بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ
الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالاَتِ اللهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلاَ يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلاَّ اللهَ وَكَفَى بِاللهِ حَسِيبًا

Jumaat, Jun 19, 2009

Isu Kerajaan Perpaduan/Unity Government (Bhg. 2)

(Photo credit : TENGKU BAHAR/AFP/Getty Images)

Maksud firman Allah SWT:
“Hai orang-orang yang beriman, ta’atilah Allah dan ta’atilah RasulNya dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (An'Nisa’:59)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Konsep Kerajaan Perpaduan

Kerajaan perpaduan atau National Unity Government atau National Union Government adalah kerajaan gabungan yang luas meliputi semua parti-parti politik utama dalam parlimen bagi membentuk sebuah kerajaan. Kerajaan Perpaduan biasanya dibentuk bagi mengatasi keadaan semasa dan selepas berlaku peperangan atau selepas keadaan darurat sesebuah negara.

Kerajaan perpaduan pernah dibentuk di beberapa buah negara barat pada masa yang lalu, sebagai contohnya di Amerika, Presiden Abraham Lincoln membentuk Unity Government selepas Perang Saudara pada tahun 1865. Di Canada pula Kerajaan Perpaduan atau Unity Government pernah dibentuk dalam masa Perang Dunia Pertama (1917) dan semasa Perang Dunia Kedua. Demikian juga Luxembourg pernah membentuk Kerajaan Perpaduan semasa Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Di England pula pernah ditubuhkan Kerajaan Perpaduan pada tahun 1931 dan juga pada tahun 1935.

Indonesia adalah contoh terdekat dan terbaru Kerajaan Perpaduan. Kerajaan tersebut terbentuk selepas berlaku reformasi apabila tumbangnya pemerintahan Suharto yang kemudiannya digantikan oleh Presiden Habibie dalam masa peralihan kepimpinan apabila terbentuknya Kerajaan Perpaduan pada tahun 2004 sehingga hari ini. Semua parti-parti yang memenangi pilihanraya tahun 2004 bergabung mendukung pemerintah. Ini bermakna tidak ada golongan atau parti pembangkang dalam kerajaan. Bagaimanapun Presiden adalah dipilih terus melalui pilihanraya yang mana parti-parti utama bertanding merebut jawatan Presiden dan Timbalannya. Satu perkara yang perlu disebutkan sistem pilihanraya di Indonesia bagi memilih wakil-wakil rakyat di semua peringkat adalah mengikut kaedah proportional representative system yang berdasarkan pada peratusan undi yang didapati oleh kumpulan calon-calon dan peratusan kerusi yang mereka perolehi, bukannya berdasarkan kepada majoriti undi yang diperolehi oleh calon-calon yang bertanding di satu-satu kawasan parlimen atau negeri, seperti majority system yang diamalkan di negara kita.

Bila Idea Kerajaan Perpaduan Dibangkitkan?
Secara rasminya idea Kerajaan Perpaduan ini tidak pernah dibangkitkan dalam parti PAS apatah lagi untuk membincangkannya. Ianya tidak lebih dari lontaran idea Presiden Tuan Guru Haji Hadi Awang (TGHHA) seperti yang beliau sendiri pernah membuat kenyataan mengenainya. Lontaran idea itu dibuat beliau semasa pimpinan Kerajaan di bawah pentadbiran Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (sekarang Tun) yang menjanjikan untuk membasmi amalan rasuah. Beliau menyuarakan idea dengan penubuhan Kerajaan Perpaduan itu dapat dilakukan reformasi terhadap Suruhanjaya Pilihanraya dan Suruhanjaya Kehakiman yang selama ini dilihat semakin terhakis kepercayaan rakyat kepada kedua-dua suruhanjaya itu. Di samping itu juga kebebasan media akan dapat dijamin bersikap adil kepada semua pihak. Saya difahamkan dalam sembang-sembang sambilan beliau pernah bercakap mengenai idea Kerajaan Perpaduan ini dengan Dato’ Seri Anwar dan Lim Kit Siang.

