بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ
الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالاَتِ اللهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلاَ يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلاَّ اللهَ وَكَفَى بِاللهِ حَسِيبًا

Jumaat, Mei 30, 2008

PAS Tetap Perjuang Dasar Negara Islam - Bhg 1

Islam sebagai Ad-Din adalah agama kebajikan yang bersifat kesejahteraan, keamanan dan keadilan untuk semua makhluk sekelian alam. Baginda Nabi Muhammad SAW diutuskan kepada umat manusia untuk memberi rahmat kepada seluruh alam dan seisinya. Ini bermaksud andai diterjemah dalam kontek kenegaraannya, ia membawa makna Negara Kebajikan itu ialah Negara Kesejahteraan, Negara Keamanan dan Negara Keadilan.

Selama ini kita telah dimanipulasi oleh media perdana milik UMNO yang memberi imej Negara Islam itu adalah negara potong tangan, negara hukum rejam dan negara yang akan membunuh dan menindas orang bukan Islam. Andai diikutkan undang-undang kesiksaan penjajah yang diguna pakai oleh negara ini, juga terdapat hukuman mati samada di tali gantung atau di kerusi elektrik selain hukuman lain seperti sebat dan tekanan emosi yang jauh lebih keras berbanding hukuman kesiksaan Islam. Namun tidak ada pihak yang memberikan persepsi buruk bahawa undang-undang penjajah itu ialah undang-undang gantung tengkuk dan hukum bunuh orang guna kerusi elektrik.

Undang-undang penjajah yang dijadikan Undang-undang Persekutuan ini juga akan menjadi lebih menakutkan dan juga boleh dianggap sebagai tidak berperikemanusiaan sekiranya ia dimanipulasi. Namun terdapat pelbagai had bidang yang dikenakan kepada rakyat untuk tidak memanipulasi atau mempertikaikan perlembagaan yang ‘diturunkan’ kepada penjajah kepada pemimpin-pemimpin UMNO ini. Sesiapa yang membantah atau mempertikainya akan dianggap menderhaka dan tidak menghormati negara serta menghina negara.

Inilah yang berlaku apabila Dasar Negara Islam (DNI) yang cuba diketengahkan PAS dalam beberapa siri pilihanraya sebelum ini. Belum pun sempat PAS membuka mulut mempelawa dan mengajak pelbagai pihak termasuk NGO dan kerajaan berbincang berhubung DNI ini, media milik UMNO dan pemimpin mereka terus menyerang dan melemparkan pelbagai persepsi buruk terhadap Islam dan PAS.

Kepada bukan Islam dan orang Melayu yang kurang pengetahuan agama pula, disajikan dengan pelbagai propaganda yang seolah-olah membayangkan Islam ini zalim dan ganas.

Demikianlah sikap UMNO dan pemimpin mereka yang lebih mengagungkan perundangan yang dicipta musuh kita suatu ketika dahulu yang telah menjajah negara dan ekonomi kita sekian lama. Mengapa takut untuk menegakkan hukum Allah yang menjadi pegangan orang-orang Melayu. Mengapa UMNO yang beretorik membela orang Melayu dan membela Islam tetapi dalam keadaan yang sama sanggup membelakangkan agenda sistem dan hukum Islam yang dianuti mereka? Tak percayakah mereka pada Islam?

Hakikatnya UMNO sememangnya tidak mahu Islam, baik dalam peringkat dasar maupun perlaksanaannya kerana perjuangan nasionalisme tidak pernah terbukti membela agama mereka dalam mana-mana politik dunia pun. Jangan temberang dengan sejarah nasionalisme.

Lantaran itulah pemimpin-pemimpin UMNO ‘kurang senang’ sekiranya rakyat mempunyai pengetahuan agama yang tinggi. Statistik Pusat Penyelidikan Pas mendapati 87 hingga 96 peratus pelajar yang mempunyai pendidikan Islam menyokong Parti Islam SeMalaysia PAS.

Inilah juga satu sebab mengapa UMNO menukar kurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dari 60% pelajaran agama dan 40% akademik kepada 40% agama dan 60% akademik supaya anak-anak Melayu ini kurang pendedahan kepada agama. Bila kurang pendidikan agama maka mudahlah mereka terdedah kepada pelbagai kebobrokan moral serta mudah dibeli oleh UMNO dan pemimpin mereka.

Perundangan penjajah adalah ciptaan manusia yang terdapat pelbagai kelemahan yang boleh disalah guna untuk kepentingan atau untuk melindungi mereka yang berkuasa. Inilah antara sebab mengapa undang-undang penjajah ini dijadikan kiblat kepada pemimpin UMNO. Jangan pelik atau terkejut apabila rasuah, salah guna kuasa, jenayah dan pelbagai bentuk kemungkaran berlaku dalam negara. Ini disebabkan undang-undang yang ada tidak mampu menangani kerosakan akhlak yang ada pada rakyat.

Manakala undang-undang Islam tidak memilih sesiapa samada pemimpin atau keluarga mereka hatta khalifah/amir sekalipun. Islam memberi hak dan melindungi semua rakyat yang Islam maupun bukan Islam. Inilah antara penyebab UMNO tidak mahu dasar Syariat Islam ini dinilai dan dijadikan perundangan negara dengan beralasan Malaysia negara majmuk yang berbilang kaum dan agama.

Pengalaman Terengganu dan Kelantan dalam mengenengahkan konsep DNI yang menjadi teras perjuangan PAS kepada rakyat dalam beberapa siri pilihanraya telah mematangkan PAS dari terjebak dalam putar belit mereka yang tidak bertanggungjawab.

Negara Kebajikan yang merupakan motto manifesto PAS dalam Pilihanraya Umum (PRU) Ke-12 lalu adalah antara konsep Negara Islam yang dimaksudkan itu. Kebajikan bermaksud kebaikan yang menyeluruh dalam semua hal dan displin. Kebajikan bukan hanya kepada rakyat yang Islam tetapi juga kepada yang bukan Islam. Dalam Negara Kebajikan juga, kaum bukan Islam mempunyai hak yang besar yang diberikan oleh Islam serta wajib dipenuhi. Dari kebajikan yang bersifat menyeluruh ini maka akan wujudlah pula apa yang disebut keadilan dan bukannya empayar kroni yang diwujudkan sejak sekian lama dalam kerajaan dinasti UMNO.

Di Perak, kerajaan PR menjadikan prinsip berkebajikan dan adil sebagai teras dalam pentadbiran kerajaan. Begitu juga slogan “Kedah Sejahtera” yang menjadi motto kerajaan Kedah di bawah pimpinan sahabat karib saya Ustaz Azizan Razak yang semuanya membawa imej Islam. Islam atau Negara Islam adalah bersifat sejagat. Tanpa kita sedari secara hakikatnya seluruh pelusuk dunia di enam benua ini perjuangan yang berteraskan kebajikan, kesejahteraan dan keamanan adalah perjuangan yang dijunjung oleh seluruh umat manusia tanpa sempadan agama, negara, budaya dan sosialnya.

Cuma cara perlaksanaannya berbeza. Sebagai contoh DAP yang memperjuangkan dasar “Malaysian, Malaysian” tetapi akan melaksanakan corak pemerintahan di Pulau Pinang ala pemerintahan Omar Abdul Aziz sebagaimana dijelaskan oleh Ketua Menterinya, Lim Guan Eng.

Mengapa tak ada parti-parti politik yang mewakili kaum lain seperti Gerakan, MCA, MIC dan lain-lain termasuk UMNO tidak melatah dan bertindak ‘menyerang’ Guan Eng kerana cuba melaksanakan “Malaysian, Malaysian” ala Khalifah Omar Abd Aziz itu.

Mengapa pula bila PAS sebuah parti Islam yang faham secara terperinci mengenai Islam secara asli dan tabie ‘diserang hebat’ oleh UMNO dan mereka yang takut dengan isu Negara Islam ini. Secara sedar atau tidak setelah hampir 20 tahun Kelantan sedang melaksanakan program Negara Islam dan kini Kedah pula menyusul. Walaupun rasa dan aromanya berbeza namun acuannya tetap sama iaitu kebajikan yang bersifat kesejahteraan, keamanan dan keadilan.

Mungkin ada orang akan bertanya, “Kalau begitu Malaysia sekarang ni adalah Negara Islamlah?” Jawapannya tidak. Kerana Negara Islam akan melaksanakan perundangan Islam. Sebagai pelindung bagi menjamin segala dasar-dasarnya terlaksana dan mencapai tujuannya. Perundangan Islam bukan bermaksud orang bukan Islam terpaksa mengikuti atau terlibat dalam hukum hakam yang digariskan Islam. Tetapi orang bukan Islam diberi pilihan samada mahu diadili berdasarkan hukum Islam ataupun undang-undang lain seperti undang-undang sivil.

Persoalannya juga, mengapakah orang bukan Islam takut untuk menerima perundangan Islam. Jawapannya juga mudah. Ini kerana media milik UMNO sengaja menghidupkan sentimen bencikan parti Islam, hukum Islam, perundangan Islam atau apa-apa yang berkaitan Islam sehingga prejudis orang bukan Islam terhadap Islam semakin tebal.

Walhal mengapa kita rakyat Malaysia baik Melayu, Cina, India atau kaum-kaum lain boleh menerima perundangan Inggeris yang ternyata berbeza dari segi budaya, bahasa, agama, benua maupun segala-galanya. Tetapi kita semua sepakat untuk menerimanya. Malah undang-undang Inggeris adalah undang-undang penjajah yang telah kita akui menakluk kita dari pelbagai aspek baik politik, ekonomi dan struktur sosial kita, namun kita masih tunduk pada undang-undang mereka. MENGAPA???

Jawapannya sebenarnya mudah sahaja. Kerana media yang dikuasai UMNO tidak pernah menjelaskan kelemahan undang-undang penjajah ini sehingga persepsi seluruh rakyat menganggap ia adalah baik dan sesuai. Tambahan lagi UMNO dan pemimpin mereka adalah ‘anak didik’ penjajah. Lagi pun undang-undang penjajah itu banyak memihak kepada kepentingan UMNO dan politik ‘anak didik’ penjajah itu.

ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) adalah akta haram di sisi Islam kerana tidak memberi keadilan dan pembicaraan kepada mereka yang dituduh. Namun undang-undang penjajah yang digunakan oleh penjajah untuk mengawal gerakan komunis di Malaya ketika itu masih diguna pakai hingga ke hari ini oleh kerajaan Malaysia.

Berapa ramai dari orang-orang PAS, DAP dan orang-orang Islam dan rakyat Malaysia yang ditahan tanpa bicara di atas alasan ‘disyaki’ oleh pemimpin UMNO. Bagaimana nasib anak dan isteri mereka yang ditahan. Apakah kerajaan milik UMNO selama ini membantu atau menjenguk muka bertanya khabar terhadap keluarga yang ditahan dengan akta zalim ISA ini?

Bayangkan, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, mengapa tidak gunakan simbol perkataan PKMB tetapi menggunakan United Malay National Organisation (UMNO) yang berbahasa Inggeris. Apa gahnya UMNO mendakwa mereka perjuang hak Melayu, hak bahasa Melayu dan segala-galanya Melayu tetapi nama parti mereka pun menggunakan nama dari bahasa ‘bapa didik’ mereka.

Andaikata undang-undang Islam yang kebanyakan dianuti oleh orang Melayu boleh ia dianggap sebagai satu diskriminasi terhadap kaum lain maka Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan lain-lain akta yang melindungi kepentingan orang Melayu juga boleh dianggap sebagai bersifat perkauman dan berunsur diskriminasi. Persoalannya mengapa ia boleh dilaksana tanpa bantahan dari kaum-kaum lain.

Di Kelantan, di mana kadar jenayah, rasuah dan salah guna kuasa antara yang paling bersih dicatat oleh negeri tersebut berbanding negeri di Malaysia sebabkan undang-undang Islam secara halus diserapkan dalam pentadbiran di negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Tak ada orang bukan Islam yang dipotong tangan atau dibunuh oleh orang Islam. Patung Buddha yang terbesar tercegat di negeri tersebut yang melambangkan undang-undang Islam memberi hak kebebasan beragama kepada seluruh rakyatnya.

Malah daging babi pun boleh dibeli setiap hari berbanding zaman BN dulu daging babi hanya boleh dijual 3 kali seminggu oleh orang bukan Islam. Hakikatnya Islam menghormati adat, budaya dan agama orang lain.

Islam itu hakikatnya adalah cara hidup yang bertunjangkan kepada amalan kebaikan (beriman, tolong menolong, keadilan, bersatu hati, berbaik sangka, dsb) dan meninggalkan segala yang bersifat kejahatan (jenayah, kekufuran, kemunafikan, kerosakan, penderaan, aniaya, kekejaman, dsb). Maka dalam kontek lain pula, politik itu adalah sebahagian dari Islam, sebagaimana juga perniagaan, pergaulan, kekeluargaan, pendidikan, ekonomi dan sebagainya kerana Islam itu lengkap dan syumul.

Maksud firman Allah SWT:
“... Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. ...” (Al-Maidah:3)

Bersambung dalam bahagian kedua... InsyaAllah.


Baca lagi...

Khamis, Mei 29, 2008

Kemenangan 6 Kerusi DUN, PAS Perak Menjana 6 Kemenangan Lagi


Selaku Pesuruhjaya PAS Perak, kira-kira 2 minggu yang lalu saya telah menyampaikan ucapan di Majlis Taklimat MB yang diadakan di dewan serbaguna Kediaman Menteri Besar Perak. Majlis tersebut dihadiri oleh kira-kira 700 orang, anggota pimpinan PAS peringkat negeri, kawasan dan cawangan. Dalam ucapan tersebut saya menegaskan bahawa pencapaian PAS dalam Pilihanraya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu dengan memenangi 6 kerusi Dewan Undangan Negeri telah memberikan PAS 6 kemenangan yang sangat bermakna bagi PAS negeri Perak.

