بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ
الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالاَتِ اللهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلاَ يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلاَّ اللهَ وَكَفَى بِاللهِ حَسِيبًا

Selasa, Jun 30, 2009

Cerita Harussani Di Sebalik Peristiwa


Tajuk di atas dipetik dari artikel majalah Milenia Muslim (MM) Bil. 82 keluaran bulan Mei lepas. Ia merupakan tajuk Fokus keluaran berkenaan yang ditulis oleh editor majalah berkenaan, Zulkafly Baharuddin, hasil temubual beliau dengan Dato' Seri (kini Tan Sri) Harussani Zakaria (TSHZ). Di antara lain, kandungan artikel tersebut dipetik:

"Sekembalinya ke Ipoh, Dato' Seri Harussani menemui Ustaz Ahmad Awang. Ustaz Ahmad berkata beliau tidak akan mahu bekerjasama dengan mereka yang zalim. Bagaimana beliau boleh menganggap sedemikian walhal mereka yang beliau tuduh zalim itu adalah orang Melayu beragama Islam tetapi Ustaz Ahmad lebih bekerjasama dengan orang kafir.

Hasil dari keengganan Ustaz Ahmad adalah senario politik di Perak hari ini. Ikuti luahan pandangan beliau, terhadap beberapa peristiwa yang berlaku di Perak hari ini ..."

Saya tidak berhajat dalam posting ini menjawab pelbagai isu yang dibangkitkan oleh TSHZ dalam majalah berkenaan kerana jawapan saya mengenainya akan disiarkan oleh majalah MM dalam keluaran Ogos akan datang seperti yang dijanjikan penerbitnya. Memang saya tidak berpuashati atas kelewatan menyiarkannya, walhal Datuk Hj Mohamad Nakhaie Hj Ahmad, penaung majalah berkenaan bersetuju temubual dengan saya itu akan disiarkan dalam keluaran Jun atau Julai. Tunggulah jawapan dan pandangan saya mengenai luahan TSHZ nanti.

Apa yang saya nak tulis di sini adalah mengenai cerita Harussani di sebalik peristiwa masa lalu di antara saya dengan beliau. Di sini suka saya nyatakan di antara saya dan TSHZ tidak ada sebarang masalah peribadi. Hubungan baik kami tidak pernah terganggu dengan perbezaan pendapat dan fahaman politik. Saya sejak dari kolej sudah menjadi pendokong PAS walaupun saya belum menjadi ahli. Kami sering berbeza pendapat mengenai isu-isu semasa samada berkaitan politik, hukum-hakam, undang-undang dan sebagainya. Tetapi adakalanya pula kami sependapat dan sependirian dalam isu-isu seperti gejala murtad, gejala sosial dan keruntuhan akhlak, isu kumpulan anti-hadith, isu pendidikan Islam dan sebagainya.

Latarbelakang Peribadi
Mengenai latarbelakang peribadi, kami kebetulan sama-sama berasal dari daerah Kerian, Perak. Saya dilahirkan di Simpang Ampat Semanggol, manakala TSHZ berasal dari Jalan Baru, Parit Buntar. Perbezaan usia kami juga tidak jauh, umur saya 73 manakala Harussani 70. Seperti kebanyakan penduduk Kerian, kami berasal dari rumpun keturunan Banjar (Al-Banjari). Dalam kad pengenalan sebelum merdeka dahulu tertulis di dalam bahasa Inggeris "Malay Banjarese". Dahulunya keturunan Banjar sangat kuat berpegang kepada agama dan ramai yang menjadi ulama'.

Kami mula berkenalan semasa sama-sama menuntut di Kolej Islam Malaya Klang, Selangor. TSHZ adalah penuntut junior saya, kerana beliau memasuki kolej pada 1960 manakala saya sudah berada di tahun akhir dan menamatkan pengajian pada tahun akademik 1961. Setelah tamat pengajian di Universiti Al-Azhar Kaherah, saya balik ke tanah air bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Aminuddin Baki Kuala Lumpur. Ketika itu saya mendapat tahu TSHZ baru saja berpindah ke Pulau Pinang menjawat jawatan Kadhi Besar negeri itu. Sebelum itu beliau bertugas di Bukit Aman dengan PDRM (jawatan beliau saya tidak tahu).

Semasa beliau menjadi Kadhi Besar Pulau Pinang (1966-1984?), beliau aktif berceramah dakwah di Pulau Pinang, Kedah dan Utara Perak. Seingat saya, ketika itu kami belum berbeza pendapat secara yang ketara mengenai isu-isu semasa. Saya masih ingat beliau pernah berkata: "Kita berdua ni sama dianggap sebagai pembangkang kerana pendapat kita yang tegas mengenai isu-isu umat Islam." Waktu itu saya duduk dalam kereta yang beliau memandunya untuk kami pergi ke satu tempat di Pulau Pinang. Saya ketika itu bertugas sebagai Pengarah Dakwah dan Latihan Islam, Bahagian Agama JPM (kini JAKIM).

