Kami dukacita di atas cadangan oleh Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menjamin ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai kepercayaan umat Islam di Malaysia dan merayu supaya mempertimbangkan semula perkara itu kerana ia mempunyai implikasi serius ke atas perpaduan umat Islam dan komitmen antarabangsa Malaysia.
Kami percaya cadangan yang dibuat itu adalah respons kepada kempen anti Syiah pada masa ini yang sedang dijalankan oleh kumpulan tertentu yang dipengaruhi dan disokong oleh ulama Salafi yang bersikap melampau.
Islam itu satu dan tiada Islam Sunni atau Islam Syiah. Terdapat perbezaan mazhab dan orang Islam bebas untuk mengikuti mana-mana mazhab. Sebarang cubaan untuk menafikan hak sesuatu mazhab akan hanya membawa kepada perpecahan dan konflik dalam kalangan umat Islam dan melemahkan usaha yang sedang diusahakan untuk menyatupadukan umat Islam bagi menghadapi cabaran dari kuasa hegemoni, diktator dan pemerintah autokratik.
Pada Julai 2005, berdasarkan fatwa yang dikeluarkan oleh 24 ulama paling kanan dalam agama Islam termasuk Ulama Sunni, Sheikh Al Azhar Dr Muhammad Sayyid Tantawi, Sheikh Dr. Yusuf Abdullah Al-Qaradawi, Mufti Pakistan Muhammad Taqi Uthmani dan Ulama Syiah Ayatollah Al-Sayyid Ali Khameni dan Ayatollah Al-Sayyid Ali Al-Sistani, Raja Abdullah II dari Jordan telah menganjurkan satu persidangan Islam antarabangsa yang dihadiri oleh 200 sarjana Islam terkemuka dunia dari 50 negara yang telah menerima fatwa tersebut, iaitu:
• Sesiapa sahaja yang patuh kepada salah satu daripada empat Usuluddin Islam mazhab Sunni (Hanafi, Maliki, Shafei dan Hanbali), dua Usuluddin Islam mazhab Syiah (Ja’fari dan Zaydi), Usuluddin Islam mazhab Ibadi dan Usuluddin Islam mazhab Thahiri adalah seorang Islam. Mengisytiharkan seseorang itu sebagai murtad adalah mustahil dan tidak dibenarkan.
• Terdapat lebih banyak persamaan antara pelbagai mazhab Usuluddin Islam berbanding dengan perbezaan antara mereka. Pengikut lapan mazhab Usuluddin Islam ini bersepakat dalam perkara prinsip asas Islam.
• Semua percayakan Allah (Tuhan), dimuliakan dan ditinggikan, esa dan unik; al-Quran itu suci dan wahyu yang dipelihara dan dilindungi oleh Allah, dimuliakan serta tiada sebarang perubahan dan pindaan; dan Muhammad SAW adalah Rasul dan Nabi untuk semua manusia.
• Semua bersetuju mengenai lima rukun Islam: mengucap dua kalimah syahadah; solat; mengeluarkan zakat; berpuasa di bulan Ramadan dan menunaikan haji ke Mekah. Semua bersepakat mengenai rukun Iman: percaya kepada Allah, Malaikat, Al-Quran, Rasul, Hari Kiamat dan qada dan qadar.
• Ketidaksepakatan antara ulama antara lapan mazhab Usuluddin Islam itu hanya pada cabang agama (furu) dan beberapa asas (usul) [agama Islam]. Ketidaksepakatan tentang cabang agama (furu) adalah satu rahmat. Lama dahulu dikatakan bahawa kepelbagaian pendapat dalam kalangan ulama adalah satu rahmat.
Fatwa itu diterima dengan sebulat suara di sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam di Mekah pada Disember 2005 dengan penyertaan Malaysia. Enam perhimpunan ulama Islam antarabangsa lain juga menerima fatwa itu, kemuncaknya dengan Resolusi 152 daripada Akademi Fekah Islam Antarabangsa yang berpusat di Jeddah pada Julai 2006.
Jumlahnya, lebih 500 ulama Islam terkemuka, cendekiawan dan pemimpin politik dari seluruh dunia memperakui fatwa itu dan Mesej Amman. Mereka yang mengendors fatwa itu dari Malaysia termasuklah bekas Perdana Menteri Dr. Dato’Seri Abdullah Ahmad Badawi, Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Prof Dr. Kamal Hasan dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Dato Seri Dr. Shahidan Kassim [Kunjungi laman sesawang rasmi Mesej Amman (Amman Message) untuk senarai lengkap mereka yang menerima fatwa itu].
Resolusi 152 Akademi Fekah Islam Antarabangsa, Islam dan Satu Ummah, dan mazhab Usuluddin Islam, menyeru supaya diketepikan ketidaksepakatan antara orang Islam, menghormati antara satu sama lain, menguatkan hubungan persaudaraan dan tidak membenarkan perpecahan dan campurtangan luar. Ia menasihatkan pengajaran fekah berkaitan perpaduan Islam kepada pelajar sekolah menengah dan universiti. Ia menyarankan pihak berkuasa berkaitan di negara Islam mengambil langkah untuk mencegah percetakan, penyebaran dan pengedaran penerbitan yang menambahkan lagi perpecahan ummah.
Resolusi 152 juga menekankan jangan menyalahkan mana-mana lapan mazhab Usuluddin Islam kerana tindakan yang salah daripada pelampau seperti membunuh mereka yang tidak bersalah, menjatuhkan maruah dan merampas harta mereka. Terdapat elemen pelampau dalam kalangan Syiah dan Sunni yang di beberapa negara menggunakan kekerasan, malah kadangkala di dalam masjid sendiri.
Elemen seperti ini perlu didedahkan dan diasingkan kerana ia menyemai perpecahan dalam kalangan umat Islam dan memperburukkan imej Islam. Dialog antara Syiah dan Sunni mestilah digalakkan dan disuburkan, dan sebarang perbincangan mengenai perbezaan mestilah dibincangkan dalam suasana persaudaraan.
Kita perlu menyedari bahawa konflik mazhab sebenarnya dicetuskan oleh kuasa hegemoni yang mahu mengawal sumber di negara Islam. Pecah dan perintah telah menjadi dasar mereka sejak Perang Dunia Pertama. Sesetengah pemerintah dan diktaktor Arab yang bersikap kuku besi yang takutkan kebangkitan Islam digunakan sebagai alat untuk memecahkan umat Islam mengikut garis mazhab.
Kami merayu kepada kerajaan supaya melaksanakan Mesej Amman dan cadangan Akademi Fekah Islam Antarabangsa supaya menggalakkan perpaduan di kalangan umat Islam. – 7 Disember, 2013.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan