بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ
الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالاَتِ اللهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلاَ يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلاَّ اللهَ وَكَفَى بِاللهِ حَسِيبًا

Jumaat, September 04, 2009

Ibadah Puasa dan Kemuliaan Bulan Ramadhan (Bhg. 2)

Firman Allah:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِيَ أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ

وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ

Maksudnya:
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu... (Al-Baqarah: 185)

Pengharaman Makanan/Minuman
9. Allah SWT menjadikan isi alam khususnya yang terdapat di muka bumi adalah untuk kegunaan dan manfaat bagi manusia/Bani Adam. Alam tumbuhan dan haiwan serta alam benda tanpa nyawa (jamad) kesemuanya diciptakan untuk manusia menikmati dan memanfaatkannya. Untuk menjamin kesejahteraan dan kebaikan manusia, Allah Tuhan Pencipta Alam menurunkan peraturan dan undang-undang (syariah) yang di antaranya bersiftat larangan atau pengharaman memakan atau meminum benda-benda tertentu. Di antara benda yang diharamkan memakannya ialah bangkai, darah, daging babi, daging haiwan yang disembelih atas nama selain Allah, serta haiwan yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan yang diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya (Al-Maa'idah: 3). Begitu juga diharamkan benda-benda kotor dan jijik seperti najis tahi, kencing, nanah dan sebagainya (Al-A'raaf: 157). Demikian pula Islam mengharamkan minuman/cairan yang memabukkan iaitu khamar/arak atau apa juga jenis minuman yang memabukkan. Namakanlah ia apa sahaja, brandy, whiskey, wine, beer, stout, sake, todi, kesemuanya haram selagi ianya memabukkan (Al-Maa'idah: 90).

Jenayah Arak
10. Larangan mengambil minuman keras atau arak adalah sangat keras berbanding dengan larangan dari mengambil makanan yang diharamkan termasuk daging babi. Memakan daging babi tidak dikenakan penalti/hukuman kesiksaan, malah dalam keadaan darurat mengikut syara' ianya dibolehkan. Akan tetapi meminum arak menjadi kesalahan jenayah yang boleh dikenakan penalti ke atas pesalahnya dengan 40 kali sebatan. Jika mengulanginya boleh dikenakan dengan 80 kali sebatan. Pengharaman arak bukan sahaja meminumnya tapi termasuk membuat, meminta dibuatkan, mengedar, memesan, mengangkut, mengiklan, membeli, menjual (termasuk pemberi lesen), menghidang, dan memakan harga jualannya.

Arak Dalam Undang-undang Pentadbiran Islam
11. Di negara kita Malaysia terdapat undang-undang pengharaman arak ke atas orang Islam di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri. Hampir kesemua negeri-negeri membuat peruntukan mengenai pengharaman arak dalam enakmen masing-masing. Bagi Wilayah Persekutuan, ia termasuk di dalam Akta Pentadbiran Agama Islam Wilayah Persekutuan. Undang-undang pengharaman tersebut meliputi kesemua perkara pengharaman menurut syara'. Undang-undang berkenaan telah wujud sebelum merdeka lagi, namun beberapa pindaan telah dibuat selepas merdeka samada mengenai bidang kesalahan atau hukuman kesiksaannya. Pindaan yang terbaru mengenakan hukuman sebatan tidak melebihi 6 kali ke atas pesalahnya, contohnya di dalam Enakmen Pentadbiran Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 terdapat hukuman sebat tidak lebih 6 kali mengikut Seksyen 4: Pindaan bagi Seksyen 136. Berdasarkan undang-undang tersebut seorang wanita Islam bernama Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, telah dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai 2009.