Berbeza Pendapat
Sebaik sahaja beliau dilantik menjadi Mufti Kerajaan Negeri Perak, mula kelihatan pandangan dan pendirian TSHZ berubah dan berbeza pendapat dengan saya. Antaranya, ikuti beberapa peristiwa seperti berikut:
  • Peristiwa 1: Ketika berlangsung upacara istiadat pertabalan DYMM Sultan Perak, Sultan Muhibbuddin Azlan Shah Ibnu Al-Marhum Sultan Yusuf Izzuddin Shah (25 tahun yang lalu), saya menghubungi beliau yang baru menjawat jawatan mufti ketika itu meminta beliau menasihati pihak istana supaya tidak melakukan upacara-upacara yang boleh menjejaskan aqidah. Malah saya mencadangkan supaya majlis fatwa mengkaji dan membincangkan istiadat-istiadat yang bercanggah dengan aqidah itu dihapuskan. Beliau menolak cadangan saya sambil mengatakan beliau telah berjaya membatalkan beberapa upacara dalam istiadat tersebut, walhal sebelum itu beliau mempunyai pendirian yang tegas dalam hal-hal seperti ini.
  • Peristiwa 2: Pada suatu hari, saya menelefon TSHZ dari pejabat saya di bangunan Pusat Islam di Jalan Perdana, Kuala Lumpur. Perkara yang saya bangkitkan ialah tindakan polis menangkap imam dan bilal sebuah masjid di Perak dalam daerah Larut. Tindakan polis itu dibuat kerana kedua-dua pegawai masjid berkenaan dikatakan tidak mempunyai tauliah. Tetapi mereka ditangkap di bawah Akta Kesalahan Agama di bawah undang-undang sivil. Saya minta beliau menasihati pihak polis supaya tidak melakukan tindakan tersebut kerana kes berkenaan adalah di bawah bidangkuasa (jurisdiction) Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Negeri. Akan tetapi beliau tidak melayani pandangan saya itu. Kedua-dua orang pegawai masjid itu kemudiannya dibicarakan di bawah Akta berkenaan dan dijatuhkan hukuman penjara. Saya di antara orang yang sangat kuat menentang Akta tersebut yang kemudiannya beberapa tahun setelah dilaksanakan, Akta tersebut terbatal dengan sendirinya kerana sebuah Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memutuskan penghakiman bahawa ianya ultra vires dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai agama Islam.
  • Peristiwa 3: Tragedi Berdarah Memali 1985. Dalam mesyuarat khas Majlis Fatwa Kebangsaan, di mana TSHZ merupakan seorang anggota yang sangat aktif memberi pendapat bahawa mangsa Tragedi Memali, khususnya Asy-Syahid Allahyarham Ibrahim Mahmud (yang lebih dikenal dengan Ibrahim Libya) adalah merupakan kumpulan bughah (penderhaka) dan mereka tidak dianggap mati syahid. Maka wajib dimandi, dikafan dan disembahyangkan sebelum dikebumi. Anehnya sebahagian besar mufti-mufti dalam mesyuarat itu mencadangkan supaya nama mereka yang mati korban tragedi itu tidak perlu disebut dengan lafaz Allahyarham dengan alasan mereka itu penderhaka. Padahal, apabila mereka itu disembahyangkan, maka doa yang menjadi rukun solat jenazah itu adalah memohonkan rahmat dan keampunan kepada mereka yang disembahyangkan. Saya turut hadir dalam mesyuarat tersebut dan memberi hujah mengapa Allahyarham dan kumpulannya adalah mati syahid. Akibatnya saya diusir keluar dari mesyuarat tersebut.
  • Peristiwa 4: Suatu hari kami berdua menjadi panel forum anjuran Jam'iyah Dakwah Islamiyyah Perak. Ketika itu saya adalah YDP Jam'iyah Dakwah Islamiyyah Selangor dan Wilayah Persekutuan. Saya kurang pasti samada TSHZ ketika itu menjadi YDP Jam'iyah Dakwah Perak. Dalam forum yang diadakan di dewan Jam'iyah Perak di Jalan Seruan, Ipoh, saya berbeza pendapat dengan beliau mengenai beberapa isu semasa, terutama mengenai peraturan yang menyekat kebebasan dakwah di masjid-masjid atau surau-surau. Saya menegaskan bahawa undang-undang bersabit dengan tauliah mengajar/berdakwah tidak semestinya dikenakan ke atas pendakwah yang sudah dikenali mempunyai ilmu Islam dan beramal dengannya, kerana undang-undang itu diwujudkan hanya untuk mengawal supaya ajaran yang bathil dan sesat tidak disebarkan kepada orang Islam. Beliau tidak bersetuju dengan pendapat saya dengan memberi alasan bahawa jika tidak dikawal dengan undang-undang tauliah, maka masyarakat akan berpecah-belah akibat fahaman politik dibawa ke masjid-masjid. Pendapat beliau, fahaman politik hendaklah di"sangkut" di pagar masjid dan jangan dibawa ke dalam masjid. Saya pula berhujah bahawa politik tidak boleh dipisahkan dalam dakwah, yang boleh dielakkan hanyalah politik kepartaian tidak terbawa-bawa dalam berdakwah di masjid/surau. Akhirnya, TSHZ sendiri dilarang berdakwah/berceramah di masjid atau surau di Lembah Klang dua tahun yang lalu apabila beliau sering membangkitkan isu murtad dan mendakwa ratusan ribu orang Islam telah masuk Kristian atau Hindu.
  • Peristiwa 5: Yang terkini apabila beberapa orang pemimpin DAP Perak seperti Nga Kor Meng dan PKR Perak seperti Chan Ming Kai sering memetik keterangan-keterangan dalam Al-Quran dalam ceramah-ceramah politik mereka, timbullah isu hukum membaca Al-Quran oleh non-muslim. Tiba-tiba Mufti Perak mengeluarkan pendapat beliau (bukan fatwa) bahawa orang bukan Islam "haram"/tidak boleh membaca Al-Quran. Saya pula berpendapat sebaliknya dengan bersandarkan beberapa hujah termasuk bukti surat Rasulullah saw yang dihantar kepada Maharaja Hercules, Raja Rom Benzantina. Dalam surat tersebut, Rasulullah saw menuliskan ayat 64, surah Ali-Imran, yang sudah pasti ayat itu akan dibaca oleh Hercules. Sekiranya orang bukan Islam tidak dibenar membaca ayat Al-Quran, maka Rasulullah saw tidak akan menuliskannya dalam surat Baginda itu. Banyak lagi hujah saya yang boleh diikuti dalam majalah Al-Islam keluaran Bil. 426 Jun 2009.
Demikianlah di antara cerita di sebalik peristiwa Harussani dengan saya. Ada lagi beberapa contoh peristiwa perbezaan pendapat di antara kami berdua, namun perkara yang paling penting membezakan Ahmad Awang dan Harussani ialah pegangan dan fahaman politik kami masing-masing. Saya tidak pernah menyembunyikan pegangan politik Islam saya semenjak belum menjadi ahli PAS lagi. Semasa saya memegang jawatan Pegawai Kerajaan tidak pernah saya menyembunyikan pegangan saya. Manakala Harussani berpegang kepada fahaman politik Melayunya. Saya katakan politik Melayu bukan politik Islam. Walaupun beliau sering membangkitkan isu Islam, tetapi dasarnya adalah Melayu yang menjadi dasar perjuangan UMNO.

