بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ
الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالاَتِ اللهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلاَ يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلاَّ اللهَ وَكَفَى بِاللهِ حَسِيبًا

Rabu, September 02, 2009

Ibadah Puasa dan Kemuliaan Bulan Ramadhan (Bhg. 1)

Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kepada kamu puasa sebagaimana yang telah diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertaqwa. (Al-Baqarah: 183)

Muqaddimah
Syukur Alhamdulillah, kerana dengan limpah kurnia Allah SWT, kita diberi rezeki untuk berada di bulan Ramadhan Al-Mubarak 1430H ini. Diucapkan selamat berpuasa dan menghayati ibadah di bulan Ramadhan Al-Mubarak. Setakat ini mudah-mudahan kita telah dapat menyempurnakan ibadah Al-Siyam atau berpuasa serta bertarawih dan witir selama 12 hari. Saya bersyukur kerana dapat mengisi program tazkirah Ramadhan setiap hari samada waktu zuhur atau ketika solat tarawih, bahkan berkesempatan juga kuliah subuh dan dhuha pada hari-hari Sabtu dan Ahad yang lalu. Diharap untuk menambah manfaat tazkirah Ramadhan melalui kuliah-kuliah tersebut, dalam blog ini saya ringkaskan butiran penting dari tazkirah/kuliah berkenaan. Antara lainnya seperti berikut:

Format Ibadah Yang Bebeza
1. Perlaksanaan ibadah puasa amat berbeza dengan perlaksanaan ibadah solat, zakat dan haj. Kita melaksanakan ketiga-tiga ibadat rukun Islam itu dengan melakukan perbuatan atau amalan tertentu yang dapat dilihat dan disaksikan oleh orang lain ketika kita melaksanakannya. Contohnya, ketika mendirikan solat kita berdiri (qiyam), ruku', sujud, duduk antara dua sujud dan sebagainya. Begitu pula jika seseorang menunaikan zakat, dia bertindak menyerahkan sebahagian benda atau harta yang diwajibkan zakat ke atasnya kepada orang yang menerimanya. Demikian juga, apabila seseorang menunaikan ibadat haj, dia pergi menziarah Baitullah di Makkah Al-Mukarramah dan melakukan pelbagai amalan seperti ihram, tawaf, saie, wukuf di Arafah, bercukur, melontar Jamrah dan sebagainya. Akan tetapi, ketika seseorang melaksanakan ibadah puasa/siyam, dia tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh dilihat atau disaksikan oleh orang lain, kerana puasa itu hanya terlaksana apabila seseorang MENINGGALKAN perbuatan-perbuatan tertentu iaitu meninggalkan makan, minum, hubungan kelamin (antara suami-isteri) dan sebagainya. Hanya orang yang melaksanakannya mengetahui dia sedang berpuasa (selain Allah SWT). Ini bererti berpuasa adalah bebeza dengan ibadah rukun yang lain kerana ianya hanya terlaksana dengan tidak melakukan perbuatan tertentu yang dapat difahamkan dari takrif syara' bagi ibadah puasa itu, iaitu menahan diri daripada makan dan minum, serta jima' dari waktu fajar (imsak) hingga tenggelam matahari kerana mematuhi titah perintah Allah SWT.

Unsur Undang-undang
2. Ayat Al-Quran (seperti tersebut di atas) yang menjadi dalil/keterangan atas wajibnya puasa diungkapkan Allah SWT dengan lafaz/perkataan كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ yang bermaksud diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sedangkan kewajipan ibadah rukun yang lain seperti solat, zakat dan haj tidak diungkapkan Allah SWT ayat seperti itu. Tiada perintah كُتِبَ عَلَيْكُمُ atas kewajipan mendirikan solat, begitu juga dengan menunaikan zakat dan haj. كُتِبَ عَلَيْكُمُ maknanya secara harfiah (literal) ialah dituliskan ke atas kamu yang membawa maksud perintah yang berunsur undang-undang atau peraturan. Dalam konteks puasa ia mudah difahami sebagai perintah yang mengandungi unsur undang-undang kerana ianya terlaksana dengan hanya meninggalkan larangan atas perbuatan makan, minum dan hubungan kelamin. Larangan adalah ciri terpenting dalam undang-undang. Larangan adalah merupakan batas atau sempadan yang menyekat seseorang dari berbuat sesuka hati menurut kehendak dan nafsu masing-masing. Contoh mudah, apabila seseorang memandu di atas jalanraya dihadkan kelajuannya kepada 110km/j atau 90 km/j, yang bererti apabila had itu dilanggar maka seseorang itu dianggap melanggar undang-undang mengenai kesalahan lalulintas/trafik.

