Sumber: HarakahDaily
Dec 11, 2013 | MOHAMAD SABU
Daripada saya bersekolah pada tahun 1961, kita mula ingat dengan
berbagai-bagai peristiwa sejak daripada darjah 3, 4, 5, 6 dan seterusnya
ke sekolah menengah, sampailah kepada institut pengajian tinggi. Cerita
yang popular pada waktu itu ialah kejahatan komunis, buruknya ideologi
komunis, iaitu komunis kerjanya ialah membunuh orang ramai,
menjahanamkan infrastruktur kerajaan, tidak percaya kepada Tuhan, mereka
adalah pengganas dan amat ganas.
Melawan komunis adalah
merupakan satu jihad, kerana pada waktu itu British dan kuasa barat
mengahadapi komunis “insurgent” di Eropah, di Russia dan di Malaya.
Komunis dan rangkaiannya bangun menentang penjajah British dan juga
berusaha untuk menghalau British daripada Malaya dan tanah jajahannya.
Selepas
merdeka, kerajaan Malaya yang merdeka menghadapi serangan atau pun
penentangan daripada komunis yang berterusan. Di luar daripada Malaya
pula berlaku peperangan Vietnam. Vietnam Utara dengan ideologi komunis,
manakala Vietnam Selatan didokong oleh Amerika dan negara-negara barat.
Malaya atau Malaysia bersama dengan rangkaian Amerika dan negara-negara
barat menentang kemaraan regim komunis di Vietnam pimpinan Ho Chin Minh.
Mao
Tze Tung yang berjaya membentuk kerajaan melalui “long march” yang
dibuat pada tahun 1949 memang menggegarkan kuasa-kuasa serantau, khasnya
Britain dan Amerika yang menguasai rantau Pasifik dan Asia Tenggara.
Manakala
Russia pula, semakin hari semakin kuat menguasai negara-negara yang
sekarang disebut CIS, dan pada tahun 1978 telah menguasai Afganistan.
Oleh itu komunis, sosialis dan ideologi negara yang didokong oleh mereka
menjadi musuh yang amat sangat kepada Malaya (Malaysia) negara British,
Amerika dan sekutu Eropah Barat.
Ribuan menjadi mangsa, bahkan
ratusan ribu telah menjadi mangsa hasil pertarungan komunis dan
non-komunis, sama ada di Malaya atau di negara-negara lain. Bahkan di
Vietnam sehingga jutaan rakyat telah terkorban.
Di Malaya
(Malaysia) polis dan tentera dan orang ramai terkorban, begitulah juga
di pihak yang mendokong komunis terkorban begitu banyak dalam
pertarungan ideologi, pertarungan negara, pertarungan kuasa (adi-kuasa)
di atas muka bumi ini.
Pada tahun 1975, peperangan di Vietnam
telah tamat, Vietnam Utara berjaya mengalahkan Amerika dan juga
sekutunya di Vietnam Selatan. Richard Nixon telah melawat China dan
membuat satu hubungan diplomatik baru di dunia ini. Russia pula membuat
pembaharuan di atas konsep “glasnost (openness) and perestroika
(restructuring)” menarik keluar tentera dan kuasa politiknya di
Afganistan dan di negara-negara CIS yang lain.
Malaysia
menandatangani perjanjian damai dengan Parti Komunis Malaya pada tahun
1989 iaitu Rundingan Damai Haadyai. Pemimpin-pemimpin Parti Komunis
Malaya boleh pulang ke tanah air jika mereka mahu, kecuali Cin Peng dan
abunya tidak dapat kebenaran pulang, tetapi yang lain-lain boleh pulang
atau diusahakan untuk pulang.