Contoh paling jelas apabila beliau yang mendakwa tidak berpolitik atau tidak memihak kepada mana-mana parti politik, tapi begitu bersungguh-sungguh mengajak PAS bergabung dengan UMNO menubuhkan kerajaan Melayu di Perak sebaik sahaja UMNO/BN gagal membentuk kerajaan selepas keputusan PRU Ke-12 diumumkan sepenuhnya menjelang jam 12 malam 8 Mac 2008. Atas arahan Dato' Seri DiRaja Tajol Rosli, Ketua Perhubungan UMNO Perak (waktu itu), beliau bersusah payah pada malam itu ketika hujan lebat bertolak dengan kereta ke Kota Bharu menemui Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz dan pada esok paginya pula menghubungi Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Hadi untuk tujuan mendapat persetujuan mereka. Tapi kedua-duanya menolak dengan mudah dan memberikan alasan tertentu. Sekembalinya Harussani ke Ipoh, beliau menghubungi saya melalui telefon (bukan berjumpa seperti yang ditulis dalam artikel majalah MM berkenaan). Saya menolak tawaran UMNO yang dibawa oleh Harussani dengan memberikan alasan dan hujah yang beliau tidak dapat menyanggahnya. Ikutilah penjelasan saya dalam majalah Milenia Muslim keluaran Ogos akan datang seperti yang dijanjikan penerbitnya.

Dari cerita di sebalik peristiwa yang tersebut di atas, jelaslah bahawa Tan Sri/Dato' Seri Hj Harussani Zakaria adalah seorang mufti yang berpolitik dan parti yang didokongnya ialah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang lebih dikenal dalam bahasa Inggerisnya dengan United Malay National Organisation (UMNO).


Baca lagi...

Rabu, Jun 24, 2009

Kenyataan Bersama Pimpinan PR Berkenaan Isu Kerajaan Perpaduan

Maksud Firman Allah SWT:"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." (Al-Hujuraat:13)



Kenyataan bersama Pimpinan Pakatan Rakyat tersebut di atas menambahkan lagi Najib, Muhyiddin dan Khairy "melalau-lalau" kerana hampa hasrat UMNO tidak kesampaian untuk bergabung dalam Kerajaan Perpaduan.


Baca lagi...

Kerajaan Perpaduan Sudah Mati


Maksud Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya orang-orang mu'min adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat." (Al-Hujuraat:10)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Melafazkan Takbir
Pada hari Isnin, 28 Jamadil Akhir 1430H bersamaan 22 Jun 2009 kira-kira jam 6.20 petang, tamatlah riwayat isu Kerajaan Perpaduan dalam diari semasa politik PAS. Saya dan Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man serta beberapa sahabat pimpinan melafazkan “Takbir” sebaik sahaja Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) selesai membaca kenyataan bertulis beliau kepada para pemberita dan jurugambar media yang bersesak-sesak di bilik Mesyuarat Utama Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Kenyataan tersebut dikeluarkan sebaik saja tamat Perjumpaan Khas yang dipengerusikan Mursyid Am PAS itu yang berlangsung selama kira-kira satu jam bermula kira-kira 5.20 petang. Bagi saya, kenyataan TGNA itu adalah “talqin” ke atas jenazah isu Kerajaan Perpaduan itu.

Kenyataan penuh TGNA seperti berikut:

Setelah berbincang dari awal hingga akhir dalam Perjumpaan Khas yang diadakan di Pejabat Agung dalam semangat kekeluargaan menangani permasalahan dalam beberapa isu politik semasa yang dibesar-besarkan oleh media perdana. Kami akhirnya bersetuju sebulat suara melupakan perihal salah tanggapan yang berlaku di antara Pimpinan Atasan Parti akibat daripada permainan politik murahan UMNO.

Kami bersama-sama dalam satu saff yang padu untuk terus bersama-sama memperjuangkan keazaman PAS bagi mendaulatkan Islam di persada tanahair.

Kami juga bersetuju sebulat suara bahawa polemik Kerajaan Perpaduan diberhentikan serta merta sepertimana telah diputuskan oleh Presiden PAS bersama pimpinan Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan bersama di Bangunan Parlimen jam 2.30 petang tadi yang menolak sepenuhnya idea Kerajaan Perpaduan.

Oleh yang demikian, selaras dengan itu, saya selaku Mursyid Am PAS menarik balik segala kenyataan saya terhadap YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS dan dengan itu, ianya tidak berbangkit lagi.


Kenyataan tersebut dibuat setelah hampir kesemua mereka yang menghadiri Perjumpaan Khas itu memberi pendapat atau penjelasan masing-masing bersabit dengan isu Kerajaan Perpaduan yang menjadi topik panas berikutan dari kenyataann media Presiden PAS semasa Muktamar ke-55 di Shah Alam baru-baru ini. Mesyuarat Khas berkenaan dipanggil oleh TGNA selaku Mursyid Am. Mereka yang dijemput hadir ialah Dato' Seri Presiden TGHHA, Timbalan Presiden Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Naib-naib Presiden Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub dan Dato' Mahfuz Omar, Dato' Harun Taib (Ketua DU), Ustaz Nasaruddin Hassan (Ketua DP) dan Ustazah Noridah Salleh (Ketua DMPP). Hadir juga Dato' Dr. Harun Din (Timbalan Mursyid Am), Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin (SU Majlis Syura) dan saya sendiri tanpa membawa apa-apa jawatan (tetapi saya masih ahli Majlis Syura).

Pertemuan di Rumah Seri Kelantan
Perjumpaan Khas itu dipanggil oleh TGNA selepas beliau berbincang dengan kami bertiga, saya, Dr Harun Din dan Ustaz Ghani Shamsuddin dalam satu pertemuan dengan beliau pada hari Jumaat 19 Jun 2009 jam 8.00 malam di rumah Seri Kelantan, Jalan Stonor, Kuala Lumpur. Dalam pertemuan tersebut TGNA meminta pandangan kami bagaimana hendak “mematikan” isu Kerajaan Perpaduan dengan serta merta. Menurut beliau isu itu menjadi modal UMNO dalam kempen di Manek Urai yang sudah berjalan dengan rancaknya selama 2 minggu. UMNO menyeru para pengundi Manek Urai supaya tidak perlu lagi menyokong PAS kerana PAS akan bergabung dengan UMNO dengan terbentuknya Kerajaan Perpaduan yang dirancangkan.
TGNA menjelaskan sebab-sebab yang "memaksa" beliau mengeluarkan kenyataan yang begitu keras terhadap Timbalan Presiden. Namun beliau memberi jaminan kepada kami akan menarik balik kenyataan yang keras itu sekiranya semua Pimpinan Tertinggi PAS bersepakat sebulat suara “mematikan” isu Kerajaan Perpaduan itu.

Pertemuan kami pada malam itu berakhir dengan keputusan supaya diadakan segera Perjumpaan Khas Pimpinan Tertinggi yang dihadiri oleh mereka yang berkenaan seperti yang disebutkan di atas. Paling mustahak TGNA mahu supaya Ustaz Nasharuddin tidak menguzurkan diri. Dr Harun Din diberi amanah menyampaikan hasrat penting Mursyid Am itu kepada Ustaz Nasharuddin.

Suasana Harmoni dan ukhuwah
Alhamdulillah, semua yang dijemput termasuk Ustaz Nasharuddin hadir dalam Perjumpaan Khas yang dipanggil oleh TGNA itu. Perbincangan dalam perjumpaan itu berjalan dalam suasana harmoni dan penuh ukhuwah serta saling memahami pandangan dan penjelasan mereka yang hadir. TGNA memulakan perbincangan dengan menerangkan sebab-sebab dan tujuan beliau mengadakan Perjumpaan Khas itu. Beliau menjelaskan punca-punca sebenar mewajarkan kenyataan keras beliau yang dibuat terhadap Ustaz Nasharuddin. Selepas mengikuti penjelasan Presiden dan Timbalan Presiden, kami yang hadir dapat memahami bagaimana lontaran idea Kerajaan Perpaduan itu boleh menjadi ribut dan gelombang besar, padahal sepatutnya ia sudah berlalu menjadi perkara akademik sahaja.

Saya turut memberikan pandangan antara lain menegaskan bahawa isu Kerajaan Perpaduan adalah suatu ujian Allah ke atas Kepimpinan Parti. Parti seolah-olah sebuah bahtera dilanda ombak besar semasa belayar menuju pelabuhan. Dengan “mematikan” isu ini, walau apa pun senario dalaman dan luaran sebelumnya, Parti akan selamat dan hubungan antara Kepimpinan Jamaah akan bertambah kukuh dan bersatu padu. Saya mengingatkan kepada perpaduan parti waktu ditinggalkan oleh Allahyarham Ustaz Dato' Fadhil Noor yang berkebetulan tarikh 22 Jun 2009 adalah genap 7 tahun Allahyarham meninggal dunia. Saya merasa agak terharu seketika apabila Ustaz Nasharuddin sebak beberapa saat semasa meriwayatkan urutan peristiwa yang membawa beliau menjadi sasaran utama dalam isu ini. Ustaz Nasharuddin menjelaskan kedudukan peranan beliau dalam isu Kerajaan Perpaduan yang sepatutnya tidak menimbulkan kekeliruan dalam parti melainkan kerana ianya dipermainkan oleh media massa alat/pro UMNO.