3. Unsur undang-undang yang diungkapkan dengan lafaz ayat
كُتِبَ عَلَيْكُمُ itu dapat difaham dengan lebih jelas apabila ungkapan yang sama digunakan bagi kewajipan melaksanakan undang-undang qisas iaitu hukuman bunuh dibalas bunuh dan cedera dibalas cedera. Kewajipan tersebut disebutkan di dalam ayat Al-Baqarah:178 yang berbunyi:
كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى
Begitu juga terdapat ayat Al-Baqarah yang berbunyi:
كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ لَّكُمْ
Yang bermaksud: Telah diwajibkan ke atas kamu berperang sedangkan ianya tidak kamu sukai. Kedua-dua perintah tersebut merupakan undang-undang dan peraturan Allah SWT bagi menjamin hak kebebasan manusia untuk hidup tidak dicabuli sesuka hati. Manusia tidak dibenarkan membunuh sekehendak hati dan jika melanggarnya dia akan dikenakan hukuman. Umat manusia juga tidak boleh memerangi musuhnya melainkan dengan mengikut peraturan dan undang-undang yang membolehkan mereka berperang.

Nafsu Punca Jenayah
4. Perintah larangan yang terkandung di dalam ibadah puasa dikenakan ke atas keinginan nafsu manusia yang paling asas iaitu nafsu makan minum dan kelamin/seks. Kehendak dan tuntutan nafsu yang paling asas ini jika tidak diperundang-undangkan peraturan mengawalnya akan berlakulah kacau bilau dan kerosakan dalam kehidupan manusia. Perbuatan jenayah berat seperti mencuri, merompak, merogol/berzina, bahkan membunuh adalah sebahagian besarnya berpunca dari keinginan nafsu manusia yang tidak terbatas untuk memenuhi kehendak makan minum dan seks. Dalam konteks ini, ibadah puasa melatih dan mentarbiah manusia dengan meninggalkan larangan-larangan atas perkara-perkara yang dihalal/dibenarkan oleh syara' tetapi ia wajib ditinggalkan selama sebulan (Ramadhan) dalam masa kira-kira 13/14 jam sehari mengikut di mana tempat/negeri ibadat tersebut dilakukan. Ia dilakukan hanya kerana mematuhi titah perintah Allah SWT yang bersifat larangan buat sementara atas perkara/perbuatan yang pada dasarnya adalah tidak dilarang oleh syara'.

Kepentingan Undang-undang
5. Islam sebagai Ad-Deen mengandungi sistem dan peraturan hidup yang lengkap dalam hubungan manusia dengan Tuhan (Allah SWT), hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam. Kesemua sistem dan peraturan yang lengkap itu tidak dapat disempurnakan tanpa undang-undang yang melindunginya. Undang-undang pula tidak lengkap melainkan adanya perintah larangan/tegahan. Larangan itu pula tidak terjamin dipatuhi sekiranya tidak dikenakan hukuman kesiksaan ke atas pelanggar atau orang yang mencabulinya. Perintah Allah SWT yang bersifat undang-undang yang pertama kali dikenakan ke atas manusia adalah merupakan larangan dari mendekati suatu pohon dalam suatu Taman/Jannah di mana Allah SWT menempatkan manusia pertama Adam dan Hawa sebelum diturunkan ke bumi. Firman Allah SWT dalam ayat Al-Baqarah: 35 bermaksud: Dan berkata Kami: Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isteri engkau di Taman ini, dan makanlah kamu berdua daripadanya dengan senang sesuka-sukamu, dan janganlah kedua kamu mendekat ke pohon ini, kerana (kalau mendekat) akan jadilah kamu berdua dari orang-orang aniaya.

