjutnya setelah membuat amaran tersebut pada Khamis lalu - sehari selepas Mohsin mengiystiharkan keluar parti dan menjadi wakil bebas.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Ahmad bagaimanapun berkata, beliau masih boleh mempertimbangkan membatalkan program tersebut walaupun dihubungi Mohsin di saat-saat akhir.

“Kalau nanti beliau SMS kata setuju (dengan syarat saya), tak perlulah buat, tetapi macam saya kata dulu, beliau mesti iystiharkan (pendiriannya) pada orang ramai melalui media,” kata Ahmad yang juga bekas naib presiden dan pesuruhjaya PAS negeri.

Ahmad berkata, solat hajat itu akan diadakan di pusat pengajian agama yang diasaskannya di Balai Kuliah Tasawwur Islam berdekatan Semanggol, Perak.

“Di tempat itulah beliau (Mohsin) mula-mula diperkenalkan kepada pengundi,” katanya.

Setakat ini, Ahmad menjangkakan sekurang-kurangnya 600 muridnya akan turut turut serta dalam solat tersebut.

Penyokong PAS dari kawasan berdekatan Bagan Serai, seperti Kuala Kangsar dan Parit Buntar, juga akan turut menyertainya, tambah beliau.

Sementara itu, usaha Malaysiakini menghubungi Mohsin setakat ini masih belum berhasil.

Sumber: malaysiakini.com


Baca lagi...

Rabu, Mac 10, 2010

Solat hajat diteruskan

Sumber: www.sinarharian.com.my
Selasa 9-3-2010

IPOH – Solat hajat terhadap Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri diteruskan walaupun mendapat pelbagai tentangan daripada pakar agama di negara ini.

Ahli Majlis Syura Ulama Pas, Ahmad Awang berkata, beliau tidak pernah sekalipun memohon kecelakaan atau bala terhadap Mohsin di atas tindakan lompat parti sebaliknya, hanya memohon kepada Allah SWT supaya memberikan hukuman yang setimpalnya kepada individu atau kumpulan yang mengkhianati kepercayaan rakyat.

Menurutnya, kenyataan daripada sesetengah pihak yang membidas tindakan beliau mengadakan solat hajat dianggap sebagai emosional dan berlandaskan nafsu semata-mata bukannya mengikut kehendak hukum syarak Islam.

“Sepatutnya mereka yang menyatakan pendirian sebegitu perlu sedar dan matang dalam memberikan hujah kerana golongan ini bukan calang-calang, mereka adalah terdiri daripada golongan cerdik pandai.

“Malah, mereka ini langsung tidak menyentuh soal hukum hakam dalam Islam terhadap tindakan Mohsin itu yang secara terang-terangan telah mengkhianati amanah rakyat, parti dan individu yang mempromosinya sewaktu berkempen dalam pilihan raya umum lalu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan ahli-ahli agama yang mengatakan kenyataannya untuk melakukan solat hajat kepada Ahli Parlimen itu satu tindakan haram di sisi agama Islam kerana mendoakan kecelakaan sesama umat.

Ahmad berkata, dalam kalangan ahli Pas, Mohsin sebenarnya bukan dikenali, tetapi atas semangat setia kawan dalam Pakatan Rakyat (PR), beliau sanggup berkompromi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar Mohsin bertanding di Parlimen Bagan Serai pada pilihan raya umum Mac 2008.

Katanya, sebagai Pesuruhjaya Pas Perak ketika itu, beliau bekerja keras mempromosikan Mohsin dan memohon rakyat supaya mengundi Mohsin sebagai wakil rakyat mereka.

“Saya bertanggungjawab membawa Mohsin kepada rakyat dan saya jugalah menjadi tulang belakang kepada kemenangannya.

“Namun, saya kecewa kerana kepercayaan yang diletakkan kepada Mohsin, dikhianat,” katanya.