Mengapa Kartika Orangnya?
12. Tiba-tiba secara mengejut nama Kartika Sari Dewi Shukarno tersiar namanya melalui pelbagai saluran media, TV, radio, blog-blog, di seluruh negara bahkan sampai ke peringkat antarabangsa. CNN, BBC, AFP tidak ketinggalan menjadikannya satu bahan berita mengenai Malaysia dan undang-undang Islamnya. Menurut laporan berita-berita, Kartika adalah berasal dari Sg. Siput, Perak keturunan Melayu jati (bukan Indonesia). Keluarganya dikatakan ada kaitan kekeluargaan dengan Ngah Ibrahim, seorang pembesar Perak yang dihukum buang negeri oleh kerajaan British ke Seychelles pada 1877. Kartika tinggal bersama suaminya dan bekerja di Singapura selama kira-kira 15 tahun sebelum dia ditangkap pada 11 Julai 2008, jam 11.40 malam di Cherating Bay Lounge, Hotel Legend Cherating, Pahang. Setelah lebih setahun, Kartika dijatuhi hukuman seperti tersebut di atas. Dia tidak membuat rayuan atas keputusan mahkamah itu bahkan menegaskan bersedia menjalani hukuman sebat sebanyak 6 kali seperti yang dijatuhkan ke atasnya. Saya percaya Kartika faham dan mengerti mengapa dia istiqamah untuk menerima dan menjalani hukuman ke atasnya itu. Saya juga percaya ayah dan ibunya yang menyokong pendiriannya itu bukan sahaja faham akan hukum-hakam Islam mengenai pengharaman dan kesalahan jenayah arak itu, bahkan mereka mengimaninya sebagai perkara yang mesti ditaati dan dipatuhi sebagai perintah Allah SWT. Mudah-mudahan mereka termasuk dalam golongan yang disifatkan Allah SWT dalam firmanNya yang bermaksud: Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang kamu buat itu, dan mereka menerima dengan sepenuhnya (An-Nisaa': 65).

13. Seingat saya inilah kali pertama dalam sejarah negara kita, hukuman sebat (atas apa jua kesalahan syariah) pernah dijatuhkan oleh mana-mana mahkamah syariah di negara kita. Kartika orang yang pertama menerimanya dan di samping mengakui kesalahannya, dia bersedia sepenuhnya menjalani hukuman sebat itu tanpa dipaksa atau dipujuk oleh sesiapa. Dia tidak keberatan menjalani hukuman itu kerana menyesal atas perbuatannya dan mahu bertaubat supaya mendapat keampunan Allah SWT di hari akhirat. Pendiriannya inilah antara faktor yang menjadikan hukuman sebat di bawah Enakmen Pentadbiran Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang itu meletus menjadi isu kontroversi hingga ke peringkat antarabangsa. Pelbagai pihak mempunyai persepsi yang negatif terhadap undang-undang jenayah Islam. Itu belum lagi hukuman sebenar atas kesalahan jenayah arak dikanunkan dalam enakmen/akta pentadbiran Islam di negara ini, kerana hukuman sebenar adalah 40/80 kali sebatan. Di antara yang sibuk cuba memujuk Kartika supaya membuat rayuan termasuklah Dato' Sri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Sisters In Islam dan Ivy Josiah, Pengurus Eksekutif Women's Aid Organisation Malaysia. Mereka mendakwa hukuman sebat ke atas Kartika merupakan suatu diskriminasi dan penghinaan terhadap kaum wanita.

Penjualan Arak Berleluasa
14. Seimbas pandang dakwaan golongan mereka yang mempertikai keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan itu semacam ada juga alasannya. Namun realitinya keputusan mahkamah itu sama sekali tidak ada kena mengena dengan diskriminasi atau pilih bulu terhadap kaum wanita. Apa yang sepatutnya dipersoalkan kenapa dalam tempoh 52 tahun negara merdeka tidak pernah diambil tindakan terhadap orang Islam yang meminum arak, menghidang arak, menjual arak atau bekerja di kilang arak dan sebagainya. Masyarakat Islam khasnya dan rakyat negara ini amnya kerap juga dihebohkan dengan isu penjualan arak di kedai-kedai runcit dan restoran-restoran yang melibatkan orang Islam. Malah baru-baru ini pun di negeri Selangor tercetus isu pengeluaran lesen menjual arak di kawasan-kawasan bermajoriti penduduk beragama Islam. PAS mencadangkan supaya pihak berkuasa kerajaan tempatan melaksanakan peraturan menghadkan pengedaran dan penjualan minuman beralkohol itu. Puak-puak UMNO pula mencabar pihak PAS supaya keluar dari Kerajaan PR di Selangor sekiranya cadangan PAS itu tidak dilaksanakan kerajaan. Akan tetapi di negeri-negeri yang diperintah UMNO/BN, perlesenan arak terus berleluasa tanpa mengira penduduk beragama Islam majoriti atau sebaliknya. Apabila sedikit hukuman dijatuhkan ke atas orang yang meminum arak, pemimpin-pemimpin UMNOlah yang membantahnya. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO turut berperanan mencadangkan supaya hukuman sebat itu dikaji semula.

