بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ
الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالاَتِ اللهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلاَ يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلاَّ اللهَ وَكَفَى بِاللهِ حَسِيبًا

Rabu, Mac 10, 2010

Solat hajat diteruskan

Sumber: www.sinarharian.com.my
Selasa 9-3-2010

IPOH – Solat hajat terhadap Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri diteruskan walaupun mendapat pelbagai tentangan daripada pakar agama di negara ini.

Ahli Majlis Syura Ulama Pas, Ahmad Awang berkata, beliau tidak pernah sekalipun memohon kecelakaan atau bala terhadap Mohsin di atas tindakan lompat parti sebaliknya, hanya memohon kepada Allah SWT supaya memberikan hukuman yang setimpalnya kepada individu atau kumpulan yang mengkhianati kepercayaan rakyat.

Menurutnya, kenyataan daripada sesetengah pihak yang membidas tindakan beliau mengadakan solat hajat dianggap sebagai emosional dan berlandaskan nafsu semata-mata bukannya mengikut kehendak hukum syarak Islam.

“Sepatutnya mereka yang menyatakan pendirian sebegitu perlu sedar dan matang dalam memberikan hujah kerana golongan ini bukan calang-calang, mereka adalah terdiri daripada golongan cerdik pandai.

“Malah, mereka ini langsung tidak menyentuh soal hukum hakam dalam Islam terhadap tindakan Mohsin itu yang secara terang-terangan telah mengkhianati amanah rakyat, parti dan individu yang mempromosinya sewaktu berkempen dalam pilihan raya umum lalu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan ahli-ahli agama yang mengatakan kenyataannya untuk melakukan solat hajat kepada Ahli Parlimen itu satu tindakan haram di sisi agama Islam kerana mendoakan kecelakaan sesama umat.

Ahmad berkata, dalam kalangan ahli Pas, Mohsin sebenarnya bukan dikenali, tetapi atas semangat setia kawan dalam Pakatan Rakyat (PR), beliau sanggup berkompromi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar Mohsin bertanding di Parlimen Bagan Serai pada pilihan raya umum Mac 2008.

Katanya, sebagai Pesuruhjaya Pas Perak ketika itu, beliau bekerja keras mempromosikan Mohsin dan memohon rakyat supaya mengundi Mohsin sebagai wakil rakyat mereka.

“Saya bertanggungjawab membawa Mohsin kepada rakyat dan saya jugalah menjadi tulang belakang kepada kemenangannya.

“Namun, saya kecewa kerana kepercayaan yang diletakkan kepada Mohsin, dikhianat,” katanya.

Menurutnya, memang tidak dinafikan Mohsin mempunyai masalah dalam parti malah Ahmad mendakwa ada menerima aduan mengenai prestasi Mohsin di kawasannya.

“Saya juga meletakkan syarat kepadanya, antaranya letak jawatan atau balik kepada parti ataupun mengisytiharkan sokongan kepada PR walaupun bukan kepada PKR, kita akan bincang dengan kepimpinan atasan yang lain.

“Sebab itulah, saya akan meneruskan solat hajat ini bagi memberi kesedaran kepada dia supaya membuat keputusan sewajarnya untuk kebaikan semua pihak, bukannya meminta kecelakaan terhadap dirinya,” katanya.

Sumber: www.sinarharian.com.my

1 ulasan:

abd berkata...

As salam Paklang....saya bersama anak muda kg pondok tanjong berasa marah dan geram sgt dgn tindakan mohsin. kami sentiasa tunggu arahan paklang utk tindakan selanjutnya.

semoga paklang sihat utk memimpin kami.