INTISARI kemenangan yang saya huraikan dalam ucapan adalah seperti berikut:

  1. Kemenangan menubuhkan kerajaan campuran PAS-DAP-PKR yang kini dinamakan kerajaan Pakatan Rakyat. Perbincangan dibuat di antara ketiga-tiga parti pada kira-kira jam 1 pagi selepas pengumuman keputusan PRU Ke-12 dibuat, di mana DAP memenangi 18, PKR 7 dan PAS 6 kerusi. DAP yang memulakan jemputan untuk membentuk kerajaan kerana jumlah kemenangan parti pembangkang telah mencukupi majoriti dengan 31 pembangkang dan 28 BN. PAS kemudian berbincang dengan PKR dan kemudian persetujuan tercapai di antara ketiga-tiga parti apabila DAP bersetuju jawatan Menteri Besar disandang oleh ADUN Melayu Islam dari pihak BA (PAS-PKR).

    Pengumuman atas pemuafakatan antara ketiga-tiga parti untuk menubuhkan kerajaan campuran dibuat kira-kira jam 2 pagi di pejabat DAP yang teletak hanya kira-kira 50 meter dari ibupejabat PAS. Lebih 10 pemberita dan jurugambar tempatan mengemukakan pertanyaan kepada saya dan pengerusi DAP, Ngeh Koh Ham (sekarang Dato’), jawapan kami sama iaitu kami bersepakat menyahut rakyat yang mahukan perubahan supaya BN digantikan dengan pihak pembangkang. Dalam pengumuman itu kami namakan kerajaan Barisan Rakyat. Ia bukannya kerajaan DAP, tidak juga kerajaan PAS atau PKR. Dengan keputusan pimpinan DAP, PAS dan PKR peringkat pusat, kerajaan campuran parti pembangkang dinamakan Pakatan Rakyat.

  2. Kemenangan PAS menerajui kerajaan Pakatan Rakyat apabila ADUN PAS Pasir Panjang, Ir Haji Mohd Nizar Jamaluddin (kini Dato’ Seri) dilantik oleh DYMM Sultan Perak sebagai Menteri Besar Kerajaan Negeri Perak yang ke-10.

    Persetujuan awal antara ketiga-tiga parti, beliaulah satu-satunya calon untuk jawatan tersebut yang akan dipersembahkan kepada DYMM Sultan. Tetapi kemudiannya atas campurtangan pimpinan tertinggi DAP, kemudian PKR, maka penyelesaiannya 3 nama telah dicalonkan iaitu di samping calon dari PAS, maka 2 calon lagi dari PKR dan DAP dinamakan. Ketiga-tiga parti bersepakat siapa jua calon yang diperkenan oleh Istana akan diterima oleh semua pihak. Namun apabila nama Hj Nizar diperkenan oleh Istana, Lim Kit Siang, Penasihat DAP membantah dan mengugut untuk memboikot Upacara Angkat Sumpah ADUN PAS itu.

    Bagaimanapun, selepas kira-kira 3 jam perbincangan di antara pihak PAS yang saya mengetuainya dengan pihak DAP yang diketuai oleh pengerusinya Ngeh Koh Ham, pimpinan DAP pusat bersedia mengubah pendiriannya dengan cuba mengenakan syarat supaya DAP diberi 8 jawatan Exco dan PAS berjanji tidak melaksanakan hudud dalam kerajaan campuran ini. Tetapi akhirnya, syarat-syarat tersebut gugur kira-kira jam 11 malam setelah kami pihak PAS dan DAP dititah mengadap Tuanku di Istana Kinta. DAP bersetuju dengan perlantikan Menteri Besar dari PAS dan akan hadir dalam Upacara Angkat Sumpah esok harinya di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, bahkan setuju akan memohon ampun dari pihak istana. Yang paling penting syarat yang mereka kenakan iaitu 8 Exco dan isu hudud gugur dengan sendirinya. Persetujuan mengenai perguguran syarat ini disampaikan sendiri oleh Setiausaha DAP Perak, YB Nga Koh Meng kepada Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang. Saya memastikan 2 kali beliau menghubungi YAB Lim semasa kami masih berada di kawasan Istana Kinta lagi.

    Bagaimanapun Upacara Angkat Sumpah MB yang dijadualkan pada jam 4 petang itu akhirnya dibatalkan oleh pihak istana kira-kira 2 jam sebelum ianya dilangsungkan. Ia berpunca dari bantahan pihak PKR pula pada saat-saat akhir atas alasan kononnya mereka hanya akan diberikan 1 kerusi Exco padahal pada kira-kira jam 10 pagi, pimpinan PKR Perak telah pun dimaklumkan yang mereka akan mendapat 3 kerusi Exco dan PAS hanya 1, manakala DAP memperolehi 6 bukannya 8. Entah di mana silapnya pimpinan PKR pusat masih beranggapan mereka hanya diberikan 1 kerusi Exco itu.

    Ekoran dari pembatalan itu, pihak istana menitahkan supaya setiap orang ADUN yang seramai 31 orang dari ketiga-tiga parti menandatangani surat perakuan masing-masing bahawa mereka menyokong penubuhan kerajaan campuran yang dimuafakatkan dan bersetuju atas pelantikan Hj Nizar sebagai Menteri Besar Perak bagi mengetuai kerajaan campuran itu. Kemudiannya Haji Nizar dilantik secara rasmi sebagai Menteri Besar di Upacara Mengangkat Sumpah di Istana Iskandariah pada 17 Mac jam 10 pagi, di mana turut hadir pimpinan PAS pusat, YB Datuk Husam Musa dan YB Dr Hatta Ramli selain daripada saya sendiri selaku salah seorang Naib Presiden. Lim Kit Siang turut hadir dan kemudianmya berkesempatan mengadap Tuanku Raja Muda memohon ampun kepada baginda.

  3. Kemenangan PAS menjalin hubungan mesra di antara PAS khasnya dan Pakatan Rakyat amnya dengan pihak istana. Sejak hari pertama rombongan ketiga-tiga parti mengadap Tuanku Raja Muda di Istana Kinta yang saya sendiri mengetuainya, sungguh terasa mesra hubungan dengan Tuanku Raja Dr Nazrin Shah. Selepas memperkenalkan diri kepada baginda, baginda berbual menanyakan latarbelakang saya dan bila saya memberitahu saya mendapat pendidikan dari Maahad Al-Ehya’ Ash-Shariff Gunung Semanggol di bawah asuhan Almarhum Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, baginda begitu tertarik dengan peranan para ulama’ Perak dalam perjuangan mencapai kemerdekaan. Baginda juga menyatakan bahawa baginda menyelidiki peranan beberapa orang ulama’ Perak melalui penyelidikan baginda di Harvard University. Selepas itu baginda banyak pula bertanya tentang latarbelakang Ir Haji Mohd Nizar Jamaluddin yang mendapat ijazah Sarjana Kejuruteraan dari UK.

    Hubungan terus terjalin melalui beberapa pertemuan dengan pihak istana ketika menghadapi saat-saat kritikal mengenai perlantikan MB dari parti PAS. Persefahaman mudah dicapai kerana Istana Perak dianugerah Allah SWT seorang Raja yang arif dalam bidang undang-undang sebagai seorang bekas ketua hakim dan mempunyai Raja Muda yang mempunyai daya intelektual yang tinggi dengan memiliki ijazah PHD dalam bidang Sains Politik. Kelebihan istana ini dipertemukan Allah pula dengan pimpinan tertinggi PAS Perak yang mempunyai pandangan politik yang luas dan berpengalaman dalam pengurusan dan pentadbiran. Salah satu bukti begitu mesranya hubungan istana dengan Ir Haji Mohd Nizar sebagai Menteri Besar, beliau telah dianugerahkan darjat kebesaran Pingat Darjah Seri Paduka Mahkota Perak dengan gelaran Dato’ Seri. Beliau menerima anugerah itu belum pun sampai sebulan menjawat jawatan Menteri Besar. Begitu juga Pengerusi DAP negeri Perak, Ngeh Koh Ham dianugerahkan gelaran Dato’.

  4. Kejayaan PAS memenangi hati pimpinan parti-parti rakan Pakatan Rakyat terutama sekali pimpinan DAP yang sebelum PRU Ke-12 dilihat sebagai parti pembangkang yang tidak begitu sehaluan dengan PAS tapi selepas PRU Ke-12 dan pembentukan kerajaan PR di Perak, pimpinan DAP bukan sahaja mudah bersefahaman dan mesra dengan pimpinan PAS di peringkat negeri, bahkan sentiasa menyanjung pimpinan PAS samada mereka yang terlibat dalam kerajaan ataupun dengan saya sendiri dan rakan-rakan lain yang tidak menyertai kerajaan. Saya sendiri dapat melihat bagaimana Pengerusi DAP Perak, Dato’ Ngeh Koh Ham berterus terang menyatakan dokongannya kepada pimpinan PAS dan sangat kagum dengan pimpinan Tok Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Perkara ini dinyatakan sendiri kepada Tok Guru ketika lawatan pimpinan kerajaan Perak ke negeri Kelantan baru-baru ini.

  5. Kemenangan kelima, kejayaan PAS menarik sokongan rakyat terutama bukan Melayu/Islam, kerana pembentukan kerajaan PR yang diterajui PAS menjadi perkara yang begitu menarik perhatian rakyat negeri Perak khasnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya. Dalam suasana pihak-pihak tertentu terutama UMNO dan jaringan kuncu-kuncunya yang cuba mempersoalkan kewibawaan kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui oleh Menteri Besar dari PAS yang hanya mendapat 6 kerusi DUN, ternyata rakyat negeri Perak memberikan sokongan yang kuat kepada kerajaan PR. Rakyat bukan Melayu memberikan sanjungan atas kewibawaan MB PR Perak.

    Dalam masa sebulan selepas PRU Ke-12, hampir setiap hari berita mengenai keistimewaan Dato’ Seri Hj Nizar tersiar dalam media berbahasa Tionghua. Ceramah Perdana pertama di Stadium Perak anjuran PR yang diambil inisiatif oleh PAS, sebaik sahaja terbentuk kerajaan adalah antara bukti awal sokongan rakyat kerana stadium tersebut penuh sesak dengan orangramai untuk mendengar ceramah dari pimpinan 5 kerajaan negeri di bawah PR.

  6. Kemenangan keenam, kejayaan PAS Perak mengubah ‘mindset’ (corak minda) masyarakat umum bahawa kononnya yang layak memerintah hanya UMNO-BN. Diayah seumpama ini sudah seperti diterima sebagai satu ‘khurafat’ atau kepercayaan karut yang menyelubungi pemikiran sebahagian orang Melayu khasnya di luar bandar. Akan tetapi dengan kejayaan Pakatan Rakyat yang diterajui oleh PAS berjaya memecahkan tembok kepercayaan karut itu sehingga menyebabkan suatu kejutan budaya kepada pimpinan UMNO-BN Perak. Kemenangan keenam-enam ADUN PAS yang membawa kepada enam kemenangan berikutnya menjadikan kedudukan PAS Perak begitu penting dalam membawa perubahan kepada landskap politik negara pasca PRU Ke-12.

Enam Saranan Saya

Bagi mempertahankan kemenangan 6+6 ini, saya menegaskan dalam ucapan di hadapan kira-kira 700 orang ahli dan pimpinan PAS Perak pada malam tersebut bahawa mereka mempunyai tanggungjawab dan tugas kewajipan yang besar untuk melakukan dan melaksanakan, antara lainnya:
  1. Betapa pentingnya PAS diperkasa kerana hanya dengan kekuatan PAS, segala gerak kerja parti dan kerajaan akan berhasil.

  2. Mindset ahli-ahli PAS di semua peringkat mesti berubah. Mereka mesti berfikir bahawa mereka bukan lagi sebagai pembangkang tetapi sebagai kerajaan. Justeru, mereka perlu menunjukkan sikap adil, bijaksana dan rendah diri. Mereka hendaklah berusaha menerangkan kepada rakyat berbilang kaum dan agama bahawa kerajaan baru PR adalah sebuah kerajaan yang adil saksama, beramanah, telus dan bermaruah.

  3. Ahli PAS harus memperkukuh hubungan baik dengan rakan-rakan dalam PR serta menunjukkan sikap ramah mesra dan ambil peduli akan nasib rakyat di peringkat akar umbi. Jangan harapkan kerajaan saja untuk ambil peduli nasib rakyat berbilang kaum, tetapi pendokong PAS sendiri mesti menunjukkan sikap prihatin terhadap mereka.

  4. Menerusi Program Khidmat Masyarakat wakil rakyat PAS, pendokong PAS boleh membantu memberitahu dasar kerajaan baru Perak yang sangat pro-rakyat. Wakil rakyat PAS harus sentiasa mesra rakyat, sentiasa peduli dengan nasib rakyat berbilang kaum dan agama.

  5. Program tarbiyah, mesti menekankan aspek pengukuhan pengisian kemenangan (tamkin), iaitu melaksanakan idealisme atau cita-cita kita hendak melaksanakan kerajaan yang adil, telus, berkebajikan dan beramanah, sesuai dengan manifesto PAS.

  6. Untuk memperkukuh aspek tarbiyah, usrah cawangan dan kawasan hendaklah diadakan sekerap mungkin, di samping program bulanan liqa‘ul fikri peringkat negeri diadakan.