Hukuman Yang Diisukan
15. Isunya di sini bukanlah Kartika, tetapi adalah hukuman sebat atas kesalahan meminum arak itu sendiri, seperti yang terkandung dalam enakmen pentadbiran Islam yang terdapat di negara ini. Bahkan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir yang memimpin negara selama 22 tahun pun tidak sedar akan adanya undang-undang kesalahan jenayah arak yang membawa hukuman sebat itu. Beliau bertanya (dalam blognya) adakah hakim yang menjatuhkan hukuman sebat ke atas Kartika itu hanya berpandukan kepada hukuman seperti yang tersebut dalam kitab-kitab feqah yang dikarang oleh para ulama', walhal para ulama' itu bukannya golongan yang maksum, demikian pertanyaan Dr Mahathir. Itulah gambaran pemikiran dan kefahaman orang-orang UMNO khasnya pemimpin-pemimimpin mereka. Golongan ulama' UMNO pula tidak berani mempertikai pendapat pemimpin mereka yang bercanggah dengan hukum-hakam bahkan aqidah Islam. Kita tidak pernah mendengar ada ulama' UMNO yang memperingatkan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz yang pernah secara berterang-terangan mengatakan bahawa pemimpin-pemimpin UMNO terpaksa membuat enakmen/akta mengenai hukum-hakam Islam (seperti pengharaman arak, khalwat dan zina - penjelasan saya) walaupun mereka tidak beriman dengannya. Kenyataan ini dibuat Nazri dalam suatu majlis forum dengan sekumpulan para peguam Melayu/Islam anjuran Bar Council dalam tahun 2006.

Pendirian UMNO Sebenar
16. Nazri menyatakan bahawa kerajaan UMNO/BN membuat undang-undang mengenai hukum-hakam Islam (tentunya yang berkaitan dengan jenayah syariah) adalah untuk mempastikan orang-orang Melayu (Islam) tidak memberi undi mereka kepada PAS yang kata beliau memperalatkan Islam untuk politik mereka. Oleh yang demikian, tidak hairanlah apabila penguatkuasa JAIS menangkap beberapa orang gadis Melayu yang melayani pelanggan-pelanggannya dengan minuman keras di Pub dan Restoran The Ship, Damansara Utama, mereka diarahkan oleh MB Selangor ketika itu (tahun 2000) supaya menarik balik saman ke atas gadis-gadis tersebut. Satu contoh lagi kes penangkapan terhadap berpuluh-puluh pelanggan kelab The Zouk, Jalan Ampang yang dilakukan oleh penguatkuasa JAWI dengan dibantu oleh penguatkuasa DBKL dan pasukan RELA. Tindakan penguatkuasa JAWI menyaman kumpulan-kumpulan remaja Melayu berkenaan termasuk seorang artis terpaksa dibatalkan atas arahan pihak atasan kerana di antara yang tertangkap itu adalah anak orang kenamaan. Isu ini disensasikan oleh media arus perdana yang merupakan lidah UMNO/BN iaitu Utusan Malaysia dan Berita Harian yang kemudian disambut oleh media antarabangsa. Mengenai perkara ini saya masih ingat isu The Zouk itu dibangkitkan dalam perbincangan kami beberapa orang pimpinan PAS Pusat termasuk saya dengan rombongan pendokong hak asasi manusia dari Amerika Syarikat. Anggota rombongan itu menggunakan ungkapan "Taliban Group" terhadap pihak berkuasa dalam pentadbiran Islam negara ini. Saya juga masih belum lupa pihak yang nyaris-nyaris dikenakan tindakan dalam isu The Zouk itu adalah pegawai-pegawai penguatkuasa JAWI sendiri. Pemuda PAS ketika itu menemui penguatkuasa berkenaan dan memberikan dokongan ke atas tindakan mereka itu, padahal tidak lama sebelum kejadian tersebut, penguatkuasa JAWI telah mengambil tindakan menangkap dan menyeret ke mahkamah beberapa orang pendakwah yang didakwa berceramah tanpa tauliah di Masjid Ar-Rahmaniah, Lembah Pantai. Saya sendiri ikut disaman oleh pihak JAWI tetapi mereka tidak mendakwa saya di mahkamah kerana terbukti saya ada memegang tauliah yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Bersambung...


