بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ
الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالاَتِ اللهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلاَ يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلاَّ اللهَ وَكَفَى بِاللهِ حَسِيبًا

Rabu, Julai 22, 2009

Manek Urai - Amaran Kepada Lawan, Pengajaran Kepada Kita


(A) Maksud firman Allah SWT:
“Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan daya upaya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. Dan Allah sebaik-baik Pembalas tipu daya.” (Al-Anfaal:30)

(B) Maksud firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (hai para mukminin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunain, iaitu di waktu kamu menjadi congkak kerana banyaknya jumlahmu, maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikit pun, dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai.” (At-Taubah:25)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Sudah berlalu lebih seminggu Pilihanraya Kecil N41 Manek Urai (MU) yang memberi kejutan kepada kedua-dua belah pihak yang bertanding. UMNO (BN) sejak dari hari penamaan calonnya, Tuan Aziz Tuan Mat, cukup yakin akan mengalahkan calon PAS (PR), Haji Mohd Fauzi Abdullah yang dikenal dengan Abe Uji. UMNO mendakwa rakyat MU mahu perubahan, mereka ingin menikmati pembangunan. Mereka tidak mahu terus ketinggalan dari mendapat kemudahan infrastruktur seperti jalanraya, jambatan dan lain-lain kemudahan awam. UMNO mendakwa kerajaan PAS/PR Kelantan di bawah pimpinan Tok Guru Nik Aziz yang telah selama hampir 20 tahun tidak berupaya membangun MU khasnya, dan Kelantan amnya. Dalam kempennya melalui semua saluran media dan ceramah mereka, UMNO menggambarkan seolah-olah MU tidak mempunyai sebarang kemudahan awam dan rakyatnya benar-benar hidup dalam kemiskinan. UMNO sengaja menyembunyikan bahawa 5 DUN yang mereka menangi dalam PRU ke-11 dan 12 yang lalu tidak banyak berbeza dengan N41 Manek Urai. Tidak ada pembangunan yang hebat Kerajaan Persekutuan BN curahkan. Tiba-tiba sahaja UMNO membuat janji akan menjadikan MU sebagai anak emas Kerajaan Persekutuan jika BN menang. Muhyiddin Yassin berjanji kepada rakyat MU, jika BN menang pada 14 Julai, maka esok harinya akan dimulakan kerja membina satu jambatan yang menghubungkan Kampung Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru.

Saya bersama isteri sempat menyaksikan suasana kempen PRK Manek Urai selama 3 hari. Kami menyaksikan UMNO memang bermati-matian mahu merampas MU. Pimpinan tertinggi mereka bertumpu di UPU Manek Urai Lama, Manek Urai Laru, Laloh dan Sg. Prial. Kami terserempak dengan Muhyiddin Yassin, Mustapha Mohamed, Shahidan Kassim, Ahmad Maslan dan Shahrizat di beberapa UPU. Mereka bersungguh-sungguh menemui rakyat dari rumah ke rumah. Kenderaan rasmi beberapa agensi Kerajaan Persekutuan keluar masuk kawasan PRK MU. Entah benda apa yang diangkut tidak dapat dipastikan. Pemimpin UMNO menggunakan jawatan mereka untuk bertemu rakyat dan menyampaikan sumbangan-sumbangan. Muhyiddin Yassin selaku TPM dan Menteri Pelajaran mengadakan perjumpaan-perjumpaan bersama rakyat di sekolah-sekolah sambil menyampaikan bantuan kepada pelajar-pelajar. Dari sumber yang dipercayai, Muhyiddin Yassin juga menyampaikan sumbangan kepada para pengundi yang dijemput ke perhimpunan tersebut.