Selepas peristiwa Demontrasi Baling
pada tahun 1974, aktivis jalanan dan juga penunjuk perasaan yang
membela tunjuk perasaan di Baling diburu di bawah ISA, puluhan pelajar
dan juga pensyarah ditahan di bawah ISA termasuk Anwar Ibrahim, Syen
Husin Ali, Kamaruzaman Yaakob dan ratusan para pelajar dikejar di bawah
buruan ISA. Aktivis pelajar berhaluan kiri iaitu Hishamudin Rais
melepaskan diri ke luar negara hasil daripada buruan ISA. Selepas
perjanjian damai pada tahun 1991, aktivis pelajar dan juga pemimpin
kesatuan pelajar serta pemimpin Kelab Sosialis Universiti Malaya pulang
ke tanah air, dan kemudiannya menjalankan aktiviti sosial dengan begitu
hebat sekali.
Pada tahun ini, apabila timbul cerita Aishah yang
kononnya di rekrut oleh komunis dan menganut fahaman Mao Tze Tung
diberitakan ingin dibawa pulang ke Malaysia. Aktivis sosialis dan
menjadi buruan ISA iaitu Hishamudin Rais ke England, dan beritanya ke
England disiarkan oleh berbagai media di Malaysia, bahkan beliau
dikatakan bersama dengan pihak kedutaan Malaysia mencari Aishah dan
berusaha menemubual Aishah, dan diberi publisiti tentang aktiviti
Hishamudin Rais di London untuk membawa pulang Aishah ke Malaysia.
Apa
yang hendak saya tekankan di sini, ialah komunis yang menjadi buruan di
tahun 50-an, 60-an, 70-an dan 80-an, sekarang boleh pulang, bahkan
dipelawa pulang ke tanah air. Ertinya sesuatu ideologi yang diperangi
itu bukanlah kekal, di mana ia hanyalah sementara. Apakah giliran
memerangi ideologi Syiah ini berpanjangan atau sementara? Kita ikutilah
perkembangan seterusnya.
Oleh itu permusuhan kepada komunis,
sudah menjadi reda. Sekarang China telah muncul sebagai negara ekonomi,
bahkan dua ke tiga tahun lagi akan menjadi kuasa ekonomi nombor satu
dalam dunia mengatasi Amerika Syarikat dan sekaligus Eropah Barat.
Perdagangan
dengan China sudah menjadi rebutan, bahkan setiap negara menunjukkan
peningkatan angka “billion dollar” dalam urusan berdagang dengan China.
Presiden China ialah seorang komunis telah datang ke Malaysia dan
disambut dengan hamparan permaidani merah. Begitulah juga Russia muncul
sebagai negara yang kuat dengan ekonomi, dengan hasil minyaknya yang
begitu tinggi menguasai pasaran Eropah sekarang ini. Dan dianggap satu
negara yang kukuh dalam bidang ekonomi dan ketenteraan.
Maka
permusuhan kepada komunis, seolah-olah tidak ada lagi, walaupun hanya
ada sentimen di sudut sejarah, apabila saya cuba menimbulkan isu Mat
Indera pejuang kemerdekaan, telah dimarahi oleh pemerintah di atas
sentimen lama, bukan pembaharuan untuk membenci dan menentang komunis
seperti yang berlaku di tahun 50-an, 60-an atau 70-an dahulu.
Pada
tahun 1979, berlaku Revolusi Islam di Iran. Revolusi ini dianggap
mengancam kuasa barat dan kuasa Amerika di Timur Tengah. Yang dijatuhkan
ialah kerajaan Shah yang disokong dan didokong oleh Amerika dan Israel.
Oleh sebab Iran ialah sebuah negara Islam, maka pengaruh revolusi itu
boleh tersebar ke mana-mana dunia Islam yang lain, untuk rakyat membuat
penentuan supaya mereka tidak dikuasai oleh Amerika dan British. Maka
untuk menyekat kemaraan itu isu Syiah ditimbulkan.
Sebelum itu
rakyat Malaysia, khasnya ketika zaman saya di peringkat persekolahan
rendah, menengah dan dikampus, tidak tahu apa itu Syiah. Datuk Mahfuz
Omar apabila dituduh atau ditanya “Adakah beliau seorang Syiah..?”