Menurutnya, memang tidak dinafikan Mohsin mempunyai masalah dalam parti malah Ahmad mendakwa ada menerima aduan mengenai prestasi Mohsin di kawasannya.

“Saya juga meletakkan syarat kepadanya, antaranya letak jawatan atau balik kepada parti ataupun mengisytiharkan sokongan kepada PR walaupun bukan kepada PKR, kita akan bincang dengan kepimpinan atasan yang lain.

“Sebab itulah, saya akan meneruskan solat hajat ini bagi memberi kesedaran kepada dia supaya membuat keputusan sewajarnya untuk kebaikan semua pihak, bukannya meminta kecelakaan terhadap dirinya,” katanya.

Sumber: www.sinarharian.com.my


Baca lagi...

‘SMS’ jamin Mohsin tak sokong BN

Sumber: malaysiakini.com
Oleh: Jimadie Shah Othman
Mac 8, 10
3:23pm


Satu SMS yang mendakwa bahawa ahli parlimen Bagan Serai Mohsin Fadzli Samsuri - yang keluar PKR dan menjadi wakil rakyat bebas - memberi jaminan tidak akan menyokong BN, kini disebar di kalangan pemimpin akar umbi Pakatan Rakyat di Perak.

Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Ahmad Awang berkata, SMS tersebut juga menjelaskan sebab Mohsin keluar parti pada Rabu minggu lalu.

“Beliau ada hantar mesej pada beberapa orang yang dekat dengannya (di Bagan Serai). Beliau cuba beri penjelasan sebab beliau mengambil tindakan (keluar parti) itu.

“Kononnya, walaupun sudah keluar parti, beliau memberi jaminan tidak akan menyebelahi BN (di parlimen),” kata Ahmad yang juga bekas naib presiden dan pesuruhjaya PAS Perak.

Minggu lalu, selepas mengisytiharkan keluar parti, Ahmad memberikan tempoh tujuh hari kepada Mohsin - sehingga 10 Mac ini - untuk kembali kepada PKR atau mengosongkan kerusi parlimennya.


Ahmad dilaporkan berkata, jika Mohsin enggan memenuhi tuntutan tersebut, pihaknya akan menganjurkan solat hajat selama tujuh hari supaya Allah menghukumnya kerana khianat pada perjuangan.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Ahmad berkata, beliau telah melihat SMS tersebut dan akan memeriksa ketulenannya dahulu, sama ada benar-benar dihantar daripada Mohsin.

Bagaimanapun, tambahnya, sekiranya SMS itu tulen, Mohsin masih perlu mengumumkan perkara tersebut kepada orang awam, termasuk menyatakan sokongannya kepada Pakatan, walaupun bukan lagi sebagai ahli parti.

“Beliau kena umumkan di Bagan Serai, kena panggil pihak media. Saya boleh jadi pengendali majlis itu,” kata Ahmad yang memberikan laluan kepada Mohsin di Bagan Serai setelah dua penggal menjadi calon pembangkang.

Sementara itu, Ahmad juga berkata, bantahan supaya Mohsin mengosongkan kerusi itu terus berkumandang melalui demontrasi di kawasan parlimen tersebut.

Semalam, katanya, sekurang-kurangnya 400 penduduk setempat mengadakan demonstrasi di sebuah rumah aktivis PAS di Alor Pongsu dalam kawasan tersebut.

Sementara diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang menyelar tindakannya mahu menganjurkan solat hajat itu, Ahmad berkata, menteri itu “pandai-pandai tafsir” sendiri kenyatannya.

“Beliau kena faham, saya tidak ada kata (minta) dibinasakan atau dihancurkan (Mohsin). Sebelum memberi komen kena pastikan betul-betul (kenyataan saya).

“Saya minta Allah menghukum. Boleh jadi dalam bentuk ketakutan, rasa bersalah sehingga akhirnya beliau meletakkan jawatan. Allah Maha Tahu apa yang setimpal,” katanya.

Semalam, Jamil dilaporkan berkata, tindakan menganjurkan solat hajat supaya Allah menurunkan bencana kepada golongan seagaman adalah berdosa dan “menyalahgunakan agama demi kepentingan politik”.

Sumber: malaysiakini.com


Baca lagi...

Selasa, Mac 09, 2010

Ahmad Awang dakwa mufti Perak ‘tokok tambah cerita’

Sumber: malaysiakini.com
Oleh: Abdul Rahim Sabri
Mac 5, 10
8:09pm


Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Ahmad Awang mendakwa Tan Sri Harussani Zakaria telah menokok tambah perbualan mereka ketika mufti Perak itu menghubunginya bagi memujuk PAS untuk bersama Umno menubuhkan kerajaan perpaduan di Perak selepas pilihan raya umum 2008.

Ahmad (kiri) mengulas kenyataan Harussani, dalam program dialog Zaaba di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semalam, yang mendakwa PAS Perak dengan angkuh menolak cadangan tersebut walaupun pada dasarnya mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan dipersetujui kepimpinan parti itu.

“Apa yang beliau cakap dalam dialog itu adalah tambahan kemudian. (Perkara) Itu tidak betul,” katanya sambil menambah, dalam perbualan tersebut, mufti Perak itu tidak memberitahunya yang cadangan itu mendapat perkenan baginda.

“Perbualan tentang ayat al-Quran dan hadis itu tidak ada. Ia direka-reka kemudiannya,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Sebagai pesuruhjaya PAS negeri ketika itu, Ahmad mengakui - dalam perbualan telefon dengan Harussani - mufti Perak itu telah memujuknya supaya parti itu bersama-sama Umno membentuk kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, katanya, beliau berkeras tidak mahu bekerjasama dengan Umno kerana mendakwa Umno adalah “zalim” termasuk memberi contoh pengalaman PAS bersama dengan Umno satu ketika dahulu.

Ahmad juga mengakui dalam perbualan dengan Harussani (kanan) - lebih kurang 10 minit itu - beliau membuat ketetapan untuk bersama-sama dengan DAP menubuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

Dalam perbualan telefon itu juga, Ahmad berkata, Harussani berkata kerajaan perpaduan yang dicadangkan itu berteraskan Melayu dan Islam, sedangkan mufti Perak itu mendakwa pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Kor Ham anti-Islam.

Ahmad berkata, beliau menjawab dengan berkata bahawa beliau mengenali pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Kor Ham sejak tujuh atau lapan tahun lalu, dan mengetahui beliau beragama kristian.

“(Tetapi) Ngeh tidak pernah bersikap anti-Islam,” katanya.

Menurut Ahmad lagi, dalam perbualan tersebut, Harussani juga tidak menyatakan tentang tawaran jawatan menteri besar dan exco kepada PAS dalam kerajaan perpaduan yang dicadangkan itu.

Sebaliknya, kata beliau, tawaran tersebut hanya dibuat oleh seorang wakil rakyat yang mewakili ketua badan perhubungan Umno Perak ketika itu, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali, beberapa hari selepas Pakatan Rakyat menang pilihan raya umum tersebut.

Ahmad juga berkata, dalam perbualan telefon itu, beliau membidas mufti Perak yang banyak menyentuh dalam ceramahnya mengenai gejala murtad di kalangan orang Melayu yang menganut Kristian.

“Saya cakap kepadanya bahawa beliau mengenali (perdana menteri ketika itu) Tun Abdullah (Ahmad Badawi), dan pernah menghantar memorandum (mengenai gejala murtad), tapi kerajaan tak buat apa-apa pun.

“Jadi kita tak boleh harap dengan Umno. Macam mana nak berpakat,” katanya.

Ekoran bidasannya itu, Ahmad berkata Harussani “mati akal” untuk menjawab hujahnya dan seterusnya menamatkan perbualan mereka.

Sumber: malaysiakini.com


Baca lagi...