Di pihak PAS pula, kami dapat menyaksikan suasana kempen yang agak berbeza dari PRK-PRK yang lalu seperti PRK Permatang Pauh, Kuala Terengganu dan Bukit Gantang. Ini kerana di PRK MU penglibatan jentera parti dari luar Kelantan tidak ketara langsung disebabkan mereka tidak diberi peranan bahkan kontinjen negeri-negeri dihadkan jumlahnya dalam bilangan yang kecil. Bahkan berbanding dengan PRK Pengkalan Pasir (Parlimen Pasir Mas) pada 2005, pun sangat berbeza kerana ketika itu jentera dari luar Kelantan semuanya diberi peranan termasuk kempen rumah ke rumah. Semenjak hari Muktamar PAS ke-55 di Shah Alam, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Penasihat Jentera Operasi Pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai menegaskan bahawa jentera parti dari luar Kelantan ditugaskan hanya bagi membantu dalam tugasan-tugasan yang diarahkan.

Saya dan isteri dapat ikut serta berkempen kerana hubungan peribadi dengan Dr. Hatta, Ahli Parlimen Kuala Krai dan Dato' Husam Musa, EXCO Kanan Kerajaan Kelantan. Manakala isteri, kerana hubungan peribadinya dengan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Hjh Siti Zailah Mohd Yusof. Jika tidak, kami hanya jadi pelancong PRK. Kami agak risau juga melihat Tok Guru Nik Aziz (TGNA), pagi petang siang malam turun naik memenuhi program kempen. Seolah-olah seluruh harapan untuk menang diletakkan ke atas bahu TGNA. Memang tidak dinafikan aura TGNA amat ketara apabila di mana sahaja beliau berada, rakyat berhimpun bersesak-sesak. Pada malam sebelum hari mengundi apabila beliau berceramah di UPU Sg. Prial yang terletak di tepi jalanraya, berpuluh kilometer kenderaan tidak dapat bergerak sehingga lewat malam. Pada malam sebelumnya beliau berceramah sehingga tengah malam, kemudian pada jam 3 pagi beliau memimpin munajat pula di Masjid Manek Urai Baru.

Menyaksikan begitu gigih dan bersemangatnya TGNA, saya tetap merasai betapa letih dan penatnya beliau. Saya tertanya-tanya mengapa pimpinan PAS Kelantan sendiri seperti tidak risau melihat suasana yang menekan TGNA. Saya percaya beliau mengisytiharkan cuti umum pada 14 Julai (hari mengundi) sedikit sebanyak berpunca dari kebimbangan beliau akan berkurangnya penyokong PAS yang keluar mengundi kerana terikat dengan kerja mereka. Dalam pergerakan saya bersama Dato' Husam ke beberapa UPU, kami tidak terserempak dengan Pimpinan Utama PAS Kelantan. Apakah itu hanya kebetulan, saya kurang pasti. Pada hari membuang undi saya sempat melawat 6 UPU, tidak juga terserempak dengan tokoh-tokoh tertentu PAS Kelantan. Selama 3 hari, saya sempat singgah berkali-kali di Markaz Induk Manek Urai. Ada di antara pimpinan Jentera Operasi PRK MU yang seperti tidak kenal atau tidak mesra alam dengan saya. Agaknya kehadiran saya yang tidak lagi memegang sebarang jawatan parti kecuali Ahli Syura tidak diperlukan. Saya sengaja menebalkan muka datang dan masuk ke Markaz tersebut. Hati saya berkata agaknya memang betullah PRK MU ini tidak begitu memerlukan kehadiran orang PAS luar Kelantan. Pemimpin tertinggi parti dari Pusat pun tidak kelihatan.