Beliau mengatakan “Syiah itu sejenis kuih kah?” Ertinya rakyat Malaysia
umumnya tidak tahu apa dia itu Syiah? Apa dia itu mazhab yang lain?
Mereka hanya tahu hanyalah Islam, dan bukan Islam.
Kita tahu hal
mengenai Iran ialah kerana ia mempunyai atau memiliki permaisuri yang
jelita, iaitu Farah Diba, yang popularnya seperti Lady Diana di England.
Kita tahu Iran kuat dalam pasukan bola sepak. Kita tahu juga Iran
selalu menang dalam pertandingan ratu cantik di peringkat Asia dan di
peringkat dunia. Selain daripada itu kita tidak tahu.
Tetapi
digelombangkan isu Syiah selepas revolusi pada tahun 1979, kemudiannya
diikuti oleh peristiwa-peristiwa yang berlaku di Teluk, khasnya apabila
kemunculan Hizbullah untuk menghadapi Israel dan kancah politik di
Lubnan. Maka isu Syiah itu disemarakkan lagi.
Berlaku pula
pertembungan di Syria, di mana munculnya kumpulan FSA yang disokong oleh
pemain utamanya iaitu Saudi, Qatar, dan negara-negara barat seperti
Amerika, Perancis, British dan sebagainya. Kebetulan Basyar al-Asad
telah dikatakan bermazhab Syiah Alawi yang kita pun tidak tahu soal-soal
mazhab di Syria itu. Maka isu Syiah menggantikan tempat komunis yang
telah reda beberapa tahun kebelakangan ini.
Jikalau pertarungan
hal komunis itu menyebabkan jutaan dan ribuan rakyat di kedua-dua pihak
terkorban dan menjadi mangsa, kita tidak tahu hal isu Syiah ini pula,
iaitu golongan yang pro dan yang menentangnya apa pula yang akan
dihadapi oleh pemerintah dan juga rakyat. Saya yakin peristiwa ini tidak
berpanjangan seperti isu komunis.
Iran berusaha untuk menjadikan
negaranya, salah satu negara nuklear, di mana hujahnya untuk tenaga,
untuk penyelidikan kesihatan pada masa sekarang dan pada masa yang akan
datang. Barat cuba untuk memboikot perdagangan dengan Iran, sehingga
rakyat Iran yang berada di luar, yang berada di atas sekatan yang mana
mereka tidak boleh membuka akaun di mana-mana bank. Mereka hadapi
tekanan yang begitu dahsyat. Inflasi di dalam negara mereka naik seperti
roket. Tetapi kegigihan rakyatnya, akhirnya mereka berjaya mencapai
pengkayaan nuklear melebihi 20 peratus.
Melebihi tahap 20
peratus, adalah satu tahap pada bila-bila masa boleh pergi kepada
membuat bom nuklear dan sebagainya. Yang sukar ialah daripada 5 peratus
sehingga kepada 20 peratus. Itulah yang diberitahu oleh IEAE kepada
masyarakat dunia.
Mahu atau tidak mahu, Iran telah menjadi sebuah
negara nuklear. Pada dua minggu yang lalu, satu kejutan telah berlaku
di mana negara 5+1 bersetuju membuat perdamaian. Secara ringkasnya
dengan Iran, dan mengizinkan Iran meneruskan pengkayaan uraniumnya
(nuklear) tetapi tidaklah sampai kepada peringkat untuk menghasilkan bom
nuklear.
Oleh itu, dalam masa 5 bulan lagi, jikalau perundingan
ini berterusan maka “sanctions” atau sekatan ekonomi, teknologi,
peralatan kepada Iran akan berkurangan ataupun akan beransur-ansur
pulih. Maka dianggarkan Iran akan muncul sebagai negara yang kuat dengan
ekonomi, kerana kekuatan minyak dan teknologinya yang ada sekarang ini.
Dan dengan Iran sekarang ini menjadi pemain utama di rantau Timur
Tengah sama ada di Iraq, di Syria, di Lebnon dan di Afganistan, sudah
tentunya ia akan muncul sebagai satu kuasa baru di Timur Tengah.
