Sumber: HarakahDaily
Oleh: Subky Latif
SEORANG Mufti kanan dan beberapa ulama yang pernah dan sedang berkhidmat dengan kerajaan Barisan Nasional menegur cadangan bekas Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang yang sedia menganjur solat hajat terhadap AP Bagan Serai yang keluar dari PKR.
Kiranya Anggota Parliman yang khianat pada partinya dan pengundinya yang memenangkannya dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008 tidak rojok kepada partinya atau tidak mengosongkan kerusinya dalam masa tujuh hari, Ahmad Awang mahu menganjurkan solat hajat tujuh hari atau tujuh malam.
Maka beberapa ulama rasmi memberi ingatan keras kepada anjuran solat hajat itu. Seolah-olah solat hajat itu berhajat buruk. Tidak boleh solat hajat yang berhajat buruk.
Ada benar hukumnya, solat hajat tidak boleh untuk tujuan buruk.
Apakah Ustaz Ahmad Awang tidak tahu hukum itu?
Adalah wajar mufti dan sekalian ulama mengingatkan hukum itu. Apabila ulama rasmi mengeluarkan ingatan keras itu, tentunya mereka tidak menujukannya terhadap orang jahil tetapi ia ditujukan kepada Ahmad Awang, seorang ahli ilmu Islam yang ada kelayakan juga untuk menjadi mufti.
Tidakkah amat rendah pandangan mereka itu terhadap ilmu dan wibawa Ust. Ahmad Awang?
Sebagai manusia Ahmad Awang ada kelemahan dan ada kekuatannya. Tetapi beliau bukan orang jahil yang layak diberi amaran oleh mufti dan ahli-ahli ilmu yang lain.
Adalah benar dalam usia lanjutnya beliau seorang pemimpin tinggi PAS, tetapi beliau sebelumnya adalah Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia sekitar 30 tahun.
Persatuan Ulama itu diasaskan oleh Almarhum Ustaz Mahyudin Musa, seorang ulama yang dihormati yang berkhidmat dengan kerajaan Malaysia. Jawatan terakhirnya dalam kerajaan ialah pegawai kanan agama di Kementerian Pelajaran.
Ustaz Mahyuddinlah Yang Dipertuanya yang pertama dan pertubuhan itu adalah bagi menyatukan para ulama Malaysia tidak kira yang berkhidmat dengan kerajaan dan di luar kerajaan.
Ulama adalah orang yang tahu akan keperluan bersatu, maka itu tempat mereka patut bersatu. Mufti dan apa jua kedudukan tinggi dalam kerajaan dan masyarakat wajar bersatu dan itulah tempatnya.
Kalau ulama termasuk mufti menyeru umat Islam supaya bersatu, maka mereka perlu dulu bersatu dan tempatnya yang paling baik ialah Persatuan Ulama yang diasaskan oleh Ustaz Mahyuddin itu dan tokoh itu adalah orang yang cukup dekat dengan pemimpin-pemimpin kerajaan – Perdana Menteri dan menteri-menterinya.
Apabila Ustaz Mahyuddin meninggal awal tahun 70an, Ustaz Ahmad Awanglah gantinya baik sebagai ketua PUM bahkan jawatan yang disandangnya di kementerian pelajaran.
Ustaz Mahyudin Musa pernah menjadi tenaga pengajar di Kolej Islam Kelang dan Ahmad Awang adalah antara pelajar pertama di Kolej Islam itu.
Adakah mufti dan ulama yang memberi ingatan keras kepada Ust.Ahmad Awang tentang solat hajat itu pernah menyertai dan menyokong PUM tidak diketahui.
Tetapi itu pertubuhan penting bagi para ulama dan ulama wajar menyokong pertubuhan yang mahu mendaulat dan memartabadkan para ulama dan institusi ulama.
