بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ
الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالاَتِ اللهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلاَ يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلاَّ اللهَ وَكَفَى بِاللهِ حَسِيبًا

Khamis, Julai 31, 2008

UMNO Perak Sekali Lagi Melamar PAS Bentuk Kerajaan

Maksud firman Allah SWT:
“Jika kamu mendapat sesuatu kebaikan, maka mereka menjadi tidak senang kerananya; dan jika kamu ditimpa oleh sesuatu bencana, mereka berkata: “Sesungguhnya kami sebelumnya telah memperhatikan urusan kami”, dan mereka berpaling dengan rasa gembira.” (At-Taubah:50)

Dalam ucapan alu-aluan di majlis perasmian Konvensyen PAS Perak Kali Ke-13 di Ipoh pada 26-27 Julai 2008 yang disempurnakan oleh Dato’ Seri Presiden Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, saya mengulangi lagi ketegasan PAS menolak sebarang rundingan untuk membentuk kerajaan dengan UMNO/BN di Perak. Saya menegaskan bahawa PAS akan tetap bersama Pakatan Rakyat. Saya lihat Dato’ Ngeh Koo Ham, Pengerusi DAP Perak dan Hj Ismail Yusof, Pengerusi Perhubungan PKR Perak, kedua-duanya mengangguk-angguk sambil tersenyum mendengar penegasan saya di hadapan lebih 800 orang peserta konvensyen. Turut hadir dif-dif jemputan dari pimpinan DAP dan PKR, ketua-ketua Kelab Penyokong PAS, wakil-wakil NGO dan Dewan Perhimpunan Cina Perak serta Yayasan Orang Asli Perak (YOP).

Tiba-tiba tak semena-mena sehari selepas konvensyen itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Dato’ Seri DiRaja Mohamad Tajol Rosli mengadakan satu sidang akhbar di Ipoh. Kononnya sebagai respon kepada kenyataan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS yang melontarkan cadangan supaya UMNO dan PAS dibubarkan dan ditubuh satu parti baru berteraskan Islam sekiranya orang Melayu/umat Islam negara ini hendak benar-benar disatukan.

Dalam sidang media itu, Tajol Rosli menawarkan kepada PAS Perak untuk membentuk kerajaan baru bersama UMNO/BN. Beliau bersetuju supaya jawatan Menteri Besar Perak terus dipegang oleh Menteri Besar yang mewakili PAS dalam kerajaan Pakatan Rakyat sekarang. Beliau sendiri tidak akan memegang sebarang jawatan Exco atas alasan supaya tidak dituduh mengontrol kerajaan PAS/UMNO yang dicadangkan itu. Dalam tawaran pada kali ini tidak disebutkan samada jawatan speaker diberi kepada PAS seperti yang pernah ditawarkan dahulunya selain daripada 4 jawatan Exco.

Sebenarnya rakyat Perak umumnya mengetahui bahawa tawaran ini adalah merupakan lamaran kali ke-2 yang dibuat UMNO kepada PAS Perak. Lamaran pertama dibuatnya 138 hari yang lalu sebelum tawaran ke-2 ini. Bezanya lamaran dahulu dibuat melalui agen UMNO yang terdiri daripada pegawai kanan kerajaan negeri, wakil-wakil NGO dan wakil UMNO Pusat yang diketuai oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri dan dilantik sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri (MTPNg) Perak.

Alasan yang diberikan pihak UMNO dalam kedua-dua lamarannya adalah sama sahaja iaitu demi untuk mengukuhkan perpaduan Melayu. Cuma sedikit kelainannya pada kali ini UMNO bersedia memberi ruang kepada PKR dan DAP untuk ikut serta dalam kerajaan yang dinamakan oleh Tajol Rosli sebagai kerajaan PAS-BN. Hujah tambahan beliau ialah untuk mewujudkan kerajaan yang stabil dan kukuh ke arah mencapai wawasan 2020 menjadikan Perak negeri maju.

Saya menerima panggilan telefon dan pesanan SMS bertalu-talu sebaik sahaja sidang media Tajol Rosli itu disiarkan. Tergambar di fikiran saya betapa dedikasinya mantan MB Perak itu merancang hendak menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat yang disasarkan menjelang 31 Ogos ini. Dalam perjalanan pulang ke KL, sempat saya memberi respon kepada beberapa pemberita akhbar berbahasa Cina di Ipoh yang menghubungi saya. Dengan tegas saya katakan: “No way PAS nak sambut tawaran itu”. Sejak awal-awal lagi selepas bulan Mac lalu, PAS Perak tidak bersedia berbincang mengenai tawaran mereka yang serupa. Bahkan saya menolak untuk bertemu dengan Tajol Rosli sebab kami sudah awal-awal bersetuju menyahut mandat rakyat untuk kami membuat perubahan di Perak dengan bersepakat bersama-sama parti PKR dan DAP untuk membentuk kerajaan baru menggantikan BN.