Saya juga benar-benar dapat merasakan betapa besarnya jiwa TGNA apabila beliau tidak teragak-agak menggunakan perkataan “menarik balik” kenyataan keras beliau terhadap Ustaz Nasharuddin walaupun ada cadangan supaya beliau menggunakan ungkapan yang lebih longgar dari perkataan “menarik balik” itu. Syukurlah keputusan sebulat suara Perjumpaan Khas berkenaan mengambil tindakan membunuh isu Kerajaan Perpaduan yang dipermainkan UMNO itu dapat mematikan serta merta isu tersebut.

Dengan tindakan sedemikian tidak ada mana-mana pihak dalam parti yang menang ataupun kalah. Tidak ada juga situasi menang-menang (win-win situation), tetapi yang menang adalah PAS dan perpaduan di kalangan kepimpinan dan seluruh pendokongnya. Manakala yang kalah dengan pukulan mati ialah UMNO dan sesiapa juga yang cuba hendak melaga-lagakan TGNA dan TGHHA dalam perkara ini.

Bagaimanapun kesemua pihak dari Pimpinan Tertinggi hingga ke peringkat akar umbi Parti banyak pengajaran dan pelajaran yang boleh diambil dari riwayat hidup “arwah” Kerajaan Perpaduan ini.


Baca lagi...

Jumaat, Jun 19, 2009

Isu Kerajaan Perpaduan/Unity Government (Bhg. 2)

(Photo credit : TENGKU BAHAR/AFP/Getty Images)

Maksud firman Allah SWT:
“Hai orang-orang yang beriman, ta’atilah Allah dan ta’atilah RasulNya dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (An'Nisa’:59)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Konsep Kerajaan Perpaduan

Kerajaan perpaduan atau National Unity Government atau National Union Government adalah kerajaan gabungan yang luas meliputi semua parti-parti politik utama dalam parlimen bagi membentuk sebuah kerajaan. Kerajaan Perpaduan biasanya dibentuk bagi mengatasi keadaan semasa dan selepas berlaku peperangan atau selepas keadaan darurat sesebuah negara.

Kerajaan perpaduan pernah dibentuk di beberapa buah negara barat pada masa yang lalu, sebagai contohnya di Amerika, Presiden Abraham Lincoln membentuk Unity Government selepas Perang Saudara pada tahun 1865. Di Canada pula Kerajaan Perpaduan atau Unity Government pernah dibentuk dalam masa Perang Dunia Pertama (1917) dan semasa Perang Dunia Kedua. Demikian juga Luxembourg pernah membentuk Kerajaan Perpaduan semasa Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Di England pula pernah ditubuhkan Kerajaan Perpaduan pada tahun 1931 dan juga pada tahun 1935.

Indonesia adalah contoh terdekat dan terbaru Kerajaan Perpaduan. Kerajaan tersebut terbentuk selepas berlaku reformasi apabila tumbangnya pemerintahan Suharto yang kemudiannya digantikan oleh Presiden Habibie dalam masa peralihan kepimpinan apabila terbentuknya Kerajaan Perpaduan pada tahun 2004 sehingga hari ini. Semua parti-parti yang memenangi pilihanraya tahun 2004 bergabung mendukung pemerintah. Ini bermakna tidak ada golongan atau parti pembangkang dalam kerajaan. Bagaimanapun Presiden adalah dipilih terus melalui pilihanraya yang mana parti-parti utama bertanding merebut jawatan Presiden dan Timbalannya. Satu perkara yang perlu disebutkan sistem pilihanraya di Indonesia bagi memilih wakil-wakil rakyat di semua peringkat adalah mengikut kaedah proportional representative system yang berdasarkan pada peratusan undi yang didapati oleh kumpulan calon-calon dan peratusan kerusi yang mereka perolehi, bukannya berdasarkan kepada majoriti undi yang diperolehi oleh calon-calon yang bertanding di satu-satu kawasan parlimen atau negeri, seperti majority system yang diamalkan di negara kita.

Bila Idea Kerajaan Perpaduan Dibangkitkan?
Secara rasminya idea Kerajaan Perpaduan ini tidak pernah dibangkitkan dalam parti PAS apatah lagi untuk membincangkannya. Ianya tidak lebih dari lontaran idea Presiden Tuan Guru Haji Hadi Awang (TGHHA) seperti yang beliau sendiri pernah membuat kenyataan mengenainya. Lontaran idea itu dibuat beliau semasa pimpinan Kerajaan di bawah pentadbiran Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (sekarang Tun) yang menjanjikan untuk membasmi amalan rasuah. Beliau menyuarakan idea dengan penubuhan Kerajaan Perpaduan itu dapat dilakukan reformasi terhadap Suruhanjaya Pilihanraya dan Suruhanjaya Kehakiman yang selama ini dilihat semakin terhakis kepercayaan rakyat kepada kedua-dua suruhanjaya itu. Di samping itu juga kebebasan media akan dapat dijamin bersikap adil kepada semua pihak. Saya difahamkan dalam sembang-sembang sambilan beliau pernah bercakap mengenai idea Kerajaan Perpaduan ini dengan Dato’ Seri Anwar dan Lim Kit Siang.