Pada hari mengundi semangat penyokong-penyokong PAS sangat tinggi. Di setiap pusat pengundi yang kami kunjungi amat jelas menunjukkan PAS menguasai suasana. Penyokong-penyokong BN tidak ramai bilangannya berbanding penyokong PAS. Kenderaan pengangkutan dan meja semakan daftar pengundi pihak PAS sentiasa mengatasi pihak BN. Sekitar jam 11 pagi peratusan keluar mengundi sudah mencapai 62%. Ketika itu saya sedang minum bersama dengan wartawan Malaysiakini dan beberapa orang sahabat termasuk Dato' Mahfuz Omar. Selepas itu saya meneruskan lawatan ke beberapa pusat pengundi dengan sebuah kenderaan bersama seorang sahabat ahli korporat dari Selangor. Beliau menerima panggilan telefon dari bekas seorang pemimpin UMNO Kelantan memberi maklumat bahawa UMNO akan menang sekiranya peratus keluar mengundi mencapai 86%. Pada masa yang sama kami menerima SMS mengenai kenyataan Pengarah Operasi PRK MU, YB Abdul Fatah Harun bahawa PAS akan menang dengan majoriti 2300. Sebelum itu pun Abdul Fatah dilaporkan membuat kenyataan bahawa PAS boleh menang dengan majoriti 2000. Dalam benak saya timbul pertanyaan apakah kenyataan seperti itu perlu dan sesuai kalau pun ia dianggap sesuatu strategi bukankah ianya boleh memberi ruang kepada musuh untuk mereka melakukan counter attack. Bahkan saya bimbang kalau ia ditafsirkan sebagai angkuh dan mendahului takdir apabila menyebut angka atau jumlah bilangan tertentu.

Suasana Mencemaskan
Setelah peti undi ditutup pada jam 5 petang, kami menyaksikan penyokong-penyokong Parti PAS berpusu-pusu dan bersesak-sesak sepanjang jalan raya Kuala Krai menghala ke Gua Musang. Hampir tidak nampak langsung lambang BN di antara ratusan kenderaan penyokong-penyokong PAS. Lebih kurang jam 7 petang, SPR mengumumkan jumlah peratus keluar mengundi sebanyak 87.3%. Saya merasa cemas bila teringat bacaan UMNO akan menang jika peratus keluar mengundi meningkat ke 86%. Saya hubungi Mahfuz yang berada di Markaz Induk. Beliau juga bimbang seperti saya. Penjumlahan undi di Pusat Penjumlahan Undi SPR di Kuala Krai baru bermula. Kira-kira jam 8 malam, Malaysiakini memberitahu saya belum ada apa-apa maklumat. Saya dan isteri sudah melewati Merapoh dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur. Perasaan cemas semakin bertambah apabila mereka yang saya hubungi tidak menjawab panggilan telefon. Dato' Husam, Dr. Hatta, En. Ghazali (adik Abe Uji) semuanya “off”kan telefon mereka. Hanya kira-kira jam 8.30 malam Malaysiakini setiap 15 minit mengemaskini jumlah pengiraan undi oleh SPR.

Satu ketika PAS hanya mendahului 35 undi. Ketika itu masih ada beberapa peti undi belum dijumlahkan. Akhirnya secara rasmi PAS menang dengan hanya 65 undi. Malaysiakini memberitahu kemungkinan dibuat kiraan semula (recount). Saya bertambah cemas jika kiraan semula dibuat. Berkemungkinan keputusan berubah berpihak kepada musuh. Tetapi bila saya hubungi Dato' Husam, beliau menjawab dengan selamba, “Kalau ada recount, InsyaAllah undi kita boleh bertambah”. Akhirnya keputusan rasmi tidak berubah.

Saya berhenti di Kuala Lipis dengan perasaan penuh syukur sambil bermuhasabah. Saya berkata kepada isteri saya yang sedang memandu, kalau ikut jumlah angka BN lah yang menang kerana ... cuba fikir. Daripada 9 UPU PAS menang 4, BN menang 5. Undi Pos BN menang, PAS kalah 35 undi. PAS kehilangan undi (merosot) sebanyak 398 berbanding undi PAS 2008, manakala BN bertambah 889 pada tahun yang sama. Sepatutnya dari majoriti 1352 yang diperolehi PAS dalam PRU ke-12 BN hanya perlu menambah undi 680 untuk mendapat majoriti 4 undi sedangkan UMNO telah berjaya menambah 889 undi.