Siang tadi saya terbaca dalam media utama, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beriya-iya benar mendokong tawaran Tajol Rosli. Bahkan beliau menegaskan bahawa UMNO benar-benar ikhlas dalam tawaran kali ini demi untuk mengukuhkan perpaduan Melayu dan kestabilan kerajaan Perak. Beliau menyatakan keyakinannya bahawa saya selaku Pesuruhjaya PAS Perak bersedia menyambut tawaran tersebut kerana menurut beliau suasana dan keadaan sekarang ini berbeza dengan suasana 4 bulan yang lalu ketika saya menolak untuk bertemu dengan beliau yang mewakili Tajol Rosli.

Saya bersetuju keadaan politik di Perak yang dilalui oleh PAS berbeza dengan suasana 4 bulan yang lalu. Dahulunya hubungan PAS dengan DAP agak kurang stabil apabila pihak DAP memboikot perlantikan Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dari PAS menjadi Menteri Besar. Malah pihak PKR juga pada awalnya memboikot upacara angkat sumpah Menteri Besar Perak itu. DAP juga menuntut 2 jawatan Timbalan Menteri Besar Perak. Begitu juga pengagihan jawatan Exco dan portfolionya pernah menimbulkan kontroversi.

Akan tetapi keadaan hari ini amat berbeza kerana bertambah kukuh dan mantap persefahaman di kalangan pimpinan ketiga-tiga parti pakatan dan anggota Exco kerajaan. Kebanyakan perkara-perkara penting yang diputuskan dalam majlis mesyuarat kerajaan adalah manifestasi dari persefahaman dan muafakat yang dicapai secara syura dalam mesyuarat jawatankuasa penyelarasan ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat itu.

Zahid Hamidi selaku Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri (MTPNg) Perak juga berjanji akan memberi peruntukan yang besar sekiranya PAS menerima tawaran mereka kali ini. Bagi saya tawaran ini merupakan sogokan kepada Pakatan Rakyat khususnya kepada PAS. Sebabnya, rakyat telahpun memberi mandat kepada kami untuk membuat perubahan melalui undi rakyat yang diberikan dalam PRU Ke-12 lalu. Mengapa kami yang telah diberi mandat rakyat itu disogok dengan bantuan yang dijanjikan? Kalau jujur untuk mengukuhkan kerajaan Pakatan Rakyat sekarang, laksanakan sahajalah segala rancangan pembangunan yang telah diperuntukkan dalam RMK-9 khususnya Projek Koridor Pembangunan Wilayah Utara Perak yang diperuntukkan berbilion-bilion ringgit itu. Sukar bagi saya hendak mempercayai keikhlasan UMNO seperti yang didakwa oleh Zahid dengan alasan-alasan berikut:
  • Baru sahaja seminggu dua mereka menyerang Menteri Besar Perak dengan fitnah kononnya beliau membuat Perjanjian Pangkor II dengan DAP. Beliau juga dituduh sebagai boneka DAP.

  • Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-12, penggal ke-2, pada akhir Jun 2008 yang lalu, sepanjang persidangan 3 hari mereka menyerang Menteri Besar dan Exco-Exco kerajaan Pakatan Rakyat sebagai tidak layak dan berkemampuan mentadbir negeri.

  • UMNO Perak mengadakan roadshow menyerang PAS Perak dan pimpinannya dengan melemparkan pelbagai cacian dan tuduhan sebagai pengkhianat agama dan bangsa, hatta dalam kursus BTN juga pimpinan PAS dicaci dan dikutuk.

  • Dalam dua majlis Upacara Penyampaian Pungutan Zakat kepada Majlis Agama Islam Perak yang dilakukan oleh Zahid sendiri, Menteri Besar Perak tidak diundang untuk hadir menyaksikannya.

  • Sepanjang 4 bulan yang lalu, tidak pernah UMNO menunjukkan kepercayaan mereka terhadap DAP dan PKR. Tiba-tiba sekarang bersedia pula mengajak kedua-dua parti itu untuk menyertai kerajaan baru yang ditawarkan kepada PAS.

  • Hingga ke hari ini gambar Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ir Hj Muhammad Nizar Jamaluddin tidak dibenarkan digantung di premis-premis yang terletak di bawah kerajaan pusat termasuk di sekolah-sekolah bahkan di Sekolah Menengah Agama Rakyat bantuan kerajaan.

  • RTM Stesen Radio Perak di Ipoh tidak melaporkan berita dan aktiviti Menteri Besar atau kerajaan Pakatan Rakyat kecuali untuk mengelirukan rakyat.

  • Kerajaan Pusat terus melantik Ketua Kampung dan JKKP di negeri Perak padahal kerajaan negeri telahpun melantik Ketua-ketua Kampung yang memang terletak di bawah kuasa kerajaan negeri. Mereka dilantik melalui pemilihan secara demokrasi.