Bagaimanapun tidak ada perbincangan rasmi dengan pimpinan UMNO mengenai perkara ini dan tidak ada sebarang keputusan dibuat. Apa yang saya difahamkan lontaran idea ini pernah disampaikan kepada Pak Lah (sahaja) ketika hampir-hampir berlaku peralihan kuasa kepimpinan negara kepada Dato’ Seri Najib. Khabarnya Pak Lah berminat dengan idea tersebut (bukan cadangan), mungkin kerana takut orang-orang beliau akan tersingkir apabila Najib menjadi Perdana Menteri, bukannya kerana idea Unity Government itu. Namun tidak ada apa-apa perkembangan lanjut sehingga peralihan kepimpinan negara berlaku dengan perletakan jawatan Pak Lah pada 29 Mac lalu. Ini bererti Unity Government itu kini hanya menjadi idea akademik sahaja. Ia sepatutnya tidak bangkit lagi sebagai perancangan parti atau perbincangan strategi politik PAS PADA MASA INI dan tidak sepatutnya pun menjadi isu yang menggawatkan baik di peringkat parti atau di peringkat Pakatan Rakyat.

Bagaimana Isu Kerajaan Perpaduan Ditimbulkan
Dalam kegawatan perbincangan mengenai isu ini, pimpinan parti rakan Pakatan Rakyat membuat kenyataan-kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan penyokong-penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat. Malah dengan permainan dan pengolahan media arus perdana yang merupakan alat UMNO/BN, ulasan-ulasan kenyataan sedemikian boleh merenggangkan PAS dengan rakan Pakatan Rakyat. Malah paling ditakuti ianya boleh membawa perpecahan. Saya sendiri banyak menerima panggilan telefon dan SMS dari rakan-rakan Pakatan Rakyat menyatakan kebimbangan mereka sekiranya benar-benar Kerajaan Perpaduan ini menjadi pemangkin ke arah kerjasama PAS dan UMNO untuk membentuk Kerajaan. Mengapa setengah pimpinan Pakatan Rakyat begitu mudah boleh terperangkap dengan permainan musuh?

Saya percaya ramai boleh memahami mengapa idea Kerajaan Perpaduan ini boleh menjadi isu yang sedemikian panas. Ia berpunca dari sidang media Dato’ Seri Presiden selepas menyampaikan ucapan dasar Presiden dalam Muktamar PAS ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam pada 5 Jun lepas. Dalam sidang media itu Presiden menyebut semula idea KP itu. Saya pun tidak pasti samada ianya timbul kerana soalan provokasi media kerana dalam ucapan dasar beliau lebih satu jam langsung tidak menyebut Kerajaan Perpaduan. Apa yang ditegaskan beliau ialah PAS akan terus memperkukuh Pakatan Rakyat dan bersedia menyumbang khidmat kepimpinan berlandaskan Islam Memimpin Perubahan yang menjadi tema Muktamar kali ini.

Saya sendiri terperanjat apabila mandapati semua media arus perdana hari ke dua Muktamar menyiarkan berita berkenaan Kerajaan Perpaduan. Hampir seluruh ucapan dasar Presiden tenggelam dengan isu KP ini. Pada awal pagi hari ke dua Muktamar itu, saya bertanya kepada Presiden mengenai perkara ini. Kebetulan ketika itu beliau sedang berjalan seiring dengan Timbalan Presiden yang sedang menuju kenderaan masing-masing untuk pergi ke tempat Muktamar. Saya mencadangkan beliau menjelaskan perkara ini kepada media supaya tidak menimbulkan kekeliruan. Akan tetapi saya mendapati berita yang keluar esok harinya seolah-olah menegaskan lagi keterbukaan pimpinan beliau untuk meneruskan idea Kerajaan Perpaduan. Barangkali yang terus menimbulkan pertanyaan-pertanyaan apabila dalam Ucapan Penggulungan Muktamar mengulangi penekanan kepimpinan atas keterbukaan PAS untuk bertemu dan berbincang dengan siapa-siapa sahaja. Ucapan penggulungan Timbalan Mursyidul Am, Dr. Haron Din dan ucapan-ucapan penggulungan Presiden dan Timbalan Presiden dilihat seperti tidak begitu selari dengan pandangan majoriti besar perwakilan dan wakil Kelab Penyokong PAS yang dengan keras menolak sebarang pertemuan dan perbincangan dengan UMNO.