UMNO Hendaklah Insaf
Jelaslah UMNO/BN salah menghitung angka ilmu hisab mereka walaupun peratusan keluar mengundi bertambah 3% iaitu sebanyak 416 orang. Tapi jumlah undi rosak berkurangan sebanyak 75 undi berbanding keputusan PRU 2008. Sasaran UMNO/BN di UPU Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru yang dirasuah dengan jambatan bernilai RM7juta telah gagal kerana hanya mampu memperolehi majoriti 218 undi (184+34). UMNO/BN yang tersungkur di DUN Penanti dengan memberi kemenangan percuma kepada Pakatan Rakyat melalui kemenangan calon PKR. Cuba bangkit semula di gelanggang Manek Urai dengan menunjuk gagah sempena 100 hari Najib Tun Razak menjadi PM dengan slogan 1 Malaysia rakyat didahulukan. Tiba-tiba TGNA (MB Kelantan) dan Dato' Husam Musa (EXCO Kanan) menyergah Najib dan Muhyiddin Yassin dengan menuntut kerajaan Persekutuan membayar royalti petroleum kepada kerajaan Kelantan yang tertunggak berjumlah RM1billion. UMNO gagal menjawab hujjah PAS dalam isu royalti ini. UMNO berjanji jawapan akan diberi oleh Petronas dalam tempoh 48 jam selepas kabinet membuat keputusan mengenainya pada 8 Julai, namun sehingga hari mengundi pada 14 Julai, Petronas terus membisu. Jelaslah UMNO menipu rakyat Kelantan. PAS dengan senjata royalti petroleum RM1billion itu dapat menjadikan senjata “anak emas” RM7juta gagal memecahkan kubu pertahanan PAS di 4 UPU, terutama kubunya di UPU Latarek, tempat bersejarah kelahiran PAS di Manek Urai. UMNO hendaklah ingat (kalau mahu insaf) bahawa perancangan Allah lebih hebat dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya (rujuk ayat di atas).

PAS diselamatkan Allah dengan kemenangan majoriti di 4 UPU berjumlah 506 undi sedangkan UMNO/BN yang menang di 5 UPU campur undi pos hanya memperolehi majoriti berjumlah 412 undi. Ertinya PAS menang dengan majoriti (506-412) 94 undi, bukan 65 undi jika hitungan dibuat berdasarkan jumlah undi kemenangan sebenar dari jumlah majoriti yang diperolehi oleh kedua calon.

PAS perlu mengambil pengajaran dari kemenangan tipisnya 65 atau 94 undi itu. Kesemua pimpinan dan penyokong PAS wajib bersyukur kerana berjaya mempertahankan DUN MU yang sekaligus meneruskan kesinambungan, kemenangan Pakatan Rakyat di semenanjung dalm PRK selepas PRU 2008 dengan agregat 6-0 mengalahkan UMNO/BN. Memang kita wajib bersyukur kerana dalam rekod PRK negeri Kelantan lazimnya keputusan memihak kepada UMNO/BN yang menjadi pembangkang tetapi tidak pada kali ini di Manek Urai.

PAS Perlu Muhasabah
PAS perlu muhasabah diri dan mengambil pengajaran dari PRK MU ini dengan iktibar daripada peristiwa Perang Hunaian seperti yang digambarkan dalam firmannya dalam ayat di atas. Beberapa iftiradhat/hipotisis seperti berikut perlu dicerakin iaitu:
• adakah benar-benar terdapat unsur ‘ujub dan takabbur di kalangan pimpinan dan pendokong parti
• adakah unsur kenegerian mempengaruhi jentera operasi PRK hingga tidak yakin kepada peranan petugas dari luar Kelantan
• apakah benar PAS meletakkan harapan dengan usaha untuk menang kepada TGNA seorang yang menyebabkan peranan pimpinan lain tidak begitu dikehendakki kecuali sekadar imej sahaja
• benarkah tindak tanduk, bahasa lisan dan bahasa isyarat setengah-setengah pimpinan PAS banyak memberi ruang terbuka kepada UMNO untuk menyerang PAS
• benarkah ada pendokong/penyokong dan anggota jentera pilihanraya PAS di peringkat UPU yang belot kerana mendapat sogokan UMNO
• benarkah kemenangan PAS DUN MU pada penggal-penggal yang lalu kerana faktor pengaruh peribadi Pak Su Weil (Ismail Yaacob) lebih daripada faktor parti
• apakah benar kemenangan PAS dengan majoriti tipis itu kerana faktor “x” seperti yang dijanji Allah dalam surah Al Hajj ayat 40.