Ulama di seluruh dunia telah ditekan dan ditindas oleh penjajah hingga ulama itu dilihat kecil dan tidak berwibawa. Itu jugalah nasib dan imej ulama di Tanah Melayu setelah dijajah dan selepas dijajah. Tiada orang yang lebih tahu bagaimana ulama perlu didaulatkan selain dari ulama sendiri.
Ustaz Mahyudin telah membuka medan itu dan ia disambung oleh Ustaz Ahmad Awang. Apakah Ustaz Ahmad Awang berjaya dengan PUM tidaklah ditentukan oleh pimpinannya saja tetapi sejauh mana ia didukung oleh para ulama termasuk mufti yang dipandang tinggi oleh masyarakat.
Tanggungjawab mufti bukan sekadar kerja-kerja rasmi jawatannya dalam kerajaan dan di samping menasihatkan sultan, tetapi membuat kerja-kerja Islam di tengah masyarakat dan medannya sudah disediakan iaitu PUM.
Tiada pengecualian bagi berbelas mufti di Malaysia dari menjadi anggota pertubuhan itu kiranya mereka tahu apa tanggungjawab seorang ahli ilmu dan berkedudukan tinggi dalam masyarakat dan kerajaan.
Dalam apa keadaan, sama ada mufti dan ulama rasmi yang lain menyertai PUM atau tidak, Ustaz Ahmad Awang adalah juru cakap para ulama Malaysia seluruhnya. Sama ada mereka mengakuinya atau tidak, Ahmad Awang adalah amir mereka.
Kiranya beliau ada kelemahan, sekalian para ulama mesti membantunya. Kiranya beliau tiada kelayakan, maka para ulama antaranya para mufti yang ramai itu wajar tampil kedepan menggantikannya. Mungkin ulama tidak mengejar kedudukan. Tetapi mufti wajar tahu kewajaran ulama itu memimpin umat.
Tiada mufti dan ulama rasmi dan tidak rasmi mencabar Ahmad Awang semasa pimpinannya dalam Persatuan Ulama dalam tempohnya yang panjang itu. Beliau melepaskan pimpinan PUM itu kerana mahu bergiat dalam politik. Beliau mahu kebebasan PUM terpelihara.
Mungkin pimpinannya boleh dinilai, akan kelemahan dan kekuatannya. Tetapi tidak terdengar adalah mempertikai ilmu dan keupayaanya menguasai ilmu Islam.
Dengan ilmunya belum pernah beliau membuat pendapat yang ganjil seperti biawak itu halal dimakan atau untung lotri boleh digunakan bagi memajukan Islam atau sekular itu tidak salah.
Apa lagi tentang kewajaran solat hajat bagi mengadili orang yang khianat.
Justeru itu tidak wajar menyamakan beliau dengan ahli-ahli politik yang jahil.
Sumber: HarakahDaily
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ
Rabu, Mac 17, 2010
Kewibawaan Ahmad Awang sebagai ulama
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
Salam,
Islam mengharuskan doa kejahatan kpd org yg menzalimi kita. Ini buktinya:
1) Doa Rasulullah saw yg momohon Allah SWT binasakan mereka yg
menzalimi Baginda dalam kisah perut unta yang diletakkan di atas badan
Rasulullah takkala Rasulullah bersolat di Kaabah. Nabi saw berdoa,
“Wahai Allah, binasakanlah Abu Jahil bin Hisyam, ‘Utbah bin Rabi’ah,
Syaibah Bin Rabi’ah, Walid Bin ‘Uqbah, Umaiyah Bin Khalaf dan ‘Uqbah
bin Abi Mu’ith.” (Hadith Sahih Riwayat Muslim)
2) Doa Rasulullah saw yang mendoakan agar matinya Uthaibah (anak Abu
Lahab). Uthaibah mendatangi Nabi saw dan mengatakan kata-kata yang
menyakitkan hati Rasulullah saw. Atas perlakuan itu, maka Rasulullah
saw telah berdoa kepada Allah SWT, agar mengirimkan anjing-anjing
Allah untuk membinasakan Uthaibah. Dan apa yang telah didoakan oleh
Nabi saw terhadap Uhtaibah itu benar-benar terjadi.