Mengapa Tok Guru Nik Aziz Sensitif

Apabila ucapan-ucapan kepimpinan PAS itu di spin oleh media, maka akhirnya yang timbul bukan idea konsep Kerajaan Perpaduan yang mencakupi semua parti-parti diwakili di parlimen pada masa ini. Ianya diputar-belitkan seolah-olah Kerajaan Perpaduan PAS/UMNO atau Kerajaan Perpaduan PAS/UMNO/BN. Di sinilah timbulnya berbagai-bagai pandangan negatif atau tuduhan-tuduhan berat terhadap pimpinan tertinggi PAS pada masa ini. Saya percaya Mursyidul Am Tok Guru Nik Aziz (TGNA) tersentuh perasaan beliau apabila teringat apa yang berlaku dalam pertemuan sulit antara Pimpinan Tertinggi PAS dengan Pak Lah yang didedahkan sendiri oleh Presiden UMNO itu beberapa bulan sebelum Muktamar ke-54 di Perak tahun lalu. Pertemuan itu kemudian diistilahkan sebagai muqabalah bukan muzakarah. Saya boleh mengerti TGNA begitu sensitif kerana jika dahulu boleh berlaku muqabalah secara sulit, apakah nanti tidak akan ada muqabalah seperti itu di antara pimpinan parti yang diberi mandat oleh perwakilan dalam Muktamar kali ini. Apatah lagi apabila TGNA melihat “orang” tertentu yang terlibat dengan rundingan sulit dengan Pak Lah, dilantik memegang jawatan penting dalam pentadbiran PAS sekarang. Saya sendiri pun tertanya-tanya samada Dato’ Seri Presiden berasa dalam keadaan serba salah bersabit perlantikan jawatan berkenaan terutama saya memahami watak TGHHA sebagai seorang yang sangat menghormati orang lain sehingga boleh menyebabkan beliau berada dalam dilema untuk membuat satu keputusan yang tegas.

Mungkin saya salah seorang anggota pimpinan PAS (mantan) yang cukup memahami sensitifnya TGNA bila mengenangkan pertemuan sulit pimpinan PAS dengan Pak Lah pada 10 Mac 2008 di sebuah rumah di Kuala Lumpur yang bertujuan membincangkan penubuhan Kerajaan PAS/UMNO/BN. Namun ianya gagal atas sebab-sebab tertentu. Bayangkanlah apabila kerajaan PAS di Kelantan diserang begitu hebat terutama dalam kempen PRU ke-12 itu oleh pimpinan BN yang diketuai oleh Pak Lah sendiri, timbalannya Najib dan menantunya Khairy, tiba-tiba 2 hari selepas itu PAS diajak bersama untuk membentuk kerajaan walaupun bukan di Kelantan. Takkanlah pimpinan PAS tidak terfikir macam mana UMNO boleh serta merta hendak berbaik dengan PAS setelah mereka berusaha hendak menghancur lumatkan PAS sebagai musuh utama politik mereka. Tidak perlulah berfikir panjang, semua orang boleh tahu Pak Lah berbuat demikian kerana menyaksikan UMNO/BN menerima pukulan hebat dengan kehilangan majoriti 2/3 dan kehilangan kira-kira 50% kerusi parlimennya di Semenanjung. Itulah tabiat UMNO apabila hampir kehilangan kuasa, dibuatlah alasan PAS mesti bersama dengan UMNO demi kepentingan bangsa dan agama.

Pengalaman Saya Di Perak
Di Perak, UMNO mengajak PAS membentuk kerajaan bersama UMNO/BN. Alasannya ialah alasan yang sama dijadikan hujah apatah lagi UMNO/BN yang memenangi 28 kerusi hanya seorang sahaja ADUN bukan Melayu. Ini bermakna jika PAS menyertai UMNO/BN, kononnya terbentuklah kerajaan yang didukung oleh 97% Melayu Islam. Dengan ini berlakulah satu sejarah dalam masa 50 tahun merdeka tertubuh Kerajaan Melayu Islam di negeri Perak. Kononnya kukuhlah kedaulatan Melayu Islam di Perak. Namun kepada saya dan rakan pimpinan PAS Perak, alasan tersebut dapat kami ketepikan dengan hanya satu hujahan iaitu UMNO/BN selama ini tidak pernah mengangkat Islam bahkan sebaliknya menghakis Islam di Negara ini. Kami ambil kenyataan Mufti Perak sendiri, Dato’ Seri Haji Harussani yang menyatakan bahawa orang Melayu ratusan ribu menjadi murtad dan kerajaan UMNO/BN tidak berbuat apa-apa untuk menanganinya.

UMNO Perak yang didukung oleh pimpinan UMNO Pusat berusaha bersungguh-sungguh dengan segala tipu dayanya memujuk kami untuk membentuk kerajaan bersama UMNO/BN dengan menawarkan jawatan Menteri Besar dan 5 EXCO kepada 5 orang lagi ADUN PAS. Jawatan speaker juga ditawarkan kepada pimpinan PAS. Sehingga hari upacara angkat sumpah Menteri Besar Perak (Dato’ Seri Haji Nizar Jamaluddin) agen UMNO masih lagi datang menemui saya di perkarangan Istana Iskandariah. Sehari sebelumnya Dato’ Zahid Hamidi mengejar saya untuk pertemuan 4 mata dengannya tetapi beliau gagal berbuat demikian apabila saya meminta pihak polis mengawal rumah saya (rujuk posting berkenaan tahun lepas).

Bayangkanlah bagaimana perasaan saya atau sesiapa juga seperti yang saya alami tiba-tiba mendapat tahu kemudian Pimpinan Tertinggi PAS berunding dengan UMNO untuk membentuk kerajaan PAS bersama UMNO/BN. Walaupun saya hanya mengetahuinya selepas kira-kira 2 bulan kemudian, saya tetap terasa amat pelik dan tersentuh dengan tindakan pimpinan itu. Apahal pun saya menerimanya kerana ia sudah menjadi perkara akademik dan sejarah sahaja. Namun begitu ia tidak boleh padam dari ingatan dan tetap tersimpan dalam hati kecil saya. Saya percaya perasaan seperti inilah yang tersimpan mendalam dalam hati TGNA dan boleh timbul pada bila-bila masa apabila wujud situasi seperti isu Kerajaan Perpaduan. Apatah lagi UMNO itulah yang telah melakukan rampasan kuasa ke atas Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak yang diketuai oleh Dato’ Seri Najib dengan mendapat restu dari Pak Lah sendiri.