Demikianlah andaian/hipotisis yang perlu diberi jawapan untuk muhasabah. Setelah diperolehi jawapannya, lakukanlah dialisis untuk mempastikan jenis penyakit dan rawatan serta ubatnya. Mana-mana pesakit yang perlu ke klinik untuk pemeriksaan dan rawatan pergilah segera ke sana. Mana-mana pesakit yang perlu dimasukkan ke hospital, segeralah diambil tindakan. Mana-mana yang kurang tenaga, bolehlah diberi makanan tambahan yang sesuai atau diberi rawatan ozon. Mudah-mudahan dengan bersyukur dan bermuhasabah PAS akan terus mendapat pertolongan Allah dalam perjuangannya menegakkan kebenaran dan mendaulatkan Islam. Allahu Akbar!!!

8 ulasan:

silent MP berkata...

Salam Ustaz,

Lama tak berkunjung ya...

Tak nak mintak komen ttg gambar yang sedang hangat di kalangan bloggers semua di luar sana (colok dan lilin)..

Rasanya, penulisan Ustaz tidak menambah Iman dan amal pembaca malah mewujudkan kebencian yang tiada bukti..melainkan ayat-ayat seperti difahamkan..dari sumber yang dipercayai dsb.

Itu semua kalau betul jadi umpat, kalu tidak jadi fitnah..

Pemburu Syahid berkata...

Salam....

Ana pernah beberapa kali terserempak dgn Ustaz di Puduraya dulu.

Meleleh air mata ana membaca luahan hati Ustaz.

Istiqamahlah.

Unknown berkata...

Assalamu'alaikum Ustaz,

Saya sokong siapa saja yang bekerja untuk islam dan bersimpati dengan pengalaman ustaz.

Cuma disini saya ingin memahami konsep blog ustaz samada tulisan ilmiah atau sembang kedai kopi. Ada banyak perbezaan antara kedua-dua terma itu.

InsyaAllah orang yang berilmu dapat membezakan antara ilmiah berdasarkan sumber rujukan islam atau kajian ilmiah sekular. Jika perbincangan hanya berdasarkan pendapat dan pandangan peribadi saja, ia akan termasuk kategori sembang kedai kopi yang berat sebelah dan kadangkala tidak betul dan menjadi umpatan atau fitnah.

Saya hormati ulama tulen dan unggul. Maaf zahir dan batin kepada semua.

emkay berkata...

Salam ustaz & sahabat2

Nampaknya sdr al-Farabi tidak meneliti artikel ust secara saksama ataupun dibenaknya telah tersedia premis menolak apa sahaja yang datang drp "bukan PAS tulen".

Sdr Al-Farabi, tolonglah jgn pecah-belahkan jamaah. Nabi persaudarakan ansar dgn muhajirin, bukan asyik timbulkan siapa Islam dulu siapa Islam kemudian.

Artikel ust di atas adalah penelitian waqeq yg dialami dan dibahas oleh beliau secara umum, bukan menuduh kpd mana-mana individu secara khusus.

Banyak yg boleh kita ambil pengajaran drp kritikan/muhasabah ust utk memajukan PAS di tempat kita masing-masing. Yg selalu saya tengok tidak mahu bermuhasabah secara tekun dan cerdik adalah mereka yg merasakan merekalah PAS-tulen. Cukuplah parti ini terbeban dgn permasalahan ummah yg banyak, jgnlah kita kerdilkan pula diri kita para pendokongnya.

Allahu Akbar walillahilhamd

Yeasin Cameron berkata...