Pada saya tawaran UMNO itu dibuat semata-mata untuk membolehkan mereka berkuasa semula di negeri Perak. Mereka mendakwa mereka masih kuat dengan 27 ADUN UMNO dan 1 MCA. Mengapa mereka tidak boleh memerintah sedangkan PAS hanya mempunyai 6 ADUN tetapi memegang tampuk pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak. Setelah mereka mendapat berkuasa, mereka boleh merancang tipu daya untuk menyingkirkan PAS seperti yang pernah mereka lakukan di peringkat Pusat pada tahun 1978 yang lalu. PAS disingkirkan di atas tuduhan menikam UMNO dari belakang kerana membuka cawangan-cawangan PAS di FELDA dan membawa seorang pemimpin UMNO di Johor menyertai PAS.

InsyaAllah PAS tidak akan dipatuk ular yang sama di lubang yang sama sekali lagi. UMNO Perak bersabarlah menerima keputusan PRU Ke-12 dan teruskanlah tugas anda sebagai pembangkang yang berperanan membina dan menjadi watchdog yang sebenar. Bagaimanapun, jika teringin benar hendak bersama dengan pihak kerajaan, PAS mengalu-alukan secara ikhlas ADUN-ADUN UMNO yang benar-benar hendak membela bangsa dan agama itu menyertai PAS dengan segera tidak terkecuali Dato’ Seri DiRaja Mohamad Tajol Rosli sendiri.

9 ulasan:

ibnmustaffa berkata...

Jika betul ADUN UMNO sayangkan Islam, persilalah keluar dari UMNO dan masuk jemaah Parti Islam SeMalaysia. Bersama-sama kita akan berjuang menegakkan Islam di bumi Perak.

Amri Mat Saaid berkata...

Salam

Tahniah atas ketegasan Ustaz dalam isu ini, keme sentiase menyokong Pakatan Rakayat, Allahu Akhbar

lawatilah : http://www.telokbakong.com

nik berkata...

"InsyaAllah PAS tidak akan dipatuk ular yang sama di lubang yang sama sekali lagi."

Memangla UMNO ni Ular. Tp ada gunanya ular ni.

Janganla biarkan diri dipatuk ular. Pakai pakaian perlindungan diri yag sesuai. Bawak shotgun. Hati2 dan tangkap ular ni. Perah bisanya, proseskan jadi penawar, jual. Pastu bunuh ular ini, ambik kulit dia buat tali pinggang. Ambik dagingnya jual kat sapa2 yg makan ular. Tulangnya bole simpan jadi bahan pameran. Kan untung tu?

Klu rasa kesian, cabut je kelenjar bisa ular ni. Dia akan hidup tapi tak membahayakan kita lagi.

Harap2 faham analogi ini.

Mohd Nadzri Kamsin berkata...

Semuanya permainan politik tarik tali. PAS dan UMNO kedua-duanya parti politik. Berpolitik terus berpolitik. Kepentingan bangsa dan agama jangan sampai tergugat.

Ustaz dan blogawan yang lain,
Saya ada menulis tentang Jin, Syaitan dan Masyarakat Melayu dalam blog saya. Sila berkunjung ke sana untuk berkongsi pandangan.

http://nadzrikamsin.blogspot.com/

Yanaam berkata...

Saya rasa agak resah seketika bila Ustaz tidak membuat sebarang komen berkait isu muzakarah.

Ini kerana berdasarkan kepada penjelasan Ustaz dalam posting sebelum ini, jelas tulisan Ustaz sangat berkesan. Saya yakin Ustaz mampu membuat penjelasan secara bijak dan berkesan dalam meredakan penyokong akar umbi (kalau mereka baca). Selepas membaca 2 posting terbaru Ustaz, nyata sekali andaian saya tepat.

Saya dah lama tak beli Harakah dan tidak pasti adakah tulisan Ustaz disiarkan di sana tetapi saya harap tulisan Ustaz MESTI dimuatkan dalam setiap keluaran Harakah supaya maklumat yang tepat sampai ke pada semua pembacanya.

nik berkata...

Salam,

Apa komen Ustaz pasal kes Majlis Peguam nak anjurkan Forum Memeluk Islam?

Harap supaya Ustaz turut memberikan pendapat berkenaan isu-isu Umat Islam seperti ini dan bukan hanya isu persengketaan politik Pas - Umno

Editor berkata...

Informasi Permatang Pauh khusus dan info terkini bagi team Ketua Wanita Keadilan Zuraida Kamaruddin

http://www,p99ampang.com

klik ke Permatang Pauh ataupun

http://www.p44.p99ampang.com

Hamba Miskin berkata...

Salam!! Berita penting dan bakal membuka minda anda! SPR telah membuat kiraan salah berhubung pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh!! Klik sini http://dzulhaqq.blogspot.com/2008/08/aduhai-spr-tak-tahu-kira-kira-matematik.html SEBARKAN!!

anaklangkawi berkata...

Ustaz..
Maaf. Saya mungkin kerdil dlm isu ini.. ttp saya berpendapat perkiraan ustaz dlm pembentukan kerajaan Perak merupakan percaturan yg salah..
Malah ia merugikan umat islam secara keseluruhan,,
Bukankah dituntut dlm islam utk berbaik2 sesama Islam.. Dituntut juga mempunyai pemimpin dikalangan umat islam.
Jelas percaturan PAS perak telah merugikan umat ISlam perak secara keseluruhan..