3) Doa Saidina Sa'id bin Zaid yang mendoakan seorg wanita tua, Arwa
binti Aus yang mendakwa tanah milik Saad adalah milik beliau. Saidina
Saad mendoakan agar wanita tua itu dibutakan matanya dan dimatikan dia
di tanah yg dia dakwa miliknya itu. (Hadith Sahih Riwayat Muslim)
4) Doa Ummu Habibah (Ummul Mukminin) dalam kisah kelakuan biadap
seorang lelaki yang menyelak tabir semasa Ummul Mukminin itu berbicara
dgn Saidina Uthman Affan. Ummu Habibah mendoakan agar lelaki itu
terpotong tangannya.
5) Doa Saidina Hussain sebelum wafat dibunuh di Karbala, mendoakan
sipemanah yang memanahnya dibutakan mata dan terpotong tangannya.
6) Doa yang diajar oleh Rasulullah kepada seluruh umat Islam yang
dizalimi, Qunut Nazilah yang membawa maksud:
“Ya Allah, sesungguhnya kami meletakkanMu di batang-batang leher
musuh-musuh kami dan kami berlindung denganMu daripada
kejahatan-kejahatan mereka,
Ya Allah, leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka, pecah-belahkan dan
kacau-bilaukan persatuan mereka,
Goncangkan pendirian mereka dan hantarkanlah anjing-anjing kamu kepada
mereka wahai Tuhan yang gagah perkasa, wahai Tuhan yang penuh raksasa,
wahai Tuhan yang bersifat murka.
Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah,
Wahai Tuhan yang menurunkan kitab,
Wahai Tuhan yang mengarakkan awan,
Wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera al-Ahzab,
Kalahkan mereka,
Kalahkan mereka,
Kalahkan mereka dan menangkan kami ke atas mereka.”
Banyak hadis2 Rasulullah berkenaan dengan doa kepada orang yang dizalimi. Ini adalah diantara doa yang mustajab doanya. Diantara hadis-hadis tersebut adalah:- 1. Hadis dari Anas r.a , Rasulullah saw bersabda:
اتق دعوة المظلوم وإن كان كافرا فإنه ليس دونها حجاب
" Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi sekalipun dia adalah orang kafir. Maka sesungguhnya tidak ada penghalang diantaranya untuk diterima oleh Allah." Hadis riwayat Ahmad - sanad hasan
2. Hadis dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah saw bersabda:
اتق دعوة المظلوم فإنها تصعد إلى السماء كأنها شرارة
"Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang dizalimi. Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara."
Hadis riwayat Hakim - sanad sahih
3. Hadis dari Khuzaimah bin Thabit r.a, Rasulullah saw bersabda:
اتقوا دعوة المظلوم فإنها تحمل على الغمام يقول الله عز وجل : وعزتي وجلالي لأنصرنك ولو بعد حين
" Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi. Allah swt berkata : Demi kemulian dan keagunganku, aku pasti akan menolongmu walaupun setelah masa yang lama."
Hadis riwayat Tobrani - sanad hasan
4. Hadis dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda:
ثلاث دعوات مستجابات : دعوة الصائم ودعوة المظلوم ودعوة المسافر
" Tiga doa yang diperkenankan: Doa orang puasa, doa orang yang dizalimi dan doa orang yang musafir." Hadis riwayat Baihaqi - sahih
5. Hadis dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
دعوة المظلوم مستجابة وإن كان فاجرا ففجوره على نفسه
" Doa orang yang dizalimi adalah diterima sekalipun doa dari orang yang jahat. Kejahatannya itu memudaratkan dirinya dan tidak memberi kesan pada doa tadi." Hadis hasan riwayat at-Tayalasi
Catat Ulasan