Bagaimanapun tidak ada perbincangan rasmi dengan pimpinan UMNO mengenai perkara ini dan tidak ada sebarang keputusan dibuat. Apa yang saya difahamkan lontaran idea ini pernah disampaikan kepada Pak Lah (sahaja) ketika hampir-hampir berlaku peralihan kuasa kepimpinan negara kepada Dato’ Seri Najib. Khabarnya Pak Lah berminat dengan idea tersebut (bukan cadangan), mungkin kerana takut orang-orang beliau akan tersingkir apabila Najib menjadi Perdana Menteri, bukannya kerana idea Unity Government itu. Namun tidak ada apa-apa perkembangan lanjut sehingga peralihan kepimpinan negara berlaku dengan perletakan jawatan Pak Lah pada 29 Mac lalu. Ini bererti Unity Government itu kini hanya menjadi idea akademik sahaja. Ia sepatutnya tidak bangkit lagi sebagai perancangan parti atau perbincangan strategi politik PAS PADA MASA INI dan tidak sepatutnya pun menjadi isu yang menggawatkan baik di peringkat parti atau di peringkat Pakatan Rakyat.

Bagaimana Isu Kerajaan Perpaduan Ditimbulkan
Dalam kegawatan perbincangan mengenai isu ini, pimpinan parti rakan Pakatan Rakyat membuat kenyataan-kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan penyokong-penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat. Malah dengan permainan dan pengolahan media arus perdana yang merupakan alat UMNO/BN, ulasan-ulasan kenyataan sedemikian boleh merenggangkan PAS dengan rakan Pakatan Rakyat. Malah paling ditakuti ianya boleh membawa perpecahan. Saya sendiri banyak menerima panggilan telefon dan SMS dari rakan-rakan Pakatan Rakyat menyatakan kebimbangan mereka sekiranya benar-benar Kerajaan Perpaduan ini menjadi pemangkin ke arah kerjasama PAS dan UMNO untuk membentuk Kerajaan. Mengapa setengah pimpinan Pakatan Rakyat begitu mudah boleh terperangkap dengan permainan musuh?

Saya percaya ramai boleh memahami mengapa idea Kerajaan Perpaduan ini boleh menjadi isu yang sedemikian panas. Ia berpunca dari sidang media Dato’ Seri Presiden selepas menyampaikan ucapan dasar Presiden dalam Muktamar PAS ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam pada 5 Jun lepas. Dalam sidang media itu Presiden menyebut semula idea KP itu. Saya pun tidak pasti samada ianya timbul kerana soalan provokasi media kerana dalam ucapan dasar beliau lebih satu jam langsung tidak menyebut Kerajaan Perpaduan. Apa yang ditegaskan beliau ialah PAS akan terus memperkukuh Pakatan Rakyat dan bersedia menyumbang khidmat kepimpinan berlandaskan Islam Memimpin Perubahan yang menjadi tema Muktamar kali ini.

Saya sendiri terperanjat apabila mandapati semua media arus perdana hari ke dua Muktamar menyiarkan berita berkenaan Kerajaan Perpaduan. Hampir seluruh ucapan dasar Presiden tenggelam dengan isu KP ini. Pada awal pagi hari ke dua Muktamar itu, saya bertanya kepada Presiden mengenai perkara ini. Kebetulan ketika itu beliau sedang berjalan seiring dengan Timbalan Presiden yang sedang menuju kenderaan masing-masing untuk pergi ke tempat Muktamar. Saya mencadangkan beliau menjelaskan perkara ini kepada media supaya tidak menimbulkan kekeliruan. Akan tetapi saya mendapati berita yang keluar esok harinya seolah-olah menegaskan lagi keterbukaan pimpinan beliau untuk meneruskan idea Kerajaan Perpaduan. Barangkali yang terus menimbulkan pertanyaan-pertanyaan apabila dalam Ucapan Penggulungan Muktamar mengulangi penekanan kepimpinan atas keterbukaan PAS untuk bertemu dan berbincang dengan siapa-siapa sahaja. Ucapan penggulungan Timbalan Mursyidul Am, Dr. Haron Din dan ucapan-ucapan penggulungan Presiden dan Timbalan Presiden dilihat seperti tidak begitu selari dengan pandangan majoriti besar perwakilan dan wakil Kelab Penyokong PAS yang dengan keras menolak sebarang pertemuan dan perbincangan dengan UMNO.

