بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ
الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالاَتِ اللهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلاَ يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلاَّ اللهَ وَكَفَى بِاللهِ حَسِيبًا

Isnin, Februari 08, 2010

Hatib bin Abi Balta‘ah, Sahabat Yang Mendedahkan Rahsia Jamaah

Firman Allah:
إِنَّ اللّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤدُّواْ الأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا

وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُواْ بِالْعَدْلِ إِنَّ اللّهَ نِعِمَّا

يَعِظُكُم بِهِ إِنَّ اللّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Maksudnya:
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (An-Nisa’: 58)


Fat-hu Makkah
Pembukaan Kota Makkah pada bulan Ramadhan tahun kelapan hijriah merakamkan pelbagai peristiwa penting dalam sejarah perjuangan Islam di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w. untuk dijadikan iktibar dan pengajaran bagi umatnya. Salah satu peristiwa tersebut ialah tindakan Hatib bin Abi Balta‘ah (HAB) menulis surat kepada kaum Quraisy di Makkah memberitahu perancangan Rasulullah s.a.w. untuk menyerang kaum musyrikin Quraisy secara mengejut.

Rasulullah s.a.w. merahsiakan perancangan tersebut bagi memeranjatkan kaum Quraisy dengan kehadiran tentera Islam di Makkah. Hanya beberapa orang sahabat sahaja yang diberitahu baginda. Rasulullah menyediakan angkatan perang yang mengandungi tidak kurang dari 10,000 orang pejuang setelah menolak permintaan Abu Sufyan bin Harb, ketua musyrikin Makkah, supaya Perjanjian Damai Hudaibiah yang terbatal disambung semula setelah pihak Quraisy dan sekutunya mencabuli perjanjian damai tersebut kira-kira 2 tahun perjanjian tersebut terlaksana.

HAB yang mengetahui rahsia tersebut mengirim surat kepada kaum Quraisy kerana kebimbangannya keluarganya dari kaum musyrikin di Makkah akan terancam keselamatan mereka. Surat tersebut dikirimkannya melalui seorang wanita bernama Dza‘inah. Rasulullah yang mendapat wahyu Allah mengenai perbuatan HAB itu memerintahkan Sayidina Ali bin Abi Talib bersama dengan Zubair dan Miqdad segera mengambil surat tersebut dari wanita berkenaan yang dalam perjalanan menuju ke Makkah. Di satu tempat bernama Raudzah Khoh seperti yang diarahkan oleh Rasulullah s.a.w., wanita tersebut ditemui dan menyerahkan surat tersebut kepada Sayidina Ali setelah dia diperiksa walaupun pada mulanya menafikan ada membawa surat berkenaan.

Hatib Dipanggil
Kemudian Sayidina Ali menyerahkan surat itu kepada Rasulullah s.a.w. yang didapati isi kandungannya menyebutkan datangnya dari HAB dan ditujukan kepada orang-orang musyrikin Makkah yang mendedahkan perancangan yang dirahsiakan oleh Rasulullah s.a.w. untuk menyerang kaum Quraisy. HAB dipanggil mengadap Rasulullah s.a.w. dan disoal-siasat mengenai surat tersebut. HAB mengaku melakukannya. Dia memberi alasan bahawa hubungannya dengan kaum musyrikin Quraisy di Makkah sangat rapat apatah lagi di kalangan mereka itu terdapat orang-orang yang menjaga dan melindungi keluarga dan harta orang-orang Islam yang berhijrah ke Madinah. HAB juga memberikan alasan bahawa kaum musyrikin Makkah melindungi kaum keluarganya sendiri di sana. Dia menegaskan bahawa perbuatannya itu bukanlah kerana berpaling tadah dari Islam (murtad) atau redha dengan tindak-tanduk orang-orang kafir musyrikin itu.