Gendang
anti Syiah pada waktu itu akan berkurangan, Amerika dan sekutu baratnya
akan mengubah haluan serangan entah ke mana pula. Ideologi “Awang Liku”
mana pula akan menjadi ancaman pada waktu itu.
Oleh sebab
itulah, saya berkeyakinan penuh isu Syiah yang dimainkan termasuk saya
sendiri yang menjadi mangsa dalam isu ini. Bagi pandangan peribadi saya,
ini hanyalah isu sementara, dan akan lebih cepat padam daripada isu
komunis yang berlarutan secara hebatnya iaitu jikalau di Malaya ini
semenjak dari tahun 1948 di zaman “emergency” sehinggalah perjanjian
damai pada tahun 1989, yang memakan masa yang panjang iaitu hampir 41
tahun. Tetapi isu Syiah ini akan berkurangan tidak lama lagi, apabila
negara barat mula bersahabat semula dengan Iran. Dan propaganda anti
Syiah ini akan berkurangan.
Walau bagaimanapun dalam setiap
pertarungan ideologi ada yang akan menjadi mangsa, sama ada tuduhan itu
palsu, rekaan dan sebagainya untuk memperkuatkan sesebuah kerajaan itu,
atau sebuah parti politik itu, demi menunjukkan yang mereka “concern”
terhadap keselamatan negara, ataupun sebagai propaganda untuk mereka
meneruskan kuasa di suatu tempat. Pertarungan ideologi ini akan
berterusan.
Walau bagaimanapun kita akan konsep keadilan sejagat,
ada jenayah universal yang tetap dianggap jenayah, seperti membunuh
orang tanpa sebab, memukul isteri, memukul anak, memukul menantu,
memukul bakal menantu yang tak jadi, menggunakan kuasa untuk melindungi
kesalahan, rasuah, mencuri wang rakyat, menindas rakyat, memakan riba.
Semuanya itu adalah merupakan kesalahan-kesalahan walau apapun ideologi,
ia akan tetap dianggap satu jenayah.
Begitulah juga mereka yang
menolong anak yatim, membantu orang miskin, melawan rasuah, menentang
penindasan, menjaga dan kasihan kepada binatang dan tumbuh-tumbuhan,
alam sekitar, menggalakkan kehijauan, mewujudkan keharmonian antara
kaum, memperjuangkan kebenaran sejagat, ideologi apa yang berkuasa,
kumpulan apa yang naik, diterima umum sebagai perkara yang baik, yang
perlu ada.
Oleh itu perjuangan hak dan batil akan berterusan “Ila
Yaumil Qiamah…” tidak kira samada ideologi apa, keadaan apa yang
berlaku di suatu tempat atau di sesuatu negara.
Saya berpegang di
atas konsep perjuangan berdasarkan Islam, iaitu menegakkan yang ma’aruf
dan menentang yang mungkar, dan beriman kepada ALLAH dan berusaha untuk
mewujudkan keharmonian semua kaum di atas sifat apa yang diberitahu
oleh kitab suci Al-Quran.
“Wama Arsalnaka ‘illa Rahmatal Lil Aalamin..” ,
“…Dan tidaklah Kami utuskan Engkau Muhammad kecuali untuk membawa kesejahteraan kepada sekelian alam…”. Itulah pandangan saya untuk kali ini.
Sumber: HarakahDaily
Idea Pendidikan Oleh Ilmuan Muslim Silam
10 jam yang lalu
1 ulasan:
setuju ....
tetapi locally harus disedarkan bahawa umno gagal sebagai pengurus kerajaan ... tidak ada apa-apa prestasi yang dapat dibanggakan .... untuk terus nampak "gah" di mata melayu, maka isu "komunis", "kuasa ekonomi kaum cina", "Islamisasi" dan kini "syi'ah" digunakan untuk menakutkan melayu dan menjajah minda mereka.....
Catat Ulasan