Baca lagi...

Rabu, September 02, 2009

Ibadah Puasa dan Kemuliaan Bulan Ramadhan (Bhg. 1)

Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kepada kamu puasa sebagaimana yang telah diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertaqwa. (Al-Baqarah: 183)

Muqaddimah
Syukur Alhamdulillah, kerana dengan limpah kurnia Allah SWT, kita diberi rezeki untuk berada di bulan Ramadhan Al-Mubarak 1430H ini. Diucapkan selamat berpuasa dan menghayati ibadah di bulan Ramadhan Al-Mubarak. Setakat ini mudah-mudahan kita telah dapat menyempurnakan ibadah Al-Siyam atau berpuasa serta bertarawih dan witir selama 12 hari. Saya bersyukur kerana dapat mengisi program tazkirah Ramadhan setiap hari samada waktu zuhur atau ketika solat tarawih, bahkan berkesempatan juga kuliah subuh dan dhuha pada hari-hari Sabtu dan Ahad yang lalu. Diharap untuk menambah manfaat tazkirah Ramadhan melalui kuliah-kuliah tersebut, dalam blog ini saya ringkaskan butiran penting dari tazkirah/kuliah berkenaan. Antara lainnya seperti berikut:

Format Ibadah Yang Bebeza
1. Perlaksanaan ibadah puasa amat berbeza dengan perlaksanaan ibadah solat, zakat dan haj. Kita melaksanakan ketiga-tiga ibadat rukun Islam itu dengan melakukan perbuatan atau amalan tertentu yang dapat dilihat dan disaksikan oleh orang lain ketika kita melaksanakannya. Contohnya, ketika mendirikan solat kita berdiri (qiyam), ruku', sujud, duduk antara dua sujud dan sebagainya. Begitu pula jika seseorang menunaikan zakat, dia bertindak menyerahkan sebahagian benda atau harta yang diwajibkan zakat ke atasnya kepada orang yang menerimanya. Demikian juga, apabila seseorang menunaikan ibadat haj, dia pergi menziarah Baitullah di Makkah Al-Mukarramah dan melakukan pelbagai amalan seperti ihram, tawaf, saie, wukuf di Arafah, bercukur, melontar Jamrah dan sebagainya. Akan tetapi, ketika seseorang melaksanakan ibadah puasa/siyam, dia tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh dilihat atau disaksikan oleh orang lain, kerana puasa itu hanya terlaksana apabila seseorang MENINGGALKAN perbuatan-perbuatan tertentu iaitu meninggalkan makan, minum, hubungan kelamin (antara suami-isteri) dan sebagainya. Hanya orang yang melaksanakannya mengetahui dia sedang berpuasa (selain Allah SWT). Ini bererti berpuasa adalah bebeza dengan ibadah rukun yang lain kerana ianya hanya terlaksana dengan tidak melakukan perbuatan tertentu yang dapat difahamkan dari takrif syara' bagi ibadah puasa itu, iaitu menahan diri daripada makan dan minum, serta jima' dari waktu fajar (imsak) hingga tenggelam matahari kerana mematuhi titah perintah Allah SWT.