Kini kelihatan perbezaan pendapat di antara TGNA dengan pimpinan tertinggi PAS. Akibat perkara-perkara yang berlaku selepas isu Kerajaan Perpaduan ini menjadi topik politik nasional. Kenyataan-kenyataan pimpinan bahawa PAS tidak akan berpakat membentuk kerajaan dengan UMNO/BN seperti tidak diendahkan oleh sebahagian penyokong dan pendukung parti. Keadaan seperti ini boleh meletakkan parti di peringkat amaran bahaya maka perlulah pimpinan tertinggi dari peringkat syura dan kepimpinan organisasi peringkat pusat dan negeri mengadakan perhimpunan khas bagi membincangkan cara-cara yang terbaik untuk menangani isu ini berlandaskan kaedah dan cara terbaik mengikut lunas-lunas Islam.


Baca lagi...

Rabu, Jun 17, 2009

Isu Kerajaan Perpaduan/Unity Government

Maksud firman Allah SWT:
“Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka; sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami siksa mereka dengan sekonyong-konyong, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa.” (Al-An'aam:44)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Selamat berjumpa kembali kepada para pengunjung blog saya, setelah kira-kira 10 bulan blog saya tidak dikemaskinikan kerana sebab-sebab tersendiri. Saya tetap mengucapkan penghargaan kepada mereka yang tetap mengunjungi blog ini walaupun tuan rumahnya tidak menghidangkan santapan untuk mereka. Terima kasih juga kepada mereka yang menghubungi saya melalui pesanan-pesanan ringkas atau perbualan telefon meminta saya mengemaskinikan blog ini.

InsyaAllah mulai posting ini, blog Ustaz Ahmad Awang akan terus membawa bahan-bahan dakwah dan isu-isu semasa meliputi hal-ehwal agama, politik, sosial, jenayah dan isu-isu umat Islam antarabangsa. Saya akan terus berusaha membuat posting sekerap mungkin, memandangkan saya mempunyai kelapangan setelah menarik diri menduduki saf kepimpinan parti (PAS) di peringkat nasional hingga ke peringkat negeri. Bagaimanapun saya akan tetap memberikan pandangan dan fikiran saya kepada pimpinan parti samada melalui blog ini ataupun saluran lain menurut kesesuaian.

Mengapa KP/UG Diisukan?

Bagi membuka posting ini, saya ingin memberi sedikit pandangan mengenai Kerajaan Perpaduan/Unity Government (KP/UG) yang menjadi hot topic sejak kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang (TGHHA) yang dibuatnya semasa Muktamar PAS Ke-55 di Shah Alam baru-baru ini. Sehingga hari ini sudah hampir 2 minggu isu KP/UG terus menjadi berita sensasi apabila ianya dijadikan bahan politik oleh pimpinan UMNO/BN. Isu menjadi lebih rancak apabila para bloggers mentafsirkannya menurut pandangan masing-masing dan mendapat sambutan pengulas-pengulas blog yang begitu bersemangat memberi komen masing-masing samada dengan pandangan yang positif atau negatif.

Yang lebih penting di sebalik hot topic ini, UMNO/BN mendapat advantage bagi mengalihkan pandangan rakyat untuk menutupi kelemahan-kelemahan parti mereka yang terus menerima kekalahan dalam pilihanraya-pilihanraya kecil selepas PRU Ke-12, 8 Mac 2008. Dengan cara yang demikian UMNO/BN mengambil kesempatan untuk memecah-belah Pakatan Rakyat (PR), terutama dengan menggambarkan PAS cuba untuk berpakat untuk bergabung dengan UMNO/BN. Hakikat bahawa perasaan ragu atau sekurang-kurangnya bisikan-bisikan hati rakan Pakatan Rakyat terhadap kejujuran PAS memang sedang berbunga.

Perkara yang lebih membimbangkan lagi di kalangan ahli akar umbi dan kepimpinan PAS di peringkat pertengahan isu KP/UG ini dilihat oleh sebahagian mereka memang suatu perancangan ke arah bergabung dengan UMNO. Sebahagian besar suara perwakilan dalam Muktamar PAS Ke-55 baru-baru ini, mempunyai persepsi atau pandangan sedemikian, malah tambah menguatkan persepsi mereka apabila pimpinan tertinggi dalam ucapan penggulungannya menegaskan keterbukaan PAS untuk berbincang dengan mana-mana golongan termausk UMNO/BN.

Persoalannya, apakah sebenarnya konsep KP/UG itu? Sejak bilakah ianya dibangkitkan oleh pimpinan terutama TGHHA sendiri? Setakat manakah pernah ianya diperbincangkan di kalangan pimpinan tertinggi parti? Pernahkah ianya dibincangkan dengan rakan PR? Macam mana boleh timbul idea KP/UG ini? Kenapa Tuan Guru Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz (TGNA) sangat tegas menolak KP/UG ini? Semua ini akan saya jawab dalam posting akan datang.


Baca lagi...