Pada akhir program malam tersebut Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Mohd Nizar Jamaludin menyampaikan taklimatnya dengan mesej menyeru semua pihak bersama membantu menjayakan kerajaan baru Perak Darul Ridzuan.


Baca lagi...

Khamis, Mei 22, 2008

Dosa UMNO pada Ketuanan Melayu-Islam - Bhg 3 (Akhir)

Sambungan dari bahagian kedua & bahagian pertama.

Usaha UMNO Menyingkirkan PAS

Ketika berada dalam BN, PAS yang merupakan sebuah parti yang mendokong perjuangan Islam terus berusaha mengimarahkan syiar Islam ke seluruh pelusuk negara. Pelbagai program dakwah dan keagamaan bagi menyedarkan orang Melayu mengenai Islam terus dipergiat. Usaha ini memerlukan kesungguhan yang tulen memandangkan setelah lebih 20 tahun UMNO memerintah negara, usaha sebegini tidak dilakukan secara giat dan bersungguh-sungguh.

Memandangkan perjuangan PAS yang mulanya diasas dan dihidupkan dalam suasana orang-orang Melayu serta dipelopori oleh tuan-tuan guru dan ulama’, gerakan dakwah di kawasan luar bandar mudah diterima oleh rakyat khususnya orang-orang Melayu. Selama inipun sebelum PAS menyertai BN, PAS dianggap sebagai parti kampung. Malah anggapan ini tidak diendahkan sangat oleh pemimpin-pemimpin PAS kerana sememangnya orang-orang Melayu ketika itu menjiwai Islam yang dipelopori PAS.

Kibaran bendera dan slogan perjuangan PAS yang boleh dilihat di kampung-kampung, di pondok-pondok pengajian, dan di markas-markas, sememangnya suatu pemandangan yang biasa pada ketika itu. Malah setelah PAS bergabung dengan BN, orang Melayu yang dulunya UMNO tidak menganggap imej PAS yang terdapat di kampung dan surau itu sebagai sesuatu yang luarbiasa, malah mereka turut menerimanya.

Pemikiran penjajah yang masih bersarang dalam minda pemimpin-pemimpin UMNO yang ‘fobia’ dengan perkembangan Islam setelah menyaksikan orang-orang Melayu mula memahami Islam, menyebabkan pertubuhan kebangsaan Melayu itu ‘mula mencari pasal’ dengan PAS.

Dr Mahathir ketika itu yang telah dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri kepada Tun Hussein Onn adalah antara yang mengilhamkan supaya PAS dikeluarkan dari BN. Sebagaimana tradisi yang dilakukan UMNO sejak dulu, kini dan selamanya, kaedah penipuan, fitnah dan berbohong terhadap PAS perlu ‘dicipta’ bagi menghalalkan cara. Lalu PAS difitnah dengan alasan PAS mengembangkan politik di kawasan Rancangan Felda dengan menubuhkan markas-markas di kawasan tanah rancangan itu.

Mengapa UMNO memilih lokasi Rancangan Felda untuk disepadankan dengan usaha memfitnah PAS? Mengapa UMNO tidak meletakkan kawasan kampung, atau kampung baru ataupun bandar-bandar baru yang ketika itu mula tumbuh bagaikan cendawan? Jawapannya mudah. Ketika itu kerajaan sedang membuka Tanah-tanah Rancangan dan ramai orang Melayu memohonnya. Dan Felda ketika itu berada di puncak kegemilangannya di kalangan orang Melayu. Justeru alasan tersebut merupakan satu isyarat supaya orang Melayu peneroka-peneroka Felda atau mereka yang sedang memohon atau yang akan memasuki tanah-tanah rancangan itu supaya menolak PAS.

Fitnah UMNO Mematangkan PAS

Inilah juga merupakan suatu pembuktian PAS terhadap UMNO, bahawa parti Islam ini sememangnya matang dengan segala tipu daya dan tindak tanduk UMNO dalam segala hal. Dulu tindakan memfitnah dan mengaibkan mantan TPM, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) oleh Dr Mahathir sememangnya telah dijangkakan. Kenyataan Dr Mahathir selepas tidak lagi menjadi PM, berhubung tindakan memfitnah DSAI yang telah dirakam dan diketahui umum itu, membuktikan segala penipuan dan pembohongan UMNO akan terdedah oleh keajaiban kuasa Allah SWT.

Pemimpin-pemimpin UMNO tidak pernah memikirkan segala tindakan mereka itu samada haram atau halal, benar atau tidak, bermoral atau haprak, semua itu tidak penting, yang perlu ialah segala tindakan adalah untuk menghalalkan cara mereka. UMNO mengamalkan ajaran Niccolo Machiavelli: “The Ends Justify The Means”. Kita yang berada di landasan perjuangan Islam ini memang mengakui teramat sukar untuk berbincang dan berurusan dengan golongan yang sebangsa tetapi tidak berakhlak dalam berpolitik dan pemerintahannya.

Lantaran itu juga di peringkat yang membabitkan isu antarabangsa hari ini, PAS sememangnya dapat menjiwai dan merasai kegetiran perjuangan Hamas dan Hizbullah serta negara-negara Arab bila berhadapan dengan dolak dalik Israel di rantau Asia Barat.

PAS Pasca 1978

Setelah PAS keluar dari gabungan BN pada 1978, perang saraf UMNO terhadap PAS menjadi lebih hebat berbanding sebelum menyertai BN. Anda tentu boleh bayangkan bagaimana keaiban dan fitnah yang diterima oleh DSAI ketika beliau mula ditangkap dan dipenjarakan dulu. Itulah juga yang pernah diterima PAS sebelum itu. Bezanya cuma DSAI diaibkan terhadap diri dan keluarganya, tetapi PAS melibatkan pemimpin-pemimpin keahliannya yang beratus ribu orang.

Tidak cukup dengan media arus perdana yang seolah-olah meletakkan perjuangan PAS sebaris dengan ideologi perjuangan Komunis yang amat sensitif terhadap rakyat pada ketika itu, PAS tidak menduga perjuangannya untuk menyebar pengetahuan Islam kepada orang Melayu di samping mengembalikan hak orang Melayu dan Islam di landasan sebenar, telah dikhianati oleh UMNO.

Melihat keadaan di luar jangkaan itu, PAS tidak mempunyai apa-apa persediaan untuk membela diri. Media yang dikuasai sepenuhnya oleh UMNO bertindak sewenang-wenangnya menghentam PAS dari pelbagai sudut sedangkan PAS tidak diberi peluang langsung untuk membela diri. Tindakan pemimpin UMNO mahu menyingkirkan PAS telah dirancang begitu rupa dan dilakukan dengan penuh licik. PAS tidak menduga UMNO sanggup menikam saudara sebangsa dan seagamanya sedemikian cara.

Tidak ada cara yang mampu dilakukan oleh pemimpin PAS selain berusaha merapatkan silaturrahim di kalangan ahli dengan mengadakan solat-solat hajat dan memohon perlindungan dari Allah SWT. Ahli-ahli PAS disedarkan bahawa matlamat perjuangannya di dunia ini bukan untuk memiliki dunia dan seisinya, tetapi adalah untuk mencari keredhaan Allah SWT. Sejarah perjuangan Islam di mana-mana sahaja di atas muka bumi ini bukannya berfalsafahkan perjuangan di atas permaidani merah, tetapi perjuangan yang memerlukan semangat dan jati diri yang unggul dan jitu. Segala pengalaman ini bukan sekadar dijadikan sejarah tetapi dijadikan iktibar dan pengajaran sebagaimana Rasullullah SAW dan para sahabat berjuang menentang golongan taghut dan mustakbirin.

UMNO Cuba ‘Mengislamkan’ Orang Melayu

Kegilaan kuasa UMNO semakin membabi buta setelah PAS dikeluarkan dari BN. Usaha menekan PAS dimulai dengan melarang PAS menggunakan lambang bulan sabit dan bintang yang menjadi simbol perjuangan PAS sebelum ini. Alasan yang diberikan pemimpin UMNO terlalu mudah iaitu bulan bintang adalah lambang Islam tetapi PAS mempolitikkannya, dan Islam tidak harus dipolitikkan. Itulah iktikad sekular pemimpin UMNO yang diwarisi sejak dahulu dan juga hari ini. Tekanan tersebut memaksa PAS menukar lambangnya kepada bulan purnama sebagaimana sekarang.

Pemimpin UMNO tidak faham atau sengaja tidak mahu faham bahawa Islam itu Ad-Din yang lengkap dan melengkapkan dalam semua displin kehidupan baik bidang ekonomi, sosial, politik, budaya dan segalanya. Inilah juga antara sebab mengapa UMNO mahukan rakyat buta terhadap Islam kerana mudah diperbodoh oleh pemimpin mereka yang tidak pernah senang dengan perjuangan Islam.

Setelah PAS disingkirkan dengan fitnah PAS kononnya mempolitikkan Islam, UMNO memulakan misi bagi mendakyahkan kepada orang Melayu dan rakyat bahawa kerajaan pimpinan mereka sedang merangka agenda Islam yang baru. Agenda Islam tajaan UMNO ini dianggap tindakan bagi membersihkan ‘kekotoran’ yang dilakukan PAS terhadap Islam sebelum ini.

Walaupun PAS berada di luar gelanggang pada ketika itu, namun usaha UMNO menubuhkan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama yang berkonsepkan 60 peratus pendidikan agama dan 40 peratus akademik disambut gembira oleh PAS. Kemasukan murid yang mencapai kecemerlangan 5A di peringkat Peperiksaan Penilaian Darjah 6 Sekolah Rendah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama ini dianggap sesuatu yang wajar dan baik.

Namun setelah beberapa tahun, dengan takdir Allah SWT, berdasarkan pemantauan yang dibuat oleh pihak UMNO mendapati pelajar-pelajar Melayu-Islam yang bijak dan pintar ini setelah tamat persekolah dan pendidikan di dalam dan luar negara, mereka menyokong parti Islam yang didokong PAS. Pelbagai ancaman seperti menarik dan menyekat biasiswa kepada pelajar-pelajar ini bagi memadamkan igauan ngeri UMNO selama ini. Manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Agama sekarang kurikulumnya telah ditukar kepada 60 peratus akademik dan 40 peratus pendidikan agama. Inilah ‘perjuangan’ Islam-UMNO.

Manakala di universiti dan pusat-pusat pengajian tinggi tempatan juga didapati Majlis-majlis Perwakilan Pelajar banyak dikuasai oleh pelajar yang pro Islam. Gerakan kebangkitan Islam menyebabkan limpahan dan arus deras berlaku di sana sini sehingga tidak mampu lagi ditangani UMNO.

Lalu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) ‘diperkemaskan’. AUKU dijadikan penjara untuk memenjara pemikiran dan minda para pelajar. UMNO menerusi Puteri dan Puteranya mendekati pelajar-pelajar ini dengan sebebas-bebasnya, manakala pembangkang dianggap sebagai cuba mengganggu pemikiran pelajar untuk berpolitik sehingga meminggirkan pelajaran.

Terlalu banyak untuk dibariskan ‘dosa’ UMNO pada ketuanan Melayu-Islam. Pelbagai tekanan yang diberikan kepada orang Melayu oleh UMNO kepada rakyat Kelantan yang majoritinya lebih 95 peratus adalah orang Melayu. Hampir 20 tahun juga negeri ‘Serambi Mekah’ itu dinafikan hak mereka sebagai rakyat, orang Melayu dan orang Islam. Kini di Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang yang mana terdapat orang Melayu samada ramai atau sedikit sedang cuba ‘didera’ oleh golongan yang mendakwa mereka adalah pembela ketuanan Melayu.

Lebih zalim lagi, apabila UMNO merelakan tahanan tanpa bicara ke atas rakyat yang tidak berdosa melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Walhal Islam melarang keras tindakan tanpa peri kemanusiaan yang sanggup dilakukan oleh UMNO terhadap rakyat dan orang Melayu. Lantaran perjuangan UMNO yang tidak berteraskan Islam, maka segala yang dilakukan tidak langsung berkiblat kepada Islam. Mereka lebih bermegah dengan perundangan penjajah yang telah diturunkan oleh ‘uncle-uncle’ mereka dahulu.

Jangan biarkan rakyat ‘mencarut’ dengan sebab tindakan orang Melayu yang mengkhianati bangsa dan agama sendiri. Wahai saudara-saudaraku dalam UMNO, renungkanlah dengan mata hati dan bukannya dengan mata kati. Pulanglah ke pangkal jalan dan jadikan Islam sebagai teras dan pakaian, serta Melayu sebagai tubuhnya. Cukuplah dengan segala tipu muslihat kepada rakyat dan orang Melayu-Islam. Biarlah kami orang-orang PAS yang menjadi lilin yang dibakar dengan penipuan dan fitnah yang sudah-sudah, tetapi biarlah generasi Melayu-Islam hari ini serta rakyat keseluruhannya diberi peluang menikmati kemurnian ketuanan Melayu-Islam yang hakiki.

Cukup, cukup dan cukuplah, tak perlu sebenarnya menceritakan keaiban dan dosa orang lain untuk pengetahuan umum. Namun sebagai iktibar dan pengajaran, sejarah perlu dirungkai bagi melihat kebenaran di sebalik dosa yang terpalit di badan.

Wallahu a’lam.


Baca lagi...

Selasa, Mei 20, 2008

Mahathir ‘Test Power’ di Saat ‘Last Kopek’?

Siapa tak terkejut bila bekas Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri yang menerajui kepimpinan Negara selama 22 tahun tiba-tiba membuat pengumuman keluar dari UMNO. Sekali lagi tarikh di saat penganut Buddha merayakan hari Wesak, tanggal 19 Mei 2008 akan menjadi satu sejarah kepada UMNO dan negara. Inilah antara bahana bila UMNO kalah dalam pilihanraya.

Yang tersurat, Dr Mahathir membuat kenyataan media bahawa tindakan keluar parti itu merupakan antara protes paling kronik beliau terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Abdullah Badawi. Laporan media menyebut Dr M akan terus berada di luar UMNO selagi Abdullah menjadi presiden parti dan akan kembali ke dalam UMNO sekiranya Abdullah turun dari memegang jawatan Presiden UMNO.

Dr M turut mengheret pembangkang yang menurut perkiraan beliau begitu selesa dengan kedudukan Abdullah yang lemah kerana akan menguntungkan pembangkang. Jelas Dr M ini disebabkan dengan kelemahan Abdullah, pembangkang berjaya menafikan majoriti 2/3 kerusi Parlimen dari wakil kerajaan dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-12 lalu.

Dari maklum balas berhubung tindakan Dr M itu, Abdullah menyatakan beliau tidak akan berundur kerana masih ada banyak perkara yang beliau perlu lakukan. Abdullah juga menyatakan bahawa beliau tahu apabila Dr M membuat sesuatu tindakan, beliau akan lakukan tanpa memperdulikan apa orang lain kata. Saya bersetuju dengan pendapat Abdullah itu kerana pengalaman bekerja di bawah Dr M, saya kenal sangat dengan sikap ego beliau itu.

Inilah antara senario tendang terajang paling kemuncak yang berlaku dalam UMNO sejurus ‘kalah’ dalam PRU lalu bila mana 2 pemimpin tertinggi yang pernah menerajui parti itu ‘berlaga.’. Dalam falsafah politik situasi pergeseran kali ini dilihat paling serius dan paling merbahaya kepada survival politik UMNO. Walaupun insiden keluar parti di kalangan pemimpin tertinggi UMNO pernah dibuat oleh pengasas UMNO, Dato’ Onn Jaafar namun senario kali ini berbeza dari era sebelum kemerdekaan dahulu.

Dulu, ketika era Dato’ Onn, sentimen kemerdekaan dan penjajah menjadi latar belakang dan pengimbang kepada kemelut tersebut. Walaupun Dato’ Onn keluar dari UMNO namun ahli UMNO masih percayakan kepada kepimpinan baru. Namun kali ini melibatkan pemimpin paling berkalibar dan antara bekas pemimpin yang dihormati di mata dunia memprotes pemimpin baru yang sememangnya lemah malah ahli UMNO sendiri sedang berusaha menyingkirkannya.

Dan keduanya pergolakan kali ini melibatkan krisis keyakinan dan kredibiliti antara pemimpin terdahulu dan pemimpin hari ini dan UMNO sedang berada di saat paling lemah.

Persoalannya mengapa Dr M tidak mahu menyerahkan secara total hal pentadbiran kepada Abdullah dan membiarkan Abdullah tanpa diganggu. Apakah Dr M tidak menyedari realiti ‘lain padang lain belalang’? Kalau benar Dr M sayangkan UMNO mengapa beliau bertindak senekad itu dengan membakar kelambu?

Saya rasa inilah persoalan asas yang memerlukan input bagi memperjelas berhubung apa yang tersirat di sebalik tindakan Dr M itu. Kami dari PAS dan pembangkang sememangnya tidak akan termakan sumpah berhubung tindakan Dr M ini. Bagi kami apa yang tersurat dalam kenyataan Dr M yang kini diwarisi oleh pemimpin-pemimpin UMNO ialah kenyataan yang berupa kenyataan bagi menghalalkan cara. Namun kami cukup bersedia bertindak memintas dan setiap siratan yang tercetus dari hati yang tersirat itu.

Secara terus terang saya melihat tindakan Dr M itu adalah tindakan terakhir beliau untuk melihat pengaruh beliau dalam UMNO dan di kalangan orang Melayu. Kenyataan beliau dalam media yang menyelitkan kekesalan beliau berhubung sikap orang-orang UMNO dulunya sanggup mencium tangannya ketika beliau menjadi PM tetapi sekarang bersikap tidak lagi menghormatinya adalah antara bukti saya berkata demikian.

Dr M terkenal sebagai seorang yang pintar memilih situasi untuk diambil kesempatan. Kepintaran ini biasanya ‘diaktifkan’ lagi dengan suatu tekanan yang memaksa beliau bertindak secara nekad. Kenekadan ini diistilahkan beliau sebagai satu tindakan berani yang harus diambil untuk menyelamatkan UMNO dari terus lemah.

Kalau dulu ketika beliau masih berkuasa beliau akan gunakan apa sahaja yang difikirkan boleh menyelamatkan keadaan untuk diambil tindakan. Isu tindakan memfitnah bekas timbalan beliau, Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah antara rentetan tindakan yang dibuat Dr M tanpa melihatnya melalui kanta etika, moral dan peri kemanusiaan. Ini semua tidak ada dalam diari kepimpinan beliau dan seperti kata Abdullah, Dr M tidak peduli itu semua.

Namun sekarang Dr M tidak lagi berkuasa, lebih malang lagi apabila Abdullah tidak pernah mengindahkan pandangan beliau. Beliau tersisih dan ditempatkan di sebuah yayasan ‘rumah orang-orang tua’ di hujung pelusuk di Putrajaya.

Dr M sekarang merasakan dirinya terancam. Bermula dengan pembebasan Anwar Ibrahim kini isu pemecatan bekas-bekas hakim, isu Video Linggam, isu ketuanan Melayu dan raja-raja, isu Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dan beberapa lagi isu yang dianggap sengaja dilakukan Abdullah untuk memerangkap beliau sedang mula dihidupkan Abdullah.

Sekiranya beliau tidak bertindak segera maka lebih banyak lagi perangkap yang akan dimuntahkan Abdullah dan akan menjadi pengetahuan umum. Justeru Abdullah perlu di‘luputkan’ dari penjajahan minda dalam diri Dr M.

Hidup atau matinya watak Abdullah dalam kerjaya politik Dr M dilihat segalanya tidak memihak kepada dirinya. Andai dibiarkan Abdullah yang lemah ini akan menyebabkan pembangkang bersama Anwar Ibrahim menguasai negara. Melihat Anwar menjadi PM adalah penglihatan yang dianggap ‘amat menjijikkan dalam sejarah pemandangan’ Dr M selain mimpi ngeri yang akan menanti. Anwar memaafkan atau membalas dendam terhadap apa yang telah dilakukan ke atasnya dulu, tidak membawa apa-apa erti lagi kerana ia bermaksud Dr M adalah lemah, kalah dan tewas. Sedang itu semua tidak pernah wujud dalam kamus hidup Dr M.

Nak harapkan Najib yang dianggapnya penakut dan selalu ‘play safe’ itu untuk lawan Abdullah, jangan haraplah. Najib dibesarkan dengan pinggan emas, mana ada darah kepahlawanan macam Hang Jebat. Mahyuddin ‘boleh tahan’ tapi hangat-hangat tahi ayam dan mudah ikut arus, retorik pun boleh tahan juga. Jadi tidak ada hulubalang yang berdarah panglima yang memihak pada Dr M. Dulu nampak ramai tapi bila beliau dah turun takhta semuanya belot sebab nak bolot jawatan dan harta. Sekarang terkial-kial bersendirian.

Namun Dr M tentu sahaja telah menduga kesan tindakan yang akan berlaku pada UMNO dan diri beliau sendiri berhubung tindakan keluar parti yang diumumkan ini. Beliau tidak bimbang tentang sejarah kemahsyuran beliau ketika memerintah negara kerana semua ‘tugu-tugu’ yang terbina ketika beliau memerintah tercegat di depan mata dan rakyat serta seluruh dunia pun tahu.

Dalam soal keluarga pula mungkin anaknya Mukhriz agak sukar untuk menang kalau bertanding Ketua Pemuda. Ini pula akan membuka laluan menantu Abdullah, Khairi Jamaluddin menang mudah. Shaziman Mansur pula yang juga sepupu Khairi boleh berlakon pelbagai watak untuk memenangkan Khairi. Lagi pun Shaziman cepat naik jadi menteri pun dek kerana Khairi yang memberi jalan pada Abdullah. Takkan Shaziman nak tikam belakang Khairi.

Calon lain dalam pemuda memang tak nampak nak sekat Khairi kalau Hishamuddin tak pertahan. Hishamuddin pun seorang pemimipin yang penakut macam sepupunya Najib juga.

Kesan dalaman parti mungkin ada dan mungkin tidak berapa jelas. Justeru ini yang memerlukan penilaian. Tindakan beliau mengalih tumpuan media berhubung isu keluar dari UMNO ini sememangnya dijangkakan hangat dan memeranjatkan banyak pihak termasuk Abdullah.

Dr M berharap tindakan ini akan menyebabkan rakyat menekan Abdullah melepaskan jawatan. Bila Abdullah melepas jawatan, beliau berjaya ‘mematikan’ usaha Abdullah memerangkap beliau dengan pelbagai isu yang boleh mengaibkan beliau. Najib sekiranya terpilih menggantikan Abdullah adalah anak didik Dr M yang sama-sama berkongsi ‘saham’ menginggeriskan Sains dan Matematik 5 tahun lalu. Pada masa dilaksanakan dua subjek itu dalam Bahasa Inggeris, Najib adalah Menteri Pelajaran.

Mungkin apa yang diharapkan Dr M juga sekiranya Najib naik menggantikan Abdullah, Najib perlu bertindak menghapuskan pengaruh Pakatan Rakyat (PR) terutamanya Anwar Ibrahim. Jangan sampai Anwar berjaya ‘memujuk’ ahli-ahli parlimen BN menyertai PR dan seterusnya berjaya membentuk kerajaan. Ini paling bahaya.

Secara ‘reverse’nya pula tindakan Dr M keluar parti ini akan merangsang lebih ramai ahli UMNO meninggalkan parti itu dan menyertai pembangkang. Atau pun boleh merangsang dan mempercepat lebih ramai ahli-ahli Parlimen BN berpaling tadah dan menyertai PR. Andai ini perkiraan Dr M maka jelaslah bahawa isu-isu yang sedang didedahkan Abdullah untuk memerangkap beliau menjadi faktor utama beliau mengambil tindakan keluar parti.

Namun dalam hal ini Dr M boleh menggunakan plan ‘B’ dengan menyertai mana-mana parti pembangkang atau komponen lain BN selain UMNO seperti Gerakan yang mula membuka keahlian kepada orang Melayu. Lagi pun masih ramai orang Cina yang menyokong beliau.

Menyertai PAS juga dilihat sebagai mesej peralihan paradigma pemikiran beliau kepada orang Islam. Ia juga boleh ditafsirkan sebagai isyarat memohon maaf atas pelbagai tohmahan yang dilempar kepada PAS sebelum ini. Lagi pun orang PAS mudah memaafkan orang. Apa lagi penyertaan beliau yang tentunya akan memberi imej baru kepada PAS. Lagi pun bila DR M ada dalam PAS, Anwar tidak akan lagi bermusuh dengan beliau kerana PAS ada dalam PR.

Kini selepas mengisytihar keluar parti, Dr M akan menjadi pemerhati dan penilai akan ‘power’ yang masih berbaki pada diri dan pengaruh beliau, baik di kalangan pemimpin UMNO maupun komponen dalam BN. Beliau juga sedia maklum pihak pembangkang akan mula mendekati beliau untuk menyertai mereka dan ini akan menjadikan Abdullah semakin tertekan.

Dalam keadaan ‘last kopek’ kerjaya politik Dr M ini usaha Abdullah untuk melenyapkan kemasyuran beliau di mata rakyat telah menjadikan Abdullah sebagai musuh nombor satu. Bersama UMNO atau tidak bukan lagi pertimbangan beliau bila berhadapan dengan musuh. Inilah Dr M yang saya kenal.

Secara peribadi saya meragui Dr M adalah seorang patriotik sejati pada parti dan orang Melayu kerana seorang pejuang tulen tidak akan membakar kelambunya disebabkan marahkan nyamuk. Justeru apabila sanggup keluar parti tentunya sanggup pula pergi ke parti lain atau menubuhkan parti baru. Namun usia lanjut Dr M mungkin tidak mendorongkan beliau menubuhkan parti baru, walaupun tidak mustahil. Apatah lagi Dr M seorang yang tinggi retorik politik dan bijak berhelah untuk menghalalkan cara. Dan satu perkara yang saya hanya percaya pada Dr M ialah beliau memang amat setia pada isterinya, Dr Siti Hasmah.

Selaku seorang Naib Presiden PAS, saya mengucapkan tahniah kepada Dr M kerana baru sedar bahawa UMNO telah terlalu jauh hanyut oleh arus kesombongan dan sedang menghampiri temboknya. Saya juga mengalu-alukan Dr M untuk bersama-sama PAS untuk membina Malaysia yang berkebajikan lagi diredhai Allah.


Baca lagi...

Sabtu, Mei 17, 2008

Dosa UMNO pada Ketuanan Melayu-Islam - Bhg 2

Sambungan dari bahagian pertama.

Tidak ada gahnya bila UMNO memperkatakan tentang kehebatan nasionalisme yang menjadi tunggak perjuangan mereka lahir dari iltizam dan inspirasi orang Melayu-Islam di negara ini. Ia sebenarnya tersasar jauh dari dasar perjuangan UMNO yang dilaungkan ketika menuntut kemerdekaan dahulu. Sedangkan hakikatnya Islam hanyalah dijadikan topeng yang digunakan untuk menarik simpati orang Melayu menyokong perjuangan yang berteraskan nasionalisme itu.

Ini disebabkan pembuktian sejarah hari ini menunjukkan kekuatan, kehebatan dan ketamadunan Melayu itu sebenarnya terjelma kerana wujudnya kecemerlangan Islam. Tetapi kehebatan, keagungan dan kecemerlangan Islam bukan disebabkan oleh ketamadunan Melayu. Dan Melayu hanya menumpang kehebatannya dengan berpaut pada ketamadunan dan kegemilangan Islam.

Inilah yang cuba diseleweng oleh para tukang karut ketika mendendangkan dikir barat mereka dalam pentas-pentas perbincangan yang membabitkan isu ketuanan dan penyatuan Melayu.

Para tukang karut ini begitu ghairah membaitkan pelbagai rangkap yang membayangkan perjuangan UMNO selama ini berteraskan idealisme perjuangan Islam yang tidak mungkin terpisah dari prinsip perjuangan orang Melayu. Maka para pendendang di belakang tukang karut pula mengiakannya dengan lenggang lenggok badan sambil merungkap bahawa tanpa Melayu di negara ini maka Islam tidak akan dilihat cemerlang. Justeru semua hamba rakyat harus bersatu di belakang UMNO demi mengembalikan kegemilangan Islam dan kesejahteraan orang Melayu di negara ini.

UMNO dan pemimpin mereka sering lupa bahawa laungan ini akan terus bergema apabila UMNO kalah dalam Pilihanraya Umum. Tetapi apabila mereka menang, mereka sombong, alpa dan mabuk dengan kekuasaan yang mereka perolehi dari rakyat. Mereka lupa bahawa setiap detik dan saat orang-orang Melayu sedang menunggu dan menuntut hari demi hari hak mereka sebagai seorang Melayu dan seorang Islam.

Orang Melayu sentiasa mengharapkan supaya hak Melayu terus terpelihara dan dihormati, bukannya hak orang Melayu dicerobohi oleh kerakusan tangan pemimpin-pemimpin UMNO. Hak keistimewaan orang Melayu yang menjadi teras kepada milikan orang Melayu harus dipertahan dan bukannya diceroboh oleh ketamakan kuasa yang berkepentingan. Tanah-tanah rezab Melayu di kawasan bandar hampir semuanya telah hilang akibat tergadai di atas pujukan pembangunan.

Manakala dalam kontek Islamnya pula orang Melayu sering berharap dan berdoa supaya kesucian dan hak Islam terus diperjuangkan. Bukannya dilabel dengan jenama baru seperti Islam Hadhari yang masih belum difahami oleh 9,999 dari 10,000 orang Melayu dan rakyat Malaysia hari ini. Islam hanya akan dinobatkan sebagai Islam apabila Islam diguna pakai sebagai Ad-Din dalam sistem kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Penjajah Inggeris berjaya memperdaya pemimpin UMNO supaya mengguna pakai perlembagaan persekutuan dan memaksa hamba rakyat jelata yang terdiri dari orang Melayu yang beragama Islam menerimanya sebagai perlembagaan negara yang berteraskan Islam.

Tindakan ‘membodohkan’ rakyat sebagaimana digunakan penjajah untuk memperbodoh pemimpin UMNO sejak awal merdeka dahulu cuba dibawa kepada rakyat. Pemimpin mereka mendabik dada dengan negara Islam jelmaan penjajah yang kini diwarisi dalam perjuangan mereka.

Kini lebih 50 tahun rakyat disajikan dengan Islam yang dijelmakan seperti pokok yang telah dibonsaikan untuk dijadikan hiasan taman.

Dalam menyahut misi orang Melayu untuk menempatkan Islam di landasan sebenar selepas negara mencapai kemerdekaan, Parti Islam SeMalaysia (PAS) cuba mengisi pelbagai kesempatan supaya Islam tidak terhapus dari roh dan jiwa orang Melayu.

Walaupun pelbagai halangan, rintangan dan cubaan menghalang dari pemerintah negara yang ditunjangi UMNO namun usaha menghidupkan institusi-institusi pondok, madrasah dan kuliah-kuliah pengajian agama terus dikembangkan baik di surau maupun di masjid. Ketika itu, inilah peluang yang ada untuk mentarbiahkan Islam kepada orang Melayu terutamanya di kampung-kampung dan di kawasan pendalaman. Ramai juga tuan-tuan guru dan ustaz-ustaz yang difitnah dengan pelbagai dakwaan di mahkamah dan dipenjarakan kerana didakwa seperti pembawa ajaran sesat, pertubuhan tidak sah, ceramah yang menjejas ketenteraman awam dan pelbagai tohmahan lagi bagi menghalalkan cara. Malah pemakaian perkataan Islam bagi parti PAS berkali-kali mereka cuba mengharamkannya.

Semua ini tidak melemahkan usaha mengembangkan Islam. PAS terus beristiqamah dalam perjuangan mempertahankan kesucian Islam di kalangan orang Melayu. Kemabukan kuasa di kalangan pemimpin UMNO dan Perikatan yang baru sahaja diberi hak mentadbir negara selepas mencapai kemerdekaan telah meletakkan PAS sebagai musuh yang dilihat akan memusnahkan impian mereka mentadbir Tanah Melayu.

PAS tidak diberi ruang untuk menyatakan hasrat rakyat bagi membela agama Islam yang merupakan sejarah asas kekuatan orang Melayu di negara ini. Sebaliknya PAS ditekan dari pelbagai sudut. Pelbagai gelaran seperti parti kolot, parti kampung, parti pak lebai dan pelbagai lagi label diberikan bertujuan memperlekeh orang Melayu mendekati PAS.

Dalam kontek politik pula, tekanan dan pelbagai gelaran ini telah berjaya meletakkan PAS sinonim dengan perjuangan Islam dalam semua displin walaupun ia dianggap ‘lekeh’ oleh UMNO. Namun di hati orang Melayu ketika itu PAS dan Islam telah membawa imej yang jelas di hati rakyat sebagai sebuah gerakan Islam. Orang PAS dan orang yang menyokong PAS dianggap pejuang Islam.

Takkala pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO ketika itu sibuk berurusan membuat pertaruhan di kelab-kelab lumba kuda yang mula diwujudkan hampir di setiap bandar-bandar besar, kami di kalangan pemimpin dan ahli PAS sibuk mengatur anak-anak bangsa untuk menghadiri pengajian Al-Quran terutamanya di rumah-rumah tuan guru atau para ustaz. Sebelum maghrib menjelang, berduyun-duyun kumpulan kanak-kanak bergerak menuju ke rumah guru Al-Quran masing-masing untuk belajar mengaji. Di sinilah anak-anak ini selain diajar mengaji Al-Quran juga diajar bersembahyang berjemaah bersama guru dan ustaz masing-masing. Kini secara sistematik di peringkat pendidikan pra-sekolah di seluruh negara diwujudkan PASTI, iaitu Pusat Asuhan Tunas Islam di bawah kegiatan Dewan Pemuda PAS.

Semua pengorbanan yang tidak diminta balasan dan imbuhan ini dilakukan demi memastikan generasi pelapis Melayu tidak terpupus dari nur kesucian Islam. Dalam masa yang sama, PAS terus ditekan dan difitnah kononnya cuba meracuni pemikiran rakyat serta mempengaruhi rakyat membenci pemerintahan Gabungan Perikatan. Rakyat ditakut-takutkan dengan ancaman bahawa penjajah akan datang kembali sekiranya PAS diberi sokongan oleh orang Melayu. Malah ada pelbagai cubaan yang cuba mengkaitkan PAS dengan Pengganas Komunis namun gagal kerana perjuangan suci PAS sentiasa dilindungi Allah. Alhamdulillah, semua itu tidak melemahkan PAS untuk memartabatkan kesucian Islam kepada orang-orang Melayu.

Sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang tidak pernah lekang dari fitnah dan tekanan dari musuh-musuh Islam menjadi idola para pemimpin dan ahli-ahli PAS ketika itu. Laungan dan gema “TAKBIR! ALLAH HUAKBAR, ALLAH HU AKBAR, ALLAH HU AKBAR!” dijadikan penawar dan pendorong semangat ahli PAS bagi mengubat kedukaan hati melihat usaha untuk melemahkan PAS datang dari pelbagai sudut. Berkat cahaya Islam yang mengalir dalam tubuh kami ahli PAS, kami tidak pernah gentar malah segala tekanan yang diterima hampir setiap detik menjadikan kami lebih kuat, teguh dan kental dalam menempuh perjuangan memartabatkan Islam yang suci.

Tragedi berdarah 13 Mei 1969, walaupun berlaku insiden pertumpahan darah akibat perbezaan jurang ekonomi antara kaum namun UMNO merupakan suatu sinar yang membawa kepada kesedaran di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO. Kealpaan kepimpinan UMNO ketika usaha pengisian selepas kemerdekaan dilihat gagal memenuhi inspirasi orang Melayu secara mutlak. Pengabaian dalam meletakkan status quo kepada kaum-kaum tertentu mendominasi sektor ekonomi telah meletakkan negara dilanda krisis pergesaran kaum.

‘Keinsafan’ yang sedikit ini telah menyebabkan UMNO menjemput PAS menyertai kerajaan campuran dengan Perikatan pada 1970. PAS pula melihat sinar baru mula bertunas setelah Tun Abdul Razak menerajui kepimpinan negara setelah Tunku Abdul Rahman berundur akibat rasa bertanggungjawab ekoran kekalahan teruk Perikatan pada pilihanraya umum 1969 yang membawa kepada tragedi hitam itu.

Setelah berada dalam perjuangan yang amat perit dan panjang yang bermula di era penjajah dan kemudiannya semasa era selepas kemerdekaan yang dipimpin UMNO dan Perikatan, PAS merasakan jemputan Tun Abdul Razak merupakan peluang terbaik untuk meneruskan usaha dakwah dan memartabatkan Islam di negara ini. Tragedi 13 Mei yang baru berlalu yang membuktikan UMNO dan Perikatan dilihat gagal membela hak dan kepentingan orang Melayu dan orang Islam.

Sejarah perjuangan PAS membela kesucian Islam selama ini terutamanya di kalangan orang Melayu telah mencetuskan inspirasi baru kepada PAS bahawa kekuatan dan perpaduan orang Melayu hanya akan wujud dan teguh sekiranya ia disertakan dengan kekuatan Islam secara menyeluruh. Ini sekali gus membuktikan undang-undang penjajah yang diguna pakai selama ini dalam perlembagaan persekutuan gagal menjamin keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara.

Ketika PAS menyertai kerajaan campuran dengan Perikatan yang kemudiannya membentuk Barisan Nasional, beberapa jabatan dan agensi yang melibatkan kepentingan Islam mula dibentuk. Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Barat yang ditubuhkan semenjak zaman Tunku Abdul Rahman diperkasakan dengan penubuhan Bahagian Agama di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang berperanan untuk mempertingkatkan dakwah dan penyelidikan Islam serta menyelaraskan pentadbiran Islam di seluruh negara. Bahagian Agama tersebut dahulunya lebih terkenal dengan nama Pusat Islam yang kini dikenali dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau JAKIM. Di bawah pentadbiran Bahagian Agama JPM ketika itu, saya dilantik sebagai Pengarah pertama Institut Dakwah dan Latihan Islam. Melalui program latihan dakwah dan pelbagai kursus kefahaman Islam pada pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan dan agensi-agensinya, Islam sebagai Ad-Din yang syumul mula difahami oleh masyarakat. Di peringkat pengajian tinggi, para pelajar aktif melaksanakan kegiatan dakwah dan fenomena penghayatan Islam semakin menonjol di dalam kehidupan di kampus. Dalam pemilihan kepimpinan majlis pelajar, golongan pro-Islam sering diberi mandat menerajui kepimpinan.

Manakala di dalam bidang penyelidikan, di bawah pentadbiran Bahagian Agama ketika itu, ditubuhkan Jawatankuasa Peringkat Kebangsaan mengenai Halal-Haram bahan makanan dan gunaan orang Islam. Jawatankuasa ini dianggotai oleh wakil-wakil dari Kementerian Perdagangan, Kementerian Kerajaan Tempatan, Jabatan Haiwan, pusat pengajian tinggi dan pakar-pakar pelbagai bidang penyelidikan. Semasa saya mengetuai pusat penyelidikan ini dan sekaligus menjadi Pengerusi Jawatankuasa berkenaan, sering dibuat pemeriksaan memantau kilang-kilang pengusaha makanan/minuman, restoran-restoran di hotel-hotel yang menggunakan label halal. Penguatkuasaan undang-undang melalui Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan menyebabkan mereka yang menyalahgunakan penggunaan label halal sentiasa diambil tindakan.

Ketika PAS menyertai BN, beberapa usaha bagi memartabatkan Islam di peringkat nasional juga dapat dilakukan seperti menggantikan lambang palang merah pada hospital dengan logo bulan sabit, iklan arak melalui TV dihapuskan, azan disiarkan melalui radio dan TV. Selain itu ditubuhkan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) untuk menyelaras dan mempergiat dakwah di kalangan rakyat.

Selepas kematian Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri, dengan Dr Mahathir menjadi timbalannya, banyak usaha-usaha pencapaian untuk kebaikan Islam dan orang Melayu hasil peranan PAS dilihat sebagai ancaman terhadap UMNO. Maka untuk mempertahankan survival politik UMNO yang bertunjangkan sokongan orang Melayu yang bersifat nasionalisme semata-mata, PAS dikeluarkan dari BN pada 1978.

Saya sendiri yang telah mendapat dokongan para pegawai kerajaan di beberapa jabatan dan institusi berjaya melaksanakan program besar gerakan dakwah melalui Bulan Dakwah yang melibatkan seluruh jabatan-jabatan kerajaan termasuk Polis Di Raja Malaysia dan Angkatan Tentera. Penceramah-penceramah bagi pelaksanaan Bulan Dakwah tersebut sebahagian besarnya terdiri daripada tokoh-tokoh PAS. Akibatnya beberapa bulan selepas itu, saya pun dipindahkan ke Kementerian Pelajaran dengan notis 24 jam. Setiausaha Bahagian Agama (kemudiannya dipanggil Ketua Pengarah Bahagian) ditukarkan sebulan lebih awal sebelum saya.

Bersambung dalam bahagian kedua.


Baca lagi...

Rabu, Mei 14, 2008

Dosa UMNO pada Ketuanan Melayu-Islam - Bhg 1

ASAL USUL MELAYU-ISLAM

Dua hal yang ditafsir sama oleh banyak pihak tapi sebenarnya tidak sekata, iaitu Islam dan Melayu. ISLAM adalah Ad-Din yang bersifat sejagat atau syumul. Islam tidak didominasi oleh sesuatu kaum walaupun Islam diturunkan kepada Nabi Mumammad SAW dari kaum Arab Quraisy. Bangsa Arab atau kaum Quraisy juga tidak menyempit Islam sebagai satu penguasaan hakiki di kalangan mereka, wal hal dalam kontek sejarah, mereka tidak dipersalahkan sekiranya meletakkan kaum mereka di status demikian. Hakikatnya Islam telah dianuti pelbagai suku bangsa, pelbagai budaya dan pelbagai adat resam tanpa sempadan benuanya.

MELAYU pula merupakan satu rumpun kaum yang secara sejarahnya dikatakan kaum yang menetap di rantau nusantara ini sejak lebih 25 ribu tahun lalu. Arkeologi Lembah Bujang yang menghubungkan Negeri Lindungan Kedah Tua di era Kerajaan Langkasuka dan Serivijaya serta Kota Tampan di Lenggong pula membuktikan sejarah di penempatan di lokasi tersebut dikuasai pengaruh agama Hindu dan Buddha sebegitu lama. Disebabkan catatan sejarahnya amat kabur, tidak banyak bukti ilmiah yang menerangkannya. Namun orang Melayu Jawa yang beragama Hindu yang kemudiannya membentuk komuniti mereka berpindah ke Bali membuktikan sejarahnya bahawa terdapat orang Melayu yang beragama Hindu. Begitu juga di Sabah dan Filipina yang terdiri dari orang yang berasal dari keturunan Melayu yang beragama Kristian dan lain-lain agama.

Dalam konteks Malaysia, Melayu dan Islam adalah satu pengsebatian yang dibuktikan oleh sejarah terkemudian. Kerajaan Melayu Melaka, Acheh, Pasai, dan Patani. Di nusantara ini telah mengalami satu perubahan sejarah yang mengkagumkan. Perkembangan Islam dalam dunia Melayu di nusantara mencorak dimensi baru ke atas pola peradaban Melayu hingga ke saat ini. Ia bermula dari era perdagangan laut dunia ketika zaman awal perkembangan Islam.

Walaupun agama kristian lebih awal diturun dan tersebar berbanding Islam tetapi era kegelapan di Eropah menyebabkan agama tersebut tidak dapat dikembangkan secara menyeluruh di seluruh dunia. Sebaliknya era kegemilangan Islam dan penemuan dunia perniagaan yang menggunakan jalan laut di zaman para sahabat menyebabkan Islam mudah tersebar dan berkembang khususnya di alam dunia melayu yang kaya dengan bahan mentah dan rempah ratus.

KEDATANGAN ISLAM KE TANAH MELAYU

Di Tanah Melayu penyebaran agama Islam amat unik. Ia berlaku tanpa sebarang pertumpahan darah. Kemasukan Islam di Tanah Melayu bermula selepas Parameswara Raja Melaka memeluk Islam dalam abad ke 15. Pengislaman Parameswara tidak mempunyai hubung kait dengan kekayaan yang dimiliki oleh pedagang-pedagang Islam yang berurusan di Melaka. Malah ketika itu pedagang dari India, China dan Eropah juga turut berurusan di perairan Melaka.

Cuba anda bayangkan bagaimana usaha dakwah yang dilakukan oleh mubaligh Islam ketika itu untuk mengislamkan seorang raja yang berkuasa dan berpengaruh. Menukar agama bukan semudah penukaran barang dagangan atau pakaian sutera yang tersarung di badan. Penukaran agama lama kepada agama baru melibatkan pengorbanan ke arah pengabdian spiritual dan fizikal yang amat berat dan sukar. Namun pendakwah-pendakwah Islam yang datang dari Arab, Parsi, India dan China ketika itu berjaya mengislamamkan raja Melaka. Rahsia pengislaman Parameswara adalah dikaitkan dengan keindahan akhlak yang ditunjukkan oleh orang-orang Islam ketika berurusan di pelabuhan Melaka. Amanah, berbudi pekerti, menepati janji serta bersopan santun sebagaimana yang dianjurkan Islam dipratik secara zahir dan batin oleh pedagang-pedagang Islam ketika itu.

Dikisahkan sebelum Parameswara memeluk Islam, pada suatu hari, baginda telah melihat perlakuan sekumpulan pedagang-pedagang Islam yang sedang sembahyang berjamaah. Baginda kagum melihat mereka yang bersembahyang itu kerana terdiri dari pelbagai bangsa seperti Arab, Parsi, India dan China melakukan perlakuan yang sama dengan diketuai oleh seorang imam.

Selepas tamat bersembahyang mereka berjabat salam tanpa membezakan negara yang mereka datang serta warna kulit yang mereka miliki. Mereka juga saling berpelukan dan beramah mesra bagaikan bersaudara sedangkan mereka baru pertama kali bertemu.

Raja Parameswara bertanya kepada pembesar dan hulubalang-hulubalang yang mengiringi beliau, “Pernahkah kamu berurus dagang dengan mereka?”

Shahbandar yang turut mengiringi baginda berkata, “Amat mudah apabila berurusan dengan mereka, mereka sentiasa beramah mesra dan tidak menipu, apabila berjanji mereka tepati, apabila berhutang mereka tidak mengenakan bayaran yang tinggi dan mereka juga murah hati dan mudah memberi.”

Parameswara bertanya lagi, “Apakah nama tuhan yang mereka sembah itu dan apakah nama agama mereka. ” Seorang hulubalang yang telah memeluk Islam menjawab, “Tuhan mereka dipanggil ALLAH dan agama mereka disebut ISLAM.” Lalu baginda bertitah kepada seorang pembesarnya, “Titahkan ketua di antara mereka itu menemui beta.” Parameswara dikatakan memeluk agama Islam selepas peristiwa tersebut.

Sebagai seorang raja, baginda menyedari sekiranya diri beliau dan seluruh rakyat baginda memiliki akhlak dan keperibadian sebagaimana yang ditunjukkan oleh pedagang-pedagang Islam tersebut nescaya negeri Melaka akan menjadi aman, makmur dan sejahtera. Tidak akan berlaku rasuah, terhapus segala kemiskinan, golongan kaya akan bermurah hati membantu yang miskin, rakyat akan bersatu padu, jenayah akan dibasmi dan pemerintahan baginda akan dihormati dan disegani.

Islamnya Parameswara memberi kesan yang besar kepada Melaka sehingga hampir semua pembesar dan rakyat Melaka menerima Islam. Maka terbentuklah sebuah tamadun Melayu yang berasaskan dari ketamadunan Islam yang kemudiannya berkembang ke seluruh pelusuk Tanah Melayu.

ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN NEGARA

Bersandarkan kepada sejarah Islam dalam dunia Melayu itulah apabila Inggeris menguasai Tanah Melayu agama Islam diiktiraf sebagai agama negara yang dimaktubkan dalam perlembagaan negara tanpa meletakkan apa-apa bantahan oleh kuasa penakluk itu ketika pengisytiharan kemerdekaan Malaya pada 31 Ogos 1957.

Lantaran kejahilan dalam gelombang politik antarabangsa di samping kegairahan pemimpin yang dianggap jaguh rakyat itu membawa pulang sekalung kemerdekaan tanpa disedari kita telah dialpakan oleh tipu daya penjajah Inggeris. Adalah sesuatu yang amat janggal apabila Islam diterima hanya sekadar upacara dan amalan dalam urusan peribadi, tetapi dipinggirkan perlembagaan yang menjadi nadi kekuatan pada Islam. Itulah antara sebab mengapa UMNO dipilih oleh Inggeris untuk diserahkan kemerdekaan kerana UMNO ketika itu bukanlah sebuah pertubuhan yang berasaskan perjuangan Islam maka kepentingan dan hak bangsa sahaja dianggap menjadi pioriti bukannya Islam.

Kelemahan para pemimpin UMNO akhirnya terperangkap dengan menerima perlembagaan yang ditulis penjajah Inggeris yang hanya memperkatakan Islam sebagai agama Negara tetapi undang-undang dan sistem yang ada pada Islam tidak dijadikan sebagai sebahagian dari perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Sebahagian besar dari undang-undang negara sekarang yang diguna pakai oleh kerajaan BN untuk mentadbir negara ini adalah berpaksikan undang-undang penjajah Inggeris. Sejarah kemerdekaan banyak negara di dunia ini menggunakan formula yang sama sebagaimana digunakan dalam kemerdekaan Tanah Melayu. Penjajah akan memberikan kemerdekaan kepada golongan yang pro pada mereka dan bukan kepada penentang Penjajah. Walhal penentang penjajah inilah sebenarnya merupakan wira-wira pejuang yang sanggup mempertahankan negara dan hak mereka tanpa membuka selangkah ruang untuk dikuasai oleh penjajah.

PAS DAN KEMERDEKAAN

Dalam hubungan ini PAS adalah parti politik yang berteraskan perjuangan Islam dan orang Melayu yang menjadi musuh ketat kepada penjajah Inggeris di Tanah Melayu. PAS sentiasa merancang dan melaksana pelbagai gerakan samada gerakan dakwah maupun perang saraf untuk menghalau penjajah dari bertapak di sini. Gerakan-gerakan penentangan yang dipelopori oleh guru-guru sekolah agama rakyat menjadi tunjang kebangkitan orang Melayu menentang penjajahan Inggeris. Inilah antara penyebab mengapa Inggeris terlalu marah kepada gerakan dan pertubuhan Islam.

Parti Islam ini merupakan antara penentang kuat kepada perlaksanaan perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang dibuat Inggeris, Perlembangaan Persekutuan Inggeris yang langsung tidak membuka ruang kepada perlembagaan yang berteraskan hukum Islam dianggap satu penghinaan yang besar kepada orang Melayu dan agama Islam. PAS ketika itu menganggap kemerdekaan Tanah Melayu adalah separuh masak.

Namun di atas kesedaran bahawa perlembagaan ini boleh diubahsuai setelah Inggeris meninggalkan Tanah Melayu maka polimik berhubung perundangan Islam dalam perlembagaan persekutuan dianggap sebagai suatu usaha susulan di masa akan datang.

Sejarah perang salib dan era penyebaran agama Kristian yang diselaraskan dengan era penjajahan kuasa eropah ke atas negara-negara yang dijajah ketika itu menjadikan kuasa penakluk itu tidak pernah memberi peluang dan ruang kepada gerakan Islam. Ini tidak menghairankan apabila penjajah Inggeris menyerahkan kemerdekaan Tanah Melayu kepada UMNO.

Ini disebabkan Inggeris menyedari bahawa UMNO akan meneruskan misi Inggeris di negara ini di samping dapat membendung kebangkitan Islam yang dipelopori PAS. Penggunaan sebahagian besar perlembagaan British oleh Malaysia selepas 50 tahun merdeka serta menolak perundangan Islam secara menyeluruh adalah bukti sebenar UMNO bukanlah berjuang untuk kepentingan Islam. Islam cuma dijadikan boneka apabila sekian lama kuasa Mahkamah Sivil melebihi bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Selepas merdeka UMNO meneruskan kesinambungan Penjajah Inggeris melenyapkan sejarah Islam di kalangan orang Melayu. Contohnya UMNO terlibat dalam usaha melenyapkan tulisan jawi yang merupakan bahasa perantaraan Al-Quran dalam sistem pendidikan negara suatu ketika dahulu. Mereka yang tidak dapat menguasai tulisan jawi akan jahil seumur hidup terhadap kitab suci orang Islam atau orang Melayu itu. Pelbagai lagi tanggungjawab yang diberikan kepada pemimpin-pemimpin UMNO untuk membawa misi mengembalikan Islam kepada orang Melayu gagal dilaksanakan.

Amat menjijik dan memalukan apabila sebuah pertubuhan yang bergelar Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu serta melaungkan sebegitu gah perjuangan membela orang Melayu tetapi menjadi gunting dalam lipatan meruntuhkan budaya dan pegangan orang Melayu secara halus dan terancang.

Memang ada sebab dan buktinya apabila seseorang berkata Dosa UMNO ke atas orang Melayu begitu besar.

Bersambung dalam bahagian kedua.

Pandangan Blogger: “Of Malays and Islam”, di‘blog’ oleh Norma Kassim


Baca lagi...

Sabtu, Mei 10, 2008

Isu Karpal dipolitikkan?

Keputusan pilihan rakyat dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-12 lalu yang menghukum pemimpin UMNO di semua peringkat meletakkan parti nasionalis itu berada dalam keadaan serba tak kena. Ibarat cacing kepanasan untuk menjawab segala persoalan kepada rakyat dan ahli-ahli UMNO setelah lebih 50 tahun mentadbir negara, ia bukan satu persoalan yang mudah. Kegagalan memenangi majoriti dua pertiga kerusi parlimen dan hilang 5 negeri kepada Pakatan Rakyat (PR) memberikan imej paling buruk dalam sejarah parti yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 itu. Sejak hampir 62 tahun dibentuk tidak pernah parti yang diasaskan untuk membela nasib orang Melayu ini tersungkur sebegini teruk dalam PRU.

Selepas PRU 12 berlalu, hampir di setiap sudut dan ruang yang dihuni orang Melayu dan rakyat Malaysia, persoalan kekalahan UMNO hampir dibincang di setiap bibir rakyat. Susulan dari itu tekanan dan gesaan supaya Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan bergema hampir di setiap detik tanpa mengira lokasinya.

Sejak itu UMNO dan pemimpinnya ditekan dari pelbagai sudut. Walaupun jari-jari telunjuk ahli UMNO dituding ke arah pemimpin yang lemah seperti Abdullah namun lama kelamaan jari-jari telunjuk tersebut akan mencari tudingannya pada sesiapa sahaja yang terlibat dan pemimpin tertinggi dalam UMNO. Hakikatnya Abdullah sememangnya harus bertanggungjawab atas kemerosotan sokongan rakyat tersebut tetapi suatu ketika kelak pemimpin-pemimpin tertinggi lain dalam UMNO akan tiba juga gilirannya untuk dihukum ahli UMNO.

Selain Abdullah yang juga pemimpin tertinggi UMNO, Timbalannya yang juga TPM, juga akan tiba gilirannya untuk dipertanggungjawabkan atas prestasi UMNO dalam PRU lalu. Ini disebabkan Najib merupakan Pengarah Pilihanraya Pusat manakala semua Menteri-menteri Besar pula menjadi Pengarah Pilihanraya di negeri masing-masing.

Pengalaman 12 kali berada dalam era pilihanraya, segala kemungkinan tersebut setentunya dapat dihidu oleh pemimpin-pemimpin ini. Membiarkan pemikiran dan ilusi ahli-ahli UMNO membuat penilaian atas kelemahan UMNO dalam setiap urusan akan meletakkan parti tersebut semakin daif. Namun lebih menakutkan lagi kekecewaan tersebut akan diterjemahkan oleh ahli-ahli UMNO dengan menyertai PR.

Justeru pemikiran rakyat perlu dialih kepada isu yang tidak membebankan pemimpin tertinggi UMNO. Maka pelbagai isu perlu diisi bagi menggantikan isu yang menikam UMNO dan pemimpinnya. Ibarat berada di medan perang. Bertahan akan memungkinkan benteng pertahanan akan bocor dan dimasuki musuh. Lalu serangan perlu dibuat. Persoalannya apakah senjata yang dimiliki untuk menyerang musuh politik mereka dan di mana serangan harus dimulai?

Dalam mempersoalkan senjata dan di mana serangan harus dimulai, pemimpin UMNO harus mengenalpasti siapa musuh utama yang harus diserang. Pola politik semasa akan meletakkan PR sebagai musuh utama. Namun PR terdiri dari 3 komponen parti PAS, PKR dan DAP. Dari sudut kekuatan terhadap sokongan rakyat berbilang kaum di negara ini terhadap parti-parti politik, PR telah menyediakan landasan sebagaimana disediakan BN sebelum ini.

Namun kelemahannya ialah PR dilihat UMNO sebagai parti yang baru bergabung yang sudah tentu terdapat pelbagai kelemahan dan ‘lubang’ yang bocor di sana sini. Justeru ‘melebarkan’ lubang yang lolos tersebut dianggap strategi paling berkesan untuk memecahkan benteng kombinasi PR. Dasar pecah perintah yang dilakukan UMNO selama ini telah terbukti berkesan sehingga parti yang mulanya berjuang di atas dasar membela orang Melayu itu mampu bertahan memegang tampuk pemerintahan negara lebih 50 tahun. Lalu sejarah pecah dan perintah tersebut harus diulangi mitosnya.

Dalam kontek pecah dan perintah ini, UMNO melihat bahawa pengertian pecah tersebut membawa maksud orang Melayu perlu bertindak membenci dan meninggalkan PAS dan PKR kerana hanya dua parti ini yang mendapat sokongan orang Melayu. Perintah pula bermaksud apabila orang Melayu meninggalkan PR maka mereka akan menyertai atau menyokong UMNO. Justeru usaha menanam sikap membenci orang Melayu kepada PAS dan PKR akan diukur sebagai kemenangan misi mengembalikan kegemilangan UMNO.

Serangan bermula bila isu DEB yang melibatkan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang (PP), Lim Guan Eng cuba diketengahkan sehingga beberapa demonstrasi jalanan dilakukan di sekitar Bandaraya Georgetown. Apabila dikenalpasti kebanyakan mereka yang terlibat dalam mengetuai demonstrasi tersebut terdiri dari pemimpin UMNO PP yang tewas dalam PRU 12 lalu maka demonstrasi tersebut disambut dingin orang Melayu PP.

Kebijaksanaan Lim dan pemimpin PR dalam membuat perang saraf kepada mereka yang mengetuai demonstrasi tersebut dengan menyatakan pihak kerajaan negeri membenarkan perhimpunan aman hakikatnya telah melemahkan gerakan menghidupkan sentimen orang Melayu ke atas Lim dan DAP. Selain itu fakta sejarah yang menyatakan bahawa DEB telah diganti dengan dasar lain seperti DPN (Dasar Pembangunan Nasional) pada 1990‘an dan selepas itu kepada DPW (Dasar Pembangunan Wawasan) memalukan sendiri pemimpin-pemimpin UMNO semua peringkat. Ini sekali gus membuktikan bahawa isu DEB sengaja bermaksud jahat dan ia tidak lain selain bertujuan membutakan pemikiran rakyat terhadap sejarah yang dicipta oleh UMNO sendiri.

Lebih memalukan UMNO ialah DEB yang dirangka mereka bertujuan meningkatkan ekonomi orang Melayu telah gagal menepati sasaran. Sebaliknya telah melebarkan amalan kronisme, nepotisme dan rasuah yang berleluasa dalam pentadbiran negara. Keputusan PRU 12 lalu juga membuktikan kemarahan rakyat terhadap kegagalan DEB yang dilaksanakan UMNO selama ini telah dihukum mereka.

Setelah gagal menyuntik sentimen perkauman di PP, UMNO terus mencari mangsa baru untuk dikambing hitamkan. Sementara dalam pada itu beberapa tekanan luaran seperti kenaikan harga barang, isu bilangan pembangkang di Parlimen dan isu tekanan ahli UMNO menggesa Abdullah meletak jawatan sebagai Presiden UMNO dan PM memaksa pemimpin UMNO mengalih perhatian rakyat dari memperkatakan isu yang melemahkan UMNO tersebut.

Setelah menyaksikan isu siaran langsung Sidang Dewan Rakyat gagal mengkambing hitamkan ahli-ahli parlimen pembangkang kerana Timbalan Pengerusi, Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Bung Muktar Radin turut bermentaliti pemimpin ‘kelas ke-3’ maka isu Karpal Singh yang dianggap mempertikai keputusan istana dipilih sebagai serangan paling berpotensi untuk melemahkan PR.

Karpal yang dituduh mempertikai keputusan Sultan Perak, Tuanku Sultan Azlan Shah yang dianggap Karpal campurtangan sultan yang menggesa MB Perak, Dato’ Seri Ir Mohd Nizar menarik balik arahan pertukaran Pengarah JAIP, Datuk Jamry Sury adalah tidak sah. Inilah yang dilabel oleh pemimpin UMNO sebagai tindakan biadap Karpal berhubung ketuanan Melayu.

Sebagaimana disebutkan tadi kejayaan misi pecah perintah UMNO ini terletak kepada isu menghidupkan sentimen perkauman maka isu serangan ke atas Karpal ini dilihat dari beberapa sudut:

1. Karpal diserang dan dipolitikkan kerana isu ini menyentuh hak dan imuniti raja serta orang Melayu amat sensitif berhubung sentimen ini.

Persoalannya mengapa sekarang Karpal diserang sedangkan sebelum ini Presiden MCA, Ong Kah Ting juga mempersoalkan kenyataan Raja Muda Kelantan yang membuat kenyataan berhubung kesetiaan orang bukan Melayu kepada institusi raja di negara ini. Susulan dari itu, Ketua Pemuda MCA, Ong Tee Kiat juga membuat kenyataan mempertikaikan persoalan ketuanan Melayu yang seolah-olah menganggap orang Melayu sebagai tuan dan orang bukan Melayu sebagai hamba. Mengapa dua orang kuat MCA yang bersekutu dengan UMNO dalam pakatan BN ini, Presiden UMNO merangkap PM tidak menggesa mana-mana pemimpin UMNO membuat laporan polis sebagaimana dilakukan ke atas Karpal. Mengapa pemimpin tertinggi negara ini bersikap ‘double standard’ berhubung isu yang melibatkan seorang rakyat yang mana beliau adalah PMnya?

Dosa besar yang dilakukan ke atas institusi raja juga oleh kepimpinan UMNO ialah ketika perlantikan MB di Perlis dan Terengganu sehingga institusi yang melambangkan ketuanan Melayu itu digelar sebagai ‘natang’ (binatang). Bagaimana perkembangan keputusan siasatan yang dibuat pihak polis berhubung tindakan ahli-ahli dan pemimpin UMNO setakat ini berhubung isu ‘natang’ ini tidak dimaklumkan malah sepi membisu.

Dalam insiden yang sama juga, PM bertindak menggesa Jabatan Peguam Negara mengeluarkan arahan membatalkan keputusan perlantikan MB di Terengganu oleh pihak istana. Mengapa pemimpin UMNO yang mendakwa membela raja dan ketuanan Melayu bertindak lebih biadap dari Karpal yang mungkin tidak tahu adat resam dan sensitiviti orang Melayu itu.

Malah ‘penderhakaan’ yang paling besar ke atas simbol ketuanan Melayu ialah ketika usaha yang dilakukan oleh bekas pemimpin tertinggi UMNO dan bekas PM, Tun Dr Mahathir. Tindakan gila kuasa yang melampau bekas pemimpin UMNO tersebut seharusnya boleh dihukum pancung oleh raja-raja Melayu. Ini disebabkan ketika Mahathir bertindak meminda perlembangaan mengurangkan imuniti kuasa raja-raja, raja masih berkuasa penuh melalui hairaki Sistem Raja Berperlembagaan yang digariskan oleh perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Persoalannya mengapa ketika itu UMNO bersekongkol menyokong gerakan tersebut dan tidak ada yang berani menentang kegilaan Mahathir ketika itu. Hanya ada beberapa kerat sahaja rakyat termasuk PAS dan Persatuan Ulama’ yang dipimpin saya ketika itu menolak cadangan dari UMNO tersebut. Kami dari Persatuan Ulama’ telah berjaya menyampaikan memorandum bantahan kepada beberapa sultan seperti Sultan Selangor, Kedah, Kelantan dan Yang Di Pertuan Negeri Sembilan. Namun kegilaan Mahathir tidak mampu dibendung oleh sesiapa ketika itu.

Manakala pemimpin UMNO yang paling ‘taksub’ menyokong kegilaan kuasa Mahathir ketika itu adalah bekas MB Perlis, Shahidan Kassim. Ini juga mungkin antara penyebab mengapa Shahidan tidak lagi dipilih sebagai MB Perlis selepas menyaksikan UMNO semakin lemah dalam PRU lalu.

2. Karpal dilabel sebagai pemimpin sebenar Perak dan MB sekarang cuba dilabel sebagai ‘boneka’ kepada DAP.

Secara kasar komposisi agihan kerusi exco kerajaan Perak (PAS 1, PKR 3 dan DAP 6) dicongak UMNO sebagai dikuasai oleh DAP walaupun MBnya adalah dari PAS (Melayu). Disebabkan perlembagaan Persekutuan di Perak menetapkan kuasa melantik MB berada dalam kuasa Sultan Perak maka wakil PAS dianggap mendapat durian runtuh.

Secara halusnya UMNO menggunakan kesempatan kenyataan Karpal mempertikai arahan Istana Perak sebagai tindakan MB sebenar Perak mencabar keputusan Sultan. Secara rasional juga kenyataan Karpal ini dimanipulasi sebagai tindakan MB memecat Jamry adalah atas tindakan DAP. Manakala permohonan maaf MB Perak kepada istana menunjukkan ketidaksepakatan antara MB dan DAP. Atau dalam bahasa politik dipanggil sebagai Perpecahan dalam PR. Namun hakikatnya ramalan tersebut tidak berlaku.

Berbalik kepada misi pecah dan perintah yang menjadi agenda UMNO sekarang pula, usaha memisahkan DAP dari PR dianggap mudah kerana ia melibatkan orang Melayu dan bukan Melayu. Falsafah kekuatan UMNO selama ini juga berpegang kepada ketaksuban bangsa terhadap bangsanya dan bukannya retorik perpaduan kaum yang dilaung selama ini. Selagi orang Melayu menyimpan prejudis terhadap kaum lain selagi itulah UMNO mendapat kuasa dan kekuatan.

3. Isu Karpal adalah isu pelarian dari masalah besar negara seperti kemelut dalaman UMNO dan kegelisahan rakyat berhubung kenaikan harga barang yang tak terkawal. (Ini telah diterangkan di awal catatan ini.)

Tindakan pemimpin-pemimpin UMNO yang menggunakan media arus perdana cuba mengheret PAS dan PKR berhubung isu Karpal ini sememangnya telah diduga kerana strategi UMNO yang memerintah negara lebih 50 tahun ini terlalu mudah dibaca. UMNO menggunakan kaedah yang sama walaupun mereka tidak menyedari bahawa jerat yang sedang mereka lakukan telah digunakan berpuluh kali untuk menjerat musuh politik mereka.

Apakah UMNO tidak mempelajari kesilapan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Sui Lek terperangkap dengan isu Video yang merakamkan aksinya bersama ‘teman’nya itu disebabkan beliau menggunakan bilik yang sama setiap kali bersama ‘teman’nya itu.

Jerat tidak melupakan pelanduk tetapi pelanduklah yang sering melupakan jerat. PAS tidak akan mudah diperangkap sedemikian. Dasar politik perkauman yang ortodok dan sempit yang menjadi falsafah perjuangan UMNO sejak 62 tahun ditubuhkan itu hakikatnya tidak lagi sesuai untuk diterjemah kepada rakyat yang hidup di abad ke-21 ini. Mempolitikkan setiap isu yang dianggap akan memberi keuntungan yang bersifat sementara bukan bertunas dari keikhlasan untuk membela rakyat. Rakyat generasi selepas merdeka hari ini bukan lagi memiliki mentaliti dan falsafah pemikiran generasi saluran satu yang kini semakin pupus dari fitrah hidup manusia.

Dalam isu Karpal bukan sahaja PAS, PKR dan DAP sahaja malah seluruh rakyat di negara ini mahukan keadilan yang bersifat menyeluruh dan bukannya bersifat ‘double standard’. Karpal malah sesiapa sahaja perlu didakwa sekiranya melanggar apa-apa peruntukan undang-undang samada melibatkan kuasa istana maupun jenayah lain. Adalah tidak adil menghukum Karpal disebabkan Karpal dari pihak musuh politik sedangkan kesalahan yang sama tetapi dilakukan oleh pihak yang berpihak kepada kerajaan BN akan terlepas dari tindakan undang-undang.

Lebih memburukkan lagi sekiranya PM yang menjadi pemimpin tertinggi negara dan Presiden UMNO bertindak ‘double standard’ sedemikian. Impaknya amat buruk kerana rakyat merasakan negara ini tidak lagi selamat untuk didiami sedangkan dalam manifesto BN dalam PRU lalu antaranya menjamin keharmonian, keadilan dan keselamatan rakyat di negara ini. Pemimpin UMNO sendiri tak sedar, dalam usaha menyerang pembangkang berhubung tuntutan memenuhi manifesto pilihanraya, UMNOlah yang sebenarnya gagal memenuhi tuntutan manifestonya.

UMNO perlu sedar bahawa rakyat hari ini sudah didedah dengan dunia tanpa sempadan. Rakyat mampu menilai secara terang maupun senyap setiap tindakan yang dilakukan oleh kerajaan. Apakah UMNO dan BN tidak ‘insaf’ dari apa yang diterima dari PRU lalu.

Secara harmoni, dari sudut politiknya PAS dan PR sememangnya maukan UMNO dan BN terus melakukan kesilapan demi kesilapan kerana kesilapan itu akan menguntungkan PR dan pembangkang. Namun sebagai orang Melayu yang beragama Islam serta sentiasa memilih dan melihat Islam sebagai teras kepada keharmonian, kesucian dan keadilan untuk semua hal tanpa mengira teman atau musuh, UMNO seharusnya menjadikan keadilan sebagai teras perjuangannya dan bukannya retorik sebagaimana dilakukan lebih 50 tahun memerintah negara. Tidak guna UMNO mendabik dada melaungkan memperjuangkan hak orang Melayu dan Islam sedangkan apa yang dilakukan hakikatnya kepalsuan yang bertopengkan keadilan.

Kembalilah kepada kebenaran sekalipun kebenaran itu amat pahit. Karpal perlu diadili sekiranya ia harus diadili. Begitu juga dengan pihak lain yang ada dalam UMNO juga perlu diadili sekiranya bertindak dalam kondisi yang sama dengan isu Karpal. Karpal bertindak demikian mungkin disebabkan apabila melihat ada pihak yang melakukan tindakan yang sebagaimana dilakukannya tetapi tidak didakwa atau dihukum. Justeru Karpal mempunyai alasan atau mengheret orang lain yang sama melakukan kesalahan sepertinya untuk dihakimi dalam hal yang membabitkan kuasa istana ini.

Andai ini gagal dilakukan. Ini jelas membuktikan kelemahan UMNO dalam mengembalikan sistem kehakiman negara di landasan sebenar serta gagal memartabatkan ketuanan Melayu yang berpegang kepada prinsip Islam yang syumul.


Baca lagi...

Jumaat, Mei 09, 2008

Salam Sejahtera untuk Semua

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Syukur ke hadrat Allah SWT yang telah mengilhamkan ke atas setiap hambaNya sesuatu yang berupa kebaikan dan nikmat. Semua ini bertujuan supaya segala nikmat kebaikan ini dapat dimanfatkan untuk sekalian alam. Di atas nama kebaikan inilah, saya rasa terpanggil untuk menghidupkan laman blog ini, sekurang-kurangnya segala maklumat dan isu yang berkaitan dengan perkembangan dalam PAS Pusat dan PAS Perak dapat dimaklumkan untuk semua masyarakat Malaysia.

Saya yang juga merupakan Naib Presiden PAS dan Pesuruhjaya PAS Perak merasakan amat perlu, pemimpin di semua peringkat untuk mengadakan blog mereka tersendiri bagi memberi pandangan selain menerima maklumbalas dari akar umbi.

Sebagai salam perkenalan untuk semua, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua dan rakan-rakan yang memberi pelbagai pandangan supaya blog ini diwujudkan.

Assalamualaikum.


Baca lagi...

Khamis, Mei 01, 2008

International Muslim Affairs Section

Brothers and sisters, as Muslims, we should be ever sensitive of any religious propaganda against Islam — whether brought about by Christian missionaries, or any other quarters for that matter. Connect yourselves to international news of such Islamic concerns in this section.

—————————————————————————————————————————


“As the 2008 US Presidential primaries draws close to its crescendo – Barack Obama’s candidacy for the Democratic Party clearly shows that, in the land of the free and the home of the brave all Americans are equal but some are less equal than others.”

Link: ALL AMERICANS ARE EQUAL; SOME ARE LESS EQUAL THAN OTHERS
Added May 1, 2008

—————————————————————————————————————————


“A senior Church of England bishop has accused church leaders of failing to do enough to convert British Muslims to Christianity out of fear of a backlash, reported the Daily Mail on Sunday, May 25.”

Link: DO MORE TO CONVERT UK MUSLIMS: BISHOP
Added May 28, 2008

—————————————————————————————————————————


“The Council on American-Islamic Relations (CAIR) today welcomed Sen. John McCain’s rejection of bigoted Texas pastor John Hagee’s endorsement, and called on the presidential candidate to “unequivocally distance himself” from Ohio pastor Rod Parsley.”

Link: CAIR CALLS ON McCAIN TO RENOUNCE SECOND BIGOTED PASTOR, WELCOMES HIS REJECTION OF JOHN HAGEE ENDORSEMENT
Added May 29, 2008

—————————————————————————————————————————


“A report about Islamophobia carried out by the Organization of the Islamic Conference (OIC) concluded that anti-Muslim discrimination is relatively high in Europe in comparison to the United States.”

Link: MUSLIMS IN EUROPE FACE MORE DISCRIMINATION THAN IN THE U.S.
Added June 15, 2008

—————————————————————————————————————————


“Every honest Jew who knows the history of his people cannot but feel a deep sense of gratitude to Islam, which has protected the Jews for fifty generations, while the Christian world persecuted the Jews and tried many times “by the sword” to get them to abandon their faith.” - Uri Avnery, Israeli writer and journalist

Link: VOICES OF EVIL
Added June 26, 2008

—————————————————————————————————————————


“Last week, the Israeli human rights organization B’Tselem released video clips showing masked Jewish settlers ganging up on and severely beating elderly Palestinian peasants near the town of Yatta, southwest of Hebron. At least three Palestinians were wounded in the unprovoked assault, including a man and his wife, both in their early sixties.”

Link: HITLER YOUTH IN THE WEST BANK
Added June 26, 2008

—————————————————————————————————————————


“Harian Ha’aretz pertengahan bulan Mei ini menyebutkan bahwa jumlah penduduk negara penjajah Israel saat ini mencapai 7.282.000 jiwa, dari jumlah mereka sebanyak 873 ribu jiwa pada bulan November 1948. Jumlah ini memberikan isyarat bahwa jumlah warga negara Israel pada tahun 2030 mendatang diprediksi sebanyak 10 juta jiwa.”

Link: JUMLAH WARGA YAHUDI SAAT INI 7.282.000 JIWA
Added July 2, 2008

—————————————————————————————————————————


“Mantan Presiden Amerika Serikat Jimmy Carter mengatakan bahwa Israel memiliki 150 senjata nuklir. Hal tersebut disampaikan Carter menjawab pertanyaan bagaimana seharusnya seorang presiden AS menyikapi ancaman nuklir Iran, dalam festival sastra Hay-on-Wye di Wales, Inggris, Senin (26/05).”

Link: ISRAEL MEMILIKI LEBIH 150 SENJATA NUKLIR
Added July 2, 2008

—————————————————————————————————————————


Baca lagi...

Mengenai Saya


Saya dilahirkan pada tahun 1936, sebagai anak jati Semanggol, Perak. Setelah 4 tahun belajar di sekolah melayu, saya memulakan pengajian agama di Maahad Al-Ehya’ Ash-Shariff, Gunung Semanggol bermula dari peringkat rendah sehingga ke peringkat menengah atas (Thanawi Rabi’). Sekolah Agama Rakyat ini ketika itu bukan sahaja terkenal sebagai pusat pendidikan, tetapi juga dikenali sebagai sebuah institusi gerakan Islam dalam perjuangan menuntut kemerdekaan yang ditakuti oleh penjajah. Dato’ Onn yang menjadi Presiden UMNO yang pertama pernah mengungkapkan kata-kata “hubaya, hubaya, bahaya dari gunung”. Ramai pejuang-pejuang kemerdekaan yang ditahan oleh penjajah Inggeris adalah terdiri daripada lepasan maahad ini. Di sinilah ditanam semangat perjuangan Islam dalam diri saya.

Saya menamatkan pendidikan peringkat tinggi di Kolej Islam Malaya. Selepas itu menyambung pelajaran dalam bidang perundangan Islam di Universiti Al-Azhar, Mesir dan memperolehi Ijazah Sarjana di samping Diploma Pendidikan dari universiti yang sama.

Penglibatan saya dalam bidang politik bermula pada tahun 1984 apabila saya menyertai PAS. Tetapi saya hanya bergerak aktif setelah menjadi AJK PAS Pusat dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak pada tahun 1999. Saya bertanding sebagai calon PAS bagi Parlimen Bagan Serai dalam PRU ke-10, dan kemudian dalam PRU ke-11 saya sekali lagi bertanding sebagai calon Parlimen bagi kawasan yang sama dan calon DUN Selinsing. Kini menjawat jawatan Naib Presiden dan Pesuruhjaya PAS Perak bagi penggal keempat.

Saya memulakan perkhidmatan dalam bidang pendidikan sebagai guru agama kementerian di Sekolah Menengah St David High School, Melaka sebelum melanjutkan pelajaran ke Mesir pada 1963 dengan Biasiswa Kementerian Pelajaran. Selepas menamatkan pengajian di Universiti Al-Azhar, saya bertugas menjadi guru semula di Sekolah Aminuddin Baki, Kg Pandan, Kuala Lumpur. Kemudian berkhidmat di Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar sebagai Pegawai Perancang Agama Dewasa. Kemudian saya bertugas sebagai pensyarah pendidikan Islam di Universti Teknologi Malaysia, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Apabila ditubuhkan Bahagian Agama di Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 1974, saya dilantik sebagai Pengarah Dakwah dan Latihan Islam, selepas itu ditukarkan ke Kementerian Pelajaran pada 1980 dan kembali semula ke Bahagian Agama JPM, kini dikenali sebagai JAKIM, sebagai Pengarah Dakwah dan Latihan Islam dan akhir sekali menjadi Pengarah Pusat Penyelidikan Islam sehingga bersara pada 1991.

Di samping menjalankan tugas-tugas rasmi dalam perkhidmatan kerajaan, saya aktif menyertai dan menerajui pertubuhan-pertubuhan NGO di pelbagai bidang khususnya dalam bidang dakwah dan pendidikan. Di antaranya saya menerajui pimpinan Persatuan Ulama’ Malaysia selama kira-kira 17 tahun, dan Persekutuan Seruan Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan lebih 20 tahun. Lain-lain pertubuhan yang pernah saya pimpin adalah Persatuan Bekas Mahasiswa Islam Timur Tengah, Persatuan Bekas Pelajar Maahad Al-Ehya’ Ash-Shariff Gunung Semanggol dan Persatuan Pelajar Kolej Islam Malaya.

Saya juga pernah menjadi Pengerusi Panel Syariah Bank Pembangunan dan Infrastruktur Malaysia, Timbalan Pengerusi Panel Syariah Bank RHB, dan anggota Panel Syariah beberapa institusi kewangan yang lain. Di peringkat antarabangsa, saya pernah dilantik sebagai ahli Persidangan Agung Dakwah Islam Sedunia Libya, ahli senat Universiti Islam Baghdad Iraq dan ahli Persidangan Himpunan Islam Republik Islam Iran.


Baca lagi...