Unsur Undang-undang
2. Ayat Al-Quran (seperti tersebut di atas) yang menjadi dalil/keterangan atas wajibnya puasa diungkapkan Allah SWT dengan lafaz/perkataan كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ yang bermaksud diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sedangkan kewajipan ibadah rukun yang lain seperti solat, zakat dan haj tidak diungkapkan Allah SWT ayat seperti itu. Tiada perintah كُتِبَ عَلَيْكُمُ atas kewajipan mendirikan solat, begitu juga dengan menunaikan zakat dan haj. كُتِبَ عَلَيْكُمُ maknanya secara harfiah (literal) ialah dituliskan ke atas kamu yang membawa maksud perintah yang berunsur undang-undang atau peraturan. Dalam konteks puasa ia mudah difahami sebagai perintah yang mengandungi unsur undang-undang kerana ianya terlaksana dengan hanya meninggalkan larangan atas perbuatan makan, minum dan hubungan kelamin. Larangan adalah ciri terpenting dalam undang-undang. Larangan adalah merupakan batas atau sempadan yang menyekat seseorang dari berbuat sesuka hati menurut kehendak dan nafsu masing-masing. Contoh mudah, apabila seseorang memandu di atas jalanraya dihadkan kelajuannya kepada 110km/j atau 90 km/j, yang bererti apabila had itu dilanggar maka seseorang itu dianggap melanggar undang-undang mengenai kesalahan lalulintas/trafik.

3. Unsur undang-undang yang diungkapkan dengan lafaz ayat
كُتِبَ عَلَيْكُمُ itu dapat difaham dengan lebih jelas apabila ungkapan yang sama digunakan bagi kewajipan melaksanakan undang-undang qisas iaitu hukuman bunuh dibalas bunuh dan cedera dibalas cedera. Kewajipan tersebut disebutkan di dalam ayat Al-Baqarah:178 yang berbunyi:
كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى
Begitu juga terdapat ayat Al-Baqarah yang berbunyi:
كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ لَّكُمْ
Yang bermaksud: Telah diwajibkan ke atas kamu berperang sedangkan ianya tidak kamu sukai. Kedua-dua perintah tersebut merupakan undang-undang dan peraturan Allah SWT bagi menjamin hak kebebasan manusia untuk hidup tidak dicabuli sesuka hati. Manusia tidak dibenarkan membunuh sekehendak hati dan jika melanggarnya dia akan dikenakan hukuman. Umat manusia juga tidak boleh memerangi musuhnya melainkan dengan mengikut peraturan dan undang-undang yang membolehkan mereka berperang.

Nafsu Punca Jenayah
4. Perintah larangan yang terkandung di dalam ibadah puasa dikenakan ke atas keinginan nafsu manusia yang paling asas iaitu nafsu makan minum dan kelamin/seks. Kehendak dan tuntutan nafsu yang paling asas ini jika tidak diperundang-undangkan peraturan mengawalnya akan berlakulah kacau bilau dan kerosakan dalam kehidupan manusia. Perbuatan jenayah berat seperti mencuri, merompak, merogol/berzina, bahkan membunuh adalah sebahagian besarnya berpunca dari keinginan nafsu manusia yang tidak terbatas untuk memenuhi kehendak makan minum dan seks. Dalam konteks ini, ibadah puasa melatih dan mentarbiah manusia dengan meninggalkan larangan-larangan atas perkara-perkara yang dihalal/dibenarkan oleh syara' tetapi ia wajib ditinggalkan selama sebulan (Ramadhan) dalam masa kira-kira 13/14 jam sehari mengikut di mana tempat/negeri ibadat tersebut dilakukan. Ia dilakukan hanya kerana mematuhi titah perintah Allah SWT yang bersifat larangan buat sementara atas perkara/perbuatan yang pada dasarnya adalah tidak dilarang oleh syara'.

Kepentingan Undang-undang
5. Islam sebagai Ad-Deen mengandungi sistem dan peraturan hidup yang lengkap dalam hubungan manusia dengan Tuhan (Allah SWT), hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam. Kesemua sistem dan peraturan yang lengkap itu tidak dapat disempurnakan tanpa undang-undang yang melindunginya. Undang-undang pula tidak lengkap melainkan adanya perintah larangan/tegahan. Larangan itu pula tidak terjamin dipatuhi sekiranya tidak dikenakan hukuman kesiksaan ke atas pelanggar atau orang yang mencabulinya. Perintah Allah SWT yang bersifat undang-undang yang pertama kali dikenakan ke atas manusia adalah merupakan larangan dari mendekati suatu pohon dalam suatu Taman/Jannah di mana Allah SWT menempatkan manusia pertama Adam dan Hawa sebelum diturunkan ke bumi. Firman Allah SWT dalam ayat Al-Baqarah: 35 bermaksud: Dan berkata Kami: Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isteri engkau di Taman ini, dan makanlah kamu berdua daripadanya dengan senang sesuka-sukamu, dan janganlah kedua kamu mendekat ke pohon ini, kerana (kalau mendekat) akan jadilah kamu berdua dari orang-orang aniaya.