Mengapa Tok Guru Nik Aziz Sensitif

Apabila ucapan-ucapan kepimpinan PAS itu di spin oleh media, maka akhirnya yang timbul bukan idea konsep Kerajaan Perpaduan yang mencakupi semua parti-parti diwakili di parlimen pada masa ini. Ianya diputar-belitkan seolah-olah Kerajaan Perpaduan PAS/UMNO atau Kerajaan Perpaduan PAS/UMNO/BN. Di sinilah timbulnya berbagai-bagai pandangan negatif atau tuduhan-tuduhan berat terhadap pimpinan tertinggi PAS pada masa ini. Saya percaya Mursyidul Am Tok Guru Nik Aziz (TGNA) tersentuh perasaan beliau apabila teringat apa yang berlaku dalam pertemuan sulit antara Pimpinan Tertinggi PAS dengan Pak Lah yang didedahkan sendiri oleh Presiden UMNO itu beberapa bulan sebelum Muktamar ke-54 di Perak tahun lalu. Pertemuan itu kemudian diistilahkan sebagai muqabalah bukan muzakarah. Saya boleh mengerti TGNA begitu sensitif kerana jika dahulu boleh berlaku muqabalah secara sulit, apakah nanti tidak akan ada muqabalah seperti itu di antara pimpinan parti yang diberi mandat oleh perwakilan dalam Muktamar kali ini. Apatah lagi apabila TGNA melihat “orang” tertentu yang terlibat dengan rundingan sulit dengan Pak Lah, dilantik memegang jawatan penting dalam pentadbiran PAS sekarang. Saya sendiri pun tertanya-tanya samada Dato’ Seri Presiden berasa dalam keadaan serba salah bersabit perlantikan jawatan berkenaan terutama saya memahami watak TGHHA sebagai seorang yang sangat menghormati orang lain sehingga boleh menyebabkan beliau berada dalam dilema untuk membuat satu keputusan yang tegas.

Mungkin saya salah seorang anggota pimpinan PAS (mantan) yang cukup memahami sensitifnya TGNA bila mengenangkan pertemuan sulit pimpinan PAS dengan Pak Lah pada 10 Mac 2008 di sebuah rumah di Kuala Lumpur yang bertujuan membincangkan penubuhan Kerajaan PAS/UMNO/BN. Namun ianya gagal atas sebab-sebab tertentu. Bayangkanlah apabila kerajaan PAS di Kelantan diserang begitu hebat terutama dalam kempen PRU ke-12 itu oleh pimpinan BN yang diketuai oleh Pak Lah sendiri, timbalannya Najib dan menantunya Khairy, tiba-tiba 2 hari selepas itu PAS diajak bersama untuk membentuk kerajaan walaupun bukan di Kelantan. Takkanlah pimpinan PAS tidak terfikir macam mana UMNO boleh serta merta hendak berbaik dengan PAS setelah mereka berusaha hendak menghancur lumatkan PAS sebagai musuh utama politik mereka. Tidak perlulah berfikir panjang, semua orang boleh tahu Pak Lah berbuat demikian kerana menyaksikan UMNO/BN menerima pukulan hebat dengan kehilangan majoriti 2/3 dan kehilangan kira-kira 50% kerusi parlimennya di Semenanjung. Itulah tabiat UMNO apabila hampir kehilangan kuasa, dibuatlah alasan PAS mesti bersama dengan UMNO demi kepentingan bangsa dan agama.

Pengalaman Saya Di Perak
Di Perak, UMNO mengajak PAS membentuk kerajaan bersama UMNO/BN. Alasannya ialah alasan yang sama dijadikan hujah apatah lagi UMNO/BN yang memenangi 28 kerusi hanya seorang sahaja ADUN bukan Melayu. Ini bermakna jika PAS menyertai UMNO/BN, kononnya terbentuklah kerajaan yang didukung oleh 97% Melayu Islam. Dengan ini berlakulah satu sejarah dalam masa 50 tahun merdeka tertubuh Kerajaan Melayu Islam di negeri Perak. Kononnya kukuhlah kedaulatan Melayu Islam di Perak. Namun kepada saya dan rakan pimpinan PAS Perak, alasan tersebut dapat kami ketepikan dengan hanya satu hujahan iaitu UMNO/BN selama ini tidak pernah mengangkat Islam bahkan sebaliknya menghakis Islam di Negara ini. Kami ambil kenyataan Mufti Perak sendiri, Dato’ Seri Haji Harussani yang menyatakan bahawa orang Melayu ratusan ribu menjadi murtad dan kerajaan UMNO/BN tidak berbuat apa-apa untuk menanganinya.

UMNO Perak yang didukung oleh pimpinan UMNO Pusat berusaha bersungguh-sungguh dengan segala tipu dayanya memujuk kami untuk membentuk kerajaan bersama UMNO/BN dengan menawarkan jawatan Menteri Besar dan 5 EXCO kepada 5 orang lagi ADUN PAS. Jawatan speaker juga ditawarkan kepada pimpinan PAS. Sehingga hari upacara angkat sumpah Menteri Besar Perak (Dato’ Seri Haji Nizar Jamaluddin) agen UMNO masih lagi datang menemui saya di perkarangan Istana Iskandariah. Sehari sebelumnya Dato’ Zahid Hamidi mengejar saya untuk pertemuan 4 mata dengannya tetapi beliau gagal berbuat demikian apabila saya meminta pihak polis mengawal rumah saya (rujuk posting berkenaan tahun lepas).