Rasulullah menerima alasan itu. Lantas Sayidina Umar Al-Khattab yang hadir bersama di majlis itu meminta Rasulullah membenarkannya untuk memancung HAB. Sayidina Umar mengatakan HAB adalah seorang yang munafik. Rasulullah s.a.w. menjawab Sayidina Umar dengan berkata bahawa HAB adalah seorang ‘ahli badr’ (yang telah menyertai perang Badr). Rasulullah berkata lagi kepada Sayidina Umar: “Kamu tidak tahu, moga-moga Allah memberi kedudukan kepada orang yang menyertai perang Badr.” Nabi berkata pula kepada HAB: “Buatlah apa yang kamu suka, aku telah memaafkan kamu.” Bersebab dari peristiwa ini, turunlah ayat Al-Quran (Al-Mumtahanah, ayat 1) yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (s.a.w.) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredhaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan yang betul.

Ayat di atas menegaskan bahawa dalam apa jua keadaan pun Islam tidak membenarkan mengambil dari musuh-musuh Allah menjadi pemimpin yang ditumpahkan perasaan kasih sayang kepada mereka, atau diberikan bantuan atau pertolongan kepada mereka. Ayat ini diturunkan sekalipun HAB memberikan alasan bahawa dia bukan bertujuan menolong atau membantu kaum musyrikin Makkah itu, bahkan sebaliknya dia mahu mereka melindungi keluarganya serta harta benda orang Islam yang berhijrah yang ditinggalkan kepada mereka.

Iktibar Kepada Jawatankuasa Displin PAS
Mengingat peristiwa perbuatan HAB mendedahkan rahsia penting mengenai perancangan Rasulullah membuka Makkah (fat-hu Makkah), terlintas di fikiran saya tidakkah Jawatankuasa Displin PAS yang dianggotai oleh dua orang ulama’ terfikir peristiwa ini boleh dijadikan panduan atau iktibar dalam memutuskan penghakiman terhadap Khalid Samad (KS) atas pertuduhan yang dikatakan serius iaitu mendedahkan RAHSIA parti. Sebesar manakah rahsia yang didedahkan KS itu telah juga dijawab oleh beliau sendiri di hadapan majlis penghakiman Jawatankuasa Displin yang diketuai oleh Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.

Rahsia yang didedahkan oleh HAB adalah satu rahsia yang sangat besar dan perbuatan yang dilakukan oleh HAB itu satu kesalahan yang sangat serius sehingga Allah memberitahu rasulNya atas perbuatan HAB itu. Kalau rahsia sebesar itu yang didedahkan HAB boleh diampuni oleh Rasulullah s.a.w. atas pertimbangan HAB adalah ‘ahli badr’, walaupun mendapat sanggahan dari Sayidina Umar Al-Khattab, apakah KS tidak layak untuk dimaafkan menimbangkan usaha dan pengorbanannya yang besar dalam PAS. Kita tidaklah samakan pengorbanan KS setaraf dengan pengorbanan ‘ahli badr’, namun jasa KS juga besar kepada PAS yang mungkin boleh dipertimbangkan. Antaranya, peranan beliau yang menggagalkan perancangan sulit pimpinan PAS Selangor untuk menubuh kerajaan gabungan PAS-UMNO di Selangor, dua atau tiga hari selepas PRU Ke-12 2008. KS juga dalam tempoh perjuangannya dalam PAS hampir 30 tahun pernah bertanding dan kalah di Kelantan, Perlis dan Selangor sebelum PRU Ke-12. Beliau juga berkorban dengan meninggalkan jawatan profesionalnya hingga kehilangan sumber pendapatan lumayan yang pernah dinikmatinya. KS juga pernah ditahan di bawah ISA.

Saya percaya sebahagian pimpinan PAS dan ramai pendokong jamaah PAS mengenali KS seorang yang dapat menampilkan perjuangan PAS dengan keupayaan dan kekuatan berhujah, baik di segi rasional mahupun dari segi prinsip-prinsip dan kaedah dakwah Islam. KS pernah bersama saya dalam satu lajnah yang saya mempengerusikannya. Saya dapati beliau seorang yang memang bercakap dan bekerja dengan perancangan dan melaksanakan perancangan yang diprogramkan dengan begitu bersungguh-sungguh. Cukup kalau saya katakan kalau ramai pimpinan PAS seperti KS, PAS boleh bergerak lebih lancar dan maju ke hadapan dalam konteks PAS ber‘tahaluf’ dengan parti-parti Pakatan Rakyat sekarang, bahkan dengan parti-parti lain yang (selain UMNO) yang boleh ber‘tahaluf’ dengan PAS.

Bersabit dengan perkara mendedahkan RAHSIA parti, saya melihat kepimpinan parti perlu menggariskan panduan yang eksklusif bagi mentakrifkan kerahsiaan itu supaya tidak dipertikaikan tafsirannya terutama apabila ia melibatkan kes pertuduhan yang diadili Jawatankuasa Displin parti. Bahkan selaras dengan pindaan perlembagaan yang terkini mengenai Jawatankuasa Displin, perlu juga diteliti kedudukan keahlian jawatankuasa tersebut bagi membolehkan terlaksananya prinsip keadilan dalam sebuah ungkapan yang popular “not only must justice be done, it must also be seen to be done” yakni bermaksud keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan, bahkan mesti kelihatan dilaksanakan.

27 ulasan:

Dr. Abdul Wahab Arbain berkata...

As-Salamu 'alaikum Ustaz,
JazakumulLAHU khairan kathiran!

Anonymous berkata...

ust bukan ahli jawatankuasa disiplin..takyah nak sibuk2 memecahbelahkan lagi parti kita.

FZT berkata...

salam ustaz, terima kasih ustaz atas ulasan ini, dan dengan ulasan ini ustaz membuka lebih banyak fitnah kepada jemaah Pas,saya tak berhak mengkritik ustaz kerana saya orang jahil tidak berilmu seperti ustaz, semoga ustaz terselamat dari fitnah blog seperti tuan ibrahim, satu je pertanyaan kepada ustaz kenapa ulasan ini tidak diberikan kepada JK disiplin sebelum keputusan dibuat. selepas penyokong pas bermatian mempertahankan kepimpinan ulamak dalam pas, ustaz dengan megah memberikan senjata yang paling baik kepada musuh islam, terima kasih ustaz

Anak Bapa berkata...

Tahniah Ustaz. Satu penerangan dan kupasan yang mantap untuk diambil iktibar semua. Kita ada ramai pimpinan hebat seperti Khalid. Cuma yang perlu ialah kerjasama berjemaah dan ukhuwwah yang lebih kukuh sesama kita.

Unknown berkata...

salam Ustaz,
syabas dengan artikel ini.Setakat ini hanya ustaz yang konsisten dengan tidak berpuak kepada mana mana pihak sedangkan segolongan yang lain di dalam PAS sudah mula berpuak. Kemunculan golongan profesional yang dulu sangat dialu alukan, kini telah dilihat sebagai ancaman kepada golongan ulamak. Hinggakan timbulnya perancangan untuk menyingkirkan mereka secara halus. Semoga Allah akan menghancurkan para pemimpin PAS yang tidak ikhlas dalam berjuang. Semoga PAS dapat dibersihkan dari pemimpin yang kalah bila diuji dengan harta dunia.

Unknown berkata...

terima kasih ustaz

saya sebagai ahli pas di selangor sejak tahun 89,kenal siapa KS dan perjuangannya dalam PAS.

kami sangat sedih dgn tindakan JK displin seolah olah hanya mengikut rentak dan telunjuk beberapa org pimpinan termasuk yg di lantik oleh presiden.

Tanpa Nama berkata...

salam ust....dengan rendah diri sy tabik spring kat ust..

Hamba berkata...

Ustaz,
sebagai disiplin jemaah, dan jawatan kuasa disiplin telah buat keputusan, jangan nanti komen ustaz membesarkan krisis dalam jemaah.Biarkan pemimpin dalam jk disiplin menanggung tanggungjawab ini. Disiplin kita sebagai ahli akur, bukan buat kecuh dan mengeruhkan lagi suasana.KS perlu redha dan tawadhuk, sesungguhnya ada hikmah yang lebih besar dan sangat nikmat bagi KS jika beliau rehda dan sabar.Jika tidak, ulasan ustaz akan menyemarakkan fitnah sesama jemaah. Ampunkan kami Ya Allah.

Asrof Gulam berkata...

Keberanian ustaz adalah terladan kepada saya.

Unknown berkata...

Salam Ust,

Satu artikel yang baik tetapi adalah lebih baik kalau sekiranya Ust mendapatkan pandangan JKD sebelum ulas sesuatu isu yang berkenaan. Ustaz dah bertanya ke dengan JKD ker ? Sewajarnya kalau nak memperbaiki jemaah mengapa tidak rujuk terus kepada JKD dan Ustaz selaku ahli Majlis Syura boleh berbuat demikian.

Sekiranya KS merasakan benar dan beradab mengapa tak buat rayuan untuk hukuman beliau dan ianya secara tak langsung untuk membuktikan yang PAs mempunyai satu sisten keadilan yang mantap. Hatta Ali Rustam pun tak ulas hukuman yang dijatuhkan ke atas beliau ???? KS hanya berdiam diri dan mengatakan hanya mengadu pada Allah dan yang pasti beliau mengadu pada blog beliau.

Ana duduk di Shah Alam dan mengaggotai AJK PAS Shah Alam, ana lihat sikap prejudis beliau amat melampau terutama sesama ahli yang berbeza pendapat dengan beliau. Minta maaf ada terpaksa sebut.

Kalau ust sebut beliau amat bagus merancang itu memang betul TAPI Result tak da. Banyak yang diputuskan dalam mesyuarat tak dilaksnanakan termasuklah beberapa perkara yang ditujukan KHAS kepada beliau. Maaf cakap sekali lagi..

Satu contoh yang mudah.... Itu sebab sampai sekarang PAS Shah Alam indah khabar dari rupa. Duit pun tak sampai RM ??? dan untuk bergerak amat sulit. Sebab apa ? Program tak untuk memasyarakatkan PAS amat kurang. Paling koman janji pada ahli akan pindah shah alam bila menang, tapi sampai sekarang masih duduk di pj. Kita orang islan berpehang pada janji. Jangan dok bising orang sana tipu, orang sini tipu tapi kita sendiri bagaimana ?

Kita lihat selepas hukuman dijatuhkan beliau masih berkokok dan mendatangkan masaalah dan bukannya nak ambil iktibar. Kita jadi kerajaan di Selangor, tapi amat malang ada wakil parlimen yang terpaksa buat perkara yang tak rasional pada mata umum sperti bergaduh dengan JAIS, MAIS dan sebagainya atas alasan yang cetek kerana tak dapat tauliah baca khutbah. Ana tak fikir pun mahfuz ka , ust azizan ker melalak nak baca khutbah lepas menang.

Beberapa cawangan yang merupakan cawangan aktif dalam Shah Alam pun agak rimas dengan perangai beliau yang terang-terangan menghina sesama jemaah. Ana tak nak sebut perkataan tersebut kerana ia mungkin tidak manis. Semuanya telah dibentangkan kepada beliau ???

Fikirkanlah sebelum kita memberikan sesuatu penilaian yang kurang tepat dan bernas. Wallahu’alam

Unknown berkata...

kepada smart yg tak smart

kenapa nyorok di sebalik nama smart.kalau berani sebutkan nama supaya org tahu siapa kamu,saya pun boleh buat andaian yg kamu ajk lantikan di shsh alam yg kerjanya minum teh o dengan biskut kering sewaktu mesyuarat atau sewaktu PR sedangkan yg lain bekerja kuat menangkan pakatan/pas.

kalau kamu bercakap pasal YDP kamu,saya ajk kawasan juga, saya nak tanya PJ selangor apa kerja sampai sekarang untuk kuat kan PAS selangor,yg saya tahu dia beretorik sejak masuk pas tahun 99 sehingga sekarang,yg kuatkan pas adalah ahli2 dengan sentimen dsai,itu adalah fakta.

bila nak sambutan guna nama dsai,bila rasa kuat,buat bodoh saja.

sudahla..smart.pergi la minum teh dengan roslan kawan baik kau tu,ajak si khairuddin budak bermasalah sekali.

Unknown berkata...

Tanya sikit? Roslan yg dulu tnggal kt kgpandan ke? Maaf LAN, apa2 masalah kau kna lah amek kaedah jenerasi awallin baru ko dpt trasa jerih mcamana nk memasarakat pas pd ketika itu. Nah skarang kna ingat kita bertongktkan kirikanan(pkr+dap) dan dtengah2(pas)membuatkan kita imbangkn supya mereka dpt keadilan Islam. Itulah yg KS yg ku knal dari '82. Wallahu'lam.

Az berkata...

nak jwp sikit kpd smart:

Ana tak fikir pun mahfuz ka, ust azizan ker melalak nak baca khutbah lepas menang.

kalau pun ust azizan ka mahfuz x baca khutbah, apa salahnya YB Khalid baca, kan lebih elok, itulah kami penyokong mau! kami nak pemimpin aktif, bukan mandom. gunakan peluang yg ada utk mendekati rakyat, untuk membuat perubahan yg baik, dah dpt pegang negeri, kenapa x gunakan peluang yg ada, nnti dah x memang baru nak susah payah buat ceramah rapat umum, cerdik ka gitu? bila peluang tebentang luas x guna, elok lah jika ada pemimpin kita yg nak baca khutbah.

ust azizan pun dgn caranya mendekati rakyat, tengok lepas menang ja terus umum tiket bola free.

Unknown berkata...

PAS sememangnya perlukan reform.

Reform pemikiran ahli hingga ke kepimpinan berlandaskan asas dan matlamat penubuhan PAS itu sendiri.

Ramai yang berpendapat kolot tentang walla' kepada pimpinan secara membuta tuli dan hasilnya ialah seperti apa yang dinyatakan oleh beberapa pengkomen disini...

Syabas Ustaz Hj Ahmad Awang. Kita perlukan lebih ramai pemimpin yang berfikiran luas seperti Ustaz demi untuk menyuburkan Harakah Islamiah di negara kita ini.

Hamba berkata...

Ustaz,
Ustaz telah mengemukakan dalil sirah bagi mengampuni KS, Ni nak tanya ustaz pasal sirah nabi, saya di fahamkan oleh pimpinan bahawa, MOU Pakatan Rakyat tidak di sebut dengan nama Allah,walhal orang bukan Islam pun ingin menyebut nama tersebut sebagai tuhan mereka. Bukankah pakatan Rakyat Madinah yang dibuat oleh Nabi saw disebut atas nama Allah?. lagi ustaz, kenapa Pas sanggup membenarkan dap bersama menyerang Amno yang sebangsa dengan pas?, walhal nabi saw tidak pernah membenarkan sekutu pakatan rakyat Madinahnya bersama-sama menentang musyrikin Mekah yang sebangsa dengan nabi. Dalam ulasan ustaz bertemuramah dengan majalah Majalah Milenia Muslim (MM) keluaran Oktober 2009 sebahagiannya berbunyi begini "Hari esoknya Dato’ Nik Aziz hubungi bersetuju hatta kalau PAS tidak menjadi MB, kita akan teruskan bersama PR.".Nak tanya ustaz, adakah tercatat dalam sirah nabi saw yang baginda pernah mengkhianati bangsa arab kerana kuasa?. Perasan tak ustaz, bahawa prinsip Pas di dalam memperjuangkan Islam telah semakin kabur dan tidak meyakinkan pengundi selepas PRU 12?. Kerana ape?kerana penyokong pas kebanyakannya lebih kepada sentimen anti amno dan berkempen lebih kepada memburukkan parti lawan, bukan nya berkempen mengajak orang supaya beriman dengan Allah dan rasulnya. Saya rasa semua lujnah yang terdapat didalam pas bergerak di atas sentimen anti amno, kalau setakat lujnah politik bergerak diatas sentimen anti amno, tidaklah menghairankan, tetapi kalau dah semua lujnah bersentimen demikian tentulah mesej perjuangan pas kepada Islam semakin tersasar.
Berkaitan dengan perjanjian damai hudaibiah seperti yang ustaz kemukakan dalam majalan milenia "Malah kami juga diperingatkan tentang kisah Perjanjian Hudaibiyah antara Rasulullah s.a.w dengan kaum musyirikin Mekah, walau ada terma-terma perjanjian berat memihak kepada golongan musyirikin tetapi Rasulullah s.a.w menerimanya untuk strategi dakwah dengan lebih luas lagi dalam suasana damai.
Ini alasan ustaz untuk bersama-sama dengan Dap,Nak Tanya ustaz, bukankah Pas yang berperang dengan amno,bukankah Pas yang sebangsa dengan amno? Bukankah nabi saw yang berperang dengan musyrikin mekah?Bukankah nabi yang sebangsa dengan musyrikin Mekah. Bukankah nabi yang membuat perjanjian Hudaibiah dengan bangsa yang sama dengan nabi?. Kenapa pula Pas yang berperang dengan amno dalam pilihanraya,Pas yang sebangsa dengan amno, tiba-tiba pula Pas buat perjanjian huudaibiah dengan Dap. Bila pula Pas berperang dengan Dap?Bila pula Pas sebangsa dengan Dap?. Kenakah nukilan ini diambil dari sirah nabi?Kalau nak ambil contoh dari sirah, nukilkanlah secara jujur, bukan diatas dendam kepada amno. Pernahkah nabi saw berdendam dengan musyrikin Mekah? Apakah keberangkatan tentera nabi saw secara rahsia untuk menyerang Merah pada tahun ke 8 hijrah kerana nabi mahu membalas dendam dengan musyrikin Mekah? Berbalik kepada kisah perjanjian hudaibiah, bukankah perjanjian itu menandakan rasa cinta nya nabi kepada bangsanya supaya mereka beriman kepada Allah? Hatta walaupun perjanjian tersebut berat sebelah dan menjadi perbalahan dengan para sahabat nabi. Bukankah perjanjian ini telah mewujudkan kekecuhan nabi dengan para sahabat ?. Nak Tanya ustaz, kecuhke dikalangan pimpinan Pas bila, Pas mahu membuat perjanjian Hudaibiah dengan Dap, seperti kecuhnya nabi dengan para sahabat di dalam peristiwa perjanjian Hudaibiah tersebut?
Akhir kalam, betulke kerjasama Pas dalam Pakatan Rakyat selari degan sirah perjuangan dengan Rasulullah? Ade ke nabi saw pernah selepas peperangan dan hasil rampasan perang yang berupa kuasa di agihkan kepada puak musyrikin yang bersekutu dengan nabi? Wassalam.

seli berkata...

slm ust..
1) Hatib Abi Baltaa'ah terselamat dari hukuman sebab dia ahli Badar dan mendapat keampunan dari Allah. Kalaulah tidak??

2) Adakah ustaz nak samakan Khalid Smad dgn Ahli Badar?hehe

3) Apabila Umar mencadangkan bunuh Hatib Abi Balta'ah, menunjukkan begitu besar dosa org yg mndedahkan rahsia Jamaah.

4) Kalaulah Khalid Smad itu wajar diampunkan sbb jasa-jasa beliau pada PAS, sume pimpinan terselamatlah dari hukuman sbb semua pimpinan berjasa termasuk ahli-ahli PAS jugak..hmm tak perlulah wujud Jwtnkuasa disiplin kalu camtu.

5) Ust ni bekas naib Presiden..nk tegur elok-eloklah, jumpa Ust Tuan elok-elok, bkn buat kenyataan terbuka mcm ni..Ini namanya nk tunjuk hebat

myPustaka berkata...

salam, semua komen anda ada positif dan nagetifnya, markah keseluruhan kita positif hahaha nak bg markah la plak cam buak skolah.

Hamba ni kekadang jadi senak otak bila banyak sangat yang tak sepatutnya timbul jd timbul, manakala yang sepatutnya tenggelam dan berada didasar jadi timbul.

Kita tidak banyak peluang untuk sebarkan ke khalayak, bila ada peluang gunakan sebaiknya. kiranya yg disebarkan di khalayak itu nagetif, nagetif lah yang cepat tersebar berbanding positif terutama seteru akan mengambil peluang.

Semua komen yg bersifat dalaman akan terdedah. Ini akan memudahkan perancangan pihak kedua. Mereka tidak perlu bersusah payah nak jadi spy cari maklumat, sbb korang dah beri maklumat cuma dia org sahkan saja apa yg korang beri, pastu jalankan strategi untuk pecahkan dalaman kita.

Korang fikirlah sendiri!!!!!!!!!!

Syeikh YB berkata...

aku rasa tuan ibrahim tuan man semasa menjatuh hukuman terlupa baca kisah hatib.

Unknown berkata...

Salam

Ust ahli majlis syura ulama yang banyak ilmu. patutnya ust tak boleh buat mcm ni .. pertikai keputusan jamaah. Kalo jamaah berpecah kerana artikel ustaz ni maka ust bertanggungjawab ust turut menanggung dosanya. Tak payah umno yang pecahkan pas tapi seorang ahli majlis syura ulama yang pecah belahkan pas dari dalam. Insaf laaa ustazz

Syeikh YB berkata...

sepatotnya jika jemaah berpecah bukan sahaja ust awang sahaja bersalah.bapak segala badan disiplin yang berta sebelah pon tidak bersalahkah?hasan ali dedah rahsia depan bloger UMNO tak dikira bersalah? alih alih ust ahmad awang dihukum bersalah sebab bercerita pasal kes hatib

Unknown berkata...

Salam

To Ampun Tuanku

Ya betul ... sesiapa sahaja yang bersalah perlu dihukum. Hasan Ali dah dihukum .. Khalid Samad dah dihukum. Cuma ada yang tak puas hati je dan tuduh JK Disiplin tu berat sebelah. Beri lah kepercayaan kpd jk disiplin, kita ada adab dlm jamaah. Nak citer pasal hatib memang tak salah tapi pertikai keputusan JK Disiplin tu yang salah. Kalo setiap kali JK Disiplin buat keputusan ada je yang bantah dan tak puas hati .. rosak laa jamaah. Yakin laa JK Disiplin telah jalankan kerja dgn amanah. Apa saja rasa tak puas hati guna laaa saluran yang betul .. bukan luahkan dlm blog. Musuh sronok tgk kita bertelagah

Oraitt salamm

RuslyIsLam berkata...

Hatib tidak dihukum sbb dia ahli badar dan dah dimpunkan oleh Allah. sebelum tu Saidina Umar cadang Hatib di hukum bunuh, kerana kesalahan mendedahkan rahsia itu sgt besar..
Jadi persoalannya adakah nak ampunkan Khalid sbb dia juga ahli Badar? nak kiaskan Khalid dgn Ahli Badar?hehe pk2 kan la...
To Ust Ahmad Awang..anda menjatuhkan kredibiliti sbg seorg yg berilmu..

Tanpa Nama berkata...

Salam,
Ringkas saja komen saya. Saya sangat mengharapkan agar Ustaz Ahmad Awang memberikan respon atau komen balas kepada komen2 pembaca khususnya komen yang dibuat oleh "HAMBA".
Terima kasih.

Syeikh YB berkata...

Khalid Samad dan Hasan Ali redha dengan hukuman yang diterima.Peliknya Hasan Ali telah anjur program bersama blogger UMNO dan mengecam TGNA secara terbuka tidak pula di siasat.Agaknya dalam kes Hasan Ali, JK Disiplin menggunakan dalil dari kisah Hatib.ciput ja kena hukum..wahaha

mns berkata...

Ustaz sendiri telah meletakkan ketidakpuasan terhadap tindakan JK Disiplin . Mengapa sekarang ini semakin banyak pergeseran dan prasangka didalam jemaah . Hendakkan pemilihan , pemilihan telah berlangsung dan pimpinan pun telah dipilih . Kalau Ustaz menggunakan perumpamaan seperti peristiwa ini ..tidak bolehkah kalau Khalid Samad menerima peristiwa pemecatan Khalid al-Walid yg tiada apa2 kesalahan malahan kesilapan hanya dari kehendak S.Umar r.a . Itulah , semua peristiwa dapat digunakan oleh setiap pihak . Di dalam berjemaah tidak bolehkan kita berlapang dada dengan keputusan yang dibuat oleh mereka yang dipilih dan dipercayai ( atau adakah Ustaz sendiri meragui keabsahan dan kebolehan TITM , TGHS sendiri ? )

Mungkin ada yang tersurat dan tersirat yang ustaz maksudkan . Namun keseluruhannya semua memahami ustaz juga tidak berpuas hati dengan hukuman ke atas Khalid Samad dan Hasan ALi .

Jika ustaz sendiri berperasaan begini apatah lagi anakdidik ustaz di bawah sana . Maka akan adalah berpuak2 di dalam PAS .

zahidyusof berkata...

Antaranya, peranan beliau yang menggagalkan perancangan sulit pimpinan PAS Selangor untuk menubuh kerajaan gabungan PAS-UMNO di Selangor, dua atau tiga hari selepas PRU Ke-12 2008.

Ucapan ustaz ini, ana pasti ustaz bertanggungjawab di atas ucapan ustaz ni, kenapa ustaz tak buat adun resmi, atau perjumpaan itu hanya perjumpaan dan bukan untuk menubuh kerjaan gabungan PAS -UMNO cuma nak dengar apa UMNO kata,

ana nak kepastian, ustaz ada bukti ke ustaz dengar khalid samad kata, ana bimbang takut ustaz hanya dengar orang kata, kalau begitu keadaan sungguh malang sekali, tapi kalau ustaz ada bukti cadangan nak tubuh kerajaan UMNO-PAS, bukan jumpa sahaja, sebab jumpa ni hari-hari orang PAS jumpa orang UMNO.

kesalahan Hatib tu hukumannya bunuh, mujur je dia ahli badar. begitu juga Khalid Samad atas jasa-jasa itu mujur kena 6 bulan gantung je, kalau ana pecat je, macam ustaz latif di besut, ustaz latif pun kena ISA 2 kali lagi, pun ada jasa pada PAS

Pada Ana takpadan ustaz nak buka api fitnah semula dalam parti kerana Khalid Samad

fikrah islamiah berkata...

Maaf saya tidak faham isu sebenar mengenai Khalid ini, maka tidak layak saya mencampurinya. Cuma saya nak ulas isu Hatib, rahsia belum terbongkar, surat sempat dirampas. Atas sebab itu di samping niatnya bukan untuk belot baginda maafkannya. jadi, peristiwa ini bolehkah disamakan dengan khalid?