Larangan Pertama Ke atas Manusia
6. Larangan Allah SWT dari mendekati pohon berkenaan bermaksud Adam dan Hawa dilarang dari mengambil apa yang boleh dimakan ataupun juga diminum dari buah pohon tersebut. Kedua-duanya melanggar larangan itu dan mereka telah menganiaya diri mereka. Akibat perlanggaran atas larangan itu, kedua-duanya menerima hukuman atas kesalahan mereka iaitu mereka dikeluarkan dari Taman tersebut dan diperintah turun ke bumi sehinggalah lahir dan berkembang zuriat Bani Adam di bumi Allah SWT ini. Namun kedua-duanya memohon keampunan atas kesalahan tersebut dan Allah SWT menerima taubat mereka. Peristiwa yang berlaku kepada Adam dan Hawa dalam Taman yang ditentukan Allah SWT untuk mereka sebelum diturunkan ke bumi menggambarkan bagaimana manusia boleh melanggar larangan Allah SWT apabila nafsunya dapat digoda oleh syaitan. Al-Quran menceritakan bahawa kedua-duanya telah digelincirkan oleh syaitan yang mempengaruhi mereka supaya memakan dari pohon yang terlarang itu (maksud Al-Baqarah: 36).

Kesan Makan/Minum
7. Difahami dari larangan atas makan, minum dan hubungan kelamin dalam melaksanakan ibadah puasa dapat dilihat adanya hubungan dan kesan timbal balik di antara makan/minum dengan nafsu seks. Ini bererti makanan dan minuman yang halal dapat menjaga kehormatan dan hubungan kelamin yang halal. Sebaliknya mengambil makanan dan minuman yang haram boleh mengakibatkan kegagalan memelihara kehormatan diri dan mendorong kepada perlakuan hubungan kelamin/seks yang haram seperti mendedahkan aurat, khalwat dan zina. Merujuk kepada peristiwa Adam dan Hawa melanggar perintah Allah SWT supaya tidak mendekati pohon berkenaan yang terlarang itu, kedua-dua mereka serta-merta terbogel atau terdedah kemaluan mereka sebaik sahaja memakan dari buah pohon berkenaan (maksud Al-A'raaf: 22).

Ujian Keimanan
8. Larangan atau pengharaman dalam hukum hakam Islam khususnya mengenai makan minum dan syahwat kelamin bukan bertujuan untuk menyiksa atau menyakiti diri manusia. Bahkan jauh sekali dari bertujuan untuk membunuh nafsu syahwat manusia yang tabiatnya memang dijadikan Allah SWT mempunyai hawa nafsu. Sebab itu Islam mengharamkan manusia berpuasa sepanjang masa. Islam juga tidak melarang manusia memakan daging atau makhluk yang bernyawa kecuali daging haiwan yang tertentu sahaja seperti babi. Manusia menjadi makhluk yang mulia dan statusnya lebih tinggi dari malaikat. Ini kerana manusia mempunyai kekuatan untuk menguasai hawa nafsunya apabila dia beriman kepada Allah SWT. Dia sebenarnya boleh menolak titah perintah Allah SWT dan melanggar larangan-laranganNya kerana manusia (Bani Adam) mempunyai kebebasan memilih mengikut kehendak atau iradahnya. Nafsunya menuntut dirinya melakukan sesuka hati tanpa batasan dan halangan. Namun kerana kekuatan jiwa yang beriman dan berpegang kepada keyakinan bahawa titah perintah Allah SWT itu adalah benar dan wajib dipatuhi, maka dia mempunyai keupayaan menundukkan hawa nafsunya. Inilah hikmahnya maka setiap perintah Allah SWT baik yang berupa suruhan atau larangan ditujukan kepada "orang-orang yang beriman". Contohnya, perintah kewajipan berpuasa seperti yang terkandung dalam ayat yang disebutkan di atas.

Bersambung...


Baca lagi...