Bayangkanlah bagaimana perasaan saya atau sesiapa juga seperti yang saya alami tiba-tiba mendapat tahu kemudian Pimpinan Tertinggi PAS berunding dengan UMNO untuk membentuk kerajaan PAS bersama UMNO/BN. Walaupun saya hanya mengetahuinya selepas kira-kira 2 bulan kemudian, saya tetap terasa amat pelik dan tersentuh dengan tindakan pimpinan itu. Apahal pun saya menerimanya kerana ia sudah menjadi perkara akademik dan sejarah sahaja. Namun begitu ia tidak boleh padam dari ingatan dan tetap tersimpan dalam hati kecil saya. Saya percaya perasaan seperti inilah yang tersimpan mendalam dalam hati TGNA dan boleh timbul pada bila-bila masa apabila wujud situasi seperti isu Kerajaan Perpaduan. Apatah lagi UMNO itulah yang telah melakukan rampasan kuasa ke atas Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak yang diketuai oleh Dato’ Seri Najib dengan mendapat restu dari Pak Lah sendiri.

Kini kelihatan perbezaan pendapat di antara TGNA dengan pimpinan tertinggi PAS. Akibat perkara-perkara yang berlaku selepas isu Kerajaan Perpaduan ini menjadi topik politik nasional. Kenyataan-kenyataan pimpinan bahawa PAS tidak akan berpakat membentuk kerajaan dengan UMNO/BN seperti tidak diendahkan oleh sebahagian penyokong dan pendukung parti. Keadaan seperti ini boleh meletakkan parti di peringkat amaran bahaya maka perlulah pimpinan tertinggi dari peringkat syura dan kepimpinan organisasi peringkat pusat dan negeri mengadakan perhimpunan khas bagi membincangkan cara-cara yang terbaik untuk menangani isu ini berlandaskan kaedah dan cara terbaik mengikut lunas-lunas Islam.

12 ulasan:

Istiqamah berkata...

Ulasan yang menarik harap mampu di terima dengan baik oleh kedua-dua belah pihak.

Walau bagaimanapun, ana melihat tindakan sebhgn pimpinan (10 org MP PAS) yg juga antaranya merupakan AJK PAS Pusat yang baru, bertindak mensensasikan agenda Kerajaan Perpaduan, sesuatu yang diluar batas adab berjammaah.


Tindakan mereka itu menimbulkan keraguan dan mewujudkan persepsi buruk ahli seolah-olah AJK Pas Pusat mensabotaj idea Presiden tanpa beri Presiden peluang untuk menjelaskan idea beliau.

Blogger berkata...

salam

Presiden dan Timbalan Presiden pun mensensasikan idea UG tanpa dibincangkan dalam Mesyuarat AJK PAS Pusat, Majlis Syura Ulama dan pada peringkat awal mereka yg terbabit berbincang dalam kelambu UMNO secara gelap lagilah perlu diambil tindakan , paling tidak beradab dan memusnahkan batas adab berjemaaah

budak kampung online berkata...

SALAM... LEPAIH NI LEBIH BERHATI-HATI BILA MELONTARKAN KATA-KATA... TERLAJAK PERAHU BOLEH DIUNDUR.. TERLAJAK BICARA... MAKAN MASA NAK PULIH BALIK...

muslimat berkata...

salam blogger,

Siapa anda dlm saff kepimpinan parti ?kalau sekadar ahli biasa harap insaf akan batas dalam menentukan perkara...

Bukan semua tindakan pimpinan anda perlu tahu....
bukan semua strategi kerja perlu didedahkan pada umum...
anda bercakap hanya sekadar pada pandangan fizikal dan menafsir pada apa yg nampak di luar sahaja..
kalau anda benar ada bukti salah laku mereka terutama dlm apa yg dibincangkan dgn UMNO...sila bawa ke muka...mereka perlu diadili..tapi anda dlm keadaan tidak tahu apa-apa sanggup membuat tanggapan yang berbau fitnah..

Kalau anda sudah hilang kepercayaan pada pimpinan, tiada patut anda berada dibawah parti yg dipimpinnya...