Ustaz, minta izin Ustaz agar saya forwardkan penerangan YB Khalid Iskandar berkenaan issue lilin DS Nizar. Lilin ye SlntMP, bukan colok ok??

Saya membaca komen-komen yang telah dikemukakan di dalam artikel Majlis Candle Light Vigil & Amalan Memegang Lilin dengan penuh minat. Yang penting bagi saya semua faham, memegang lilin tidak menjadi satu kesalahan semata-mata atas sebab lilin digunakan dalam upacara keagamaan orang Kristian atau Buddha atau Hindu atau mana-mana agama selain Islam. Penggunaan sesuatu objek oleh agama lain dalam upacara keagamaannya tidak dengan sendirinya menjadikan perkara itu haram untuk digunakan oleh orang Islam. Sebagai contoh, loceng.

Jelas juga bahawa pertikaian berhubung pemegangan lilin hanya wajar ditimbulkan sekiranya ianya dipegang dalam majlis keagamaan selain Islam dan sebagai sebahagian dari upacara peribadatan agama tersebut. Pemahaman berhubung perkara ini amat penting supaya kita dapat menentukan sikap kita secara tepat dan jelas.

Sesuatu perkara menjadi haram atas dua sebab, iaitu ‘lizattihi’ yang bermakna atas sebab zat perkara itu sendiri yang haram seperti arak, daging khinzir dan sebagainya ATAU ‘lighairihi’ iaitu atas sebab faktor luaran yang menjadikan perkara yang asalnya tidak haram menjadi haram. Dalam soal memegang lilin ini, jelas bahawa sekiranya ia menjadi haram sekalipun ianya adalah atas sebab ‘lighairihi’.

Sesuatu yang haram atas sebab ‘lighairihi’ tidak menjadi haram secara mutlak seperti perkara yang haram atas sebab ‘lizattihi’. Perkara yang haram atas faktor luaran hanya akan menjadi haram sekiranya sebab ianya diharamkan masih wujud. Sebagai contoh, perkara yang menjadi haram atas sebab ianya digunakan dalam upacara peribadatan agama selain Islam hanya menjadi haram sekiranya ia digunakan sedemikian rupa oleh seorang Islam dengan tujuan meniru atau sebagai sebahagian dari upacara keagamaan tersebut.

Maka persoalan haramnya pemegangan lilin oleh DS Nizar bergantung kepada persoalan samada beliau memegang lilin sebagai sebahagian dari upacara peribadatan selain Islam atau bertujuan meniru upacara peribadatan selain Islam. Jawapannya amat jelas tidak! Oleh itu ianya tidak haram dan tiada kesalahan yang telah dilakukan beliau.

Ada yang mengatakan isu ini isu ‘syubhah’ atau samar serta meragukan, kerana mungkin majlis ‘candlelight vigil’ merupakan majlis peribadatan bukan Islam. Oleh itu, lebih baik kita menjauhkan diri. Bagi saya, ianya hanya meragukan bagi yang tidak tahu dan bagi yang tidak tahu, penyelesaiannya amat mudah. Tanya yang tahu! Kalau dianggap ianya majlis peribadatan Kristian, tanya orang Kristian. Kalau ianya dianggap majlis peribadatan Hindu, tanya orang Hindu dan sebagainya. Tetapi kalau mereka semua jawab ‘tidak’, janganlah kita pula yang beriya-iya mahu mengatakan ‘ya’! Kita pula lebih tahu dari mereka berhubung majlis peribadatan mereka! Cenderung sangat nak mengharamkan semua perkara.

Kita perlu sedar bahawa mengharamkan yang halal adalah SAMA salahnya dengan menghalalkan yang haram.

bersambung

Yeasin Cameron berkata...

sambungan dari bah 1

Maka telah timbul juga persoalan ‘adakah cara ini cara yang dianjurkan Islam?’. Dalam soal ini, komen anak murid PAS Shah Alam amat tepat dan membanggakan. Bertuah saya berada di kawasan Shah Alam. Dalam soal SELAIN ibadat khususiyyah, asal tiap-tiap sesuatu adalah mubah (harus) dan semua adalah harus kecuali ada dalil yang mengharamkannya. {‘Al-aSlu filAsyYa’il ibahah’ dan ‘Kullu syaiin mubah illa bi dalil yuharimuhu’}.