Larangan Pertama Ke atas Manusia
6. Larangan Allah SWT dari mendekati pohon berkenaan bermaksud Adam dan Hawa dilarang dari mengambil apa yang boleh dimakan ataupun juga diminum dari buah pohon tersebut. Kedua-duanya melanggar larangan itu dan mereka telah menganiaya diri mereka. Akibat perlanggaran atas larangan itu, kedua-duanya menerima hukuman atas kesalahan mereka iaitu mereka dikeluarkan dari Taman tersebut dan diperintah turun ke bumi sehinggalah lahir dan berkembang zuriat Bani Adam di bumi Allah SWT ini. Namun kedua-duanya memohon keampunan atas kesalahan tersebut dan Allah SWT menerima taubat mereka. Peristiwa yang berlaku kepada Adam dan Hawa dalam Taman yang ditentukan Allah SWT untuk mereka sebelum diturunkan ke bumi menggambarkan bagaimana manusia boleh melanggar larangan Allah SWT apabila nafsunya dapat digoda oleh syaitan. Al-Quran menceritakan bahawa kedua-duanya telah digelincirkan oleh syaitan yang mempengaruhi mereka supaya memakan dari pohon yang terlarang itu (maksud Al-Baqarah: 36).

Kesan Makan/Minum
7. Difahami dari larangan atas makan, minum dan hubungan kelamin dalam melaksanakan ibadah puasa dapat dilihat adanya hubungan dan kesan timbal balik di antara makan/minum dengan nafsu seks. Ini bererti makanan dan minuman yang halal dapat menjaga kehormatan dan hubungan kelamin yang halal. Sebaliknya mengambil makanan dan minuman yang haram boleh mengakibatkan kegagalan memelihara kehormatan diri dan mendorong kepada perlakuan hubungan kelamin/seks yang haram seperti mendedahkan aurat, khalwat dan zina. Merujuk kepada peristiwa Adam dan Hawa melanggar perintah Allah SWT supaya tidak mendekati pohon berkenaan yang terlarang itu, kedua-dua mereka serta-merta terbogel atau terdedah kemaluan mereka sebaik sahaja memakan dari buah pohon berkenaan (maksud Al-A'raaf: 22).

Ujian Keimanan
8. Larangan atau pengharaman dalam hukum hakam Islam khususnya mengenai makan minum dan syahwat kelamin bukan bertujuan untuk menyiksa atau menyakiti diri manusia. Bahkan jauh sekali dari bertujuan untuk membunuh nafsu syahwat manusia yang tabiatnya memang dijadikan Allah SWT mempunyai hawa nafsu. Sebab itu Islam mengharamkan manusia berpuasa sepanjang masa. Islam juga tidak melarang manusia memakan daging atau makhluk yang bernyawa kecuali daging haiwan yang tertentu sahaja seperti babi. Manusia menjadi makhluk yang mulia dan statusnya lebih tinggi dari malaikat. Ini kerana manusia mempunyai kekuatan untuk menguasai hawa nafsunya apabila dia beriman kepada Allah SWT. Dia sebenarnya boleh menolak titah perintah Allah SWT dan melanggar larangan-laranganNya kerana manusia (Bani Adam) mempunyai kebebasan memilih mengikut kehendak atau iradahnya. Nafsunya menuntut dirinya melakukan sesuka hati tanpa batasan dan halangan. Namun kerana kekuatan jiwa yang beriman dan berpegang kepada keyakinan bahawa titah perintah Allah SWT itu adalah benar dan wajib dipatuhi, maka dia mempunyai keupayaan menundukkan hawa nafsunya. Inilah hikmahnya maka setiap perintah Allah SWT baik yang berupa suruhan atau larangan ditujukan kepada "orang-orang yang beriman". Contohnya, perintah kewajipan berpuasa seperti yang terkandung dalam ayat yang disebutkan di atas.

Bersambung...

1 ulasan:

Unknown berkata...

sampaikan ilmu agama kan bagus.