DAKWAH YEOP berkata...

saya amat setuju dgn muslimah...saya harap tiada tuduhan2 songsang seperti yang blogger sebut berleluasa dalam hal2 kepimpinan...semoga semua semakin insaf dan faham.

inamadia berkata...

Salam...
Ustaz, saya sangat kagum dengan ucap tama Ustaz dalam Konvensyen PAS PERAK yang lepas.Walaubagaimanapun, saya kecewa dengan pendedahan Ustaz ini termasuk artikel ini.Bukankah kita ada adab menjaga kerahsiaan dalam parti Ustaz?Tidakkah Ustaz terfikir bahawa pendedahan Ustaz ini hanya akan menambahkan fitnah dalam PAS dan hilangnya wala' ahli PAS kepada Pimpinan? Semoga Ustaz tidak menjadikan segala usaha gigih dan pengorbanan Ustaz ketika memegang jawatan dalam PAS sebagai sesuatu yang sia-sia. Semoga Ustaz dapat memperbaiki kesilapan.

alhusseyn berkata...

Kpd Muslimat, anda kata kpd blogger:
Bukan semua tindakan pimpinan anda perlu tahu....
Betul tu, saya setuju, tetapi apa yg blogger cuba nyatakan ialah :
tanpa dibincangkan dalam Mesyuarat AJK PAS Pusat, dan Majlis Syura Ulama sendiri pun tidak tahu ttg perjumpaan sulit tersebut.Bukan seperti anggapan anda bahawa. bogger dan kita semua perlu diberi tahu

LeMAN berkata...

Sudah-sudah la tu Al-Husseyn! Ko tak sudah2 nak melagakan Pimpinan PAS, elok la kalau ko mintak borang masuk PKR (aku tak kata umNO sbb aku tau ko mmg benci umNO tapi perangai ko dah mcm org umNO), kalu ko dah jadik org PKR, pastu dok keluar suara2 sumbang nak pecah-belahkan Pimpinan PAS, aku rasa ada warasnya kat situ...

Ustaz Ahmad, saya dulu bersekolah dgn anak Ustaz dan saya cukup mengkagumi Ustaz. Tapi tindakan ustaz ini pada saya amat tidak wajar. Bahkan pada pengamatan saya, ada fakta lain yg Ustaz turut cuba sembunyikan atau sengaja tidak mahu dedahkan bagi membenarkan tindakan Ustaz ini... Saya amat kecewa dgn tindakan Ustaz ini. Mudah2an kita sentiasa diampuni Allah s.w.t...

Bulan Penuh 2012 berkata...

Salam ziarah,

Terima kasih.

Bulan Penuh 2012

badok berkata...

Salam kepada semua.... dedah atau tidak dedah, dua dua mempuyai natijah yg kita sukar untuk menilik...hikmah hak Allah lantas lontaran dari apa yg Ustaz telah lahirkan pada saya tidak mengapa... bahkan terus merahsiakan hanya akan menimbulkan fitnah jika ada yg cuba membongkarnya.
Jelas pada saya Ustz telah melakukan sesuatu yg baik demi utk kebaikan jamaah. Ustz telah mengkuburkan fitnah sebelum ianya dikorek oleh org yg tidak bertanggung jwb.

hussin berkata...

selamat hari raya aidilfitri semua. cik muslimat, tak tumbuh tak melata. pokok tidak bergoyang kalau tiada angin.

cik muslimat mungkin berjawatan, kalau gitu lagi mudah. confront tg presiden, nasharuddin mat isa, cikgu pa, ada berani? tak payah nak habaq mai hang ada jawatan, buat kerja, berdepan dgn mereka! selesai semua masalah.

tengok apa berlaku di selangor? semuanya adal kesinambungan dari pertemuan dalam gelap yang cik muslimat nak bukti, ada jawatan cari sendiri. dengan saya? mana ada maklumat percuma, perlu bayar. mintak duit dgn cikgu pa, dia banyak duit tuuuuuuu

Makkal Sakhti berkata...

alhamdulillah... memnag patut kena dedahkan siapa yang buat kerja2 onar dalam jamaah. Jangan biarkan tikus membaiki labu... rosakkkk oiii... Jga jangan biarkan anai-anai merosak papan... jahanammm... Kalau tak didedahkan... siapa akan tahu? tahniah kepada ustaz Ahamad Awang kerana benari berkata benar, moga akan lahir org yang sedia membetulkan kepimpinan walaupun dengan pedang. Kalau tak pun pena... kerana mata pena lebih tajam dari pedang!