Dalam soal ibadat khususiyyah, sebaliknya, iaitu semua tidak boleh dilakukan kecuali ada dalil yang membenarkan.

Maka, sudah pasti bahawa majlis memprotes kezaliman bukan ibadat khususiyyah seperti sembahyang dan puasa. Oleh itu semua perbuatan adalah harus atau dibolehkan selain dari yang ada dalil yang mengharamkannya. Maka, adakah dalil yang mengharamkan memegang lilin dalam majlis ‘candle-light vigil’ yang secara simboliknya telah saya nyatakan dalam artikel asal? Jelas tiada.

Majlis ini tidak juga menjadi haram oleh kerana, mengambil kata-kata Mufti negeri kerajaan lanun itu: “banyak cara lain”.

Sebenarnya dalam persoalan ini UMNO telah berjaya mengalihkan pandangan ummat Islam dari persoalan kematian mendiang Teoh Beng Hock kepada persoalan ‘pegang lilin’. Ummat dan bangsa lain berbahas berhubung kematian beliau, ummat Islam dibawa oleh UMNO untuk berbahas isu ‘pegang lilin’. Mungkin bagi sebahagian ummat Islam persoalan ‘pegang lilin’ ini begitu penting, kerana mereka tak faham dan berjaya dikelirukan oleh UMNO. Tetapi walau penting bagaimana sekalipun, isu ini tidak sepatutnya menenggelamkan isu kematian seorang yang tidak bersalah ditangan SPRM!

Samalah seperti dahulu apabila berlakunya peristiwa Memali. UMNO tonjolkan isu azimat, tangkal dan jampi (Kertas Perintah Peristiwa Memali (1986), m/s: 15-17). UMNO sentiasa memesongkan pandangan rakyat, khususnya ummat Islam dari isu yang sepatutnya menjadi tumpuan mereka. Dalam kes Memali, persoalan pembunuhan kejam orang kampung yang tidak bersalah dan tidak bersenjata ditangan tentera atas arahan UMNO. Begitu juga persoalan kezaliman undang-undasng ISA yang ditentang As-Syahid Ust Ibrahim Libya.

Kini dibawa isu ‘pegang lilin’, ‘anak luar nikah’ dan sebagainya supaya diketengahkan. Soal pembunuhan yang jelas salah terus didiamkan. Inilah sebabnya mengapa kita TIDAK boleh jadikan UMNO sebagai kawan. Mereka sentiasa berusaha memperbodohkan rakyat, ummat Islam khususnya. Bukannya mahu jadikan ummat Islam lebih bijak.

WaLlahu ’Alam
KHALID SAMAD
YB Khalid Samad PAS Shah Alam

Unknown berkata...

Pengalaman yang ustaz ceritakan adalah merupakan rekod baru yang anih bagaimana jentera pilihanraya DUN di Kelantan boleh berkuasa penuh menghalang penglibatan jamaah melainkan secara terpencil mengikut skop terpencil mereka. Sekiranya kita tidak meluruskan akhlak, tidak bersedia untuk tunduk kepada pimpinan dan visi jamaah maka tidak mustahil kita akan tercicir dalam cobaan-cobaan yang akan datang.

Jrry berkata...

Hmm nampaknya tak kurang juga yang masih benak otak disini.. kepada mereka2 yang cakap pandai disini, yang masih tak percaya yang mana dikatakan tiada bukti atau cakap kosong / fitnat / mengeji / menghasut... harap berjumpa dgn Ustaz Ahmad dan berbicara secara terus.. jangan cuma jadi politikal jargon dalam jaringan maya.. terima kasih.. :)